You are on page 1of 11

1.

0 PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, kraf ialah perusahaan atau kerja seni yang memerlukan
daya cipta dan kemahiran menggunakan tangan. Kraf tradisional pula merupakan hasil kerja seni
yang melibatkan hasil kerja tangan yang memerlukan daya cipta dan kreativiti oleh masyarakat
yang dihasilkan secara turun enurun.Seperti membuat tembikar, batik , ukiran tenunan, anyaman,
tekat, wau, gasing, perhiasan diri dan sebagainya.Kraf merupakan hasil seni warisan bangsa,
peninggalan pusaka nenek moyang suatu ketika dahulu.Hasil ciptaannya kaya dengan unsur-
unsur budaya dan ini jelas tercermin melalui bentuk, gaya , sifat,garis, gerak dan warna.Bahan-
bahan yang digunakan tidak terhad.
Seni kraf Melayu adalah melambangkan hubungan yang erat antara orang Melayu dengan
kepercayaannya iaitu Islam.Kehadiran agama Islam telah mengubah haluan kepercayaan dan
pegangan orang-orang Melayu sebelum ini.Mereka telah mengetahui den menyedari tentang
keesaan tuhan yang sebenar.Mereka menggangap alam ini sebagai suatu hiasan yang berfungsi
untuk menyerikan kehidupan sementera di dunia dan kehidupan kekal di akhirat.Kesedaran
inilah lahirnya ciptaan yang berfungsi dan memenuhi keperluan hidup di dunia dan akhirat. Hasil
ciptaan seni kraf Melayu ini jelas menujukkan pengaruh Islam dalam penghasilanya.Ini jelas
digambarkan dalam ragam hias atau motif yang dihasilkan.Ianya juga mengambarkan sebahagian
daripada kehidupan seharian masyarakatnya yang menunjukkan cirri-ciri Islam.
Memang tidak pernah terfikir bahawa nenek- moyang dahulu telah memahami dan
menghayati seni yang dihasilkan. Nukilan dari deria kreativiti serta bakat semulajadi yang
dianugerahkan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Kehalusan dan keunikan keaslian reka bentuk
yang diilhamkan melalui idea dari alam semesta ciptaan Tuhan merupakan satu hasil kreatif yang
akan menjadi khazanah seni yang tidak ternilai.





2.0 KRAF TRADISIONAL MELAYU
Kraf tradisional yang dihasilkan daripada kayu yang berkualiti tinggi seperti cengal, jati dan
merbau yang mana sering digunakan untuk membuat bot dan perabot. Motif ukiran kayu
biasanya berdasarkan tempat kraf itu digunakan. Motif kaligrafi kebanyakannya digunakan di
masjid dan motif alam sekitar dibangunan istana dan golongan bangsawan. Semakin cantik dan
menarik ukiran itu, semakin tinggi golongan masyarakat yang menggunakannya. Seni ukiran
kayu ini begitu aktif dihasilkan di Kelantan terutamanya di sekitar Tumpat.
Songket merupakan pakaian tradisional melayu yang sentiasa dibanggakan oleh
penduduk di negeri Kelantan. Songket diberi jolokan sebagai "Cloth of Gold". Selalunya pakaian
songket ini dikhaskan untuk pihak diraja sahaja. Namun kini ia sudah biasa digunakan oleh
orang ramai dalam melangsungkan perkahwinan atau menyambut apa-apa perayaan. Industri
tenunan songket boleh didapati di sekitar Kampung Penambang, Kota Bharu.
Tembikar merupakan salah satu kraftangan yang dihasilkan melalui tanah liat. Sejak
dahulu lagi, tembikar sering digunakan untuk kegunaan sebagai upacara kematian dan
keagamaan oleh masyarakat ulu di Sarawak. Pembuatan tembikar dihasilkan pada zaman
Neolitik. Pelbagai artifak telah dijumpai di Kedah, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak. Kini,
barangan tembikar telah menjadi ikon utama untuk perhiasan rumah. Ukiran di dinding pejabat,
lampu tidur dan sebagainya telah diambil daripada seni ukiran tembikar. Terdapat dua tempat
perusahaan yang terkenal di Kelantan iaitu, di Kampung Sribong, Kota Bharu dan Kampung
Mambong, Kuala Krai. Masing-masing membuat barangan tembikar daripada tanah liat yang
terpilih sahaja kerana untuk menjaga kualiti dan tahan lasak barangan tersebut.
Batik adalah kraf tradisi yang terkenal di Malaysia. Batik boleh dihasilkan dengan dua
cara iaitu dengan cara dilukis atau diterap. Batik Lukis biasanya menggunakan motif flora dan
fauna dan dilukis menggunakan canting yang mempunyai corong halus bagi mengalir lilin panas
yang bertindak sebagai penebat diantara ruang warna bagi membentuk corak-corak yang sesuai
dengan rekaan yang dihasilkan.Warna akan disapu pada permukaan kain dengan menggunakan
berus warna. Batik terap dihasilkan dengan menggunakan blok logam yang diperbuat daripada
tembaga atau kepingan zink.Untuk menghasilkan corak pada blog kepingan zink perlu dipateri
dengan timah. Blok corak batik juga menggunakan lilin panas sebagai penebat bagi
menghasilkan corak batik blok seperti yang dirancang.

