You are on page 1of 4

UH GUAN HONG (A19BE0283)

1.Kerap kali isu-isu mengenai kaum dan agama menjadi pilihan dalam aspek politik di
Malaysia. Huraikan dua faktor mengapa isu tersebut timbul dan cadangkan dua langkah
yang patut diambil oleh parti-parti politik untuk mengatasinya.

Malaysia mempunyai masyarakat berbilang agama dan budaya yang pada asasnya
hidup secara aman dan damai. Kepelbagaian ini satu keunikan yang sepatutnya dirai dan
menjadi kebanggaan rakyat kita. Keharmonian dalam kemajmukan ini menjadikan Malaysia
negara yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa, namun sebagai negara dengan
rakyat berbilang kaum dan budaya, masyarakat kita kadangkala berdepan isu sensitif yang
boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian. Isu sensitif yang timbul dapat
mewujudkan pola hubungan sosial yang tidak harmoni antara kaum dan agama dalam
konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Antara faktor isu tersebut timbul ialah penggunaan isu perkauman sebagai bahan
provokasi oleh parti politik. Dalam peralihan kerajaan yang lama ke kerajaan baharu, isu-isu
kaum dan agama masih lagi menjadi bahan provokasi pihak-pihak dalam menuntut hak dan
kesamarataan antara kaum, agama dan jantina. Pelbagai jenis isu perkauman dan isu agama
yang seolah-olah sengaja ditimbulkan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu
yang lebih penting, seperti korupsi, penyelewengan wang dan penyalahgunaan kuasa.
Budaya oleh sesetengah ahli politik yang sengaja mempermainkan isu kaum atau agama ini
sangat bahaya kerana ianya mempromosikan intoleransi dan keganasan terhadap kaum
atau agama yang berbeza, sekali gus mampu mengakibatkan kemusnahan masa hadapan
rakyat Malaysia.
Selain itu, faktornya ialah persaingan antara kumpulan etnik untuk mendapatkan
kepentingan ekonomi dan politik. Rancangan-rancangan perubahan yang sedang dan akan
dilaksanakan sekarang untuk pembangunan dan pemodenan rakyat akan memperhebatkan
lagi persaingan dan pertandingan di antara kumpulan-kumpulan etnik yang berlainan ini.
Berbagai kumpulan etnik akan berlumba-lumba untuk merebutkan peluang-peluang
pekerjaan, peluang-peluang pelajaran, perumahan, peluang-peluang ekonomi dan juga
pengaruh politik yang dibawa oleh perubahan-perubahan baru ini. Persaingan-persaingan
ini sudah pasti boleh meruncingkan perhubungan di antara kumpulan-kumpulan etnik oleh
kerana rancangan-rancangan perubahan ini dibuat mengikut garis etnik. Tambahan pula
pihak kerajaan sendiri selalu membesar-besarkan rancangan-rancangan dan
pembangunannya yang mengutamakan satu kumpulan misalnya orang Melayu atau
'Bumiputra' daripada yang lain.
Di samping itu, langkah yang patut diambil oleh parti-parti politik untuk mengatasi
isu perkauman ialah penggabungan parti-parti politik yang berasaskan berbeza etnik.
Organisasi politik yang berasaskan kepada kepentingan etnik perlu dihapuskan dan
mewujudkan percampuran di antara etnik-etnik untuk mewujudkan sebuah organisasi yang
sependapat. Sebilangan besar parti-parti politik yang berasaskan kepada perjuangan
kepentingan kumpulan etnik masing-masing perlu dibawa bersama ke dalam satu ikatan
politik yang lebih besar. Pembentukan politik campuran ini menyenangkan sesebuah
kerajaan dalam proses pembentukan bangsa yang bersatu. Setiap masalah yang timbul
dalam kumpulan-kumpulan etnik boleh dibawa berbincang. Politik campuran ini boleh
mencari jalan penyelesaian dalam keadaan berlakunya konflik.
Akhir sekali, langkahnya ialah parti-parti politik perlu menghentikan memainkan isu
perkauman. Isu rasis yang sengaja digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak dikhuatiri
akan meretakkan teras perpaduan nasional yang dibina selama ini. Parti politik tidak
seharusnya menjadikan isu kaum sebagai platform untuk mempopularkan diri sendiri. Isu
kaum sejak akhir-akhir ini sengaja dijadikan modal untuk menarik sokongan kaum tertentu
demi kelangsungan politik. Parti-parti politik sepatutnya berusaha dalam pembinaan budaya
bangsa berasaskan kaum dan penerapan nilai jati diri golongan rakyat. Isu perkauman yang
dijadikan sebagai propaganda politik dilihat amat berbahaya dalam konteks Malaysia
sebagai negara berbilang kaum. Parti politik sewajarnya kembali kepada asas perjuangan
yang meletakkan kepentingan dan perpaduan rakyat sebagai teras dalam berpolitik.
Kesimpulannya, isu ini selalunya menyentuh soal perbezaan kefahaman mengenai
agama, budaya dan kaum masing-masing. Justeru, perbezaan dan kepelbagaian ini perlu
ditangani dan diuruskan sebaik mungkin untuk mengelakkan tercetusnya sebarang perkara
tidak diingini.
2. Isu-isu ekonomi kelihatan bersifat tidak adil kepada golongan berpendapatan rendah.
Huraikan 2 isu ekonomi yang dihadapi oleh golongan tersebut dan bincangkan 2 langkah
konkrit sebagai jalan penyelesaiannya.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk beberapa tahun kebelakangan ini sangat


