You are on page 1of 21

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum
dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat  peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai. 
Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun
di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain.
Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan
bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin
terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai
pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu
penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota


masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat
dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan
seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat
mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih
mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau
kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk
kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan
ampuh.

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan


kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada
rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat
sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara
lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman
dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan
dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah
berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan
seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas
inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah
kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat
dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak
kerajaan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu
padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang
harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu
elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni,
mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai
aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh,
mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara
ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh
paling jelas, dan atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo
mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas
menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka  melakukan sesuatu hal
dan perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.

Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum
juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini
banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya
yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan
masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan
besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan
pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat 
disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti
Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup
berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu
memberangsangkan kepada negara.

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya
masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana
malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam
mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup
besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada
masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda
kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

Tajuk : Amalan Berjimat-cermat Mendatangkan Pelbagai Manfaat Kepada Sesebuah


Negara. Huraikan Kepentingan-Kepentingan dan Langkah-Langkah Amalan Berjimat-cermat.
Pendahuluan:
Istilah berjimat-cermat sering diuar-uarkan oleh pihak kerajaan pada zaman muasir ini. Adakah
masyarakat Malaysia tidak tahu berjimat-cermat? Sebenarnya berjimat-cermat merupakan istilah
keramat yang memacu kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara.Tanpa amalan tersebut
maka tidak mustahillah negara akan terdedah kepada krisis ekonomi, maka jatuh merudumlah
ekonomi negara tersebut. Dalam konteks ini, semua individu dalam sebuah negara memainkan
peranan penting /utama/ dalam mengamalkan amalan berjimat-cermat. Terdapat banyak
faedah/keistimewaan/kemaslahatan/manfaat yang diperoleh daripada amalan itu.

Isi 1: Persediaan dan Jaminan Masa Hadapan.


Apakah kepentingan amalan berjimat-cermat? Amalan berjimat-cermat membolehkan individu
merancang masa depan mereka. Mengapakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?
Hal ini perlu dilakukan oleh semua orang bak kata pepatah “beringat sebelum kena, berjimat
sebelum habis”kerana kita tidak menduga sesuatu perkara yang akan berlakupada masa hadapan.
Bagaimanakah amalan ini perlu dilakukan?
Golongan masyarakat terutamanya ibu bapa perlu mengamalkan sikap berjimat-cermat terutamanya
dalam aspek kewangan kerana “sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit”dan “sehari selembar benang
lama-lama menjadi kain”. Hal ini akan dapat membantu mereka membiayai perbelanjaan pendidikan
anak-anak apabila melanjutkan pelajaran ke menara gading. Masyarakat terutamanya generasi
muda perlu merancang perbelanjaan mereka agar tidak berdepan dengan masalah apabila
menempuh usia emas kelak. Kebanyakan warga emas menghadapi masalah kerana mereka gagal
merancang kewangan ketika usia muda. Hal ini perlu dielakkan supaya tidak seperti pepatah “sudah
terhantuk baru tengadah”. Contoh Sebagai contoh, apabila anak-anak berjaya melanjutkan pelajaran,
ibu bapa akan memerlukan kos yang banyak.Sekiranya ibu bapa mempunyai wang simpanan,
mereka tidak menghadapi apa-apa masalah, sebaliknya jika ibu bapa tidak mempunyai wang
simpanan, mereka akan tertekan dengan kemelut kewangan sekali gus akan mengharapkan biasiswa
dan pinjaman daripada pihak kerajaan. Rumusan isi
Oleh itu, kita janganlah menjadi masyarakat yangn sentiasa mengharapkan bantuan daripada pihak
kerajaan dan melahirkan bangsa yang sentiasa bertongkat. Oleh hal yang demikian, amalan berjimat-
cermat ini dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan keluarga yang bahagia kerana tidak
mengalami sebarang tekanan kewangan kerana mempunyai wang simpanan mereka sendiri.

Isi 2 : Persediaan Menghadapi Waktu Kecemasan.


Apakah kepentingan amalan berjimat-cermat?.
“Malang tidak berbau”. Peribahasa ini sangat sinonim dengan fitrah kehidupan manusia. Tiada
sesiapapun yang mengetahui akan musibah yang bakal dihadapi pada masa akan datang.Sejajar
dengan itu, amalan berjimat-cermat boleh membantu masyarakat sebagai suatu persediaan apabila
menghadapi waktu kecemasan seperti perbelanjaan merawat pembedahan, kemalangan dan
penyakit kronik yang dialami oleh diri sendiri, ibu bapa atau kaum keluarga. 
Mengapakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?
Sehubungan dengan itu, melalui amalan berjimat-cermat, kita tidak perlu “mengemis” di merata-rata
tempat apabila memerlukan rawatan kesihatan. Langkah berjimat-cermat ini sangat penting kepada
masyarakat sebagai satu persediaan jika berlaku sesuatu kecemasan kerana manusia hanya
merancang sedangkan Tuhan yang menentukan.
Bagaimanakah amalan ini penting kepada seseorang?
Hal ini disebabkan kos rawatan yang tinggi dan biasanya tidak mampu dibiayai oleh pesakit
terutamanya apabila melibatkan pembedahan dan penyakit kronik yang memerlukan perbelanjaan
beratus-ratus ribu ringgit. Kos rawatan yang terlalu tinggi ini tentulah membebankan pesakit tersebut.
Contoh.Apabila seseorang dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit kronik seperti kanser,
rawatan pembedahan melibatkan perbelanjaan berjumlah beratus-ratus ribu ringgit. Kegagalan
pesakit menyediakan sejumlah wang yang besar ini boleh menyebabkan pesakit tidak mendapat
rawatan yang sewajarnya dan akan berakhir dengan kematian.
Rumusan isi.Rumusannya, langkah berjimat-cermat ini sangat penting kepada masyarakat sebagai
satu persediaan menghadapi waktu kecemasan agar rawatan segera dapat menyelamatkan nyawa
pesakit.

