You are on page 1of 20

PERMASALAHAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU

DALAM KALANGAN MURID CINA


Oleh :
Prof. Madya Dr. Abdul Rasid Bin Jamian
Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan,
Fakulti Pengajian Pendidikan,
Universiti Putra Malaysia.

arasid@educ.upm.edu.my

Abstrak: Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti penggunaan pendekatan,
kaedah dan teknik yang digunakan oleh guru dalam mengajarkan Bahasa Melayu
terhadap murid-murid Cina. Di samping itu juga untuk mengenal pasti sikap dan
minat murid Cina dalam pembelajaran Bahasa Melayu serta kaitannya dengan
faktor keluarga, guru, bahan bantu mengajar dan juga pihak pengurusan sekolah.
Kaedah tinjauan dilakukan iaitu dengan menggunakan soal selidik kepada 100
orang guru dan 300 orang murid Cina tingkatan dua di sekolah-sekolah yang
dipilih di Negeri Sembilan. Dapatan menunjukkan bahawa guru-guru Bahasa
Melayu menghadapi pelbagai masalah mengajar murid-murid Cina antaranya iaitu
masalah sikap dan minat guru Bahasa Melayu sendiri, masalah pendekatan,
kaedah dan teknik yang sesuai digunakan, masalah bahan bantu mengajar yang
tidak pelbagai dan penggunaan bahan bantu mengajar yang sama kerap
digunakan. Manakala daripada persepsi murid-murid Cina pula, dapatan
menunjukkan bahawa murid-murid Cina juga mempunyai masalah dalam
pembelajaran Bahasa Melayu iaitu sikap dan minat mereka sendiri terhadap
pembelajaran Bahasa Melayu tidak mempunyai perkaitan yang signifikan dengan
faktor keluarga, bahan bantu mengajar dan guru serta pihak pengurusan sekolah.
Kesimpulannya, guru-guru Bahasa Melayu perlu mengikuti kursus motivasi
dalam perkhidmatan supaya mereka lebih perkasa dengan pendekatan, kaedah dan
teknik terkini. Dalam mengatasi masalah murid-murid Cina yang tidak aktif
dalam pelaksanaan program bahasa Melayu, dicadangkan agar pihak sekolah
menganjurkan aktiviti-aktiviti bahasa Melayu yang menepati minat murid dan di
samping itu dapat mencungkil bakat serta kebolehan mereka.

Kata Kunci: Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu; Murid Cina; Guru
Bahasa Melayu; Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah

1
 
Abstract: The main purpose of this research is to identify the usage of the
approach, method, and the technique which are being used by teachers in teaching
Bahasa Melayu to the Chinese students. Besides that, it also to identify the
attitude and interest of the students in Bahasa Melayu subject with the relation
between the family factors, teacher, teaching aid and the school management.
Observatory methods were conducted by giving out questionnaire to 100 teachers
and 300 Form two Chinese students from selected schools in Negeri Sembilan.
The findings showed that, Bahasa Melayu teachers faced several problems in
teaching the Chinese students, namely, the teachers’ attitude and the interest,
approach problems, method and technique which are suitable to be used, the
teaching aid problems which are not varied and the usage of the same teaching
aids. Meanwhile, from the Chinese students perception, findings showed that, the
problems faced by the students are the interest and attitude towards the subject,
which do not have significant relation to family, teaching aid and teacher along
with the school management. As a conclusion, Bahasa Melayu teachers must
attend in-service motivation courses so that they will be familiar with the
approach, method and up-to-date techniques. In order to overcome the problems
with the Chinese students who are not active in Bahasa Melayu programme
implementation, it is advised that the school management should organize Malay
language activities which suit the students’ interest.In addition to that, it must able
to enhance their talents and abilities.

Key words: Teaching and Learning Bahasa Melayu, Chinese students; Bahasa
Melayu teachers; Secondary School Integrated Curriculum

Pendahuluan

Perkembangan pendidikan di negara ini telah dirancang dan dimulakan sebelum negara
mencapai kemerdekaan iaitu bermula dengan Penyata Barnes (1950), Penyata Fenn-Wu (1951),
Laporan Razak (1956), dan lain-lain. Jawatankuasa Laporan Razak (1956), dan Artikel 152
Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan
wajib digunakan di sekolah-sekolah bantuan kerajaan. Bertitik tolak dari sinilah maka mata
pelajaran Bahasa Melayu dianggap penting dan telah berkembang selaras dengan Dasar
Pendidikan Negara yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai alat untuk menyatupadukan
penduduk yang berbilang kaum di negara ini. Justeru itu, peranan pendidikan telah disesuaikan
dari semasa ke semasa bagi memenuhi matlamat dan keperluan negara menjelang tahun 2020.

2
 
Dalam konteks wawasan 2020, reformasi pendidikan yang bermula dan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan telah digubal dengan rapi dan teliti setelah mendapat persetujuan
daripada semua pihak, sama ada daripada ahli-ahli akademik mahupun bukan ahli akademik.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan digubal bagi memenuhi keperluan murid-murid yang terdiri
daripada pelbagai kaum dan latar belakang sosial di dalam negara kita.

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah


memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan kepada Tuhan.”
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001)
Matlamat pendidikan juga bertujuan untuk melahirkan individu yang berilmu
pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berketrampilan dalam berbahasa. Untuk
merealisasikan hasrat murni ini, murid-murid mestilah mempunyai wawasan diri, sikap yang
positif dan bermotivasi tinggi terhadap pembelajaran Bahasa Melayu. Pembelajaran Bahasa
Melayu menjadi penting kepada murid-murid setelah Kementerian Pendidikan Malaysia
menyeragamkan pelaksanaan dasar pendidikan bahasa. Melalui dasar ini bahasa pengantar
peperiksaan menggunakan bahasa Melayu. Oleh itu murid-murid perlu menguasai bahasa
Melayu dengan baik.

