You are on page 1of 7

Isi Kandungan

Bil. Kandungan Muka surat

1 Tugasan 2 : Penulisan Akademik 2


Pengurusan bilik darjah mesra budaya

2 Rujukan 6

1
Tugasan 2: Penulisan Akademik

Malaysia merupakan sebuah negara yang berpluraliti tinggi yang terkenal dengan keunikan
budaya dan kepelbagaian etnik khususnya di Sabah dan Sarawak (Seok, 2016). Kemajmukan
negara ini telah lama wujud dan kini sifat pluralitinya semakin berkembang setelah negara ini
memasuki era pasca-moden. Kepelbagaian budaya dan bangsa yang menjadi ciri rakyat
Malaysia adalah asas kepada identiti Malaysia dan sumber kelebihan daya saing dalam dunia
global masa ini (Malaysia, 2015). Rentetan itu sebarang perancangan dan pelaksanaan
sistem pendidikan di Malaysia seharusnya mengambil kira elemen atau pengaruh
kepelbagaian budaya di masyarakat kita. Hal ini kerana bagi skop pendidikan kini, budaya di
sekolah adalah cermin kepada budaya masyarakat. Pendidikan di sekolah adalah mengikut
acuan budaya masyarakat dan ini menunjukkan budaya masyarakat banyak mempengaruhi
suasana dan cara didikan murid-murid di sekolah.

Menurut Abdullah(2014), bilik darjah merujuk kepada satu ruang di mana murid-murid
akan menjalani rutin belajar atau menerima seberapa banyak input yang berguna sebagai
persediaan menjadi insan yang cemerlang. Sekiranya proses pengajaran dan
pemudahcaraan (PdPc) dalam suasana bilik darjah yang mesra budaya, maka ia akan
menggalakkan interaksi dan integrasi di kalangan murid dalam situasi yang kondusif. Oleh itu,
aspek pengurusan bilik darjah perlu diberi perhatian yang lebih untuk mewujudkan sebuah
persekitaran yang mesra budaya di mana ia membolehkan murid berasa selesa untuk belajar
dan sudi menerima perbezaan dalam persamaan mereka. Pengurusan bilik darjah mesra
budaya yang berjaya sepatutnya mencakupi beberapa unsur penting seperti pengurusan
persekitaran fizikal, pengurusan sosial, pengurusan emosi dan pelaksanaan pedagogi.

Bilik darjah ialah satu ekologi yang mempunyai sistem tersendiri serta mempunyai
perkaitan antara persekitaran fizikalnya dengan benda-benda bernyawa seperti guru dan
murid (Woolfolk, 2001). Bagi mengekalkan pesekitaran pembelajaran yang positif dan
bermakna kepada murid, maka seorang pendidik perlulah memberikan perhatian kepada
aspek-aspek pengurusan fizikal bilik darjah seperti susunan kerusi dan meja murid, hiasan
serta sumber bahan pembelajaran. Sebagai contoh, murid-murid boleh diberikan peluang
untuk memaparkan hiasan atau karya seperti lukisan atau potret tokoh masyarakat budaya
etnik masing-masing supaya rakan sekelas mereka memahami unsur budaya rakan yang lain.
Konsep pengurusan fizikal harus merangkumi bukan hanya dari segi aspek kemudahan
prasarana fizikal sahaja namun hasil dari pengurusan persekitaran fizikal dapat mewujudkan
satu suasana atau iklim pembelajaran yang kondusif di mana mengambil kira keunikan
perspektif dari pelbagai latar belakang budaya..

2
Dari aspek pengurusan sosial pula, teori pembelajaran sosial Albert Bandura
menekankan aspek pemerhatian sebagai proses pembelajaran yang berkesan (Noriati, 2017).
Sepanjang pembelajaran, tahap sosial murid-murid akan mula berkembang mula dengan
kemahiran memerhati sehingga kemahiran berinteraksi dengan dengan orang lain,
pembentukan kendiri dan kawalan kendiri. Dalam konteks ini, pengurusan sosial dalam bilik
darjah memberi peluang kepada murid untuk melalui proses perkembangan sosial apabila
mereka belajar berhubung dengan rakan lain mengikut cara yang dapat diterima oleh
masyarakat pelbagai budaya

