You are on page 1of 6

Bincangkan Pembentukan kerjasama serantau dalam kalangan negara Asia Tenggara

Apabila menelusuri sejarah pembentukkan kerjasama serantau yang wujud selepas perang dunia kedua
ini adalah berpunca daripada hubungan antarabangsa yang agak tidak stabil. Bermula dengan pertikaian
fahaman dan perang dingin di antara kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union. Maka, bagi
mengatasi ancaman daripada persaingan dua kuasa besar tersebut, negara-negara serantau mula
menubuhkan pertubuhan serantau sesama mereka untuk melindungi wilayah dari segi ekonomi, politik
dan sosial. Menurut Schmitter (1965) menyatakan kerjasama serantau ialah “… a process whereby
national units come to share part or all of their decisional authority with an emerging international
organization.” Ini menunjukkan pertubuhan kerjasama serantau ialah unit nasional yang berkongsi
sebahagian mahupun keseluruhan kuasa dalam menentukan hala tuju dan keputusan dalam
hubungannya dengan pertubuhan serantau yang mereka anggotai.1 Kerjasama serantau di Asia
Tenggara boleh dilihat melalui tertubuhnya empat kerjasama ini iaitu SEATO, ASA, MAPHILINDO
dan ASEAN.

1. SEATO
Southeast Asia Treaty Organization (SEATO) ditubuhkan pada 8 September 1954 di Bangkok hasil
pertemuan pemimpin dari tiga negara, iaitu Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia. Tujuannya adalah
untuk menghimpun kekuatan Asia Tenggara di bawah pimpinan AS dan Inggeris untuk melawan blok
komunis.2 Penglibatan kuasa-kuasa luar dan penubuhan SEATO (Southeast Asia Treaty Organization)
sebagai pakatan kerjasama (berbentuk pakatan pertahanan) yang ulung di kawasan ini dipandang dari
segi sejarah merupakan titik tolak kepada kerjasama serantau kerana segala usaha untuk menubuhkan
pakatan kerjasama di Asia Tenggara selepas itu dianggap sebagai hasil peransang dari SEATO. SEATO
diilhamkan oleh John Foster Dulles yang merupakan Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Penubuhan
pakatan ini berbangkit daripada Perjanjian Geneva 1954 di Indochina. Delegasi daripada Australia,
Perancis, New Zealand, Pakistan, Filipina, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat,
mengadakan mesyuarat di Manila pada bulan September 1954, bersetuju dengan Perjanjian Kumpulan
Pertahanan Asia Tenggara Pertahanan.3 Perjanjian yang ditandatangani oleh negara-negara ini
sekurang-kurangnya telah membina satu asas bagi kerjasama pertahanan. Seterusnya, perjanjian ini
membawa kepada penubuhan SEATO dan mula dikuatkuasakan secara rasminya pada 19 Februari
1955.

Namun kerjasama SEATO ini tidak lama kerana Indonesia mendakwa Tanah Melayu dan
Filipina adalah dua negara yang mempunyai hubungan akrab dengan negara penjajah. Indonesia juga
mendakwa Tanah Melayu mempunyai perjanjian ketenteraan dan pertahanan dengan Britain melalui
Anglo-Malayan Defence Agreement (AMDA). Dalam perjanjian ini, Australia dan New Zealand
dilantik sebagai pemerhati dengan dipengerusikan oleh pengurus besar Britain di Asia Tenggara iaitu
Malcom MacDonald. Akibat daripada tentangan inilah akhirnya SEATO gagal. Setelah itu, negara–
negara Asia Tenggara yang terdiri daripada negara Malaysia, Thailand dan Filipina menubuhkan
Association of Southeast Asia (ASA) pada tahun 1961.

2. ASA

1 Mohamed Irwan Mansor. Jurnal Asean sebagai Sebuah Pertubuhan Serantau. Selangor. Universiti Kebangsaan Malaysia.
2017 : 2.
2 Franklin, J.K. The Hollow Pact: Pacific Security and the Southeast Asia Treaty. New York: Free Press. 2006.
3 South-East Asia Collective Defence Treaty (Miscellaneous No. 27 of 1954). Cmd 9282 of 1954-55; ratified by the United

Kingdom, 19 Feb. 1955, Cmnd 265 of 1956-57, Treaty series, 1957.


