You are on page 1of 4

LAPORAN PENILAIAN BERKAITAN IMPLIKASI AMALAN SOSIOBUDAYA MURID

SEKOLAH DI MALAYSIA

Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup sinonim dengan kepelbagaian kaum
dan etniknya. Kepelbagaian ini telah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang mempunyai
bermacam jenis budaya sebagai pegangan dan amalan hidup mereka. Secara tidak langsung,
sosiobudaya dalam masyarakat di negara kita dapat diwujudkan. Menurut Kamus Dewan Edisi
Ketiga, kepelbagaian membawa erti berbagai-bagai jenis manakala sosio-budaya pula
ditakrifkan sebagai hubungan masyarakat dengan budaya yang merangkumi cara hidup, adat
istiadat dan sebagainya. Oleh yang demikian, kepelbagaian sosiobudaya boleh didefinisikan
sebagai hubungan masyarakat yang mempunyai perbezaan budaya dalam wilayah yang sama
dan hidup bersama. Inilah perkara yang dapat menjadi bukti keunikan negara kita berbanding
negara lain.

Jika ditinjau dari sudut pendidikan, individu murid adalah unik dan berbeza. Hal ini
kerana, murid-murid sekolah adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik,
bahasa dan loghat, struktur dan kelas sosial, agama dan kepercayaan, adat resam dan adab
serta gender di samping tempat tinggal yang pelbagai. Kepelbagaian latar belakang ini
menghasilkan latar belakang budaya dan pembawaan yang berbeza dalam kalangan murid.
Lantaran itu, wujudlah kepelbagaian sosiobudaya di sekolah. Kepelbagaian sosiobudaya akan
memberi impak ataupun implikasi tersendiri kepada sesebuah organisasi. Kepelbagaian ini turut
dirasai di peringkat sekolah meliputi implikasi terhadap guru, murid dan sekolah.

Pada minggu Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang lalu, satu temubual telah
dijalankan di sekolah yang telah dipilih. Temubual ini dijalankan dengan tiga orang guru
berlatarbelakangkan pelbagai budaya sekolah yang berbeza iaitu guru biasa, guru data dan
guru penolong kanan hal ehwal murid (HEM) di sekolah tersebut. Tujuan utama pelaksanaan
temubual ini adalah untuk membincangkan tentang implikasi amalan sosiobudaya murid
sekolah di Malaysia. Hasilnya, satu dapatan telah diperoleh meliputi implikasi terhadap murid,
guru dan sekolah iaitu kaum etnik, penerimaan dan layanan adil serta kepimpinan sekolah.

Temubual pertama yang dijalankan adalah temubual bersama bersama guru biasa. Hasil
daripada temubual ini mendapati bahawa, kepelbagaian sosiobudaya telah membawa implikasi
kepada murid-murid di sekolah tersebut dari segi kaum etnik. Kaum dan etnik ini boleh
didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam,
termasuk adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi. Dalam konsep masyarakat
majmuk Malaysia, terdapat pelbagai kelompok etnik yang hidup berlainan tetapi berada di
bawah sistem politik yang sama. Namun begitu, sekolah ini hanyalah terdiri daripada satu kaum
atau etnik sahaja iaitu Melayu. Murid yang belajar dan tinggal dalam satu etnik sahaja adalah
kurang mendapat pendedahan tentang budaya kaum lain. Hal ini mendorong mereka untuk
mempunyai fikiran yang sempit tentang kaum-kaum lain sepertimana yang pernah berlaku di
sekolah ini.

Menurut guru tersebut, seorang guru berbangsa India telah diarahkan untuk menjalani
praktikum di sekolah tersebut pada lima tahun yang lalu. Namun begitu, telah timbul isu di mana
murid-murid tidak menghormati guru tersebut dan bersikap kurang ajar kepadanya. Dapatan
temubual mendapati bahawa keadaan ini berlaku kerana wujudnya unsur rasisme dalam diri
murid. Rasisme ialah gabungan prejudis dan kuasa yang diartikulasi melalui diskriminasi
berasaskan warna kulit dan ciri-ciri fizikal-biologikal yang lain. Hakikatnya, murid-murid hanya
mendapat pemahaman dan kesedaran tentang budaya kaum lain melalui pembacaan dan
mendengar cerita daripada mana-mana sumber tanpa bergaul dengan kaum itu sendiri.

