You are on page 1of 10

Minggu 13

PEMBINAAN PERSEKITARAN BILIK DARJAH


YANG MESRA BUDAYA

SOSIOLINGUISTIK
Dalam topik ini, anda akan diberi pendedahan mengenai
peranan bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah serta
masyarakat. Tambahan pula, topik ini juga ketengahkan kepelbagaian bahasa yang
sedia ada di Malaysia serta peranan guru dalam menyatukan pelajar yang terdiri
daripada pelbagai budaya dan bahasa.

Peranan Bahasa dalam Masyarakat Pelbagai Budaya


Guru menggunakan bahasa untuk menyampaikan pengajarannya. Guru juga menggunakan
bahasa untuk membimbing dan menasihati murid-muridnya. Malaysia merupakan sebuah
Negara yang mempunyai rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik, sehubungan dengan
itu, guru-guru perlu memahami latar belakang murid yang diajar terutama faktor budaya
yang mempengaruhi perlakuan muridnya samaada perlakuan berbahasa atau perlakuan
bukan bahasa. Penggunaan bahasa sangat berkait rapat dengan latar belakang murid
terutama budaya di mana murid itu dibesarkan dan menjalani kehidupannya.

Bahasa yang dipertutur oleh manusia adalah suatu anugerah Tuhan kepada manusia
kerana dengan bahasa manusia menyampaikan hasrat, meluahkan rasa dan
mengemukakan pandangan. Bahasa merupakan alat perhubungan manusia dalam
kehidupan sosialnya sejak manusia dicipta oleh Tuhan. Maka, keupayaan manusia
berbahasa perlu disyukuri kerana bahasa sebagai alat penting kepada manusia sehingga
manusia mampu menjalani kehidupan bermasyarakat dengan sempurna. Bahasa
menyampaikan makna dalam kehidupan sosial dan apabila digunakan dalam konteks
komunikasi, bahasa dikaitkan dengan budaya yang pelbagai dan kompleks. Manusia
mengungkap kata-kata berdasarkan pengalamannya yang menyampaikan fakta, idea dan
peristiwa yang merujuk kepada pengetahuan mereka tentang dunia yang dikongsi
bersama. Kata-kata yang diungkapkan menggambarkan sikap, kepercayaan, fahaman,
dan pandangan dan sekali gus bahasa sebenarnya suatu realiti budaya. Manusia
menggunakan bahasa bukan sekadar untuk membuktikan pengalaman yang dilalui,
sebaliknya bahasa yang dipertutur mencipta pengalaman yang baharu apabila bahasa
mampu menjadi medium perhubungan antara manusia.
Penerangan di atas telah menjelaskan kepada anda peranan bahasa dalam kehidupan
masyarakat. Jadi, apakah yang anda faham tentang sosiolinguistik? Kebanyakan tokoh
bahasa di dalam dan di luar Negara bersetuju bahawa ilmu sosiolinguistik ialah bidang
pengkajian hubungan manusia dengan bahasa. Dalam konteks Malaysia yang terdiri
daripada pelbagai kaum, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang tuturkan oleh
Minggu 13

rakyat Malaysia, namun begitu, Malaysia mempunyai pelbagai jenis bahasa etnik yang
masing-masing membawa identiti budaya yang tersendiri. Walau pun bahasa Melayu
merupakan bahasa rasmi yang menjadi bahasa pengantar rakyat pelbagai kaum di
Malaysia, namun pelbagai etnik Malaysia dibenarkan bertutur dalam bahasa masing-masing
tanpa sebarang sekatan.

Kepentingan Penggunaan Satu Bahasa Pengantar


Kita telah mengetahui bahawa Malaysia memiliki pelbagai etnik, pelbagai bahasa serta
pelbagai budaya dan hal ini merupakan cabaran terbesar kepada Negara dalam membina
rakyat bersatu padu. Sehubungan dengan itu, pemimpin Negara sejak zaman sebelum
mencapai kemerdekaan lagi telah nampak isu bahasa dan etnik ini dan oleh kerana itu
sekiranya anda mengkaji Laporan-Laporan berhubung Pendidikan anda akan ketahui
bahawa kesemua Laporan menekankan aspek penggunaan bahasa kepada rakyat Tanah
Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa sosiolinguistik di Malaysia bukanlah perkara mudah
dan tidak perlu diberi perhatian sewajarnya, sebaliknya, sosiolingistik merupakan bidang
yang sangat penting dalam menentukan tahap keharmonian dan keamanan Negara.

