You are on page 1of 13

1

Pengorbanan Wanita Dalam Kesultanan Melayu Melaka, Rela Atau Terpaksa?

Dr Haryati Hasan
Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjung Malim Perak
(haryatie@fsk.upsi.edu.my)
05-4505116

Abstrak

Sejarah Melayu telah menceritakan banyak riwayat tentang wanita dalam kalangan keluarga diraja atau
golongan bangsawan. Kerapkali ia memberi gambaran yang sultan sentiasa menjadikan kaum wanita
sebagai alat, gundik atau perempuan simpanan. Watak wanita hanya dihargai oleh raja sebagai barang
mainan, atau alat pemuas nafsu sahaja. Selain itu, Sejarah Melayu turut menggambarkan wanita sebagai
berperanan mengeratkan hubungan diplomatik antara negara hasil daripada perkahwinan. Wanita pada
masa itu juga berperanan sebagai hadiah untuk mengenang jasa seseorang. Jadi, boleh dikatakan kaum
wanita di Melaka dianaktirikan dalam semua aspek. Kertas kerja ini, cuba merungkai terhadap persoalan
berhubung dengan taraf dan kedudukan beberapa orang wanita dalam kalangan golongan bangsawan
antaranya Tun Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah. Mereka menjadi idola pada masa itu sebagai simbol
keteguhan cinta, pendirian dan pengorbanan. Mereka juga dianggap penting dalam mempengaruhi
kestabilan, ketenteraman dan keamanan dalam Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke16. Namun,
bahagiakah mereka dengan pengorbanan tersebut atau derita sengsara? Pengorbanan secara rela tapi
terpaksa itu, mewarnai imej wanita bangsawan pada zaman tersebut demi mempertahan keutuhan dan
keharmonian sebuah negara. Mereka boleh diibaratkan seperti “lilin yang membakar diri sendiri demi
menerangi orang lain”.

Wanita, pengorbanan, Melaka


2

Pengenalan

Struktur masyarakat Melayu tradisional mempunyai susun lapis tertentu. Gullick,


mengkelaskannya kepada empat golongan.1 Pertama, iaitu pemerintah dan kerabat Diraja.
Golongan ini terdiri daripada raja yang dikelilingi oleh kerabat diraja, permaisuri serta putera-
puteri raja. Kuasa memerintah adalah terletak di bawah baginda. Golongan kedua, para pentadbir
daripada kalangan pembesar yang menduduki kelompok bangsawan Melayu. Mereka terdiri
daripada pembesar dan pegawai tadbir seperti Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari,
Temenggung dan Syahbandar. Golongan ketiga ialah rakyat jelata yang merdeka. Golongan ini
terdiri daripada pedagang, tukang-tukang mahir, petani dan juga saudagar. Akhirnya, golongan
hamba yang merupakan golongan terakhir dalam susun lapis masyarakat Melayu. Mereka terdiri
daripada hamba raja, hamba berhutang dan hamba abdi. Mereka mempunyai kedudukan yang
paling bawah dalam susun lapis masyarakat Melayu.

Berdasarkan kepada susun lapis masyarakat Melayu ini, wanita menduduki setiap
peringkat golongan tersebut. Daripada empat golongan ini wanita Melayu boleh dibahagikan
kepada dua kategori iaitu golongan atasan (bangsawan) dan golongan bawahan. Setiap golongan
ini memainkan peranan yang berbeza dan tersendiri dalam masyarakat Melayu. Dalam golongan
pertama misalnya, mereka berperanan untuk melahirkan bakal pengganti raja. Tradisi ini
menentukan bahawa permaisuri raja mestilah berdarah bangsawan. Anak yang lahir daripada
perkahwinan ini dinamakan anak gahara dan kalau lelaki ia berhak menaiki takhta kerajaan.

