You are on page 1of 6

JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

MALAYSIA
(KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA)

SOALAN DAN JAWAPAN


BAGI
TEMUBUAL DI KONTI RADIO SALAM FM
UNTUK SLOT SALAM SIHAT

Nama Tetamu: Azreen Shazwani Omar


Jawatan: Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Kimia, JKKP
Malaysia
Tarikh: 3 September 2016 (Sabtu)
Masa: 7.30 pagi - 8.00 pagi
Topik: Bahan Kimia Di Tempat Kerja Potensi Bahaya Dan Kaedah
Kawalan
1. Apakah maksud bahan kimia berbahaya menurut Akta Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan 1994?

Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, terdapat 2


definisi yang boleh digunakan. Satu definisi di bawah Peraturan CLASS
menjelaskan bahawa, sesuatu bahan kimia adalah berbahaya sekiranya
terkelas di bawah mana mana kategori pengelasan yang telah digariskan di
dalam Peraturan tersebut. Contoh kategori pengelasan yang terdapat dalam
Peraturan CLASS ialah seperti cecair mudah terbakar, menghakis logam,
kekarsinogenan dan kakisan atau kerengsaan kulit.
Satu lagi definisi di bawah Peraturan USECHH pula ialah bahan kimia
berbahaya kepada kesihatan yang memfokuskan kepada bahan kimia yang
khusus bahayanya akan mengakibatkan kesan kesihatan kepada sesiapa
yang mengendalikan bahan kimia tersebut. Bahan kimia berbahaya kepada
kesihatan ialah bahan kimia yang:
tersenarai di bawah jadual 1 dan 2;
mempunyai pengelasan di bawah hazard kesihatan di bawah
Peraturan CLASS;
didefinisikan sebagai racun makhluk perosak di bawah Akta Racun
Makhluk Perosak 1974; atau
tersenarai di dalam Jadual Pertama di bawah Peraturan-Peraturan
Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 1989
jadi sekiranya bahan kimia tersebut menepati definisi di atas, bahan kimia
tersebut adalah tertakluk untuk mematuhi peraturan peraturan yang
sebentar tadi.

2. Apakah contoh bahan kimia berbahaya di tempat kerja?

Contoh bahan kimia berbahya yang selalu digunakan di tempat kerja


ialah kerosin, benzene dan klorin. Satu contoh bahaya bahan kimia, benzena
dalam bentuk tulen, adalah bahan kimia yang amat mudah terbakar, boleh
menyebabkan kerengsaan kulit dan mata (irritation), boleh menyebabkan
kanser, boleh menyebabkan kecacatan genetik, boleh menyebbakan
kerosakan organ melalui pendedahan berpanjangan dan boleh membawa
maut jika tertelan dan memasuki saluran pernafasan. Benzene adalah satu
bahan yang digunakan untuk penghasilan pelincir, resin dan perekat.
Satu lagi contoh yang biasa kita dengar ialah klorin. Klorin dalam
bentuk tulen adalah bahan kimia yang toksik jika tersedut, boleh
menyebabkan kerengsaan kulit dan mata yang serius, boleh menyebabkan
kerengsaan pernafasan dan sangat toksik kepada hidupan akuatik. Klorin
banyak digunakan dalam proses sanitasi dan disinfeksi.

3. Apakah perundangan yang berkaitan dengan bahan kimia berbahaya di


tempat kerja di Malaysia?

Terdapat banyak perundangan berkaitan bahan kimia di Malaysia.


Tetapi khusus bagi tempat kerja, terdapat 2 perundangan utama yang
memberi focus kepada pembekalan dan penggunaan bahan kimia di tempat
kerja.
Peraturan Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
(Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia
Berbahaya) 2013, ataupun secara ringkasnya Peraturan CLASS, telah
diwartakan bagi mengawal selia pengelasan, pembungkusan, pelabelan,
helaian data keselamatan dan inventori bahan kimia berbahaya. Peraturan ini
adalah selari dengan perlaksanaan Globally Harmonised System of Chemical
Classification and Labelling (GHS) yang disarankan oleh United Nation.
Tujuan utama penyelarasan ini adalah bagi memastikan pengelasan bahan
kimia berbahaya serta komunikasi berkaitan hazard sesuatu bahan kimia di
seluruh dunia dapat diharmonikan.
Peraturan Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
(Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada
Kesihatan) 2000, atau ringkasnya Peraturan USECHH pula diwartakan bagi
tujuan mengawal selia penggunaan bahan kimia berbahaya kepada kesihatan
di tempat kerja. Peraturan tersebut juga menggariskan had pendedahan yang
dibenarkan, keperluan untuk mengawal dan mengawasi pendedahan kepada
pekerja serta keperluan untuk menyampaikan maklumat dan latihan yang
bersesuaian.

4. Bagaimanakah kita boleh terdedah kepada bahan kimia berbahaya di


tempat kerja? Bagaimana bahan kimia boleh masuk ke dalam tubuh
kita?

