You are on page 1of 6

KEUNIKAN TAMADUN JEPUN DAN TAMADUN INDIA

Oleh: Eva Elvitah Jaukim

1.0 Definisi Tamadun

Tamadun manusia meliputi keseluruhan aktiviti kemanusiaan sama ada dari segi
duniawi atau kerohanian. Tamadun manusia sentiasa berkembang seiring dengan pemikiran
manusia itu sendiri. Disebabkan perkembangan tersebut terdapat pelbagai pandangan manusia
mengenai tamadun itu sendiri. Perkataan tamadun diambil daripada beberapa perkataan Arab
iaitu maddana, umran, hadarah, dan madaniyyah. Menurut Ibn Khaldun (1958) tamadun
merupakan keadaan atau peristiwa yang berkembang daripada biasa disebabkan daripada
pembangunan dan tamadun akan berkembang jika bertambahnya kemajuan. Menurut Darcy
Rebeiro (1968) dalam bukunya The Civilizational Process, tamadun merupakan suatu proses
dan perkembangan bandar sebagai pusat perkembangan tamadun yang mempengaruhi
kawasan sekitarnya didominasi oleh politik, ekonomi dan pengaruh-pengaruh kebudayaan.

2.0 Tamadun Jepun

Nama Negara Jepun atau Nihon (Nippon) dalam bahasa Jepun bermakna Tanah
Matahari Terbit. Kepulauan Jepun mengandungi empat buah pulau utama iaitu Pulau Honshu,
Kyushu, Shikoku dan Hokkaido. Sejarah ketamadunan Jepun dapat dibahagikan kepada tiga
iaitu zaman awal, zaman feudal dan pertengahan dan zaman moden. Oleh kerana kedudukan
geografi kepulauan Jepun yang berhampiran dengan China dan Korea, berlakunya
pencampuran budaya. Kemasukan pengaruh budaya luar ke Jepun bermula pada abad ke-3
Masihi iaitu pada zaman Yayoi. Zaman Yayoi dan zaman Kofun adalah zaman bermulanya
kegiatan perdagangan. Semasa zaman Yamamoto berlaku perpecahan politik mengakibatkan
keruntuhan Jepun. Oleh itu, Jepun mempunyai pengaruh China yang begitu tinggi. Pada zaman
Asoka dan Nara, Jepun telah menerima pengaruh budaya China dengan meluas dalam
pelbagai aspek. Tamadun Jepun mempunyai keunikannya yang tersendiri sehingga menjadikan
negara Jepun kini merupakan antara negara yang maju di dunia.

1
2.1 Seni Bina

Dalam seni bina masyarakat Jepun, kayu merupakan bahan utama dalam membuat seni
bina. Kebiasaanya, seni bina Jepun menggunakan kayu tanpa cat dan menggunakan tikar
tatami untuk lantai rumah. Pada zaman Nara (710-784 M), seni bina Jepun dipengaruhi dengan
agama Buddha. Buktinya, terdapat kuil Buddha, tempat kediaman rasmi dan istana telah dibina.
Jingji (shrine-temple) turut dibina pada zaman Meiji (1868-1912 M). Seni binanya ringkas dan
luarannya kelihatan seperti bangunan lama dan tidak menggunakan cat. Kawasan sekeliling
bangunan tersebut kaya dengan alam semula jadi. Antara seni bina Tamadun Jepun yang
popular ialah Oshiro iaitu istana. Oshiro merupakan tempat tinggal Oshiro adalah tempat tinggal
pemerintah kaum bangsawan yang dibina untuk menunjukkan kemegahan kuasanya pada
Zaman Sengoku dan berfungsi sebagai pusat melakukan pertahanan. Contohnya, istana
Himeji. Selain itu, Jinjya iaitu kuil Shinto. Jinjya merupakan tempat melakukan sembahan
kepada tuhan-tuhan. Di ruangan masuk terdapat toori, yang berperanan memisahkan dunia
yang fana ini dengan alam tuhan. Kebanyakan seni bina Tamadun Jepun masih terpelihara
dapat dilihat hingga zaman kini walaupun kerja-kerja membaik pulih dilakukan. Malah, istana
Himeji yang terletak di bandar Himeji, Hyogo telah didaftarkan sebagai Tapak Warisan Dunia.