Selain itu, wanita Melayu juga pernah menduduki kedudukan yang tertinggi dalam
golongan ini sebagai ketua kerajaan atau sultan misalnya Cik Siti Wan Kembang yang pernah
memerintah Kelantan.2 Dalam golongan bangsawan juga, wanita Melayu yang tergolong dalam
golongan ini terdiri daripada isteri dan anak perempuan pembesar. Mereka tidak mempunyai
sebarang pengaruh politik dan kuasa. Namun begitu, mereka daripada golongan ini meningkat

1
J.M. Gullick, Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, 1970, hlm. 166.

2
Alias Mohamad, Gerakan Sosial & Politik Kelantan, Insular Publishing House Sdn. Bhd., Kuala Lumpur,
1984, hlm. 12.
3

status sosial kepada golongan pertama selepas berkahwin dengan sultan seperti Tun Fatimah dan
Tun Teja. Wanita golongan bawahan pula, bekerja di istana terutama menjadi dayang dan
gundik.3

Kertas kerja ini membincangkan mengenai peranan beberapa orang wanita daripada
golongan bangsawan dalam Kesultanan Melayu Melaka. Sumber pensejarahan Melayu yang
menjadi rujukan utama iaitu Sejarah Melayu4. Perbincangan menyingkap mengenai
latarbelakang wanita berkenaan dan mengapakah mereka dikatakan berperanan penting di
sebalik kemelut politik pada abad ke 16. Gambaran pengorbanan wanita dalam Kesultanan
Melayu Melaka dapat diperhatikan dengan lebih jelas dengan memperkatakan mengenai Tun
Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah. Mereka menjadi idola pada masa itu sebagai simbol
keteguhan cinta, pendirian dan pengorbanan. Mereka juga dianggap penting dalam
mempengaruhi kestabilan, ketenteraman dan keamanan dalam Kesultanan Melayu Melaka pada
abad ke 16. Namun, bahagiakah mereka dengan pengorbanan tersebut atau derita sengsara?.
Persoalan ini akan cuba dirungkaikan di dalam kertas kerja ini dan semoga tulisan ini mampu
memberikan gambaran umum tentang peri pentingnya peranan wanita dalam politik istana pada
zaman tersebut.

3
J.M. Gullick, hlm.165-166.

4
Terdapat 32 naskah atau versi Sejarah Melayu yang berbeza-beza di antara satu sama lain yang tersimpan
di perpustakaan di seluruh dunia, tetapi mengikut sarjana Inggeris R.O. Winstedt, naskah atau MS. Raffles No. 18
adalah yang tertua. Sila lihat, Cheah Boon Kheng, ‘Sejarah Melayu: The Malay Annals’, Journal of the Malayan
Branch of the Royal Asiatic Society, 17/3, 2009, hlm. vii. Analisis untuk artikel ini adalah daripada versi Sejarah
Melayu yang diusahakan oleh W.G. Shellabear.
4

Wanita dan pengorbanan dalam Kesultanan Melayu Melaka

Secara umum dapat dikatakan bahawa seseorang individu itu mempunyai berbagai-bagai peranan
yang juga dipanggil ‘role set’. Peranan wanita dalam masyarakat yang dianggotainya,
bergantung kepada statusnya dalam masyarakat tersebut. Dalam masyarakat tradisional peranan
wanita tidak begitu penting. Penulisan di dalam teks Pensejarahan Melayu, 5 misalnya
menganggap wanita sebagai kaum yang lemah, menjadi mangsa kepentingan diri orang lain,
mempunyai kedudukan sosial yang rendah di dalam masyarakat dan tidak diberi peluang untuk
menentukan corak nasib mereka. Salah satu sebabnya keadaan ini berlaku kerana sistem
penghidupan masyarakat pada masa itu yang lebih menuntut kepada kekuatan fizikal dan dalam
hal ini sudah tentulah kaum lelaki mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan.6