Isi 3 : Kestabilan Ekonomi Negara.


Apakah kepentingan amalan berjimat-cermat? Salah satu faedah berjimat-cermat ialah ekonomi
negara dapat distabilkan.Mengapakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?
Tanpa kestabilan ekonomi negara, sesebuah negara tidak dapat dibangunkan atau dimajukan.
Komitmen seseorang amatlah diharapkan bagi membangunkan ekonomi Negara.
Bagaimanakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan? Seseorang itu dapat berjimat cermat
dengan cara membeli barangan buatan tempatan atau melancong dalam negara mereka sendiri.
Apabila seseorang itu membeli barangan buatan tempatan, hal ini akan mengelakkan pengaliran
wang keluar wang dan menggalakkan wang beredar dalam negara. Jika kita membeli barangan
buatan tempatan dan bukannya barangan import, wang yang kita bayar atau belanjakan itu akan
diterima oleh pengeluar tempatan dan wang tersebut boleh mengalir dalam negara.Contoh
Maka pendapatan yang ada, negara akan dapat membiayai pelbagai projek yang mendatangkan
keuntungan, lebih-lebih lagi ketika kegawatan ekonomi. Negara juga tidaklah perlu memuat pinjaman
kewangan dari Bank Dunia justeru, maruah negara dapat diselamatkan. Oleh yang demikian itu,
kegiatan ekonomi tempatan dapat dihidupkan secara lebih aktif dan efektif. Impaknya, ekonomi
menjadi lebih mampan.Seseorang individu atau masyarakat turut dapat membantu kestabilan
ekonomi negara dengan mengamalkan pelancongan domestik. Mereka digalakkan melancong dalam
negara mereka sendiri seperti peribahasa “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri
lebih baik di negeri sendiri” Apabila hal ini berlaku, maka secara tidak langsung mereka telah
memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi. Ekonomi negara akan menjadi lebih teguh dan
mantap. Wang yang dibelanjakan akan diterima oleh pengusaha tempatan dan hal ini bermakna
wang itu seterusnya akan beredar dalam kalangan rakyat tempatan.

Rumusan isi Oleh itu, jelaslah bahawa sikap berjimat-cermat merupakan salah satu punca yang
menyumbang ke arah kekukuhan ekonomi negara. Sejajar dengan itu, marilah kita bersama-sama
mengamalkan amalan yang terpuji itu. 

Langkah-Langkah Amalan Berjimat-cermat


Isi 4: Peranan ibu bapa
Apakah peranan ibu bapa untuk memupuk amalan berjimat -cermat.?
Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengamalkan tabiat suka
berjimat-cermat,sebagaimana pepatah Melayu ada menyebut “ bagaimana acuan begitulah kuihnya”.
Mengapakah ibu bapa perlu menunjukkan sikap berhemah ketika berbelanja?
Ibu bapa menunjukkan sikap bijak dan berhemah apabila berbelanja dan menunjukkan contoh yang
baik kepada anak-anak sama juga seperti peribahasa “bapa borek anak rintik”.
Bagaimanakah ibu bapa boleh memupuk amalan berjimat-cermat?
Antara langkah permulaan yang boleh dilakukan ialah menggalakkan anak-anak membawa bekal
makanan ke sekolah.Dalam hal ini, anak-anak mereka bukan sahaja ditanam minat suka m leh ibu
dari segi khasiatnya malah terjamin kebersihannya. Tidak timbul lagi masalah keracunan makanan
yang sering dihadapi oleh pelajar seandainya mereka makan makanan di kantin sekolah atau
menabung dan berjimat-cermat tetapi juga membawa bekalan makanan seimbang yang disediakan
oleh ibu dari membeli makan yang dibeli di luar. Contoh Sebenarnya, penabungan wang belanja
yang diberi oleh ibu bapa dapat digunakan untuk membeli barang keperluan yang berfaedah seperti
barangan peribadi ataupun buku-buku rujukan.Hal ini, sebagai serampang dua mata, selain berjimat-
cermat, pada masa yang sama dapat merasai air tangan ibu dan boleh mengeratkan kasih sayang
ibu dan anak. Rumusan isi.Kesimpulannya, membawa bekalan makanan dari rumah ini perlu
dijadikan satu budaya yang patut diamalkan oleh setiap pelajar.

Isi 5: Peranan kerajaan dan rakyat


Apakah peranan kerajaan dan rakyat dalam usaha menggalakkan sikap berjimat-cermat?
Salah satu langkah untuk menggalakkan sikap berjimat-cermat, kerajaan perlu menyeru rakyat agar
membuat pelaburan pendidikan untuk anak-anak.
Mengapakah pelaburan pendidikan ini amat berguna kepada ibu bapa dan anak-anak?
Pelaburan pendidikan ini amat berguna kerana para ibu bapa dapat mempersiapkan diri awal-awal
lagi untuk membiayai pendidikan anak-anak agar tidak perlu berhadapan dengan masalah kewangan
ketika sampai masanya anak-anak memasuki institusi pendidikan. Janganlah nanti anak-anak
terpaksa mengalah untuk tidak menyambung pelajaran disebabkan masalah kewangan.
Bagaimanakah caranya ibu bapa boleh melabur dalam skim pelaburan pendidikan?
Para ibu bapa boleh memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk membuat
simpanan dalam skim pelaburan pendidikan. Contoh
Pada hari ini, banyak syarikat insuran, umpamanya Malaysian National Insurance (MNI), Malayan
Alliance Assurance (MAA), Insuran Takaful dan Takaful Nasional serta bank-bank perdagangan lain
yang menawarkan pelan pendidikan untuk meringankan beban ibu bapa bagi menampung
pembiayaan pendidikan anak-anak pada masa depan. Amalan ini sesuai dengan peribahasa Melayu
yang berbunyi sediakan payung sebelum hujan”. Rumusan isi.
Sesungguhnya, kita tidak boleh mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata kerana kita perlu
berusaha sendiri untuk menempa kejayaan anak-anak. Pelaburan awal ini dapat menjamin
penerusan kegemilangan generasi cemerlang.

