You are on page 1of 4

https://cikguafzan96.blogspot.com/2018/01/keunikan-tamadun-cina-yang-kekal.

html

penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (2009) menyatakan bahawa pembinaan tamadun China berasaskan peranan sungai Hwang Ho
yang telah menyuburkan kawasan sekitarnya. Keadaan tersebut menarik pendudukan nomad untuk tinggal menetap dan membina
petempatan awal di kawasan tersebut. Kemunculan Tamadun China dapat dikesan menerusi penemuan bukti arkeologi iaitu tengkorak
homo sapien yang dikenali sebagai Peking Man yang dikatakan hidup pada sekitar tahun 400 000 S.M.. Tapak Banpo yang berdekatan
dengan bandar Sian moden merupakan petempatan awal penduduk Hwang Ho. Penduduk di kawasan tersebut menjalankan aktiviti
pertanian dan penternakan binatang selain mengumpul hasil hutan dan memburu. Perkembangan petempatan awal Tamadun China telah
melahirkan beberapa buah bandar di Lembah Hwang Ho. Menurut Abdullah Alwi Hassan (2000), Tamadun China yang telah wujud sejak
sekian lama mempunyai ciri-ciri unik yang tersendiri dalam memastikan kelangsungan dan perkembangannya. Terdapat beberapa ciri unik
dalam Tamadun China yang kekal sehingga ke hari ini yang merangkumi aspek seni bina, seni muzik, seni perhiasan dan seni penulisan.
Tamadun China terkenal dengan keindahan seni bina bangunan-bangunan yang terdapat dalam tamadun tersebut. Menurut Azam
Hamzah dan Zuleikha Yusoff (1990), seni bina bangunan Tamadun China mempunyai ciri-ciri tertentu yang menjadikan seni bina tamadun
tersebut berbeza daripada tamadun-tamadun yang lain. Secara amnya, seni bina Tamadun China meliputi beberapa bangunan seperti
istana raja, rumah ibadat dan taman-taman maharaja. Kebanyakan bangunan lama atau tradisi dibina dengan menggunakan bahan -
bahan seperti kayu dan batu bata. Dalam tamadun China, bangunan -bangunan penting seperti istana dan rumah ibadat mempunyai
ukiran yang tersendiri. Ukiran tersebut terdiri daripada ukiran patung seperti naga, harimau, singa dan sebagainya yang berperanan
untuk menghiasi perkarangan bangunan tersebut atau diukir di dinding-dinding atau atap bangunan tersebut. Pembinaan
bangunan dalam Tamadun China bergantung pada kepercayaan masy rakat China seperti Yin Yang dan Feng Shui. Setiap
bangunan yang terdapat dalam Tamadun China mempunyai tembok yang besar khususnya istana -istana lama. Penggunaan
warna merah merupakan satu kebiasaan bagi bangunan -bangunan utama di Tamadun China kerana masyarakat China
beranggapan bahawa warna tersebut melambangkan keberanian dan kesejahteraan kepada pemiliknya. Tamadun China mempunyai
seni bina yang unik dari segi struktur, bentuk bumbung, warna yang banyak dipengaruhi oleh tradisi masyarakat Cina. Kayu merupakan
bahan binaan struktur utama dan juga medium kesenian seperti ukiran, lukisan dan perhiasan tradisional. Struktur bangunan diperbuat
daripada batang kepingan kayu yang disambung dengan rekaan cantuman yang khas dan tanpa dipaku. Tiang pula daripada kayu balak
besar, batu kapur, menyokong bumbung dan batu manakala jubin digunakan untuk membuat lantai, dinding, membina makam. Antara
seni bina Tamadun China yang masih kekal ialah Tembok Besar yang mula dibina pada abad ke-7 SM yang bertujuan untuk melindungi
Tamadun China daripada serangan orang gasar. Kini, Tembok Besar China merupakan salah satu tarikan pelancongan di negara China.
Secara ringkas, Tamadun China mempunyai ciri seni bina yang unik berdasarkan budaya tamadun tersebut.