a- Wanita sebagai alat kepentingan politik

Sejarah Melayu telah menceritakan banyak riwayat tentang wanita daripada keluarga diraja atau
golongan bangsawan. Kerap kali ia membawa gambaran yang sultan sentiasa menjadikan kaum
wanita sebagai alat, gundik atau perempuan simpanan. Tun Kudu, misalnya dijadikan ‘alat’
untuk kepentingan politik. Beliau merupakan anak kepada Bendahara Seri Wak Raja dan
permaisuri kepada sultan Muzaffar Syah yang memerintah Melaka (1446-1459). Tanpa mengira
hati dan perasaan Tun Kudu, Sultan Muzzafar Syah dengan tidak teragak-agak menceraikannya
untuk diperisterikan oleh Bendahara Seri Nara Diraja. Baginda berbuat begitu untuk
mendamaikan Bendahara tersebut dengan Paduka Raja Tun Perak, saudara Tun Kudu. Tindakan
baginda itu merupakan satu tamparan hebat kepada kaum wanita. Dalam kes ini Tun Kudu bukan
sahaja turun darjatnya (daripada isteri seorang raja kepada isteri pembesar) tetapi terpaksa
menjadi isteri kepada seorang suami yang sudah lanjut usianya.7

5
Teks pensejarahan Melayu seperti Hikayat Acheh, Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu, Salahsilah
Melayu dan Bugis serta Hikayat Sri Kelantan dan teks Pensejarahan Melayu yang lain, menceritakan bahawa
kedudukan wanita Melayu dalam masyarakat adalah rendah berbanding dengan kaum lelaki dan sering
dipermainkan.

6
Haron Daud, Sejarah Melayu Satu Kajian daripada Aspek Pensejarahan Budaya, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 1989, hlm. 67.
7

Ibid.
5

Menurut Sejarah Melayu, edisi Shellabear, menyifatkannya sebagai “terlalu baik


rupanya, tetapi matanya ada juling sedikit”, telah diberikan sebagai hadiah untuk menyelesaikan
krisis politik akibat perebutan kuasa antara Tun Ali8 dengan Tun Perak (abang Tun Kudu ).9 Seri
Nara Diraja telah dijadikan Bendahara selepas kemangkatan Bendahara Seri Wak Raja, tetapi ia
dan Paduka Raja tidak dapat bermaufakat. Sultan telah mencadangkan Seri Nara Diraja bersara
supaya Paduka Raja dilantik menjadi Bendahara dengan alasan sudah tua dan ia akan dibenarkan
beristeri dengan seorang gundik sultan. Seri Nara sanggup bersara tetapi dengan syarat Tun
Kudu menjadi isterinya. Sultan terus menceraikan Tun Kudu. Ini telah menyelesaikan krisis
politik di Melaka.10 Baginda kemudiannya telah melantik Tun Perak sebagai Bendahara.

Demikianlah dengan satu tindakan, Tun Perak telah mendapat kuasa di Melaka dan
menjadikan orang yang ditentangnya sebagai sahabat dengan menggunakan hubungan
keluarganya. Kerana tindakan tersebut, golongan yang menyokong Tun Ali pun menyokong Tun
Perak. Ini bermakna semua golongan di Melaka sekarang telah menyokongnya dan dua sumber
kekuasaan sudah berada di dalam tangangannya.

Dalam hal ini pengarang Sejarah Melayu tidak pula memberi tahu kita tentang apakah
pendapat Tun Kudu, yang telah berkorban itu. Namun begitu, saya mentafsirkan Tun Kudu
bersetuju mengorbankan dirinya supaya abangnya dapat dilantik sebagai Bendahara. Beliau
boleh diibaratkan seperti lilin yang membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain.
Seandainya ia bebas bersuara dan bertindak, mungkinkah ia akan menolak kerana ia mengalami
kejatuhan taraf sosial, daripada isteri seorang sultan yakni sebagai raja permaisuri kepada isteri
seorang pembesar yang telah tua?. Inilah nasib dan kedudukan wanita di Melaka. Bagi Cheah

Tun Ali atau Seri Nara Diraja merupakan bapa saudara Sultan Muzaffar Syah. Beliau merupakan orang
yang bertanggungjawab meletakkan baginda di atas takhta pada 1446. Raja Mohd. Affandi, Tokoh-Tokoh Melayu
yang Agung dalam Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1982, hlm. 51.