Isi 6: Peranan golongan wanita


Apakah peranan golongan wanita dalam amalan berjimat-cermat?
Kajian menunjukkan bahawa golongan wanita memainkan peranan penting dalam mencorak
perbelanjaan keluarga. Mengapakah wanita perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang
ekonomi?Bagi golongan wanita yang celik ekonomi,mereka akan sentiasa peka dan mengambil
berat tentang wang yang dibelanjakan.Bagaimanakah golongan wanita boleh menstabilkan
ekonomi rumahtangga?Oleh itu, untuk memastikan ekonomi dalam rumahtangga mereka sentiasa
stabil, wanita yang bergelar suri rumah harus bertindak dengan bijaksana serta teliti ketika berbelanja.
Suri rumah perlu mengikis sikap terburu-buru semasa membuat pilihan kerana hal ini akan merugikan
diri.ContohSebagai contoh, mungkin mereka terpaksa membeli barangan yang tidak perlu atau tidak
berkualiti hanya kerana tertarik dengan iklan-iklan jualan murah yang “indah khabar daripada rupa”.
Selain itu, sekiranya mereka ada masa terluang, suri rumah ini juga boleh menyahut seruan kerajaan
agar berjimat-cermat melalui penanaman sayur-sayuran atau memelihara ayam itik di belakang
rumah. Kebaikannya memang ketara iaitu di samping dapat menghidangkan sayur-sayuran yang
segar untuk keluarga, mereka juga dapat membantu suami mengurangkan perbelanjaan
rumahtangga. Pada masa yang sama, kempen yang dilancarkan oleh kerajaan agar membeli
barangan buatan tempatan perlu dimanfaatkan oleh golongan wanita. Jika selama ini mereka terlalu
taksub dengan barang-barang buatan luar negara yang kononnya berkualiti tinggi,kini mereka boleh
beralih arah dengan barang-barang buatan tempatan yang tidak kurang hebatnya. Selain murah,
barang-barang ini juga mempunyai kualiti yang lebih baik.
Rumusan isi Oleh itu, di samping berjimat cermat, suri rumah juga dapat membantu menjana
ekonomi negara.

Penutup
Konklusinya, amalan berjimat-cermat perlu diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat agar hasrat
murni kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi akan tercapai.Sesungguhnya, amalan
berjimat-cermat dapat meloloskan diri daripada belenggu inflasi yang melanda negara. Secara tidak
langsung, hal ini akan melahirkan warga negara yang bijak dan berhemah dalam mengurus ekonomi
keluarga,masyarakat dan negara.Maka, sekiranya kita sayang akan keluarga dan negara daripada
dibebani kebejatan ekonomi,kita perlu menggembleng tenaga dalam mengamalkan budaya berjimat-
cermat. Akhir kalam, “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu,
bersenang-senang kemudian”.

CARA-CARA MENGHARGAI JASA GURU

Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang
Perdana Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang
mengajarnya membaca dan menulis. Nah, inilah ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru
dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat matahari
yang menyinari kehidupan insaniah dengan cahaya ilmunya. Kegigihan guru dalam mendidik anak
watan dengan ikhlas tanpa rasa jemu tidak perlu dipertikaikan.  Tanpa usaha dan pengorbanan guru,
tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang.  Oleh itu, cara-cara menghargai jasa guru
yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dan dipericikan untuk kepentingan bersama.
             
Memetik kata-kata daripada Mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang
menyatakan bahawa pemupukan adab menghormati guru bermula dari rumah dan mengharapkan ibu
bapa menggalakkan anak-anak mereka menghargai jasa guru.  Berdasarkan pernyataan tersebut,
jelaslah adab menghormati guru merupakan elemen penting dalam memupuk budi bahasa dan
adab sopan dalam kalangan pelajar. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan
dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa
bermanis muka sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberikan salam ketika berhadapan
atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan.  Semasa di dalam kelas, pelajar yang
menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu  guru semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung.  Sikap seperti masuk telinga kiri keluar telinga
kanan perlu dielakkan. Dalam konteks ini, mereka sewajarnya memberikan tumpuan dan perhatian
sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang
tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu menjaga  tata susila,
tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru
merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan
amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.

Berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu  cara yang tidak
boleh dikesampingkan oleh pelajar yang terpancar akhlak mulianya.  Antara ciri pelajar yang
berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat
dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam
dengan kemas  dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk
bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.  Jika disiplin
terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar
berjaya dengan cemerlang. Peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana
muafakat, membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi  peraturan yang
ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah,
mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru.
Di samping itu, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru.
Amalan mengingati dan menghargai jasa guru merupakan amalan yang mulia. Para guru akan berasa
bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai pendidik lagi. Kita boleh
menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada  hari
tersebut, sewajarnya pelajar memberikan hadiah kepada guru yang mengajar mereka sebagai tanda
penghargaan  atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak
semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang
tulus lagi ikhlas. Nilai bukan ukuran tetapi pemberian yang ikhlas itu lebih bermakna. Sekiranya
pelajar tidak mampu memberikan hadiah, cukuplah sekadaru ucapan selamat hari guru.
                 
