You are on page 1of 4

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2 ini mula dibina sekitar tahun 2006. Tapak bangunan ini asalnya adalah bekas tapak sawah padi dan paya bakau. Sebahagian besarnya adalah tanah milik Allahyarham Dato Kailan, ibu kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang merupakan anak jati kawasan Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2 telah siap sepenuhnya pada tahun 2009. Pengurusan dan pentadbiran SKBL2 ini adalah urusan terus dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang.

Pada 4 Januari 2010, Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2 mula beroperasi dengan kemasukan murid seramai 148 orang iaitu dari Tahun 1 hingga Tahun 3. Terdapat 6 kelas dibuka iaitu Tahun 1 Aktif, 1 Bestari, 2 Aktif, 2 Bestari, 3 Aktif dan 3 Bestari. Kebanyakan murid-murid ini diambil dari murid-murid Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 1, Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana dan Sekolah Kebangsaan Permatang Damar Laut.

Seramai 14 orang guru telah melaporkan diri bertugas di SKBL2 pada 1 Disember 2009. En. Azlin bin Jambut telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk menjalankan tugas selaku Penyelaras Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2 mulai 20 November 2009.

Pada 31 Mac 2010, Puan Hajjah Zaharah bt Haji Jaafar telah melaporkan diri untuk menjalankan tugas rasmi sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2 yang pertama. Sebelum ini, beliau bertugas sebagai Penolong Kanan 1 di Sekolah Kebangsaan Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang. Sebagai sekolah yang baru, SKBL2 telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan prasarana yang terkini bagi menyempurnakan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Antaranya :

Pejabat Pentadbiran Bilik Guru yang berhawa dingin dan mempunyai ruang dapur. Perpustakaan berhawa dingin Makmal Komputer Makmal Sains dan Kemahiran Hidup Dewan Serbaguna Surau berkarpet Bilik Muzik berkarpet Bilik Rawatan Bilik Tayangan berhawa dingin Bilik Multimedia berhawa dingin Bilik Seni Lukis

Penyediaan kemudahan sekolah ini turut mendapat bantuan dan pertolongan daripada penduduk setempat Kampung Seronok yang diketuai oleh Dato Syed Asmadi bin Dato Syed Ahmad.

Bulan pertama penubuhan sekolah ini, gotong-royong kerap diadakan oleh penduduk setempat. Ramai yang mengambil bahagian. Kawasan padang diratakan dengan tujuh lori pasir. Kawasan prasekolah turut dibersihkan dan tanahnya diratakan.JKKKP turut membantu dari segi sumber kewangan untuk keselesaan dalam pengurusan pejabat. Begitu juga dengan kelengkapan di bilik-bilik darjah seperti langsir, jam dinding, kelengkapan di bilik makan guru, seperti meja makan, peti ais, ketuhar gelombang mikro, penapis air dan pinggan mangkuk.

LOGO SEKOLAH KEBANGSAAN BAYAN LEPAS 2

Tema warna logo adalah berteraskan warna bendera Malaysia.

OBOR

Obor seringkali dikaitkan dengan cahaya dan semangat. Pemilihan replika obor di kiri dan kanan lencana sekolah melambangkan bahawa ada sinar harapan yang bakal menyala pada setiap murid, para guru, ibu bapa dan masyarakat setempat untuk berganding bahu menjayakan agenda pendidikan dan ilmu pengetahuan dengan semangat juang yang kental.

Warna biru sebagai warna pemegang obor, melambangkan semangat perpaduan di antara tiga etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Warna api yang marak menyala membentuk tiga warna berbeza ( merah, kuning dan hijau ), menjadi simbol semaraknya semangat perpaduan di antara kaum yang wujud di negara ini.

Sekolah ini membawa visi dan misi berkonsepkan ke arah Satu Malaysia. Murid-murid diasuh dan dipupuk dengan semangat setiakawan melandasi sikap toleransi dan sense of belonging, bersatu padu dan bersama-sama bergerak ke arah perpaduan nasional.

WADAH INSAN GEMILANG

Cogan kata ini bermaksud di sekolah inilah nanti menjadi tempat dan arena melahirkan insan yang berpotensi untuk cemerlang dan gemilang. Murid-murid yang dididik di sini ialah golongan yang suatu hari nanti bakal dilabelkan sebagai insan didik yang terbaik dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek, serta menjadi generasi penerus untuk kecemerlangan negara.

LENCANA Berwarna merah berbelang putih mengambil essence kemegahan warna bendera Malaysia. Warna kuning yang mengelilingi lencana ini menggambarkan betapa institusi ini memartabatkan pendidikan sebagai cahaya ilmu yang terpenting dalam kehidupan awal murid.

Gambar komputer riba, buku dan topi graduasi dipilih menjadi lambang kejayaan murid dalam menguasai teknologi terkini, berilmu dan akhirnya berjaya mengejar cita-cita murni menjejaki menara gading dan seterusnya bakal berjaya dalam kehidupan.

* Tahun 2010 adalah tahun sekolah dibuka*

You might also like