You are on page 1of 2

ANTARA HAK & BATAS BERSUARA

HAK untuk bersuara, berekspresi atau mengutarakan pandangan sememangnya telah


terpelihara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan
bahawa setiap warganegara berhak ke atas kebebasan bercakap dan bersuara. Kebebasan
ini banyak membantu dalam melindungi hak masyarakat awam dalam mengekspresikan
pandangan masing-ma-sing dalam konteks peradaban masa kini.

Namun terdapat segelintir masyarakat kita yang terlalu taksub menggunakan hak ini
tanpa mengetahui natijah penggunaan hak tersebut sewenang-wenangnya tanpa batas
sehingga mengakibatkan kesan yang buruk terhadap individu, komuniti, institusi
berkepentingan malah kesannya terhadap negara.

Ketaksuban segelintir masyarakat terhadap kebebasan bersuara yang diberikan di


bawah Perkara 10(1)(a) melahirkan lambakan kes saman fitnah dan pendakwaan jenayah di
mahkamah, lebih-lebih lagi kes yang dihadapkan ke mahkamah berpunca daripada kenyataan
yang di-sebarkan melalui media sosial.

Ironinya, rata-rata pihak yang disaman di bawah tindakan fitnah atau didakwa di bawah
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terdiri daripada golongan yang tidak berkeupayaan
dari segi kewangan, had umur atau taraf kehidupan sosial. Walhal, golongan ini terdedah
kepada risiko seperti hukuman penjara, denda atau ganti rugi berbentuk kewangan sekiranya
mahkamah mendapati penulisan atau ucapan yang diterbitkan mereka sememangnya
mengandungi kenyataan yang berunsur fitnah atau kenyataan yang boleh menggugat
institusi-institusi berkepentingan dan berperlembagaan selain kenyataan yang boleh
mengancam keselamatan awam dan keharmonian masyarakat.

Justeru, penting ditekankan bahawa kebebasan bersuara tidaklah memberikan


jaminan mutlak kepada warganegara untuk menggunakan hak tersebut secara semberono
kerana kebebasan itu juga mempunyai had atau sekatan yang diperuntukkan di bawah
Perkara 10(2). Parlimen boleh mengadakan undang-undang bagi mewujudkan sekatan yang
didapati perlu dan mustahak demi kepentingan ke-selamatan Persekutuan, perhubungan
persahabatan dengan negara luar, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan
badan legislatif atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau
perbuatan menghasut untuk melakukan sesuatu kesalahan.

Tambahan lagi, sekatan-sekatan lain juga boleh dikenakan seperti di bawah Perkara
10(4), yang memperuntukkan kebenaran kepada Parlimen untuk meluluskan undang-undang
yang melarang apa-apa yang mempersoalkan perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan
dan kedaulatan yang dilindungi di bawah Perkara 3 (kedudukan agama Islam), Perkara 152
(Bahasa Kebangsaan), Perkara 153 (Perizaban kuota bagi orang Melayu, Sabah dan
Sarawak) dan Perkara 181 (Pengecualian bagi kedaulatan Raja-Raja Melayu).

Sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap masyarakat dalam mengutarakan


pendapat dan suara dalam mengeks-presikan pandangan masing-masing telah dimaktubkan
dalam beberapa Akta yang digubal oleh Parlimen, antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia
Rasmi 1972, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan
Kolej Universiti 1971, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Kanun
Keseksaan.
Ini tidak bermaksud bahawa masyarakat perlu gusar dalam mengutarakan pandangan
masing-masing berhubung isu yang menyentuh kepentingan masyarakat. Namun,
masyarakat haruslah berwaspada berkaitan de-ngan kandungan dan tatasusila penulisan
mahupun percakapan agar tidak berlawanan dengan undang-undang sedia ada.

Ramai kalangan masyarakat kita yang tidak sedar kesan kebebasan bersuara
melampaui kebatasan Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, baru-baru ini kita sering
disajikan dengan kes-kes seperti penghinaan terhadap ins-titusi raja seperti yang berlaku di
Perak di mana seorang remaja didakwa di atas tuduhan menghina Sultan Perak di laman
sosial Twitter.

Remaja tersebut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan


Multimedia 1998 yang jika didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman denda sehingga
RM50,000.00 atau penjara atau kedua-duanya. Pendakwaan terhadap remaja itu yang masih
belum tamat pengajian akan menyebabkannya mengalami kesukaran dalam menghadapi
kehidupan di masa akan datang terutama apabila terdapat rekod jenayah akibat daripada
penulisan yang boleh mencetuskan huru-hara dan ancaman terhadap institusi raja.

Justeru, pendedahan kepada masyarakat mengenai sekatan dan had terhadap hak
untuk bersuara, bercakap, menulis atau mengekspresikan pandangan masing-ma-sing di
media sosial serta akibat daripada penyalahgunaan kebebasan tersebut amatlah penting
untuk mengelakkan lambakan kes-kes saman di mahkamah.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ),
sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/antara-hak-dan-batasan-bersuara-


1.625445#ixzz5iUHluLi6
© Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like