2.2 Seni Muzik

Kebanyakan lagu atau muzik masyarakat Jepun lebih bertemakan tentang patriotisme
seperti nyanyian kerinduan tanah air, nyanyian minum dan sebagainya. Terdapat pelbagai
keunikan seni muzik Tamadun Jepun. Salah satunya adalah Sakuhachi iaitu sejenis seruling
daripada Jepun. Sakuhachi digunakan sebagai alat penyebaran agama oleh penganut agama
Hottoha Rinzaishu iaitu salah satu aliran Zen. Ukurannya ialah lebih kurang 54 cm dan
diperbuat daripada bambu. Selain itu, Koto. Koto merupakan alat muzik yang sering dimainkan
di istana. Koto merupakan alat muzik tunggal iaitu dimainkan tanpa iringan alat muzik yang lain.
Alat muzik Koto mempunyai 13 dawai dan dapat menghasilkan 2.5 oktaf. Pemain Koto harus
menggunakan Tsume atau kuku palsu ketika memainkan alat muzik ini. Pada masa kini, alat
muzik tradisional Jepun jarang dimainkan kecuali ketika musim-musim perayaan dan
persembahan alat muzik klasik.

2
2.3 Seni Perhiasan

Antara keunikan Tamadun Jepun dari segi seni perhiasan ialah dari segi pakaian
tradisionalnya iaitu kimono. Kimono bermaksud senang untuk dipakai. Kimono tidak dijual
dalam keadaan yang sudah siap, sebaliknya ianya dalam bentuk kain yang dipanggil Tanmono.
Kimono diperbuat daripada sutera Jepun yang dicetak menggunakan teknik Yuzen dan hanya
dijahit dengan tangan untuk memelihara nilai-nilai estetik Kimono tersebut. Lelaki lebih
cenderung memakai Kimono ringkas berwarna hitam atau coklat, manakala bagi wanita
terdapat pelbagai reka bentuk yang berbeza. Bagi kaum lelaki Montsuki merupakan kimono
yang digunakan ketika cara formal. Kimono ini biasanya berwarna biru tua dan hitam.
Manakala, Ki Nagashi merupakan jenis Kimono yang dipakai secara santai hari-hari oleh setiap
lelaki pada hari yang tidak rasmi. Bagi kaum wanita, terdapat pelbagai jenis Kimono yang
dipakaikan ikut individu dan acara. Antaranya ialah Homongi iaitu Kimono formal untuk wanita
yang sudah berkahwin atau andartu. Biasanya dipakai ketika majlis perkahwinan dan upacara
minum teh. Seterusnya, Tsukesage iaitu Kimono semi formal untuk wanita yang sudah/belum
menikah. Digunakan ketika majlis yang semi formal seperti festival tahun baru. Kini, Kimono
masih digunakan oleh masyarakat Jepun namun bukan sebagai pakaian seharian atau santai.
Kimono sering dipakai ketika majlis-majlis perkahwinan atau festival tahun baru. Namun, ciri-ciri
Kimono masih dikekalkan.

2.4 Seni Penulisan

Dalam bidang kesusasteraan, terdapat beberapa karya yang popular iaitu Nihongi atau
Nihon Shoki yang telah disusun pada tahun 720 M dan Kojiki pada tahun 713 M yang bertujuan
untuk mengukuhkan kedudukan keluarga diraja manakala Kojiki merupakan adunan daripada
mitos, legenda China dan Korea. Karya Kojiki menceritakan tentang Kami iaitu keluarga
maharaja. Kojiki ditulis dengan gaya China dan separa tulisan China manakala Nihon Shoki
pula sepenuhnya ditulis dengan tulisan China. Selain itu, Haiku iaitu salah satu puisi tradisional
Jepun. Haiku pertama kali dibuat kira-kira pada tahun 1600, dan memiliki format yang tetap iaitu
terdiri dripada 3 baris sahaja dan mempunyai 17 suku kata. Oleh itu, Haiku merupakan puisi
yang terpendek di dunia tetapi setiap haiku membawa kepada maksud yang mendalam.
Sehingga kini, Haiku masih dikekalkan dan terdapat pelbagai pertandingan yang diadakan
dalam menulis Haiku. Di Malaysia, Haiku telah ditulis semenjak 1980an lagi dan ramai penulis
Haiku Malaysia yang berkarya dengan menggunakan medium internet.

