You are on page 1of 9

LANGKAH-LANGKAH MEMBENTUK PENGURUSAN BILIK DARJAH YANG

MESRA BUDAYA DENGAN MENERAPKAN PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN


SISTEM PENDIDIKAN ISLAM

1.0 PENGENALAN

Negara Malaysia merupakan sebuah negara unik kerana mempunyai kepelbagaian


bangsa, agama dan budaya yang akhirnya membentuk masyarakat yang bersatu
padu (Sayuti Ab Ghani & Redwan Yasin, 2016). Pembentukkan satu masyarakat
yang bersatu padu, sebenarnya akan menimbulkan pelbagai cabaran misalnya
masih terdapat masyarakat yang tidak dapat memahami dan menerima keunikkan
kepelbagaian kaum sehingga terdapat budaya yang telah dipinggirkan. Maka, bagi
mengelakkan daripada mana-mana budaya dipinggirkan, penerapan keunikkan dan
keistimewaan setiap kaum perlulah diterapkan di dalam bilik darjah yang merupakan
tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Bagi meraikan
sosiobudaya sejagat yang pelbagai maka guru perlu mewujudkan bilik darjah yang
mesra budaya kerana melalui bilik darjah mesra budaya murid akan mempelajari
tentang unsur-unsur budaya masyarakat serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam
bilik darjah (Noriati A.Rashid, et.al., 2017). Walau bagaimanapun, pengurusan bilik
darjah mesra budaya ini juga memerlukan penerapan sistem pendidikan Islam yang
menggariskan tiga dimensi utama iaitu tarbiyah, ta’dib dan ta’lim dimana sistem
pendidikan Islam mengajar seluruh umat manusia untuk menjadi seorang yang baik
dan mampu untuk membezakan perkara baik dan buruk serta berwaspada
dengannya (Halstead, 2004). Dengan menggabungkan langkah-langkah pengurusan
bilik darjah mesra budaya dengan sistem pendidikan Islam, pembentukkan murid
yang seimbang dari segi emosi, jasmani, rohani, intelek dan sosial dapat
memantapkan lagi peradaban sosiobudaya sejagat yang akan dibina dalam diri
murid itu sendiri.

2.0 LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN BILIK DARJAH MESRA BUDAYA


BERLANDASKAN SISTEM PENDIDIKAN ISLAM.

2.1 PENGURUSAN PERSEKITARAN FIZIKAL


Pengurusan bilik darjah yang mesra budaya memerlukan guru untuk
menitikberatkan persekitaran fizikal yang berlandaskan iklim dini. Iklim dini

1
membawa makna persekitaran dan cara hidup Islam yang wujud dalam persekitaran
bilik darjah. Iklim ini melibatkan amalan dan kebiasaan seseorang individu setempat
yang mengamal serta mempraktikkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian
melalui suasana fizikal yang bersih, ceria dan menenangkan (Raihan Ariffin, Kamarul
Shukri & Norfazila, 2019). Antara aspek fizikal bilik darjah yang perlu dititikberatkan
adalah seperti susun atur bilik darjah. Dari segi susunan kerusi dan meja murid
perlulah disusun dengan mengambil kira sudut pergaulan murid (Marzano, 2003).
Kerusi dan meja boleh disusun dalam bentuk kumpulan di mana setiap kumpulan itu
diletakkan murid dari kaum yang berbeza. Penyusunan meja ini juga boleh
menggunakan susun atur abad ke-21. Melalui penyusunan kerusi dan meja tersebut,
murid akan belajar untuk menghormati kepelbagaian kaum dan mempunyai sikap
bekerjasama. Kedua-dua sikap ini dapat dipupuk melalui aktiviti ketika proses
pengajaran dan pembelajaran di mana guru mengalakkan aktiviti secara
berkumpulan dan perbincangan supaya murid dapat bergaul dan berkongsi idea
antara satu sama lain walaupun daripada kaum dan etnik yang berbeza. Firman
Allah SWT,

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu lelaki dan


perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,
supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu sama lain).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang bertakwa di
antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
Pengetauan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Al-Hujurat:13)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Islam mengajar umat manusia untuk
saling mengenali dan menolak jelas unsur perkauman dalam satu kelompok
masyarakat yang boleh memecah belahkan kaum. Begitu juga di dalam bilik darjah
di mana susunan kerusi meja secara berkumpulan yang mencampurkan murid
pelbagai kaum adalah bagi mewujudkan perpaduan berbilang kaum. Rasulullah
SAW sendiri telah menunjukkan tauladan kepada umatnya dengan menyatukan
penduduk Madinah yang berbilang bangsa, kabilah dan agama hingga membentuk
golongan Ansar yang terdiri daripada suku Aus dan Khazraj (Mahmud Arif, 2008).
Begitu juga di dalam bilik darjah yang mesra budaya, pencampuran pelbagai kaum
bukan satu penghalang untuk mencapai suasana yang harmoni di dalam bilik darjah
malah sebagai satu penguat untuk mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum di
Malaysia. Justeru itu, jelaslah bahawa susun atur kerusi dan meja yang