Bagi menjayakan matlamat ini, guru-guru wajib memastikan bahawa pengetahuan


berbahasa diajar dengan berkesan tentang pengetahuan bahasa Melayu untuk membolehkan
murid-murid berjaya dalam peperiksaan formal. Guru perlu juga mendidik murid-murid
menggunakan bahasa Melayu secara betul dan bersesuaian dengan keperihalan keadaan dalam
pertuturan harian. Masalah ini jelas pada penggunaan ganti nama diri. Terdapat murid,
khususnya murid penutur bahasa Melayu sebagai bahasa kedua yang tidak faham tentang
penggunaan perkataan-perkataan ‘kamu’, ‘awak’, ‘anda’, ‘encik’, atau ‘cikgu’. Bagi mereka,
tidak ada apa-apa perbezaan penggunaan antara perkataan-perkataan tersebut. Jika keadaan ini
berterusan, berkemungkinan akan menimbulkan perasaan kurang senang atau salah tanggapan
kepada orang yang berinteraksi dengan mereka. Oleh itu, suatu penyelesaian yang menyeluruh
harus diambil bagi menangani gejala ini agar tidak terus menjadi parah terutama kepada murid-
murid yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Guru Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)
Dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), guru-
guru dikehendaki mengajar kemahiran lisan, bacaan, pemahaman, dan penulisan dari berbagai-
bagai jenis retorik dan tatabahasa dan juga Komponen Sastera (KOMSAS). Untuk mengajar
kesemua komponen ini memerlukan keyakinan mengajar dan sikap yang positif agar matlamat
yang ingin diperoleh tercapai.
Dalam melaksanakan KBSM, guru-guru Bahasa Melayu dikehendaki merancang, serta
mengurus pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di dalam dan di luar bilik darjah.
Keperluan untuk melihat masalah pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua yang
berkaitan dengan sikap dan motivasi adalah lebih jelas kerana secara umumnya, pencapaian

3
 
murid-murid bukan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu masih kurang memuaskan.
(Abdul Rasid Jamian dan Zulkifli Abu Zarin, 2008)
Bertitik tolak dari perkara di atas, didapati bahawa KBSM menimbulkan pelbagai reaksi
dalam kalangan guru terutamanya guru-guru Bahasa Melayu yang mengajar murid-murid bukan
Melayu. Pada dasarnya, murid-murid bukan Melayu ini telah mempelajari Bahasa Melayu di
sekolah sekurang-kurangnya selama enam tahun iaitu ketika berada di peringkat sekolah rendah.
Namun begitu, kecemerlangan pencapaian dalam Bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid
bukan Melayu agak belum boleh dibanggakan. Permasalahan ini ada kaitannya dengan masalah
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah. Masalah ini wujud di semua
peringkat sama ada di sekolah rendah, sekolah menengah rendah, dan juga di sekolah menengah
atas. Ini disokong oleh Nurul Huda Ong Abdullah (2010), iaitu guru perlu memainkan peranan
dalam meningkatkan motivasi murid-murid ke tahap yang maksimum.

Pemasalahan Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Bukan Melayu

Permasalahan dalam pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid bukan Melayu terdapat
banyak pandangan daripada pengkaji-pengkaji. Antaranya iaitu menurut Zulkifley Hamid
(1996), membicarakan tentang masalah yang dihadapi oleh murid-murid bukan Melayu dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu. Menurut beliau, murid-murid bukan Melayu sukar mendapat
keputusan yang membanggakan dalam peperiksaan Bahasa Melayu.
Manakala menurut Abdul Hamid Mahmood (1990), dalam kajiannya mendapati bahawa
kesalahan penggunaan perkataan atau istilah banyak dilakukan oleh murid-murid bukan
bumiputera terutamanya oleh murid-murid Cina. Menurut beliau lagi, kurangnya pendedahan
terhadap bahasa Melayu merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan keadaan
demikian. Dalam kajian yang dilakukan oleh Nursidah Ab. Hamid et al. (2010) pula menyatakan
bahawa 89% murid bukan Melayu lemah dalam penguasaan tatabahasa. Manakala menurut
Chew dan Lee (2009), dapati murid-murid Cina di SRJKC gagal menguasai sebutan dan
penulisan Bahasa Melayu.
Jelaslah bahawa murid-murid Cina memang menghadapi masalah dalam proses
pembelajaran Bahasa Melayu. Masalah yang dihadapi oleh mereka ini disebabkan oleh faktor
dalaman yang berkaitan dengan diri mereka sendiri dan juga faktor luaran seperti pengaruh
persekitaran, kaedah pengajaran guru yang kurang berkesan dan lain-lain lagi.
Objektif Kajian

Secara umumnya objektif kajian ini ialah menganalisis permasalahan pengajaran Bahasa Melayu
yang dihadapi oleh guru yang mengajar murid-murid Cina dan juga mengenal pasti masalah
murid-murid Cina dalam mempelajari Bahasa Melayu.

Objektif khusus kajian ini adalah:

1. Mengenal pasti masalah sikap dan minat guru yang mengajar Bahasa Melayu murid-murid
Cina,

4
 
2. Meninjau masalah pendekatan, kaedah, teknik dan bahan bantu mengajar yang digunakan
oleh guru yang mengajarkan Bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid Cina,
3. Mengenal pasti masalah sikap dan minat murid-murid Cina terhadap pembelajaran Bahasa
Melayu,
4. Mengenal pasti faktor keluarga dan guru yang mempengaruhi sikap dan minat murid-murid
Cina terhadap pembelajaran Bahasa Melayu, dan
5. Meninjau faktor bahan bantu mengajar dan pihak pengurusan sekolah yang mempengaruhi
sikap dan minat murid Cina terhadap pembelajaran Bahasa Melayu.

Persoalan Kajian
Persoalan kajian adalah berdasarkan objektif yang dinyatakan di atas iaitu:
1. Sejauh manakah sikap dan minat guru yang mengajar Bahasa Melayu dalam kalangan murid-
murid Cina?
2. Apakah masalah pendekatan, kaedah, teknik dan bahan bantu mengajar yang digunakan oleh
guru dalam mengajarkan Bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid Cina?
3. Sejauh manakah masalah sikap dan minat murid-murid Cina terhadap pembelajaran Bahasa
Melayu?
4. Sejauh manakah faktor keluarga dan guru mempengaruhi sikap dan minat murid-murid Cina
terhadap pembelajaran Bahasa Melayu?
5. Sejauh manakah faktor bahan bantu mengajar dan pihak pengurusan sekolah mempengaruhi
sikap dan minat murid-murid Cina terhadap pembelajaran Bahasa Melayu?

Metodologi Kajian
Kajian ini menggunakan reka bentuk deskriptif. Menurut Mohd. Majid Konting (2005)
penyelidikan deskriptif adalah untuk menjelaskan sesuatu fenomena. Penjelasan yang diberi
adalah berdasarkan faktor-faktor atau pemboleh ubah-pemboleh ubah yang belum dikenal pasti.
Jenis penyelidikan deskriptif yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah tinjauan.
Mohd. Majid Konting (2005) menjelaskan bahawa kajian tinjauan digunakan untuk mengukur
pemboleh ubah-pemboleh ubah yang berkait dengan sesuatu fenomena tanpa menyoal sebab
pemboleh ubah itu wujud. Kajian ini akan meninjau masalah-masalah pengajaran dan
pembelajaran murid-murid Cina di tingkatan dua di sekolah-sekolah menengah di Negeri
Sembilan, Malaysia.
Sampel Kajian

Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah persampelan berdasarkan tujuan (purposive).
Sampel kajian terdiri daripada 100 orang guru yang mengajar Bahasa Melayu di kelas-kelas yang
terdiri murid-murid Cina dan 300 murid-murid Cina di Negeri Sembilan, Malaysia.

