You are on page 1of 18

KEPENTINGAN TMK

 Dalam meniti arus kemodenan, teknologi maklumat dan komunikasi amat mustahak dalam kalangan
masyarakat kini. Terdapat banyak kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi, daripada
telefon yang besar kepada telefon bimbit yang amat nipis dan banyak kegunaan , daripada mencari
maklumat di perpustakaan kepada mendapatkan maklumat daripada Internet. Maklumat kini
semuanya berada di hujung jari sahaja . Sehubungan dengan itu, jelaslah bahawa terdapat banyak
kepentingan teknologi maklumat kepada manusia.

     Salah satu daripadanya ialah kecanggihan teknologi maklumat pada marcapada ini mampu
mempercepat kerja kita.Hal ini terbukti apabila majoriti populasi masyarakat di Malaysia kini
mencari bahan atau sumber maklumat mereka hanya daripada Internet.Mereka tidak mencari bahan
yang mereka perlukan di perpustakaan kerana di situ mereka perlu bersusah payah mencari buku-
buku yang mengandungi maklumat yang mereka inginkan di atas rak yang disusuni dengan ribuan
buku. Masalah ini akan banyak memakan masa mereka. Sebaliknya, masyarakat modenisasi kini
hanya duduk di rumah, di hadapan komputer mereka dan menekan satu klik sahaja demi
mendapatkan maklumat yang diperlukan oleh mereka. Kecanggihan teknologi maklumat ini jelas
sekali dapat menjimatkan masa di samping dapat mempercepat sesuatu kerja yang dilakukan oleh
mereka.

     Kemaslahatan seterusnya, teknologi maklumat dan komunikasi pada alaf ini dapat membuatkan
kita berhubung dan berkomunikasi dengan orang yang berada jauh daripada kita. Misalnya, seorang
anak yang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti yang jauh daripada tempat tinggal mereka
boleh melepaskan kerinduan terhadap ibu bapa mereka dengan hanya menelefon mereka. Bagi
mereka yang melanjutkan pelajaran di luar negara pula, mungkin caj panggilan telefon amat mahal
tetapi mereka boleh mengatasi masalah itu. Caranya adalah dengan menggunakan kemudahan
laman sosial yang semakin banyak muncul belakangan ini bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Laman sosial dapat membuatkan mereka berinteraksi dengan kadar yang rendah. Jika rindu untuk
berbual-bual sambil menatap muka mereka, pelajar itu sendiri boleh menggunakan aplikasi
panggilan video. Aplikasi ini boleh didapati dalam laman sosial seperti ‘Skype’. Dengan adanya
kemudahan ini, hubungan kekeluargaan tidak akan putus bagai aur dengan tebing walaupun tinggal
berjauhan.

     Dalam konteks ini, para murid dapat menggunakan Internet untuk membantu pembelajaran
mereka juga antara kepentingan teknologi maklumat kepada manusia. Senario ini dapat dilihat
apabila sudah ada banyak laman ‘blog’ yang berkaitan dengan sesuatu subjek mengikut sukatan
pembelajaran di sekolah yang memenuhi Internet. Dalam ‘blog’ tersebut, terdapat banyak cara
menjawab soalan peperiksaan dan tips yang diberikan untuk menghafal sesuatu sukatan
pembelajaran. Kebiasaannya, tips-tips ini diberikan sendiri oleh guru-guru  cemerlang yang ada di
seantero Malaysia. Rentetan itu, hal ini akan sedikit sebanyak membantu para murid dalam
meningkatkan lagi kefahaman mereka terhadap sesuatu subjek yang mereka lemah. Hal ini juga akan
dapat membuatkan seseorang murid itu dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik lantas
membolehkan mereka mendapat keputusan yang cemerelang.

     Konklusinya, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi memainkan peranan yang amat
mustahak kepada manusia pada hari ini. Teknologi ini akan terus ditambahbaikkan dari semasa ke
semasa supaya kerja harian manusia akan menjadi lebih mudah. Oleh itu, kita tidak boleh
ketinggalan dalam kemajuan teknologi maklumat. Kita hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan
semasa agar negara dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain.
SEMANGAT KEJIRANAN

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di
belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama,
mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan
menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti.
Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".Jadi, kita perlulah
mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu
perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-
royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan
dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu
dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka
dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan
bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-
royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan
sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan
perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan
dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan
bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini,
semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati
juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri,
Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah
dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat
untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi bagai isi dengan kuku.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga
jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke
dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan
akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini
hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang
sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk
yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang
lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang
mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan
dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan
Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan
Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk
mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa
Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling
membantu dalam kehidupan.

Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat


sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup
bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui
masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke
hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap
sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata
memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada
prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat
kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh
jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan
yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain
semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan
seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu
kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan
akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk
memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan
sejahtera.
KEPENTINGAN ILMU PENGETAHUAN

Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China merupakan ungkapan yang amat sinonim dengan
kepentingan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan merupakan sesuatu maklumat yang diperoleh
melalui pelbagai sumber. Antara sumber untuk memperoleh pelbagai jenis ilmu pengetahuan adalah
daripada media cetak dan media elektronik. Ilmu pengetahuan mempunyai pelbagai kepentingan
kepada semua anggota masyarakat.