2
menggabungkan murid pelbagai kaum akan mewujudkan bilik darjah mesra budaya
serta harmoni.
2.2 PENGURUSAN SOSIAL DALAM BILIK DARJAH MESRA BUDAYA

Perkataan sosial merujuk kepada ciri-ciri kehidupan manusia yang


membentuk masyarakat. Pembentukkan masyarakat memerlukan hubungan dan
interaksi antara manusia yang sentiasa bersikap menerima dan menghargai. Antara
perkara yang boleh guru lakukan dalam membentuk sosial yang mesra budaya ini
ialah dengan membaca doa sebelum belajar agar mendapat keberkatan. Firman
Allah SWT,

“Dan di antara mereka ada orang yang berdoa, Ya Tuhan kami, berilah kami
kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa api
neraka”
(Al-Baqarah:201)

Dari ayat diatas dapat dilihat kepentingan berdoa sebelum belajar adalah
untuk mendapatkan keberkatan di dunia dan dijauhkan segala kejahatan di akhirat.
Walaupun doa dibacakan dalam bahasa Melayu dengan cara Islam tetapi berdoa
kepada Tuhan untuk memohon kebaikan ialah perlakuan masyarakat Malaysia yang
mendukung Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.
Pembinaan persekitaran mesra budaya melalui peraturan seperti membaca doa bagi
memulakan pembelajaran boleh membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni. Di
samping membaca doa, guru juga boleh mengambil sedikit masa ketika induksi
untuk menghuraikan satu nilai murni yang merangkumi semua agama dan
kepercayaan misalnya kepentingan menjaga kebersihan, kepentingan menghormati
manusia dan banyak lagi. Hal ini demikian kerana dalam agama dan kepercayaan
lain juga ada menggariskan amalan-amalan menjaga kebersihan dan menghormati
manusia (Abdur Rahman an-Nahlawi, 1995). Malah, interaksi yang positif
sebenarnya telahpun berlaku secara tidak langsung yang boleh memberikan impak
yang besar kepada sosial yang mesra budaya.

Guru juga boleh melakukan lebih banyak aktiviti berkumpulan yang boleh
mengeratkan lagi hubungan sosial murid dalam kelas tersebut dengan
membahagikan tugas sewaktu menghias bilik darjah. Dengan itu, semua murid akan
bekerjasama dan merapatkan silaturahim antara murid walaupun berbeza agama
dan bangsa. Sesungguhnya Rasulullah SAW amat suka umat Islam yang menjaga

3
silaturahim antara masyarakat. Sabda Rasulullah SAW,

“Sesiapa yang ingin agar rezekinya dimurahkan dan umurnya dipanjangkan,


maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka disini dapat dilihat jelas bahawa pentingnya menjaga silaturahim dalam
Islam. Malah Allah SWT menjanjikan ganjaran besar untuk orang yang sentiasa
menjaga hubungan silaturahim. Menjaga hubungan sesama manusia ini bukan
sahaja dituntut dalam Islam malah dituntut untuk semua kaum masyarakat bagi
mewujudkan suasana yang harmoni dan aman. Begitu juga dalam bilik darjah mesra
budaya, silaturahim antara pelbagai kaum dapat mewujudkan suasana yang harmoni
di dalam bilik darjah serta dapat menanam perasaan perpaduan dalam diri murid-
murid.

2.3 PENGURUSAN EMOSI DALAM BILIK DARJAH MESRA BUDAYA

Emosi merupakan satu perasaan dan gerak hati yang dialami oleh seseorang
individu yang akan terpapar melalui tindak balas fisiologi sekiranya berlaku
rangsangan terhadap emosi dalam sesuatu keadaan (Noriati A.Rashid, et. Al., 2017).
Pengurusan emosi menggariskan peranan guru dalam membentuk emosi murid
yang stabil. Justeru itu, guru berperanan untuk mengetahui latar belakang murid
pelbagai kaum yang secara tidak langsung membantu guru mengeratkan lagi
hubungan dengan murid sekaligus menunjukkan guru tersebut mengambil berat
tentang semua muridnya. Misalnya, di dalam bilik darjah yang mempunyai murid
Cina atau India, guru perlu mengetahui tentang adat resam, pantang larang, amalan
dan budaya murid tersebut. Sebagai contoh, murid beragama Sikh memakai gelang
di tangan manakala murid Cina memakai tangkai kerana menurut kepercayaan
mereka, itu merupakan azimat dan perlindungan kepada mereka. Maka dengan guru
peka akan budaya dan amalan murid pelbagai kaum ini, murid-murid akan berasa
dihargai dan dihormati. Firman Allah SWT,