Amalan ziarah-menziarahi guru perlulah dijadikan budaya dalam kalangan pelajar.    
Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa para
guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Sebagai
contohnya,  kemungkinan guru ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya
kerana malang tidak berbau.  Sebagai pelajar, kita perlu menziarahi mereka jika mereka
menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit paha kanan paha
kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan untuk
menggembirakan guru sekali gus mengurangkan beban kesakitan yang ditanggung. Jika mereka
mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban
yang mereka tanggung. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa, berat mata memandang, berat
lagi bahu memikul. Jelaslah bahawa frasa, jasamu dikenang, budimu disanjung bukanlah
sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.                 
Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang
telah mengajar dan mendidik kita selama ini. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa
hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa
mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada
segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas
mendidik anak watan dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah
mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh.
Sesungguhnya, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan
sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa.
              Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan  pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas
walaupun dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita
mengenali erti kehidupan. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang
kita peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada Tuhan. Renungilah bait-bait puisi di bawah.

            Guru,
            kau ibarat dian yang membakar diri
            melahirkan insan yang lestari
            tanpa mengira waktu dan hari
            segala ilmu dicurah dan diberi
            kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
            tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.           

PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG

Dewasa ini, semakin hari, semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat semakin terhakis
ditelan arus pemodenan dan kemajuan negara. Hal ini terbukti apabila saban hari kita dihidangkan
dengan pelbagai kejadian jenayah seperti kes pembunuhan, ragut, rogol serta kes pembuangan bayi
yang tidak berdosa. Kejadian-kejadian tersebut sekali gus memadamkan semangat sayang-
menyayangi dalam masyarakat antaranya sikap mengambil berat, prihatin dan saling-menghormati
dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat penyayang hanya dapat dibentuk melalui
persaan saling-menyayangi dan menghormati sesama ahli keluarga yang merupakan asas kepada
pembentukan masyarakat. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam melahirkan individu yang
penyayang sekali gus mewujudkan masyarakat yang penyayang di nusa tercinta ini.

            Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak.
Kehidupan anak-anak harus diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap
penyayang dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan lebih mudah terlaksana malah akan
terus sebati dalam diri anak-anak apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat
penting dalam tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa berada di
samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti  gagal dalam peperiksaan untuk
menenangkan hati dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan perhatian oleh ibu bapa maka
anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat diselesaikan melalui
pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk mencurahkan
kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa merupakan insan terhampir dengan diri anak-anak.

            Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan masyarakat yang penyayang di negara
kita. Hal ini demikian kerana tidak ada agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengajar
penganutnya bersikap kasar dan ganas kepada individu lain apatah lagi dalam kalangan ahli keluarga
sendiri. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka mendalami ilmu
agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar kepada anak-anak
adalah menunaikan solat fardhu, membaca Al-Quran dan berzikir. Bagi penganut-penganut agama
lain, ibu bapa perlu selalu mengajak anak-anak mereka ke rumah ibadat. Ibu bapa juga boleh
menceritakan pada anak-anak, kisah teladan akan kebaikan mengamalkan nilai kasih sayang dalam
kehidupan hatta bersikap kasih sayang kepada binatang.  Amalan-amalan ini akan melembutkan hati
dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Sifat ini akan menjadi
darah daging dalam diri anak-anak dan mendorong mereka untuk berperi laku baik seterusnya
sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya
amat penting dalam melahirkan individu penyayang.

            Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak
mereka. Ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dan tidak bersikap seperti
ketam mengajar anaknya berjalan betul. Hal ini demikian menunjukkan keperibadian anak-anak
mencerminkan perwatakan ibu bapa mereka. Banyak nilai baik yang boleh ditunjukkan kepada anak-
anak. Sebagai contohnya, ibu bapa mengamalkan semangat kejiranan yang tinggi. Antaranya,
mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, menziarahi jiran yang sakit serta dilanda
musibah. Ibu bapa janganlah sekali-kali menunjukkkan sikap zalim dan menindas atau menipu orang
lain khususnya di hadapan anak-anak.  Nilai-nilai baik ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak.
Jelas bahawa, semangat hormat-menghormati, bekerjasama dan saling-membantu dalam
masyarakat  akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri anak-anak yang juga merupakan ahli
masyarakat.      
    
Seterusnya, keadaan keluarga yang stabil dari segi fizikal dan rohani juga amat perlu
bagi melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar
dalam membentuk keluarga yang stabil. Keluarga yang stabil dari segi fizikal ialah keluarga cukup
dari segi kewangan serta mampu menyediakan segala kemudahan dan keperluan hidup berumah
tangga. Manakala keluarga yang stabil dari segi rohani ialah keluarga yang saling-menyayangi ,
hormat-menghormati serta saling-membantu. Sekiranya kedua-duanya dapat dipenuhi oleh ibu bapa
maka anak-anak akan hidup dalam keadaan tenang dan harmonis tanpa mengalami sebarang
tekanan. Mereka akan lebih terpaut hati untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa berbanding
menceritakan masalah yang dihadapi dengan rakan yang kurang dikenali hati budinya. Di samping itu
juga, ibu bapa harus memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan
keluarga yang penyayang. Hubungan yang renggang dalam kalangan ahli keluarga menyebabkan
anak-anak akan mencari ‘kasih sayang’ di luar rumah yang akhirnya akan menjahanam dan
memusnahkan kehidupan mereka.

            Masyarakat  penyayang juga dapat dilahirkan melalui hubungan baik dengan


masyarakat sekeliling. Ibu bapa harus mendekatkan anak-anak dengan masyarakat setempat bagi
mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak anak-
anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau
masjid. Ibu bapa juga perlu memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka akan peri pentingnya
nilai kasih sayang dalam kehidupan khususnya semasa berinteraksi dengan masyarakat pelbagai
kaum. Dengan menjadikan negara-negara lain sebagai contoh dan teladan seperti perang saudara
yang berlaku di Somalia ditambah lagi dengan kebuluran yang berlaku, anak-anak dapat diajar
tentang kepentingan amalan kasih sayang. Jelas bahawa, hubungan silaturahim yang erat dapat
melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang.
            Konklusinya, ibu bapa berperanan besar dalam melahirkan individu dan sekali gus
masyarakat yang penyayang di negara kita. Oleh itu, ibu bapa harus meningkatkan  peranan mereka
semaksimum mungkin, namun dalam masa yang sama tidak mengamalkan sikap pilih bulu antara
anak-anak. Apa-apa yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang yang berjaya
dipraktikkkan  akan mampu mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah!, individu yang
penyayang akan mewujudkan keluarga cemerlang seterusnya melahirkan masyarakat serta bangsa
yang terbilang.