Keunikan Tamadun China juga dapat dilihat menerusi aspek seni muzik. Seni muzik merupakan salah satu bidang yang telah lama
berkembang dalam Tamadun China. Tokoh Tamadun China yang menyokong perkembangan muzik dalam tamadun tersebut ialah
Confucius. Hal ini demikian kerana, Confucius berpendapat bahawa muzik merupakan unsur yang penting dalam perkembangan Tamadun
China. Perkembangan seni muzik dalam Tamadun China dapat dibuktikan apabila terdapat buku tentang seni muzik iaitu Kuan Tzu pada
abad ke-4 S.M (Chris Scarre, 1999). Ketika era pemerintahan dinasti Tang, seni muzik dalam Tamadu China mengalami perkembangan yang
amat pesat. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2009), pembahagian muzik dalam perkembangsn Tamadun China
dapat dipecahkan kepada dua iaitu muzik rakyat dan muzik golongan atasan. Perkara tersebut merupakan ciri-ciri unik seni muzik dalam
Tamadun China. Pada asasnya, muzik rakyat merupakan asas perkembangan seni muzik Tamadun China. Hal tersebut kerana, muzik
mempunyai perkaitan yang rapat dengan kehidupan rakyat. Seni muzik untuk golongan atasan pula lahir hasil daripada pengubahsuaian
yang dilakukan terhadap seni muzik rakyat. Dalam tamadun China, muzik mempunyai peranan tertentu, iaitu sebagai medium hiburan,
wahan menyampaikan pelaburan serta memberi gambaran kepada kehidupan masyarakat. Alat-alat muzik Tamadun China dikategorikan
mengikut bahan akustik yang digunakan dan cara sesuatu alat itu dimainkan. Pada dasarnya bahan-bahan tersebut terdiri daripada logam,
batu, tanah liat, kulit, sutera, kayu, labu dan buluh. Muzik Tamadun China dapat diklasifikasikan kepada kategori meniup, genderang,
memetik dan menggesek berdasarkan kaedah alat muzik tersebut dimainkan. Seni muzik Tamadun China juga turut menpengaruhi seni
muzik Tamadun yang lain seperti Korea dan Vietnam. Antara alat muzik Tamadun China yang masih berkekalan sehingga ke hari ini ialah
seruling, pipa, yangqin dan erh-hu. Alat-alat muzik tersebut sering kali digunakan ketika persembahan opera Cina dan persembahan
muzikal tradisional Cina. Intihanya, seni muzik yang terdapat dalam Tamadun China mempunyai keunikan yang tersendiri.
Aspek seni perhiasan yang terdiri daripada barang kemas dan pakaian juga merupakan salah satu ciri unik Tamadun China. Pakaian
merupakan suatu bentuk komunikasi visual dalam budaya Tamadun China (Mohd Mokhtar Shafie, 1996). Hal ini demikian kerana, pakaian
dapat membezakan status sosial antara pemerintah dengan rakyat. Dalam Tamadun China, pakaian menunjukkan perbezaan tidak hanya di
dalam kelas dan jantina, tetapi juga etnik, memandangkan kedua-dua kumpulan etnik utama, Han Cina dan Manchu, memakai pakaian
yang berbeza. Unit ini akan memulakan dengan melihat corak tradisional, kemudian mempertimbangkan bagaimana besar perubahan
sosial dan politik abad kedua puluh mengubah sistem ini. Tamadun China juga terkenal dengan pembinaan tembikar China. Terdapat dua
jenis seramik yang menarik dari segi nilai estetika iaitu seramik Seladon (celadonware) yang berasal dari Dinasti Sung dan tembikar biru-
putih (blu and white porcelain) yang berasal dari Dinasti Yuan (Mongol) dan Dinasti Ming. Seladon ialah suatu istilah yang digunakan untuk
menunjukkan seramik yang mempunyai lapisan kaca berwarna biru hijau atau kelabu hijau serta menyerupai batu permata jed. Tembikar
tersebut amat disukai oleh pentadbir Tamadun China. Tembikar biru-putih (blue and white porcelain) berasal dari negara China pada
Dinasti Yuan pada abad ke-13 dan juga merupakan tembikar yang sebenar kerana pakar-pakar dari Barat berpendapat bahawa tukang labu
Cina menunjukkan kemahiran yang paling tinggi apabila mereka mencipta tembikar (sejenis seramik) yang keras, putih dan juga lutsinar.
Perkara tersebut merupakan satu revolusi dalam citarasa masyarakat Cina. Barang kemas yang popular dalam Tamadun China dikenali
sebagai batu Jed. Berdasarkan kepercayaan masyarakat China, batu Jed bagi orang Cina melambangkan kebaikan, keluhuran budi pekerti,
kemuliaan dan keindahan. Batu jed merupakan perhiasan yang paling digemari oleh masyarakat China kerana dipercayai dapat
melanjutkan usia seseorang dan membawa kesejahteraan hidup kepada pemakainya. Seni perhiasan Tamadun China tersebut masih
diamalkan dan berkekalkan sehingga ke hari ini khususnya tembikar China. Tembikar tersebut juga menjadi salah satu tarikan pelancongan
di negara China dan dijual dengan harga yang agak mahal. Oleh itu, Tamadun China mempunyai keunikan yang tersendiri dari aspek seni
perhiasan.