Apakah pentingnya penggunaan satu bahasa sebagai bahasa pengantar kepada sebuah
Negara seperti Malaysia?

Dalam laporan Cheesman (1946) didapati bahawa di dalam satu kelas di sebuah kelas
sekolah Inggeris, terdapat murid-murid pelbagai etnik yang menuturkan hampir sebelas
jenis bahasa. Seandainya, murid-murid ini tidak menguasai satu bahasa yang sama
sebagai bahasa pengantar, maka pasti guru berhadapan dengan masalah untuk
menyampaikan pengajarannya dan murid tidak akan memperoleh ilmu, apa lagi untuk
menyatupadukan mereka.

Sedarkah anda bahawa perbezaan bahasa membawa kepada perbezaan budaya dan
perbezaan budaya yang ketara tidak akan membawa perpaduan antara kaum atau
etnik? Sehubungan dengan itu, Laporan Barnes pada tahun 1950 mencadangkan
penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sahaja di semua sekolah
kebangsaan. Barnes juga mencadangkan pemansuhan sekolah vernacular Cina dan Tamil
tetapi ditentang kuat terutama oleh kaum Cina kerana khuatir penutupan sekolah Cina
sedia ada. Rentetan tersebut berterusan dengan Laporan Fenn-Wu 1951 dan seterusnya
pada 1956 Laporan Razak yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di
sekolah. Ordinan Pelajaran 1957 diluluskan bagi melaksanakan usul Laporan Razak di
mana perancangan pendidikan dirangka meliputi semua kaum di Tanah Melayu dan ini
merupakan asas perkembangan pendidikan seterusnya di Malaysia.

Seterusnya dalam Laporan Rahman Talib 1960 adalah bukti betapa kerajaan
bersungguh-sungguh membentuk satu sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan
sebagai usaha menyatupadukan rakyat Malaysia. Seterusnya dalam Akta 1961 termaktab
Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa
Minggu 13

pengantar utama untuk semua peringkat pendidikan dengan mengguna pakai kurikulum dan
peperiksaan yang sama untuk semua murid.

Peranan Guru dalam Aspek Sosiolinguistik


Guru memainkan peranan yang sangat penting untuk membentuk jati diri murid yang
menghayati bahasa rasmi dan budaya nasional di samping menerap nilai-nilai menghormati
perbezaan bahasa dan budaya menurut etnik.

Bagaimanakah guru mampu memainkan peranan dalam memartabatkan bahasa


Kebangsaan dengan membentuk rakyat yang mempunyai jati diri sebagai
rakyat Malaysia dan pada waktu yang sama mengekalkan pelbagai warisan budaya etnik?

Antara peranan yang dimainkan oleh guru ialah mengadakan pelbagai aktiviti bahasa,
sastera dan budaya dalam kalangan murid-muridnya. Aktiviti yang memartabatkan bahasa
Kebangsaan boleh dilakukan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Selain aktiviti
pengajaran dan pembelajaran, kegiatan kokurikulum adalah saluran terbaik untuk
memartabatkan Bahasa kebangsaan melalui kepelbagaian aktiviti dan projek yang kreatif,
menyeronokkan serta memanfaatkan murid. Bagi mengekalkan warisan budaya dan bahasa
kepelbagaian etnik di Malaysia, guru boleh menyelitkan unsur-unsur warisan budaya
etnik-etnik lain dengan menggunakannya sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran,
contohnya, menggunakan cerita rakyat etnik Iban dalam pengajaran Bahasa Melayu,
menggunakan lagu etnik Kadazandusun dalam pengajaran dan pembelajaran
muzik, menggunakan tarian India dalam Pendidikan Jasmani.