Tulis sebuah karangan yang panjangnya  lebih kurang daripada 350 patah perkataan.

Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak.  Oleh


itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula dari  rumah.  Berikan pendapat anda
tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Contoh Karangan :- 

      Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti
pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata
ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang
sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan
amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah
tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa
memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka.  Anak-anak ibarat
sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.  Persoalannya ,
apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Pada
pendapat saya, jawapannya sudah pasti  tugas dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga
terutama seorang insan yang bergelar ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam
melahirkan sahsiah terbilang dalam kalangan anak-anak mereka.

             Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak
dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering
menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan
bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak
dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif .
Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk
perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan
perpandukan ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh
untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan
dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan
akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat,
anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes,
rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting
untuk membentuk sahsiah anak-anak.

         Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-
anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-
anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan
orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih
tua memiliki sahsiah yang baik,  sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak
kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi .
Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak
yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar
membaca.  Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh
ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora,  dicampak ke  bumi menjadi penawar. 
Pernyataan di atas  jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah
keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang
boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di
peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah
pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang
baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau
menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak.

               Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama
dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu
bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak
yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu
meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi
anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih
sayang sesama ahli keluarga tidak luput.  Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-
anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan.  Ibu
bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan
kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan
seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga
sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang
dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling
menghormati.

             Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan
bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak
lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh
baju,  menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar
supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal
ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang
dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar
anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja .
Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai
seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara.
Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa
balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh. 
Tegasnya ,  pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa
mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab . 

             Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak
khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu
mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang
rakan sebaya anak-anak.  Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh
yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh
rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai
dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya
kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu
bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang
di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap
anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah ,
beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis.  Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan
siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan
balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak
dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-
anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .

            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak
yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari akan  tanggungjawab mereka untuk
mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri
mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan
sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan
diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan
keperibadian mereka kerana mereka merupakan “role model” bagi anak-anak. Tegasnya, rumah
tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah
mulia. Rumahku, Syurgaku

Anak merupakan satu anugerah Tuhan kepada mana-mana ibu bapa pun. Kemunculan anak
dalam kehidupan berkeluarga dianggap pemberi penyeri atau sumber inspirasi pula. Keadaan ini
menyebabkan ibu bapa perlu memberikan perhatian dan penekanan terhadap usaha mendidik
anak juga. Oleh itu, ibu bapa memang berperanan penting dalam mendidik anak mereka.
 
Kepentingan peranan ibu bapa ketara kerana merekalah orang yang paling rapat dengan anak
mereka. Semua tindakan dan kelakuan ibu bapa akan menjadi ikutan anak mereka kerana anak
menjadikan ibu bapa contoh teladan mereka pula. Kegagalan ibu bapa untuk memaparkan
teladan yang baik boleh mempengaruhi sikap anak mereka pula nanti. Pendek kata, kerapatan
ibu bapa dengan anaklah yang menjadikan peranan mendidik itu penting dilaksanakan dengan
baik.
 
Selain itu, ibu bapa menjadi tempat meluahkan masalah buat anak-anak. Setiap masalah yang
berlaku dalam kehidupan anak pasti akan dirujuk kepada ibu bapa untuk mendapat panduan
menyelesaikannya dan kegagalan untuk berinteraksi dengan ibu bapa ketika inilah yang
menyebabkan anak-anak terganggu kelakuannya. Ibu bapa yang mahir ialah ibu bapa yang sedar
keadaan ini lalu memberikan pelbagai nasihat dan kata perangsang yang membantu anak
mereka untuk mengharungi zaman keremajaan mereka dengan baik. Justeru, ibu bapa penting
kerana merekalah tempat anak-anak mendapatkan panduan ketika dibelenggu pelbagai masalah
hidup.
 
Tambahan pula, ibu bapa boleh menjadi individu yang memberikankasih sayang kepada anak
mereka terutama ketika anak mereka melakukan kesilapan. Ibu bapa yang bijak mendidik akan
memaafkan kesalahan anak mereka walaupun diri mereka berasa kecewa kerana sedar anak
mereka perlu diberipeluang kali kedua. Tindakan memaafkan kesalahan anak dengan bijak dan
penuh kasih sayang ini akan membentuk anak menjadi insan yang lebih baik sikapnya.Maka, ibu
bapa penting kerana merekalah tempat kasih sayang bermula dalam hidup remaja itu.
 
Namun begitu, peranan pihak sekolah terutama guru juga penting dalam kehidupan remaja.
Pihak guru perlulah mendidik generasi muda ini dengan penuh tanggung jawab kerana masa
remaja banyak juga dihabiskan di sekolah.Semua nasihat dan dorongan yang diberikan oleh
pihak guru pasti meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa pelajar itu lalu membentuk peribadi
yang mulia pula.Jadi, pihak sekolah juga memikul tugas mendidik generasi muda ini bersama-
sama ibu bapa.
 
Malah, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak
anak-anak mereka. Remaja yang berakhlak mulia pasti memiliki rakan yang serupa juga
akhlaknya. Kegagalan memilih rakan yang baik akan menyebabkan seseorang remaja itu
terjebak ke kancah negatif  yang lebih buruk pada masa hadapan. Oleh itu, anak juga hendaklah
bijak memilih rakan supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermanfaat pula.
 