Antara kepentingan memiliki ilmu pengetahuan ialah seseorang boleh meluaskan kosa kata. Hal ini
demikian kerana kosa kata seseorang boleh bertambah jika mereka banyak membaca. Bahan
bacaan yang boleh membantu untuk meluaskan kosa kata ialah seperti majalah, akhbar,novel,dan
cerpen. Jelaslah bahawa penguasaan kosa kata yang luas merupakan kepentingan ilmu yang harus
dimanfaatkan oleh seseorang.

Selain itu, kepentingan ilmu pengetahuan juga boleh menjamin masa hadapan yang cemerlang. Jika
seseorang berusaha bersungguh-sungguh, mereka akan memperoleh ilmu yang dipelajari kerana
usaha tangga kejayaan . Sebagai contoh, mereka boleh menimba ilmu pengetahuan daripada guru
yang mengajar mata pelajaran sejarah di sekolah. Menerusi mata pelajaran ini mereka dapat
mengetahui sejarah kejayaan seseorang tokoh. Secara tidak langsung mereka akan menjadikan
tokoh tersebut sebagai idola dalam usaha mencapai cita-cita.

Kepentingan ilmu pengetahuan lain yang boleh dimanfaatkan ialah seseorang dapat mengetahui ilmu
dalam pelbagai bidang yang dipelajari. Hal ini demikian kerana mereka boleh mendapat ilmu dalam
pelbagai bidang melalui mata pelajaran yang dipelajari di sekolah seperti sains, matematik,
perdagangan, ekonomi dan sastera. Ilmu yang diperoleh boleh diamalkan dalam kehidupan seharian
mereka. Sudah terang lagi bersuluh seseorang akan berjaya jika mereka boleh menguasai ilmu
pelbagai bidang yang dipelajari.

Seterusnya, seseorang juga mampu menyelesaikan masalah jika mereka memiliki ilmu pengetahuan
yang berguna. Dalam menjalani kehidupan seharian kita akan mengalami pelbagai masalah. Cara
yang paling baik untuk mengatasi masalah dengan berkesan,mereka harus memiliki ilmu
pengetahuan kerana ilmu pelita hidup. Contohnya, jika seseorang pelajar mempunyai ilmu agama
yang tinggi, mereka akan dapat menyelesaikan masalah tanpa tindakan yang terburu-buru. Oleh itu
kemahiran menyelesaikan masalah dengan berkesan boleh dikuasai jika kita mempunyai ilmu
pengetahuan.

Dengan memiliki ilmu pengetahuan, kita juga boleh menjadi insan yang memiliki sahsiah terpuji. Hal
ini demikian kerana kita akan mendapat panduan yang baik melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki.
Sebagai contoh, seseorang yang berilmu akan dapat memanfaatkan nilai-nilai murni yang dipelajari
dalam kehidupan seharian. Antara nilai murni yang boleh diamalkan ialah saling menghormati,
bertanggungjawab, bertimbang rasa dan menghargai. Sesungguhnya, kita akan menjadi insan yang
berakhlak mulia jika kita berilmu pengetahuan.

Kesimpulannya, setiap anggota masyarakat perlu menuntut ilmu pengetahuan bagi memastikan
modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan. Hasrat ini perlu direalisasikan
agar rakyat dapat menyumbang ke arah kemajuan negara menjelang tahun 2020.
LANGKAH MEMBANTU OKU

Orang Kurang Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat  keadaan fizikal atau
mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan fizikal dan  mental ini
menghalang mereka  dari melakukan aktiviti-aktiviti normal  seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan pekerjaan.
Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu
kurang upaya secara kekal dan kurang upaya secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada , 
masyarakat kurang upaya ini tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada
negara. Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU  meneruskan kehidupan dengan
sempurna.

Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran golongan kurang
upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini kerana 
masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah
mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang lain. Golongan Kurang Upaya (OKU) haruslah diberi layanan
yang baik kerana mereka turut mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang
rendah dan dianggap tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam keadaan-
keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam
dan sebagainya.  Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai
murni seperti kasih sayang, simpati,belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU
dengan seikhlas hati.

Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak juga berperanan penting
dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan
khas tentang OKU kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali
memaparkah kisah sedih dan pilu OKU  untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini , perasaan
masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan terpanggil untuk
menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat
menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat
simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.

Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu  OKU dengan memberi peluang kepada mereka
untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang . Golongan Kurang Upaya (OKU) diberi
peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok
dan kraf tangan di Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan
lain-lain institusi. Di sini ,OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka dapat berdikari dan
boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga sendiri . Setelah   mantap dalam bidang pekerjaan, mereka
akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan tidak lagi
menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan keluarga.

Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan
elaun dalam bentuk wang ringgit ,  makanan dan minuman, pakaian , tempat tinggal, peralatan
pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan
Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah
dapat mengembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di  dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan
oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan.  Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini
adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah berusaha 
memberi bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan daripada
persatuan masing-masing.  Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan
golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.

Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat
yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar
bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka.
Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang
setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kaota
pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang
baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan
meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada
masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.           
Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat
mereka. Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran
yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai
operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh
pekerja yang normal sahaja.Selain itu, usaha murni Pasaraya Besar Carrefour yang telah mensasarkan 5 peratus
daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada OKU dan
membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.          

           Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan
memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak
terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya
kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan
negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh
masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.
LANGKAH MENANGANI KENAIKAN HARGA BARANG

Mutakhir ini, kita sering dikejutkan dengan isu kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan


makanan di pasaran. Isu-isu tersebut seakan-akan tidak pernah engsot dari bibir masyarakat, bak
kata pepatah,tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Selari dengan kegawatan
ekonomi, masalah kenaikanharga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran bukan
sahaja merunsingkan masyarakat malahan membebankan rakyat jelata. Bayangkan betapa susahnya
kehidupan rakyat apabila dihimpit dua masalahserentak. Walau bagaimanapun, pelbagai mekanisme
dapat diaplikasikan untuk menangani permasalahan ini. Persoalannya, bagaimanakah cara
terbaik menangani masalah yang menjadi duri dalam daging kepada masyarakat kita hari ini?
Pada hemat saya, kerajaan memainkan peranan yang signifikan dalam
usaha menangani masalahkenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran.
Langkah pemantauan harga barangandan penetapan harga siling harus dilaksanakan
secara istiqamah dan berkesan. Tindakan ini bertujuan untuk memastikan tiada peniaga yang akan
menaikkan harga barangan sesuka hati dan yang paling penting adalah dengan
menetapkan harga barangan pada kadar yang ditentukan oleh pihak kementerian berkenaan
seperti harga gula RM2.20 sekilogram. Tidak terkecuali, kerajaan juga harus menguatkuasakan
undang-undang tertentu atau memperketat undang-undang yang sedia ada. Kita sememangnya
difahamkan bahawa undang-undang yang luwestidak dapat mengubah keadaan. Sebaliknya dengan
penguatkuasaan undang-undang yang ketat, seperti hukuman penjara, denda yang setimpal atau
lesen perniagaan ditarik balik, barulah peniaga-peniaga akan sentiasa berwaspada dan berasa serik
untuk menaikkan harga barangan atau menyorokkan bekalan makanan sesuka hati. Dalam konteks
yang sama, kerajaan juga harus memperkasa peranan Tribunal Tuntutan Pengguna serta melindungi
hak pengguna dari semasa ke semasa, tanpa mengira apa-apa cara sekalipun. Tindakan pantas
terhadap laporankenaikan harga barangan sesuka hati atau kekurangan bekalan makanan di pasaran
haruslah diambil supaya kebajikan dan hak rakyat sebagai pengguna dipelihara. Bukan itu sahaja,
kerajaan juga bertanggungjawab menggiatkan aktiviti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta aktiviti
pertanian. Hal ini bertujuan memastikan rakyat mendapat bekalan makanan yang
berterusan.  Sementelahan itu, kerjaaan perlu meningkatkan import makanan sekiranya masih
berlakunya kekurangan seperti bekalan gula dan beras. Untuk menjayakan usaha ini, Taman Kekal
Pengeluaran Makanan boleh diwujudkan dan kerajaan juga wajib meningkatkan teknologi pertanian
seperti penggunaan mesin, pengusahaan tanah pertanian pada skala besar, menggiatkan tanaman
aeroponik, hidroponik atau organik bagi mempercepat dan memperbanyak hasil pertanian yang
menyumbang kepada kelangsungan bekalan makanan. Jelasnya, peranan kerajaan amat penting
dalam menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran.
Selain itu, tidak dinafikan bahawa media massa juga memainkan peranan yang dominan
dalammenangani masalah ini. Berperanan sebagai saluran informasi terkini, media massa haruslah
mendedahkan isukenaikan harga barangan serta masalah kekurangan bekalan makanan di pasaran