Aspek pengurusan emosi juga merupakan salah satu elemen penting dalam
mewujudkan bilik darjah mesra budaya. Hal ini kerana cara kanak-kanak menyatakan
emosinya bergantung kepada apa yang telah dipelajarinya mengenai penerimaan oleh
masyarakat. Sehubungan itu, guru seharusnya peka terhadap aspek ini melalui perbuatan
yang relevan semasa di dalam bilik darjah. Contohnya, guru sepatutnya memberikan layanan
yang adil kepada semua murid tanpa mengira warna kulit, etnik, berlainan latar belakang
budaya dan kepercayaan. Selain itu, guru boleh menjadikan bilik darjah sebagai ruang untuk
mendidik murid dengan nilai-nilai persefahaman, saling menghormati walaupun terdapat
perbezaan budaya dan kepercayaan. Memandangkan negara kita mempunyai rakyat
berbilang bangsa, maka amalan nilai yang sama dan dapat diterima oleh semua orang
semestinya menjamin keharmonian dan kemesraan. Dalam sebuah bilik darjah yang
berlatarbelakangkan pelbagai budaya, guru yang gagal dalam aspek pengurusan emosi murid
akan mendatangkan kesan buruk seperti memberikan tekanan mental kepada murid
menyebabkan mereka terganggu dan tidak selesa serta tidak dapat memberikan tumpuan
kepada proses PdPc.

Seterusnnya, bilik darjah yang mesra budaya memerlukan pelaksanaan pedagogi


yang relevan budaya. Realitinya, kebanyakan guru di Malaysia akan berhadapan dengan
murid yang datang daripada pelbagai latar belakang sosiobudaya. Justeru, guru perlu
dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan berkesan untuk
menyediakan pendidikan yang berasaskan perbezaan latar belakang murid. Pedagogi relevan
budaya merupaka pendekatan yang sesuai untuk memenuhi matlamat akademik dan tuntutan
sosial murid-murid berlainan budaya (Noriati, 2018). Dalam konteks ini, pedagogi ini berupaya
mengoptimumkan peluang pembelajaran murid apabila guru memahami perbezaan murid
berdasarkan latar belakang budaya dan setiap satunya mempunyai cara belajar yang berbeza.
Contohnya, pedagogi yang digunakan oleh guru akan mengupayakan murid menghubungkan
pengalaman di rumah dengan pengalaman di sekolah serta mendorong kehidupan
berasaskan sosiobudaya yang sebenar.

3
Bilik darjah juga merupakan satu persekitaran sosial yang terdapat satu komuniti murid
yang mempunyai matlamat yang sama (Haliza, 2016). Jika dikaji dengan lebih mendalam
mengenai elemen pengurusan sosial dalam mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya,
didapati bahawa pendedahan dalam pengurusan sosial yang sesuai dengan persekitaran dan
orang sangat penting kepada seorang murid. Rentertan itu, langkah yang berkesan
seharusnya dirangka dan diimplementasikan oleh guru di sekolah untuk kebaikan bersama.

Komunikasi yang berkesan merupakan asas kepada pengurusan bilik darjah mesra
budaya (Haliza,2016). Hal ini demikian, kemahiran berkomunikasi berkesan memberikan
peluang kepada guru bersikap mesra dan berinteraksi dengan murid-murid. Sebagai contoh,
dalam sebuah bilik darjah yang mempunyai murid yang pelbagai latar belakang, guru perlu
bijak menggunakan kemahiran berkomunikasi untuk mengenai mengenali latar belakang
setiap murid. Guru digalakkan untuk mengambil berat tentang anak murid melalui tindakan
seperti berbual, menanya ataupun melawat ke rumah untuk mengetahui gambaran latar
belakang sosiobudaya murid yang sebenar. Pengetahuan guru mengenai nama dan latar
belakang murid akan dapat membantu mengeratkan lagi hubungan sekaligus dapat
membantu guru mengawal bilik darjah tersebut dengan baik dan cekap. Dalam hal ini, murid
juga akan berasa bangga dan dihargai apabila mereka dipanggil oleh guru. Perkara ini amat
jelas kepentingannya dan turut ditegaskan oleh Thomas (2004), beliau menyatakan seorang
guru perlu mengingati nama dan mengetahui latar belakang pelajar-pelajarnya. Secara tidak
langsung akan menunjukkan guru itu mengambil berat terhadap kesemua muridnya di bilik
darjah menyebabkan mereka merasakan hubungan yang lebih rapat dan mesra dengan guru
tanpa dipengaruhi oleh faktor budaya.

