You are on page 1of 4

DASAR DAN KESAN PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU

Jelaskan dasar dan kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942 hingga tahun 1945.

Pengenalan. (3m)

- Pendudukan Jepun di Tanah Melayu bermula pada 15 Februari 1942 sehingga 12 September 1945.Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura
berlangsung selama 3 tahun 8 bulan.Pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu adalah kerana desakan perkembangan perindustrian dan ketenteraan yang
berlaku di Jepun.

- Jepun mengambil tindakan untuk menyerang negara-negara Asia yang kaya dengan bahan mentah bagi keperluan perindustrian dan ketenteraan.
Walaupun tempoh masa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu adalah singkat namun Jepun telah berjaya menguasai politik, ekonomi, dan sosial Tanah
Melayu.Kejayaan ini membawa kesan yang mendalam terhadap masyarakat di Tanah Melayu.

Isi

Dasar-dasar Jepun di Tanah Melayu. (10m)

1. Dasar Politik.

- Jepun memperkenalkan pentadbiran tentera di Tanah Melayu bercorak militer atau ketenteraan di bawah pengawasan seorang Jeneral. Pentadbiran di
Tanah Melayu dibahagikan kepada dua iaitu Negeri-negeri Selat diperintah oleh seorang Gabenor yang beribu pejabat di Singapura.Nama Singapura diubah
kepada Syonan yang bermaksud cahaya Selatan, manakala Semenanjung Tanah Melayu diperintah oleh seorang Presiden atau Gunseikan. Tanah Melayu
dibahagikan kepada lapan wilayah dan setiap wilayah diketuai oleh seorang Gabenor Jepun.

- Jepun juga mengembalikan kuasa Sultan yang telah dirampas oleh Inggeris di Negeri-negeri Melayu tetapi sultan hanya sebagai ketua negeri dan
menjalankan tugas sebagai Ketua agama Islam di negeri masing-masing.Jepun sebenarnya ingin mengambil hati para sultan agar apa-apa yang dihajati
tercapai. Jepun ingin mendapatkan sokongan orang Melayu agar mereka akan terus mendapat gajaran disebalik perbuatan itu.

- Bagi menjaga pemantapan setiap operasi yang dijalankan di Tanah Melayu Jepun membentuk pasukan keselamatan yang diketuai oleh Pegawai Jepun
dan dianggotai perisik tentera iaitu Kempeitai untuk mengawal keamanan.Kempeitai sangat kejam dan telah menangkap dan membunuh ramai orang.Selain
itu Tekikan ialah Pasukan mata-mata gelap yang bertugas untuk mencari musuh-musuh yang menyokong Inggeris yang menentang pemerintahan Jepun
atau menghasut Melayu.

- Sebaik sahaja Jepun menawan Tanah Melayu, Jepun bertindak membebaskan ahli-ahli kesatuan Melayu muda (KMM) yang dipenjarakan oleh British.
Jepun juga menubuhkan semula KMM dengan melantik Ibrahim Yaacob sebagai pemimpin utama.Jepun cuba memperalatkan Ibrahim Yaacob untuk tujuan
mendapatkan sokongan dan menyebarkan propaganda anti-British.

2. Dasar Ekonomi.

- Sistem ekonomi bebas ditukar kepada sistem ekonomi kawalan. Perdagangan dengan dunia luar terputus.Jepun tidak menggalakan sebarang urusan
perdagangan.Perdagangan singapura dan Pulau Pinang dengan dunia Barat terputus. Perniagaan dan perdagangan dalam negeri dikuasai oleh pihak
Jepun.Jepun hanya berminat mengeksplotasi sumber alam negara kita bagi kepentingan negaranya. Galian besi dan bauksit dieksplotasi bagi kegunaan
industri dan membuat senjata perang.

