You are on page 1of 10

Konsep Bilik Darjah Yang Mesra Budaya

Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut dan mendalam, pokok utama yang perlu diketahui atau difahami adalah mengenai maksud sebenar tentang perkara yang menjadi tunjang kepada persoalan tersebut. Terdapat tiga tunjang yang dikenalpasti dalam perbincangan ini, iaitu : 1. Bilik darjah Bilik darjah seharusnya tempat yang paling seronok bagi murid-murid. Bilik darjah secara umumnya boleh didefinisikan sebagai satu ruang di mana muridmurid akan menjalani rutin belajar atau menerima seberapa banyak input yang berguna sebagai persediaan menjadi insan yang cemerlang. Di sini juga, kebanyakkan pembelajaran berlaku secara formal (rasmi). Namun, tidak dinafikan juga pembelajaran secara informal (tidak rasmi) juga berlaku. 2. Budaya Tunjang kedua pula ialah budaya. Terdapat beberapa pendapat yang dapat memberi gambaran secara jelas mengenai definisi budaya. Antaranya ialah : Budaya dapat ditakrifkan sebagai tamadun atau peradaban. Ia juga bermaksud kemajuan fikiran atau akal budi (cara berfikir dan berkelakuan). (Kamus Dewan Edisi ke-3 1996 : 180) Budaya berasal daripada budi dan daya. Dua perkataan itu dirangkumkan menjadi budaya. Bu membawa erti asli, pertama, sejati dan yang dipandang sempurna, menyenangkan, bahkan dimuliakan. Daya mengandungi erti akal, jalan fikiran, ciptaan atau bikinan dan yang seumpamanya. (Asmad, 1990) 3. Konsep bilik darjah yang mesra budaya Sebagai seorang guru, sudah menjadi kemestian bagi kita untuk mengkaji terlebih dahulu latar balakang murid-murid. Di dalam sebuah bilik darjah mengandungi murid yang pelbagai latar belakang atau budaya dan melalui perbezaan ini akan mempengaruhi tingkah laku mereka. Setiap murid bukan sahaja berbeza dari segi individu seperti dari segi jantina, keistimewaan dan cara pembelajaran yang tertentu, tetapi mereka juga berbeza dari segi nilai, sikap, tingkah laku dan kebolehan yang mungkin dipengaruhi oleh latar belakang dan budaya masing-masing. Pendidikan berbilang budaya ialah salah satu pendekatan pendidikan yang diusahakan untuk mencapai kesaksamaan peluang pendidikan dengan mengambil kira keperluan murid yang berbeza dari segi individu dan budaya. Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu, seorang guru harus peka dengan kepercayaan dan amalan sosio-budaya yang berbeza dalam kalangan muridnya. Persekitaran bilik darjah yang mesra budaya merupakan salah satu faktor yang boleh meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Secar ringkasnya, guru harus peka kepada perbezaan ini supaya tiada murid daripada golongan yang tertentu berasa

tersisih disebabkan ketidakprihatinan terhadap keperluan mereka. Keadaan ini juga dapat mempengaruhi cara murid berkomunikasi dan memahami dunia di sekeliling mereka.
(Ilmu Pendidikan : Budaya & Pembelajaran)

Anda mungkin juga meminati:

Kepentingan Membina Persekitaran Bilik Darjah Yang Mesra Budaya Dalam Konteks Sekolah Di Malaysia (Rasional Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan)
Seperti yang diketahui, Malaysia amat dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum. Secara tidak langsung, pelbagai budaya akan wujud dalam sesebuah bilik darjah. Oleh yang demikian, guru tidak seharusnya menganggap ini sebagai satu masalah dengan kehadiran murid yang berbeza dari segi individu dan budaya tetapi menjadikan fenomena ini sebagai keistimewaan yang wujud dalam bilik darjah. Murid yang hadir dari pelbagai ras atau etnik akan membawa budaya mereka tersendiri yang berbeza daripada budaya makro (budaya dominan) yang menjadi budaya formal sekolah. Murid berbeza dari segi cara mereka berkomunikasi (verbal dan bukan verbal), nilai-nilai sosial dan intelektual, cara berinteraksi, gerak badan dan pandangan (world view) merka yang dipengaruhi oleh budaya masyarakat asal mereka. Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) merupakan satu program yang menggalakkan penglibatan masyarakat setempat, para guru dan kerjasama muridmurid dalam kegiatan-kegiatan khas serta penggunaan bersama kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga dan kepakaran. Melalui program ini juga diharap dapat melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid pelbagai kaum di sekolah. Berdasarkan program ini, jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Keperluan pendidikan berbilang budaya ini amat meruncing di Malaysia. Murid-murid datang daripada latar belakang dan budaya yang berbeza. Oleh itu, guru perlu peka kepada kepelbagaian ini supaya tiada kelompok merasakan diri mereka tersisih di sekolah atau di bilik darjah. Pendekatan ini turut menjadikan guru lebih peka kepada amalan-amalan sekolah yang selama ini diterima tanpa dipersoal. Ada amalan-amalan sekolah secara tidak langsung mendiskriminasi golongan tertentu. Sebagai contoh, sistem pengaliran, pengisian kurikulum dan buku teks yang tidak mengambil kira keperluan dan pengertiannya bagi murid-murid yang berbilang latar belakang, mungkin menyebabkan murid tertentu