Kesimpulannya, ibu bapa memang berperanan penting dalam didikan anak kerana mereka
umpama lilin yang membakar diri sendiri untuk memastikan kehidupan anak berjalan lancar.
Kerjasama anak juga penting supaya semua masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan
lebih mudah dan pantas. Anak merupakan satu tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita
semua. Peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya membuktikan betapa didikan
ibu bapa ketika anak itu masih kecil amat penting lagi bermakna untuk masa depan mereka
kelak.
Peranan ibu bapa dalam mendidik anak

Anak ibarat kain putih , ibu bapalah yang insan yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika
merah, merahlah ia, jika biru, birulah ia. Corak yang dihasilkan itu bakal menentukan gerangan
anak-anak pada masa hadapan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan dan mendambakan anak-anak
mereka menjadi insan yang berguna serta berbakti terhadap orang tua. Demi mencapai
keinginan tersebut ibu bapa sanggup melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan hasrat hati
mereka itu terlaksana dengan jayanya. Mereka tega menghabiskan masa dan tenaga bahkan
wang ringgit demi melihat anak-anak mereka berjaya. Kebanyakan ibu bapa menyayangi anak
mereka dengan setelusnya, umpama menatang minyak yang penuh. Namun, dengan mencurhkan
kasih sayang semata-amata tidak mungkin akan dapat menjadikan anak-anak seorang insan yang
berbakti, justeru usaha-usaha lain harus ditimbal balik dan diambil kira.

        Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar seribu mancis
tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat
menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil
oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan
memberikan didikan agama yang sempurna. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
suruh dan perintahlah anak-anakmu mendirikan solat sedari umurnya tujuh tahun. Solat
merupakan perkara terpenting yang perlu dipantau oleh ibu bapa. Solat dapat mendidik anak-
anak untuk sentiasa melakukan perkara baik dan menjauhi perkara mungkar. Apabila anak-anak
telah diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati oarng tua dan berbudi pekerti
luhur, sudah pasti segala apa-apa yang diangan-angankan oleh ibu bapa akan menjadi realiti.
Insan yang berguna ialah insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan
diri mereka sudah cukup teguh, segala apa-apa yang dirancang pasti menjadi nyata.       

      Seterusnya usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan melihat
anak-anak mereka berjaya itu tercapai adalah dengan bermain tarik tali dengan anak-anak.
Dalam usaha mendidik anak-anak ibu bapa perlu mengamalkan toleransi, perasaan kasih
sayang dan bertegas dalam bicara perlu menjadi tunjang utama. Ibu bapa tidak perlu
memanjakan anak-anak sehingga mereka merasakan bahawa diri seperti anak emas dalam
keluarga, ibu bapa boleh menuruti rengekan dan permintaan anak-anak. Namun, mereka harus
berpada-pada, Sedikit penegasan perlu diberikan. Hal ini bertujuan mengelakkan anak-anak
menjadi manja dan besar kepala. Menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan tidak
bererti ibu bapa membanci, tetapi hal ini merupakan tanda ibu bapa menyayangianak-anak.
Apabila perasaan kasih sayang dan bertegas sudah menjadi sama rata, maka tidak akan wujud
sebarang kekangan. Anak-anak akan sentiasa mengawal tingkah laku dan peradaban mereka.
Malah, mereka pasti akan melakukan yang terbaik demi membahagiakan diri sendiri dan ibu
bapa yang tercinta, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Perpeganglah kepada peribahasa
tersebut, nescaya kesudahan yang baik akan menjadi milik kita.       

      Lampu Alladdin tidak akan bersinar dengan sendiri tetapi Alladdin akan mengosoknya
terlebih dahulu.Begitulah juga halnya dengan hasrat ibu bapa untuk menyaksikan anak-anak
mereka menjadi insan yang berguna.Impian mereka tidak akan berhasil jika ibu bapa sahaja
yang bertungkus lumus menggembleng tenaga tetapi sebaliknya pula bagi anak-anak. Dalam
konteks ini, ibu bapa perlu memberi sedikit penekanan terhadap kepentingn pendidikan dalan
sanubari anak-anak. Ibu bapa perlu mengasuh anak-anak untuk memahami dan mendalami ilmu.
Anak-anak pula perlulah berusaha untuk mencapai keinginan tersebut. Anak-anak umpama
jentera yang memerlukan minyak pelincir bagi melancarkan pergerakannya. Apabila minyak
pelincir sudah dituang, maka akan lancarlah pergerakannya. Sehubungan dengan itu, kedua-dua
belah pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masnig bagi memastikan kelangsungan
perjalanan hidup mereka.       

      Tun Dr Mahathir pernah berkata, banyak masalah di dunia ini berpunca daripada sikap
manusia yang tidak pernah berusaha memahami antara satu sama lain dan berbincang
untuk melepaskan diri daripada sebarang musibah. Oleh yang demikian langkah drastik yang
boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna
adalah dengan menyelami hati dan keinginan anak-anak. Umpama menarik rambut dalam
tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak, ibu bapa perlu sebaik-baiknya mengetahui
rasa hati anak-anak. Cara sebegini akan dapat menghindari anak-anak daripada berasa
tertekan. Tertekan dalam konteks ini bermaksud bahawa anak-anak akan berasa dalam dilema
sama ada menurut kemahuan diri dan menghancurkan harapan ibu bapa atau menurut
kemahuan ibu bapa dan merobek hati sendiri. Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak
berusaha untuk mencapai mimpi mereka tanpa memikirkan kemampuan sebenar anak-anak.
Anak-anak akan memberontak akibat desakan yang bertubi-tubi daripada ibu bapa. Nah,
apabila situasi ini berlaku, lain yang diharap lain yang menjadi, bak kata pepatah, yang
dikejar tidak dapat yang diikendong berciciran.  Oleh itu, ibu bapa perlu memikirkan sedalam-
dalamnya atas segala tindakan yang akan diambil. Setiap insan memiliki paradigma dan
pandangan yang berbeza dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Dato Dr Fadzillah
Kamsah, ada menyebut usah direnung ke langit hingga terlupakan bumi, sedangkan langit
tidak mungkin digapai, sedangkan bumi sedia di tapak kaki.       