3.0 SEJARAH UKIRAN KAYU MELAYU
Sukar untuk melihat catatan untuk mengetahui sejarah awal ukiran kayu. Namun
demikian catatan sejarah dari perjumpaan di zaman batu Neolitik di Asia Tenggara menunjukkan
terdapatnya pengukir-pengukir handal telah wujud di zaman dahulu. Ini terbukti ukiran yang
terdapat pada belanga, gelang, kendi dan pinggan mangkuk. Sejarah awal mengenai ukiran kayu
di negara ini boleh diketahui setelah kita membaca buku Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin.
Buku yang dikarang oleh Tun Sri Lanang itu ditulis pada abad ke-17. Dalam tulisan Tun Sri
Lanang, tercatat keindahan seni bina istana Sultan Mansur Syah yang memerintah Melaka pada
tahun 1459 hingga tahun 1477. Istana berukir indah itu digelar oleh rakyat Melaka sebagai
Istana Hawa Nafsu. Seni ukir di negara ini telah pun berkembang lebih awal lagi daripada
catatan Tun Sri Lanang, namun tidak ada catatan mengenainya. Satu lagi catatan silam mengenai
seni bina ialah Hikayat Misa Melayu. Dalam hikayat itu digambarkan mengenai seni ukir di
istana yang terletak di Pulau Indera Sakti, sebuah tempat di Kuala Sungai Kinta, Perak Darul
Ridzuan semasa pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756 - 1780).
Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dan Kedah adalah negeri yang mempunyai
pengukir dari turun temurun. Dikata bahawa kebanyakan ukiran kayu adalah terpengaruh dengan
motif ukiran negara Siam, kerana pada suatu masa dahulu negeri ni di bawah pengaruh Siam. Ini
adalah berdasarkan corak ukiran masjid, wakaf, istana dan rumah-rumah lama banyak persamaan
dengan seni ukir negeri Siam. Tidak menghairankan kalau dikatakan bahawa seni ukir di negara
ini telah didatangi dari selatan negeri Thailand iaitu Patani.
Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir di
Tanah Melayu banyak terdapat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam Sejarah Melayu di
mana dikatakan seni ukiran Melayu tradisi telah ada sejak lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika
itu, orang-orang Melayu sudah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada
bangunan seperti istana dan rumah kediaman. Raja-raja Melayu pada zaman dahulu memainkan
peranan penting dalam memperkembang dan menghidupkan suasana seni ukiran. Hingga kini
peninggalan istana-istana lama memperlihatkan betapa indah dan uniknya ukiran-ukiran yang
diterapkan pada istana-istana tersebut. Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu
orang Melayu paling ketara pada binaan rumah tradisional terutama di Kelantan, Melaka dan
Negeri Sembilan.

