You are on page 1of 2

Cara memupuk perpaduan

Perpaduan merujuk kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam sesebuah negara. Sudah
terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini
menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Isu
perpaduan kaum bukanlah sesuatu isu yang baharu di negara kita bahkan telah menjadi fokus
perbincangan dalam media massa dan buah mulut dalam kalangan rakyat. Senario ini amat
mengecewakan kerana pembangunan negara kita yang pesat sejak merdeka akan terjejas
disebabkan pergaduhan dan pergolakan politik dalaman. Tiada penyakit yang tiada penawarnya,
maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan secara berterusan
agar masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi.

Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan
yang mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam institusi keluarga, ibu bapa merupakan entiti
mithali kepada anak dan perlu menunjukkan teladan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur
sapa dan melayani jiran setangga dengan mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan agama.
Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa yang menghormati
kaum lain, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di
sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam sanubari anak
murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan, barisan pendidik
dapat memberikan bimbingan dan nasihat yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam
para murid. Yang kita pastikan ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat
memupuk nilai perpaduan dalam generasi muda.

Selain itu, pada masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di
negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat memupuk semangat
bekerjasama bak aur dengan tebing untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran
tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan
juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, konsep
rumah terbuka haruslah diperkukuh di negara kita. Rumah terbuka merupakan kaedah pemupukan
perpaduan yang efektif kerana dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam kaum
lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat diwujudkan dan hubungan erat bak isi
dengan kuku dapat dijalin. Dengan perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran yang
paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian
perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan
perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan
mesej dan informasi positif tentang kepentingan bersatu padu. Sebagai analoginya, stesen penyiaran
tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang
berbilang pelbagai bangsa. Siaran program sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam
jiwa masyarakat secara berunsur-unsur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam
program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih mudah melalui
peranan media massa.

Dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan bersuara. Namun demikian,
rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi
kaum. Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan
mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan kaum
daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru,
peranan rakyat sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan
kaum di negara kita.

Konklusinya, perpaduan merupakan tunjang dan asas negara Malaysia. Semua pihak haruslah
menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memainkan peranan masing-masing dalam
menerbitkan semangat perpaduan dalam sanubari sendiri dan orang lain. Jika semua masyarakat
berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perpaduan rakyat
dapat dicapai dan diggenggam erat. Dengan ini diharapkan peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969
dapat dielakkan daripada berulang kembali. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah
kita bersama-sama menyeru sahutan kerajaan dan berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang
harmoni dan bersatu.

You might also like