kepada masyarakat. Informasi atau berita tersebut boleh disampaikan menerusi kaca televisyen,
iklan, surat khabar, majalah mahupun internet dan sebagainya. Dengan itu, masyarakat akan
membuat persediaan awal dalam menghadapi kemelut tersebut. Senarai barangan kawalan juga
harus didedahkan kepada masyarakat untuk pengetahuan pengguna, terutamanya semasa hari
perayaan. Misalnya, barang-barang yang disenaraikan sebagai barang kawalan adalah seperti daging
ayam, gula, telur ayam, tepung dan sebagainya. Implikasinya, masyarakat akan menjadi lebih
berpengetahuan dan mampu menjadi pengguna yang bijak serta tidak mudah diperdaya oleh
peniaga. Sekiranya berlaku perubahan atau pindaan dalam senarai barang kawalan, maka maklumat
tersebut perlu diumumkan supaya hak pengguna tidak tergugat. Kempen-kempen yang efektif juga
tidak boleh dikesampingkan misalnya, media massa boleh menggiatkan serta menggerakkan kempen
berjimat cermat, kempen pertanian sebagai perniagaan dan sebagainya. Hal ini akan dapat melatih
masyarakat agar sentiasa bersedia dan tidak panik ketikamasalah kenaikan harga barangan dan
kekurangan bekalan makanan di pasaran berlaku. Kempen pertanian sebagai perniagaan juga akan
dapat merangsangkan minat golongan muda untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian atau
menerimanya sebagai kerjaya. Hal ini demikian kerana dengan bertani, kita juga boleh mengaut
keuntungan jika dilakukan secara gigih dan merupakan salah satu profesion yang dapat menjamin
peningkatan ekonomi. Sekiranya sektor pertanian digiatkan, nescaya bekalan makanan di pasaran
akan meningkat. Izharnya, kita sedia maklum betapa pentingnya peranan media massa
dalam menangani masalah-masalah ini.
Sementelahan itu, peranan individu dan masyarakat juga tidak boleh diabaikan. Peranan dan
kerjasama mereka amat signifikan untuk menangani masalah-masalah ini. Mereka harus faham akan
kebaikan amalan bijak berbelanja dan mengamalkan budaya berjimat cermat dalam kehidupan.
Segala perbelanjaan yang tidak diperlukan haruslah dikurangkan bagi mengelakkan pemborosan dan
pembaziran. Apabila melakukan pembelian atau semasa membeli-belah, masyarakat haruslah
menyenaraikan barang yang hendak dibeli dan tidak membelibarangan secara berlebihan. Tindakan
bijak ini membolehkan pengguna membeli barangan yang diperlukan sahaja dan dapat mengelakkan
perbelanjaan boros, bak kata pepatah, sambil berdiang, nasi masak. Tambahan pula, masyarakat
juga harus mengetahui hak-hak sebagai pengguna. Mereka harus memastikan barangan yang dibeli
berkualiti dengan harga yang berpatutan supaya tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga. Kalau
mendapati peniaga yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang, maka kita sebagai mata dan
telinga pihak kerajaan harus segera melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa supaya tindakan
tegas seperti penggantungan lesen, penyitaan premis perniagaan mahupun hukuman penjara boleh
dijatuhkan jika didapati bersalah. Sebagai pengguna, kita berhak menggunakan kuasa untuk
memboikot barangan, peniaga mahupun kedai yang berkaitan apabila berlaku ketidakadilan ekoran
perbuatan tidak bertanggungjawab peniaga. Masyarakat juga dinasihati supaya mengelak pembelian
panik kerana tindakan sebegini hanya akan menyebabkan stok barangan seperti minyak masak atau
gula berkurangan di pasaran. Keadaan inilah biasanya diambil kesempatan oleh peniaga untuk
menaikkan harga barangan, bak kata pepatah, menangguk di air keruh. Oleh itu, sebagai tulang
belakang negara, kita juga digalakkan melibatkan diri dalam sektor pertanian. Kita seharusnya
percaya bahawa segala keringat dalam menjana hasil pertanian adalah penting untuk membanteras
kekurangan bekalan makanan di pasaran.
            Tidak kurang pula, peranan peniaga-peniaga dalam mematuhi peraturan dan undang-
undang. Segala urusan perniagaan haruslah dijalankan mengikut piawaian perniagaan dan bukan
secara sesuka hati. Paling penting peniaga-peniaga juga tidak harus mengabaikan kepentingan orang
lain. Misalnya, bersikap individualistik dan hanya mementingkan keuntungan bagai enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila telah tersemai nilai-nilai murni dalam diri dan
mengamalkan etika perniagaan yang jujur dan adil, maka peniaga tidak akan
menyorok barangan mahupun menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya. Lantaran itu,
segala kebajikan dan hak pengguna akan dapat dipenuhi dan dijaga. Pengusaha dalam sektor
pertanian juga harus bersikap inovatif, terutamanya dalam meningkatkan pengeluaran bekalan
makanan. Penyelidikan dan pembangunan atau R&D untuk meningkatkan hasil keluaran haruslah
dijalankan kerana kaedah ini merupakan suatu mekanisme untuk menangani masalah kekurangan
bekalan makanan. Kaedah ini bukan sahaja akan dapat meningkatkan hasil keluaran malah, kualiti
produk yang dihasilkan juga akan lebih baik.  Maka,sudah terang lagi bersuluh bahawa
tanggungjawab peniaga dan pengusaha sektor pertanian penting dalam
usaha menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di negara
ini.
Akhirulkalam, memandangkan kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan
di pasaran mencetuskan banyak masalah kepada masyarakat, pelbagai pihak haruslah
menggembleng kudrat  untukmenangani masalah ini, bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke
lurah sama dituruni dalam menangani masalah tersebut hingga ke akar umbi.
FAEDAH KEGIATAN KOKURIKULUM

Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah.
Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab
atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurangnya satu daripada
setiap aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan
malahan dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya. Kegiatan
kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak
mengecewakan. Mereka menyertai aktiviti kokurikulum dengan sambalewa bagaikan melepaskan
batok di tangga. Hal ini amat membimbangkan kerana usaha untuk melahirkan modal insan yang
holistik dan seimbang tidak dapat dicapai melalui bidang kurikulum sahaja tanpa penglibatan aktif
dalam aktiviti kokurikulum. Pelbagai nilai murni dapat dipupuk dalam diri pelajar seperti saya melalui
aktiviti kokurikulum. Falsafah Pendidikan Negara menegaskan sebanyak 16 nilai murni masyarakat
Malaysia terdapat dalam sistem pendidikan kita. Sebenarnya, apakah faedah-faedah yang saya
peroleh daripada aktiviti kokurikulum yang telah saya sertai?

      Salah satu faedah aktiviti kokurikulum ialah nilai kepemimpinan dapat ditanam dalam diri saya
walaupun saya belum cukup keras ubun-ubunnya. Hal ini penting suaya negara kita tidak ketandusan
pemimpin yang berkualiti pada masa hadapan kerana generasi muda pada hari ini merupakan bakal
pemimpin negara. Melalui kegiatan kokurikulum, pelajar telah dilantik atau dipilih sebagai pucuk
pimpinan dalam organisasi mereka sama ada sebagai pengerusi, setiausaha atau bendahari. Dalam
konteks ini, pelajar telah diasuh dan diasah sebagai insan yang bertanggungjawab, berkeyakinan,
amanah, dedikasi dan berupaya berinteraksi dengan anak buahnya. Unsur-unsur tersebut dan
pengalaman dalam  memimpin ini dapat menjadikan mereka sebagai pemimpin yang berwibawa dan
dihormati kelak. Di sekolah, saya telah dilantik sebagai pengerusi bagi Persatuan Bahasa Melayu.
Sepanjang saya menjadi pengerusi bagi persatuan ini, saya dapat mempeelajari cara untuk menjadi
seorang pemimpin. Saya berpeluang untuk merancang pelbagai aktiviti yang menarik bersama
dengan pasukan saya dan guru-guru penasihat saya untuk menjayakan persatuan ini. Bukan itu
sahaja, saya turut dapat menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam persatuan saya. Dengan
memperoleh pengalaman-pengalaman ini, saya akan menjadi lebih bijak dalam menguruskan
sesuatu pekerjaan tanpa bantuan guru-guru mereka. Tegasnya, nilai kepemimpinan dapat dipupuk
dalam diri saya melalui aktiviti kokurikulum yang saya ceburi.

      Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat mengukuhkan nilai perpaduan antara kaum dalam
jiwa saya. Perpaduan amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur
terutamanya dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Setiap persatuan dan kelab
mempunyai banyak ahlinya. Ahli-ahli tersebut terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina,
India dan lain-lain. Nilai perpaduan dapat dipupuk apabila saya bersatu dengan rakan yang
berbangsa lain dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya, saya dan rakan saya yang berbangsa
Cina dan India mewakili pasukan kami untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap
tahun seperti dalam pasukan bola jaring. Dalam perlawanan bola jaring, kami akan bersatu dan
bekerjasama ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mencapai kejayaan
pasukan. Secara tidak langsung, hubungan saya dengan rakan seperjuangan yang berlainan kaum
akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang
diharapkan kerana bersatu teguh bercerai roboh. Kami akan saling menghormati walaupun warna
kulit, agama dan bangsa kami berlainan. Dengan ini, sebarang perselisihan faham dapat dielakkan
dan kehidupan yang harmoni dan humanis dapat dilahirkan. Saya juga dapat berkomunikasi dengan
baik bersama mereka walaupun berlainan agama atau kaum. Ringkasnya, penglibatan saya dalam
kegiatan kokurikulum mampu mewujudkan perpaduan serta mengikis sentimen perkauman dalam
diri saya.

      Menyingkap dari perspektif yang lain, aktiviti kokurikulum juga dapat memupuk nilai berdikari
dalam diri saya. Berdikari membawa maksud keupayaan bertindak sendiri, berkeyakinan dan cekal
dalam menghadapi pelbagai dugaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa segolongan pelajar
pada hari ini tidak mempunyai sikap berdikari atau kendiri kerana kehidupannya dilingkari dengan
kemewahan dan sering dimanjakan oleh ibu bapa mereka. Segala urusan kehidupan mereka seperti
mencuci pakaian, pinggan mangkuk dan mengemas bilik sendiri pun dilakukan oleh pembantu
rumah mereka. Dalam aktiviti kokurikulum, nilai berdikari boleh ditanam melalui penyertaan dalam
pasukan beruniform. Saya telah menyertai pasukan beruniform Pandu Puteri di sekolah saya.
Lazimnya, pasukan beruniform ini akan menganjurkan pelbagai kegiatan  tahan lasak atau kegiatan
di luar sekolah, seperti aktiviti berkelah, berkhemah, berkembara atau ekspedisi. Dalam kegiatan
yang sedemikian, setiap peserta perlu menguruskan rutin hidupnya tanpa bantuan ahli keluarga.
Sebagai contoh, saya perlu memasak, mencuci pakaian dan mendirikan khemah sendiri. Lantaran
daripada itu, saya eperti burung dalam sangkar yang hanya disuap nasi tanpa diberi kebebasan
untuk hidup berdikari. Izharlah bahawa Lebih-lebih lagi,  anggota  pasukan beruniform lebih
berdikari  berbanding dengan pelajar lain. Izharlah bahawa nilai berdikari dapat dipupuk melalui
penglibatan secara aktif dalam aktiviti kokurikulum yang saya sertai.

      Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum saya juga dapat membentuk disiplin diri
saya. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk
berjaya. Disiplin juga dapat membentuk sikap tanggungjawab seseorang pelajar. Sikap melepaskan
batok di tangga dapat dihapuskan apabila seseorang pelajar diberi kepercayaan dan amanah untuk
menyandang sesuatu jawatan yang penting dalam unit beruniform, kelab dan permainan. Peraturan
yang ditetapkan dalam unit beruniform bertujuan untuk membentuk disiplin diri dan melatih mereka
supaya berperibadi tinggi dan luhur. Sebagai contohnya, saya akan dilatih menepati masa,
berpakaian kemas dan mematuhi peraturan sama ada peraturan perkhemahan, bersukan dan
sebagainya. Contoh yang lain, apabila hendak menjalani latihan sukan atau bahas, saya mesti
menepati masa. Jika terlewat, saya akan rugi kerana masa itu emas. Saya juga tidak akan terlibat
dalam masalah kebejatan sosial seperti melepak, menagih dadah dan vandalisme kerana memounyai
disiplin diri yang tinggi. Pendek kata, pembentukan disiplin diri yang tinggi dapat saya capai melalui
penyertaan aktiviti kokurikulum. 

      Berdasarkan cambahan minda yang telah dinyatakan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa
kegiatan kokurikulum amat berfaedah kepada saya terutamanya dalam aspek pemupukan pelbagai
nilai murni. Tanpa penerapan nilai-nilai murni dalam jiwa generasi muda sudah pasti usaha
pembangunan negara akan terbantut kerana mereka merupakan jentera penggerak kemajuan
negara pada masa hadapan bak kata cogan kata, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. Oleh itu, para pelajar perlulah memanfaatkan masa yang terluang dengan menyertai aktiviti
kokurikulum. Namun begitu, kita seharusnya mengharapkan usaha generasi yang baru berumur
setahun jagung, berdarah setampuk pinang semata-mata. Jadi, semua pihak seperti ibu bapa, pihak
sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia perlulah menggembleng tenaga untuk memastikan
para pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Dengan ini, usaha
untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat menjadi kenyataan
dan bukannya sekadar omongan kosong. Benarlah kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa
hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.”
PENGGUNAAN PENGANGKUTAN AWAM

Pada era pascakemerdekaan ini, rakyat Malaysia mula hidup dalam kecanggihan
infrastruktur. Pembangunan pesat dalam aspek pengangkutan selari dalam usaha
merealisasikan cabaran visi Wawasan 2020. Namun demikian, terdapat segelintir masyarakat
yang tidak mengambil endah untuk memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam yang
sedia ada. Masyarakat madani negara kita perlu mengikis sikap mereka seperti enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita perlu menggunakan kemudahan
pengangkutan awam sebaik-baiknya. Persoalannya, apakah prakarsa pragmatik yang mampu
menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam?

Agensi pengangkutan awam perlu menawarkan pakej pengangkutan dengan kos berpatutan
supaya rakyat lebih berminat untuk menikmati menggunakan pengangkutan mereka seperti
bas awam dan teksi. Agensi pengangkutan awam juga boleh berganding bahu bersama-sama
agensi perlancongan. Oleh hal yang demikian, melalui penawaran harga berpatutan daripada
agensi pengangkutan dan perlancongan, kedua-dua agensi ini menarik orang ramai
menggunakan pengangkutan awam dan meningkatkan ekonomi negara.

Media massa merupakan wahana yang paling efektif untuk menarik perhatian masyarakat
terhadap sesuatu perkara. Media massa tidak kiralah elektronik mahupun cetak boleh
menguar-uarkan kempen kesedaran penggunaan pengangkutan awam kepada rakyat dengan
efesien. Pihak kerajaan dan pihak berkuasa juga boleh menjayakan lagi kempen ini dengan
menganjurkan majlis "turun padang" bersama-sama rakyat supaya kesedaran dapat disemai
dalam kalbu masyarakat. Hal ini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
(SPAD) bersama-sama pihak kerajaan bersetuju untuk menjalankan projek pembinaan
"MRT" supaya negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, apabila sistem
pengangkutan negara kita dibandingkan dengan kemajuan pesat sistem pengangkutan awam
seperti di Hong Kong dan Singapura.