Pemprosesan Data dan Analisis

5
 
Pengkaji menggunakan borang soal selidik untuk guru dan murid untuk mengumpul data
mentah. Data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan komputer. Data tersebut dianalisis
dengan menggunakan program SPSS (Statistical Packages for The Social Sciences). Menurut
Mohd. Majid Konting (2005), program SPSS ini merupakan salah satu daripada pakej perisisan
komputer yang digunakan untuk memproses dan menganalisis data penyelidikan, khususnya
penyelidikan sosial dan pendidikan. Program SPSS dibina khusus untuk penganalisisan data
yang banyak dan berulang-ulang dengan cepat dan cekap.
Proses menganalisis data dilakukan berlandaskan objektif kajian. Pengkaji menggunakan
statistik perihalan untuk menerangkan data mentah. Pengkaji akan menggunakan petunjuk
seperti frekuensi dan peratus serta min dan sisihan piawai untuk menerangkan pemboleh ubah
tertentu yang terlibat dalam kajian ini.

Dapatan Kajian
Latar Belakang Guru
Jadual 1: Jantina Responden

Jantina Bilangan Peratus


Lelaki 25 25
Perempuan 75 75
JUMLAH 100 100

Jadual 1 di atas, menunjukkan taburan jantina responden. Dapatan menunjukkan


sebahagian besar daripada responden adalah perempuan iaitu seramai 75 orang (75%), manakala
lelaki pula adalah 25 orang (25%).
Jadual 2: Taburan Umur Responden

Umur Bilangan Peratus


21 – 30 tahun 20 20
31 – 40 tahun 60 60
41 – 50 tahun 18 18
51 – 60 tahun 2 2
JUMLAH 100 100

Dalam jadual 2, taburan umur guru Bahasa Melayu pula, data menunjukkan bahawa
kebanyakan responden berumur antara 31- 40 tahun iaitu seramai 60 orang (60%). Ini diikuti
pula dengan responden yang berumur antara 21-30 tahun iaitu seramai 20 orang (20%).
Sementara responden yang berumur antara 41-50 tahun adalah seramai 18 orang (18%), dan 2
orang responden yang berumur antara 51-60 tahun (2%).
Jadual 3: Pengalaman Responden Mengajar Bahasa Melayu
Pengalaman mengajar Bilangan Peratus
0 – 4 tahun 16 16

6
 
5 – 9 tahun 36 36
10 – 14 tahun 46 46
25 – 29 tahun 2 2
JUMLAH 100 100

Jadual 3 di atas pula menunjukkan bahawa guru yang mempunyai pengalaman mengajar
Bahasa Melayu selama 0 hingga 4 tahun seramai 16 orang (16%), dan 5 hingga 9 tahun adalah
seramai 36 orang (36%). Manakala, 46 orang responden (46%) mempunyai pengalaman
mengajar 10 hingga 14 tahun. Terdapat 2 orang responden (2%) yang mempunyai pengalaman
mengajar 25 hingga 29 tahun.

Sikap dan Minat Guru dalam Pengajaran Bahasa Melayu Terhadap Murid Cina
Jadual 4: Minat Responden dalam Pengajaran Bahasa Melayu
 

Minat Bilangan Peratus


Sangat berminat 11 11
Berminat 59 59
Kurang berminat 26 26
Tidak berminat 4 4
JUMLAH 100 100

Merujuk jadual 4, dapatan menunjukkan bahawa seramai 59 orang (59%) sekadar


berminat mengajar Bahasa Melayu. Manakala 26 orang (26%) kurang berminat mengajar Bahasa
Melayu. Seramai 11 orang (11%) pula sangat berminat dan hanya 4 orang (4%) tidak berminat
mengajar Bahasa Melayu.

Jadual 5 : Objektif Utama Responden Mengajar

Objektif Bilangan Peratus


Supaya murid lulus peperiksaan 43 43
Supaya murid dapat
menggunakan bahasa Melayu 48 48
dengan betul
Sebagai memenuhi kehendak 9 9
tugas
JUMLAH 100 100

7
 
Namun begitu, dapatan pengkaji dapati sebenarnya responden bertanggungjawab atas
profesionalisme mereka. Ini dapat dipaparkan melalui dapatan kajian dalam Jadual 5
menunjukkan bahawa 48 orang (48%) responden memilih objektif utama mereka mengajar
adalah supaya murid-murid dapat menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Seramai 43 orang
(43%) responden mengatakan objektif utama mereka adalah supaya murid-murid lulus
peperiksaan dan 9 orang (9%) mengatakan objektif utama mereka sebagai memenuhi kehendak
tugas.

Jadual 6: Perancangan Pengajaran Responden

Perancangan Bilangan Peratus


Berdasarkan buku teks 59 59
dan sukatan pelajaran
Berdasarkan sukatan 41 41
pelajaran sahaja
Berdasarkan buku teks 0 0
sahaja
JUMLAH 100 100

Berdasarkan perancangan pengajaran pula, dapatan kajian menunjukkan bahawa 59 orang


(59%) responden merancang pengajaran Bahasa Melayu berdasarkan buku teks dan sukatan
pelajaran. Responden yang merancang pengajaran berdasarkan sukatan pelajaran sahaja adalah
seramai 41 orang (41%). Tiada responden yang merancang berdasarkan buku teks sahaja. (Rujuk
Jadual 6)

Jadual 7: Kekerapan Memberi Latihan

Perancangan Bilangan Peratus


Sangat kerap 19 19
Kerap 62 62
Jarang-jarang 19 19
JUMLAH 100 100

Jika dilihat dalam kekerapan memberi latihan bertulis, dapatan menunjukkan bahawa 62
orang (62%) responden kerap memberikan latihan kepada murid-murid, masing-masing 19 orang
(19%) responden sangat kerap dan 19 orang (19%) jarang-jarang memberikan latihan kepada
murid-murid.(Rujuk Jadual 7)

Jadual 8: Kekerapan Memberi Rangsangan dan Motivasi

Rangsangan Bilangan Peratus


Selalu 34 34

8
 
Kadang-kadang 61 61
Tidak pernah 5 5
JUMLAH 100 100

Dalam jadual 8 pula, menunjukkan sikap dan minat guru dalam pengajaran Bahasa
Melayu iaitu dapatan memperlihatkan bahawa 61 orang (61%) responden mengatakan mereka
kadang-kadang memberi rangsangan kepada murid-murid mereka untuk menghayati bahasa
Melayu dengan baik. Manakala 34 orang (34%) responden selalu memberi rangsangan dan 5
orang (5%) responden tidak pernah memberi rangsangan kepada murid Cina untuk menghayati
bahasa Melayu dengan baik.
 