ASA atau Persatuan Asia Tenggara (Association of Southeast Asia) merupakan sebuah pertubuhan
serantau yang dicadangkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk mewujudkan kerjasama
dalam kalangan negara di Asia Tenggara yang bukan komunis. Pertubuhan ini turut bertujuan untuk
memperbaiki kedudukan ekonomi serta sosial negara anggota. Seperti jika pengeluaraan bijih timah
Indonesia dan Malaysia disatukan akan menjadikannya sebuah pengeluar yang terbesar di dunia. Begitu
juga jumlah pengeluaran getah Malaysia, Thailand dan Indonesia secara keseluruhannya adalah
terbanyak di dunia. Oleh itu, jika negara ini bekerjasama maka mereka boleh mengawal harga getah
dan bijih timah di pasaran antarabangsa. Pada bulan Januari 1959, Tunku Abdul Rahman telah
melakukan lawatan rasmi ke Filipina. Pada akhir lawatan itu, Tunku beserta dengan Presiden Filipina,
Carlos Garcia, telah mengeluarkan kenyataan bersama yang antara lain, mencadangkan pembentukan
satu pertubuhan serantau demi kepentingan bersama negara di Asia Tenggara.4 Sekembalinya Tunku
Abdul Rahman ke tanah air, Kementerian Luar Negeri Tanah Melayu telah menghubungi hampir semua
negara di Asia Tenggara berkenaan dengan cadangan hendak menubuhkan satu pertubuhan serantau.
Indonesia menyatakan bahawa ia tidak berminat dengan satu pertubuhan yang berbilang anggota.
Sebaliknya, Indonesia lebih suka kepada perhubungan dua hala. Negara Asia Tenggara yang lain pun
tidak begitu berminat, kecuali Thailand dan Filipina. Berikutan daripada cadangan tersebut maka
Filipina, Persekutuan Tanah Melayu dan Thailand telah mengadakan rundingan yang akhirnya bersetuju
melahirkan Persatuan Asia Tenggara (Association of Southeast Asia) pada 31 Julai 1961 di Bangkok.
Pertubuhan ini lebih dikenali dengan nama akronimnya iaitu ASA. Penubuhan ASA disertai
dengan pengisytiharan Bangkok pada 1 Ogos 1961. ASA ditubuhkan bertujuan untuk menggalakkan
kerjasama dalam bidang ekonomi dan kebudayaan serta menubuhkan satu mekanisme yang berkesan
untuk perundingan dan saling membantu dalam kemasyarakatan, kebudayaan, sains dan pentadbiran.
ASA juga mengadakan kemudahan latihan dan penyelidikan untuk kepentingan bersama dan
mempertingkatkan pengajian tentang Asia Tenggara. ASA adalah satu pertubuhan bebas yang tidak
terikat dengan mana-mana blok kuasa. Walaupun ASA tidak mempunyai tujuan politik tetapi hasrat
yang tersirat menuju ke arah politik dan keselamatan. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berharap
dengan adanya kerjasama dalam bidang ekonomi, kemasyarakatan, sains dan lain-lain lagi antara
anggota ASA, maka pembangunan ekonomi dan masyarakat yang lebih berkesan akan dapat
dilaksanakan sekaligus kemiskinan dapat dibendung. Dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara,
Thailand, Filipina dan Malaysia boleh dikatakan mempunyai kesefahaman dari segi orientasi politik,
taraf ekonomi atau pandangan luar pemimpin. Penubuhan ASA ini adalah satu kejayaan dasar luar
negara dan diplomasi Malaysia. Tetapi, masih belum dianggap memenuhi matlamat dasar serantau.
Penganggotaan yang hanya terdiri daripada tiga buah negara ini belum mengukuhkan ASA, ianya masih
pincang. Banyak negara lain yang mencurigai ASA dan memandangnya sebagai topeng strategi kuasa
barat.
ASA menemui kegagalan dan tidak bertahan lama seperti SEAFET. Hal ini kerana perselisihan
faham berlaku di antara negara anggota. Filipina menarik diri daripada ASA sebagai membantah
keputusan Tanah Melayu untuk memasukkan Sabah menjadi sebahagian daripada wilayahnya yang
terletak di bawah Kesultanan Sulu. Oleh sebab Sulu merupakan sebahagian daripada Filipina, maka
Sabah perlu dikembalikan kepada negara itu. Dalam satu rundingan yang dibuat sebelum penubuhan
Malaysia, iaitu antara Filipina dengan Britain, kerajaan British telah menolak tuntutan Filipina itu.
Selepas penubuhan Malaysia, Filipina membuat tuntutan ke atas Sabah daripada kerajaan Malaysia.

