You are on page 1of 4

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMUPUK PERPADUAN RAKYAT

Perpaduan rakyat didefinisikan sebagai rakyat berganding bahu untuk melakukan


sesuatu kerja dan sentiasa menyelesaikan masalah secara musyawarah. Perpaduan dalam
kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu dipupuk dari semasa ke semasa. Usaha
ini perlu dilakukan untuk memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara. Persoalannya,
apakah langkah-langkah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan perpaduan rakyat dapat
dikekalkan?
Langkah perdana untuk memupuk perpaduan rakyat ialah ibu bapa hendaklah
menjadi suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa merupakan orang yang terdekat dengan
anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah bertegur sapa dengan jiran tetangga tanpa
mengira bangsa, jantina dan agama. Selain itu, ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-
anak supaya berkawan dengan anak-anak daripada kaum yang lain. Oleh sebab itu, ibu bapa
mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan menunjukkan contoh iaitu mereka
juga perlu bergaul dengan rakan-rakan yang berbilang kaum supaya tidak dianggap bagai
ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul. Melalui cara ini, anak-anak akan terikut-
ikut dan mengikut jejak langkah ibu bapanya untuk menjalin persahabatan dengan kaum
lain kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Selain itu, aktiviti kemasyarakatan juga dapat mengukuhkan perpaduan kaum di
negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat memupuk
semangat bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk membersihkan dan mengindahkan
kawasan persekitaran tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan
kawasan kediaman masyarakat dan masyarakat juga berpeluang untuk berkomunikasi
antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di
negara kita. Rumah terbuka dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam
dan budaya kaum lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat diwujudkan
dan hubungan erat bagai isi dengan kuku dapat terjalin. Pendek kata, aktiviti
kemasyarakatan merupakan usaha yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum.
Dalam pada itu, pihak sekolah juga memainkan peranan penting dalam memupuk
semangat perpaduan dalam kalangan murid sekolah. Guru-guru yang mengajar mata
pelajaran Pendidikan Moral di sekolah haruslah mendidik pelajar tentang cara-cara
memupuk perpaduan kaum dan kepentingannya supaya pelajar-pelajar dapat
mengamalkannya. Misalnya, guru-guru subjek Pendidikan Moral boleh mengadakan aktiviti
kumpulan dan membahagikan pelajar ke dalam kumpulan yang terdiri daripada pelajar
berbilang kaum untuk menghasilkan poster perpaduan kaum atau mengadakan
pertandingan menulis esei yang bertemakan kepentingan perpaduan kaum. Dengan ini,
pelajar dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan rakan-rakan yang berbilang kaum.
Jelaslah bahawa guru-guru subjek Pendidikan Moral haruslah mendidik pelajar tentang
perpaduan kaum di sekolah.
Seterusnya, pihak kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam
mengukuhkan semangat perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Pihak kerajaan
haruslah membuat rakaman video atau poster dan memuatnaikkan rakaman video tersebut
menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Hal ini demikian kerana
laman sosial pada masa ini bukan sahaja banyak digunakan oleh generasi muda malahan
juga generasi tua. Pihak kerajaan juga hendaklah mengadakan kempen kesedaran tentang
kepentingan perpaduan kaum untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.
Sesungguhnya, pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan
kaum.
Konklusinya, dapatlah disimpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah
negara bergantung pada perpaduan kaum seluruh rakyatnya. Semua pihak haruslah
mengorak langkah menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara
yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat itu sendiri merupakan aset negara yang paling
bernilai dalam pembinaan negara yang berbilang kaum demi visi ke arah Wawasan
Kemakmuran Bersama 2030.
Kebaikan Membaca
Amalan membaca ialah sikap suka menelaah bahan bacaan dalam aktiviti harian
seseorang murid. Antara bahan bacaan itu meliputi novel, majalah, surat khabar dan
sebagainya. Sebenarnya, amalan membaca banyak membawa kebaikan kepada murid-
murid.
Kebaikan yang paling dominan ialah membaca dapat meluaskan ilmu pengetahuan
kita. Hal ini dikatakan demikian kerana membaca merupakan jambatan ilmu. Banyak ilmu
yang dapat kita peroleh dengan membaca buku, surat khabar, atau novel. Kita juga dapat
mengetahui perkara-perkara baharu dalam pelbagai bidang ilmu seperti sains, matematik,
sejarah, dan sastera.
Selain itu, kebaikan membaca ialah kita dapat mengetahui tentang isu semasa yang
berlaku di seluruh dunia. Misalnya masalah kegawatan ekonomi, pencemaran alam sekitar,
pergolakan politik, serangan pengganas, sukan, dan sebagainya. Dengan demikian, kita
akan lebih peka terhadap perkembangan semasa dan tidak lagi menjadi seperti katak di
bawah tempurung.
Satu lagi kebaikan membaca ialah kita dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti
yang berfaedah. Masa tidak lagi terbuang begitu sahaja kerana amalan ini biasanya
memerlukan tumpuan yang lama seperti berjam-jam untuk menghabiskan sebuah buku
pelajaran yang tebal. Oleh itu, kita tidak akan terjebak dalam gejala sosial yang negatif
seperti , melepak, merokok, menagih dadah dan sebagainya yang akan mencemarkan nama
baik ibu bapa kita.
Seterusnya, amalan membaca juga dapat meningkatkan pencapaian bahasa
dalam kalangan murid. Dengan membaca pelbagai bahan bacaan berbahasa Melayu dan
Inggeris, murid-murid dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik. Dengan ini,
penggunaan kosa kata dalam penulisan karangan akan menjadi meluas dan dapat
membantu mereka meningkatkan kemahiran menulis yang baik. Jelaslah bahawa murid
yang kerap membaca akan memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Ibu bapa
pasti akan berasa bangga dengan kejayaan anak mereka.
Konklusinya, amalan membaca perlulah dipupuk sejak kecil lagi seperti melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam
menyemai minat membaca dalam sanubari anak mereka dengan memberikan galakan atau
membeli bahan bacaan yang berkualiti kepada anak mereka sebagai hadiah.
Remaja pada masa sekarang mudah terpengaruh oleh budaya negatif.
Huraikan sebab-sebab berlakunya perkara tersebut.