Jadual 9: Tahap Penguasaan bahasa Melayu Murid Cina

Rangsangan Bilangan Peratus


Baik 0 0
Sederhana 51 51
Lemah 49 49
JUMLAH 100 100
 

Akhirnya, responden menyatakan tahap penguasaan bahasa Melayu murid Cina mereka
adalah sederhana 51 orang (51%) dan selebihnya iaitu 49 orang (49%) responden mengatakan
tahap penguasaan bahasa Melayu adalah lemah. Ini membolehkan guru membuat perancangan
yang lebih rinci dan bersistematik. (Rujuk Jadual 9)

Permasalahan Pendekatan, Kaedah dan Teknik Serta Bahan Bantu Mengajar dalam
Mengajar Murid-Murid Cina

Pengajaran seseorang guru perlu berlandaskan pendekatan, kaedah dan teknik dan dibantu
dengan penggunaan bahan bantu mengajar. Pengemblengan semua aspek yang dinyatakan itu
akan menghasilkan kesan pembelajaran yang cemerlang. Dalam kajian ini pengkaji ingin
mengenal pasti pendekatan, kaedah dan teknik serta penggunaan bahan bantu mengajar dalam
pengajaran Bahasa Melayu terhadap murid Cina yang digunakan oleh guru.
Jadual 10: Pendekatan, Kaedah dan Teknik Pengajaran
Item Min Sisihan Piawai
Saya merancang dengan teliti setiap aktiviti dan isi pelajaran yang 2.55 0.55
hendak disampaikan kepada murid-murid Cina
Saya kerap menggunakan kaedah dan teknik yang pelbagai semasa 2.75 0.72
mengajar mata pelajaran BM kepada murid-murid Cina
Saya menghadapi masalah dalam menyampaikan isi pelajaran BM 1.90 0.45
yang menarik dan sesuai kepada murid Cina
Isi pengajaran yang disampaikan sesuai dan selaras dengan 2.45 0.76
pendekatan, kaedah dan teknik.

9
 
Isi pengajaran yang disampaikan disusun mengikut prosedur iaitu 2.35 0.59
yang mudah didahulukan dan yang rumit dikemudiankan

Saya mempelbagaikan pola interaksi antara guru dengan murid, 2.70 0.66
misalnya guru dengan kumpulan, guru dengan individu dan murid
dengan murid
Saya selalu mengaitkan pelajaran yang diajar dengan minat dan 2.60 0.75
pengalaman lalu murid
Saya selalu memberi galakan kepada murid Cina untuk 2.25 0.64
mengemukakan pendapat proses pengajaran dan pembelajaran
sedang berlangsung
Saya selalu memberi peluang kepada murid Cina untuk bertanya 2.00 0.65
jika mereka tidak faham apa yang saya sedang ajar
Saya membenarkan murid Cina menggunakan bahasa ibunda mereka 2.30 0.66
(selain bahasa Melayu) ketika pengajaran dan pembelajaran BM
sedang berlangsung
KESELURUHAN 2.35 0.64
* PETUNJUK:
1 Sangat Tidak Setuju (STS)
2 Tidak Setuju (TS)
3 Setuju (S)
4 Sangat Setuju (SS)

Berdasarkan Jadual 10 di atas, dapatan menunjukkan bahawa item saya kerap


menggunakan kaedah dan teknik yang pelbagai semasa mengajar mata pelajaran Bahasa
Melayu kepada murid-murid Cina memperoleh min skor tertinggi iaitu 2.75, sp = 0.72. Ini
diikuti dengan responden menyatakan saya selalu mengaitkan pelajaran yang diajar dengan
minat dan pengalaman lalu murid iaitu min 2.60, sp = 0.75 dan saya merancang dengan teliti
setiap aktiviti dan isi pelajaran yang hendak disampaikan kepada murid-murid bukan Melayu
iaitu min 2.55, sp = 0.55. Manakala item saya menghadapi masalah dalam menyampaikan isi
pelajaran Bahasa Melayu yang menarik dan sesuai kepada murid-murid Cina memperoleh min
skor terendah iaitu 1.90, sp = 0.45. Min keseluruhan bagi item-item pendekatan, kaedah dan
teknik ini adalah 2.35 dan sisihan piawai 0.64.
Manakala dapatan berkaitan pola interaksi pula, dalam jadual 10 di atas, responden
menyatakan bahawa saya mempelbagaikan pola interaksi antara guru dengan murid, misalnya
guru dengan kumpulan, guru dengan individu dan murid dengan murid memperoleh min 2.70,
sp = 0.66. Ini diikuti pula oleh item saya membenarkan murid menggunakan bahasa ibunda
mereka (selain bahasa Melayu) ketika pengajaran dan pembelajaran BM sedang berlangsung
iaitu min 2.30, sp = 0.66 dan saya selalu memberi galakan kepada murid bukan Melayu
untuk mengemukakan pendapat proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung
memperoleh min 2.25, sp = 0.64. Manakala item yang paling rendah iaitu saya selalu memberi
peluang kepada murid untuk bertanya jika mereka tidak faham apa yang saya sedang ajar iaitu
min 2.00, sp = 0.65.

