You are on page 1of 17

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN DAN DORNGAN

KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK


ANAK-ANAK
Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara
yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap
saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset
terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak
mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai
tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan
layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah
digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau
berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar
cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina
mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup
memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik
beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang
akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan
daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan
yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan
anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anakanak.
Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan.
Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah
kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat
dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan
inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan
ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri
mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih
berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini,
kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang
berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh
Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat
Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik
keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan
merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk
kecemerlangan anak-anak.

Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat,


membanting tulang dan bekerja keras dengan tulang empat kerat
mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal
ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan
yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang
penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak
supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak
mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang
tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak
mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan
kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja
dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan
anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita
dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah
pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup
mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata
mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban
demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah
terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan
untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran.
Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan
memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana
anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan
terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan
mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka
tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa
seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira
yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang
mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan.
Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah
buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah
bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu
dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan
anak-anak dalam bidang akademik.
Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor
terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli
keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebing dan
sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman

sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan


keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan
terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang
lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia
bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu
atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah
bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain
di seluruh sarwajagat ini.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU


Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia
telah banyak membawa perubahan kepada kehidupan seharian
manusia di tanah air kita. Dalam keghairahan mengejar arus
modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita yang
sering mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin
menjadi-jadi ini dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah
menjadi polemik orang ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen.
Persoalan yang sering terlintas di fikiran kita ialah mengapakah
Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak jawapan yang
berlegar-legar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang
semakin serius ini perlu diatasi dengan segera kerana di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan.

Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah


jerebu. Pihak kerajaan memikul kewajipan untuk menguatkuasakan
undang-undang yang termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Individuindividu yang telah mengingkari undang-undang dengan membakar
sampah sarap secara terbuka manakala pemaju kilang yang
membiarkan pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis perlu
dikenakan hukuman yang lebih berat. Biarlah mereka menerima
pengajaran supaya lebih peka terhadap isu jerebu yang semakin kronik

ini, kerana sudah terhantuk baru tengadah. Pemaju-pemaju kilang


yang mengamalkan sikap sebegitu bukan sahaja harus dikenakan
saman yang lebih tinggi, malah premis kilang mereka harus disita. Bagi
memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan turut perlu mewajibkan
setiap kilang perindustrian supaya memasang sistem penapisan asap
dalam kilang mereka untuk mengurangkan penyaluran habuk dan gasgas toksik ke dalam udara. Pada masa yang sama, Jabatan Alam
Sekitar haruslah menggemblengkan tenaga dengan organisasi bukan
kerajaan untuk menjalankan kempen kesedaran yang lebih efektif
secara giat. Kempen kesedaran ini bukan sahaja dapat menyedarkan
orang ramai tentang perbuatan mereka yang menyumbang kepada
masalah jerebu, malah kempen tersebut mampu membekalkan mereka
dengan informasi tentang langkah-langkah yang patut diambil oleh
setiap individu untuk membantu dalam mengatasi fenomena jerebu.
Tuntasnya, kerajaan menjadi pemangkin perdana bagi memastikan
masalah jerebu dapat ditangani dengan cara yang efektif.
Selain itu, tindakan kerajaan yang lain dalam menangani masalah
jerebu ialah pembenihan awan perlu dilaksanakan demi menyekat
keadaan jerebu daripada menular. Akibat daripada fenomena El-Nino,
cuaca kering dan kemarau telah melanda Malaysia. Keadaan ini
memburukkan lagi keadaan jerebu. Dengan demikian, kerja
pembenihan awan terpaksa dilakukan untuk mendapatkan hujan.
Apabila cuaca kering, suhu awan menjadi tinggi, titisan air menjadi
ringan, Titisan yang sangat ringan ini tidak dapat jatuh ke bumi
sebagai hujan. Oleh itu, iodin perak ataupun ais kering akan ditabur
untuk menurunkan suhu awan tersebut. Ais kristal akan terbentuk dan
semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, air kristal akan jatuh ke
bumi dan bertukar menjadi titisan air apabila cair akibat daripada suhu
bumi yang panas. Hujan boleh memainkan peranan penting apabila
keadaan jerebu menjadi sangat serius. Hujan dapat membawa
bersama jerebu jatuh ke bumi, justeru masalah jerebu dapat diatasi
dengan pembenihan awan.

Tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam menangani
fenomena jerebu. Ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk mendidik
anak mereka tentang langkah-langkah mencegah masalah jerebu,
menerusi pendidikan tidak formal. Ketika mereka masih di bangku
sekolah, anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan memerlukan

bimbingan ibu bapa untuk membentuk jati diri mereka yang sempurna.
Sebagai memberi teladan kepada anak-anak mereka, mereka perlu
memikul tugas untuk memaparkan sikap mesra alam supaya sikap
sebegitu tersemai dalam sanubari anak-anak mereka sehingga
menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan, bak kata pepatah, alah bias
tegal biasa. Berpegang pada prinsip bagaimana acuan begitulah
kuihnya, anak-anak akan mengikut sikap ibu bapa sebagai rakyat
negara yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam membentuk
keperibadian mereka supaya menjadi individu yang mengamalkan
sikap mesra alam, ibu bapa juga diamanahkan dengan tugas
menyuburkan nilai-nilai murni, seperti nilai bertanggungjawab dan nilai
peka terhadap isu-isu alam sekitar dalam jiwa anak-anak untuk
menyedarkan anak-anak tentang tanggungjawab mereka dalam
memelihara kebersihan udara. Ibu bapa turut diberikan tanggungjawab
untuk membuka mata anak-anak mereka terhadap isu jerebu melalui
penyertaan dalam kempen-kempen kesedaran kerajaan. Melalui
langkah tersebut, anak-anak akan didedahkan kepada perkara serius
ini sejak umur yang kecil lagi, malah hal ini membantu mereka
memahami impak jerebu terhadap negara supaya mereka dapat
menghulurkan bantuan dalam usaha menangani masalah jerebu.
Maka, peranan ibu bapa dalam usaha mengatasi fenomena jerebu
turut mendatangkan impak positif kerana mereka menjadi penentu
sahsiah generasi muda.

Selain kerajaan dan ibu bapa, pemimpin-pemimpin negara perlu


bertemu dengan pemimpin dari negara jiran dan berbincang tentang
kesan-kesan yang disebabkan oleh pembakaran hutan serta mencari
cara penyelesaian masalah bersama-sama. Pemimpin negara
Indonesia boleh memainkan peranan dengan merancang pembakaran
hutan dengan teliti dan memikirkan cara mengurangkan implikasi
negatif yang dibawa oleh pembakaran hutan. Mereka juga patut
melarang pembakaran hutan dan mengenakan hukuman yang berat
terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut. Dengan
melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang tersebut, maka
masalah jerebu dapat diringankan.

Sebagai rakyat Malaysia kita boleh memainkan peranan kita dengan


tidak membakar sampah sarap secara terbuka. Hal ini kerana asap
yang dihasilkan melalui pembakaran sampah sarap merupakan antara
penyumbang kepada jerebu dan sebagai akibatnya kesihatan manusia
akan terjejas dan membawa kepada pelbagai penyakit seperti sakit
kerongkong, penyakit asma, pneumonia, barah paru-paru dan
sebagainya. Di samping itu, kita boleh melibatkan diri dalam aktiviti
menyelamatkan alam sekitar dengan menanamkan tumbuh-tumbuhan
di sekitar kawasan rumah. Dengan adanya kerjasama daripada
masayarakat, masalah jerebu pasti dapat ditangani sebelum nasi
menjadi bubur.

Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi
menyelesaikan
masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi
dalam mengatasi masalah
tersebut, persis kata orang-orang tua, berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing. Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan
masalah jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas
daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat
berkembang maju dalam semua
pelancongan yang sememangnya

bidang

terutamanya

bidang

berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha


mengurangkan masalah jerebu dan mewujudkan negara yang bebas
jerebu untuk kepentingan bersama.

KESAN JEREBU
Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat
Malaysia telah digemparkan lagi dengan berita Indeks Pencemaran

Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara


mendadak akibat berlakunya jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang
berlaku secara tahunan telah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk
di bandar raya besar tersebut. Masalah jerebu yang seperti bangkai
gajah yang tidak dapat ditutup dengan daun nyiru telah mendapat
liputan meluas daripada pihak media massa dan dalam kalangan
rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah serius akibat berlakunya
fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan berlakunya
jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan
penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah
selera. Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah
jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada
negara kita dan juga rakyat kita.
Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara
negara kita akan terjejas. Udara negara kita yang segar dan bersih
akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda
sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2
kilometer menjadi 50 meter. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005,
negara kita dilanda jerebu yang paling teruk dalam sejarah negara
kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan
Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di Malaysia
sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut, justeru
segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah,
pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang
lagi bersuluh bahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan
terhadap negara kita.
Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan
yang lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh
sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi
lemah dan imunisasi semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan
batuk akan mudah merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan
penyakit respiratori mudah diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini
berlaku kerana pernafasan mereka menjadi tidak baik dan ditambah
pula udara yang kurang bersih maka kesihatan mereka akan mudah
terancam. Dalam jangka masa yang panjang, kita juga mungkin akan
sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata dan sebagainya.
Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif kepada
kesihatan orang ramai.

Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi


negara turut terjejas akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia.
Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan
industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin
keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang
terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari
alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu.
Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif
yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut
terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang
berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan
merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para
pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing
tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di
Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka
semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi
negara kita akan terjejas akibat jerebu.
Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora
dan fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon
dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya
kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan
menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk
membesar. Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini
disebabkan oleh proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan
karbon dioksida yang berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan
penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas karbon dioksida ini
menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama. Misalnya,
pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang untuk matang.
Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh terjejas sehingga 30
peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara
yang bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula,
hidupan akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang terlarut
dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan
tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa
masalah jerebu akan menjejaskan flora dan fauna negara.
Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah
bersinergi dan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu
di Malaysia bagi mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata
cendekiawan, bagai aur dengan tebing. Sekiranya masalah ini

dipandang enteng, nyawa modal insan negara kita akan menjadi


seperti telur di hujung tanduk. Kebobrokan sikap anak-anak juga
mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat
kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk mengatasi
masalah jerebu dan seterusnya menggapai impian Wawasan 2020.
Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera,
lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan
berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan
berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna lagi.
KELUARGA IMPIAN SAYA
"Rumahku, syurgaku". Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya
peranan ahli keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga impian
saya ialah keluarga bahagia. Apakah ciri-ciri yang harus ada pada
sesebuah keluarga bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak
daripada manifestasi tersebut, setiap individu harus memikul dan
melaksanakan kewajipannya untuk mewujudkan keluarga bahagia.

Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan


kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk
keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah yang akan
membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Anak
diibaratkan sebagai sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan
mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa
depannya. Ibu bapanya yang merupakan guru terdekat harus
menunjukkan teladan yang baik. Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak
kata pepatah ,bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anakanak untuk membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Ibu
bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anakanak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah
setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus
memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk
akhlak. Selain itu, ibu bapa harus mencurah kasih sayang sepenuhnya
kepada anak-anak seperti menatang minyak yang penuh . Didikan

agama dan moral yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak
sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh, biarlah dari
rebungnya. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan agama dan
moral yang teguh diibaratkan seperti kapal tanpa nakhoda.

Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani


anak-anak dan memahami masalah mereka di samping berusaha
menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil berat terhadap
anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu rakus mengejar
fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan
tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Hukuma-hakam Arab
pernah mengatakan bahawa anak- anak yang kehilangan kasih sayang
daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim.

Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti


ajaran ibu bapa. Anak-anak harus belajar bersungguh-sungguh,
mendapatkan keputusan cemerlang untuk membalas jasa ibu bapa.
Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan
keluarga dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat
seperti vandalisme, lumba haram, menagih dadah dan sebagainya.
Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa ibu bapa dan
janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak
janganlah lupa bahawa ibu bapalah yang mendidik, membimbing, dan
menjaga mereka. Kalau bukan ibu bapa, siapakah kita?

Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga,


ahli-ahli keluarga saling menghormati dan memahami. Ahli-ahli
keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri bagi
mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham.
Keluarga bahagia ialah keluarga yang harmani, aman dan damai. Ahliahli keluarga akan saling membantu dan bekerjasama, bak kata
pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga


bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang

terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga bahagia banyak


memerlukan unsur juga. Contohnya, kasih sayang, kerjasama, toleransi
dan sebagainya. Rumahku, syurgaku. Keluarga bahagia ialah
keluarga impian saya.

KESAN PEMANASAN GLOBAL


Bumi kini sedang mengalami demam panas akibat pemanasan
global yang turut membawa bersamanya iklim dunia yang semakin
kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan
global lebih banyak mengganggu ekonomi berbanding dengan
kesihatan diri. Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh
lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua
penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka
yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca
panas sebagai malang.

Tetapi, bagaimanakah pula bagi mereka yang terselamat? Adakah


mereka bebas daripada sebarang ancaman kesihatan selepas
terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi? Percaya
atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta
orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung
ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang
mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada
jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat
penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan

800,000 lagi mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap


tahun.

Pemanasan global berpunca daripada pencemaran udara yang


meningkatkan jumlah gas-gas karbon yang turut dikenali sebagai gas
rumah hijau di dalam atmosfera bumi. Haba matahari yang pada
kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke
angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu
bumi semakin meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair
dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan
sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar.

