You are on page 1of 9

Majlis Makan Tengah Hari PISMP TESL Semester 1

Pada 6 September 2014 bersamaan dengan hari Sabtu yang lalu, saya dan rakan-
rakan sekelas daripada unit PISMP TESL Semester 1 telah mengadakan suatu program
yang dinamakan Majlis Makan Tengah Hari. Program ini adalah anjuran Unit Kokurikulum
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail. Program ini disertai oleh semua guru
pelatih daripada unit PISMP TESL Semester 1 yang terdiri daripada 6 orang lelaki dan 13
orang perempuan termasuk diri saya sendiri. Program ini diadakan bersempena memenuhi
projek kerja kursus matapelajaran Pengurusan Kokurikulum (WAJ 3081) bagi guru pelatih
PISMP Semester 1. Program ini mempunyai objektif yang tersendiri iaitu untuk melahirkan
guru pelatih yang aktif dan cerdas serta berfikiran terbuka dengan keadaan sekeliling dan
membolehkan pertukaran pendapat, cadangan dan idea berlaku dalam kalangan guru-guru
pelatih.

Sebelum melaksanakan Majlis Makan Tengah Hari ini, suatu jawatankuasa


pelaksanaan telah dibentuk bagi melancarkan pelaksanaan program kami. Program ini
dipengerusikan oleh Ketua Unit PISMP TESL Semester 1 iaitu Macmillan Mavis manakala
naib pengerusi pula ialah Cassandra A/P Santhanasamy iaitu Penolong Ketua Unit. Saya ,
Wan Nor Ezzi Azrin bt Wan Zahari, bertindak sebagai setiausaha program yang dibantu oleh
Aimi Affiza bt Jaini. Bendahari program ini ialah bendahari kelas kami sendiri iaitu Nurul
Liyana bt Othman. Ahli kelas kami yang lain mempunyai tugas mereka yang tersendiri
sebagai ahli jawatankuasa yang tertentu seperti jawatankuasa buku program, pendaftaran,
cenderamata, sesi bengkel, pertandingan, persediaan tempat dan majlis penutupan. Sebagai
setiausaha program, saya telah mencatat segala maklumat yang berkaitan untuk
dimasukkan ke dalam laporan tentang Majlis Makan Tengah Hari yang penuh bersejarah ini.

Program pada hari tersebut telah bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam
4.00 petang. Program dimulakan dengan sesi teori berkenaan etika dan protokol di meja
makan yang disampaikan oleh seorang pensyarah yang mahir dalam bidang protokol iaitu
Encik Safri bin Aziz. Memandangkan Encik Safri merupakan salah seorang pensyarah di
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) ini, kami berasa amat selesa
untuk berinteraksi dengan beliau dan bertanyakan soalan-soalan mengenai etika dan
protokol di meja makan tanpa rasa segan. Pada pandangan saya, beliau merupakan
seorang pensyarah yang bijak berkomunikasi dan semua pandangan yang diberikan oleh
beliau amat membantu. Kami semua berasa seronok kerana dapat berinteraksi secara
langsung dengan beliau dan mempelajari banyak ilmu baru pada hari tersebut. Kemudian,
bengkel amali etika dan protokol dilaksanakan dengan penuh kelancaran.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan makan tengah hari yang telah mendapat
sponsor daripada pihak institut dalam anggaran perbelanjaan sebanyak ______. Terdapat
pelbagai juadah menarik yang disediakan untuk kami semua dan kesemuanya adalah enak
dan menyelerakan. Selepas makan tengah hari, kami diberikan rehat untuk memberi laluan
kepada solat zohor sebelum majlis diteruskan dengan acara kemuncak iaitu pertandingan
penyediaan meja makan yang bermula pada jam 2.30 petang. Sewaktu pertandingan
tersebut berlangsung, semua guru pelatih kelihatan sibuk dengan persiapan meja makan
masing-masing dan semua meja makan kelihatan amat meriah serta mengagumkan
sehingga para juri begitu sukar untuk memilih pemenangnya. Semua guru pelatih
mempunyai tahap daya saing yang tinggi dalam diri masing-masing dan persaingan secara
sihat telah berlaku.