Jadual 11: Penggunaan Bahan Bantu Mengajar

10
 
Item Min Sisihan Piawai
Saya kerap menggunakan bahan bantu mengajar semasa 2.55 0.76
mengajar Bahasa Melayu.
Saya berupaya menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai 2.40 0.75
dengan kaedah dan teknik pengajaran.
Saya berupaya merangsang minat yang tinggi dalam diri murid 2.10 0.79
Cina dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai.
Saya selalu mempelbagaikan bahan bantu mengajar dalam 2.55 0.69
pengajaran saya.
Penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses 2.15 0.75
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu
membebankan saya
Saya kerap menggunakan buku teks dalam pengajaran saya 2.15 0.75
Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik jika 1.65 0.59
saya menggunakan bahan bantu mengajar.
KESELURUHAN 2.22 0.70

* PETUNJUK:
1 = Sangat Tidak Setuju (STS)
2 = Tidak Setuju (TS)
3 = Setuju (S)
4 = Sangat Setuju (SS)

Berdasarkan jadual 11 di atas, walau pun pengajaran yang berfokus kepada kepelbagaian
pendekatan, kaedah dan teknik perlu dibantu dengan penggunaan bahan bantu mengajar.
Dapatan berkaitan penggunaan bahan bantu mengajar, menunjukkan bahawa item saya kerap
menggunakan bahan bantu mengajar Bahasa Melayu dan item saya selalu mempelbagaikan
bahan bantu mengajar dalam pengajaran saya memperoleh min yang tertinggi iaitu masing-
masing 2.55 dan sisihan piawai 0.76 dan 0.69. Ini diikuti dengan item saya berupaya
menyediakan bahan bantu mengajar yamg sesuai dengan kaedah dan teknik pengajaran
memperoleh min 2.40, sp = 0.75. Manakala item proses pengajaran dan pembelajaran menjadi
lebih menarik jika saya menggunakan bahan bantu mengajar memperoleh min yang terendah
iaitu 1.65, sp = 0.59. Jelas menunjukkan bahawa kebanyakan guru mempunyai iltizam dalam
membantu murid-muridnya dalam pembelajaran. Ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap
pencapaian murid-muridnya.

Masalah Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid-Murid Cina

Demografi Murid

Jadual 12: Jantina Responden


Jantina Bilangan Peratus
Lelaki 125 42
Perempuan 175 58

11
 
Jumlah 300 100

Beberapa perkara dikenal pasti untuk mendapatkan gambaran tentang murid Cina
tingkatan dua yang menjadi responden kajian ini. Jumlah responden lelaki adalah seramai 125
orang (42%), manakala perempuan pula ialah 175 orang (58%). (Rujuk Jadual 12)
Jadual 13 : Pekerjaan Ibu Bapa/Penjaga Responden

Pekerjaan Bilangan Peratus


Kakitangan kerajaan 42 14
Kakitangan swasta 126 42
Berniaga 78 26
Lain-lain 54 18
JUMLAH 300 100

Berdasarkan jadual 13 di atas, dari segi pekerjaan ibu bapa atau penjaga responden
seramai 126 orang (42%) bekerja sebagai kakitangan swasta, 78 orang (26%) sebagai peniaga,
54 orang (18%) adalah kakitangan kerajaan dan pekerjaan-pekerjaan lain ialah 42 orang (14%).

Jadual 14: Bahasa Utama Responden Bertutur dengan Ahli Keluarga


Bahasa utama Bilangan Peratus
Bahasa Cina 270 90
Bahasa Inggeris 30 10
JUMLAH 300 100

Merujuk jadual 14 di atas, bahasa utama yang digunakan oleh responden untuk bertutur
dengan ahli keluarga didapati bahasa Cina adalah bahasa pertuturan utama bagi sebahagian besar
responden iaitu seramai 270 orang (90%), manakala bahasa Inggeris menjadi bahasa pertuturan
utama dengan ahli keluarga bagi 30 orang responden (10%).

Jadual 15: Penguasaan Bahasa Melayu Ahli Keluarga Responden


Penguasaan Bahasa Melayu Bilangan Peratus
Tidak baik 70 23
Kurang baik 225 75
Baik 5 2
JUMLAH 300 100

Berkaitan dengan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan ahli keluarga responden
didapati 225 orang (75%) menyatakan bahawa penguasaan bahasa Melayu ahli keluarga mereka

12
 
kurang baik. Terdapat 70 orang (23%) menyatakan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan
ahli keluarga mereka tidak baik, manakala 5 orang (2%) saja yang menyatakan penguasaan
bahasa Melayu ahli keluarga mereka baik. (Rujuk Jadual 15)

Sikap dan Minat Murid Cina Terhadap Pembelajaran Bahasa Melayu

Jadual 16: Sikap dan Minat Responden


Item Min Sisihan Piawai
Saya belajar BM kerana ia mata pelajaran yang 3.18 0.56
diwajibkan
Pelajaran BM amat mengelirukan dan susah untuk 3.12 0.56
dipelajari
Saya menghadapi masalah dalam pembelajaran BM. 3.10 0.46
Saya tidak boleh menulis tulisan BM. 1.90 0.71
Keseluruhan 2.48 0.58

*PETUNJUK :
1 Sangat Tidak Setuju (STS)
2 Tidak Setuju (TS)
3 Setuju (S)
4 Sangat Setuju (SS)

Merujuk Jadual 16 di atas, iaitu berkaitan dengan sikap dan minat murid Cina terhadap
pembelajaran Bahasa Melayu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa item saya belajar Bahasa
Melayu kerana ia mata pelajaran yang diwajibkan memperoleh min skor yang tertinggi iaitu
3.18, sp = 0.56. Ini diikuti oleh pelajaran BM amat mengelirukan dan susah untuk dipelajari
iaitu min 3.12, sp = 0.56 dan saya menghadapi masalah dalam pembelajaran BM iaitu min 3.10,
sp = 0.46. Manakala item saya tidak boleh menulis tulisan Bahasa Melayu memperoleh min skor
terendah iaitu 1.90, sp = 0.71. Min keseluruhan bagi item-item dalam aspek sikap dan minat
responden ini adalah 2.48, sp = 0.58.

Faktor Keluarga dan Guru yang Mempengaruhi Sikap dan Minat Murid Cina

Jadual 17: Faktor Keluarga yang Mempengaruhi Sikap dan Minat Responden
Item Min Sisihan Piawai
Ibu bapa saya menghantar saya ke kelas tambahan atau 2.64 0.78
kelas tuisyen Bahasa Melayu.
Ibu bapa saya mengambil berat tentang prestasi 2.54 0.71
pelajaran Bahasa Melayu saya.

13
 
Ibu bapa saya menggalakkan saya membaca bahan- 2.48 0.54
bahan bacaan dalam Bahasa Melayu
Ibu bapa dan keluarga saya selalu bertutur dalam 2.00 0.57
Bahasa Melayu.
Keseluruhan 2.36 0.62

*PETUNJUK :
1 Sangat Tidak Setuju (STS)
2 Tidak Setuju (TS)
3 Setuju (S)
4 Sangat Setuju (SS)

Berdasarkan Jadual 17 di atas, dapatan kajian berkaitan dengan faktor keluarga yang
mempengaruhi sikap dan minat murid-murid Cina terhadap pembelajaran Bahasa Melayu
memperlihatkan bahawa min tertinggi iaitu 2.64, sp = 0.78 adalah bagi item ibu bapa saya
menghantar saya ke kelas tambahan atau kelas tuisyen Bahasa Melayu. Manakala min kedua
tinggi pula ialah 2.54, sp = 0.71 iaitu bagi item ibu bapa mengambil berat tentang prestasi
pelajaran Bahasa Melayu saya. Manakala min yang terendah pula adalah 2.00, sp = 0.57 iaitu
item bagi ibu bapa dan keluarga saya selalu bertutur dalam bahasa Melayu.

