You are on page 1of 3

NUR IZZAH FARHANA BINTI GAZALI

Pendidikan Inklusif (RBTS 3132)

RBT3
_______________________________________________________________________________
TUGASAN 3: PENULISAN AKADEMIK

1.0 Pengenalan

Program Pendidikan Inklusif (PPI) adalah satu program pendidikan untuk murid
berkeperluan khas yang dihadiri oleh murid berkeperluan khas bersama-sama dengan murid lain
dalam kelas yang sama di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan (Bahagian Pendidikan
Khas, 2013). Ketidakupayaan Murid Berkeperluan Khas (MBK) dapat diminimakan sekiranya MBK
diberi kepercayaan dan peluang pendidikan yang sama.

2.0 Konsep, Matlamat dan Dasar Pendidikan Inklusif di Malaysia

Pendidikan Inklusif menekankan konsep “Pendidikan Untuk Semua” iaitu setiap individu
berhak untuk memperoleh pendidikan yang sama rata termasuklah murid berkeperluan khas.
Menurut Norliah dan Mohd Hanafi (2016), PPI merupakan satu program yang ditawarkan kepada
MBK untuk belajar bersama-sama rakan mereka di dalam bilik darjah yang sama untuk menikmati
semua kemudahan belajar dalam keadaan normal tanpa mengira kaum, latar belakang, status
ekonomi dan ketidakupayaan. KPM juga telah menggariskan bahawa matlamat utama PPI adalah
untuk meningkatkan penyertaan dan memberi peluang kepada MBK mengikuti program akademik
dan bukan akademik bersama-sama murid di arus perdana (Bahagian Pendidikan Khas, 2013).

Secara umumnya, dasar PPI boleh dipecahkan kepada dua kelas utama iaitu dasar
antarabangsa dan dasar kebangsaan. Deklarasi antarabangsa iaitu Salamanca Statement and
Framework for Action Special Needs Education (UNESCO, 1994), mendukung prinsip pendidikan
untuk semua (Education for All) yang menyokong bahawa kanak-kanak berkeperluan khas
mempunyai hak mendapat pendidikan yang sama rata dengan rakan-rakan mereka dalam
Pendidikan Inklusif. Di Malaysia, terdapat beberapa dasar yang menitikberatkan isu berkenaan PPI.
Antaranya ialah Akta Orang Kurang Upaya 2008. Akta ini menerangkan bahawa orang kurang
upaya tidak boleh dipinggir mahupun dikecualikan dalam apa jua aspek dalam bidang pendidikan di
Malaysia. Akhir sekali adalah Dasar Pendidikan Wajib 2002. Dasar ini mewajibkan semua kanak-
kanak termasuk kanak-kanak berkeperluan khas mendapat pendidikan bermula dari peringkat
sekolah rendah (Bahagian Pendidikan Khas, 2013).

3.0 Pelaksanaan Pendidikan Inklusif

Pelaksanaan PPI di sekolah-sekolah mengambil kira beberapa aspek iaitu MBK hendaklah
melepasi tahap penilaian menggunakan instrumen yang ditetapkan oleh KPM dan umur MBK
hendaklah mengikuti kohort umur murid arus perdana atau tambah satu tahun daripada murid arus
perdana. Seterusnya, penempatan MBK adalah di saiz kelas arus perdana yang tidak melebihi 35
orang, MBK yang ditempatkan di PPI tidak melebihi 5 orang, MBK haruslah ditempatkan di kelas
yang setara dengan pencapaian mereka, kelas PPI hendaklah berada pada aras bawah bangunan
bagi memudahkan murid MBK yang berkerusi roda serta penempatan MBK di PPI perlu mendapat
kebenaran daripada ibu bapa secara bertulis.