- Oleh sebab pengeluaran barangan makanan seperti beras tidak mencukupi maka Jepun telah memperkenalkan catuan beras pada tahun 1943. Penduduk
Tanah Melayu perlu mendapatkan kupon dari Pejabat Kawalan Makanan untuk ditukarkan dengan beras. Setiap keluarga hanya dihadkan dua gantang
beras sebulan. Untuk mengatasi kekurangan beras dalam negara Jepun telah bertindak memperkenalkan rancangan ekonomi pertanian iaitu rancangan tiga
tahun sara diri. Selain itu Jepun memperkenalkan padi Taiwan yang membolehkan penanaman padi dua kali setahun.

- Pihak Jepun juga menggalakkan supaya masyarakat tempatan menanam makanan yang lain seperti ubi kayu, keledek, jagung, sagu dan lada hitam. Pihak
Jepun telah menebang ladang getah dan hutan bagi tujuan penanaman makanan seperti ubi kayu, sagu dan jagung.

- Jepun telah mencetak mata wang Jepun yang dikenal sebagai Wang Pokok Pisang untuk menambahkan penggunaan mata wang baru.

3. Dasar Sosial

- Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu Jepun menerapkan Dasar Niponisasi iaitu dasar Penjepunan terhadap Tanah Melayu.Antara dasar yang
diterapkan ialah layanan yang berbeza diberikan kepada penduduk tempatan oleh pihak Jepun. Semua kaum iaitu orang melayu, Cina dan India mengalami
penyeksaan, penderitaan, kebuluran, ketakutan dan pengangguran.Layanan yang berbeza ini menyebabkan atau mewujudkan permusuhan kaum antara
orang Cina dengan orang Melayu.

- Dasar Penjepunan juga dilakukan dalam sistem pendidikan iaitu sekolah-sekolah Inggeris dan Tamil diganti dengan sistem pendidikan Jepun. Sistem
pendidikan ini menekankan beberapa aspek seperti pembentukan akhlak dan disiplin taat setia kepada Maharaja Jepun dan kepatuhan kepada kerajaan
Jepun.

- Selain itu kebudayaan Jepun disebarkan melalui sisitem pendidikan Jepun. Orang tempatan diajar tentang istiadat dan lagu kebangsaan Jepun iaitu
Kamigayo. Lagu ini dinyanyikan pada setiap pagi ketika menghadap matahari terbit.

- Selain pendidikan, pentadbiran tentera Jepun mengamalkan dasar berbaik-baik dengan orang Melayu dan India. Mereka menjalankan dasar menindas
orang Cina dan tujuan dasar ini adalah disebabkan perasaan ingin membalas dendam ke atas orang Cina yang menyumbangkan sokongan kewangan dan
peralatan perang kepada negara China semasa Perang China- Jepun 1937.
- Ramai orang Cina, India dan Melayu telah dihantar untuk bekerja membina jalan keretapi maut di sempadan Tahunai-Burma. Beribu-ribu orang kehilangan
nyawa semasa pembinaan projek tersebut.

Kesan Pendudukan Jepun di Tanah Melayu (10m)

1. Kesan Politik

- Pendudukan Jepun telah membangkitkan kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu. Slogan Jepun iaitu Asia Untuk Orang Asia telah menambahkan
keazaman dan semangat orang Melayu untuk mencapai kebebasan politik dan kemerdekaan.

- Semasa pendudukan Jepun orang Melayu diberi jawatan-jawatan kanan seperti Pegawai Daerah. Pengalaman pentadbiran ini memberikan keyakinan diri
kepada orang Melayu untuk mentadbir negeri mereka sendiri. Orang Melayu juga sedar bahawa mereka tidak boleh menaruh harapan mereka kepada
British. Mereka harus menentukan nasib mereka sendiri.

- Kejayaan Jepun dan kekalahan British telah mengikis kepercayaan bahawa kuasa British tidak boleh dikalahkan. Justru sikap anti-British semakin menebal
dalam kalangan orang Melayu.

- Jepun menubuhkan semula KMM dengan melantik Ibrahim Yaacob sebagai pemimpin utamanya melalui KMM gerakan nasionalisme Melayu dihidupkan
semula. Secara sulit KMM bergiat semula dalam menyemarakan sentimen anti-British dalam kalangan orang Melayu.KMM juga bersikap anti-Jepun. Apabila
Jepun mengetahui kegiatan sebenar KMM, KMM dibubarkan dengan segera. Jepun kemudiannya menubuhkan Pembela Tanahair (PETA). Ahli-ahli Melayu
dalam PETA diberi latihan ketenteraan.