Jadual 18: Persepsi Murid Terhadap Guru


Item Min Sisihan Piawai
Guru Bahasa Melayu saya akan menegur saya 2.64 0.60
sekiranya saya tidak menyiapkan latihan-latihan yang
diberikan.
Guru Bahasa Melayu saya memberikan latihan atau 2.54 0.58
kerja rumah yang mencukupi untuk mempertingkat
pencapaian saya dalam Bahasa Melayu.
Pelajaran Bahasa Melayu yang disampaikan oleh guru 2.08 0.78
Bahasa Melayu saya sangat menyeronokkan dan tidak
membosankan
Keseluruhan 2.36 0.61

*PETUNJUK :
1 Sangat Tidak Setuju (STS)
2 Tidak Setuju (TS)
3 Setuju (S)
4 Sangat Setuju (SS)
Merujuk Jadual 18 di atas, dari segi faktor guru yang mempengaruhi sikap dan minat
murid Cina pembelajaran Bahasa Melayu dapatan kajian menunjukkan bahawa min tertinggi
iaitu 2.64, sp = 0.60 adalah bagi item guru Bahasa Melayu saya akan menegur saya sekiranya
saya tidak menyiapkan latihan-latihan yang diberikan. Min kedua tertinggi iaitu 2.54, sp = 0.58
adalah bagi item guru Bahasa Melayu saya memberikan latihan atau kerja rumah yang
mencukupi untuk mempertingkat pencapaian saya dalam Bahasa Melayu. Manakala min
terendah pula adalah 2.08, sp = 0.78 iaitu bagi item pelajaran Bahasa Melayu yang disampaikan
oleh guru Bahasa Melayu saya sangat menyeronokkan dan tidak membosankan.

14
 
Persepsi Murid Cina dalam Pembelajaran Bahasa Melayu Terhadap Faktor Penggunaan
Bahan Bantu Mengajar dan Pihak Pengurusan Sekolah

Jadual 19: Persepsi Murid Terhadap Faktor Penggunaan Bahan Bantu Mengajar
Item Min Sisihan Piawai
Saya akan menumpukan perhatian yang lebih terhadap 3.40 0.57
pengajaran guru sekiranya guru menggunakan bahan
bantu mengajar
Penggunaan bahan-bahan tambahan atau selain buku 3.34 0.63
teks menjadikan pengajaran guru menarik
Guru Bahasa Melayu saya kerap menggunakan bahan 2.08 0.44
bantu mengajar dalam pengajaran
Keseluruhan 2.79 0.54

*PETUNJUK :
1 Sangat Tidak Setuju (STS)
2 Tidak Setuju (TS)
3 Setuju (S)
4 Sangat Setuju (SS)

Berkaitan dengan faktor bahan bantu mengajar yang mempengaruhi sikap dan minat
murid Cina terhadap pembelajaran Bahasa Melayu. Dapatan menunjukkan bahawa item saya
akan menumpukan perhatian yang lebih terhadap pengajaran guru sekiranya guru
menggunakan bahan bantu mengajar memperoleh min tertinggi iaitu 3.40, sp = 0.57. Ini diikuti
dengan item penggunaan bahan-bahan tambahan atau selain buku teks menjadikan pengajaran
guru menarik memperoleh min 3.34, sp = 0.63. Manakala item guru Bahasa Melayu saya kerap
menggunakan bahan bantu mengajar dalam pengajarannya memperoleh min terendah iaitu
2.08, sp = 0.44.

Jadual 20: Persepsi Murid Terhadap Faktor Pihak Pengurusan Sekolah

Item Min Sisihan Piawai


Pengetua atau pihak pentadbir sekolah saya mengambil 2.58 0.67
berat tentang pencapaian Bahasa Melayu murid-murid
Cina
Perpustakaan sekolah saya mempunyai buku dan bahan 2.34 0.56
bacaan lain dalam bahasa Melayu yang lengkap

15
 
Pihak sekolah pernah mengadakan pertemuan dengan 1.56 0.67
ibu bapa saya untuk membincangkan pencapaian
Bahasa Melayu saya
Keseluruhan 2.06 0.63

*PETUNJUK :
1 Sangat Tidak Setuju (STS)
2 Tidak Setuju (TS)
3 Setuju (S)
4 Sangat Setuju (SS)

Dalam jadual 20 pula berkaitan tentang faktor pengurusan sekolah pula, didapati min
tertinggi adalah 2.58, sp = 0.67 iaitu bagi item pengetua atau pihak pentadbir sekolah saya
mengambil berat tentang pencapaian Bahasa Melayu murid-murid Cina. Ini diikuti oleh item
perpustakaan sekolah saya mempunyai buku dan bahan bacaan lain dalam bahasa Melayu yang
lengkap iaitu min 2.34, sp = 0.56. Manakala min yang terendah adalah 1.56, sp = 0.67 iaitu bagi
item pihak sekolah pernah mengadakan pertemuan dengan ibu bapa saya untuk membincangkan
pencapaian Bahasa Melayu saya.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa murid-murid ini amat memerlukan bantuan dan
sokongan serta motivasi yang tinggi daripada pihak guru dan pentadbir sekolah. Inilah amanah
dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh guru dan pentadbir sekolah.

Cadangan

Berikut adalah antara beberapa cadangan yang dikemukakan.