3
3.0 Tamadun India

Tamadun India wujud pada tahun 2500-1800 Sebelum Masihi (S.M). Tamadun India
dibina selepas Tamadun Indus mengalami zaman kejatuhan. Hal ini dikaitkan dengan
kedatangan orang Aryan yang telah membawa satu budaya kepada masyarakat Lembah Indus.
Ianya dikenali sebagai Zaman Vedik. Zaman Vedik merupakan titik permulaan bagi masyarakat
dalam Tamadun India berkaitan kehidupan beragama. Ini disebabkan lahirnya agama Hindu
dan agama tersebut dianuti oleh kebanyakan masyarakat Tamadun India. Pada zaman
tersebut, terdapat dua bentuk kerajaan iaitu Janapada atau kerajaan kecil dan Mahajanapada
atau kerajaan besar. Di bawah pemerintahan Chandragupta Maurya, kerajaan-kerajaan kecil
tersebut telah disatukan. Pada tahun 321 S.M. telah lahir empayar yang pertama di India. Ini
berlaku semasa pemerintahan Dinasti Maurya apabila seluruh India utara telah disatukan.
Dinasti ini mencapai kemuncak kegemilangan pada ketika pemerintahan Asoka. Kemunculan
tamadun India dapat diklasifikasikan kepada 3 kategori iaitu zaman awal, zaman pertengahan
dan zaman moden. Terdapat pelbagai ciri keunikan yang terdapat dalam Tamadun India yang
meliputi beberapa aspek.

3.1 Seni Bina

Antara ciri unik seni bina yang terdapat dalam Tamadun India ialah dari segi
perancangan bandarnya yang sistematik. Sejak daripada Zaman Moghul, wilayah Rajasthan
menggunakan jendela berkisi untuk mengurangkan pancaran cahaya matahari dan batu
marmar putih untuk mengurangkan bahang dalam bangunan. Kebanyakan sumber seni bina
bangunan pada Tamadun India menggunakan batu-bata dan kayu sebagai sumber asas kerana
bahan tersebut mudah diperoleh. Susunan bangunan adalah selari mengikut grid-grid yang
tertentu. Pembinaan jalan-jalan utama turut dilakukan sebagai medium perhubungan. Seni bina
tamadun India turut memfokuskan pengkhususan bangunan. Misalnya, untuk pentadbiran,
kediaman dan tempat beribadat. Antara contoh seni bina terkenal pada Tamadun India ialah Taj
Mahal. Taj Mahal mula dibina pada tahun 1632 dan siap dibina pada tahun 1648. Seni bina Taj
Mahal merupakan salah satu contoh seni bina Mughal yang menggabungkan seni bina Parsi,
Turki, India dan Islam. Buktinya, seni bina ini menggunakan marmar putih pada bumbung,
kubah dan menara. Sehingga kini, marmar putih sebagai salah satu bahan utama yang popular
di India dalam pembinaan bangunan terutamanya dari segi dekorasi.

4
3.2 Seni Muzik

Seni muzik di Tamadun India berkembang seiring dengan seni tari. Kebanyakan alat
muzik yang ada pada Tamadun India berbentuk tiupan dan bertali. Di India Utara, terdapat tiga
alat muzik yang telah diperkenalkan iaitu sitar. Sitar merupakan alat muzik klasik Hindustan
yang menggunakan dawai atau tali dan diperkenalkan pada zaman pertengahan. Sitar ini
menggunakan dawai halus bersama dengan dawai biasa dan menggunakan labu air sehingga
menghasilkan bunyi yang unik. Kedua, Shehnai. Shehnai merupakan alat muzik tiupan dan
digunakan oleh masyarakat India ketika pertunjukan ular. Ketiga, Tabala. Tabala merupakan
gendang satu muka dan diperbuat daripada kayu. Alat ini sangat popular dalam kalangan
masyarakat India dalam upacara keramaian. Di India Selatan terdapat alat muzik Saraswati
Veena. Alat muzik ini diklasifikasikan dalam kategori alat muzik bertali. Namanya diambil
sempena daripada Tuhan Hindu Saraswati yang selalu memainkan alat muzik ini. Saraswati
Veena sering dimainkan ketika persembahan klasik Hindu. Selain itu, alat muzik Nadaswaram.
Alat muzik ini merupakan alat muzik klasik yang terkenal di selatan India dan mempunyai
persamaan dengan alat tiupan Shehnai tetapi memiliki saiz yang lebih besar. Kebanyakan alat
muzik Tamadun India dahulu kini jarang dimainkan pada zaman sekarang melainkan ketika
persembahan muzik klasik India dijalankan.