berasa tersisih dan ketinggalan. Persekitaran bilik darjah yang mesra budaya dapat membantu guru dalam mengenali murid dengan lebih dekat lagi. Apabila guru dan pihak sekolah peka kepada kepelabagaian muridnya dan mengambil inisiatif untuk memahami keperluan dan mengenal mereka dengan lebih dekat lagi, sekolah akan lebih bermakna kepada sebilangan besar murid. Selain itu, melalui bilik darjah yang mesra budaya ini juga dapat mengurangkan stereotaip dan prasangka (prejudice) dalam kalangan guru dan murid. Ada guru yang mempunyai prasangka (negatif) kepada murid disebabkan ras, agama, kecacatan atau kebolehan mereka. Pendekatan ini memberi peluang kelompok yang berasa tersisih, meningkatkan keyakinan diri mereka selain meningkatkan peluang mereka mengecapi kejayaan. Jika dikaitkan dengan konteks RIMUP, persekitaran yang mesra budaya dapat meningkatkan peluang untuk berjaya dan menimbulkan kesefahaman dan perpaduan dalam kalangan murid. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, budaya asal seseorang murid itu boleh mempengaruhi tingkah lakunya di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang lemah dan datang dari keluarga yang miskin mempunyai gaya belajar yang berbeza. Mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar yang lebih spesifik berbanding dengan murid yang lebih berupaya yang hanya memerlukan bimbingan sahaja dan boleh belajar sendiri.
(Ilmu Pendidikan : Budaya & Pembelajaran)

disuarakan oleh nyOng.is.me pada 2:20:00 PM

Lima cara membina persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang mesra budaya.
1. Menyusun kumpulan murid- murid yang berbilang kaum. Jika di dalam sesebuah kelas itu terdapat murid yang berbilang kaum, maka muridmurid tersebut sewajarnya dikumpulkan dalam kumpulan yang pelbagai kaum. Contohnya dengan menggabungkan murid- murid Cina, India, dan Melayu dalam satu kumpulan tempat duduk ataupun apabila beraktiviti. Dengan mencampuradukkan murid- murid yang berbilang kaum ini, murid- murid ini akan boleh berkomunikasi dan berinteraksi sesama mereka. Hal ini boleh mewujudkan suasana mesra antara mereka. Apabila pelbagai bangsa ini berinteraksi, pasti mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Ini akan dapat mengelakkan salah faham antara muridmurid dan menambahkan lagi kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan murid yang tidak berbangsa Melayu. Bagaimana pula? Bayangkan apabila murid- murid Cina asyik bercakap bahasa Cina antara mereka. Mungkin murid Melayu yang tidak faham bahasa Cina akan menyangka bahawa murid- murid Cina itu bercakap tentang mereka. Oleh itu, jika murid pelbagai bangsa dicampurkan, maka hubungan mereka akan bertambah erat. Murid Cina tidak hanya bercakap dan bergaul dengan murid Cina sahaja tetapi juga dengan murid berbangsa lain. Jadi, salah faham akan dapat dielakkan. Selain itu, murid- murid bukan Melayu akan dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu jika mereka kerap bertutur dalam bahasa Melayu. Biasanya, kanakkanak bukan Melayu seperti Cina dan India tidak boleh berbahasa Melayu sehinggalah mereka bersekolah. Hal ini bukan sekadar anggapan tetapi ianya adalah satu realiti. Ibu bapa mereka tidak bertutur dalam bahasa Melayu di rumah, maka anak- akan mereka pun tidak akan dapat bertutur dalam bahasa Melayu sehinggalah mereka belajar bahasa ini di alam persekolahan. Jika di sekolah pun mereka diasingkan mengikut bangsa, maka penguasaan bahasa Melayu mereka pasti akan lemah. Lain halnya jika mereka digabungkan bersama murid- murid yang berbeza bangsa, ini akan menyebabkan mereka menggunakan bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan mereka. Dengan cara ini secara tidak langsung jati diri sebagai anak Malaysia akan

