You are on page 1of 6

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN DAN DORNGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK

Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak. Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anakanak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya,kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak. Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah

terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran. Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anakanak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik. Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebingdan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.

Kepentingan Mempelajari Sejarah Oleh AZMI AHMAD Sejarah sangat penting dalam kehidupan manusia dengan menjadi panduan dan iktibar kepada kita untuk memperbaikki kesilapan masa lalu bagi membolehkan kita mencipta kejayaan yang lebih gemilang. Tanpa belajar daripada kesalahan dan kesilapan masa lalu, kita mungkin mengulangi kesilapan lampau yang bukan sahaja merugikan seseorang individu tetapi mungkin juga kepada keluarga, masyarakat dan negara mahupun bangsa. Melalui sejarah, kita dapat mempelajari kejayaan bangsa dan negara seperti zaman keemasan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 yang boleh dijadikan perangsang untuk memacu kemajuan negara. Tidak dapat dinafikan, pembentukan negara Malaysia pada hari ini bertitiktolak daripada kewujudan Kerajaan Melayu Melaka yang telah diasaskan oleh Parameswara. Sejarah juga membolehkan kita mengingati kegemilangan masa silam yang mana jika ada kesedaran, kegigihan dan kesungguhan di kalangan pemimpin dan rakyat, keagungan tersebut mampu diulangi malah mungkin lebih cemerlang. Malaysia kini mengecapi pelbagai kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan menjadi antara negara membangun yang paling maju di dunia. Dengan kegigihan pemimpin dan rakyatnya, tidak mustahil Malaysia mampu mengecapi kegemilangan dan mengulangi semula zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Di samping itu sejarah juga dapat memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan negara. Perasaan ini timbul apabila kita mempelajari sejarah tanahair dan dengan itu akan lahirlah rasa bangga terhadap negara dan bangsa. Tanpa semangat ini, maruah negara kita boleh tercalar apabila lahirnya warganegara yang sanggup mengadai dan menjual maruah negara seperti terlibat dengan kegiatan menyeludup masuk warga asing. Semangat patriotisme timbul apabila kita mengetahui dan memahami siapa diri, bangsa dan negara kita, serta mempunyai pengetahuan teguh tentang sejarah negara kita. Namun begitu, ramai generasi muda hari ini hanya mempelajari sejarah semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan sama ada di peringkat sekolah mahu pun di universiti. Malangnya mereka gagal untuk memahami kepentingan mata pelajaran sejarah dan terhasil rakyat Malaysia yang buta sejarah negara sendiri. Sejarah juga membantu kita menghargai dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan negara. Proses mendapatkan kemerdekaan telah pun selesai pada1957 tetapi pengisiannya bukanlah perkara yang mudah. Lebih sukar di negara majmuk seperti Malaysia. Jika generasi muda hari ini tidak memahami sejarah pembentukan negara, apa yang telah bina akan runtuh dan musnah. Meruntuhkan sesuatu amat mudah tetapi untuk membina atau membentuk sesuatu itu yang sukar. Negara merdeka Tanah Melayu dibentuk hasil tolak ansur orang-orang Melayu untuk menerima golongan imigran Cina dan India. Pemahaman terhadap kontrak sosial ini amat penting untuk memacu Malaysia sebagai negara maju. Kegagalan memahami kontrak

sosial ini mampu mendatangkan impak negatif kepada negara. Namun begitu dengan memiliki pengetahuan sejarah, rakyat Malaysia dapat memahami situasi ini dan akan menjadi bangsa yang bersyukur seterusnya bersama-sama mengembling tenaga untuk membangun dan mengukuhkan negara. Jelas kepada kita betapa pentingnya pengetahuan sejarah kepada rakyat Malaysia. Tanpa pengetahuan sejarah terutamanya mengenai pembentukan negara kita yang bermula dengan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, akan lahirlah warganegara tanpa jati diri. Mereka ini tidak menghargai apa yang telah dimiliki pada hari ini dan lahirlah warganegara yang tidak bersyukur, lupa asal- usul, adat resam dan budaya. Tidak hairanlah jika akan lahir rakyat Malaysia yang tamak haloba dalam mencapai matlamat hidup tanpa mempedulikan halalharam dari aspek undang-undang dan memcampakkan kontrak sosial negara ketepi demi mencapai cita-cita mereka. Hargailah apa yang telah kita kecapi hari ini. Presiden Amerika Syarikat ke-44, Barack Hussin Obama dalam ucapan sulung sebagai presiden mengungkapkan: Sejarah akan menilai kita dengan apa yang kita bina dan bukan dengan apa yang kita runtuhkan.

