You are on page 1of 2

Filem Tombiruo:

Terdapat pelbagai reaksi penonton selepas menonton filem adaptasi novel Ramlee
Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba. Rata-rata memberi komen positif, tidak
ketinggalan menyatakan perasaan tidak puas hati kerana terjemahan novel yang tidak
mencapai tahap imaginasi yang diingini oleh pembaca novel ini.

Penulis secara peribadi belum berpeluang membaca novel ini, namun berpendapat filem
ini harus diapresiasi sebagai filem itu sendiri tanpa dibandingkan dengan novelnya,
kerana bagusnya filem itu bukan diukur berdasarkan sejauh mana setia pada novel
yang diadaptasi. Apatah lagi turut dilaporkan di blog-blog berita bahawa penulisnya
sendiri berpuas hati pada hasil adaptasi ini.

Ada juga penonton yang berpendapat bahawa Tombiruo ialah adiwira tempatan yang baru
dan lebih asli berbanding filem adiwira seperti Cicak Man yang merupakan cedukan
daripada karya luar.

Filem ini sebenarnya boleh dianggap sebagai satu pencapaian baru pada sudut kualiti
bagi filem-filem aksi. Dalam menilai filem ini sebagai sebuah filem, tanpa
membandingkan dengan novel, filem ini adalah sangat baik gaya persembahannya.

Menceritakan tentang Tombiruo, yang bermakna penunggu hutan menurut kepercayaan


masyarakat tempatan di hutan Keningau, Sabah. Ejim (Zul Ariffin) merupakan seorang
anak yatim piatu yang dibela oleh seorang bekas tentera bernama Pondolou (Faizal
Hussein). Ejim ditemui oleh Pondolou setelah diselamatkan oleh seorang bomoh wanita
daripada dibunuh oleh bapanya sendiri dengan dihanyutkan di sungai. Boleh dikatakan
Ejim merupakan insan terpilih yang sentiasa dilindungi oleh semangat hutan
sepanjang diasuh oleh Pondolou.

Hutan menerima ancaman daripada kapitalis yang diperanankan oleh Syarikat Anak
Bumi. Kematian Pondolou kerana terbunuh ketika menentang penganiayaan yang
didalangi oleh Syarikat Anak Bumi telah menimbulkan kemarahan Ejim menyebabkan dia
nekad untuk terus menentang Anak Bumi di samping menuntut bela atas kematian ayah
angkatnya itu.

Dalam penentangan itu, turut berlaku konflik antara Ejim dengan Amiruddin (Farid
Kamil) yang baru kematian isteri dan ayah mertuanya. Amiruddin menyangka Ejim yang
telah membunuh isteri dan ayah mertuanya. Secara keseluruhannya, filem ini
merupakan pertembungan antara kapitalis yang ingin memusnahkan hutan dengan
pelindung hutan yang diwakili oleh Ejim atau Tombiruo.

Dua syot yang menarik perhatian penulis, boleh dikatakan sebagai paparan mise en
scene yang baik. Pertama, ketika Ejim merangkul Pondolou yang terbunuh akibat
tembakan. Di belakang mereka terdapat rumah yang terbakar dengan api yang sangat
marak. Kemudian, Ejim menjerit sambil merangkul mayat Pondolou. Kemarakan api itu
menterjemahkan suasana kemarahan yang turut sedang marak di dalam diri Ejim kerana
pembunuhan Pondolou ditambah dengan semua penganiayaan yang telah dilakukan oleh
kapitalis Anak Bumi.

Kedua, babak Amiruddin terserempak dengan Juslan setelah dia mengetahui Juslan
merupakan dalang di sebalik kejahatan yang dilakukan secara tersembunyi oleh Juslan
di belakang. Ketika itu, Juslan sedang bersandar di sebatang pokok balak yang sudah
tumbang di dalam hutan. Pemaparan babak ini boleh dianggap mengandungi kekuatan
makna tentang perwatakan Juslan. Pokok yang tumbang itu ialah hasil kejahatan
Juslan, berada di belakangnya menunjukkan dialah merupakan dalangnya dan dia
bersandar padanya menunjukkan dia mampu berdiri di situ kerana perbuatan khianatnya
itu.

Begitulah secara umum yang dapat penulis tangkap di sepanjang tontonan. Sebagai
sebuah filem aksi, filem ini boleh dikatakan sebuah filem yang baik berbanding
filem-filem lain. Penghasilannya dibuat dengan teliti dan cermat kerana harus
memenuhi piawai penulis asal karya dan dipimpin oleh pengarah dari luar.

You might also like