You are on page 1of 5

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), yang ditubuhkan sebagai Kolej Universiti
Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM), merupakan sebuah universiti awam yang
bertempat di Jalan Hang Tuah Jaya, Melaka. UTeM merupakan Institut Pengajian Tinggi
Awam (IPTA) serta universiti teknikal pertama yang diwujudkan di Malaysia. Walaupun
UTeM telah ditubuhkan pada 1 Disember 2000, UTeM telah dinaik taraf menjadi sebuah
universiti pada 1 Februari 2007.
UTeM mengandungi tiga kampus secara keseluruhannya; kampus utama (Kampus
Induk) yang terletak di Durian Tunggal, Melaka; kampus kedua (Kampus Bandar) yang terletak
di Bandar Melaka, Melaka; dan kampus ketiga (Kampus Teknologi) yang terletak di Ayer
Keroh, Melaka. UTem mempunyai tujuh buah pusat pengajian termasuklah fakulti
kejuruteraan elektrik, fakulti kejuruteraan mekanikal dan fakulti kejuruteraan teknologi.
Antara matlamat Universiti Teknikal Malaysia Melaka adalah mengendalikan program
akademik dan profesional berlandaskan kepada keperluan industri, melahirkan graduan dengan
pengetahuan relevan, kompetensi dalam kemahiran teknikal, kemahiran insaniah dan peka
kepada tanggungjawab sosial, menyemai dikalangan graduan kaedah saintifik, berfikiran
kritikal, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan,
menggalakkan pembangunan penyelidikan dan aktiviti dengan kerjasama industri demi
menjana kemakmuran negara.
UTeM turut menyediakan kemudahan seperti Dewan Canselor (dahulu dikenali sebagai
Dewan Besar) ialah sebuah dewan bertingkat dua yang digunakan untuk majlis-majlis rasmi
dan sebagai dewan peperiksaan. Dewan ini dilengkapi sebuah ruang lobi, dewan jamuan dan
bilik VVIP. Terdapat sebuah masjid utama di UTeM iaitu Masjid Sayyidina Abu Bakar yang
boleh menampung 4,000 orang jemaah. Masjid ini dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, bilik
bacaan dan dewan solat utama. Di samping masjid ini, terdapat juga surau-surau yang terletak
di segenap kampus untuk kemudahan sembahyang.
Terdapat 7 buah kolej kediaman di UTeM dengan enam buah berada di dalam kawasan
Kampus Induk manakala sebuah lagi disewa daripada pihak luar. Kolej kediaman yang terletak
di dalam Kampus Induk ialah Kolej Kediaman Lestari dan Kolej Kediaman Satria yang terdiri
daripada lima buah blok, iaitu Tuah, Jebat, Lekir, Lekiu dan Kasturi. Manakala kolej kediaman
yang disewa ialah Kolej Kediaman UTeM Sri Utama. Kolej kediaman yang berada di Kampus
Induk boleh memuatkan 6,020 orang pelajar manakala Kolej Kediaman UTeM Sri Utama boleh
memuatkan sebanyak 1,152 orang pelajar.
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (singkatan: UTHM) ialah Institut Pendidikan Tinggi
Awam (IPTA) yang ke-15 di negara Malaysia. Ditubuhkan pada 27 September 2000, universiti
ini mengkhususkan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan awam dan
alam sekitar,kejuruteraan mekanikal dan pembuatan, pengurusan teknologi, perniagaan dan
keusahawanan, sains komputer dan teknologi maklumat, serta pendidikan teknik dan
vokasional. Universiti ini juga adalah salah satu daripada Rangkaian Universiti-Universiti
Teknikal Malaysia (MTUN).
Sejarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bermula pada 16 September 1993
dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP), yang bertujuan melahirkan dan
melatih tenaga pengajar yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang
kejuruteraan untuk sistem politeknik di negara ini. Penubuhan ini mencatatkan satu lembaran
baru dalam perkembangan pendidikan negara. Pusat ini dikendalikan oleh Universiti Teknologi
Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui memorandum
persefahaman yang telah ditandatangani bersama pada 28 Jun 1993.
Sebagai pengiktirafan kepada sebuah institusi teknologi yang cemerlang dalam
mengharungi perkembangan pendidikan negara terutama keupayaan menangani isu
pembangunan sumber manusia khasnya dalam bidang teknikal di negara ini membawa kepada
pengisytiharan nama baru iaitu Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada 12 April
1996 oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia pada masa itu, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak.
Dengan kelebihan dan kejayaan melaksanakan tanggungjawab sebagai penyumbang
kepada perkembangan yang berteraskan sains dan teknologi dan bertindak sebagai nadi
penggerak dalam membantu merealisasikan peranan negara serta kepercayaan oleh kerajaan,
maka kabinet pada 27 September 2000 telah bersetuju menaiktaraf ITTHO kepada sebuah
Universiti di bawah Akta 30 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan dikenali
dengan nama Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (KUiTTHO).
Pengumuman bersejarah ini telah dibuat oleh YB Tan Sri Dato’ Seri Musa bin Mohamad,
Menteri Pendidikan Malaysia pada 30 September 2000.
Lembaran baru perjalanan menuju puncak kegemilangan institusi ini diselak lagi
apabila mesyuarat Kabinet yang telah diadakan pada 20 September 2006 telah meluluskan
untuk menukar nama KUiTTHO yang akan dikenali sebagai Universiti Tun Hussein Onn
Malaysia (UTHM). 1 Februari 2007 merupakan satu tarikh keramat kepada semua warga
universiti apabila Datuk Mustapa bin Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi membuat
pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut. Majlis Perisytiharan Universiti Tun Hussein
Onn (UTHM) telah berlangsung pada 2 Mac 2007 dan dirasmikan oleh YB Dato’ Seri
Hishammuddin bin Tun Hussein Onn.