dapat diterapkan dalam kalangan murid kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia. Dengan itu, wujudlah satu budaya berbahasa Melayu yang akan menjadi budaya Satu Malaysia. Selain itu murid- murid yang berbilang kaum ini boleh bekerjasama antara satu sama. Kerjasama ini boleh membentuk kesepaduan antara mereka dan juga dapat membentuk budaya satu Malaysia. Melalui kerjasama ini, proses penerimaan akan berlaku antara pelbagai budaya. Hal ini membawa makna walaupun murid- murid ini berbeza bangsa dan agama, masing- masing boleh menerima dan menghormati budaya rakan- rakan lain. 2. Mewujudkan ruang fizikal dan peralatan serta kemudahan yang dapat memberi keselesaan, kegembiraan, dan memberi kesan positif kepada hasil pembelajaran murid. Untuk membina persekitaran P&P yang mesra budaya, keselesaan, kegembiraan serta hasil pembelajaran murid perlu dititikberatkan. Ruang fizikal boleh menjadi salah satu daya penarik dalam sesebuah bilik darjah. Contohnya ruang bacaan, sudut informasi, ruang hasil kerja murid dan sebagainya. Dengan wujudnya ruangan- ruangan seperti ini, guru boleh memupuk budaya positif seperti budaya cintakan ilmu dan budaya membaca. Selain itu, dengan mewujudkan ruang hasil kerja murid, guru boleh meningkatkan motivasi murid untuk belajar, mencuba sesuatu yang baru dan memperkembangkan bakat yang dimiliki. Dalam pada itu, guru juga hendaklah memastikan ruang murid- murid belajar adalah dalam keadaan bersih, selesa, dan ceria. Dalam hal ini, guru sememangnya memainkan peranan utama tetapi haruslah juga dibantu oleh murid- murid. Guru berperanan menyediakan jadual bertugas untuk membersihkan bilik darjah setiap hari. Selain itu, guru juga perlu untuk memastikan pencahayaan di dalam sesebuah kelas itu mencukupi manakala pengudaraannya adalah baik. Susun atur bilik darjah seperti susun atur kerusi, meja dan peralatan juga hendaklah kemas dan memudahkan pergerakan murid dan guru. Semua inilah yang dapat memberikan keselesaan kepada murid ketika sesi P&P. Dari segi keceriaan pula, guru perlu mereka bentuk hiasan yang bukan sahaja menarik tetapi juga boleh bersesuaian dengan keadaan bilik darjah. Kadangkala bilik darjah yang dihias keterlaluan boleh menggangu tumpuan murid terhadap P&P serta memburukkan lagi suasana. Oleh itu hiasan bilik darjah hendaklah berpada- pada.