9
Ibid. Tun Perak atau Bendahara Paduka Raja merupakan abang kepada Tun Kudu. Beliau berkhidmat
dengan cemerlang sebagai Bendahara selama kira-kira 50 tahun di bawah empat orang Sultan Melaka bermula dari
Sultan Muzaffar Syah (1446-1459), Sultan Mansur Syah (1459-1477), Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-1488)
dan awal pemerintahan Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Syah (1488-1511). Di bawah pimpinan beliau,
Kerajaan Melaka telah mencapai zaman keemasan.

10
Ibid., hlm. 55.
6

Boon Kheng pula beliau berpendapat “Mungkin juga intrik politik di belakang tirai di istana
berlaku sehingga akhirnya Tun Kudu diperalatkan untuk memenuhi kehendak keluarga dan hati
kaum lelaki”.11

b- Wanita sebagai alat menebus kesalahan

Tun Teja ialah anak Bendahara Pahang Seri Amar Bangsa Diraja dan merupakan tunangan
kepada Sultan Pahang, Sultan Abdul Jalil.12 Beliau menjadi mangsa kerakusan Sultan Mahmud
Syah yang ingin memiliki isteri yang cantik. Justeru itu, dalam usaha mendapatkan Tun Teja
baginda telah menawarkan hadiah lumayan kepada sesiapa yang berjaya membawa lari Tun
Teja. Maka titah baginda, “Barang siapa membawa anak Bendahara Pahang itu ke mari, apa
yang dikehendakinya kuanugerahkan akan dia. Jikalau ia hendakkan sekerat kota dengan
kerajaan sekalipun kita anugerahkan.”13

Hang Nadim14 yang ingin menebus kesalahannya terhadap sultan telah menerima
tanggungjawab untuk melarikan Tun Teja. Di Pahang, beliau telah mengupah seorang pelulut 15
supaya memujuk Tun Teja berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah. Pelulut memujuk Tun Teja
dengan kata-kata yang manis-manis.

11
Cheah Boon Kheng, ‘Di Belakang Tabir: Tinjauan Sejarah Tentang Peranan Wanita Melayu dalam
Politik Istana’, dalam Badriyah Haji Salleh dan Tan Liok EE, Alam Pensejarahan: Dari Pelbagai Perspektif, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1997, hlm. 114.

12
W.G., Shellabear, Sejarah Melayu, Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1975, hlm. 167.

13
Muhammad Haji Salleh (Dikaji dan diperkenalkan), Sulalat al-Salatin ya’ni Perteturun Segala Raja-
Raja (Sejarah Melayu), Dewan Bahasa dan Pustaka dan Yayasan Karyawan, Kuala Lumpur, 2009, hlm. 181.

14
Salah seorang pembesar Melaka yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan Bendahara Seri
Maharaja dan merupakan menantu kepada Laksamana Hang Tuah. Ibid., hlm. 162.

15
Pekerjaan yang dilakukan oleh perempuan tua di kampung-kampung untuk membersihkan kulit anak-
anak gadis terutama yang akan berkahwin. Mustafa Mohammad Isa, Perwatakan dalam Sejarah Melayu, Greetings
Distributors, Kuala Lumpur, 1977, hlm. 22.
7

Sekarang pun ada hamba Raja Melaka di sini, Hang Nadim namanya, disuruh
baginda mengambil tuan, hendak pun disuruh baginda pinta benar kalau tiada
diberi oleh Raja Pahang. Sebab itulah maka disuruhnya curi pada Hang Nadim.
Jikalau tuan mau dibawa, dibawanya ke Melaka, nescaya diperisterikannya oleh
Raja Melaka karena baginda tiada beristeri. Tuanlah kelak jadi Raja Perempuan di
Melaka. Jikalau tuan kelak diperisteri oleh Raja Pahang bermadulah tuan dengan
Raja Perempuan Pahang. Jikalau tuan jadi isteri oleh Raja Melaka tiada dapat
tiada menyembah kelak Raja Perempuan Pahang.16

Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, Tun Teja merupakan seorang yang bermaruah tinggi
dan tidak gilakan pangkat. Beliau pernah menolak pinangan sultan Melaka, sebaliknya sanggup
menjadi isteri Megat Panji Alam, Terengganu kerana menyedari darjat dirinya yang tidak setara
dengan raja agung seperti Melaka. Beliau boleh disifatkan sebagai seorang wanita yang setia
kepada tunangnya. Ini dapat dilihat semasa seorang inang menyampaikan hasrat Hang Tuah 17
untuk ‘memperisterikan’ Tun Teja. Beliau begitu marah kepada inang tersebut sambil berkata;

Lihat si tua celaka ini! Pada bicaraku, tua jadi penawar, ini tua menjadi racun!
Benarkah engkau berani berkata-kata demikian? Ini bukan kata kau katakan
padaku. Orang tua demikian ini patut digocoh mulutnya dengan tempurung
berbulu!...kita sudah bertunang bukan dia tidak tahu. Sahaja ia ini berani.18

16
Muhammad Haji Salleh, hlm. 183.

17
Dalam Sejarah Melayu tidak menyebut Hang Tuah sebagai utusannya sebaliknya adalah Hang Nadim.

18
Kassim Ahmad (ed.), Hikayat Hang Tuah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1975, hlm. 204.
8

Tun Teja menolak permintaan tersebut atas rasa cintanya yang mendalam terhadap
tunangannya yakni sultan Pahang.19 Beliau tidak terpedaya dengan pujukan untuk menjadi raja
perempuan Melaka20. Walau pun tidak termakan pujukan, namun dengan tipu muslihat Hang
Nadim yang menggunakan ubat guna-guna Tun Teja akhirnya mengikut Hang Nadim ke Melaka.
Di sana, beliau telah berkahwin dengan Sultan Mahmud tanpa kerelaan hatinya.

Daripada peristiwa tersebut menunjukkan wanita Melayu pada zaman tersebut tidak ubah
seperti barang mainan yang boleh diperolehi dengan pelbagai cara termasuklah melalui tipu
muslihat. Kerelaan dan keizinan wanita bukanlah prasyarat untuk lelaki mendapatkan cinta
daripada wanita sebaliknya perasaan wanita diketepikan sama sekali. Wanita juga boleh
dijadikan bahan penebus kesalahan seseorang kepada rajanya.

c- Wanita sebagai alat pemuas nafsu

Lebih malang daripada itu wanita ‘dipaksa’ berkahwin untuk memuaskan nafsu lelaki. Selain
Tun Teja, isteri Tun Ali yakni Tun Fatimah turut menjadi mangsa kerakuhan sultan. Sultan
Mahmud Syah menggunakan kuasanya membunuh Tun Ali untuk merampas Tun Fatimah yang
sangat diminatinya. Sebelum itu baginda telah merampas Tun Teja daripada tunangnya Sultan
Abdul Jalal, Pahang.21 Tun Fatimah, merupakan anak kepada Bendahara Tun Mutahir yang amat
cantik rupa parasnya. Beliau kehilangan cinta suami, diselubungi perasaan dendam dan hidup
sengsara berendam air mata. Ini berlaku selepas ayahandanya dibunuh oleh Sultan Mahmud atas
fitnah bahawa Tun Mutahir ingin menggulingkannya. Keadaan ini bertambah buruk kerana
perasaan dendam dan kebuasan hawa nafsu Sultan Mahmud yang ingin beristerikan Tun
Fatimah, tetapi ditolak oleh Tun Mutahir. Tun Fatimah telah dikahwinkan dengan Tun Ali.

Maka Laksamana pun masuklah mengadap Sultan Mahmud; segala kata-kata Raja
Mendaliar itu semuanya dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mahmud.
Dalam Sejarah Melayu, tunang kepada Tun Teja adalah Sultan Pahang dan bukannya Megat Panji Alam,
19

Terengganu seperti yang disebutkan di dalam Hikayat Hang Tuah.

