You are on page 1of 3

Bismillahhirrahmanirahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


salam sejahtera, salam keluarga Malaysia.

Terima kasih pengerusi majlis.

Yang Berusaha Puan Nurul’Ain binti Muhammad Zain,


Pengetua SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Klang,
Yang Berbahagia En Anuar B Sahudin, Yang Dipertua PIBG Bandar Baru Sultan Suleiman,
Yang Dihormati Puan Puziah binti Tuban,
Penolong Kanan Kurikulum dan Pentadbiran,
Pn Afishah binti Musa , Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Pn Roslinda bt Ahmad, Penolong Kanan Kokurikulum,
Barisan guru dan ibu bapa yang budiman
dan murid-murid yang dikasihi sekalian.

Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin-Nya kita dapat berkumpul secara
maya sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-19 tahun 2022
bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sultan Suleiman. Saya ingin merakamkan
ucapan terima kasih atas jemputan untuk hadir ke majlis ini dan seterusnya merasmikan
Mesyuarat Agung PIBG di sekolah ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Penasihat dan
Jawatankuasa PIBG kerana telah dapat merancang, mengelola dan seterusnya melaksanakan
mesyuarat ini. Sesungguhnya jauh di sudut hati , kita mengimpikan mesyuarat ini dilakukan
secara bersemuka. Namun, apakan daya pandemik Covid-19 menjadi kekangan bukan sahaja
kepada kita bahkan kepada masyarakat seluruh dunia. Kita perlu akur kepada Prosedur Operasi
Standard yang ditetapkan demi memastikan kita kembali ke dalam norma yang biasa,
InsyaAllah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, semua mesyuarat PIBG sekolah mesti diadakan pada setiap
tahun untuk memilih dan melantik AJK PIBG pada setiap kali Mesyuarat Agung diadakan. Di
samping itu, harus diingatkan bahawa perkara berkaitan dengan batasan kuasa Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) perlu dipatuhi pada setiap masa seperti mana yang tercatat dalam Surat
Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 5 Tahun 2001 yang dikeluarkan oleh pejabat Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia (KPPM), KPM. Perkara-perkara yang disentuh di dalam surat pekeliling itu
ialah PIBG sekolah bertujuan untuk mewujudkan pemuafakatan antara ibu bapa dan guru di
sekolah yang berkenaan. Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman
tentang tugas dan tanggungjawab bersama-sama dalam usaha untuk meningkatkan mutu
pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama
dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat (school home
community partnership).

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sesungguhnya majlis pada pagi ini amat bermakna, pihak sekolah dan ibu bapa dapat bertemu
dan berbincang dan mencari kata sepakat, demi kepentingan dan masa depan anak-anak masing-
masing. Permuafakatan seumpama inilah yang menjadi kunci kejayaan PIBG dan pihak sekolah.
Selain daripada memilih dan melantik Jawatankuasa PIBG yang baharu dan membincangkan
usul-usul daripada ibu bapa, diharapkan juga mesyuarat PIBG pada hari ini akan berbincang dan
mendapat persetujuan bersama dengan sebaik mungkin tanpa menimbulkan masalah kepada
pihak ibu bapa atau waris murid-murid. Harus di ingat juga, kecemerlangan anak-anak kita
sebenarnya bermula di rumah. Sebagai ibu bapa, kitalah yang akan menentukan sama ada anak-
anak kita terdidik dengan nilai-nilai murni dan mempunyai kekuatan dalaman untuk berhadapan
dengan segala gejala negatif di luar rumah. Jelaslah, tanggungjawab menentukan keperibadian
anak-anak sebenarnya adalah tanggungjawab ibu bapa. Amat tidak adil untuk melepaskan
tanggungjawab itu sewenang-wenangnya ke atas bahu guru dan pihak sekolah. Dalam konteks
ini, PIBG sekolah perlulah bersikap proaktif untuk menyumbang ke arah usaha tersebut selain
daripada membantu dalam kebajikan pelajar, guru dan juga pembangunan sekolah
Alhamdulillah, setakat ini kerjasama yang baik dan erat telah ditunjukkan oleh pihak sekolah dan
PIBG.

Dalam usaha menyaingi arus pembangunan, pendidikan berkualiti yang sepatutnya dinikmati
oleh murid-murid wajar diseimbangkan dari segi pencapaian akademik, kokurikulum dan
perkembangan sahsiah. Sebagai ibu bapa, kita perlu bertindak proaktif dalam mengawasi dan
mengambil tahu segala aktiviti yang diceburi oleh anak-anak kita. Kesibukan kerja kerap
dijadikan alasan dan kita bimbang jika situasi ini berterusan, dalam diam kita menyerahkan tugas
mendidik anak-anak kepada satu pihak sahaja. Sebagai ibu bapa, kadang-kadang kita pening
melayan perangai tiga atau empat orang anak. Bayangkan tahap kesabaran seorang guru
menangani 35 hingga 40 orang pelajar dalam satu kelas. Satu penghormatan harus diberikan
kepada para pendidik yang begitu komited dalam melaksanakan amanah dan tugas mereka. Saya
berharap jalinan kepercayaan dan kerjasama antara guru dan ibu bapa dapat dibentuk melalui
aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti pada hari ini. Terima kasih juga kepada semua ibu bapa
yang begitu mengambil berat dan menjunjung tugas mendidik ini bersama-sama. Kata pujangga,
“di rumah ada ibu, ada bapa, di sekolah ada guru turut menjaga”.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Pembiayaan persekolahan anak-anak memerlukan kos yang banyak dan semakin meningkat
setiap tahun. Kegawatan ekonomi global akibat kesan pandemik turut memberikan kesan
menyebabkan ibu bapa menghadapi kesukaran dalam memenuhi permintaan anak-anak
termasuklah hal-hal yang melibatkan belanja persekolahan. Kata orang, keadaan sekarang ini
ibarat memakai selimut pendek, ditarik ke bawah nampak kepala, ditarik ke atas nampak kaki.
Begitupun saya berharap ibu bapa tetap memberi sokongan penuh kepada pihak sekolah dan
berganding bahu membantu melancarkan program-program yang direncanakan oleh pihak
sekolah. Sesungguhnya, kejayaan memerlukan pengorbanan dan keprihatinan. Disinilah peranan
PIBG tampil bersama-sama tenaga pengajar SMK Bandar Baru Sultan Suleiman dalam usaha
membentuk modal insan yang cemerlang serta mencapai matlamat pendidikan berkualiti untuk
semua murid. Tanpa kerjasama semua pihak, mustahil untuk kita mencapai kejayaan.

Para hadirin sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan
terima kasih atas jemputan ke majlis pada hari ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan
tahniah kepada Jawatankuasa PIBG yang bakal dipilih dan dilantik sebentar nanti. Harapan saya
supaya Mesyuarat Agung PIBG SMK Bandar Baru Sutan Suleiman kali ke-19, ini akan berjalan
lancar dan teratur. Dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan
Bandar Baru Sultan Suleiman kali ke-19.

Sekian, terima kasih

You might also like