Setelah berakhir pertandingan penyediaan meja makan yang diberi masa selama 30
minit itu, majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah berlangsung dengan jayanya tepat
jam 3.30 petang seperti yang telah dirancang. Majlis penutupan ini dihadiri oleh Encik
Zaharim bin Tawang sebagai tetamu kehormat pada hari tersebut. Alhamdulillah, berkat
usaha dan kesungguhan semua ahli kumpulan, kumpulan TESL 2 yang terdiri daripada
Liyana, Saarveswarri, Najwa, Macmillan dan diri saya sendiri telah memenangi tempat
pertama dalam pertandingan penyediaan meja makan. Saya dan ahli kumpulan yang lain
tidak menyangka bahawa kumpulan kami akan memenangi tempat pertama dalam
pertandingan tersebut memandangkan kumpulan lain juga mempunyai keunikan mereka
yang tersendiri. Namun, kami percaya bahawa semangat kerjasama antara ahli kumpulan
telah menjadi faktor utama kemenangan kami.

Konklusinya, saya dan rakan-rakan yang lain amat berbesar hati kerana dapat
menjalankan program yang gilang-gemilang ini dengan baik dan lancar dengan bimbingan
dan sokongan padu yang diberikan oleh pensyarah penasihat kami iaitu Encik Abdul Ronif
bin Jamaludin yang sentiasa memberi semangat kepada kami dalam menjayakan program
ini. Tanpa kerjasama beliau, tidak mungkin kami dapat melaksanakan program seperti ini.
Saya juga berpuas hati kerana dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang
setiusaha dengan baik berkat bantuan daripada penolong setiausaha iaitu Aimi Affiza.
Dengan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak, Majlis Makan Tengah Hari bagi
memenuhi projek kerja kursus matapelajaran Pengurusan Kokurikulum ini telah berlangsung
dengan jayanya.
Disediakan oleh, 10 September 2014.

___________________
(Wan Nor Ezzi Azrin bt Wan Zahari)
PISMP TESL Semester 1,
IPG Kampus Dato’ Razali Ismail.
Pengenalan Kepada Gerak Kerja Kokurikulum

Pada 18 Ogos 2014 bersamaan dengan hari Isnin yang lalu, saya dan ahli kumpulan
1 yang terdiri daripada Muhammad Ikram bin Zakaria, Mohd Azrul Hafiz bin Amir Eshah dan
diri saya sendiri, Wan Nor Ezzi Azrin bt Wan Zahari telah membuat suatu pembentangan
tentang tugasan kami yang bertajuk “Pengenalan kepada Gerak Kerja Kokurikulum.”
Terdapat tiga aspek yang diketengahkan dalam pembentangan kami iaitu jenis komponen
kokurikulum yang dilaksanakan oleh Sekolah Kebangsaan Institut Pendidikan Guru Kampus
Dato’ Razali Ismail (SK IPGKDRI), carta organisasi SK IPGKDRI dan carta organisasi
jawatankuasa pelaksanaan kokurikulum SK IPGKDRI. Saya dan ahli kumpulan yang lain
telah bekerjasama dengan baik bagi mendapatkan maklumat-maklumat tersebut.

Bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan tajuk tugasan yang


diberikan kepada kumpulan saya, saya dan ahli kumpulan yang lain telah meminta
kerjasama dan jasa baik rakan-rakan daripada unit Pendidikan Seni Visual (PSV) yang telah
membentangkan tajuk tugasan yang sama iaitu Fatin Nadzira, Nur Zahidah dan Aisyah.
Memandangkan mereka telah menemubual Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum SK
IPGKDRI dan mendapatkan maklumat yang berkenaan tajuk tugasan yang diberikan, saya
dan ahli kumpulan meminta data yang diperoleh daripada mereka kerana tidak mahu
mengganggu GPK Kokurikulum tersebut untuk kali kedua kerana maklumat-maklumat yang
kami perlukan adalah sama. Oleh itu, rakan-rakan daripada unit PSV telah membantu kami
dengan hati yang terbuka. Saya dan ahli kumpulan amat bertuah kerana mereka sudi
memberikan kerjasama kepada ahli kumpulan kami tanpa mengharapkan balasan.