Remaja merujuk golongan yang berumur belasan tahun dan belum bekerja atau
masih bersekolah. Antara budaya negatif yang sering menghantui remaja kita meliputi
penagihan dadah, jenayah, dan menyertai kumpulan samseng. Sebenarnya, ada pelbagai
faktor yang mengakibatkan remaja kita mudah terpengaruh oleh budaya negatif seperti itu.
Faktor kurangnya pegangan agama menjadi teras menularnya masalah ini terutama
dalam kalangan remaja di kawasan bandar. Ketiadaan kefahaman agama yang kukuh telah
menyebabkan remaja kita begitu mudah untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak baik
itu. Maka, tanpa pegangan agama yang kukuh, kehidupan remaja kita menjadi begitu
mudah untuk terjebak dalam aktiviti budaya songsang ini.
Selain itu, remaja kita melihat budaya luar terutama dari Barat itu sebagai sesuatu
yang moden dan mengikut peredaran zaman. Mereka begitu taksub untuk meniru budaya
kuning itu kerana menyedari itulah norma yang harus dicontohi oleh mereka tanpa
membezakan sama ada ikutan itu betul atau salah. Jadi, persepsi mengenai budaya luar itu
sebagai budaya yang mulia telah menjerumuskan remaja kita ke lembah yang hina itu.
Malah, ibu bapa zaman globalisasi ini begitu sibuk dengan urusan pejabat lalu
melupakan tugas mendidik anak mereka itu. Ketiadaan perhatian dan didikan ibu bapa telah
menyebabkan anak remaja kita mudah terpesong daripada budaya tempatan yang penuh
kesopanan tersebut. Jelaslah, ibu bapa yang terlalu mementingkan kerjaya akan
menghancurkan masa depan remaja itu.
Dalam pada itu, penularan budaya negatif dalam kalangan remaja juga disebabkan
oleh pengaruh rakan sebaya. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja lebih banyak
menghabiskan masa dengan rakan sebaya berbanding dengan ibu bapa dan pihak sekolah.
Oleh itu, remaja lebih mempercayai kata-kata dan mengikut kelakuan rakan sebaya yang
sengaja membawa remaja itu ke arah kemudaratan semata-mata.
Kesimpulannya, semua pihak terutamanya ibu bapa haruslah menyedari masalah ini
lantas segera mengambil tindakan untuk mencegahnya. Bak kata pepatah, pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara telah membuktikan betapa pentingnya golongan remaja dalam
pembangunan negara kita.

You might also like