Selain itu, guru juga boleh mewujudkan peralatan yang dapat menarik minat murid untuk meneruskan sesi pembelajaran. Peralatan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada alat bantu mengajar. Alat bantu mengajar yang bukan sahaja menarik tetapi juga sesuai dengan topik pembelajaran pasti akan mendorong murid untuk memberi tumpuan semasa guru mengajar. Contohnya, dengan menggunakan diorama semasa mengajar topik habitat haiwan dalam subjek sains, murid akan lebih tertarik dan sekaligus membina kefahaman yang lebih tinggi tentang topik berkenaan. Daya tarikan sesungguhnya sangat berkesan dalam membina memori jangka masa panjang. Oleh yang demikian, murid dapat mengingat isi pembelajaran dengan lebih baik. Sebagai salah satu bonus buat guru, kemudahan yang sedia ada di sekolah boleh digunakan dalam membentuk persekitaran P&P yang mesra budaya. Misalnya kemudahan komputer dan internet di sekolah boleh memupuk budaya celik IT dalam kalangan murid. 3. Mewujudkan peraturan bersama yang dijadikan budaya. Persekitaran P&P yang mesra budaya juga mengambil kira unsur peraturan yang perlu diaplikasikan oleh murid. Peraturan yang dibuat oleh guru dan dilaksanakan oleh murid secara berterusan lama- kelamaan akan menjadi budaya. Sebagai contoh, guru mewujudkan peraturan bahawa murid mesti memberi salam kepada guru apabila guru masuk ke kelas dan bersalaman dengan guru apabila tamat sesi persekolahan. Peraturan ini kemudiannya akan dijadikan budaya oleh murid- murid apabila mereka sudah sebati dengan peraturan ini. Mereka akan melakukannya walaupun tanpa disuruh berbuat demikian. Budaya seperti ini merupakan satu budaya yang mulia kerana ada nilai menghormati guru di situ. Apabila guru dihormati, maka pelajaran akan lebih berkat lagi. Selain itu, murid- murid juga boleh diajarkan budaya bertepuk tangan setiap kali ada murid yang berani memberi jawapan apabila guru memberi soalan meskipun jawapan itu salah. Budaya bertepuk tangan ini menandakan bahawa kita menghargai keberanian murid tersebut memberikan jawapan dan memberi gambaran bahawa keberanian murid itu disokong oleh rakan- rakannya yang lain. Budaya seperti ini dapat menggalakkan murid lebih aktif dalam sesi P&P dan tidak takut mencuba. Contoh lain pula ialah dengan budaya satu dapat, semua dapat. Jika seorang murid yang melakukan kesalahan, maka semua murid dalam satu kelas itu juga akan dikenakan hukuman. Misalnya, jika ada seorang murid yang berbuat bising, maka murid- murid lain juga akan sama- sama didenda. Dengan cara ini, disiplin murid akan

dapat dikawal dengan lebih baik kerana setiap individu akan mengingatkan individu lain. Selain itu, budaya seperti ini juga dapat memupuk kesatupaduan dalam kalangan pelajar. Contohnya, jika seorang murid dapat menjawab satu soalan dan diberi hadiah 5 biji gula- gula, murid lain juga mendapat hadiah iaitu sebiji gula- gula. Apabila saja ada yang diberi hadiah, murid lain juga akan diberi hadiah cuma kuantitinya berbeza. Cara ini akan dapat mengurangkan rasa rendah diri murid sekiranya tidak berjaya menjawab dan ia akan membuatkan mereka menyokong sesiapa pun yang berjaya dalam kalangan mereka kerana kejayaan seorang daripada mereka akan dikongsi bersama. Akan ada rasa perkongsian di situ dari segi hukuman mahupun imbuhan. Cara ini akan dapat melahirkan murid- murid berbilang kaum yang bersatu ibarat kata pepatah cubit paha kiri, paha kanan terasa jua. Budaya bukan sekadar rutin hidup atau amalan harian, tetapi ia juga menjadi identiti kepada susuatu kelompok yang mengamalkannya. Contohnya, jika murid- murid di kelas A mempunyai ruang bacaan sendiri dan sering dilihat membaca, maka budaya membaca itu adalah identiti mereka. Jika murid- murid kelas B pula mengamalkan budaya bersalam dengan guru setiap kali hendak pulang ke rumah, maka budaya menghormati guru itu akan menjadi identiti bagi murid- murid kelas B. 4. Mengaitkan isi pembelajaran dengan budaya. Proses P&P bukan sahaja berlaku di dalam bilik darjah tetapi juga boleh berlaku di luar bilik darjah seperti di padang dan perpustakaan. Oleh itu, fokus untuk mewujudkan persekitaran P&P mesra budaya bukan hanya tertumpu di dalam bilik darjah. Guru boleh mewujudkan suasana mesra budaya itu melalui amalan pedagogi. Untuk mewujudkan suasana P&P yang mesra budaya, salah satu caranya ialah dengan mengaitkan isi pembelajaran dengan budaya kaum yang berkaitan. Dalam konteks ini, budaya yang dimaksudkan ialah budaya kaum- kaum yang pelbagai. Dengan cara ini, murid- murid akan tahu bahawa budaya mereka itu bukan sekadar warisan tetapi ia juga bersangkut paut dengan ilmu pengetahuan. Di sini, mereka akan lebih menghargai budaya mereka dan dapat berfikir secara logik. Contohnya dalam subjek sains iaitu dalam topik pengawetan makanan, guru boleh mengaitkan pelbagai cara mengawet makanan yang terdapat dalam budaya pelbagai kaum. Misalnya kaum kadazan menghasilkan sejenis makanan yang dinamakan basou dengan cara menjeruk nasi dan ikan. Kaum cina pula membuat kuih pau dengan cara pengukusan. Selain itu, dalam subjek pendidikan Islam pula guru boleh mengaitkan adab terhadap orang yang lebih tua dengan budaya Melayu seperti adab melintas di hadapan