      Selanjutnya ibu bapa haruslah memberikan sedikit ruang kepada anak-anak untuk
melakukan apa-apa yang dihajati oleh mereka, asalkan tidak menyimpang dan tersasar jauh
ke lembah kehancuran. Dalam memastkan anak-anak berhsil menjadi insan yang berguna, ibu
bapa tidak boleh terlalu mengongkong anak-anak,tiada paksaan dalam menuntut ilmu. Jika
anak-anak tidak mampu meneruskannya, ibu bapa tidak boleh terus memaksa. Sebaliknya
dorongan dan kata-kata semangat perlu diberi untuk menaikkan semula semangat membara
anak-anak. Ahli Falsafah Pascal mengungkapkan kalau kita berusaha mencapai keinginan,
mulakan dengan kata-kata yang lembut kerana kata-kata yang lembut umpama air yang
menyirami tanah yang tandus. Desakan dan paksaan akan menjatuhkan anak-anak.
Sebaliknya dorongan dan nasihat akan mendorong anak-anak untuk berjaya kerana anak
umpama bunga-bunga yang tumbuh di taman, yang menjadi tanah dan baja ialah ibu bapa.
Justeru mulakan dengan kelembutan dalam memastikan kejayaan menjadi hak hakiki dan
azali anak-anak.       

      Intihanya, sudah terang lagi bersuluh, usaha untuk memastikan anak-anak mereka supaya
menjadi insan berguna bukanlah mudah. Professor Beetcher pernah berkata, anak-anak ibarat
simen basah, sesiapa yang jatuh ke atasnya pasti memberi kesan. Justeru, ibu bapa perlu berhati-
hati mengambil sebarang tindakan dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang. Usaha
yang sewajarnya perlu diambil dan segala emosi yang membungkam jauh dalam sanubari perlu
ditolak ke tepi. Kepentingan setiap individu perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Akhir
kalam, pendayong sudah di tangan, perahu sudah di air, segala tindakan wajar sudah
terpampang hanya yang tinggal adalah usaha untuk melaksanakannya. Jauhkan emosi untuk
meningkatkan prestasi.

Secara literalnya, menabung dapat ditakrifkan sebagai amalan menyimpan wang di


bank, di dalam tabung dan yang seumpamanya. Masyarakat lebih gemar menghabiskan
wang yang ada daripada menabung. Stigma yang negatif ini sememangnya sudah lama
berakar umbi dalam jiwa masyarakat. Walaupun pihak kerajaan pernah memerah keringat
untuk menggalakkan rakyat menabung, khususnya anak-anak, tetapi usaha murni tersebut
telah menemui jalan buntu, seperti hujan di atas pasir.. Dalam usaha menjayakan amalan
menabung, ibu bapa memainkan peranan yang paling penting untuk memupuk amalan
menabung dalam kalangan anak-anak.
Kanak-kanak diibaratkan sebagai kain putih yang tanpa tompok, terpulanglah kepada
ibu bapa untuk mencorakkannya. Ibu bapa seyogia melakukan anjakan paradigma untuk
memupuk amalan menabung dalam kalangan anak, seumpama peribahasa melentur buluh
biarlah dari rebungnya.Oleh hal yang demikian, ibu bapa harus menjadikan diri sebagai suri
teladan untuk anak-anak. Pada usia yang muda, anak-anak tidak dapat berfikir dengan
rasional dan matang serta tidak dapat membezakan antara intan dengan kaca. Kesannya,
mereka akan mencontohi pelakuan dan tingkah laku ibu bapa. Bagaimana acuan, begitulah
kuihnya. peribahasa yang sering terngiang-ngiang di telinga kita ini masih dapat dibuktikan
kebenarannya sehingga hari ini. Memandangkan anak-anak akan mencontohi apa-apa jua
tindakan dan gelagat ibu bapa, ibu bapa harus mengamalkan tabiat menabung. Antaranya,
ibu bapa harus menyimpan wang yang berlebihan di dalam tabung. Ibu bapa juga harus
membuka akaun bank untuk menyimpan wang. Kontranya, sekiranya ibu bapa membazir
wang mereka, anak-anak tidak mungkin akan menabung. Gambaran di atas
memanifestasikan peranan ibu bapa sebagai suri teladan untuk memupuk amalan menabung
dalam kalangan anak.

Mutakhir ini, pihak bank telah memberikan galakan kepada masyarakat untuk
membuka akaun bank. Pihak bank juga menyediakan pelbagai insentif yang menarik, seperti
kadar faedah yang tinggi kepada sesiapa sahaja yang membuka akaun bank untuk
menambat hati masyarakat. Lantas ibu bapa harus memanfaatkan peluang ini untuk
membuka akaun bank bagi anak-anak mereka. Amalan menyimpan wang di dalam bank
dapat dicerminkan dengan peribahasa, “ menyediakan payung sebelum hujan”. Hal ini
berlaku demikian kerana wang yang akan disimpan di dalam bank dapat digunakan semasa
kecemasan. Dengan membuka akaun bank, anak-anak berpeluang didedahkan dengan
kepentingan amalan menabung. Anak-anak juga akan mengambil iktibar bahawa menabung
merupakan amalan kudus yang harus disemai. Ibu bapa juga harus mengambil inisiatif tanpa
mengenal penat dan lelah untuk membawa anak-anak ke bank dua bulan sekali. Usaha
untuk menyimpan wang di bank harus dilakukan secara istiqamah dan konsisten, bukan
sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Ilustrasi di atas menggambarkan bahawa ibu bapa
harus mengorak langkah yang proaktif untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan
anak.