Seni penulisan juga merupakan salah satu ciri keunikan Tamadun China. Menurut Ismail Hussien et al. (1997) sejarah kesusasteraan
China bermula pada awal abad ke-14 S. M. dan berkembang secara berterusan selama 3000 tahun. Terdapat pelbagai genre sastera Cina
seperti puisi, prosa, drama dan fiksyen. Antologi puisi Cina yang terawal bertajuk Shijing (Klasik Puisi). Antologi ini mengandungi 305 buah
nyanyian kuil, nyanyian istana dan nyanyian rakyat. Antara antologi puisi yang terkenal dalam Tamadun China ialah Shijing, Yijing (Klasik
Perubahan),Shujing (Klasik Sejarah), Liji (Rekod Ritual) dan Chun Qiu (Klasik Musim Bunga dan Musim Luruh) yang mana sangat dihormati
oleh sarjana-sarjana Cina. Puisi yang terkandung dalam Shijing pada asasnya dinyanyikan denga iringan muzik. Puisi
dalam Shijing mempunyai fungsi politik dan sosial selain daripada fungsi sastera. Prosa dalam Tamadun China juga turut menjalankan
fungsi yang sama dengan puisi iaitu menjalankan fungsi sosial dan politik. Salah satu tujuan penulisan prosa adalah untuk
menyampaikan dao atau menunjukkan jalan atau cara dari segi moral dan etika. Genre Drama Cina berkembang agak lewat. Pada dinasti
Yuan (1279-1368). Drama dalam Tamadun China bertujuan mendukung kelakuan baik dan memberi amaran atau berwaspada terhadap
perbuatan-perbuatan jahat seperti mana yang ditekankan oleh Konfucius. Fiksyen dalam Tamadun China tidak setanding dengan puisi atau
prosa yang selama ini disebabkan cerita-cerita yang ditulis adalah dalam bahasa vernakular maka golongan terpelajar tradisional yang
memandang tinggi gaya klasik secara rasmi tidak menganggap fiksyen bernilai untuk diberi taraf sastera. Hasil karya berbentuk fiksyen
begitu banyak dicipta dan kebanyakannya merupakan naratif yang panjang. Tetapi beberapa fiksyen mempunyai nilai yang amat tinggi
misalnya Honglou (Mimpi Loteng Merah), yang melukiskan kehidupan dan nasib sebuah keluarga besar pada zaman dinasti Qing. la
merupakan sebuah novel dengan pencapaian sangat cemerlang kelihatan dari segi perwatakan dan pelukisan gambaran yang mendalam
serta bermaklumat tentang kehidupan dan adat resam orang Cina. Selain itu, terdapat juga fiksyen yang temanya telah diilhamkan oleh
catatan agama Buddha. Antara contoh terbaik ialah Xiyou ji, yang menceritakan dengan penuh imaginasi perjalanan seorang sami Cina ke
India untuk mendapatkan kitab suci Buddha. Genre kesusasteraan Tamadun China tersebut masih berkekalan sehingga ke hari ini
khususnya puisi-puisi yang berkatian dengan nyanyian kuil yang sering digunakan dalam upacara agama Hindu. Salah satu sumbangan
penting Tamadun China dalam bidang kesusasteraan yang digunakan sehingga ke hari ini ialah karya Sun Tzu yang bertajuk The Art of
War yang telah diulang cetak dalam pelbagai bahasa. Karya tersebut membicarakan selok belok pperang dan bagaimana cara untuk
menangani musuh. Kini, karya tersebut menjadi rujukan dalam mengatur strategi perniagaan. Tuntasnya, seni penulisan Tamadun China
mempunyai keunikan yang tersendiri yang menyebabkan seni penulisan tamadun tersebut berbeza dengan penulisan seni tamadun lain.