4.0 Faktor Kritikal Yang Mempengaruhi Kejayaan Pendidikan Inklusif

Beberapa faktor kritikal yang mempengaruhi kejayaan PPI di sekolah telahpun dikenal pasti.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada keberkesanan pelaksanaan PPI ini ialah sokongan
daripada masyarakat khususnya ibu bapa. Menurut Teori Ekologi Bronfenbrenner, ibu bapa
merupakan mesosistem yang paling rapat dengan murid serta memberi pengaruh kepada murid
(Noriati et.al, 2017). Sentuhan emosi seperti motivasi adalah suatu keperluan untuk perkembangan
psikologi anak-anak inklusif ini. Apabila keperluan ini tidak dipenuhi, hal ini akan memberi impak
kepada pencapaian akademik MBK. Perkara ini turut disokong oleh M.Wati (2006), yang
menyatakan penglibatan ibu bapa dalam PPI dengan memberi motivasi kepada kanak-kanak
berkeperluan khas ini dapat menambahkan keyakinan kepada kanak-kanak tersebut (M.Wati,
2006). Hal ini dibuktikan dalam kajian Zulkifli et.al. (2011) menunjukkan sokongan ibu bapa
memberi 74.5% kesan ke atas pencapaian anak.

Selain itu, faktor kritikal yang seterusnya ialah perkhidmatan sokongan. Perkhidmatan
sokongan adalah bantuan yang diberikan kepada MBK supaya dapat mengurangkan impak
kesukaran persekitaran pembelajaran MBK dengan menyediakan perkhidmatan berkualiti,
menggalakkan kerjasama antara semua pihak dan menyediakan kemudahan yang boleh diakses
oleh semua warga sekolah. Sebagai contoh, bagi murid yang mempunyai masalah cerebrum palsy
(CP), pihak sekolah perlu menyediakan meja yang sesuai dengan ketinggian kerusi roda serta
laluan berkerusi roda di dalam bilik darjah supaya murid tersebut boleh melibatkan diri dalam aktiviti
PdP dengan selesa serta dapat meningkatkan tahap keyakinan ibu bapa untuk menempatkan anak
mereka di kelas inklusif. Penyediaan perkhidmatan sokongan yang memenuhi tuntutan MBK ini
sememangnya memainkan peranan penting untuk memastikan kejayaan PPI terlaksana.

5.0 Kesimpulan

Masyarakat kelainan upaya khususnya daripada golongan MBK wajarlah diberikan hak-hak
pendidikan yang berkualiti bagi membangunkan aspek pendidikan di negara kita. Bagi memastikan
kelangsungan hal ini, peranan kesemua pihak yang terlibat haruslah digerakkan secara konsisten
dan dipertingkatkan tahapnya dari semasa ke semasa. Justeru, semua pihak perlu memainkan
peranan sebaik mungkin mengikut kapasiti masing-masing agar tidak berlakunya jurang yang ketara
antara murid-murid arus perdana dan murid-murid dari PPI.
RUJUKAN

Bahagian Pendidikan Khas. (2013). Garis panduan program pendidikan inklusif murid
berkeperluan khas. Edisi percubaan. Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan
Malaysia.

M. Wati Abd Aziz (2006). Penglibatan ibu bapa dalam program pendidikan inklusif di negeri Kedah.
Tesis Sarjana. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Noriati A. Rashid, Boon, P. Y., Sharifah, Zuraidah. (2017). Budaya dan pembelajaran. Shah
Alam: Oxford Fajar Sdn Bhd.

Norliah Mohd Amin & Mohd Hanafi Mohd Yasin (2016). Pelaksanaan program pendidikan
inklusif murid berkeperluan khas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013 -2015. Universiti Kebangsaan Malaysia.

UNESCO. (1994). The Salamanca Statement and framework on special needs education.
Dimuat turun daripada http://www.unesco.org/education/pdf/SALAMA_E.PDF

Zulkifli Abd Hamid, Jamilah Othman, Aminah Ahmad & Ismi Arif Ismail (2011). Hubungan antara
penglibatan ibubapa dan pencapaian akademik pelajar miskin di Negeri Selangor. Journal of
Islamic and Arabic Education. 3(2): 31-40.

You might also like