4.0 ISLAM DAN FALSAFAHNYA DALAM UKIRAN KAYU MELAYU
Sebelum kedatangan Islam pada abad 14, seni ukiran di Malaysia lebih bercorak kepada
pengaruh Hindu dan Buddha. Oleh kerana pengaruh ini telah menyerap ke dalam jiwa pengukir
pada masa itu, kebanyakan corak yang diukir merupakan unsur-unsur makhluk bernyawa seperti
haiwan dan patung-patung, sebagai penghormatan kepada dewa-dewa mereka. Naumn setelah
kedatangan Islam, ukiran telah bertukar kepada unsur-unsur berteraskan pengaruh Islam seperti
motif-motif alam semula jadi, iaitu tumbuh-tumbuhan, corak geometri, corak kosmos dan ukiran
khat dari ayat-ayat Al-Quran.
Bahagian-bahagian tumbuhan yang digunakan sebagai motif adalah daun, putik, buah,
bunga dan akar. Selain daipada itu, bentuk sesuatu ukiran yang diukir tidaklah lahir begitu
sahaja, tetapi ia mempunyai konsep yang berhubung kait dengan keagamaan. Ini boleh dilihat
dari segi pengubahsuaian unsur-unsur tumbuhan seperti daun yang menggunakan motif ujung
daun tuntuk di mana melambangkan jiwa orang melayu yang bersikap rendah diri, tanda hormat
kepada orang lain dan tunduk pasrah kepada Allah.
Ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat
Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik sabah dan sarawak serta Orang
Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain
cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas kerana
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana
terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan
alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Dalam bidang ini,
fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan
masyarakat Orang Asli.
Seni ukir Islam jelas dapat dilihat pada rumah-rumah orang Melayu di seluruh Nusantara.
Kalimah-kalimah seperti Allah, Muhammad dan Bismillah sering menjadi bahan ukiran pada
kayu yang diletakkan di pelbagai tempat dalam rumah, masjid dan lain-lain institusi yang ada
hubungan dengan agama dan adat budaya setempat. Konsep ukiran teratai umpamanya banyak
ditemui dalam ukiran-ukiran pada mimbar masjid. Ukiran ini membuktikan penghayatan
Islam orang-orang Melayu sudah dibudayakan dalam seni ukir. Kelopak teratai
berkembang yang melambangkan Rukun Islam atau Rukun Iman yang tercantum harmoni dalam
satu ikatan tauhid. Orang Melayu turut merealisasikan citra keislamannya dalam ukiran-ukiran di
batu nisan, seni bina wakaf, seni ukir pada perahu, keris dan sebagainya. Namun tidak dinafikan
adanya percampuran antara seni Melayu tradisional dengan unsur-unsur ajaran Islam yang
dilambangkan dalam ukiran seperti ukiran pada perahu. Terdapat ukiran-ukiran yang berunsur
Islam tetapi ada juga adat-adat pemujaan pantai terus diadakan di mana pawang perahu
memainkan peranan yang penting. Dalam pemujaan, kepala perahu, biasanya wajah burung
bangau akan dikalungi bunga. Bangau lambang kuasa menangkap ikan dan mempunyai
hubungan dengan dewa-dewa di laut (Nik Hasan Shuhaimi 2000).

5.0 ANALISIS UKIRAN KAYU
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Sabrizaa B Abd Rashid, salah satu prinsip yang ketara dalam
ukiran Melayu ialah setiap ukiran atau bunganya akan bermula daripada satu tempat atau sumber
yang dipanggil punca yang berupa benih atau ibu kepada keseluruhan komposisi ukiran
tersebut . Bentuk ukiran Melayu mementingkan sifat gerak yang bermula dari suatu punca dan
tumbuh perlahan-lahan keluar daripada punca tersebut. Dalam erti kata lain setiap ukiran Melayu
bermula dari satu titik yang dipanggil ibu atau punca9. Prinsip ini juga berkaitan dengan
alam manusia kerana kejadian kita juga ada puncanya.