3. MAPHILINDO

4Zainal Abidin Abdul Wahid et al. Malaysia Warisan dan Perkembangan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. 1996 :
416.
Selepas berlakunya kebekuan terhadap ASA dalam tahun 1963 sehingga tahun 1965, konfrontasi yang
timbul telah mengeruhkan suasana politik di Asia Tenggara dan mengggat kemantapan rantau ini.
pertelingkahan di antara Malaysia, Indonesia dan Filipia telah menyekat perkembangan momentum
kerjasama namun terdapat juga impak jangka panjang yang positif. Dalam usaha mencari penyelesaian
pada pertelingkahan itu berlaku beberapa mesyuarat, perjumpaan dan persidangan di antara pemimpin-
pemimpin Asia Tenggara baik di antara yang terlibat secara langsung atau tidak langung sehinggakan
terbentukknya MAPHILINDO dalam tahun 1963.5 MAPHILINDO merupakan singkatan bagi tiga
negara iaitu Malaysia, Philipine dan Indonesia. Penubuhan ini mengantikan ASA untuk mewujudkan
hubungan yang baik dalam kalangan negara Asia Tenggara. Tujuan penubuhan MAPHILINDO adalah
untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan rantau Asia Tenggara melalui hubungan erat dengan
negara-negara Asia Tenggara melalui konsep penyatuan rumpun Melayu.
Penubuhan MAPHILINDO ini adalah hasil idea daripada Macapagal iaitu Presiden Filipina.
Beliau ingin mewujudkan sebuah Persekutuan Gabungan Dunia Melayu bagi bertujuan untuk
meleraikan perbezaan yang wujud dalam kalangan negara anggota yang berpecah akibat dari warisan
sejarah dahulu. Ketiga-tiga Negara ini bersetuju dengan penubuhan ini adalah lebih disebabkan oleh
kepentingan masing-masing iaitu bagi pihak Indonesia, Soekarno melihat MAPHILINDO sebagai
sebuah platform di mana beliau dapat mengerahkan pengaruhnya dan menegaskan kepimpinannya di
kawasan itu dan sebagai alat untuk mengusir pengaruh Barat dari rantau ini sesuai dengan
kesepakatannya dengan China, manakala Presiden Macapagal dari Filipina, sebaliknya, menyaksikan
MAPHILINDO sebagai satu cara untuk menggagalkan tentera Komunis dari negaranya dan Malaysia
telah menerima MAPHILINDO sebagai kompromi untuk mencapai penyelesaian segera pada
konfrontasi dengan Indonesia. Matlamat lain adalah mencari kesepakatan dalam mewujudkan
keamanan dan kestabilan negara rantau Asia Tenggara. Konsep ini juga adalah bertujuan untuk
menitikberatkan keahlian yang berketurunan Melayu. Atas dasar inilah penyertaan Thailand telah
disekat bagi memastikan ia betul-betul membawa kepentingan rumpun Melayu. MAPHILINDO dilihat
bertentangan dengan konsep kerjasama yang dipegangnya menyebabkannya hanya bertahan beberapa
minggu sahaja tanpa sempat untuk melancarkan kegiatannya. MAPHILINDO dibubarkan pada 17
September 1963, sehari selepas Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