20
Jika beliau berkahwin dengan sultan Melaka, bererti beliau akan disembah oleh raja Perempuan Pahang
kerana Pahang berada di bawah jajahan Melaka.
21

Ibid.
9

Setelah Sultan Mahmud mendengar sembah Laksamana itu, kabullah pada hati
baginda, seperti orang mengantuk disorongi bantal; kerana baginda sedia menaruh
dendam akan Bendahara Seri Maharaja, sebab anaknya Tun Fatimah itu; seperti
kata Farsi: “Al mahabbat bain niyat, Wal ‘asyiq fikr niyat,” ertinya: “Yang kasih
itu antara tiada, dan berahi itu bicara tiada.” Maka Sultan Mahmud Syah pun
menyuruh memanggil Tun Sura diraja dan Tun Indera Segara; setelah keduanya
datang, maka dititahkan baginda membunuh Bendahara Seri Maharaja.22

Selepas Sultan Mahmud Syah telah membunuh Bendahara Tun Mutahir, Tun Ali dan dua
saudara lain, Tun Fatimah telah dijadikan isteri sultan. Penentangan Tun Fatimah terhadap Sultan
Mahmud dapat dilihat dalam keadaannya yang sentiasa bersedih hati kerana nasib buruk yang
berlaku terhadap keluarganya. Menurut Sejarah Melayu, “Telah Tun Fatimah jadi raja
perempuan di dalam negeri Melaka, maka ia pun sangat percintaannya akan ayahnya Bendahara
Seri Maharaja. Selama ia duduk dengan Sultan Mahmud Syah jangankan ia tertawa, tersenyum
pun tiada pernah.”23

Akhirnya, Sultan Mahmud Syah menyesal lalu turun takhta kerajaan memencilkan diri ke
hulu Melaka. Sungguhpun demikian, Tun Fatimah terus membantah dengan menggugurkan
kandungannya setiap kali ia hamil. “Adapun Tun Fatimah disebut orang raja perempuan besar,
tetapi apabila ia hamil dibuangnya.”24 Ia berhenti hanya apabila sultan berjanji sekiranya anak
yang nanti dilahirkan oleh Tun Fatimah itu laki-laki, akan dijadikan raja. Menurut Cheah Boon
Kheng,

Pada anggapan saya, Tun Fatimah merupakan watak yang berani menentang
seorang raja yang zalim dengan cara yang lemah lembut yang amat berkesan. Ada
penulis masa kini yang telah mengangkat Tun Fatimah sebagai serikandi kerana

22

A. Samad Ahmad (diselenggarakan), Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka dan
Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1986, hlm. 257.

23
W.G. Shellabear, hlm. 200.
24

Ibid., hlm. 201.


10

sanggup mengembleng tenaga bersama-sama Sultan Mahmud dalam perang gerila


untuk menentang musuh kerajaannya, iaitu Portugis, tetapi ini adalah hanya
rekaan sahaja kerana tiada terbukti dalam Sejarah Melayu.25

Tindakan beliau menggugurkan anak dalam kandungan semasa menjadi isteri Sultan
Mahmud menandakan satu perbuatan berani dan merupakan satu protes terhadap suami, juga
raja. Tindakan beliau itu tidak sia-sia kerana dengan itu dia dapat memastikan bakal Sultan
Melaka kelak adalah daripada darah dagingnya. Itu dipersetujui oleh Sultan Mahmud Syah
sebagai syarat agar Tun Fatimah tidak lagi menggugurkan anak mereka. Kenaikan Sultan
Alauddin Riayat Syah II,26 pengganti Sultan Mahmud Syah sebagai sultan Melaka di Kampar
adalah satu kejayaan besar Tun Fatimah kerana itu pernah ‘diperjuangkannya’. Akhirnya,
airmata dan dendam dapat membuahkan kejayaan buat wanita bangsawan ini.