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu daripada lelaki dan


perempuan dan menjadikanmu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku,
supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia
diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantaramu.
Sesungguhnya Allah Maha Menegtahui lagi Maha Mengenali”

4
(Al-Hujurat:13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah menciptakan manusia daripada


pelbagai kaum untuk saling mengenali dan hormat-menghormati. Maka dengan guru
mengenali latar belakang murid, guru tersebut boleh berkongsi dengan murid yang
lain tentang pantang larang dan sensitiviti kaum tersebut supaya murid-murid lain
mengambil iktibar dan tidak menyentuh sesitiviti perkauman. Malah akan
memudahkan guru untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan murid sepanjang
proses PdP berlangsung. Guru juga boleh meminta murid untuk menerangkan
keistimewaan dalam budaya masing-masing atau menceritakan tentang pengalaman
mereka tentang kebudayaan kaum masing-masing yang merupakan salah satu ciri-
ciri dalam pedagogi relevan budaya. Jadi, secara simpulnya, pengurusan emosi yang
baik mempengaruhi kognitif murid (Tracey, Mayer & David, 2012). Maka guru yang
bijak dalam menguruskan emosi murid pelbagai kaum dan budaya akan memberikan
impak yang positif terhadap kognitif. Apabila emosi murid terjaga maka, sesi
pengajaran dan pembelajaran guru akan menjadi lebih mudah di samping bilik darjah
mesra budaya akan mudah dibentuk kerana guru yang bersikap adil, mengingati
nama murid serta latar belakang murid akan dapat mewujudkan persekitaran bilik
darjah yang hormat-menghormati antara kaum serta antara guru.

2.4 PENGURUSAN SOSIOLINGUISTIK BILIK DARJAH MESRA BUDAYA

Bidang sosiolinguistik ialah satu bidang ilmu yang mengkaji ciri-ciri dan fungsi
variasi bahasa serta turut mengkaji pengaruh budaya terhadap bahasa yang
digunakan. Sosiolinguistik ialah kajian tentang bahasa dan perkaitannya dengan
masyarakat sebagai refleksi kepada penuturnya. (Hudson,1980). Pengurusan
sosiolinguistik mampu untuk mengekalkan warisan budaya dan bahasa setiap etnik
meskipun bahasa kebangsaan dimartabatkan. Pengurusan bilik darjah yang mesra
budaya perlu menggariskan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu
yang digunakan oleh semua lapisan masyarakat pelbagai bangsa dan budaya tanpa
mengetepikan bahasa ibunda etnik lain (Noriati A Rashid., et.al., 2017). Oleh hal
yang demikian, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam
memartabatkan bahasa kebangsaan dengan membentuk murid pelbagai kaum untuk
mempunyai jati diri sebagai rakyat Malaysia dan pada masa yang sama
mengekalkan pelbagai warisan budaya etnik.

Antara peranan yang dimainkan oleh guru bagi memartabatkan bahasa

5
kebangsaan adalah dengan mengadakan pelbagai aktiviti bahasa seperti puisi atau
perdebatan, sastera seperti sajak serta budaya dalam kalangan murid pelbagai
bangsa. Dalam pada itu, bagi mengekalkan warisan budaya dan bahasa pelbagai
etnik di Malaysia, guru boleh menyelitkan unsur-unsur warisan budaya etnik lain
dengan menggunakannya sebagai sumber PdP. Misalnya, guru menggunakan puisi
seperti lagu rakyat milik sesuatu etnik dan meminta murid tersebut
mempersembahkan kepada kawan-kawan sebelum mengajak kawan-kawan di
dalam kelas menyanyikan lagu tersebut beramai-ramai. Melalui sosiolinguistik ini,
murid dapat belajar untuk menghargai kepelbagaian warisan budaya dan bahasa
pelbagai kaum dan etnik di Malaysia. Di samping itu, ajaran Islam juga
mengetengahkan bahasa sebagai wahana penyerapan dan penyampaian ilmu serta
menjadi alat terpenting dalam proses pendidikan keseluruhannya (Awang Sariyan,
2009). Firman Allah SWT,

“Tuhan yang amat pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya. Dialah yang


telah mengajarkan al-Quran. Dialah yang menciptakan manusia. Dialah yang
telah memungkinkan manusia pandai bicara.”
(al-Rahman: 1-4)

