You are on page 1of 6

Cikgu Syahidah

“Karangan Syarahan”

1. Karangan jenis syarahan atau dikenali juga sebagai pidato merupakan


karangan berformat.

2. Format yang perlu diikuti apabila menulis karangan jenis ini ialah:

a) Kata alu-aluan kepada para hadirin. Kata-kata ini mestilah


mengikut mengikut pangkat seperti Yang Mulia, Yang Berhormat,
Yang Berbahagia, Yang Dihormati, dan lain-lain.

b) Kata-kata penghadapan diselang-seli antara satu atau dua


perenggan. Antara kata-kata penghadapan yang biasa digunakan
ialah:

- Hadirin yang dihormati,


- Hadirin dan hadirat sekalian.
- Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
- Saudara-saudari yang dikasihi sekalian dll.
Penulisannya betul-betul di sebelah kiri dan selepas dilangkau
satu baris daripada isi sebelumnya.
- Format penulisan karangan mesti dipatuhi untuk mengelakkan
markah ditolak.

3. Kandungan syarahan terbahagi kepada tiga;


a) Pendahuluan - berisi kata alu-aluan, menyatakan tajuk

b) Isi - memuatkan perkara-perkara penting yang hendak disampaikan


berdasarkan tajuk. Terdiri daripada fakta, penerangan, butiran dan statistik
yang tepat dan meyakinkan. Isi diselang-selikan dengan kata-kata
penghadapan

c) Penutup - memuatkan kesimpulan, ucapan maaf dan terima kasih

4. Bahasa yang digunakan harus mudah difahami, mempunyai isi-isi yang tepat
dan bernas, jelas dan disertai contoh-contoh yang sesuai.

5. Karangan teks syarahan bergantung kepada situasi sama ada situasi


pertandingan atau tidak.

6. Kata-kata alu-aluan dalam teks syarahan dimulakan mengikut pangkat,


daripada yang tertinggi kepada yang terendah. Kata alu-aluan dalam teks
syarahan berbeza mengikut jenis syarahan iaitu :
Cikgu Syahidah

Syarahan untuk pertandingan :

“Yang saya hormati Tuan Pengurusi Majlis, Yang Berbahagia Pengetua-


pengetua, barisan-barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru pengiring,
guru-guru dan pelajar sekalian”
Syarahan bukan untuk pertandingan :

“Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Puan Wan Kelly
binti Amer Din, Pengetua Sekolah Menengah Abdul Hakimi, Encik Isaac Wong,
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, ketua-ketua bidang, guru-guru dan
rakan-rakan sekalian”

#Selitkan unsur-unsur seperti peribahasa, simpulan Bahasa dan kata-kata hikmat

#Akhiri syarahan dengan penegasan fakta tentang isu yang dikemukakan sebagai rumusan
dan kesimpulan supaya penonton dapat mengimbas kembali maklumat yang telah
dikemukakan
Cikgu Syahidah

CONTOH KARANGAN SYARAHAN


Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam memastikan hubungan kekeluargaan
terus utuh dan kukuh. Sempena sambutan Hari Keluarga di Sekolah anda, anda
diminta untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk “Ibu bapa Penentu
Hubungan Kekeluargaan yang Cemerlang”.
Sediakan teks syarahan anda selengkapnya.

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Puan Rachel Soon,
Pengetua Sekolah Menengah Perempuan Natalie Parit Buntar, Encik Noah Feb, Guru
Penolong Kanan, Puan Minnie Andy, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, barisan
guru-guru yang disayangi, ibu bapa yang hadir pada hari ini dan rakan-rakan sekalian.
Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan. Pada pagi yang nirmala ini saya akan
menyampaikan satu syarahan yang bertajuk “Ibu bapa Penentu Hubungan
Kekeluargaan yang Cemerlang”.