5Muhammad Hear Bin Haji Awang. Malaysia : Sejarah Dan Proses Pembangunan. Kuala Lumpur. Persatuan Sejarah
Malaysia. 1979 : 361.
4. ASEAN
Selepas Perang Dunia Kedua, rantau Asia Tenggara adalah kawasan bergolak. Misalnya, pada tahun
1957, tercetusnya Perang Vietnam, selepas itu berlaku pula konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia,
tuntutan Filipina terhadap Sabah dan pemisahan Singapura dari Malaysia. Rentetan konflik ini, maka
pemimpin negara-negara Asia Tenggara menyedari perlunya untuk bekerjasama demi meredakan rasa
saling curiga bagi membangunkan rasa saling percaya antara negara serantau. Maka, selepas
berakhirnya konfrontasi Indonesia dan Malaysia, para pemimpin negara-negara Asia Tenggara telah
menghidupkan kembali gagasan kerjasama serantau. Pada Julai 1966, perundingan tidak rasmi antara
Indonesia dan Malaysia diadakan untuk mewujudkan sebuah kerjasama serantau yang aman, maju dan
makmur antara negara yang berada di rantau ini. Menjelang tahun 1966, pelbagai faktor politik muncul
yang menguatkan lagi semangat serantau untuk bersama-sama membentuk jalinan kerjasama.
Pada tahun yang sama, kepimpinan kerajaan Indonesia berubah apabila Soekarno digantikan
oleh Presiden Soeharto. Di bawah pemerintahan Soeharto ini, Indonesia telah menunjukkan perubahan
drastik apabila bersedia untuk mengakhiri konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia. Kesediaan
Soeharto ini telah memulihkan hubungan antara kedua-dua negara tersebut. Dalam tempoh ini juga,
Malaysia juga telah menyelesaikan konfliknya dengan Singapura apabila kedua-dua negara bersetuju
untuk berpisah pada 9 Ogos 1965. Di Filipina pula, perubahan kerajaan daripada Macapagal kepada
Presiden Ferdinand Marcos telah mengurangkan ketegangan hubungan antara Filipina dan Malaysia.
Malaysia dan Indonesia. Kesediaan Soeharto ini telah memulihkan hubungan antara kedua-dua negara
tersebut. Dalam tempoh ini juga, Malaysia juga telah menyelesaikan konfliknya dengan Singapura
apabila kedua-dua negara bersetuju untuk berpisah pada 9 Ogos 1965.
Semua ini telah menjadi faktor pendorong kepada penubuhan ASEAN. Hal ini membawa
kepada agenda perbincangan rasmi pada awal tahun 1967 antara negara Indonesia, Malaysia, Singapura,
Thailand dan Filipina. Maka, dari sinilah lahirnya ASEAN (Association of South East Asian Nations)
sebagai sebuah pertubuhan serantau yang dibentuk oleh lima negara pendiri utama iaitu Indonesia,
Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.6 Dalam satu pertemuan di Bangkok, menteri luar negara-
negara ini menandatangani Deklarasi ASEAN atau disebut Deklarasi Bangkok pada 8 Ogos 1967
menandakan rasmilah penubuhan ASEAN. Kelima-lima menteri luar tersebut ialah Adam Malik dari
Indonesia, Tun Abdul Razak dari Malaysia, S. Rajaratnam dari Singapura, Thanat Koman dari Thailand
dan Narcisco Ramos dari Filipina.7
Kejayaan ASEAN ini telah menarik negara-negara lain dalam rantau Asia Tenggara untuk
turut menyertai pertubuhan ini. Jika di awal penubuhannya, ASEAN hanya dianggotai lima buah negara
sahaja, dengan kejayaannya ini, Brunei turut menjadi anggota baharu ASEAN pada 8 Januari 1984,
iaitu seminggu selepas negara tersebut mencapai kemerdekaan dari Britain. Sebelas tahun kemudian
pada 28 Julai 1995, Vietnam menjadi negara ketujuh menyertai ASEAN. Kelewatan Vietnam
menganggotai ASEAN adalah kerana ketika ASEAN dibentuk, negara Vietnam sedang berhadapan
dengan peperangan bersama Amerika Syarikat yang akhirnya berjaya ditamatkan dengan langkah
penyatuan Vietnam Utara dan Vietnam Selatan. Vietnam merupakan negara yang berfahaman
Komunis, maka ia bertentangan dengan ideologi negara-negara anggota ASEAN yang lain. Faktor ini
juga turut mendorong kepada kelewatan Vietnam mengganggotai pertubuhan ini.8 Pada 25 Julai 1997,
Laos, Myanmar dan Kemboja pula menyertai ASEAN. Keanggotaan Kemboja tidak lama kerana negara
ini terpaksa menarik diri akibat masalah politik dalaman. Namun begitu, dua tahun kemudian Kemboja
kembali menyertai ASEAN pada 30 April 1999, menjadikannya sebagai negara anggota kesepuluh
ASEAN dan terus bertahan sehingga kini. Penyertaan tiga negara tersebut ke dalam pertubuhan ASEAN