Di negara-negara lain, penggunaan pengangkutan awam menjadi keperluan kerana kecekapan


sistem tersebut yang lebih baik dan murah serta dapat sampai ke destinasi dalam masa yang
singkat tanpa kesesakan lalu lintas. Jelaslah, hal ini menarik minat masyarakat untuk
menggunakan pengangkutan awam yang sedia ada seperti kereta api aliran ringan (LRT) yang
laju, murah dan menjimatkan masa.

Selain itu, pihak pengurusan juga haruslah meningkatkan kemudahan infrastruktur


pengangkutan awam seperti perhentian bas, tempat duduk dalam kenderaan, dan gerabak
asing untuk penumpang wanita. Kebersihan dan kemudahan tersebut dapat menjamin suasana
kondusif untuk para pengguna. Di samping itu, pihak pengurusan juga harus melantik
pemandu pengangkutan yang bertanggungjawab dan berhemat selain mengemaskinikan dan
memantapkan jadual bertugas. Oleh itu, ramai orang akan cenderung untuk menggunakan
pengangkutan awam.

Tuntasnya, semua pihak harus menggembleng tenaga dan berganding usaha agar orang ramai
memanfaatkan pengangkutan awam dan mengubah persepsi buruk terhadap pengangkutan.
Bak kata pepatah "hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih". Jika semua lapisan
masyarakat dapat menggunakan pengangkutan awam sebaik-baikny, kita dapat
mengurangkan pencemaran alam sekitar selain menjimatkan wang yang banyak. Maka, negara
kita dapat terus maju dan berkembang menjadi negara yang pesat seperti Hong Kong, Jepun
dan lain-lain.
KEBAIKAN RUMAH TERBUKA

            Amalan rumah terbuka sudah menjadi lumrah untuk sambutan perayaan di negara ini
termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Hari Krismas. Perayaan
seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga pelbagai lapisan masyarakat
mengetahui istilah rumah terbuka yang amat sinonim dalam kehidupan mereka sejak turun-
temurun.  Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan bahawa sebanyak enam
perayaan kaum dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan pada peringkat
kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri.  Menyedari kesungguhan
kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang
sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan
rumah terbuka?

            Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan


kemaslahatan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota
masyarakat di negara kita. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian
matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara
bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota
masyarakat mengenai perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis
terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang
melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun
berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. Keadaan ini persis
peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih. Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India,
Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang
kekangan yang perlu dibimbangi. Kesannya, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat
mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat
dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.

            Dari perspektif yang lain , amalan rumah terbuka dapat membantu rakyat
Malaysia memahami budaya kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama
walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan agama. Amalan ini juga membolehkan
setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain selain didedahkan kepada adat resam dan
pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. Maklumlah tak kenal, maka tak cinta. Sebagai
contoh, orang-orang India, Cina, Iban dan Kadazan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri
bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat membantu
mereka mempelajari budaya kaum lain, malah budaya sihat ini juga dapat diwujudkan dalam
kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi
akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. Tuntasnya, budaya dan adat resam kaum
lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.
           
            Dari kaca mata yang berbeza, penganjuran rumah terbuka juga merupakan daya
tarikan kepada pelancong asing yang melancong di negara kita. Mereka bukan sahaja datang
ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat
mengalami dan menghayati sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini
semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. Keadaan ini bertepatan dengan kata
mutiara jauh perjalanan, luas pemandangan. Dalam konteks ini, kerajaan
melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-
kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari
Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan
Krismas. Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di
Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka
sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri
pelancongan negara. Izharnya, konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang
harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup
di bawah payung keharmonian.
           
            Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam hubungan
kekeluargaan. Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan rumah terbuka
merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan silaturahim
antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan
sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep
rumah terbuka, hubungan silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan
seterusnya akan lesap dalam kehidupan generasi akan datang yang semakin tidak mengenali
sanak-saudara mereka. Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan
dapat melepaskan kerinduan  di samping mendapat perkembangan terkini antara satu sama
lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan
ahli keluarga ini. Situasi ini dapat mencerminkan yang tua dihormati, yang muda
disayangi. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan
hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan.

Tempias daripada amalan rumah terbuka ini menyebabkan suburnya hubungan


silaturahim dalam masyarakat. Kesibukan bekerja dan mencari nafkah menyebabkan
rapuhnya institusi kejiranan yang dahulunya kukuh. Namun ikatan hubungan ini dapat
kembali disuburkan melalui amalan rumah terbuka. Rumah terbuka menyediakan ruang serta
peluang bagi masyarakat untuk mengenali jiran tetangga. Ghalibnya, masyarakat setempat
akan dijemput menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak tertentu. Jiran tetangga
yang sebelumnya tidak dikenali atau jarang bertemu dapat berkumpul dan berbual-bual bagi
mengukuhkan hubungan yang renggang. Segala salah faham dapat diredakan melalui
pertemuan serta perbincangan semasa amalan rumah terbuka. Menurut Saidina Abu Bakar,
‘Hiduplah seperti pohon kayu lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar orang
dengan batu, tetapi dibalasnya dengan buah’. Malahan, hubungan antara pemimpin dan
rakyat juga menjadi lebih erat apabila mereka menganjurkan majlis rumah terbuka seperti
yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohamad Najib bin Tun Abdul
Razak setiap tahun. Jelaslah bahawa amalan rumah terbuka mampu mengukuhkan hubungan
silaturahim dalam kalangan anggota masyarakat. 

