You are on page 1of 3

BAHASA MELAYU BAHASA PERPADUAN

Salam sejahtera dan salam perpaduan saya ucapkan kepada Encik Suhasni dan
rakan-rakan sekalian.. Pada hari yang mulia ini saya akan menyampaikan syarahan
yang bertajuk Bahasa Melayu Bahasa Perpaduan. Sesuai dengan
Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan Bahasa Melayu
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas,
bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula
bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk
perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk
menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di
dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang
dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih
relevan mengikut arus perubahan zaman.

Hadirin Sekalian,

Selain itu, Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perpaduan kerana perpaduan
sangatlah penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan,
negara akan kucar-kacir dan musnahlah sebuah negara berdaulat. Di Malaysia ini,
terdapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu
merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima
puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa
Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bahasa ini wajib diketahui
oleh setiap kaum kerana bahasa ini menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan
antarakaum.
Bagi merealisasikan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen
perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957.
Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat untuk
meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara penduduk yang
berbilang kaum.
Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan berperanan untuk menjadi bahasa yang
cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Bahkan semua bahasa di
dunia ini mempunyai hak tersebut. Pengguna bahasa yang mahu melihat bahasa
kebangsaan mereka berfungsi dengn cemerlang selaras dengan perkembangan
bangsanya mestilah berusaha menjadikan bahasanya lebih baik dan dihormati
daripada bahasa yang dipinjam semata-mata untuk menunjukkkan status penutur,
dan bukannya untuk menyerlahkan kegemilangan bangsa penutur itu sendiri. Oleh hal
demikian, penduduk di negara bangsa Malaysia ini perlulah dengan penuh keyakinan
apabila mengunakan bahasa Melayu untuk memartabatkan bahasa ini di persada
antarabangsa.

Hadirin yang budiman,

Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia ialah Bahasa
Melayu yang digunakan secara bersama dan meluas. Bahasa Melayu bukan sahaja
berfungsi sebagai bahasa basahan, namun bahasa rasmi dan tidak rasmi. Bahasa ini
bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti tetapi
penggunaannya menjangkau ke peringkat antarabangsa. Buktinya DS Mohd Najib
telah bertutur dalam Bahasa Melayu sepenuhnya di sebuah Universiti di China
semasa lawatan beliau ke sana. Ini bererti Bahasa Melayu yang dimaksudkan ialah
Bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur bahasa Melayu baku dan
mempunyai sistem yang sama untuk semua. Slanga atau loghat mungkin sesuai
untuk orang Melayu di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa
Melayu dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa
Melayu yang standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan di
sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi yang
lain

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan bangsa Malaysia diperkukuhkan


apabila kehadirannya tidak pernah disangsikan oleh kaum-kaum lain. Sebabnya
Bahasa Melayu tidak dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana pihak dan
kehadirannya tidak akan menyebabkan bahasa ibunda kaum masing-masing akan
menerima nasib malang. Rahsia Bahasa Melayu tetap diyakini sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa perpaduan hingga kini ialah kerana jaminan yang diberikan
dalam perlembagaan Malaysia yang telah menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain
masih boleh digunakan. Keadaan ini menjadikan Bahasa Melayu akan terus dihormati
dan tidak akan disaingi oleh bahasa-bahasa lain.

Hadirin yang saya sanjungi,

Sejajar dengan tumpuan kepada pembangunan bidang ekonomi, sains dan teknologi,
perkara yang berlaku kini ialah wujudnya keserongan persepsi terhadap keperluan
bangsa atau cara seseorang memilih untuk berbahasa. Bahasa Inggeris dianggap
sangat penting dan pegangan ini akan memusnahkan kemajuan sesebuah bahasa
kebangsaan dimana-mana Negara sekalipun. Kejayaan Dasar Bahasa Kebangsaan
di Malaysia dalam jentera kerajaan dan dasar pendidikan akan tergugat sekiranya
tiada langkah yang diambil untuk menyelamatkannya.

Di Malaysia, bahasa Melayu sudah mencapai martabatnya sebagai bahasa negara


akibat keperkasaannya semenjak zaman-berzaman, dari zaman kegemilangan
Kerajaan Melayu Melaka hingga kemerdekaan Malaysia, tetapi adakan Bahasa
Melayu atau Bahasa Malaysia itu terjamin kedudukannya untuk terus bersaing dalam
era ledakan maklumat ini akan dilihat dari peruntukan perlembagaan dan dasar
pendidikan Negara.

Sekian sahaja syarahan saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap
kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan
syarahan tadi. Sekian, terima kasih.

You might also like