You are on page 1of 2

___

#Penjarakanfizikal • Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan tempoh tamat 68


Hari
02
Jam
40
Minit
Ikuti Berita terkini Covid-19 ×

Faham, cakna kedudukan undang-undang keluarga


Islam
Oleh Dr Mohd Ali Muhamad Don - Julai 5, 2018 @ 6:51am

- Foto hiasan

PERKAHWINAN bawah umur bukanlah isu baharu di Malaysia dengan cadangan supaya ditetapkan umur perkahwinan juga
pernah diutarakan, malah pakar perundangan Islam di Malaysia yang arif lagi bijaksana juga sedang dan terus berusaha sedaya
upaya untuk menangani isu ini.

Justeru, penulis tidak berhasrat menjadi jaguh dan menunjuk pandai, sekadar memberi maklumat umum agar pembaca cakna
dan faham kedudukan undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Tambahan lagi, kes yang viral membabitkan perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun warga Thailand sudah dirujuk ke
Mahkamah Syariah Kelantan.

Berdasarkan pembacaan, ada beberapa kes perkahwinan bawah umur yang menarik untuk dikongsi, antaranya di Kedah pada
2012 membabitkan perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan pasangannya berusia 20 tahun.

Pada 2014, berlangsung perkahwinan seorang pelajar Tingkatan Lima dengan teman lelakinya yang baru berusia 15 tahun.
Selain itu, perkahwinan seorang pemuda berusia 21 tahun dengan gadis berusia 15 tahun di Melaka.

Semua perkahwinan ini mendapat persetujuan wali dengan kebenaran mahkamah.

Suara membantah perkahwinan bawah umur juga sudah kedengaran sebelum ini. Pada 2014, seorang Ahli Parlimen
mencadangkan kerajaan menetapkan had umur minimum bagi mengekang perkahwinan kanak-kanak.

Antara alasan dikemukakan ialah kanak-kanak itu terpaksa menamatkan persekolahan, selain perceraian dan kes kematian
pasangan yang memberi kesan emosi kepada pasangan muda.

Ada juga tuntutan oleh 'Joint Action Group for Gender Equality' yang membawa kepada penubuhan Majlis Perlindungan Bagi
Kanak-Kanak di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat pada 2015 menangani isu perkahwinan bawah
umur.

Antara dicadangkan ialah pasangan yang hendak berkahwin disyarat menyediakan laporan kesihatan doktor perubatan dan
laporan sosial oleh pakar psikologi kanak-kanak.

Umur minimum

Berdasarkan undang-undang keluarga Islam negeri di Malaysia, umur minimum perkahwinan bagi lelaki 18 tahun, manakala
wanita ialah 16 tahun. Penetapan ini berdasarkan prinsip 'siyasah syariah' (undang-undang pentadbiran Islam) bagi menjaga
kepentingan pihak yang berkahwin.

Ia juga melindungi gadis bawah umur yang boleh dinikahkan wali mujbir menurut Mazhab Sya e dengan syarat tertentu. Tujuan
peruntukan ini juga bagi memastikan bakal pengantin mencapai peringkat matang untuk memikul tanggungjawab rumah
tangga dari segi psikologi dan zikal.

Johor negeri terawal menetapkan umur minimum untuk berkahwin. Ini boleh dirujuk kepada Fasal 8 Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Ia memperuntukkan tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan jika lelaki berumur kurang 18 tahun atau perempuan berumur
kurang 16 tahun, kecuali jika hakim syarie memberi kebenarannya secara bertulis.

Malah, perkahwinan bawah umur tanpa kebenaran mahkamah di Johor dianggap salah, walaupun sah di sisi syarak apabila
memenuhi semua rukun dan syarat pernikahan ditetapkan.

Fasal 40 mengenai kesalahan berhubung akad nikah perkahwinan, memperuntukkan seseorang yang dengan diketahuinya
mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu berupa mengakadnikahkan atau menjalankan upacara perkahwinan tanpa kebenaran
berkahwin, seperti dikehendaki Seksyen 19 atau di depan, selain di depan sekurang-kurangnya dua saksi boleh dipercayai di
samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu, adalah melakukan kesalahan.