Antara keunikan Tamadun China yang masih kekal sehingga kini ialah seni bina tamadun tersebut. Perkara ini dapat dilihat menerusi
seni bina Tokong Cheng Hoon Teng yang terletak di negeri Melaka. Cheng Hoon Teng telah dibina dengan menunjukkan budaya cina,
pelbagai seni ketukangan daripada tukang-tukang mahir datang dari China yang telah menunjukkan beberapa kemahiran dan teknik seperti
ukiran. Ukiran tersebut terdiri daripada ukiran patung seperti naga, harimau, singa dan sebagainya yang berperanan untuk menghiasi
perkarangan bangunan tersebut atau diukir di dinding-dinding atau atap bangunan tersebut. Penggunaan warna merah yang
terdapat dalam tokong tersebut merupakan adalah sama dengan yang terdapat dalam pembinaan bangunan -bangunan utama
di Tamadun China. Bahagian atap Tokong tersebut juga mempunyai persamaan dengan Kota Larangan yang terdapat dalam Tamadun China
iaitu berbentuk melentik pada bahagian penghujungnya. Senibina Tamadun China juga dapat dilihat menerusi seni bina masjid Tengkera
Melaka yang hampir sama dengan menara pagoda dan menunjukkan unsur seni bina Tamadun China di bumbung dan digabungkan dengan
tirai dan kisi-kisi berunsur barat. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa seni bina Tamadun China masih dikekalkan sehingga ke hari ini seperti
mana yang terdapat dalam Tokong Chen Hoon Teng.
Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2009), salah ciri Tamadun China yang masih kekal sehingga ke hari ini ialah
tulisan tamadun tersebut. Tulisan Tamadun China terhasil menerusi amalan penilikan tulang oracle. Rekahan-rekahan pada tulang tersebut
menimbulkan idea masyarakat China pada ketika itu untuk menghasilkan sistem tulisan. Tulisan Tamadun China berbentuk ideogram, iaitu
tulisan berbentuk simbol. Tulisan tersebut telah mengalami transformasi mengikut zaman dan menjadi lebih kompleks. Melalui
penghasilan sistem tulisan juga, Tamadun China Berjaya memperkembang bidang kesusasteraannya. Menurut Muhammad Yusof Hashim
(1989), tulisan China tersebut telah menjadi asas kepada pembentukan sistem tulisan tamadun-tamadun lain yang terletak berhampiran
dengan Tamadun China ialah Tamadun Jepun dan Tamadun Korea. Tulisan tamadun tersebut masih digunakan sehingga ke hari ini terdapat
di negara China dan dikenali sebagai tulisan Pin Yin. Deduksinya, sistem tulisan Tamadun China telah bertahan dalam suatu jangka masa
yang lama kerana masih kekal dan di amalkan sehingga ke hari ini. Hal ini jelas membuktikan bahawa Tamadun China telah memiliki tahap
ketamadunan yang tinggi menerusi penciptaan sistem tulisan untuk penyebaran ilmu pengetahuan.
Sistem peperiksaan awam yang kekal sehingga ke hari ini merupakan salah satu ciri keunikan Tamadun China. Nik Hassan Shuhaimi
Nik Abdul Rahman et al. (2009) menyatakan bahawa dalam Tamadun China, matlamat pendidikan adalah untuk lulus peperiksaan awam
kerajaan. Peperiksaan awam dalam Tamadun China terbahagi kepada tiga tahap, iaitu tahap pertama Hsiu Tai, tahap kedua Chun Jen, dan
Tahap ketiga Chin Shih. Tahap pertama setaraf dengan ijazah tahap pertama, tahap kedua setaraf dengan sarjana manakala tahap ketiga
setaraf dengan doktof falsafah dalam konteks sistem pendidikan moden kini. Peperiksaan tahap pertama dijalankan di daerah, tahap kedua
di ibu kota dan tahap ketiga di ibu kota empayar yang bertempat di istana yakni di hadapan maharaja. Sistem peperiksaan yang
diperkenalkan oleh Tamadun China telah digunakan dalam kebanyakan sistem pendidikan negara lain pada masa kini. Dalam konteks
Malaysia, peperiksaan awam yang dilaksanakan ialah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kesimpulannya, sistem
peperiksaan yang terdapat di negara kita merupakan aplikasi sistem peperiksaan yang terdapat dalam Tamadun China.
Secara keseluruhan, Tamadun China mempunyai keunikan tersendiri yang menyebabkan tamadun tersebut mempunyai perbezaan
dengan tamadun yang lain. Keunikan tamadun China dapat dilihat menerusi aspek seni bina, seni muzik, seni perhiasan dan seni penulisan.
Sebahagian daripada keunikan Tamadun China masih berkekalan sehingga ke hari ini yang menjadi salah satu daya tarikan terhadap aktiviti
pelancongan di negara China khususnya Tembok Besar China. Perkara tersebut juga jelas membuktikan bahawa masyarakat Tamadun
China pada suatu ketika dahulu telah mencapai satu tahap ketamadunan yang tinggi. Keunikan Tamadun China tersebut seharusnya
dikekalkan oleh masyarakat China pada masa kini agar keunikan tidak pupus ditelan zaman. Perkara tersebut juga perlu dikekalkan agar
generasi muda tidak lupa akan sejarah ketamadunan bangsa mereka.

You might also like