You are on page 1of 7

KARANGAN T5 TEMA 3 - PENGANGKUTAN

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan
berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih
serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota
masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar
dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain.
Nabi Muhamad s.a.w pernah bersabda bahawa jiran mempunyai tiga hak
berbeza iaitu jiran seagama, jiran sesama insan dan jiran yang juga keluarga
kita. Namun dek kerana kesibukan tugas dan tuntutan kerjaya, semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan
semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen
dan usaha telah dijalankan oleh kerajaan dan pelbagai pihak supaya amalan
kejiranan menjadi darah daging masyarakat. Persoalannya, mengapakah
semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat?

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk sikap saling


membantu dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Sikap
ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai
aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti
kemasyarakatan seperti gotong-royong, hari keluarga. majlis sambutan
perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti membolehkan semua jiran
bertemu dan saling berkenalan. Sebagai contoh, dalam majlis keramalan
seperti majlis perkahwinan, jiran akan membantu apa yang patut sehingga
majlis itu selesai. Kadang kala jiran juga memberikan sumbangan kewangan
untuk menjayakan majlis yang diadakan.Secara tidak langsung aktiviti ini
merapatkan hubungan antara jiran tetangga. Mereka akan lebih mesra,
saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit,
bangsa atau kepercayaan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa semangat
kejiranan yang dipupuk dapat membentuk sikap kerjasama dalam kalangan
anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu, semangat kejiranan juga penting kerana dapat mewujudkan


perpaduan antara masyarakat berbilang bangsa di negara kita. Hal ini kerana
semangat kejiranan dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan
masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969
yang menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-
belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan
selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua
anggota masyarakat memahami antara satu sama lain bak kata perbahasa
Melayu, tak kenal maka tak cinta. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh
mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya
memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling
menghormati. Dengan ini perselisihan pendapat boleh dielakkan dan pelbagai
program pembangunan dapat dilaksanakan demi membawa kemajuan kepada
rakyat.Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat
KARANGAN T5 TEMA 3 - PENGANGKUTAN

yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke


arah kegemilangan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi


dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu
dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar
kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting
dan vital demi melahirkan sikap hormat-menghormati dalam kalangan
masyarakat Malaysia. Sikap ini amat signifikan untuk membantu melahirkan
anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat
cinta akan negara . Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana
yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan
di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil
dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai
kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti
dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat
komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan
oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah
semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu
kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan
oleh pihak kerajaan.

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan


dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik
pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia.
Masyarakat diharap tidak mengamalkan gaya hidup bagai enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing. Seorang aktivis masyarakat,
Tan Sri Lee Lam Thye pernah berkata bahawa langkah paling bijaksana untuk
memastikan kewujudan masyarakat madani adalah dengan mengamalkan
semangat hidup berjiran. Masyarakat diseru supaya mengamalkan semangat
kejiranan agar kebaikan yang akan dijelmakan melalui semangat tersebut
dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan
sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di
negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan
Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang
kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan
berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah
kegemilangan di puncak jagat.
KARANGAN T5 TEMA 3 - PENGANGKUTAN

KEPENTINGAN PENGANGKUTAN AWAM


Dunia sentiasa mengalami inovasi dalam sistem pengangkutan dari semasa ke
semasa. Dalam era globalisasi ini, pelbagai jenis kenderaan yang moden telah
dicipta bagi menggantikan kenderaan yang konvensional. Pada masa ini, terdapat
pelbagai jenis kenderaan awam seperti monorel, ERL, komuter, bas, teksi, kapal
terbang dan sebagainya. Pengangkutan awam yang moden itu pula mampu untuk
memainkan peranan yang penting kepada sesebuah negara untuk mencapai
kemajuan. Dengan perkataan lain, pengangkutan awam yang terdapat di negara kita
juga tidak kurang pentingnya kerana terdapat pelbagai kelebihan yang akan
diperoleh apabila masyarakat menggunakannya.

Pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota atau
bandar-bandar besar yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan
rakyat Malaysia gemar menggunakan kenderaan sendiri terutamanya ketika ingin
menuju ke tempat kerja. Di samping itu, mereka kebiasaannya bersikap bagai enau
di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ketika berada di jalan raya.
Perkara ini akhirnya mengakibatkan kesesakan jalan raya yang serius. Oleh itu,
pengangkutan awam seperti komuter, monorel, ERL (Express Rail Link), LRT (Light
Rail Transit)) dan sebagainya dapat memainkan peranan yang penting untuk
membendung masalah kesesakan jalan raya yang semakin kronik di ibu negara kita.

