You are on page 1of 3

ISU BAHASA INGGERIS SEBAGAI SYARAT

LULUS SPM
Penyelesaian situasi menang-menang pastikan bahasa
Melayu tak terpinggir
Oleh Nik Safiah Karim
RAKYAT Malaysia tidak putus-putus dibebankan dengan persoalan berkaitan bahasa Inggeris. Kita
sentiasa diingatkan mengenai kepentingan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris yang lemah di
kalangan pelajar kita, betapa perlunya warga negara Malaysia menguasai bahasa Inggeris dengan baik,
dan mengenai sukarnya mendapat pekerjaan jika penguasaan bahasa Inggeris kita lemah.

Berbulan-bulan lalu kita ribut dengan persoalan berkaitan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kita mendengar berita mengenai perbincangan meja bulat
demi meja bulat. Namun, kerajaan masih belum mahu membuat keputusan di sebalik suara-suara lantang
yang mengatakan lebih banyak kesan buruk yang timbul daripada dasar ini daripada kesan baik.

Satu kesan buruk ialah pelajar daripada golongan berpendapatan rendah dan luar bandar menjadi mangsa
dasar ini. Mereka tidak dapat belajar Matematik dan Sains dengan baik melalui bahasa Inggeris oleh
sebab penguasaan bahasa Inggeris mereka amat lemah. Persekitaran keluarga dan suasana hidup juga
tidak membantu, tidak seperti keluarga di bandar yang bukan saja bercakap di rumah dalam bahasa
Inggeris, tetapi yang mempunyai kemudahan seperti televisyen, komputer dan internet untuk membantu
anak mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Kita juga tahu bahawa dasar ini dilaksanakan dengan amat tergesa-gesa sehingga guru, yang terdidik dan
terlatih dalam bahasa Melayu, tidak dapat mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dengan
berkesan. Ini menjadikan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini, yang sememangnya sukar menjadi
lebih sukar. Apatah lagi di kalangan pelajar luar bandar dan daripada golongan keluarga yang
berpendapatan rendah.

Satu kesimpulan yang amat ketara ialah bahawa dasar PPSMI ini tidak berlaku adil terhadap sebahagian
besar rakyat negara ini. Dari sudut ini sudah jelas tindakan dan keputusan yang patut diambil pihak
kerajaan berkaitan dasar PPSMI.

Kini kita sekali lagi dikejutkan dengan persoalan di sekitar bahasa Inggeris. Kita diminta Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, untuk menimbang
kemungkinan menjadikan bahasa Inggeris wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). SPM ini
amat penting bagi pelajar kita kerana sijil ini adalah kunci yang pertama membuka peluang lain seperti
untuk melanjutkan pelajaran, menjalani kursus kemahiran atau mencari pekerjaan. Secara langsung kita
mengaitkan masa depan anak kita dengan penguasaan bahasa Inggeris, bahasa bekas penjajah kita dan
bahasa yang tidak bertaraf bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara.

Benar bahawa ini cadangan saja, dan pihak kerajaan meminta semua pihak memberi pandangan. Kita
mengalu-alukan sikap terbuka dan bertimbang rasa kerajaan dan saya berharap semua rakyat akan tampil
memberi pandangan yang wajar dan menguntungkan bangsa dan negara, bukan untuk membodek semata-
mata. Tetapi pengalaman membuktikan bahawa buah fikiran yang dilemparkan sebagai cadangan
selalunya menjadi kenyataan. Demikian jugalah dengan cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris mata
pelajaran yang amat penting dalam konteks SPM ini.

Kebimbangan saya ialah kalau-kalau lemparan buah fikiran ini semata-mata untuk mengaburi mata
rakyat, yang selepas penat berbincang akan disogokkan dengan keputusan yang mengatakan bahawa lebih
ramai yang menyokong cadangan ini, pada hal tidak dilakukan apa-apa kajian meyakinkan.

Tumpuan Berlebihan Terhadap Bahasa Inggeris

Dalam soal ini, saya perhatikan masyarakat kita dan kerajaan terlalu bertumpu kepada bahasa Inggeris
dan hampir tidak timbul perhatian terhadap bahasa Melayu. Sekali sekala kita diingatkan supaya tidak
risau kerana kedudukan bahasa Melayu sudah terjamin sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi
negara. Banyak juga yang mengatakan tidak ada lagi persoalan mengenai bahasa Melayu. Ramai pula ahli
politik yang mengatakan tidak ada lagi perjuangan mengenai bahasa Melayu. Maka tidur lenalah semua
orang, yang tidak sedar bahawa mimpi ngeri ialah bahawa bahasa kebangsaan kita sudah terpinggir dan
akan diambil alih oleh bahasa bekas penjajah.

Mengapa perlu diberikan perhatian kepada bahasa Melayu? Sebabnya ialah kerana bahasa
Melayu ialah:

Bahasa kebangsaan negara;

Bahasa rasmi;

Bahasa perhubungan antara rakyat jelata biasa;

Bahasa perpaduan, dan

Bahasa saluran ilmu pengetahuan.