Semasa pembentangan, saya dan ahli kumpulan yang lain menerangkan tentang SK
IPGKDRI yang merupakan sebuah sekolah yang unik dan mempunyai tiga komponen
kokurikulum yang utama iaitu unit beruniform, kelab persatuan serta sukan dan permainan.
Sekolah ini telah membuat perubahan pada sistem kokurikulumnya. Memandangkan SK
IPGKDRI mempunyai jumlah murid yang sedikit, sistem kokurikulumnya juga dijalankan
secara sederhana sahaja memadai jumlah murid yang ada di sekolah tersebut. SK IPGKDRI
mempunyai empat unit beruniform yang terdiri daripada Puteri Islam, Tunas Puteri,
Pengakap dan Tunas Kadet Remaja Sekolah. Bagi kelab persatuan pula, SK IPGKDRI
memilih untuk melaksanakan kelab persatuan yang berbeza daripada sekolah-sekolah lain
iaitu kelab kesenian dan kebudayaan, inovasi dan kreativiti, bahasa dan komunikasi, rukun
negara serta rekreasi dan alam sekitar. Akhir sekali, sukan dan permainan yang terdapat di
SK IPGKDRI adalah bola sepak, bola jaring, bola baling, hoki dan memanah.
Seterusnya, data yang kami perolehi menunjukkan bahawa SK IPGKDRI mempunyai
sistem organisasi sekolah yang sama seperti sekolah-sekolah lain juga. Dalam carta
organisasi sekolah ini, Guru Besar mengetuai organisasi dan diikuti oleh Guru Penolong
Kanan 1, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, guru-
guru penolong dan staf sokongan yang lain. Manakala bagi sistem organisasi jawatankuasa
pelaksanaan kokurikulum pula, Guru Besar turut mengetuai dalam carta organisasinya dan
diikuti oleh Guru Penolong Kanan Kokurikulum, setiausaha, guru-guru penyelaras dan guru-
guru penasihat. Pada pandangan saya, sistem pengurusan sekolah ini adalah baik kerana
mempunyai organisasi yang amat tersusun walaupun jumlah murid yang ada adalah sedikit
jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain.

Kesimpulannya, saya amat berpuas hati dengan pembentangan yang telah dilakukan
bersama-sama ahli kumpulan saya yang lain kerana kami dapat bekerjasama dengan baik
sepanjang proses pencarian maklumat dan pelaksanaan pembentangan. Kerjasama yang
kami perolehi daripada rakan-rakan unit PSV juga telah menyedarkan kami tentang
kepentingan sifat bekerjasama dan tolong-menolong sesama sendiri kerana setiap daripada
kita tidak dapat lari daripada ujian. Suatu hari nanti mungkin kami dapat memberikan
bantuan kepada pihak mereka pula. Oleh hal yang demikian, semangat bekerjasama dan
sifat tolong-menolong mestilah sentiasa dipupuk dalam kalangan guru-guru pelatih agar
semua urusan menjadi mudah. Saya berharap agar dapat memperbaiki segala kelemahan
yang ada pada diri saya sendiri dalam melaksanakan tugasan seperti ini pada masa akan
datang.

Disediakan oleh, 10 September 2014.

________________
(Wan Nor Ezzi Azrin bt Wan Zahari)
PISMP TESL Semester 1,
IPG Kampus Dato’ Razali Ismail.
Oleh: Wan Nor Ezzi Azrin bt Wan Zahari

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat
saya menyelesaikan tugasan 1 kerja kursus bagi matapelajaran Pengurusan Kokurikulum
(WAJ 3081) ini. Terdapat pelbagai dugaan dan cabaran dalam menyiapkan tugasan ini.
Terlebih dahulu, saya ingin berkongsi tentang kekuatan saya dalam melaksanakan tugasan
ini. Tajuk yang diberikan kepada kumpulan saya adalah berkenaan pengenalan kepada
gerak kerja kokurikulum dan ia melibatkan Sekolah Kebangsaan Institut Pendidikan Guru
Kampus Dato’ Razali Ismail (SK IPGKDRI). Saya dapati bahawa data dan maklumat berjaya
diperoleh dengan mudah kerana saya dan ahli kumpulan yang lain berjaya meminta bantuan
rakan-rakan unit Pendidikan Seni Visual (PSV) untuk berkongsi maklumat yang mereka
perolehi hasil temubual bersama Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum SK IPGKDRI.
Selain itu, data yang diperoleh juga adalah ringkas dan padat kerana ia diperoleh daripada
GPK Kokurikulum SK IPGKDRI sendiri.