Malahan pelbagai permainan tradisional milik etnik-etnik ini dapat digunakan sebagai
pendekatan Games based learning dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan
sumber P&P dengan menggunakan kepelbagaian unsur budaya bukan sahaja memupuk
kesefahaman kalangan murid yang tediri daripada pelbagai etnik, malahan ruang tersebut
akan mendorong murid memahami dan menguasai kosa kata bahasa etnik rakan-rakan
mereka. Sekiranya guru mampu meneruskan dan mentadbirkan hal ini dengan berkesan,
setiap etnik tidak berasa tersisih, sebaliknya menjadikan Malaysia kaya dengan variasi
bahasa dan budaya.
Minggu 13

Rumusan
Topik ini membincangkan mengenai aspek sosiolinguistik di Malaysia dan . Antara aspek
aspek penting adalah berikut:

Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai kaum yang mempunyai pelbagai bahasa
Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi
yang tuturkan oleh rakyat Malaysia.
Demi menyatupadukan rakyat Malaysia, beberapa dasar digariskan antaranya Akta
1961 yang termaktub Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama untuk semua peringkat pendidikan dengan mengguna pakai
kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua murid.
Guru perlu memainkan peranan dengan mengadakan pelbagai aktiviti bahasa, sastera
dan budaya dalam kalangan murid-muridnya. Aktiviti yang memartabatkan bahasa
Kebangsaan boleh dilakukan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah.

Senarai teks bacaan dan buku rujukan yang digunakan.


Teks Bacaan Asas
Muhamad Kamarul Kabilan & Zaharah Hassn.(2005). Readings on ethnic relations in
amulticultural society. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Rujukan
Woolfolk,A. (2004). Educational Psychology. Boston: Allyn & Bacon
Minggu 13

PENTAKSIRAN BERASASKAN BUDAYA


Fikirkan pengalaman anda sebagai guru di sebuah sekolah pelbagai budaya. Adakah anda
pernah merancang penilaian untuk kelas yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik?
Apakah aspek-aspek yang perlu anda ambil kira semasa menyediakan ujian untuk kelas
anda? Topik ini akan membincangkan mengenai perancangan yang diperlukan untuk
melaksanakan penilaian yang berasaskan budaya. Ini termasuklah konsep penilaian
berasaskan budaya, ciri-ciri ujian berasaskan budaya, prinsip-prinsip yang perlu diambil
kira serta strategi penilaian yang sesuai untuk kelas pelbagai budaya.

Konsep dan Tujuan Penilaian Berasaskan Budaya


Konsep Penilaian Berasaskan Budaya
Penilaian merujuk kepada satu proses mendapatkan maklumat yang berguna untuk
membuat pertimbangan tentang tindakan selanjutnya. Dalam perkataan lain, penilaian
adalah satu proses sistematik untuk mendapatkan maklumat dalam membuat keputusan
bagi tindakan yang akan diambil kelak. Manakala mengikut Hall (1959), budaya
merupakan satu set pola yang dialami oleh individu-individu sebagai cara bertindak, merasa,
dan melakukan sesuatu. Amat jelas adalah pandangan Erickson (1997) di mana atribut
penting budaya berkait dengan pendidikan merupakan suatu yang eksplisit
(seperti tabiat manusia) dan implisit (seperti nilai, andaian dan kepercayaan).
Maka penilaian berasaskan budaya membawa maksud bahawa penilaian yang
dilaksanakan oleh guru untuk mengumpul maklumat dalam membuat keputusan
seharusnya mengambil kira aspek kepelbagaian budaya murid semasa menyedia atau
memilih instrumen untuk memperoleh maklumat supaya keputusan yang dibuat adalah sah
dan boleh dipercayai.

Penilaian berasaskan budaya kian memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan.
Pengumpulan data tentang pengetahuan dan kemahiran pelajar dengan menggunakan
alat/teknik penilaian yang sesuai amat mustahak . Kesahan
dalam keputusan penilaian merupakan isu utama kerana keputusan-keputusan ini
digunakan untuk memaklumkan keputusan terhadap pembelajaran pelajar. Maka
keputusan yang sah dipengaruhi oleh pemilihan alat penilaian yang telah
disahkan berasaskan sampelan populasi tertentu. Juga, jika suatu alat diterjemahkan,
kepastian perlu dibuat terhadap kesahan dan integriti dalam proses terjemahan.