Rentetan itu, mereka telah membentuk kepercayaan bahawa wujudnya ras tertentu
yang berstatus lebih tinggi daripada ras yang lain dan sebaliknya. Oleh itu, menjadi
tanggungjawab pihak sekolah untuk memberi kesedaran kepada murid tentang perkara ini
melalui program seperti RIMUP iaitu rancangan integrasi murid untuk perpaduan. Program ini
adalah untuk mengeratkan perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan budaya di negara kita.
Dengan ini, unsur rasisme dapat dibuang daripada diri murid lantas memudahkan mereka untuk
menyesuaikan diri dengan kaum atau etnik lain.

Bagi temubual kedua bersama guru data, implikasi sosiobudaya terhadap guru pula
dapat dikesan iaitu penerimaan dan layanan adil. Jawatan beliau ini menjadikan beliau sebagai
seorang insan yang bertanggungjawab untuk mengendalikan data-data berkaitan murid sekolah
tersebut. Oleh itu, segala maklumat peribadi murid terletak dalam genggamannya. Namun
begitu, guru haruslah bersifat profesional dengan tidak seharusnya melayani murid sebagai
satu kelompok individu, kelompok kelas sosial atau kelompok mengikut kaum etnik tetapi
sebagai individu yang mempunyai keunikan. Contohnya, murid-murid yang terdiri daripada
keluarga yang berpendapatan rendah dianggap sebagai tidak menunjukkan minat untuk belajar.

Mengenali latar belakang murid, taraf sosioekonomi, tempat tinggal, budaya, adat
resam, kepercayaan dan agama seharusnya membolehkan guru untuk memberikan layanan
yang lebih adil kepada murid tersebut. Maka, guru perlu menggunakan maklumat latar belakang
keluarga murid untuk memahami tingkah laku dan luahan perasaan mereka yang dipengaruhi
oleh persekitaran. Apabila guru memahami situasi murid, dapatlah guru menggunakannya untuk
merancang pengajaran dan pembeajaran (PdP) dengan lebih sesuai dan efektif serta
memberikan layanan yang adil terhadap kelompok ini. Oleh hal yang demikian, diskriminasi
terhadap murid dapat dihindarkan lantas mewujudkan suasana pembelajaran yang harmoni dan
selesa.

Temubual yang ketiga bersama guru HEM sekolah pula mendapati terdapatnya implikasi
sosiobudaya terhadap sekolah berkaitan dengan kepimpinan sekolah. Sebagai guru yang
bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan murid-muridnya, uasaha untuk membina hubungan
yang positif antara murid, warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi
satu perkara penting yang tidak boleh dipandang remeh. Pada dasarnya, Ibu Bapa murid-murid
di sekolah tersebut adalah terdiri daripada golongan petani. Berdasarkan pemerhatian,
hubungan antara guru-guru dan ibu bapa sekolah tersebut adalah baik. Namun begitu, hasil
temubual mendapati bahawa mereka sukar memberikan komitmen terhadap apa sahaja
program yang dilaksanakan sekolah seperti aktiviti gotong-royong perdana.

Menurut Gollnick dan Chin (1990), budaya menyediakan pelan tindakan yang
menentukan cara seseorang individu itu berfikir, rasa dan berkelakuan dalam masyarakat.
Kadang-kadang, perkara ini berlaku kerana mereka tidak faham akan fungsi dan tujuan
penglibatan mereka dalam sebarang program yang dilaksanakan sekolah. Oleh itu, guru dan
pihak sekolah perlulah bijak untuk memberikan penerangan dan menarik minat mereka agar
dapat memberikan kerjasama seperti yang diharapkan. Berjaya mahupun sebaliknya sesebuah
institusi atau sekolah adalah bergantung kepada gaya kepimpinan pihak pentadbirnya. Pihak
pentadbir yang baik dapat mewujudkan iklim sekolah yang mesra dan memotivasikan.

Tuntasnya, pelbagai input baru berjaya diperoleh melalui temubual yang dijalankan.
Input-input tersebut dapat membantu untuk memberi kefahaman tentang implikasi amalan
sosiobudaya murid sekolah di Malaysia. Hakikatnya, resepi utama untuk memastikan
kemenjadian amalan sosiobudaya positif agar dapat diterapkan di sekolah adalah terletak pada
kerjasama yang jitu daripada semua pihak baik pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan
khususnya mahupun pihak luar umumnya. Dengan ini, gagasan perdana menteri kita iaitu Dato'
Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak iaitu 1 Malaysia dapat direalisasikan.

You might also like