orang tua dan bersalaman dengan orang tua. Jika dalam subjek Pendidikan Moral pula, guru boleh mengaitkan adab menghormati orang tua itu dalam budaya India dan Cina. Satu lagi subjek yang boleh mengaitkan isi pembelajaran dengan budaya pelbagai kaum ialah subjek sejarah. Dalam subjek ini, guru boleh mengaitkan pelbagai kebudayaan. Contohnya budaya Cina dan Melayu yang digabungkan lalu mewujudkan budaya Baba dan Nyonya di Melaka. Meskipun mengaitkan budaya- budaya pelbagai kaum dalam pelbagai subjek mungkin hanya selingan, namun impaknya boleh jadi besar kepada murid- murid jika ia sering dilakukan. 5. Menggunakan kaedah belajar sambil bermain. Kaedah main merupakan satu kaedah yang amat sinonim dalam P&P sekolah rendah. Main merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan dan dapat menarik perhatian muridmurid. Ia juga adalah budaya bagi golongan kanak- kanak. Oleh itu, apa kata kalau kita gunakan kaedah ini dalam P&P dan pada masa yang sama menyelitkan unsur budaya pelbagai kaum? Bagaimana pula ia dilakukan? Dalam budaya pelbagai kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Bajau, Iban dan sebagainya pasti ada permainan tradisi. Permainan tradisi juga merupakan satu budaya. Dengan menggunakan permainan tradisi sesuatu kaum dalam P&P, guru bukan sahaja boleh mengajar topik yang perlu diajar tetapi pada masa yang sama boleh menyerapkan ilmu pengetahuan tentang budaya sesuatu kaum itu kepada muridmuridnya. Contoh yang paling mudah ialah dalam subjek Pendidikan Jasmani. Permainan tradisional boleh digunakan dalam mengajar murid- murid tentang pergerakan asas yang meliputi pergerakan lokomotor, pergerakan bukan lokomotor dan manipulasi alatan. Misalnya dalam permainan ketingting yang merupakan salah satu permainan tradisi Melayu, murid boleh belajar tentang pergerakan lokomotor ketingting( melompat dengan satu kaki) dan pergerakan bukan lokomotor iaitu imbangan badan. Permainan masyarakat India seperti Kabaddi pula boleh digunakan untuk dijadikan permainan kecil. Selain daripada subjek Pendidikan Jasmani, guru juga boleh menggunakan permainan tradisi ini dalam subjek lain seperti subjek Matematik dan Bahasa Melayu. Contohnya dalam subjek Matematik, guru boleh menggunakan permainan batu seremban untuk mengajar murid mengira. Dalam subjek bahasa Melayu pula, guru boleh menggunakan permainan baling kelapa dalam proses pengukuhan

perbendaharaan kata dalam kalangan murid dengan memanipulasikan peraturan permainan tersebut.

Rujukan: Boon, P. Y, Noriati A. Rashid, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidah A. Majid. (2011). Budaya dan Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Curriculum Development Centre, Ministry Of Education Malaysia. (2007). Curriculum Specifications Science Year 6. Putrajaya: Copyright 2007 Curriculum Development Centre Ministry Of Education Malaysia. _________. (2009). Konsep Bilik Darjah Yang Mesra Budaya. Dilayari Daripada Http://Nyongatthesky.Blogspot.Com/2009/05/Konsep-Bilik-Darjah-Yang-MesraBudaya_29.Html pada 29 Januari 2011. Nur Diyana Bt Makhzani, Nur Hidayah Bt Afandi, Nurul Hafifah Bt. Abdul Razak. (__________). Bilik Darjah Mesra Budaya. Dilayari daripada ://Www.Scribd.Com/Doc/46531299/Bilik-Darjah-Mesra-Budaya pada 29 Januari 2011. Pusat Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. (________). Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani Tahun 1-3. Putrajaya: Pusat Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.

You might also like