You are on page 1of 9

Pendahuluan

Negara Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat


majmuk daripada pelbagai etnik dan kaum. Menurut Mansor Mohd Noor, Abdul
Rahman Abdul Aziz & Mohamad Ainuddin Iskandar Lee (2006), terdapat lebih 200
kumpulan etnik di Malaysia dan terdiri daripada tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina
dan India. Kepelbagaian kaum tidak menghalang Malaysia mencapai keamanan dan
kesejahteraan bermasyarakat. Walau bagaimanapun, kesejahteraan tersebut dicapai
setelah melalui pelbagai cabaran yang melibatkan perpaduan kaum seperti tragedi
rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara
Malaysia. Rusuhan kaum telah meletus secara besar-besaran sehingga keluarnya
Perintah Berkurung oleh kerajaan. Menurut Leon, C. (2007), ketegangan hubungan
kaum dan etnik menjadi faktor utama kepada terjadinya rusuhan kaum. Walaupun,
tragedi ini berkait rapat dengan Pilihan Raya 1969 tetapi ia bukanlah faktor utama.
Tragedi ini merupakan rentetan daripada dasar pihak penjajah daripada segi politik,
ekonomi, pendidikan dan sosial semasa memerintah Tanah Melayu yang meletus
selepas Pilihan Raya 1969.

Soalan 1 : Dasar Penjajah Yang Mencetuskan Tragedi 13 Mei 1969

Dasar politik Pecah dan Perintah British merupakan penyumbang besar


kepada ketegangan kaum dan tragedi 13 Mei 1969. Dasar ini telah mengasingkan
kaum mengikut tempat tinggal dan kegiatan ekonomi. Orang Cina tinggal di bandar
menjalankan perniagaan dan perlombongan, orang Melayu tinggal di luar bandar
menjadi petani dan nelayan kecil, manakala orang India tinggal di estet sebagai
buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang. Dasar ini telah menyebabkan kadar
interaksi antara kaum amat rendah bagi mengelakkan berlakunya perpaduan yang
menggugat kuasa British di Tanah Melayu (Shamsul Amri Baharuddin, 2012).
Interaksi antara kaum yang terbatas menyebabkan tidak berlakunya perkongsian
budaya yang membawa kepada salah faham dan ketiadaan nilai hormat antara
kaum. Melalui dasar ini juga, wujud etnosentrik dan sifat perkauman dalam kalangan
masyarakat di Tanah Melayu dan berterusan sehingga tercetus melalui tragedi 13
Mei 1969 selepas tertubuhnya kerajaan Malaysia.

1
Selain itu, pemerintahan Jepun yang memberi layanan buruk kepada orang
Cina juga menyebabkan wujudnya pelbagai fahaman politik di Tanah Melayu yang
menyumbang kepada tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Perbezaan layanan ini
membuatkan ramai orang Cina kehilangan kerja dan terpaksa lari ke hutan lalu
menyertai Parti Komunis Malaya (PKM). Penyertaan KPM menyebabkan wujudnya
fahaman politik komunis dalam kalangan parti politik di Tanah Melayu (Mohd Isa
Othman, 2000). Walaupun kegiatan komunis telah dihapuskan selepas pembinaan
negara Malaysia, namun, fahaman politiknya masih menebal dalam kalangan parti
politik terutamanya parti politik kaum Cina. Perbezaan fahaman politik antara orang
Melayu yang bersifat demokratik dan fahaman komunis yang kebanyakkannya
diamal parti politik Cina telah mencetuskan kemelut politik yang besar. Kemelut
fahaman politik terus berlaku dan Pilihan Raya 1969 merupakan kemuncak kemelut
politik antara kaum sehingga tercetusnya tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Dasar ekonomi British juga telah menyumbang kepada tercetusnya tragedi 13


Mei 1969. Sistem ekonomi dualisme diperkenalkan oleh British bagi menguasai
ekonomi di Tanah Melayu dan mengelakkan penglibatan penduduk tempatan dalam
bidang ekonomi (Faaland, J, Parkinson, J. & Rais Saniman, 2005). Sistem ini telah
mewujudkan dua jenis sektor ekonomi iaitu sistem ekonomi moden dan ekonomi
bersifat tradisi. Sistem ekonomi moden melibatkan pengeluaran modal secara besar-
besaran syarikat saham British yang melibatkan imigran Cina dan India. Ekonomi
bersifat tradisi diusahakan orang Melayu secara kecil-kecilan dan tidak tersusun dari
segi perancangan dan pembangunan. Sistem ekonomi dualisme ini telah
mewujudkan jurang ekonomi yang sangat jauh antara kaum. Jurang ekonomi ini
menyebabkan ketidakpuasan hati orang Melayu terhadap kaum Cina yang
menikmati kemewahan berbanding kaum bumiputera sehingga meletusnya menjadi
faktor tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

Tragedi 13 Mei 1969 juga meletus daripada dasar penjajah daripada aspek
sosial seperti bidang pendidikan. Selepas kedatangan Inggeris, terutamanya pada
pertengahan abad ke-19, sistem pendidikan lebih bersifat perkauman atau
vernakular kerana Inggeris tidak menyeragamkan sukatan pendidikan dengan
pendidikan guru. Sistem pendidikan yang wujud sebelum kemerdekaan negara
terbahagi kepada empat aliran mengikut kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Inggeris.