5.1 Motif Ukiran Kayu
Motif ukiran juga ditemui banyak di rumah tradisional Kelantan dan Terengganu, tidak
ketinggalan juga pada Rumah Tiang Dua Belas di kedua-dua buah negeri ini. Seperti yang telah
disebutkan di atas. motif khat ataupun kaligrafi ini paling banyak ditemui di Kelantan dan
Terengganu kerana pengaruh Islam yang kuat berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Kadangkala penggunannya dicantumkan dengan motif berunsur tumbuhan dan kosmos.
Penggunaan kaligrafi dalam seni ukiran Melayu disebabkan larangan Islam terhadap penggunaan
bentuk manusia dan mahkluk bernyawa.
Motif kaligrafi ini menjadi semakin sinonim dengan ukiran kayu Melayu kerana
keindahan dan daya estetikanya yang menepati jiwa dan citarasa Islam. Ukiran ini banyak
digunakan pada ambang pintu kerana dipercayai dapat menghindari anasir jahat memasuki
rumah tersebut selain dipercayai mendapat keberkatan dan mengelak dari berlaku sesuatu
musibah.
Motif yang seringkali dikaitkan dengan seni Islam dan dikatakan mempunyai pengaruh
Arab ialah motif arabes. Motif arabes merupakan salah satu seni hias yang terdapat pada masjid-
masjid yang terdapan di Malaysia. Motif ini mempunyai unsur pola geometri dan pola
flora. Susunan motif secara berulang-ulang dan mengembang ke semua arah tanpa
penghujungnya sehingga tidak terbatas oleh sesuatu bentuk. Konsep ini dikaitkan dengan sifat
Allah swt yang tidak terbatas serta tiada penghujungnya.
Motif kosmos menggambarkan alam semesta seperti matahari terbit, bintang, bulan dan
gunung-ganang. Ukiran di atas mempunyai unsur-unsur kosmos terutama bahagian tengahnya
sebagai matahari.Manakala ukiran sekelilingnya melambangkan cahaya yang memancar
memberi tumbuhan hidup subur.Ini melambangkan kekuasaan dan kebesaran pencipta-Nya
kepada hambanya di alam semester.
Motif flora biasanya diambil daripada tumbuhan yang menjalar dan rendang. Antara
tumbuhan yang paling popular di kalangan pengukir ialah jenis kacang, labu, ketubit, bunga
cempaka, bunga mawar, ketam guri, salad, bunga lawang, bunga raya, bunga cina dan
sebagainya. Unsur ini merupakan unsur yang dominan dalam rekaan seni ukir tradisional. Unsur
ini menjadi pilihan utama pada kebanyakan pengukir berdasarkan pengamatan dan memerhatian
yang telah dibuat.

5.2 Jenis-Jenis Ukiran
a) Ukiran Tebuk Tembus
Ukiran tebuk berasal dari sekeping papan atau beberapa keping papan yang ditebuk
dengan menggunakan gerudi gergaji (gergaji menggerudi) supaya tembus bentuk-bentuk bunga
atau corak. Terdapat dua jenis ukiran jenis ini, iaitu ukiran tebuk tidak silat dan ukiran tebuk
silat.
Ukiran tebuk tidak silat banyak terdapat pada rumah-rumah lama iaitu bahagian selasar,
lambur, dinding, pintu, perabot dan mimbar masjid. Bentuk bunga ukir ialah awan larat, siling,
kaligrafi dan simetri. Bagi ukiran tebuk silat, bahagian yang menindih serta melengkung keluar
ditimbulkan dan bahagian yang melengkung ke dalam serta yang tertindih ditenggelamkan.
Sesungguhnya silat ialah istilah yang menunjukkan bahagian yang timbul dan tenggelam serta
papan tebuk disobek. Bunga ukir yang terdapat pada bentuk ini ialah awan larat, silang dan
simetri.
b) Ukiran Bunga Timbul
Ukiran ini tidak tembus. Ia mengandungi bunga ukir yang disilatkan dan tidak silat.
Terdapat pada perabot, mimbar masjid, barang hiasan yang diperbuat daripada kayu, ulu serta
sampir senjata. Bunga ukirnya sama seperti ukiran tebuk.
c) Ukiran Arca
Ukiran ini banyak terdapat pada ulu senjata seperti ulu keris, kepala tongkat, kukur
kelapa, kotak nelayan dan sebagainya. Bunga ukirannya sama seperti ukiran timbul tetapi lebih
halus dan kecil.

d) Larik
Melarik merupakan satu cara orang-orang Melayu mengukir kayu. Ukiran larik berbentuk
bulat dengan susunan gerlang-gerlang dan genting-gentat yang menarik. Ukiran ini sering
terdapat pada ulu senjata, perabot, tongkat, gasing, tiang-tiang rumah dan sebagainya.