            Selain itu, amalan rumah terbuka juga merupakan metodologi lain bagi melihat
serta merasai kepelbagaian masakan.  Rumah terbuka yang dianjurkan di negara kita telah
memberikan kelebihan kepada masyarakat peribuminya. Setiap perayaan mempunyai corak
atau cara sambutan yang berbeza-beza, maka heterogen adat dan tradisi mula diketengahkan
menyebabkan masyarakat kini mampu mengenalinya secara dekat. Keunikan adat dan tradisi
yang diamalkan telah menjadi faktor penarik bagi masyarakat lain untuk mula menyesuaikan
diri serta merasai kepelbagaian juadah yang disajikan. Sebagai contoh, rumah terbuka bagi
masyarakat Iban biasanya menyajikan sagu, manakala masyarakat India pula mementingkan
manisan. Tetamu yang menghadirinya pasti teruja apabila mereka dapat merasai juadah yang
berbeza dan pelbagai, justeru tradisi dapat terus dipertahankan, bak kata aforisme
Melayu, biar mati anak, jangan mati adat. Berakar umbi daripada amalan inilah masyaralat
dapat melihat serta merasai kepelbagaian aneka masakan daripada latar masyarakat yang
berbeza. Hal ini menyebabkan tradisi bangsa terus kukuh.
               Pada kaca mata berbeza, pendapatan negara semakin meningkat apabila industri
pelancongan di negara kita semakin maju. Pelancong asing akan bertandang ke negara kita
kerana mereka teruja akan cara-cara masyarakat majmuk menyambut rumah terbuka. Jabatan
Perangkaaan Negara juga menjelaskan bahawa hasil terimaan pelancong meningkat sebanyak
3.1 peratus pada tahun 2011 dan dijangka akan terus meningkat saban tahun. Rumah terbuka
dapat menjadi salah satu platform dalam meningkatkan industri pelancongan Malaysia.
Selain itu, sikap toleransi dan persefahaman multi etnik yang ditunjukkan oleh rakyat
Malaysia sudah menjadi salah satu daya tarikan yang kuat dalam kalangan pelancong asing
kerana konsep yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing telah lama sebati dan
menjadi pegangan utuh masyarakat kita. Pelancong juga sudah tentu teringin melihat
kebudayaan yang sebelum ini belum pernah dilihat. Hal ini disebabkan segala kebudayaan
yang unik ini dipersembahkan dalam bentuk yang asli. Tuan rumah dan tetamu yang hadir
mengenakan pakaian tradisi masing-masing. Juadah yang dihidangkan juga mengutamakan
hidangan tradisi, maka masyarakat Malaysia mahupun masyarakat antarabangsa dapat
menyelami budaya semua kaum di negara ini dengan lebih dekat. Hasilnya, kesemua
keunikan ini telah menjadi magnet tarikan kepada pelancong.

            Malahan, amalan ini juga dilihat telah menyumbang kepada pembentukan identiti
Malaysia melalui budaya bangsa nasional. Sebenarnya, rumah terbuka berlandaskan konsep
seruan beragama dan adat budaya kaum masing-masing. Namun demikian, perayaan masing-
masing telah diasimilasikan sehingga melahirkan budaya bangsa secara nasional. Senario ini
bermakna perayaan negara kita telah berkonsep ala- Malaysia. Pertembungan budaya antara
dua atau lebih budaya sebenarnya membawa kepentingan kepada semua pihak. Tamsilnya,
masyarakat Cina tidak menyediakan hidangan yang tidak boleh dijamah oleh masyarakat
Melayu dan begitu juga dengan masyarakat India. Pertembungan budaya ini sebenarnya
bertujuan menjaga perasaan sahabat handai. Hal ini disebabkan penghormatan itu merupakan
asas keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan hidup. Keindahan, keunikan dan kehalusan
budaya ini akan menyebabkan generasi baru berasa banggsa dengan warisan yang dimiliki
selagi adat initidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Kebudayaan kebangsaan
Malaysia akan diwujudkan dan kebudayaan ini akan menjadi identiti rakyat Malaysia.

            Setelah menghalusi hujah-hujah di atas, bayang kian jelas bahawa amalan rumah
terbuka memang banyak membawa  manfaat kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, konsep
rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak
difahami dan dihayati, kemungkinan amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar
syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap
pahat berbunyi  apabila menganjurkan rumah terbuka. Jika amalan murni ini dibudayakan,
sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan 1Malaysia akan menjadi realiti dan
bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil dalam
peta dunia, namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat
dijadikan teladan kepada negara-negara di dunia.

You might also like