Tujuan Penilaian Berasaskan Budaya


Penilaian yang disediakan untuk pelajar daripada pelbagai budaya perlu mengambil kira
faktor pelajar seperti sejarah imigrasi atau perpindahan, status sosio-ekonomi, latar
belakang pelajar. Aspek-aspek ini akan akan membantu dalam membekalkan
maklumat kepada guru apabila memilih alat-alat penilaian yang sesuai untuk proses
peinilaian. Untuk guru yang menyediakan penilaian, pentaksiran berasaskan
budaya memerlukan integrasi kepekaan dari segi sikap, pengetahuan, kemahiran
menyoal atau menemubual, strategi-strategi intervensi dan amalan-amalan penilaian.
Minggu 13

Penilaian ini bertujuan untuk menentukan teknik dan strategi penilaian yang sesuai
untuk memperoleh data mengenai pelajar. Fokus mengenai penilaian yang
tidak mendiskriminasikan sesiapa seharusnya dapat membuat keputusan tentang
kemajuan pelajar selain dapat mengenal pasti atau mengklasifikasikan pelajar. Di samping
itu, penilaian ini bertujuan untuk memberi maklum balas tentang kelemahan dan
kekuatan pengajaran pembelajaran, dan seterusnya pembangunan program
pendidikan.

Secara keseluruhannya, penilaian berasaskan budaya bertujuan untuk :


(a) mengumpul maklumat untuk kemajuan, diagnosis dan tindakan selanjutnya
(b) menilai dengan menggunakan prosedur autentik dan alternatif
(c) memperoleh data tentang peluang pembelajaran untuk semua murid
(d) mengumpul maklumat sama ada ianya mengambil kira faktor linguistik dan
kerelevanan budaya
(e) menentukan keperluan bahasa yang sesuai untuk penilaian formal
(f) mengurangkan bias dalam amalan-amalan penilaian tradisional

Peranan Guru dalam menyediakan penilaian berasaskan budaya


Guru perlu mempunyai kebolehan untuk menggunakan pelbagai kemahiran penilaian dan
alat dalam pengajaran yang dapat memberi peluang pelajar menunjukkan
kompetensi mereka dalam pelbagai cara berasaskan keadaan tempatan,
termasuklah pengetahuan dan kemahiran berkait dengan pemahaman amalan
budaya tradisional.

Tambahan pula, guru perlu mengambil kira pelbagai kemahiran penyelesaian masalah
dalam menilai potensi pembelajaran pelajar di bawah jagaan mereka dan
menyediakan peluang yang sesuai untuk pelajar meningkatkan diri.

Budaya sama ada dapat dilihat atau terselindung harus diutarakan dalam proses-proses
dan kandungan pengajaran oleh guru. Budaya membentuk dan dibentuk dalam proses
pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dalam persekitaran
pembelajaran sepanjang hidup manusia, keluarga, bilik darjah , komuniti dan tempat kerja.
Maka guru berperanan untuk menangani isu-isu budaya setiap kali mereka mengajar dan
membina alat penilaian. Oleh demikian, boleh dikatakan bahawa budaya bukan sahaja
melibatkan amalan- amalan harian ( pola tingkah laku, tradisi, tabiat atau adat
resam) tetapi juga cara murid memahami idea dan membina makna terhadapnya setiap
hari. Perkara ini amat penting untuk guru sebagai landasan untuk prosespengajaran
dan pembelajaran serta penilaian.
Minggu 13

Prinsip- Prinsip Penilaian berasaskan budaya


Penilaian autentik berbandingkan penilaian tradisional iaitu ujian kertas dan pensil didapati
memberi peluang kepada semua murid pelbagai budaya untuk melibatkan diri dalam
aktiviti/tugasan penilaian berasaskan situasi sebenar. Ini amat relevan dan bermakna
kepada murid kerana mengkaitkan situasi sebenar dalam mata pelajaran. Antara
prinsip-prinsip yang perlu diambil kira oleh guru dalam penilaian berasaskan budaya
termasuk:

(a) Penilaian harus berasaskan pemahaman tentang bagaimana murid belajar. Ia harus
memainkan peranan positif dalam membentuk pengalaman pembelajaran murid
(b) Penilaian harus mengambil kira perbezaan individu murid dalam pembelajaran. Ia harus
berasaskan objektifobjektif dan membolehkan murid mendemonstrasikan pencapaian
hasil pembelajaran dalam pelbagai cara. Dalam konteks ini, pengubahsuaian kandungan
harus dilakukan dan kandungan seharusnya melambangkan budaya murid, latar
belakang murid, bahasa utama, keluarga dan komuniti. Pengetahuan kandungan dan
kemahiran perlu diintegrasikan dan merentasi semua mata pelajaran sepanjang
masa. Dalam hal ini, tugasan/aktiviti terdiri daripada jenis koperatif, aktif dan berasaskan
inkuiri.
(c) Penilaian harus bercorak adil kepada semua murid. Amalan penilaian
harus merangkumi prinsip-prinsip inklusif dan menyokong ekuiti. Amalan-amalan ini
harus dapat memenuhi kepelbagaian sama ada secara individu atau kumpulan
murid. Adalah penting untuk menggunakan pelbagai bentuk penilaian. Juga, bahasa
inklusif perlu digunakan untuk mengelakkan bias dari segi gender, perkauman, budaya
atau bahasa.

Ciri-Ciri Penting Dalam Penilaian Berasaskan Budaya


Kita harus sedar bahawa guru yang paling berpengetahuan dalam kandungan
mata pelajaran mungkin tidak begitu cekap dari segi mengenal pasti pengaruh-pengaruh
relevan budaya secara kontektual, cekap dalam mengenal pasti strategi-strategi
pengajaran yang sesuai atau pun membina prosedur penilaian yang mesra
budaya. Pada awalnya, usaha membina alat penilaian dibuat secara
kolaboratif, namum guru dalam bilik darjah perlu belajar bagaimana memodeli dan
memurnikan alat-alat ini jika ingin mewujudkan pembelajaran berkualiti dengan
positifnya.

Penilaian yang menyokong pembelajaran merupakan jenis-jenis penilaian yang tersirat


dalam kerangka kurikulum (Gordon,1996). Penilaian yang terangkum dalam kurikulum
secara formatif adalah penting untuk mencapai hasil pembelajaran spesifik yang mana
murid diberi pendedahan. Oleh yang demikian, alat-alat penilaian direka
bentuk untuk satu- satu pengajaran yang akan membekalkan maklumat untuk membuat
keputusan bilik darjah berkait dengan penempatan, diagnosis, pemantauan, dan
pencapaian murid. Penilaian yang terangkum dalam kurikulum dan
Minggu 13

aktiviti-aktiviti pengajaran merupakan komponen yang berkait rapat untuk


memudahcara pembelajaran.

Penilaian yang terangkum dalam kurikulum berbeza dari segi format dan gaya. Bentuk
penilaian terdiri daripada jenis formal, tidak formal, ujian kertas dan pensil atau aktiviti
berasaskan prestasi/perlakuan. Dalam konteks penilaian mesra budaya, penilaian
formatif yang direka atau bina akan berkisar kepada konteks yang sama seperti dalam
pengajaran dan pembelajaran untuk mengumpul data bagi menilai keberkesanan
pengajaran.

Mengikut Gordon (1996), proses penilaian yang


dilaksanakan perlu menyokong pengalaman pembelajaran pelbagai, pelbagai konteks,
dan item ujian lebih process-sensitive. Bentuk penilaian perlu distrukturkan untuk
memberi sokongan kepada aktiviti pengajaran dan terdiri daripada kepelbagaian dalam
jenis item untuk menilai objektif secara berkesan. Guru perlu berkebolehan
memadankan kehendak ujian dan aktiviti-aktiviti pengajaran demi meningkatkan
kerelevanan kurikulum dan menghasilkan maklumat yang tepat. Bentuk format
penilaian gabungan antara pelbagai jenis item dapat mengukur kemahiran-
kemahiran pemerosesan kognitif yang berlainan dan ini dikatakan dapat menunjukkan
pelbagai tahap atau jenis pembelajaran. Tambahan pula, beberapa
objektif atau komponen pengajaran dan pembelajaran boleh diukur dengan
menggunakan pelbagai format item yang berbeza untuk memperoleh maklumat yang
dapat menilai pencapaian murid.