Terdapat 4 cara utama bahan kimia berbahaya boleh masuk ke dalam


badan kita. Empat cara itu ialah melalui pernafasan (inhalation), sentuhan
dengan kulit, termasuk mata (skin absorption), melalui mulut (ingestion) dan
melalui suntikan (injection).
Seseorang pekerja itu boleh menyedut bahan kimia berbahaya itu
melalui pernafasan sekiranya terdedah secara langsung tanpa sebarang
kawalan kejuruteraan ataupun pakaian perlindungan diri.
Selain itu, bahan kimia berbahaya juga boleh terkena kulit semasa
pengendalian bahan kimia itu dilakukan akibat dari tumpahan atau percikan
bahan kimia tersebut. Terdapat juga situasi di mana bahan kimia tersebut
sengaja digunakan untuk mencuci tangan bagi menghilangkan kotoran yang
degil. Bergantung kepada bahaya bahan kimia tersebut, pelbagai kesan
sampingan kesihatan boleh terjadi melalui pendedahan yang sebegitu rupa.
Selain itu juga, pendedahan bahan kimia melalui mulut boleh terjadi
sekiranya pekerja tidak mengamalkan kebersihan diri yang teliti atau
sempurna. Contohnya, sekiranya seseorang itu tidak membasuh tangan
dengan bersih setelah mengendalikan bahan kimia berbahaya dan sebelum
makan, bahan kimia tersebut boleh dipindahkan ke makanan dan seterusnya
masuk kedalam system penghadaman kita.
Bagi pendedahan melalui suntikan pula, bahan kimia boleh masuk ke
dalam badan seseorang sekiranya mereka mempunyai luka (open wound)
dan bahan kimia itu terkena secara langsung di tempat yang luka itu.
5. Apakah kesan sekiranya pendedahan kepada bahan kimia berbahaya
tidak dikawal dengan sempurna?

Pelbagai kesan kesihatan boleh timbul sekiranya bahan kimia


berbahaya tidak dikendalikan dengan betul. Bergantung kepada bahaya
bahan kimia tersebut, pelbagai kesan kesihatan boleh timbul seperti alahan
pada kulit atau kesan yang paling ekstrem iaitu kematian. Terdapat juga
banyak bahan kimia yang mana kesan kesihatannya tidak dapat dikesan
dengan cepat. Seperti contoh bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser,
kecacatan genetik atau merosakkan kesuburan atau janin. Kesan kesan
tersebut mengambil masa yang lama untuk dikesan dan sukar untuk dirawati.

6. Apakah yang perlu dipastikan sekiranya saya mengendalikan bahan


kimia berbahaya?

Pertama sekali, pastikan anda tahu bahaya bahan kimia tersebut. Baca
helaian data keselamatan (SDS) dan label bahan kimia untuk pastikan
bahaya bahan kimia tersebut dan cara pengendalian selamat. Maklumat
maklumat tersebut perlu dibekalkan di dalam SDS. Pastikan saranan pakaian
perlindungan diri yang digariskan di dalam SDS juga diikuti. Kebanyakan
bahan kimia memerlukan pengguna untuk memakai sarung tangan yang khas
dan bukan sarung tangan biasa yang digunakan di hospital. Sekiranya bahan
kimia tersebut perlu dikendalikan di tempat khas atau tempat yang tidak
tertutup, sila pastikan pengguna berbuat demikian.

7. Kesimpulan

Penggunaan bahan kimia tidak dapat dielakkan dalam kehidupan


seharian kerana bahan kimia mempunyai banyak fungsi yang penting dan
berguna. Seperti kata-kata pengasas toksikologi, semua benda adalah racun,
yang membezakannya hanyalah dos. Sama seperti air dan oksigen, yang
juga adalah bahan kimia, pengambilan yang berlebihan akan mengakibatkan
kemudaratan. Oleh yang demikian, sebelum mengendalikan sesuatu bahan
kimia, adalah penting untuk mengetahui semua maklumat yang berkaitan bagi
memastikan keselamatan dan kesihatan anda terjamin.

Akhir sekali, sekali lagi saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada
Salam FM yang telah sudi memberi ruang dan peluang kepada pihak Jabatan
dalam slot pagi ini. Sekalung penghargaan kepada Juruhebah bertugas
iaitu................................ dan kepada semua pendengar Salam FM yang
mengikuti rancangan ini. Diharapkan segala penerangan pagi ini dapat
memberi manfaat kepada para majikan dan pekerja di luar sana dalam
mewujudkan Budaya Kerja Selamat Dan Sihat di tempat kerja.

Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Jabatan


khususnya berkenaan dengan Pengurusan Kimia di tempat kerja, tuan-tuan
dan puan-puan bolehlah menghubungi di talian 03-88865000 atau kunjungi
pejabat kami di Aras 4, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan, Putrajaya. Tuan-tuan dan puan-puan boleh juga melayari laman
sesawang Jabatan di alamat www.dosh.gov.my

Akhir kata, amalkanlah budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja
bermula dari sekarang bagi menjamin kehidupan yang lebih berkualiti
bersama keluarga di masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

You might also like