Selain itu, suhu tinggi ini turut meninggalkan kesan pada aliran angin
yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan
serta hujan monsun yang lebih teruk teruk daripada biasa. Contoh
terbaik mangsa perubahan cuaca dunia dapat dilihat dalam gelombang
haba di Eropah yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak
tahun 2000. Gelombang kepanasan ini telah menyebabkan suhu
ketika musim panas dan musim sejuk di Eropah kini jauh lebih tinggi
daripada kebiasaannya.Perubahan sama turut dirasai oleh wilayah
beriklim tropika yang menghadapi musim monsun lebih teruk kini,
sementara negara seperti Amerika Syarikat dilanda ribut salji dan ribut
taufan lebih teruk seperti Taufan Katrina pada tahun 2005. Pada tahun
2006, sepuluh negara yang paling teruk dilanda bencana alam ialah
Filipina, Korea Selatan, Indonesia, Vietnam, Ethiopia, India, China,
Afghanistan, Amerika Syarikat dan Romania.

Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin teruk
jika terus diabaikan atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi
seterusnya yang akan menanggung kesan penuh kerakusan generasi
kini mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk kekayaan dan
kemajuan ekonomi. Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan
memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak dan warga
emas yang sering dilihat menjadi mangsa pertama kejadian
bencana.Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan

suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa dengan
iklim tropika bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'.

Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk


mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan
peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan
menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti
yang berlaku kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan
penyakit pneumonia atau radang paru-paru yang berpunca daripada
penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan
cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain. Sesetengah
kawasan turut berhadapan dengan masalah dehidrasi yang teruk
berikutan kemarau panjang yang berpunca daripada gelombang panas
dan peningkatan paras air laut yang mencemari sumber air tawar
dengan air masin dari laut.

Peningkatan suhu juga akan menggalakkan pembiakan vektor seperti


tikus, nyamuk,kutu dan pepijat. Penyebaran vektor seperti nyamuk
menyebabkan penyakit seperti malaria, denggi dan demam kuning
yang mula dicatatkan di Eropah dan kawasan yang dahulunya beriklim
sejuk. Hal ini terbukti apabila negara beriklim sejuk seperti Nepal dan
Bhutan mencatatkan kes malaria pertama di kawasan-kawasan tanah
tinggi dua negara tersebut. Sementara itu, tikus juga dilihat dapat
membiak dengan lebih mudah dalam cuaca panas dan lembab ini.
Haiwan ini mampu menyebarkan penyakit Leptopirosis dan
Legionellosis yang disebarkan melalui kuman yang ditinggalkan
bersama urin atau najis tikus.

Ketika banjir, tahap kebersihan amat sukar untuk dijaga terutama


kebersihan air. Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan
mendedahkan orang rami kepada air yang dicemari pelbagai jenis
kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar
digunakan segai air minuman, memasak, membasuh atau
membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , disentri dan pelbagai
penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim
banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan kes bawaan

nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung


yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat
strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat
bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang
mereput.

Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang
gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas
rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam
udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai
bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu
banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan
oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida
yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.

Tanggungjawab memulihara alam sekitar perlu dipikul oleh semua


penduduk dunia dan tidak sepatutnya dibiarkan kepada kerajaan atau
pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata pepatah 'yang
ringan sama dijinjing yang berat sama dipikul'. Rakyat turut
memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan
kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan kemajuan
sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan
dunia kerana 'sikap tamak membawa kerugian'. Walaupun hanya
dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka
dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak
mungkin individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal
pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan
dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.

FAKTOR JEREBU
Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini,
masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu

yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru
lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim
ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita.
Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah
menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia
terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor
dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks
Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500,
iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku
sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini,
sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tuatua , jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang .

Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah


pembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca
di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh
menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat
suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena
pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara
jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak
Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan,
sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan
secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia,
angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita.
Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks
Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu,
pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan
yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah
jerebu.

Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka


tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi.
Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin
menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat
negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan
rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah
sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran

sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan


membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada
pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada
masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami
padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan
penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran
ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin
dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran
terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.

Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan


tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di
Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya.
Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah
menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida
dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan
tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas
pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gasgas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan
sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang
terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan
jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang
dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di
atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke
angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan
berlakulah jerebu di negara kita.

Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri


yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara
banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut
keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap
pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan
ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak
sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat
penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang
mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur

dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi


berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha
kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga
menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak
terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan
keadaan jerebu di negara kita lagi.

Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang


memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang
disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu
yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti
manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini,
sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut
tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, sebelum
nasi menjadi bubur. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat
perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai
cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah
berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia
yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan
selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti
jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari
sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

You might also like