3.3 Seni Perhiasan

Sejak dari awal bermulanya Tamadun India, masyarakat wanita Tamadun India
menggemari alat perhiasan terutamanya emas. Pada zaman tersebut, barang kemas digunakan
bukan sahaja kerana tradisi atau mempunyai nilai estetiknya tersendiri, namun berfungsi
sebagai jaminan untuk masa depan. Barang kemas yang dimiliki juga menggambarkan status
seseorang wanita. Contohnya, Linpadakka Muthu Malai, Nath, Oddiyanam dan Jadanagam.
Barang kemas juga sering digunakan oleh penari-penari untuk mengindahkan lagi gerak tari
seperti tarian Kuchipudi, Kathak dan Bharatnatyam. Barang kemas yang digunakan pada
Tamadun India sarat dengan penggunaan emas. Malah, mutiara, zamrud, nilam, delima dan
berlian turut digunakan. Antara reka bentuk barang kemas yang terkenal ialah Tamil Nadu,
Kerala yang diambl daripada alam semula jadi dan Meenakari yang diambil daripada rekaan
pada zaman Mughal. Rekaan tersebut merupakan salah satu ciri unik barang kemas Tamadun
India dan tidak boleh dijumpai dalam tamadun-tamadun lain dan membuktikan masyarakat India
mahir dalam membuat barang kemas. Kini, barang kemas yang digunakan di India tidak begitu
sarat seperti zaman dahulu dan menggunakan hiasan yang mempunyai saiz yang tidak terlalu

5
besar dan menggunakan corak yang tidak terlalu melampau. Hiasan yang sarat dengan emas
hanya selalu dipakai ketika acara perkahwinan.

3.4 Seni Penulisan

Kesusasteraan Tamadun Jepun merupakan antara yang tertua. Prinsip utama


kesusasteraan adalah berdasarkan (piety) ketakwaan dan berkisarkan mengenai ketuhanan.
Sastera tertua dalam tamadun India ialah Kitab Veda. Masyarakat India mempercayai bahawa
ilmu mengenai Tuhan dan mempunyai pegangan keagamaan yang teguh merupakan suatu
pengetahuan yang harus ada pada setiap manusia. Terdapat dua jenis kesusasteraan iaitu
Kesusasteraan Sanskrit (Indo-Arya) dan Kesusasteraan Dravida (Dravida). Kesusasteraan
Sanskrit meliputi dua jenis iaitu Kesusasteraan Vedik. Terdapat 4 kitab yang dihasilkan iaitu Rig
Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda. Kedua, Kesusasteraan Epik. Karya-karya ini
dihasilkan dalam bentuk epik iaitu mengenai zaman-zaman terhebat dalam sejarah India.
Ramayana dan Mahabharata merupakan karya Kesusasteraan Epik paling terpanjang di dunia.
Dalam Kesusateraan Dravida terdapat Kesusasteraan Sangam. Sangam merujuk kepada
akademi penyair agung yang menghasilkan puisi pada Zaman Sangam dari kurun ke-3 SM
sehingga kurun ke-2 M. Terdapat dua jenis tema puisi iaitu Puisi Aham yang merangkumi
tentang cinta dan Puisi Puram yang merangkumi segala-galanya kecuali cinta. Misalnya,
masyarakat, raja, negara, pendidikan dan sebagainya. Kini, penulisan puisi masih ditulis oleh
masyarakat India namun Kesusasteraan Vedik dan Kesusateraan Epik tidak lagi ditulis atau
ditambahbaikkan oleh masyarakat kini. Malah, dijadikan sebagai bahan rujukan dan harta
negara bagi masyarakat di India.

4.0 Rumusan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai ciri unik yang terdapat dalam Tamadun Jepun dan
Tamadun India. Kebanyakan ciri-ciri tersebut jarang digunakan pada era kini sebaliknya diberi
penambahbaikan misalnya dari segi seni bina bagi kedua-dua tamadun. Namun, terdapat juga
ciri yang masih dikekalkan sehingga kini seperti haiku iaitu puisi klasik Jepun. Oleh itu, jelaslah
bahawa ciri-ciri unik tersebut haruslah dipulihara supaya nilai-nilai estetiknya tidak terhapus.

You might also like