Sejarah Melayu turut mencatat mengenai Puteri Gunung Ledang yang ingin
diperisterikan oleh Sultan Mahmud Syah (1488-1511). Menurut Muhammad Haji Salleh,
keinginan tersebut bukannya bertujuan untuk berkasih sayang, tetapi untuk mempamerkan
kelebihannya sebagai pemerintah kerana dapat memiliki Puteri Gunung Ledang yang menjadi
legenda kecantikan itu.27 Puteri Gunung Ledang28 adalah salah sebuah cerita yang simbolik
sahaja dan merupakan pengajaran moral tentang sifat Sultan Mahmud yang mempunyai nafsu
yang kuat. Menurut Muhammad Haji Salleh lagi, “Puteri itu menjelma sebagai alat untuk
mengkritik seorang raja yang tidak pandai mengurus nafsu atau mengawal diri.”29

25
Cheah Boon Kheng, ‘Di Belakang Tabir: Tinjauan Sejarah Tentang Peranan Wanita Melayu dalam
Politik Istana’, hlm. 115.

26
Raja Ali yang merupakan Raja Muda sejak tahun 1513, telah ditabalkan sebagai ganti ayahandanya
dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah II pada tahun 1528. Sila lihat, Mardiana Nordin, Politik Kerajaan
Johor 1718-1862, Yayasan Warisan Johor, Johor Bharu, 2008, hlm. 18.

27
Muhammad Haji Salleh, hlm. xxxvii.

28
Puteri Gunung Ledang menetapkan syarat-syarat perkahwinan yang tidak dapat ditunaikan oleh sultan.
Syarat-syarat itu ialah satu jambatan emas dan perak dibina dari Melaka ke Gunung Ledang, hati nyamuk tujuh
dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan, darah raja semangkuk dan
darah anaknya, Raja Ahmad semangkuk. Sebenarnya, kesemua dapat ditunaikan oleh sultan kecuali darah anak
kesayangannya. Jadi, hasrat baginda untuk meminang tidak diteruskan. A Samad Ahmad, hlm. 215.

29
Muhammad Haji Salleh, hlm. xxxvii.
11

Selain itu Sejarah Melayu menggambarkan puteri-puteri raja di istana sebagai berperanan
mengeratkan hubungan diplomatik antara negara hasil daripada perkahwinan. Sultan Mansur
Syah misalnya telah berkahwin dengan puteri Betara Majapahit iaitu Raden Galuh Candera
Kirana dan kemudian dengan Hang Li Po, Puteri Raja China. Akibatnya, Melaka telah menjadi
sahabat dengan Majapahit dan China. Hasil perkahwinan Sultan Mansur Syah dengan Puteri
Hang Li Po, lahirlah Paduka Mamat. 30 Namun, anak-anak raja yang beribukan Cina ini lebih
rendah kedudukan dan martabatnya daripada anak-anak raja lain. Menurut Sejarah Melayu lagi,
dalam keadaan tertentu wanita boleh dijadikan hadiah atau pemberian kepada sesuatu pihak
sebagai membalas jasa. Hakikat ini berlaku kepada Dang Bunga dan Dang Bibah. Mereka
dijadikan hadiah bersama barang-barang lain oleh Sultan Mansur Syah Melaka kepada
Makhdum Mua, Pasai kerana dapat menjawab satu persoalan agama.31

Sepanjang yang diperlihatkan di dalam Sejarah Melayu, tidak ada wanita yang berjuang
untuk menaikkan taraf mereka sendiri atau sekurang-kurangnya untuk menjamin kedudukan
mereka supaya tidak diperalatkan oleh kaum lelaki. Hal ini berlaku mungkin disebabkan adanya
ikatan nilai dan norma masyarakat yang begitu kuat sehingga menjadikan mereka berpuashati
dengan keadaan sosial yang wujud dewasa itu. Namun begitu, ini tidak bermakna keseluruhan
wanita yang diperkatakan di dalam teks tersebut lemah keperibadiannya. Tun Teja, Tun Kudu
dan Tun Fatimah ada kekuatannya yang tersendiri dalam memperjuangkan hak dan kedudukan
mereka.