Salah satu ciri penting yang boleh mempengaruhi prestasi murid ialah bahasa yang
digunakan dalam penilaian prestasi seperti sains. Perkataan mempengaruhi cara murid
bertindak balas terhadap tugasan. Jika sesorang tidak dapat memahami satu perkataan
or dia memahami perkataan tersebut pada perspektif lain kerana latar belakang budaya
dan linguistik, prestasinya mungkin tidak membawa makna yang tepat mengenai
pengetahuan dan kemahirannya.

Oleh kerana bahasa begitu penting dalam sesetengah alat penilaian, guru yang
mengadaptasi ujian dari populasi normal untuk kegunaan kumpulan pelbagai budaya
atau linguistik akan gagal menghasilkan penilaian yang adil serta boleh dibuat
perbandingan.

Jenis-Jenis Penilaian Berasaskan Budaya


Dalam bilik darjah yang mesra budaya, guru perlu menggunakan penilaian berterusan dan
sistematik untuk menilai kebolehan, minat, sikap dan kemahiran sosial murid.
Maklumat yang dikumpul akan menyediakan asas untuk membuat keputusan pengajaran
dan memberi pengertian kepada apa yang perlu diajar dan bagaimana hendak mengajar.
Tambahan pula, terdapat tekanan terhadap penglibatan murid dalam proses penilaian.
Apabila murid diberi peluang untuk melibatkan diri dalam penilaian, mereka boleh membuat
Minggu 13

refleksi terhadap kemajuan mereka dan memberi pemahaman baru yang tidak dapat diberi
oleh orang dewasa.

Contoh-contoh penilaian mesra budaya merangkumi yang berikut:


Pemerhatian harian tingkah laku pembelajaran dan sosial murid dalam bilik darjah.
Pemerhatian boleh dibuat melalui senarai semak, catatan, atau kad fail untuk membolehkan
guru merumuskan pemerhatian tingkah laku murid secara yang tekal dan
bermakna. Sebagai contoh, guru boleh gunakan senarai nama kelas merupakan cara
mudah untuk merekodkan pemerhatian harian. Guru boleh mewujudkan lajur untuk
mengenal pasti projek, aktiviti atau tingkah laku yang ingin diperhatikan.

Penilaian Portfolio
Murid dan guru boleh memilih sampel tugasan yang menggambarkan kepelbagaian
keperluan dan kebolehan murid untuk dinilai. Guru, murid dan ahli-ahli keluarga boleh
membuat refleksi terhadap apa yang murid telah laksanakan, tahap kebolehan mereka dan
bidang manakah yang perlu ditambah baik.

Penulisan Jurnal
Penulisan jurnal memberi peluang kepada murid berkongsi pemahaman peribadi
mengenai perkara seperti sastera dalam pelbagai konteks budaya untuk memaklum,
memperjelas dan menerangkan tentang masyarakat majmuk. Contohnya, guru boleh
menilai tentang jurnal pembelajaran di mana murid mencatat kaitan peribadi dengan
watak-watak dalam sastera yang mereka baca. Mereka boleh membina pengertian terhadap
watak dan ini memberi mereka kebebasan untuk menulis tentang watak dan berkongsi
dengan rakan.

Projek
Projek memberi peluang murid menyumbang idea mengikut kebolehan mereka. Projek
sebegini baik untuk murid dari pelbagai budaya dan berbeza secara individu kerana
mereka melakukan tugasan mengikut masa dan tahap kesediaan mereka. Mereka boleh
meneroka topik yang diminati berasaskan bacaan topik pelbagai budaya. Mereka boleh
pilih menulis laporan atau menyediakan satu persembahan lisan atau mencipta lukisan
untuk menggambarkan konsep utama terselindung dalam topik mereka. Salah
satu contoh projek termasuk rekacipta artifak yang mewakili patung kumpulan etnik dan
murid boleh menulis cerita atau puisi tentang artifak untuk tujuan penilaian projek.