Mereka yang disabitkan bersalah hendaklah dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau
kedua-duanya.
Diperuntukkan juga, seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang sebagai akad nikah atau yang menjalani sesuatu
cara akad nikah dengan sesiapa juga berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II, adalah melakukan kesalahan
dan hendaklah didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Peruntukan sama turut dikanunkan di negeri lain, walaupun ada perbezaan dari segi penalti yang ditetapkan, iaitu antara
RM300 hingga RM1,000.

Bagi golongan bukan Islam, ditetapkan umur minimum berkahwin bagi lelaki dan wanita pada 18 tahun dan memberi kuasa
kepada ketua menteri untuk membenarkan perkahwinan wanita berumur 16 tahun.

Ini dirujuk kepada Seksyen 10 Akta 164, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976 yang dibaca
bersama Seksyen 21 (2) akta sama.

Mengikut syarak pula, perkahwinan bawah umur tidak dilarang asalkan mencapai umur baligh. Golongan yang bersetuju
dengan pendapat ini merujuk perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Siti Aisyah ketika beliau berumur tujuh tahun.

Siti Aisyah menyebut, Rasulullah SAW menikahi aku ketika berusia tujuh tahun dan memasuki kediamanku ketika aku berusia
sembilan tahun. (Riwayat Bukhari)

Pengkhususan buat Nabi SAW

Ada juga ulama berpendapat ia suatu pengkhususan buat Nabi SAW dan bukan pada umatnya, namun apabila diteliti, didapati
Siti Aisyah pada ketika itu sudah mencapai tahap kecerdikan dan kematangan untuk berkahwin.

Menurut Prof Ahmad Ibrahim, kepakaran Siti Aisyah mengenai al-Quran dan hadis diriwayatkan Nabi SAW jelas menunjukkan
beliau sudah dewasa, walaupun baru berusia sembilan tahun, malah Siti Aisyah juga antara yang pertama memeluk Islam dan
menyaksikan Perang Badar serta Uhud di Madinah.

Sesuatu yang perlu difahami, perkahwinan dalam Islam ialah ibadat dan sunah Rasulullah SAW, bukan sekadar memenuhi
kehendak hawa nafsu sehingga mana-mana pasangan bebas berkahwin dan berpisah sesuka hati.

Antara lain, tujuan pernikahan dalam Islam untuk menjaga diri daripada terjerumus ke belenggu dosa dan zina, selain menyahut
seruan Nabi SAW untuk memperbanyakkan zuriat dan keturunan.

Hubungan bebas tanpa pernikahan sah dikhuatiri menyumbang pula kepada jenayah buang bayi yang tidak berkesudahan.

Justeru, syariat Islam tidak menetapkan umur minimum berkahwin, asalkan ia berlangsung mengikut hukum syarak dan
memberi keadilan kepada kedua-dua pihak yang bernikah.

Sungguhpun begitu, kebenaran Mahkamah Syariah perlu dimohon sebelum perkahwinan bawah umur dilangsungkan. Ia
bermakna kebenaran perkahwinan di Malaysia tertakluk di bawah budi bicara Mahkamah Syariah yang berpuas hati dengan
permohonan yang dikemukakan.

Perlu juga diketahui, tidak semua perkahwinan bawah umur mendapat kebenaran mahkamah seperti kes Re Husseinah Banoo.
Ia membabitkan kes kahwin lari seorang gadis berusia 14 tahun dan dibantah bapanya yang kemudian dibenarkan mahkamah
untuk pembatalan perkahwinan.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin melangsungkan perkahwinan di Malaysia, dinasihatkan agar tidak
membelakangkan undang-undang demi maslahat bersama.

Ia bagi memastikan perkahwinan mencapai matlamat mewujudkan rumah tangga dihiasi nilai positif 'sakinah', 'mawaddah' dan
'rahmah'.

Ia juga demi menjamin institusi perkahwinan dalam Islam tidak dicemuh dan diejek sehingga mencemarkan imej agama yang
mulia lagi tinggi kedudukannya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Pasir Gudang

BERITA BERKAITAN

NASIONAL Jul 3, 2018 @ 8:09pm


Keizinan berkahwin bagi perkahwinan bawah umur diteliti semula

KELUARGA Jul 8, 2018 @ 3:22pm


Isu tidak pernah berkesudahan

You might also like