Universiti Malaysia Pahang (singkatan: UMP)

Universiti Malaysia Pahang (singkatan: UMP) merupakan salah sebuah institusi pengajian
tinggi awam di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Dahulunya universiti
ini dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM).
Universiti Malaysia Pahang (UMP) bermula dengan Universiti Teknologi Malaysia
Kampus Cawangan Pahang (UTM-KCP) yang beroperasi di sebuah kampus yang terletak di
Bandar Indera Mahkota, Kuantan sejak tahun 1999. Penubuhan Universiti ini adalah hasil
daripada cetusan idea Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak yang mana ketika itu beliau
memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.
Hasil daripada usaha gigih beliau, Jemaah Menteri pada 26 Jun 2001 telah membuat
keputusan untuk menubuhkan sebuah Universiti Teknikal Awam yang berasaskan kemahiran
di Pahang dan dinamakan sebagai KUKTEM. KUKTEM adalah sebuah Institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) yang ke-16 yang diwartakan pada 16 Februari 2002 dengan perkenan
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti
1971. Atas arahan Kementerian Pendidikan, kampus UTM-KCP telah diambil alih dan
dijadikan kampus sementara KUKTEM pada 1 Mei 2002 dan memulakan Sesi Akademik
2002/2003 dengan mengambil seramai 307 orang pelajar pada 30 Mei 2002.
Bagi menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat, KUKTEM telah berpindah
ke kampus sementara yang lebih besar dan kondusif di Bandar MEC, Gambang pada 24 April
2003. Kampus yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat Bandar Kuantan ini mempunyai
keluasan 65,000 m² dan terletak di lokasi strategik yang berhampiran dengan Lebuh Raya
Pantai Timur, zon perindustrian kimia, petrokimia, pembuatan, automotif dan juga
bioteknologi bagi Pahang.
Setelah lima tahun beroperasi, pihak Kerajaan Malaysia telah mengumumkan
pertukaran nama KUKTEM kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuatkuasa mulai 1
Februari 2007. Dengan pertukaran ini, nama KUKTEM kini dikenali sebagai UMP. Walaupun
telah bertukar nama, bidang fokus utama universiti dan program pengajian serta enrolmen tidak
berubah mengikut matlamat tujuan penubuhannya iaitu mencapai 10,000 hingga 15,000 orang
pelajar. UMP turut mengekalkan bidang-bidang yang difokuskan sebagaimana yang telah
ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia

You might also like