Ujian buatan guru yang berkait rapat dengan program pengajaran


Perhatian utama harus diberi kepada gaya kognitif dan kemahiran akademik semua murid.
Contohnya, guru boleh mereka bentuk ujian dengan menggubal item soalan sesuai untuk
menilai pengetahuan atau prestasi murid dalam bidang kandungan tertentu dalam
kurikulum yang mesra budaya. Dalam lain perkataan, ujian harus culturally loaded dengan
mengambil kira budaya semua kumpulan murid. Bahasa yang digunakan harus difahami
semua dan tidak bias kepada kumpulan murid yang dominan. Arahan ujian perlu
Minggu 13

mengambil kira asas budaya dan faktor linguistik sedia ada murid dan murid
perlu merasai bahawa bahasa dan budayanya adalah aset bukan liabiliti dalam penilaian.

Penilaian kendiri murid


Murid boleh memberi tindak balas kepada soalan mengenai pembelajaran mereka secara
berkala dalam konferens guru/murid. Portfolio boleh digunakan semasa konferens. Sebagai
contoh, murid ditunjukkan kerja/ tugasan mereka, membincang hasil kerja dengan guru dan
menilai kemajuan sendiri.

Penilaian kendiri guru


Penilaian kendiri merupakan bahagian penting keberkesanan pengajaran guru. Guru perlu
menyoal diri sendiri tentang pilihan mengenai tingkah laku dan strategi-strategi pengajaran,
keberkesanan dan kerelevanan budaya dalam pelajaran mereka serta reaksi dan tindak
balas mereka terhadap kepelbagaian budaya dalam bilik darjah mereka yang boleh
menyumbang kepada perkembangan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Rumusan
Topik di atas membincangkan aspek-aspek penting seperti berikut:
Cabaran yang dihadapi penilaian tidak seberat berbandingkan isu-isu mengenai
strategi-strategi pengajaran sesuai dan perkembangan guru.
Penilaian mesra budaya yang dibincangkan di atas merupakan cara-cara yang boleh
digunakan untuk menilai murid tanpa menjejaskan kesahan dan kebolehpercayaan semasa
membuat keputusan.
Jenis-jenis penilaian yang dikemukakan dapat mengurangkan bias terhadap kumpulan
etnik tertentu dan pertimbangan yang ditimbulkan perlu diambil kira oleh guru semasa
menyediakan penilaian sama ada formal atau tidak formal.
Sekiranya kurikulum adalah mesra budaya dengan mengambil kira kandungan yang sesuai
untuk murid, maka tidak akan menimbulkan banyak masalah semasa membina alat
penilaian untuk murid.
Kita akan berjaya jika kita menggunakan semua resos dan tenaga untuk melakukan yang
terbaik untuk anak kita yang berisiko jika kita tidak laku adil kepada mereka dengan tidak
mengambil kira kepelbagaian budaya. Seperti mana Height (1996) maintains: "No one else
can retrieve our values and salvage our people better than we can" (p. 53).

Senarai teks bacaan dan buku rujukan yang boleh digunakan:


Arends,R.I. (1994). Learning to Teach. 3th Edition. N.Y:McGraw Hill
Baxter, G. P. & Shavelson, R. J. (1994). Science performance assessments: benchmarks
and surrogates. International Journal of Educational Research, 21(3), 279-298.
Baxter, G. P., Shavelson, R. J., Goldman, S. R., & Pine, J. (1992). Evaluation of a
procedure- based scoring for hands-on science assessment. Journal of Educational
Measurement, 29(1),1-17.
Dalton, B., Morocco, C. C., Tivnan, T., & Rawson, P. (1994). Effect of format on learning
disabled and non-learning disabled students performance on a hands-on science
assessment. International Journal of Educational Research, 21(3) 299-316.

You might also like