Semasa meraikan hari ulang tahun kelahiran anak-anak, ibu bapa gemar
menghadiahkan hadiah yang mahal-mahal kepada anak-anak sebagai tanda kasih sayang
terhadap anak-anak. Sebagai misalan, terdapat segelintir ibu bapa yang akan
menghadiahkan komputer, alat permainan video dan sebagainya kepada anak-anak sebagai
bukti mereka telah menatang minyak yang penuh. Pernahkah terlintas dalam jalur fikiran
anak-anak tentang impak negatif pemberian hadiah-hadiah sedemikian kepada anak-anak?
Kesan yang paling ketara ialah anak-anak akan bersifat hedonistik. langkah yang paling
afdal ialah ibu bapa sewajarnya menghadiahkan tabung kepada anak-anak sempena
ulang tahun kelahiran anak-anak. Hal ini bukan sahaja dapat menyerlah kasih sayang ibu
bapa terhadap anak-anak, malah dapat menanam amalan menabung dalam hati nurani
anak-anak. Ibu bapa digalakkan menghadiahi anak-anak tabung yang cantik dan bercorak
menarik agar anak-anak akan beristiqamah untuk menabung. Anak-anak juga akan
menyedari kepentingan amalan menabung dalam kehidupan seharian. Deduksinya, memang
tidak ada sesiapa yang berupaya menyangkal bahawa tindakan ibu bapa memberikan
tabung sebagai hadiah adalah sangat wajar untuk memupuk amalan menabung dalam
kalangan anak.

Prakarsa seterusnya, ibu bapa harus memberikan penerangan kepada anak-anak


untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Alternatif ini dapat diibaratkan
sebagai perisai yang ampuh kerana dengan adanya penerangan, anak-anak akan dapat
meluaskan horizon mereka tentang kepentingan amalan menabung. Sebagai contoh, amalan
menabung dapat menggarap nilai berjimat-cermat dan mengikis sikap membazir anak-anak.
Anak-anak juga berupaya menguruskan kewangan dengan lebih efektif untuk mengelakkan
pembaziran. Pada masa yang sama, ibu bapa harus memberitahu anak-anak tentang kesan-
kesan negatif sekiranya amalan menabung tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Antaranya, anak-anak akan dikuasai sifat boros. Penerangan harus diberikan secara
berhemah dan lemah lembut supaya lebih mudah diterima oleh anak-anak. Ibu bapa juga
wajar menjadikan cerita, teka-teki dan tayangan video sebagai saluran untuk menyampiakan
informasi tersebut kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana media-media tersebut amat
mujarab untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Sebagai penalinya, ibu
bapa harus menggembleng tenaga dan mendukung obligasi untuk membentuk generasi
masa hadapan yang menyemai amalan menabung dalam sanubari.

Setiap tahun, pihak kerajaan akan bahu-membahu dengan organisasi bukan kerajaan
(NGO) untuk menganjurkan “Kempen Menabung”. Matlamat utama aktiviti tersebut
dianjurkan adalah untuk mempraktikkan amalan menabung dalam kalangan anak. Dalam
majlis pelancaran Kempen Menabung, pelbagai aktiviti yang menarik akan diadakan, seperti
sayembara menulis esei, kuiz pengetahuan am dan pertandingan melukis. Hadiah-haidah
yang lumayan telah disediakan untuk pemenang-pemenang. Oleh itu, ibu bapa harus
membawa anak-anak untuk memeriahkan majlis tersebut serta memberikan kerjasama
yang padu untuk menjayakan kempen tersebut. Usaha pihak kerajaan yang bekerjasama
dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) adalah seperti sambil menyelam minum air. Hal ini
demikian, usaha yang murni ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan kekeluargaan,
tetapi juga dapat memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Anak-anak memang
akan memperoleh kemaslahatan yang banyak sehingga tidak dapat dihitung oleh jari.
Antaranya, anak-anak akan diperkenalkan kepada teknik menabung yang berkesan. Anak-
anak juga dapat menghabiskan masa dengan berfaedah. Natijahnya, ibu bapa berperanan
untuk membawa anak-anak ke Kempen Menabung agar dapat memupuk amalan menabung
dalam kalangan anak.

Akhirulkalam, seluruh strata masyarakat khususnya ibu bapa harus melangkah


sederap dengan pihak-pihak ataupun agensi-agensi yang lain untuk memupuk amalan
menabung dalam kalangan anak. Amalan menabung merupakan nadi pembangunan dan
kesentosaan negara. Justeru, jangan meranapkan impian Wawasan 2020 yang lantang
diuar-uarkan oleh mantan perdana Menteri Malaysia, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammah.
Bersama-samalah kita memanifestasikan iltizam Malaysia untuk menjadinegara yang maju
yang dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara moden di seantero dunia.
Hal ini kerana salah satu elemen kearah kemajuan negara ialah amalan menabung. Biar
matahari terus bersinar, biar pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gilang-
gemilang di persada antarabangsa hingga kekal abadi. Semoga dengan saranan-saranan
pragmatik di atas menjadi kenyataan, fajar sidik 2020 yang akan menyingsing nanti akan
membawa sinar baru kepada masa hadapan anak watan Malaysia. “ Nik kasa nir jaya”.
Ungkapan berirama Sanskrit ini mencerakinkan bahawa kejayaan tidak mungkin dibuahkan
tanpa usaha yang padu dan konkrit daripada ibu bapa untuk memupuk amalan menabung
dalam kalangan anak, seperti juga yang digambarkan dalam rangkap puisi berikut:

Kulit upih dihiris mayang,


Bersarang ulat di tepian kolek,
Yang pipih tidak datang melayang,
Yang bulat tak datang bergolek.

LIM HARN CHIENH (5SCB)

You might also like