- Jepun juga membantu menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy.
Namun orang Melayu tidak berjaya mendapatkan kemerdekaan daripada Jepun kerana Jepun telah menyerah kalah pada 1945.

- Selain itu Parti Komunis Malaya muncul sebagai parti yang kuat dan telah menubuhkan MPAJA dengan bantuan British dan telah Berjaya melancarkan
pemberontakan bersenjata pada Jun 1948.

2. Kesan Ekonomi.

- Ekonomi Tanah Melayu merosot semasa pendudukan Jepun akibat taktik “Bumi Hangus” yang diamalkan oleh British. Banyak kemudahan awam seperti
infrastruktur telah diletupkan oleh British.

- Kemusnahan terhadap ekonomi terutama ladang getah dan lombong bijih timah telah berlaku dengan teruk.Taraf hidup penduduk merosot Tanah Melayu
terputus daripada pasaran-pasaran antarabangsa. Perusahaan tempatan diambil alih oleh syarikat besar Jepun iaitu Mitsui dan Mitsubishi.

- Inflasi berlaku dengan kadar yang tinggi berikutan kekurangan barang keperluan utama, peningkatan harga barangan dan pengeluaran mata wang pokok
pisang yang tidak terkawal.

- Tanah Melayu mengalami kekurangan makanan seperti beras.Penduduk terpaksa menanam ubi kayu, keladi dan keledek. Perusahaan tempatan didirikan
yang menghasilkan barangan seperti minyak masakan, sabun, gula, kertas, tali dan benang.

3. Kesan Sosial

- Sistem pendidikan Jepun menanam sifat kerajinan kepada para belia terutamanya kaum Melayu.Walau bagaimanapun, sistem pendidikan Jepun telah
menanamkan rasa benci masyarakat setempat terhadap Jepun. Bahasa Jepun dijadikan sebagai Bahasa Pengantar di semua sekolah. Perasaan taat setia
dan kepatuhan kepada Maharaja Jepun diberi penekanan.

- Ekoran penindasan oleh Jepun, ramai orang Cina melarikan diri ke pinggir hutan.Mereka mendirikan petempatan dan menjalankan kehidupan seharian. Ini
mewujudkan masalah setinggan di Tanah Melayu.Hal ini juga menyebabkan mereka menyertai PKM.

- Kaum Melayu dan India diberi layanan baik tetapi ramai di antara mereka juga dihantar ke siam untuk membina Jalan Kereta Api Maut. Akibatnya ramai
yang terkorban akibat seksaan dan jangkitan penyakit.

- Kebuluran akibat kekurangan makanan semakin berleluasa dalam kalangan penduduk tempatan. Bekalan makanan seperti beras tidak dapat diimport dari
Burma dan Siam akibat peperangan.

- Taraf kesihatan telah merosot akibat merebaknya penyakit tropika seperti beri-beri, taun dan malaria.Ubat-ubatan hanya untuk askar Jepun sahaja.

Kesimpulan (2m)

Dasar Politik, ekonomi, sosial oleh pemerintahan Jepun di Tanah Melayu menyebabkan masyarakat di Tanah Melayu berada dalam kesengsaraan. Jepun
telah menyerah kalah pada tahun 1945 apabila pihak tentera Berikat menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Pemerintahan Jepun di Tanah
Melayu digantikan dengan Pentadbiran Tentera British.