Bahasa merupakan alat terpenting dalam proses pendidikan maka adalah


perlu untuk guru menggunakan bahasa yang difahami oleh murid-murid yang
berlainan bangsa dan budaya seperti bahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sahaja
bahasa yang mudah difahami tetapi juga merupakan bahasa kebangsaan yang boleh
mengukuhkan perpaduan jika diajar di dalam bilik darjah yang mempunyai murid
pelbagai budaya. Kesannya, pengurusan bilik darjah mesra budaya dapat
diperkukuhkan dengan bertambah kukuhnya perpaduan antara murid setelah
mengetahui keunikan kepelbagaian bahasa dan warisan negara di samping murid
juga akan mempunyai semangat perkongsian nilai untuk terus menyayangi dan
menyanjungi bahasa Melayu akan tetap subur dalam diri murid-murid.

3.0 PENUTUP
Kesimpulannya, dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni, pengurusan
bilik darjah yang sistematik di samping mengariskan pengetahuan dan kemahiran
sistem pendidikan Islam perlulah diamalkan. Hal ini demikian kerana nilai-nilai
pendidikan islam yang diamalkan dari zaman jahiliah mampu untuk megubah
peradaban manusia menjadi manusia yang lebih beradab dan bertamadun.
Penerapan nilai-nilai pendidikan Islam pada zaman kini bukan sahaja sesuai untuk

6
umat Islam malah juga sesuai untuk semua umat manusia yang berbilang bangsa
dan budaya kerana Islam itu sendiri merupakan agama yang dinamik mengikut
peredaran zaman. Maka, penerapan nilai-nilai Islam dalam bilik darjah mesra budaya
amat memberi impak kepada peradaban sosial budaya sejagat melalui persekitaran
fizikal yang menerapkan iklim dini dan mesra budaya, persekitaran emosi yang
menuntut guru untuk bersikap adil, proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai garis panduan yang utama,
mementingkan pengurusan sosiolinguistik sebagai wahana dalam bilik darjah mesra
budaya, mewujudkan peraturan bilik darjah dengan persetujuan antara guru dan
murid serta proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah yang
menjadikan Rasulullah SAW sebagai garis panduan yang utama. Secara simpulnya,
dengan mengamalkan langkah-langkah pengurusan bilik darjah mesra budaya
melalui penerapan nilai-nilai sistem pendidikan Islam ini akan dapat melahirkan
murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.

7
RUJUKAN

Abdur Rahman an-Nahlawi. 1995. Pendidikan Islam di rumah, sekolah dan


masyarakat. Jakarta: Penerbit Gema Insani

Al-Quran, 49:13. Al-Hidayah House of Quran.

Al-Quran, 55:1-4. Al-Hidayah House of Quran

Al-Quran, 2: 201. Al-Hidayah House of Quran

Awang Sariyan. (2009). Peranan Bahasa dalam Pembinaan Insan dan


Pembangunan Masyarakat Hadhari. Jurnal Hadhari Bil.1, 1-29.

Halstead, J.M. (2004). An Islamic concept of education. Comparative Education, 40


(4). Pp 517-529

Hudson. R.A. (1980). Sociolinguistic. Cambridge: University Press.

Mahmud Arif. (2008). Pendidikan Islam Transformatif. Jakarta: Lkis Pelangi Aksara,

Marzano, R. J. (2003). Classroom Management that Works: Research-Based


Strategies for Every Teacher. Alexandria, VA, USA. Association for Supervision
& Curriculum Development. Diakses pada 16 Februari 2020 daripada
http://site.ebrary.com/lib/akdeniz/Doc.

Noriati A Rashid, Boon. P. Y, Sharifah Fakhirah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid.
(2017). Siri Pendidikan Guru: Budaya dan Pembelajaran Edisi Kedua. Kuala
Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd

Raihan Mohd Arifin, Kamarul Shukri Mat Teh & Norfazila Ghazali. (2019).
Konseptualisasi Strategi dan Pelaksanaan Iklim Dini di Skolah Menengah
Agama. Journal of Educational Research and Indegenous Studies.

Raihan Mohd Arifin, Kamarul Shukri Mat Teh, Nor Asmawati Ismail & Noradilah
Abdul Wahab. (2019). Strategi dan Pelaksanaan Iklim Dini Terhadap Kemenjadian
Pelajar: Satu Kajian Rintis. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Syah Special
Issue. Universiti Sultan Zainal Abidin. Kuala Terengganu, ms 503-514.

Sayuti Ab Ghani & Redwan Yasin. (2016). Kepelbagaian Budaya di Malaysia:


Analisis Dari Perspektif Islam. Kuala Lumpur: PTS Professional

Tracey,E.H., Mayer, M., David, H.R. (2012). Universal Design for Learning in the
Classroom. New York: Guliford Press.

8
9

You might also like