You are on page 1of 4

TREND SEMASA DALAM PENTAKSIRAN DI MALAYSIA

Aspirasi dan perubahan sistem pendidikan dengan pelaksanaan PPPM

Hasil

Orang ramai dijangka dapat melihat perubahan ketara dalam kaedah pelaksanaan sistem
pendidikan negara tidak lama selepas pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025. Antara hasil awal yang dijangka dilihat ialah syarat pengambilan
guru diperketat dan dikuatkuasakan di semua institut pendidikan guru dan institusi pendidikan
tinggi awam. Ia turut menyasarkan 100 peratus sekolah mempunyai sambungan Internet
dengan kelajuan sekurang-kurangnya 4Mbps melalui 1BestariNet, menurut PPPM 2013-2025
yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.
Satu lagi hasil awal yang dijangka diraih susulan pelaksanaan pelan pendidikan itu ialah
semua guru opsyen bahasa Inggeris di bawah tahap penguasaan, dilatih untuk meningkatkan
kemahiran. Daripada segi ujian, 20 peratus daripada soalan peperiksaan akan digunakan
untuk mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar.
Prestasi guru turut diberi keutamaan dengan 410,000 guru akan dinilai melalui apa yang
disifatkan sebagai instrumen bersepadu, dan 61,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap
kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa.
"Perubahan ini akan menjadi asas hasil yang dihasratkan untuk masa depan," kata
pelan pembangunan berkenaan. Pelan itu melakarkan visi sistem pendidikan dan aspiasi
pelajar yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan. Ia mencadangkan 11
anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan untuk
mencapai visi yang dihasratkan.

Aspirasi
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berhasrat untuk
mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan
merangkumi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
Menurut pelan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin merangkap Menteri Pendidikan, kementerian berhasrat memastikan kadar akses
sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat
menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020.
Dari segi kualiti, kementerian berharap kedudukan sistem pendidikan negara
diletakkan dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut
pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan
Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menguji bacaan, Matematik dan Sains
dalam tempoh 15 tahun.
Selain itu, jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap
sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020 juga
diharap dapat dirapatkan serta menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang
kepada murid berkongsi pengalaman berinteraksi dengan pelbagai etnik bagi memperkukuh
asas perpaduan rakyat.
Dari segi kecekapan, walaupun kerajaan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa,
kementerian berhasrat untuk memaksimum keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan
semasa.Selain keberhasilan sistem pendidikan, setiap murid juga perlu berupaya untuk
bersaing pada peringkat global. Oleh itu, sebanyak enam ciri utama membabitkan
pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan
kerohanian, dan identiti nasional perlu ada pada setiap murid sejajar dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
Dari segi pengetahuan, setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran
literasi dan numerasi di peringkat paling asas serta pelbagai kemahiran kognitif termasuk
penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif serta inovatif dari segi kemahiran berfikir. Mereka juga
perlu menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa Inggeris
sebagai bahasa komunikasi antarabangsa serta digalakkan untuk mempelajari bahasa lain
sebagai bahasa tambahan. Di samping itu, setiap murid akan dibantu untuk mencapai potensi
mereka dengan sepenuhnya melalui bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri
kepimpinan yang merangkumi keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan
kemahiran berkomunikasi secara berkesan serta dibentuk sebagai individu penyayang yang
dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara dari segi etika dan
kerohanian.
Selain itu, setiap murid dipupuk dengan semangat patriotik dengan cara memahami
sejarah negara dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara kerana identiti
nasional akan dapat dicapai bukan hanya belajar memahami dan menerima kepelbagaian
tetapi juga menghayati kepelbagaian.

Soalan UPSR dan SPM


Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi
menjelang 2016. perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi
perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati
kandungan pelajaran. "Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan
mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza," demikian menurut Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan
pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga
akan dikaji semula.
Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap
aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan
projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Dalam usaha memastikan setiap
murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa
Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.
Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan
melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi
membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran
dan keperluan pembelajaran murid.
Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris
juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.
Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan
bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan
diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid. Dengan
itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti
di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.
Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga
akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru
penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.
"Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat
tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi," menurut pelan itu.

Pencapaian
Walaupun prestasi murid di Malaysia meningkat sejak beberapa dekad lalu, namun
terdapat risiko jurang pencapaian sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain semakin
lebar. Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, risiko itu boleh
dilihat melalui pentaksiran antarabangsa terbaharu dikeluarkan oleh Program Penilaian
Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains
Antarabangsa (TIMSS).
Berdasarkan keputusan TIMSS 2011, 35 peratus dan 38 peratus murid Malaysia gagal
mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains, iaitu kenaikan dua hingga
empat kali ganda berbanding tujuh dan 13 peratus pada 1999.
Keputusan tidak memberansangkan juga dicatatkan oleh pelajar Malaysia dalam keputusan
pada kitaran pentaksiran untuk 2009 PISA (PISA 2009+), penyertaan kali pertama Malaysia,
yang mana kedudukan negara terletak di kelompok ketiga terbawah dalam kalangan 74
negara peserta, iaitu di bawah pencapaian purata antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama
dan Pembangunan Ekonomi (OECD). "Hampir 60 peratus murid berumur 15 tahun yang
menyertai PISA 2009 gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala
44 peratus dalam Bacaan dan 43 peratus dalam Sains," menurut pelan itu.

You might also like