You are on page 1of 3

Peranan Ibu Bapa Dalam Usaha Memupuk Semangat

Kejiranan Dalam Kalangan Masyarakat


Posted on October 18, 2017by admin
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.
Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan,
ke kiri atau memandang ke hadapan atau ke belakang, rumah yang kita lihat ialah
rumah jiran. Bagaimanapun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun
jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita pada jiran tetap ada. Jiran ialah
tetangga atau mereka yang tinggal di sekitar kita. Semangat kejiranan pula
membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan
bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti
hati jiran, sebaliknya kita perlu bertolak ansur dan hidup berlandaskan kasih sayang
sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah
Melayu ada mengatakan bahawa muafakat membawa berkat. Jadi, kita perlulah
mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan
supaya kita sentiasa bersatu padu dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun,
pada era globalisasi yang dipenuhi pancaroba moden, semangat kejiranan dalam
kalangan anggota masyarakat semakin luntur Oleh itu, semua lapisan masyarakat
terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang
wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat?

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh


masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar
nilai yang berharga ini tidak hilang daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu
bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau
masyarakat setempat. Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai
aktiviti tersebut bersama-sama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk
setempat dapat berkumpul untuk berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.
Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan mengenali
antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi
jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui
pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal makan tak cinta. Sebagai
contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara gotong-royong adalah seperti
membersihkan kawasan, mengadakan rumah terbuka, kenduri dan sebagainya.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara gotong-royong memerlukan masyarakat
bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan
lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan
mesra sesama jiran tambahan pula mereka juga sedar akan peranan masing-masing
dalam sesuatu komuniti. Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara
yang sama untuk mengeratkan semangat kejiranan. Konklusinya, ibu bapa haruslah
mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam
masyarakat.

Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau role model yang baik kepada
anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri
sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau
ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati
kuman sama dicecah untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota
dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kejiranan dan
prihatin terhadap jiran mereka. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran,
bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu
akan hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang
dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban
yang dihadapi oleh jiran. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kehidupan
berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya
boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Sebagai analoginya,
ketika ketua keluarga kurang sihat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan
daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu
keluarganya yang tinggal jauh dari tempat tinggal mereka, mendapatkan bantuan
kecemasan ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan
anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa
yang berjaya menjadi iktibar yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka
bersempena dengan sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja
dapat mengeratkan silaturahim dan menjalin ukhuwah, tetapi juga mampu
mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis
rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama-sama. Dalam majlis
tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan
lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu
perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan
rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan
budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contohnya, majlis-majlis rumah
terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas
dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan Kehadiran ibu bapa
bersama-sama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat
memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya
malah dapat menanamkan semangat kekitaan dalam diri anak-anak dan
mengamalkan semangat kejiranan Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah
diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu
muka dan membentuk masyarakat yang harmoni

Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemai budaya ziarah-menziarahi dalam


kalangan masyarakat sebagai langkah untuk mengukuhkan dan meningkatkan
semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa
digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa
yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan keadaan
yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama-sama dan
hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan sentosa walaupun dalam
keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-
anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah
dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit . Amalan ini dapat
membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh
sikap anani dan hidup seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-
masing. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata
memandang, berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah
berpegang teguh pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Jadi, melalui
lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban yang dialami oleh
jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman
dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah
sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh mengamalkan budaya
kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.

Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri
dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti sering mengadakan
aktiviti seperti hari keluarga untuk merapatkan hubungan dalam kalangan
masyarakat setempat. Aktiviti kemasyarakatan ini kerap diadakan sama ada di
padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak
bersama-sama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan.
Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan
hidup bantu-membantu dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem
yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk
tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam
masyarakat seperti pertubuhan rukun tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan
Kebajikan Kampung (JKKK) dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui pertubuhan
seumpama ini, masyarakat setempat mengawasi keselamatan kawasan tempat
tinggal atau taman secara bergilir-gilir untuk mengelakkan berlakunya kejadian-
kejadian yang tidak diingini daripada berlaku seperti membunuh, merogol,
merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu
ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat kejiranan atau saling
membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan
penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat


kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang
penyayang dan membentuk perpaduan kaum. Walau apa-apa pun keadaan dan di
mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu
jiran yang menjadi tempat untuk meminta bantuan ketika kita dalam keadaan yang
susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan
ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu
menonjolkan diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita
berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Jiran
Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari.
Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya yang terpuji ini.
Amalkan dengan hati yang tulus, barulah kita memperoleh keberkatan dalam
kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum
akan bertambah utuh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha
untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa diamalkan supaya negara kita
sentiasa aman, harmoni, dan sentosa.

You might also like