2
Sekolah-sekolah Inggeris ditubuhkan di Negeri-negeri Selat oleh mubaligh-
mubaligh Kristian yang dinamakan Sekolah Free. Sekolah Free yang pertama ialah
Penang Free School yang diasaskan oleh Rev. R.S. hutchings pada 1816. Sekolah
Inggeris hanya dapat dinikmati oleh orang-orang Cina, India dan segelintir kaum
Melayu yang tinggal di bandar-bandar. Hal ini menyebabkan kaum Melayu yang
tinggal di luar bandar banyak ketinggalan daripada segi perkembangan pendidikan
berbanding kaum-kaum yang lain (Abdul Rahman Arshad, 2007). Sekolah Melayu
hanya berfokuskan kepada pendidikan tahap rendah iaitu kemahiran 3M seperti
membaca, menulis dan mengira. Perbezaan tahap pendidikan menyebabkan berlaku
ketidakfahaman antara kaum dan orang Melayu merasakan mereka ditindas di tanah
air sendiri. Pengelasan kaum mengikut taraf pendidikan telah mencetuskan kemelut
antara kaum sekaligus menyumbang kepada berlakunya tragedi 13 Mei 1969.

Selain itu, sekolah Cina dan sekolah India masing-masing mengikut sukatan
kurikulum daripada negara China dan India serta membawa buku teks dan guru-guru
daripada negara ibunda mereka sendiri (Mardiana Nordin & Hasnah Hussiin, 2014).
Pada tahun 1911, kerajaan China terus menyalurkan bantuan kewangan serta
nasihat berkaitan dengan pentadbiran sekolah Cina. Menjelang Tahun 1920,
terdapat 313 buah sekolah Cina telah dibina di Negeri-negeri Selat dan 181 buah
sekolah Cina di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1905 terdapat 13 buah
sekolah Tamil dan 4 buah sekolah Tamil persendirian di Negeri-negeri Melayu
Bersekutu. Menjelang tahun 1920 jumlah murid sekolah Tamil di negeri-negeri
tersebut ialah lebih kurang 4000 orang. Setiap sekolah vernakular mengunakan
bahasa asal mereka sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan menyebabkan
tidak wujudnya elemen bahasa sebagai alat perpaduan.

Kurikulum yang bersentrik negara asal imigran menyebabkan kaum lain tidak
mengenali serta memahami keadaan dan suasana di Tanah Melayu. Kaum lain tidak
mengetahui semua budaya dan adat masyarakat di Tanah Melayu menyebabkan
tidak wujudnya perasaan cinta kepada Tanah Melayu. Malah, tiada kurikulum yang
membantu murid mengenali budaya, agama dan adat kaum lain. Perbezaan
kurikulum pendidikan juga menyumbang kepada etnosentrik yang melambatkan
perpaduan antara kaum di Tanah Melayu (Ishak Saat, 2009). Semangat etnosentrik
dan ketidakfahaman terhadap sensitiviti kaum lain inilah yang menyumbang kepada
tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

3
Era penjajahan Jepun juga menyumbang kepada rantaian ketegangan kaum
sehingga tercetus pada 13 Mei 1969. Pemerintahan Jepun memberikan layanan
yang berbeza mengikut kaum. Kaum Melayu diberi peluang untuk memegang
jawatan sebagai penjawat awam seperti Kempetai oleh pemerintah Jepun. Kaum
Melayu juga dibenarkan mewujudkan persatuan dan parti politik orang Melayu yang
hanya menjalankan aktiviti berkaitan agama dan budaya mereka sahaja. Namun,
sebaliknya berlaku kepada kaum Cina. Akibat dendam semasa perang China-Jepun,
pemerintah Jepun telah memberikan layanan yang teruk kepada kaum Cina
termasuk mengenakan cukai yang tinggi dan menutup semua sekolah Cina.
Perbezaan layanan ini menyebabkan kaum Cina berasa iri hati dengan kaum Melayu
yang dilayan baik oleh pihak Jepun (Roslihah Muhammad, 2000). Hal ini dapat dilihat
semasa PKM bermaharaja lela semasa 13 hari selepas Jepun menyerah diri. Orang
melayu dilayan teruk oleh pihak KPM yang kebanyakkan dianggotai orang Cina.
Peristiwa ini menjadi rantaian dendam antara kaum dan dibangkitkan pada tahun
1969 sehingga tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Soalan 2 : Usaha-usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum

Tragedi 13 Mei 1969 telah memberikan menyedarkan masyarakat dan


pemimpin nagara Malaysia bahawa wujud kemelut antara kaum yang masih belum
selesai kesan daripada pelaksanaan dasar penjajahan kuasa luar. Justeru, pihak
kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif bagi merapatkan jurang dan
meningkatkan perpaduan antara kaum supaya tragedi 13 Mei 1969 tidak berulang
kembali. Antara inisiatif kerajaan ialah Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara.
Namun, pelbagai langkah lagi boleh diambil oleh semua pihak bagi meningkatkan
perpaduan dan mengelakkan tragedi berdarah antara kaum berulang.

Pada pendapat saya, sistem persekolah di Malaysia perlu distruktur semula


bagi mewujudkan perpaduan antara kaum. Penstrukturan semula sistem
persekolahan lebih relevan berbanding penghapusan sistem sekolah vernakular
dengan mengambil kira kepentingan semua kaum. Hal ini kerana penghapusan
sekolah vernakular akan menimbulkan ketidakpuasan hati kaum lain. Malah menurut
Datuk Seri G. Palanivel di dalam Sinar Harian (2013), penghapusan sekolah
vernakular bertentangan dengan Perlembagaan melalui Perkara 152 (1) (b) yang
menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada

4
menggunakan atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain. Jelaslah
bahawa penghapusan sekolah vernakular merupakan isu yang sensitif. Justeru,
penstrukturan semula sistem sekolah Malaysia merupakan langkah yang relevan.

Pada pandangan saya, penstrukturan semula sistem sekolah di Malaysia


dapat dilaksanakan melalui perkongsian infrastuktur struktur sekolah. Sebagai
contoh, sebuah sekolah mempunyai dua atau lebih sistem sekolah seperti sekolah
vernakular Cina dan sekolah kebangsaan. Murid dan guru menjalani proses
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mengikut aliran persekolahan masing-masing
tetapi berkongsi infrastruktur yang sama seperti padang dan juga kantin sekolah.
Perkongsian infrastruktur ini membolehkan murid yang berlainan sistem
persekolahan dapat berinteraksi antara satu sama lain sekali gus mewujudkan
perpaduan melalui nilai kerjasama menjaga infrastruktur sekolah. Langkah ini sangat
berkesan sebagaimana saya perhatikan di Johor Bharu di antara Sekolah Menengah
Kebangsaan Sultan Ismail dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew 2. Kedua-
dua sekolah ini berkongsi padang yang sama membolehkan wujudnya hubungan
persahabatan yang baik. Malah perkongsian budaya melalui aktiviti sekolah juga
berlaku kerana setiap aktiviti sekolah membuka penglibatan terbuka kepada sekolah
lain sekaligus mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan murid.

Selain itu, usaha mewujudkan perpaduan kaum juga boleh dilaksanakan


melalui program anak angkat berlainan kaum. Melalui program anak angkat ini,
peserta program dapat menjalani dan melihat sendiri budaya serta cara hidup kaum
lain. Peserta program dapat mengetahui pantang larang dan sensitiviti kaum lain
dengan lebih mendalam lagi. Malah, salah faham terhadap budaya kaum lain juga
dapat diatasi. Berdasarkan pengalaman saya menyertai program keluarga angkat di
Sarawak bersama Kelab Sahabat Siswa (KESAS) pada tahun 2017, program anak
angkat berlainan kaum merupakan usaha yang sangat berkesan. Pelbagai budaya
masyarakat pedalaman dan kaum Iban telah saya pelajari malah banyak mengubah
persepsi saya terhadap masyarakat di pedalaman. Perkara yang sangat
menakjubkan bagi saya ialah masyarakat Iban di pedalaman ini amat memahami
ajaran agama Islam seperti menyamak serta mengasingkan bekas makanan yang
digunakan untuk daging khinzir kerana mereka mempelajarinya melalui program
keluarga angkat badan persatuan yang lain. Justeru, program anak angkat berlainan
kaum ini merupakan salah satu usaha yang mampu memupuk perpaduan kaum.