Jika begitu banyaknya tugas atau fungsi bahasa Melayu, mengapa pula kita menumpukan perhatian
berlebihan kepada bahasa Inggeris? Inilah yang memeningkan saya, sebagai seorang rakyat yang
menguasai bahasa Inggeris, tetapi lebih mencintai bahasa kebangsaan negara sendiri.

Bagi saya bahasa Inggeris memang penting dalam dunia sekarang, dalam dunia yang global sifatnya. Kita
perlu berhubung dengan dunia luar untuk tujuan diplomasi untuk berniaga dan untuk bertukar pandangan
dengan warga dunia yang semakin kecil.

Demikian juga, banyak ilmu ditulis dalam bahasa Inggeris. Maka penguasaan bahasa Inggeris yang baik
amat menguntungkan kerana mereka dapat menimba ilmu dengan senang melalui ribuan sumber
maklumat yang ada. Mereka juga boleh membantu menyebarkan ilmu ini dengan menulis kembali buah
fikiran ini ke dalam bahasa lebih senang dihayati rakyat biasa, yang tidak berniat menjalani program
ijazah tinggi, tetapi yang semata-mata ingin membaca maklumat dan idea-idea baru.

Tetapi mengapa mesti wujud semacam kegilaan terhadap bahasa Inggeris, disertai pula sikap acuh tak
acuh terhadap bahasa kebangsaan sendiri? Kita sekarang tidak ubah seperti keadaan menyusu kera di
hutan, sambil menganaktirikan bahasa sendiri. Melihat kepada keghairahan terhadap bahasa Inggeris,
tergambar seolah-olah bahasa Melayu sudah hampir ke liang lahad.
Situasi Menang-Menang

Bagi saya ada dua pandangan yang bertentangan berkaitan isu ini yang kedua-duanya kurang sihat. Pada
satu pihak, ada satu golongan menganggap bahasa Inggeris sebagai amat penting untuk survival pada
masa ini. Sesiapa yang menyokong bahasa Melayu dianggap sebagai menentang bahasa Inggeris, oleh itu
hanyalah layak dikelompokkan ke dalam 'golongan ultra.' Golongan ultra ini dianggap kolot, tidak mahu
melihat orang lain maju melalui bahasa Inggeris, dan sebenar-benarnya tidak patut dilayan. Penyokong
bahasa Inggeris ini datang daripada pelbagai latar belakang dan kumpulan etnik, tetapi kebanyakannya
orang bandar dan terdidik dalam bahasa Inggeris dalam mahupun luar negara. Penguasaan bahasa Melayu
mereka juga agak rendah dan mereka tidak begitu terdedah kepada sastera dan budaya Melayu, kerana
lebih menggemari sastera dan budaya Barat.

Pada pihak lain pula ialah golongan yang kecintaan mereka terhadap bahasa Melayu amat dalam, dan
tidak mahu menerima kenyataan bahawa dalam dunia pada masa ini ada tempat bagi bahasa Inggeris dan
bahasa antarabangsa lain. Golongan ini tidak menganggap bahasa Inggeris penting, oleh itu tidak
memberatkan persoalan bahasa Inggeris.

Pada hemat saya, kedua-dua kumpulan ini keterlaluan. Sikap mereka tidak sihat dan tidak membawa
keuntungan. Keadaan seperti ini saya anggap sebagai situasi menang-kalah kerana masing-masing
menegakkan benang yang basah. Satu pihak menganggap perjuangan untuk menegakkan bahasa Melayu
sebagai ultra, sebaliknya golongan yang kedua tidak begitu mahu menerima bahasa Inggeris.

Sudah tiba masa kita mencari penyelesaian menerusi situasi menang-menang. Dalam situasi ini, kita
menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris itu penting. Bagaimanapun dalam konteks negara dan
kenegaraan, bahasa kebangsaan kita lebih penting. Pendirian menang-menang ini mengatakan bahawa
dalam situasi tertentu penghormatan hendaklah diberikan kepada bahasa kebangsaan, iaitu dalam situasi
bersifat rasmi dalam bidang pendidikan dan dalam konteks kenegaraan. Namun, ada tempat dan ketika
bagi bahasa Inggeris di dalam mahupun di luar negara. Perhubungan antarabangsa sudah semestinya
dalam bahasa Inggeris atau bahasa antarabangsa lain. Dalam konteks negara, situasi seperti persidangan
antarabangsa dan diplomasi boleh menggunakan bahasa Inggeris.

Yang lebih utama ialah aspek emosi terhadap kedua-dua bahasa ini. Sepatutnya perasaan cinta akan dan
berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri hendaklah dikaitkan dengan bahasa Melayu. Curahan
perasaan seni dan kegiatan kebudayaan seboleh mungkin dalam bahasa Melayu. Bahasa Inggeris
digunakan sebagai bahasa utiliti, bahasa untuk mencari ilmu pengetahuan dan untuk berhubung dengan
dunia luar.

Penulis adalah Karyawan Tamu, Universiti Malaya

Sumber : http://www.bharian.com.my/

You might also like