Kesimpulan

30
Anak beliau ialah Paduka Seri Cina, ayah Paduka Ahmat dan datuk Paduka Isap. Mereka diberikan
gelaran Paduka, bukan raja sepertimana yang pernah dinikmati oleh putera-putera yang lain, terutama mereka yang
ada hubungan secara terus atau tidak dengan pembesar-pembesar Melaka ketika itu. Paduka juga tidak pernah diberi
peluang menikmati pemerintahan sebuah empayar. Mereka hanya dijadikan ‘raja’ sebuah daerah yang kecil seperti
Paduka Seri Cina menjadi ‘raja’ di Jeram, kawasan Selangor sekarang. Yusoff Iskandar, ‘Masyarakat Melaka 1400-
1511 T.M. dengan Tinjauan Khusus Mengenai Orang-Orang Asing’, dalam Malaysia: Sejarah dan Proses
Pembangunan, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, 1979, hlm. 48-49.

31
Haron Daud, hlm. 80.
12

Konklusinya, kaum wanita di Melaka dianaktirikan dalam semua aspek. Ini disebabkan dalam
masyarakat Melayu Melaka, taraf dan kedudukan rasmi wanita Melayu adalah lebih rendah
daripada lelaki. Kaum wanita dahulu tidak bebas dan sentiasa terkongkong oleh belenggu yang
terbentuk oleh nilai-nilai budaya, sosial dan agama. Taraf dan kedudukan mereka adalah seperti
pengikut yang sangat bergantung kepada kaum lelaki yang dianggap sebagai pelindung atau
“tuan” kepada mereka. Sekiranya kita merujuk taraf kaum wanita dalam kerajaan Melaka, seperti
yang digambarkan oleh Undang-Undang Melaka, taraf wanita adalah lebih rendah daripada
lelaki, misalnya, wanita tidak boleh menjadi saksi dalam hal-hal perniagaan, hutang-piutang dan
perkahwinan dan dalam perbicaraaan mahkamah pandangan saksi lelaki lebih berat daripada
saksi wanita.32 Jadi apakah ertinya pengorbanan jika tidak dihargai? Dan apakah berbaloi
mengorbankan kepentingan diri demi membahagiakan orang lain?. Namun, wanita berkenaan
mempunyai jawapannya atau barangkali tidak semua persoalan ada jawapannya.

Rujukan
A Samad Ahmad (diselenggarakan). 1986. Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Alias Mohamad. 1984. Gerakan Sosial & Politik Kelantan. Kuala Lumpur: Insular Publishing
House Sdn. Bhd.

Cheah Boon Kheng. 1997. ‘Di Belakang Tabir: Tinjauan Sejarah Tentang Peranan Wanita
Melayu dalam Politik Istana’ dalam Badriyah Haji Salleh dan Tan Liok EE, Alam Pensejarahan:
Dari Pelbagai Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Cheah Boon Kheng. 2009. ‘Sejarah Melayu: The Malay Annals’. Journal of the Malayan
Branch of the Royal Asiatic Society. 17/3.

Gullick, J.M. 1970. Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Haron Daud.1989. Sejarah Melayu Satu Kajian daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kassim Ahmad (ed.). 1975. Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

32

Sila lihat, Muhammad Yusoff Hashim, The Malay Sultanate of Malacca, Terj. Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur, 1992, hlm. 170-179.
13

Mardiana Nordin. 2008. Politik Kerajaan Johor 1718-1862. Johor Bharu: Yayasan Warisan
Johor.

Muhammad Haji Salleh (Dikaji dan diperkenalkan). 2009. Sulalat al-Salatin ya’ni Perteturun
Segala Raja-Raja (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Yayasan
Karyawan.

Muhammad Yusoff Hashim.1992. The Malay Sultanate of Malacca Terj. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Mustafa Mohammad Isa. 1977. Perwatakan dalam Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Greetings
Distributors.

Raja Mohd. Affandi. 1982. Tokoh-Tokoh Melayu yang Agung dalam Sejarah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shellabear, W.G. 1975. Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Yusoff Iskandar. 1979. ‘Masyarakat Melaka 1400-1511 T.M. dengan Tinjauan Khusus Mengenai
Orang-Orang Asing’ dalam Malaysia: Sejarah dan Proses Pembangunan. Kuala Lumpur:
Persatuan Sejarah Malaysia.

You might also like