You are on page 1of 2

LAPORAN TEMU BUAL

Pada 27 Mac 2018, saya telah menemu bual dengan Guru Besar SJK(C) Notre
Dame, Puan Goh Siew Ng pada pukul 4 petang. Beliau berkongsi pengalamannya
dengan ikhlas dan besar hati terhadap usaha-usaha yang dilakukan di sekolah dalam
mempertimbangkan aspek kepelbagaian sosiobudaya.

SJK(C) Notre Dame merupakan satu sekolah mubaligh. Murid-murid di sekolah


ini menganuti agama yang berbeza iaitu agama Katholik, Buddhist, Islam, Kristian dan
Hindu. Murid yang menganuti agama Buddhist meliputi bilangan yang banyak. Namun
begitu, saya mendapati bahawa murid-murid akan menyanyi lagu gereja dan berdoa
dengan cara Katholik di dewan sekolah sebelum memulakan pembelajaran. Hal ini
merupakan budaya dan tradisi yang diamalkan oleh murid di SJK(C) Notre Dame.

Justeru, sekolah ini boleh dikatakan mempunyai kepelbagaian sosiobudaya


dari aspek agama. Bagi mewujudkan iklim pembelajaran yang selesa, Puan Goh
sebagai pentadbir sekolah telah melaksanakan beberapa usaha sebagai implikasi
kepelbagaian sosiobudaya. Antaranya ialah pihak sekolah menceritakan budaya
agama Katholik dengan ibu bapa dan murid sebelum mereka memasuki sekolah ini.
Pihak sekolah perlu memastikan pemahaman ibu bapa dan pelajar terhadap budaya
sekolah terlebih dahulu supaya mereka boleh mempertimbangkan aspek ini sebelum
membuat keputusan. Selain itu, pemahaman sebegini juga dapat mengelakkan
kesalahfahaman antara murid apabila mereka memahami adat agama Katholik.

Bagi upacara membaca doa pada setiap pagi, murid diberi hak sama ada
menyertai upacara ini atau tidak. Walaupun doa dibacakan dalam bahasa Cina
dengan cara Katholik, murid-murid masih mempunyai kebebasan untuk berdoa
kepada Tuhan berdasarkan agama masing-masing. Pihak sekolah akan memberi
kebebasan yang secukupnya kepada murid sebagai tanda penghormatan terhadap
agama mereka. Sekiranya murid tiada keinginan untuk melibatkan diri dalam sesi ini,
guru tidak akan memaksa mereka dan hanya meminta mereka untuk berdiri diam di
tepi sahaja. Dengan ini, pihak sekolah boleh mewujudkan iklim pembelajaran yang
kondusif apabila pelajar mempunyai kebebasan untuk bersembahyang berdasarkan
agama yang dianuti. Rukun Negara yang pertama iaitu “Kepercayaan kepada Tuhan”
juga boleh didukung oleh murid secara tidak langsung.

Menurut Puan Goh, beliau juga mementingkan pemahaman pelajar terhadap


budaya-budaya lain. Hal ini disebabkan kebanyakan murid di sekolah ini berbangsa
Cina. Murid-murid kurang mengenali budaya lain seperti budaya kaum Melayu dan
Hindu. Justeru, pihak sekolah akan mengadakan aktiviti-akiviti yang dapat
mendekatkan murid dengan elemen budaya masyarakat Malaysia. Antara aktiviti yang
telah dijalankan di sekolah ini ialah pertandingan kaligrafi. Pertandingan ini dianjurkan
supaya pelajar bukan Cina dapat mengenali budaya yang diwarisi oleh masyarakat
Cina. Selain itu, aktiviti menggalakkan murid untuk memakai pakaian tradisional
masing-masing menjelang cuti perayaan Malaysia juga dilaksanakan. Misalnya,
pelajar Melayu akan memakai baju kurung ke sekolah menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Murid diberi peluang untuk meneliti pelbagai jenis pakaian tradisional daripada kaum
yang mendiami Malaysia.

Bukan itu sahaja, Puan Goh mengatakan bahawa guru memainkan peranan
yang penting untuk mengekalkan persekitaran pembelajaran yang positif. Guru akan
menerapkan nilai saling menghormati, persefahaman dalam jiwa murid dalam proses
Pdp. Sebagai contoh, guru akan menggunakan teknik perbincangan yang melibatkan
murid yang berlainan etnik dan kaum supaya dapat mengeratkan silaturahim antara
murid. Dengan ini, nilai saling menghormati boleh diterapkan apabila mereka
bercampur gaul dengan murid yang berbeza budaya dari segi gaya pembelajaran,
bahasa dan pendedahan pandangan. Guru juga akan memperkenalkan budaya di
Malaysia dengan kaedah pengajaran yang menarik semasa proses Pdp. Guru akan
menayangkan video, mencipta bahan bantu belajar atau menceritakan cerita rakyat
untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronok dan memperkenalkan
adat dan budaya di Malaysia kepada murid pada satu masa.

Kepimpinan dan pengurusan sekolah memainkan peranan yang utama dalam


menyediakan suasana dan amalan kepelbagaian sosiobudaya di sekolah (Noriati
A.Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad& Zuraidah A.Majid, 2011).
Usaha-usaha untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya perlu
dilakukan supaya pembelajaran yang berkesan boleh dicapai.

Disediakan oleh, 28 MAC 2018

______________

(BENEDICT WONG KUAN XIANG)


GURU PELATIH PISMP SEM 4 PEN. MUZIK SJK(C)
IPGK TEMENGGONG IBRAHIM

You might also like