5
Usaha meningkatkan perpaduan kaum juga boleh dilaksanakan melalui aktiviti
atau program kemasyarakatan yang menggalakkan interaksi antara kaum secara
maksima. Usaha pihak kerajaan melalui Program Latihan Khidmat Negara sangat
berkesan dalam menggalakkan interaksi antara kaum secara maksima. Program
sebegini seharusnya diperbanyakkan dan dipelbagaikan bentuk perlaksanaan.
Malah, program sebegini turut menyumbang kepada persahabatan dan perkahwinan
campur antara kaum. Berdasarkan pengalaman saya, persahabatan yang terjalin
dengan kaum lain banyak membina sifat keterbukaan dan pemikiran kita. Setiap
kaum memiliki pemikiran yang tersendiri serta cara hidup yang tersendiri. Hubungan
yang terjalin sama ada persahabatan atau perkahwinan dengan kaum lain
membolehkan kita menerima aspek pemikiran kaum lain. Hal ini membolehkan kita
berfikiran lebih luas sekali gus melahirkan nilai toleransi terhadap kaum lain.

Pada pendapat saya, usaha memperkasakan dasar-dasar perpaduan perlu


diambil bagi mewujudkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Dasar-dasar
perpaduan seperti subjek sejarah di sekolah rendah dan sambutan perayaan kaum
lain perlu diperkasakan dengan lebih giat lagi. Berdasarkan pengalaman Program
Berasaskan Sekolah (PBS) dan praktikum semester 5, subjek sejarah kurang
diberikan perhatian di sekolah. Malah subjek ini telah digantikan dengan subjek lain
yang lebih penting dan berorientasikan peperiksaan. Tujuan subjek sejarah
diwujudkan di sekolah rendah ialah untuk memupuk nilai kewarganegaraan dan
kekitaan kepada murid. Kurikulum subjek sejarah ini juga memberi fokus kepada
pengenalan budaya lain yang membolehkan murid mengenali budaya dan amalan
budaya lain. Pengenalan budaya kaum lain ini bertujuan untuk memupuk rasa
sepunya murid terhadap budaya kaum lain. Perasaan sepunya ini dapat melahirkan
rasa cinta dan nilai menghormati kepada budaya lain. Justeru, semua pihak
memainkan peranan dan tanggungjawab yang penting bagi melaksanakan dasar
perpaduan yang telah dibuat supaya matlamat dasar perpaduan dapat dicapai.

6
Penutup

Kesimpulannya, perpaduan merupakan elemen penting bagi sebuah negara


bermasyarakat majmuk seperti Malaysia. Kesepakatan dan perpaduan antara kaum
bukan sahaja mampu menjamin kesejahteraan hidup bermasyakat tetapi turut
menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara. Setiap kaum dapat
bekerjasama dan berganding bahu membuatkan Malaysia mencapai taraf negara
maju tanpa adanya sentimen perkauman. Perbalahan antara kaum hanya akan
menyebabkan negara menjadi mundur seperti tragedi 13 Mei 1969 yang merugikan
segara dan merosakkan pelbagai kerosakkan harta benda awam serta nyawa.
Semua yang bergelar warganegara Malaysia mempunyai peranan dan
tanggungjawab yang penting bagi memelihara perpaduan antara kaum. Justeru,
setiap warganegara perlu memupuk nilai kewarganegaraan dan patriotik yang tinggi
supaya kemerdekaan negara tidak terjejas dengan kemelut antara kaum.
Mengekalkan kemerdekaan sememangnya lebih sukar daripada mendapatkan
kemerdekaan. Perpaduan merupakan kunci utama untuk mengekalkan kemerdekaan
negara. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga hubungan antara
kaum dan mempertahankan kemerdekaan negara.

7
Rujukan

Abdul Rahman Arshad. (2007). Unity and Education in Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Faaland, J, Parkinson, J. & Rais Saniman. (2005). Dasar ekonomi baru:


pertumbuhan negara dan pencapaian ekonomi orang Melayu. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors.

Ishak Saat. (2009). Pendidikan Negara Bangsa Malaysia. Shah Alam: Karisma
Publications Sdn. bhd.

Leon, C. (2007). Peristiwa 13 Mei : Sejarah Perhubungan Melayu-Cina. Petaling


Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.

Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman Abdul Aziz & Mohamad Ainuddin Iskandar Lee.
(2006) Hubungan etnik di Malaysia. Malaysia: Prentice Hall.

Mardiana Nordin & Hasnah Hussiin. (2014). Pengajian Malaysia. Selangor: Oxford
Fajar Sdn. Bhd.

Mohd Isa Othman. (2000). Sejarah Malaysia 1800 – 1963. Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributor Sdn. Bhd.

Shamsul Amri Baharuddin, Ketua Editor. (2012). Modul hubungan etnik, edisi kedua.

Bangi: Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sinar Harian. (2013). Palanivel: Seruan Hapus Sekolah Vernakular Bertentangan


Perlembagaan Persekutuan. Kuala Lumpur: Sinar Harian.

Roslihah Muhammad. (2000). Kesan Kolonialisme Ke Atas Peradaban Melayu :


Rujukan Khas Kepada Kuasa Penjajah British. Journal Fakulti Saster dan
Sains Sosial Universiti Malaya, 7-24.

8
LAMPIRAN

You might also like