You are on page 1of 3

Laporan Temubual.

Satu sesi temubual telah dilakukan ke atas seorang guru Sekolah Kebangsaan Sungai
Petai, Sarikei semasa Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan selama
seminggu. Sk Sungai Petai dikategorikan sebagai sekolah kurang murid (SKM) yang terdiri
daripada 74 orang murid iaitu 36 murid lelaki dan 38 murid perempuan. Murid di sekolah
tersebut hanya mempunyai murid yang berbangsa Iban yang berasal dari latar belakang
yang berbeza. Sekolah tersebut juga terdiri daripada guru kaum Iban, Melayu dan Cina.
Melalui temu bual ini, responden saya ialah cikgu Hellen yang merupakan guru kelas tahun
4 dan mempunyai pengalaman mengajar selama 8 tahun. Berdasarkan temu bual tersebut,
cikgu Hellen telah menyatakan masalah semasa pengajaran dan pembelajaran dalam kelas
pelbagai sosiobudaya.

Berdasarkan temubual, murid di sekolah tersebut terdiri daripada pelbagai kelas sosial iaitu
kategori rendah, sederhana dan tinggi. Kelas sosial ini wujud hasil taraf pendidikan dan taraf
sosioekonomi keluarga. Di sekolah tersebut, pelajar yang tergolong dalam kelas sosial
rendah telah menghadapi masalah dengan pembiayaan, kemudahan belajar, kurang
kelengkapan semasa belajar dan sebagainya. Hal ini telah menyebabkan ada murid yang
kurang bersemangat dan menghadapi masalah keciciran dalam pembelajaran. Murid yang
mempunyai sosioekonomi sederhana dan tinggi berpeluang mendapat kelas bimbingan
berbayar dan ini menyebabkan mereka mendapat pendidikan yang lebih luas berbanding
mereka yang berada dalam lingkungan taraf sosioekonomi rendah.

Berdasarkan temubual, murid di sekolah tersebut mempunyai masalah penguasaan bahasa


seperti sesetengah murid hanya menguasai dialek, bahasa ibunda atau dialek semata-mata.
Hal ini telah menyebabkan mereka kurang faham dengan penerangan guru serta tidak
memahami apa yang dibaca. Hal ini akan menyebabkan mereka ketinggalan dalam
pembelajaran berbanding dengan murid yang menguasai 2 atau lebih bahasa seperti
bahasa inggeris dengan bahasa Melayu. Murid yang menguasai lebih bahasa akan lebih
cepat belajar dan hal ini telah membentuk jurang antara murid seperti penguasaan sesuatu
matapelajaran akan dikuasai oleh 2 atau 3 orang murid sahaja.

Berdasarkan temubual juga, cikgu Hellen menyatakan bahawa murid di sekolah tersebut
yang terdiri daripada kaum Iban sahaja telah membawa implikasi positif kepada murid. Hal
ini kerana mereka tinggal dalam lingkungan satu etnik dan mengamalkan budaya, cara
berfikir dan mempunyai pandangan dunia yang sama. Pekara ini menyebabkan mereka
mengamalkan nilai-nilai murni seperti bantu-membantu antara satu sama lain serta mereka
dapat menggunakan bahasa yang sama dalam menjalinkan perhubungan serta
menyelesaikan masalah antara mereka. Hal ini menyebabkan murid di sekolah tersebut

1
dapat bekerjasama dan bertoleransi dalam melaksanakan aktiviti di dalam kelas tanpa
sebarang masalah.

Dengan pelbagai sosiobudaya ini, guru di sekolah tersebut telah menggunakan bahan
pembelajaran yang sesuai dengan pengetahuan dan budaya pelajar. Cikgu Hellen telah
menyatakan bahawa cara guru menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai telah
memberi motivasi kepada murid dan pembelajaran menjadi lebih berkesan kerana contoh
yang digunakan berkaitan dengan pengalaman belajar murid. Guru di sekolah tersebut juga
menyediakan sumber tambahan yang sesuai semasa mengajar dan tidak bergantung
kepada buku teks semata-mata. Hal ini dapat mengelakkan unsur-unsur negatif dan sensitif
bagi golongan murid.

Di samping itu, guru di Sk Sungai Petai juga menggunakan strategi pembelajaran koperatif
semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana murid di sekolah
tersebut mempunyai perbezaan persekitaran tempat tinggal, status sosioekonomi keluarga
dan gaya pembelajaran murid. Melalui pembelajaran koperatif, murid dapat berkongsi
pengetahuan dan pengalaman, saling membantu dan berinteraksi untuk pencapaian
kumpulan. Oleh itu, murid yang mempunyai pelbagai latar belakang, etnik, taraf sosial dan
pencapaian dapat saling belajar dan mengenali budaya rakan mereka.

Dalam membentuk perpaduan di sekolah tersebut, pihak sekolah Sk Sungai Petai sering
mengadakan aktiviti gotong-royong yang melibatkan semua guru, staff dan murid di sekolah
tersebut. Contohnya aktiviti gotong-royong menceriakan dan membersihkan kawasan
sekolah seperti mengelap tingkap, menanam pokok bunga,membuang sampah, mengecat
dinding dan sebagainya. Hal ini dapat membentuk nilai kerjasama dalam menyiapkan
sesuatu tugas sekaligus dapat mewujudkan perpaduan dalam kalangan warga sekolah yang
mempunyai pelbagai sosiobudaya.

Kesimpulannya, kepelbagaian sosiobudaya murid telah mempengaruhi pembelajaran murid


sama ada positif atau negatif. Oleh itu, pembelajaran dan pengurusan bilik darjah mudah
berlaku sekiranya guru dapat menyesuaikan pengajaran dan pembelajaran dengan budaya
murid agar murid berasa mereka diterima dan bermotivasi untuk belajar. Selain itu, aktiviti
yang dilaksanakan di sekolah juga perlu menjurus kepada pembentukan perpaduan kerana
murid di sekolah mempunyai sosiobudaya yang berbeza. Dengan ini, masalah yang
dihadapi semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas pelbagai sosiobudaya
akan dapat dielakkan.

2
Rujukan

Atan Long. (1978). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2012). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-


2025.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2017). Modul Teras Pembelajaran Abad ke-21.


Selangor: Pejabat Pendidikan Daerah Klang.

Noriati A. Rashid. (2012). Budaya dan Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

You might also like