e) Ukiran Kayu Hanyut
Ukiran ini di anggap masih baru. Ukiran idi diperkenalkan oleh Perbadanan Kraf tangan
Malaysia. Ukiran ini hanya sebagai hiasan semata-mata. Ukiran kayu hanyut diukir pada
bahagian-bahagian tertentu dan dibentuk menyelupai ikan, burung dan sebagainya. Kayu
induknya di ambil dari kayu atau akar yang terdapat dalam sungai.
5.3 Teknik Dan Gaya
Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai teknik dan penggunaan satu-satu teknik
itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pandai kayu. Tiga teknik utama dan gaya
di dalam seni ukiran Melayu ialah tebuk terus, tebuk separuh dan tebuk timbul. Bentuk ukiran
juga ada tiga jenis utama iaitu bujang, lengkap dan pemidang
f) Bentuk Bujang
Bentuk ini berdiri terasing, bebas, dan tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Biasanya
bentuk ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntuk bunga ataupun putik buah.
g) Bentuk Pemidang
Bentuk ini menampilkan motif yang menggambarkan pergerakan sederhana dan tidak berbelit-
berbelit. Bentuk ini mempunyai bingkai atau pemidang. Ukiran-ukiran yang dibuat dalam bentuk
ini diberi nama-nama yang menarik seperti itik pulang petang, badak mudik, setampuk manggis
dan lain-lain. Biasanya Bentuk pemidang digunakan untuk jala-jala rumah serta benda-benda
yang terdapat di dalam rumah seperti tepak sirih, almari dan dulang kayu.

h) Bentuk Lengkap
Bentuk ini menggabungkan ciri-ciri bentuk bujang dan bentuk pemidang. Bentuk ini
menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar, batang, buah, dahan, daun, putik
dan sulurnya.




















KESIMPULANNYA
Kesimpulannya, kraf ukiran melayu mempunyai potensi yang baik jika diteruskan dan diberi
suntikan dari segi dana untuk memasarkannya di luar negara. Kraf ukiran adalah satu warisan
turun-temurun yang sehingga hari ini masih dilakukan dan mernjadi sumber pendapatan
sesetengah penduduk di Malaysia. Kraf ukiran dilihat sebagai satu simbol atau identiti negara
Malaysia pada pandangan negara luar kerana memiliki unsur-unsur tradisional dan keagamaan
yang kuat yang mencerminkan rakyat Malaysia sendiri.
Kraf ukiran di Malaysia pada hari ini masih pada tahap yang rendah kerana sebilangan
pengusaha tidak berani untuk menyahut seruan kerajaan untuk memperkembangkan perusahaan
kecil mereka kepada global kerana takut memperjudikan nasib mereka sendiri dan lebih gemar
mengekalkan dengan mengusahakan secara kecil-kecilan sahaja.
Selain itu, pengusaha kraf ukiran juga melihat akan faktor-faktor semasa seperti
kebanyakan polisi kerajaan pada masa kini lebih kepada menyelamatkan alam sekitar dan
melarang penebangan pokok secara haram dan ini menyukarkan lagi bagi mereka untuk
mendapatkan hasil hutan untuk menghasilkan barangan kraftangan. Kewujudan masalah-masalah
ini adalah disebabkan mesej kerajaan tidak sampai kepada pengusaha ini sendiri bahawa kerajaan
Malaysia menyokong akan perkembangan hasil kraftangan ini dan memberi bantuan dari segi
kewangan untuk memperkembangkan lagi perusahaan mereka ini.









RUJUKAN
Ismail Said, Ahmad S. A. (2001). Spesies-Spesies Kayu Dalam Seni Ukiran Kayu, Johor Bahru,
Cetak Ratu Sdn bhd.
Syed Ahmad Jamal (1992). Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka
http://ms.wikipedia.org/wiki/Ukiran_kayu
http://senivisual1.blogspot.com/2009/11/ukiran-kayu.html
http://cikgusharifahofficial.blogspot.com/2013/04/ukiran-kayu_5.html
http://lifeasaartstudentlilizala.blogspot.com/p/mengenal-kraf-tradisional.html

You might also like