1. Guru-guru yang tidak berminat, bosan dan rasa terbeban mengajar perlu diberikan kursus
motivasi beberapa kali dalam masa perkhidmatan supaya guru-guru sentiasa bersemangat
dan mempunyai sikap yang positif terhadap tugas-tugas mereka. Sebagai seorang manusia
biasa, guru juga kadang kala semangatnya akan luntur atau berkurangan disebabkan oleh
pelbagai faktor luaran ataupun dalaman. Dengan adanya motivasi yang disediakan khas
untuk guru-guru, maka guru-guru akan kembali bersemangat, berminat untuk mengajar
bersungguh-sungguh dan seterusnya dapat menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan
dengan sepenuhnya.
2. Guru-guru Bahasa Melayu yang bermasalah untuk menyampaikan isi pelajaran yang
menarik dan sesuai kepada murid-murid Cina perlulah diberi galakan untuk menghadiri
kursus-kursus dalam perkhidmatan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia. Kursus-kursus berkaitan dengan pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran perlu
diadakan selalu sama ada kursus tersebut dalam jangka masa pendek ataupun jangka
panjang. Selain itu, guru-guru juga hendaklah kreatif dan inovatif dalam menyediakan
bahan bantu mengajar, seperti lebih kerap menggunakan bahan-bahan autentik, pendekatan,
kaedah dan teknik yang dapat melibatkan murid-murid secara aktif dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Guru Bahasa Melayu juga perlu segera menyedari tahap

16
 
kemampuan penguasaan bahasa murid-murid mereka. Dengan cara ini, guru akan dapat
mencari pendekatan pengajaran yang sesuai untuk murid mereka.
4. Guru-guru juga mestilah melengkap diri dengan pelbagai bentuk ilmu pengetahuan
berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Kemampuan guru
sendiri dalam bahasa Melayu hendaklah ditingkatkan terutamanya dari segi tatabahasa,
sintaksis, ejaan dan sebutan. Guru perlu menyedari hakikat bahawa matlamat akhir
pengajaran mereka adalah untuk membakukan penggunaan bahasa Melayu kepada seluruh
rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, adat resam dan kebudayaan.
5. Masalah murid-murid Cina yang tidak aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu dapat diatasi
jika pihak guru terutamanya guru kanan mata pelajaran dan guru persatuan Bahasa Melayu
berusaha untuk melibatkan seberapa ramai murid Cina dalam aktiviti-aktiviti persatuan
agar dapat membantu meningkatkan penguasaan dan kemahiran bahasa Melayu mereka.
Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan Bahasa Melayu perlulah aktiviti yang
menarik minat dan bersesuaian dengan peredaran masa dan umur murid. Aktiviti yang
dijalankan perlu mempunyai objektif yang jelas dan tepat serta dapat mencungkil bakat
serta kebolehan murid-murid. Dalam hal ini juga, pihak pentadbir sekolah perlulah memilih
guru-guru Bahasa Melayu yang benar-benar aktif agar persatuan Bahasa Melayu.
6. Masalah ibu bapa atau penjaga yang tidak mengambil berat pembelajaran Bahasa Melayu
anak-anak mereka dapat diatasi jika pihak sekolah sering mengadakan pertemuan dengan
ibu bapa atau penjaga murid-murid. Dalam pertemuan tersebut pihak sekolah boleh
bertukar-tukar pendapat dan memberi cadangan serta panduan kepada ibu bapa atau
penjaga bagaimana untuk mempertingkat pencapaian Bahasa Melayu anak-anak mereka.
Implikasi Kajian
Pengajaran merupakan satu bentuk yang bersistematik. Guru perlu mahir dalam
mengemblengkan semua aspek pedagogi dalam membantu peningkatan pencapaian murid-
murid. Berkaitan pendekatan, kaedah dan teknik ini, menunjukkan bahawa sebahagian besar
guru Bahasa Melayu di sekolah-sekolah yang dikaji menghadapi masalah untuk menyampaikan
isi pelajaran Bahasa Melayu yang menarik dan sesuai kepada murid-murid Cina. Ini
berkemungkinan guru-guru Bahasa Melayu di sekolah tersebut yang masih tidak mengetahui
untuk menyampaikan pengajaran mereka dengan cara yang sesuai dan dapat menarik perhatian
murid-murid Cina untuk mempelajari Bahasa Melayu. Para guru disarankan berusaha untuk
memenuhi kehendak murid-murid mereka khususnya dalam menarik minat mereka untuk
belajar.
Kaedah dan cara pengajaran yang tidak pelbagai mungkin akan menjadikan pengajaran
guru Bahasa Melayu hambar dan membosankan murid-murid. Apabila rasa bosan dan jemu
menguasai diri murid-murid maka sukarlah bagi mereka untuk memahami serta menguasai
pembelajaran Bahasa Melayu dan seterusnya akan timbul pelbagai masalah dalam pembelajaran
Bahasa Melayu.

Permasalahan penggunaan bahan bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran


Bahasa Melayu pula antaranya ialah guru Bahasa Melayu mempunyai beban yang amat berat.
Dengan itu mereka tidak mempunyai masa untuk menyediakan bahan bantu mengajar. Di

17
 
samping itu, penggunaan bahan bantu mengajar akan mengganggu masa kerana mereka khuatir
tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran. Akhirnya ialah guru-guru juga merasakan
penggunaan bahan bantu mengajar boleh menimbulkan kebisingan dan ini akan mengganggu
kelas-kelas yang lain.

Kesimpulan
Para guru Bahasa Melayu berjaya menunjukkan sikap yang positif dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu. Kajian mendapati kebanyakan guru Bahasa Melayu di sekolah
yang dikaji iaitu 55% yang berminat untuk mengajar Bahasa Melayu. Hanya sebahagian
daripada guru-guru tersebut iaitu 45% yang kurang dan tidak berminat untuk mengajar Bahasa
Melayu.
Tugas utama seorang guru adalah mengajar, mendidik dan menyampaikan ilmu kepada
murid-muridnya. Namun demikian, pemasalahan timbul apabila kadang kala tugas mengajar itu
menjadi terlalu membebankan. Terdapat 50% daripada guru-guru yang tersebut mengajar Bahasa
Melayu di samping dua mata pelajaran yang lain. Manakala 50% lagi guru Bahasa Melayu yang
mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu beserta satu mata pelajaran yang lain. Guru-guru ini
rasa terbeban di samping tugas-tugas sampingan pentadbiran. Mereka tidak dapat menumpukan
perhatian sepenuhnya terhadap pengajaran. Mereka juga terpaksa membuat persediaan mengajar
yang lebih banyak. Ini kerana objektif utama seseorang guru mengajar adalah penting untuk
menentukan hala tuju pengajarannya. Berdasarkan kajian menunjukkan bahawa guru Bahasa
Melayu mempunyai pelbagai objektif pengajaran dan ada kemungkinan guru-guru Bahasa
Melayu ini bermasalah untuk menentukan objektif pengajaran yang tepat dan bersesuaian.
Di samping itu, guru-guru Bahasa Melayu juga bermasalah untuk
mempelbagaikan pola interaksi antara guru dengan murid sewaktu proses pengajaran dan
pembelajaran sedang berlangsung. Dapatan menunjukkan bahawa hanya 30% guru Bahasa
Melayu yang mempelbagaikan pola interaksi sewaktu mengajar, contohnya interaksi antara guru
dengan individu, guru dengan kumpulan dan murid dengan murid. Akhirnya, 75% guru Bahasa
Melayu bermasalah untuk mempelbagaikan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa ada kemungkinan guru Bahasa
Melayu di sekolah-sekolah yang dikaji sukar untuk mempelbagai bahan bantu mengajar dalam
pengajaran mereka. Penggunaan bahan bantu mengajar yang sama sahaja sepanjang proses
pengajaran akan menjadikan pengajaran yang disampaikan oleh seseorang guru itu hambar dan
kurang mendapat perhatian murid-murid. Hal ini ditegaskan oleh Abdul Rasid Jamian dan
Arbaie Sujud (2001) bahawa penggunaan bahan pengajaran yang menarik dapat mempertingkat
motivasi murid-murid.
Jika diteliti berkenaan pesepsi murid-murid Cina tentang penguasaan bahasa Melayu
mereka, dapatan menunjukkan bahawa tidak ada ibu bapa dan keluarga murid-murid Cina yang
menggunakan bahasa Melayu di rumah. Kebanyakan ibu bapa dan keluarga murid-murid
tersebut menggunakan bahasa Cina atau bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pertuturan di
rumah. Oleh itu, murid-murid Cina ini hanya menggunakan bahasa Melayu sewaktu di sekolah
sahaja. Apabila balik ke rumah, mereka tidak lagi mempraktik dan menggunakan bahasa Melayu
yang mereka pelajari di sekolah. Hal ini berkemungkinan menyebabkan murid-murid Cina tidak