memberangsangkan jika berbanding dengan suasana ekonomi dunia yang muram. Namun,
Malaysia masih wujud banyak isu ekonomi yang dihadapi oleh golongan berpendapatan
rendah. Isu-isu ekonomi ini kelihatan tidak adil kepada golongan tersebut. Hal ini telah
membimbangkan pelbagai pihak yang berkaitan dan perlu diselesaikan dengan secepat
mungkin.
Antara isu ekonomi ialah peningkatan kos sara hidup. Peningkatan kos sara hidup
yang drastik ini amat mengganggu situasi rakyat akibat ketidakcukupan pendapatan untuk
menampung keperluan asas serta bebanan hutang yang ditanggung bagi menampung
kenaikan kos barangan, perkhidmatan dan juga keperluan harian. Ini merupakan petanda
tidak baik yang akan mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi, sosial,
keselamatan dan juga pengangguran. Peningkatan kos sara hidup yang tidak sejajar dengan
peningkatan dalam kenaikan gaji menyebabkan hampir keseluruhan gaji diperuntukkan
untuk membeli keperluan barangan harian, membayar sewa rumah atau pinjaman
perumahan dan kenderaan.
Selain itu, isu ekonomi yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah ialah
kesusahan untuk memiliki rumah sendiri. Keadaan ekonomi hari ini tidak membenarkan
semua orang memiliki rumah, kebanyakan rumah yang dibina oleh pemaju adalah di luar
kemampuan pengguna. Harga rumah yang telah meningkat naik dengan keadaan ekonomi
yang tidak stabil serta kenaikan paras pendapatan yang perlahan telah menyebabkan
pembinaan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah ini tidak mampu
dimiliki. Tambahan pula, syarat pinjaman yang terlalu ketat telah menyebabkan golongan ini
susah untuk mendapatkan pinjaman dan pembiayaan akhir bagi pembelian rumah.
Seterusnya, langkah yang dapat mengatasi isu ekonomi tersebut ialah pemberian
inisiatif kepada koperasi. Bilangan anggota koperasi yang melebihi tujuh juta atau satu
perempat daripada populasi negara dapat mempengaruhi penawaran dan permintaan
barang pengguna dalam pasaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan kuasa gerakan
koperasi dapat memberi kesan kepada harga barangan pengguna dalam pasaran. Inisiatif
yang boleh dilakukan oleh koperasi bagi mengurangkan peningkatan kos sara hidup adalah
dengan memperkasa dan memanfaatkan sepenuhnya rangkaian pemasaran koperasi sedia
seperti subsidiari Koperasi Permodalan Felda Bhd yang dilantik sebagai pusat pengedaran di
seluruh negara. Kewujudan pusat pengedaran ini seharusnya dapat menjimatkan kos
pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Akhir sekali, langkah yang boleh menangani isu ekonomi tersebut ialah penubuhan
Lembaga Perumahan Rakyat (LPR) yang tidak bermotifkan keuntungan. Lembaga
Perumahan Rakyat perlu membina rumah kos rendah dan sederhana di atas tanah kerajaan
supaya dapat dijual kepada golongan berpendapatan rendah. Tanah kerajaan untuk skim
tersebut perlu diberi secara langsung kepada LPR dan tidak diberi milik kepada syarikat milik
kerajaan yang seumpama yang ditubuhkan untuk mengaut sewa dari proses tersebut.
Rumah-rumah ini akan dijual kepada pembeli rumah pertama pada harga yang sedikit
melebihi kos pembinaan, dengan syarat bahawa pemilik hanya boleh menjual rumah ini
kembali kepada LPR sendiri. LPR boleh menjual semula rumah tersebut kepada keluarga lain
yang layak.
Kesimpulannya, isu ekonomi ini memang menyusahkan kehidupan golongan
berpendapatan rendah dan menambahkan jurang ekonomi dalam masyarakat. Justeru,
polisi dan mekanisme kerajaan yang sedia ada perlu diperkasakan dan difikirkan idea-idea
baru agar rakyat dan ekonomi memperoleh manfaat.

You might also like