Hadirin sekalian,
Dalam menempuh arus globalisasi ini, ibu bapa semakin alpa terhadap
tanggungjawab mereka. Mengapakah hal ini berlaku? Hal ini kerana, ibu bapa terlalu
obses mengejar arus modenisasi sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki
mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna seterusnya membentuk
keluarga yang bahagia. Akar umbi kepada pembentukan keluarga yang cemerlang
ialah peranan ibu bapa mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Ibu bapa perlu
memberi sepenuh kasih sayang kepada anak-anak. Kasih sayang diibaratkan inti
kepada keluarga bahagia yang menjadi aras kepada hubungan kekeluargaan yang
cemerlang. Rumah diibaratkan tiang sandaran konkrit yang melindungi anak-anak
daripada segala pancaroba mayapada ini. Insan yang bertanggungjawab mengetuai
sebuah keluarga digelar bapa manakala insan yang berkewajipan menguruskan urusan
keluarga bergelar ibu. Ibu bapa merupakan guru pertama dalam kehidupan anak-anak
mereka yang masih mentah dan tidak mampu membezakan antara intan dan kaca. Ibu
bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan norma-norma positif agar menjadi
seorang yang berguna kerana anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang
membentuknya.

Hadirin sekalian,
Isu hubungan kekeluargaan semakin renggang sering diuar-uarkan di media
massa. Isu ini sering menjadi polemik pada peringkat lokal. Mutakhir ini, ibu bapa yang
terlalu taksub mengejar kebendaan dan beranggapan bahawa kerjaya dan wang ringgit
adalah lebih afdal daripada keluarga sendiri. Ibu bapa beranggapan bahawa
kemewahan dan kerjaya dijadikan sebagai kayu ukur dalam menilai status sosial
mahupun kemampuan individu dalam masyarakat. Ibu bapa telah menggantikan kasih
Cikgu Syahidah

sayang dengan sogokan wang ringgit. Ironinya, anak-anak telah kehilangan satu
wahana untuk bertukar fikiran dan pendapat dengan ibu bapa mereka seterusnya
mencari rakan sebaya yang dapat memahami mereka. Bertitik tolak dari sinilah
hubungan antara anak dan ibu bapa semakin renggang. Lantaran itu, ibu bapa perlu
meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak dan menganggap anak-anak
sebagai rakan mereka untuk berkongsi waktu suka dan duka. Izharnya di sini, institusi
keluarga merupakan aset paling berharga dalam membentuk insan yang berguna.
Keluarga yang bahagia merupakan aset yang paling signifikan dan tidak dapat ditukar
beli dengan wang ringgit.

Hadirin sekalian,
Selain itu, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada
anak-anak. Antara faktor dominan kepada ramainya golongan berusia di rumah warga
tua adalah kerana anak-anak telah mengabaikan mereka. Apabila golongan “emas” ini
dipinggirkan, maka pincanglah hubungan kekeluargaan dalam sesebuah institusi
kekeluargaan. Justeru, untuk mengelakkan perkara ini berlaku ibu bapa tidak wajar
menghantar orang tua mereka ke rumah warga tua. Hal ini kerana setiap perbuatan
yang dilakukan oleh ibu bapa akan menjadi teladan kepada anak-anak mereka bak kata
pepatah, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Baru-baru ini, dengan idea kreatif,
pihak PETRONAS telah menyiarkan satu iklan menyentuh sanubari hati yang
melihatnya. Dalam iklan ini dipaparkan satu situasi iaitu seorang anak perempuan yang
telah berjaya berasa begitu jengkel menjaga ayahnya yang sakit sehingga sanggup
mengasingkan tempat makan ayahnya. Perbuatan “Si anak perempuan” ini telah
diteladani oleh anak-anaknya. Sesungguhnya warga emas tidak boleh dibiarkan ibarat
“rumput di tepi jalan” dalam usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Hadirin sekalian,
Pernahkah terlintas dalam gawang minda masyarakat kita bahawa
kerenggangan hubungan kekeluargaan kini disebabkan oleh kedangkalan
pengetahuan agama dan kegagalan penerangan nilai-nilai moral dalam sesebuah
institusi kekeluargaan. Masyarakat era kontemporari acap kali memandang enteng
tentang peri pentingnya pendidikan agama dalam kalangan anak-anak. Lantaran itu,
anak-anak tidak akan mengetahui tentang konsep “syurga terletak di bawah tapak kaki
ibu”. Anak-anak yang tidak mendapat didikan agama yang mencukupi akan bersikap
kurang ajar terhadap ibu bapa mereka. Jika keadaan ini berlarutan, nescaya akan
pincanglah hubungan kekeluargaan. Justeru, ibu bapa berperanan penting dalam
menerapkan didikan agama dalam diri anak-anak termasuk mendidik anak-anak
dengan norma-norma hubungan kekeluargaan yang baik.
Cikgu Syahidah