18
 
mahir menggunakan bahasa Melayu dan juga akan menyukarkan mereka untuk menguasai
bahasa Melayu dengan betul dan tepat. Masyarakat hari ini kurang peka dan sensitif dengan
penggunaan bahasa Melayu dalam pertuturan mereka.
Dari aspek sikap dan minat murid-murid Cina pula, masalah dikenal pasti dari sudut
sikap mereka yang belajar Bahasa Melayu hanya kerana mata pelajaran yang diwajibkan untuk
mereka belajar. Kajian mendapati 92% murid Cina mempelajari Bahasa Melayu kerana ia mata
pelajaran yang diwajibkan. Ini bermakna jika Bahasa Melayu tidak diwajibkan ada kemungkinan
mereka tidak mahu belajar Bahasa Melayu.
Selain itu, mereka bermasalah dalam pembelajaran Bahasa Melayu kerana mereka
merasakan Bahasa Melayu adalah mata pelajaran yang susah dan mengelirukan. Terdapat 90%
yang bersetuju bahawa mata pelajaran Bahasa Melayu amat mengelirukan dan susah untuk
dipelajari. Kekeliruan dan kesukaran mereka mempelajari Bahasa Melayu berkemungkinan
menyebabkan mereka bermasalah untuk belajar Bahasa Melayu dan seterusnya bersikap negatif
terhadap pembelajaran Bahasa Melayu. Seterusnya tidak menumpukan sepenuh perhatian semasa
guru Bahasa Melayu mengajar.

Dari segi sokongan keluarga pula, didapati bahawa faktor keluarga mempunyai pengaruh
yang lemah terhadap sikap dan minat mereka untuk mempelajari Bahasa Melayu. Namun begitu,
kajian menunjukkan bahawa terdapat juga ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat
tuisyen untuk memastikan anak-anak mereka lulus Bahasa Melayu dalam peperiksaan. Dan juga
ibu bapa mereka mengambil berat tentang prestasi pembelajaran Bahasa Melayu. Ini
kemungkinan kerana mereka mengetahui bahawa Bahasa Melayu adalah mata pelajaran lulus
dalam peperiksaan.
Begitu juga jika dilihat dari segi faktor guru iaitu menunjukkan bahawa sikap dan cara
guru Bahasa Melayu mengajar tidak menggunakan strategi yang pelbagai berkemungkinan
menyebabkan murid-murid Cina tidak berminat untuk belajar Bahasa Melayu. Ini dijelaskan
melalui dapatan 62% murid Cina menyatakan bahawa guru Bahasa Melayu mengajar mata
pelajaran Bahasa Melayu dengan tidak menggunakan kaedah dan cara yang pelbagai. Manakala
faktor sekolah pula menunjukkan bahawa secara keseluruhannya murid-murid Cina tidak setuju
bahawa faktor sekolah menyebabkan mereka bermasalah dan mempunyai sikap yang negatif
terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu. Namun begitu, kajian juga mendapati bahawa 88%
responden menyatakan tidak setuju bahawa guru-guru di sekolah mereka banyak menganjurkan
aktiviti melalui Persatuan Bahasa Melayu untuk mereka. Ini menunjukkan bahawa aktiviti-
aktiviti untuk merangsang minat dan sikap murid-murid Cina terhadap mata pelajaran Bahasa
Melayu mungkin masih kurang dijalankan di sekolah-sekolah yang dikaji.

19
 
Bibliografi

Abdul Hamid Mahmood. (1990). ‘‘Penguasaan Bahasa Malaysia baku di kalangan pelajar-
pelajar”, Jurnal Dewan Bahasa, 34: 4 April, hlm. 613-615.

Abdul Rasid Jamian dan Arbaie Sujud. (2001). Media pengajaran: Pengajaran bahasa dan
sastera. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Abdul Rasid Jamian dan Zulkifli Abu Zarin. (2008). “Penguasaan kemahiran membaca dan
menulis dalam kalangan murid sekolah rendah.” Prosiding KONPEN 2008. 1-4 Jun.

Chew Fong Peng dan Lee Tan Luck. (2009). “Masalah pembelajaran bahasa Melayu di kalangan
pelajar Cina dan Melayu di Kuala Terenganu”. Kertas kerja 2nd International Conference
Issues in Language Teaching and Learning Amongst Non-Narative Speaker:Language
Competence and Performance, 2-3 Disember.

Mohd Majid Konting. (2005). Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Norsidah Ab. Hamid, Jamaludin Badushah, dan Fairose Sulaiman.(2010). “Kelemahan


tatabahasa pelajar Cina dalam penulisan karangan pada peringkat menengah rendah”.
Prosiding Seminar Antarabangsa Pendidik Bahasa Melayu, 12-18 Jun.

Nurul Huda Ong Abdullah. (2010). “Motivasi pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa
kedua dalam kalangan murid bukan Melayu.”Prosiding Seminar Antarabangsa Pendidik
Bahasa Melayu, 12-18 Jun.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2001). Kurikulum bersepadu sekolah menengah (KBSM).


Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zulkifley Hamid. (1996). Bahasa, konsep, fungsi dan penguasaannya oleh penutur. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

20
 

You might also like