Selain itu, guru boleh mengambil inisiatif untuk menyediakan suatu keadaan yang
harmonis dan ceria agar wujud persekitaran yang mesra budaya dalam bilik darjah. Guru
boleh menggunakan strategi belajar sambil bermain untuk mengajar sesuatu kandungan
pelajaran. Seseorang guru seharusnya menyediakan banyak aktiviti bermain seperti
permainan puzzle, main peranan kerana bermain mendorong pemupukan budaya yang
kolaboratif dan koperatif dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti seperti ini akan
meningkatkan kemahiran interpersonal dan intrapersonal, kemahiran menyelesaikan masalah
serta kemahiran berkomunikasi antara kanak-kanak.

Pemainan sosial yang melibatkan kanak-kanak bermain bersama dalam kumpulan


merupakan salah satu jenis permainan yang amat digalakkan. Melalui permainan sosial,
semua murid akan berinteraksi dengan orang lain secara positif, belajar menghormati hak
orang lain dan nilai budaya. Contohnya, guru matematik memberi peluang kepada murid-
murid belajar untuk berurus niaga dengan rakan-rakannya dalam permainan yang

4
berkonsepkan main peranan. Untuk bermain dengan jayanya, murid-murid perlu
berkomunikasi dengan rakan-rakannya tanpa mengira kaum dan sosiobudaya dalam cara
yang dapat difahami di samping memahami apa yang cuba disampaikan oleh mereka
kepadanya. Komunikasi ini melibatkan aktiviti bertutur dan bersoal jawab yang secara tidak
langsung dapat merangsang perkembangan komunikasi dan bahasa murid-murid dalam
suasana yang mesra budaya.

Sementelahan itu, guru juga boleh mengadakan aktiviti pembelajaran yang merentasi
kurikulum dengan menyelitkan unsur-unsur mesra budaya dan unsur-unsur warisan budaya
pelbagai etnik dengan menggunakannya sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran.
Dalam PdPc sesuatu subjek, seorang guru boleh membentuk kumpulan murid yang terdiri
daripada pelbagai etnik dan kaum dalam aktiviti berkumpulan. Tindakan ini secara langsung
dapat menggalakkan perkongsian idea dan pendapat yang pelbagai di samping dapat
mengenali budaya masing-masing secara lebih teliti. Hal ini mendorong kepada murid
menghormati etnik dan budaya lain dengan lebih baik lagi. Selain itu, guru boleh kreatif
merancang aktiviti pengajaran yang merentas kurikulum seperti menggunakan tarian kipas
Cina dalam mengajar Pendidikan Jasmani, permainan congkak untuk mengajar Matematik
dan sebagainya. Penggunaan sumber seperti ini bukan sahaja memupuk kesefahaman
antara murid pelbagai kaum dan etnik, malahan memberi peluang untuk murid memahami
dan menguasai kosa kata Bahasa pelbagai etnik.

Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai langkah yang kreatif boleh diimplementasikan


dari aspek pengurusan sosial supaya mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra
budaya. Sebagai seorang guru kepelbagaian budaya tidak menjadi bebanan kepada seorang
guru malahan ianya memberi semangat kepada guru untuk mengajar semasa di dalam kelas.
Dalam hal ini, guru di Malaysia seharusnya memikul tanggungjawab ini untuk mendidik murid-
murid mengikut acuan budaya Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang berbudaya
Malaysia di samping mengekalkan budaya etnik masing-masing. Hal ini demikian kerana
tindakan ini adalah penting untuk membantu murid menyesuaikan diri dalam suasana
masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dengan pelbagai latar belakang budaya.

5
RUJUKAN

6
Rujukan

Abdullah, K. (2014). Komunikasi Guru dalam Bilik Darjah dan Tingkah Laku Delinkuen Murid
Sekolah Menengah. Jurnal Pemikir Pendidikan, 59-77.

Haliza, H. &. (2016). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Shah Alam: Oxford Fajar
Sdn. Bhd.

Malaysia, K. P. (2015). Pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2015-2025. Putrajaya:


Kementerian Pendidikan Malaysia.

Noriati, A. R. (2017). Murid dan Pembelajaran . Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Noriati, A. R. (2018). Budaya dan Pembelajaran (Edisi Kedua). Shah Alam: Oxford Fajar Sdn.
Bhd.

Seok, C. J. (2016). Persepsi Kumpulan Multietnik di Sabah Terhadap Etnik Diri dan Etnik Lain.
MANU Bil. 26, 111-145.

Thomas, B. &. (2004). Taking Control of the Classroom. Chronicle of Higher Education, 51(4).

Woolfolk. (2001). Educational psychology (Edisi kelapan). Boston: Allyn and Bacon.

You might also like