PERANAN RAJA

1. Huraikan peranan raja di Negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British 1874.

Pendahuluan (3/2 markah)


Sebelum campur tangan British di Perak pada tahun 1874, Negeri-negeri Melayu diperintah oleh Raja-raja Melayu. Sultan dan raja menduduki heirarki
tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing. Selepas Islam bertapak, gelaran raja bertukar menjadi sultan dan dianggap
sebagai ‘Amirul Mukminin’ atau pemimpin bagi orang mukmin. Kerajaan-kerajaan yang menerima warisan Kesultanan Melaka seperti Johor, Pahang, Perak
dan Kedah mengekalkan gelaran sultan sehingga abad ke-19. Begitu juga Kelantan dan Terengganu. Negeri Sembilan menggunakan gelaran Yamtuan
Besar manakala Perlis mengekalkan gelaran Raja. Namun demikian, semua Raja-raja Melayu ini mempunyai peranan luas dalam bidang politik, ekonomi
dan sosial sehingga campur tangan Inggeris pada tahun 1874.

Isi (20 markah)

i. Politik ( 9 markah )

a. Ketua kerajaan

Ø Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan
mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah
Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama.
Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah.

b. Melantik pembesar

Ø Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk
memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri, iaitu dalam kalangan putera-putera
baginda.

Ø Sehingga tahun 1874 di Perak, jawatan Bendahara dipegang oleh keluarga diraja. Jawatan Temenggong dijawat oleh pembesar daerah Kota Lama, Kuala
Kangsar. Tiada ketetapan dibuat mengenai jawatan Orang Kaya Besar dan jawatan Menteri dipegang pembesar Larut. Pembesar Berlapan yang dilantik
sultan ialah Maharaja Lela iaitu pembesar Pasir Salak, Laksamana pembesar Durian Sebatang, Sri Andika Raja pembesar Ulu Perak, Shahbandar
pembesar Daerah Bandar di Hilir Perak, Panglima Kinta iaitu pembesar daerah Kinta, Panglima Bukit Gantang, Sri Agar DiRaja pembesar Kampong Gajah
dan Imam Paduka Tuan, iaitu satu jawatan dalam pentadbiran agama Islam negeri. Sementara di Selangor pula beberapa jawatan pembesar yang dilantik
oleh sultan ialah Penggawa Permatang, Penggawa Tua, Penghulu Aru dan Orang Kaya Kechil.

Ø Sultan juga melantik pembesar-pembesar daerah menerusi sepucuk surat dan hadiah sebilah pedang sebagai lambang jawatannya. Di dalam surat
tauliah itu dinyatakan nama daerah yang dikurniakan tetapi tidak ditentukan butir-butir sempadannya. Biasanya pembesar dipilih secara turun temurun
dalam kalangan keluarga pembesar berkenaan. Sultan hanya akan campur tangan memilih pembesar yang baru dari keturunan lain sekiranya keturunan
pembesar tadi ketiadaan waris.

c. Sultan menentukan hubungan diplomatik

Ø Sultan lebih aktif dalam menjalin hubungan hal ehwal luar berbanding bertindak sebagai ketua perang. Perjanjian dengan kuasa-kuasa asing tidak sah jika
tidak ditandatangani oleh sultan. Selain itu, ia juga memerlukan tandatangan 12 orang pembesar. Kebimbangan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu
menjadikan hubungan sultan dengan para pembesar kian rapat. Kehadiran British di Perak pada tahun 1874 membawa kepada perjumpaan-perjumpaan
antara sultan dengan para pembesar.

Ø Namun demikian, ada juga pembesar yang menentang sultan secara halus tidak hadir dalam pertemuan seumpama ini. Misalnya pada tahun 1875
pentadbir British telah bersusah payah untuk mendapatkan tandatangan pembesar-pembesar Perak yang tidak hadir di Pangkor dalam tahun 1874 untuk
menandatangani persetiaan Melayu-Inggeris itu.

d. Sultan berperanan sebagai ketua pertahanan

Ø Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera bagi mempertahankan
negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain. Baginda bertanggungjawab menjaga keamanan negara daripada ancaman luar. Sepanjang
tempoh tahun 1830 an-1870an Negeri-negeri Melayu tidak terlibat dalam peperangan dengan pihak luar yang serius atau ancaman perang kecuali di
Naning. Kedatangan British juga tidak menggunakan tentera yang besar, hanya menggunakan tentera Negeri-Negeri Selat sahaja.