6 Mohamed Irwan Mansor. ASEAN as a regional organization. Journal of Social Science and Humanities.2017.
7 Narine, S. Explaning in ASEAN: regionalism in southeast Asia. London: Lyne Rienner Publishers. 2002.
8 Herring, G.C. America's Longest War: The United States and Vietnam, 1950–1975. London: Penguin. 2001.
telah membentuk pelbagai kerjasama yang menguntungkan negara-negara ahli yang menganggotai
pertubuhan ini. Misalnya, Laos telah dibantu oleh Thailand dan Indonesia dalam memperkuatkan
kerjasama dalam sektor pemakanan dan pertanian.
Penyertaan kesemua negara di rantau Asia Tenggara ke dalam ASEAN ini telah memberi nafas
baharu kepada negara anggota bagi memastikan rantau ini terus pesat dan membangun. Jika dahulu,
negara-negara Asia Tenggara hanya mengejar objektif negara masing-masing melalui sumber yang
terhad, kini, apabila menganggotai ASEAN, mereka saling melengkapi antara satu sama lain dan
berusaha keras untuk bersama mengatasi kekurangan yang ada. Dengan bergabungnya negara-negara
Asia Tenggara ke dalam ASEAN, maka ASEAN menghadapi cabaran dalam mencapai objektif
penubuhannya terus aman dan berkembang maju.

RESPON 1: Rafidah

Saya bersetuju dengan apa yang saudari katakan. Namun saya ingin berkongsi sedikit mengenai
apa yang saya perolehi daripada jurnal yang saya jumpai mengenai ASEAN. Untuk pengetahuan
bersama pada 28 Julai 1995 iaitu selepas sebelas tahun kemudian penubuhan ASEAN, Vietnam telah
menjadi negara ketujuh menyertai ASEAN. Kelewatan Vietnam menganggotai ASEAN adalah kerana
ketika ASEAN dibentuk, negara Vietnam sedang berhadapan dengan peperangan bersama Amerika
Syarikat yang akhirnya berjaya ditamatkan dengan langkah penyatuan Vietnam Utara dan Vietnam
Selatan. Vietnam merupakan negara yang berfahaman Komunis, maka ia bertentangan dengan ideologi
negara-negara anggota ASEAN yang lain. Faktor ini juga turut mendorong kepada kelewatan Vietnam
mengganggotai pertubuhan ini. Seterusnya, pada 25 Julai 1997, Laos, Myanmar dan Kemboja pula
menyertai ASEAN. Namun, keanggotaan Kemboja tidak lama kerana negara ini terpaksa menarik diri
akibat masalah politik dalaman. Tetapi, dua tahun kemudian Kemboja kembali menyertai ASEAN pada
30 April 1999, menjadikannya sebagai negara anggota kesepuluh ASEAN dan terus bertahan sehingga
kini. Penyertaan tiga negara tersebut ke dalam pertubuhan ASEAN telah membentuk pelbagai
kerjasama yang menguntungkan negara-negara ahli yang menganggotai pertubuhan ini. Misalnya, Laos
telah dibantu oleh Thailand dan Indonesia dalam memperkuatkan kerjasama dalam sektor pemakanan
dan pertanian. Terima Kasih.
RESPON 2 : Wan Nur Aqilah
Assalammualaikum saudari. Izinkan saya berkongsi sedikit mengenai apa yang saya perolehi. Untuk
pengetahuan saudari terdapat pelbagai pendorong kepada penubuhan ASEAN ini seperti menjelang
tahun 1966, pelbagai faktor politik muncul yang menguatkan lagi semangat serantau untuk bersama-
sama membentuk jalinan kerjasama. Pada tahun tersebut juga, kepimpinan kerajaan Indonesia berubah
apabila Soekarno digantikan oleh Presiden Soeharto. Di bawah pemerintahan Soeharto ini, Indonesia
telah menunjukkan perubahan drastik apabila bersedia untuk mengakhiri konfrontasi antara Malaysia
dan Indonesia. Kesediaan Soeharto ini telah memulihkan hubungan antara kedua-dua negara tersebut.
Dalam tempoh ini juga, Malaysia juga telah menyelesaikan konfliknya dengan Singapura apabila
kedua-dua negara bersetuju untuk berpisah pada 9 Ogos 1965. Di Filipina pula, perubahan kerajaan
daripada Macapagal kepada Presiden Ferdinand Marcos telah mengurangkan ketegangan hubungan
antara Filipina dan Malaysia. Malaysia dan Indonesia. Kesediaan Soeharto ini telah memulihkan
hubungan antara kedua-dua negara tersebut. Dalam tempoh ini juga, Malaysia juga telah menyelesaikan
konfliknya dengan Singapura apabila kedua-dua negara bersetuju untuk berpisah pada 9 Ogos 1965.
Terima Kasih.

You might also like