Penggunaan pengangkutan awam juga dapat menjimatkan masa dan kos


perjalanan. Sebagai contohnya, ERL dapat memendekkan masa perjalanan jika
dibandingkan dengan penggunaan kereta. Tambang pengangkutan awam seperti
komuter dan LRT juga amat berpatutan jika dibandingkan dengan masa
perjalanannya yang telah disingkatkan. Oleh itu, jika dibandingkan antara
pengangkutan awam dengan kenderaan biasa, anggota masyarakat akan mendapat
manfaat sekiranya menggunakan pengangkutan awam. Harga petrol yang tidak
menentu di pasaran global telah memberikan impak yang negatif kepada rakyat
yang menggunakan kenderaan peribadi. Oleh hal yang demikian, banyak
perbelanjaan boleh dijimatkan sekiranya orang ramai menggunakan pengangkutan
awam.

Selain itu, pengangkutan awam juga akan memudahkan perjalanan seseorang untuk
ke sesuatu destinasi. Dengan adanya pengangkutan awam seperti ERL dan LRT,
sistem pengangkutan yang lebih efisien berbanding dengan kenderaan persendirian
dapat diwujudkan tambahan pula banyak tempat di ibu kota yang termasuk dalam
jaringan pengangkutan awam tersebut. Perkara ini sekali gus dapat meningkatkan
kadar ketepatan atau kepantasan seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi. Hal
ini seharusnya diberikan pertimbangan oleh anggota masyarakat agar mereka
menggunakan kenderaan awam untuk ke sesuatu destinasi. Oleh itu, kenderaan
awam sepatutnya menjadi pilihan utama masyarakat kerana kelebihannya banyak
sekali.
KARANGAN T5 TEMA 3 - PENGANGKUTAN

Penggunaan pengangkutan awam yang lebih mesra alam pula akan dapat
mengurangkan pencemaran alam sekitar. Pengangkutan awam seperti monorel,
LRT dan ERL ialah kenderaan awam yang mesra alam kerana kenderaan tersebut
tidak mengeluarkan asap. Hal ini secara langsung dapat membendung pencemaran
alam sekitar terutamanya pencemaran udara di negara kita. Perkara yang di
sebaliknya pula akan berlaku jika seseorang menggunakan kenderaan persendirian
mereka seperti kereta atau motosikal yang terbukti menyebabkan pencemaran alam
sekitar. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa penggunaan pengangkutan awam
dapat menangani penemaran udara yang semakin serius pada masa ini.

Sebagai kesimpulannya, penggunaan pengangkutan awam memang banyak


kelebihannya jika hendak dibandingkan dengan penggunaan kenderaan
persendirian. Oleh itu, anggota masyarakat digalakkan untuk menggunakan
pengangkutan awam jika hendak pergi ke sesuatu destinasi. Sekiranya saranan ini
tidak diikuti sudah tentu banyak masalah yang terpaksa dihadapi oleh anggota
masyarakat akibat pencemaran alam yang berpunca daripada asap kereta dan
motosikal. Jadi, kita perlulah menyokong langkah kerajaan yang menggalakkan
penggunaan pengangkutan awam melalui kempen kongsi kereta atau "car
pool" untuk ke tempat kerja. Hal ini menyebabkan pencemaran udara dikurangkan
dan anggota masyarakat dapat menyedut udara yang segar dan hidup dalam
keadaan yang sihat dan sejahtera.
KARANGAN T5 TEMA 3 - PENGANGKUTAN

LANGKAH UNTUK MENGGALAKKAN ORANG RAMAI MENAIKI PENGANGKUTAN AWAM


DI NEGARA KITA.
...........“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang
telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali.
Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami
pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi
untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di
negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT),
Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong
pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang
proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan
pengangkutan awam.
.
..........Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa
kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah
mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran
rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu
dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah
supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah
menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam
di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu
yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh
pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya
perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini
bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat
menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk
mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan,
jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali
pengangkutan awam.
.
..........Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam
ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam
haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah
kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain
itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun
yang telah menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan
melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di
negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk
menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang
motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan
membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat
mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang
mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan
pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang
berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan
untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam.
.
..........Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas
ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat
menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton
pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih
menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan
LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan
para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat
patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara,
KARANGAN T5 TEMA 3 - PENGANGKUTAN

rancangan yang mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya.
Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang
berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan
seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang
ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum.
Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang
untuk menaiki pengangkutan awam.
.
..........Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem perakam
perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam ini dapat
merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan
kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam
seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama,
pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering
diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi
memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada
sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang
berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali
gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan
Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan
pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam
yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan
cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan
meningkat.
.
..........Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk
menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan
stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi
mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak
sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan
kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya.
Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan menjadi masalah
kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah
menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat.
Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan
mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi
pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar
lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun
langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara
kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi
meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di
negara kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”.
.
..........Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”,
pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan
menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang
kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan
pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar
menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi
harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila
menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung
pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini
dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka
memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai
pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam
dalam jiwa mereka.
KARANGAN T5 TEMA 3 - PENGANGKUTAN

.
..........Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di
negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran
udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai
pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan
pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain.
Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka
pengangkutan awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam
di negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

You might also like