Hadirin sekalian,
Ibu bapa juga perlu menyediakan waktu yang berkualiti untuk anak-anak. Baru-
baru ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah
mengadakan kempen-kempen untuk menyedarkan masyarakat agar membentuk
hubungan keluarga yang erat bagai aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu
sama lain. Antara kempen yang telah dijalankan adalah menyiarkan slogan-slogan
seperti “Utamakan Keluarga, Semakin Hari Semakin Sayang,” dan “Di manakah anak-
anak anda berada?. Kerajaan juga telah menjadikan hari sabtu sebagai hari cuti untuk
kakitangannya. Hal ini secara tidak langsung akan memberi peluang kepada ibu bapa
memiliki masa yang lebih berkualiti dengan anak-anak. Ironinya, ibu bapa akan
meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak dan hubungan kekeluargaan akan
lebih erat.

Sebagai intiha, dapatlah disimpulkan bahawa komitmen yang jitu dan padu
daripada ibu bapa adalah penentu kepada utuhnya hubungan kekeluargaan.
Masyarakat hari ini peril diberi kesedaran tentang keperluan sebuah institusi keluarga
yang harmonis. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita menjangkau sehabis
tangan dan mengembleng tenaga untuk membentuk keluarga yang bahagia. Semua
pihak perlu bersinergi agar Malaysia bukan sahaja sebuah negara yang makmur dari
segi ekonomi malah tidak muflis dari segi norma-norma hubungan kekeluargaan.
Kejayaan seseorang individu bermula daripada institusi keluarga yang sempurna.
Jadikanlah konsep “Rumahku Syurgaku” sentiasa terpahat dalam setiap sanubari
warga Malaysia. Sebelum saya mengakhiri syarahan pada hari ini, dengarkanlah
serangkap pantun daripada saya:

Masak lemak dengan kelapa,


Kelapa dicari oleh sang kera,
Cintai anak sayangi ibu bapa,
Pasti keluarga hidup aman sejahtera.

Sekian, terima kasih.


Cikgu Syahidah

UNGKAPAN MENARIK MAKSUD / DEFINISI


Nirmala Pagi yang hening
Arus globalisasi Dunia tanpa sempadan
alpa Lupa
Obsess Terlalu terikut-ikut
Hakiki Tetap
Akar umbi Peringkat dasar
inti Teras
Tiang sandaran konkrit Sesuatu yang amat penting
Pancaroba Cabaran
Mayapada Dunia hari ini
Intan dan kaca Yang baik dan yang buruk
Norma-norma Nilai-nilai baik
Diuar-uarkan Diberitahu/ dihebahkan
Polemik Sesuatu yang dibincangkan
Lokal Peringkat tempatan
Mutakhir ini Zaman ini
Taksub Terlalu terikut-ikut
Afdal Utama / baik
Kayu ukur Penentu aras
Sogokan Diberikan
Ironinya Kesannya
Izharnya Jelas
Signifikan Penting
Dominan Utama
Pincanglah Rosaklah
Bagaimana acuan begitulah kuihnya Mengikut sifat ibu bapa
Jengkel Tidak suka/menyampah
Rumput ditepi jalan Tidak berguna
Gawang minda Dalam fikiran
Kedangkalan Kecetekan
Kontemporari Dunia moden
Peri pentingnya Utama
nescaya Pasti
Berkualiti Bernilai
Aur dengan tebing Bekerjasama / saling melengkapi
Sebagai intiha Kesimpulannya
Komitmen Kerjasama
utuh Kukuh
Harmonis baik
Nasi menjadi bubur Sudah terlambat
Menjangkau sehabis tangan Mencuba sedaya upaya
Menggembleng Berusaha bersungguh-sungguh
Bersinergi Bekerjasama
Terpahat Terdapat
sanubari Fikiran
Enteng Ambil mudah

You might also like