Semangat Kejiranan Marcapada ini, rata-rata kehidupan masyarakat khususnya di kota-kota metropolitan lebih bersifat nafsi ataupun individualistic. Semangat kejiranan dan altruism dalam kalangan warga Malaysia mulai sirna. Paradigma ini sering menjadi polemik utama dan meniti di bibir ke bibir rakyat. Siapakah yang harus dipersalahkan? Nescaya, sebelum nasi sudah menjadi bubur, langkah-langkah pragmatic perlu diambil bagi menyuburkan semangat kejiranan dalam institusi masyarakat Malaysia kembali. Pertama, pihak kerajaan boleh menjalankan kempen-kempen bersesuaian di peringkat kebangsaan. Modus operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menanam sifat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Tamsilannya, proklamasi Perdana MenteriMalaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia sangat menekankan semangat perpaduan antara semua kaum di Malaysia. Sinergi dan usahasama sebeginilah yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Bak kata pepatah, ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. Justeru, kempen-kempen anjuran kerajaan ini amat vital bagi menyemai semangat kejiranan. Selain itu, pihak kerajaan juga boleh melaksanakan program-program yang melibatkan semua kaum di setiap peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Hal ini demikian kerana punca utama kelunturan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat bertitik tolak daripada kurangnya semangat perpaduan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti Rumah Terbuka Kebangsaan bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain, ibarat kata pepatah, serumpun bagai serai, seikat bagai sirih, sedencing bagai besi. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia, menunjukkan keberhasilan penganjuran program Rumah Terbuka Kebangsaan dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar negara. Jelaslah, usaha kerajaan ini amat sesuai bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan warga Malaysia. Di samping itu, pihak media turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat kejiranan. Sarwajagat mengetahui, media merangkumi media cetak dan media elektronik. Sehubungan dengan itu, pelbagai kaedah boleh diusahakan bagi menyuburkan semangat kejiranan. Media cetak misalnya boleh memaparkan artikel-artikel mengenai kepentingan

semangat kejiranan manakala media elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan yang menarik dan menekankan peri pentingnya semangat kejiranan. Usaha Majalah 3 yang menyiarkan Colours of Malaysian, sebuah dokumentari mengenai semangat kejiranan dan perpaduan di Malaysia wajar disokong. Justeru, semangat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan melalui media massa. Seterusnya, persatuan-persatuan penduduk juga perlu peka akan masalah ini. Bagi memupuk semangat kejiranan semula, persatuan ini seperti Rukun Tetangga perlu berbincang dan bersepakat melaksanakan program bersesuaian demi kemaslahatan penduduk. Sebagai contoh, kegiatan rewang dan Hari Keluarga dapat dianjurkan bagi merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk. Sepakat membawa berkat, begitulah kata-kata filsuf silam. Malahan, menurut laporan majalah The Times di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia. Pengiktirafan sebegini menunjukkan bahawa perpaduan yang dijana melalui aktiviti kemasyarakatan sememangnya merupakan jalan yang terbaik bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Akhir sekali, masyarakat sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk berubah. Dalam mencipta satu resipi makanan misalnya, kita memerlukan bahan yang benar-benar berkualiti bagi hasil yang memberangsangkan. Begitu juga dengan semangat kejiranan yang ingin dibentuk. Kita memerlukan unit masyarakat yang syumul dan mahukan perubahan. Nescaya, kerjasama dan sinergi yang ampuh antara ahli masyarakat amat diperlukan bagi memanifestasikan sebuah komuniti yang bersatu. Janganlah menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Malah, hasil kajian Jabatan Perpaduan Malaysia menunjukkan sikap mementingkan diri merupakan factor utama kelunturan semangat kejiranan. Lantaran itulah, sesebuah organisasi masyarakat itu perlu bersedia melakukan anjakan paradigma demi kebaikan bersama. Secara tuntasnya, segala usaha untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat. Namun, ingatlah, tiada gunung yang tidak dapat didaki, tiada lurah yang tidak dapat dituruni. Justeru, demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, semua pihak perlu berganding bahu ke arah itu. Kenanglah kembali perjuangan tokohtokoh patriot negara. Jika mereka boleh lakukan, kenapa kita tidak? Tepuk dada, tanyalah minda

You might also like