Ø Oleh yang demikian, peranan sultan sebagai ketua tentera tidak menonjol pada masa ini. Malah perang saudara yang berlaku antara tahun pertengahan
abad ke-19 banyak melibatkan perang saudara antara pembesar-pembesar. Hanya di Pahang berlaku pemberontakan seorang pembesar tetapi sultan telah
mengarahkan pembesar lain untuk menamatkan pemberontakan tersebut.

ii. Ekonomi ( 5 markah )

Ø Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda
berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya
serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Contohnya, Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) daerah Kelang
daripada Raja Mahadi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian
sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para pembesar negeri.

Ø Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah
dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina
benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga
dikecualikan dari sistem ini. Contohnya di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti
haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

iii. Sosial ( 6 markah )

a) Lambang dan memelihara perpaduan negeri


Ø Di Negeri-negeri Melayu pada abad ke-19 terdapat beberapa faktor yang membawa kepada perselisihan dan perpecahan. Di dalam sesebuah negeri,
selain Negeri Sembilan terdapat pelbagai kebudayaan yang diamalkan oleh rakyatnya. Pembesar-pembesar daerah merupakan pusat kuasa tempatan.
Tentangan sering berlaku dalam kalangan mereka dan mengganggu pentadbiran pusat. Malah mereka sering juga menentang sultan dan ada kalanya
menentang pelaksanaan perintah raja di daerah mereka.

Ø Namun demikian, untuk menjaga kepentingan perdagangan, pertahanan negeri dan ketenteraman dalam satu kawasan yang lebih luas dari sebuah
daerah memaksa mereka tunduk kepada sultan. Mereka tidak bersedia untuk memusnahkan kesultanan itu sendiri, walaupun pertentangan dan perebutan
takhta sering berlaku dalam kalangan pembesar. Mereka melihat tidak ada satu sistem lain sebaik sistem beraja yang diamalkan.

Ø Kedudukan sultan sebagai lambang perpaduan diperkukuhkan dengan baginda diberi kekeramatan dan kuasa-kuasa sakti. Antaranya, baginda dikatakan
berdarah putih, menggunakan lambang-lambang kebesaran seperti pakaian dan peralatan berwarna kuning, memiliki alat-alat muzik sendiri seperti nobat,
nafiri, seruling dan terumpet. Alatan lain seperti kayu gamit, puan naga, taru, kemala, surat chiri, cop halilintar, ubor-ubor dan lain-lain.

Ø Selain itu, terdapat juga senjata-senjata seperti pedang, tombak dan keris panjang serta penggunaan bahasa dalam atau bahasa istana yang dikhaskan
untuk sultan dan kerabatnya. Semua hak-hak keistimewaan ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada
baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

(b) Ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu

Ø Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada
masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran
itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.

Ø Hanya sedikit sahaja istiadat yang dihadiri oleh sultan sebagai pemimpin rakyat. Peranannya tidak begitu aktif. Upacara-upacara besar dalam masa
pemerintahan baginda ialah hari pertabalan dan pemakaman. Pada masa ini pembesar dan rakyat jelata akan berhimpun. Pada masa perayaan besar tahun
Islam seperti Hari Raya Puasa, sultan akan mengadakan majlis jamuan.

Kesimpulan (2/3 markah)

Kesimpulannya, sultan memainkan peranan yang cukup besar sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Peranan Sultan jelas dominan di
Negeri-negeri Melayu sehingga pengenalan sistem Residen pada tahun 1874 di Perak, seterusnya Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Perlaksanaan
sistem Residan telah menjejaskan kedudukan dan kuasa sultan dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Kuasa sultan kini hanya terhad dalam bidang agama
Islam dan adat istiadat Melayu sahaja, sementara semua kuasanya yang lain dibolot oleh Residen Inggeris. Dominasi Inggeris terhadap kuasa Sultan
kemudiannya telah mencetuskan konflik kuasa diikuti dengan penentangan dalam kalangan pembesar dan orang tempatan di Tanah Melayu.

You might also like