Antara kekuatan lain yang terdapat pada diri saya dan ahli kumpulan yang lain dalam
melaksanakan tugasan ini termasuklah berjaya menyiapkan bahan pembentangan yang
memuaskan hati pensyarah kami. Pensyarah kami tidak memberikan sebarang komen yang
buruk mengenai bahan pembentangan kami memandangkan ia jelas dan mudah difahami.
Akhir sekali, saya dan ahli kumpulan yang lain juga dapat mengemukakan bukti yang kukuh
tentang maklumat yang kami perolehi untuk pembentangan tersebut melalui sebuah video
temubual dengan GPK Kokurikulum SK IPGKDRI. Video tersebut juga merupakan ihsan
daripada rakan-rakan unit PSV yang tidak berat hati untuk berkongsi maklumat mereka
dengan kami. Video ini telah ditayangkan kepada rakan-rakan kami yang lain dan pensyarah
kami sendiri sewaktu pembentangan dilaksanakan.

Selain kekuatan, terdapat beberapa kelemahan yang ingin saya kongsikan sepanjang
melaksanakan tugasan ini. Saya dapati bahawa sedikit kekalutan berlaku kepada saya dan
ahli kumpulan dalam usaha mendapatkan maklumat untuk pembentangan kami. Hal ini
disebabkan oleh kami tidak mempunyai masa yang cukup untuk menemubual sendiri GPK
Kokurikulum SK IPGKDRI memandangkan kami terpaksa menjalani program Pengalaman
Berasaskan Sekolah (PBS) pada minggu sebelum pembentangan berlangsung. Dengan
ihsan rakan-rakan unit PSV, kami dapat mengatasi masalah ini dengan baik. Saya amat
berbesar hati kerana pensyarah kami memahami keadaan kami yang agak sibuk dengan
program PBS kami dan membenarkan kami berbuat demikian demi memudahkan urusan
kami dan urusan GPK Kokurikulum itu sendiri.
Di samping itu, terdapat kelemahan lain pada diri saya dan ahli kumpulan yang lain
dalam melaksanakan tugasan ini iaitu kurang bahan sokongan atau bahan rujukan
berkenaan tajuk pembentangan kami memandangkan kebanyakan maklumat yang
diperlukan adalah berkaitan dengan SK IPGKDRI sahaja. Namun, masalah ini dapat diatasi
dengan menggunakan maklumat-maklumat yang diperolehi daripada temubual bersama
GPK Kokurikulum SK IPGKDRI itu. Akhir sekali, saya mengalami kekurangan diri yang agak
jelas pada diri saya sendiri iaitu mempunyai nada suara yang perlahan pada setiap kali
pembentangan. Masalah ini telah saya hadapi sejak berada di PPISMP lagi. Bagi mengatasi
masalah ini, saya cuba melontarkan suara dengan lebih kuat agar dapat didengari dengan
jelas oleh pensyarah dan rakan-rakan yang lain.

Dalam menyelesaikan tugasan ini, saya berpeluang untuk mempelajari sistem


kokurikulum di peringkat sekolah. Saya dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang unit
beruniform, kelab persatuan serta sukan dan permainan yang wujud di sekolah dan boleh
mengaplikasikan ilmu tersebut ketika praktikum pada masa akan datang. Sebagai seorang
guru pelatih, saya tidak dapat menafikan bahawa wujud beberapa ancaman dalam
melaksanakan tugasan yang diberikan. Ancaman yang paling besar adalah kekangan masa.
Saya dan ahli kumpulan yang lain tidak berkesempatan menemubual sendiri GPK
Kokurikulum SK IPGKDRI dan berasa sedikit terkilan dengan kejadian itu. Namun, masalah
ini berjaya diatasi dengan bantuan rakan-rakan PSV yang bermurah hati berkongsi
maklumat yang mereka perolehi kepada kami.

Tugasan ini telah banyak memberi pengalaman baru kepada saya. Antaranya, saya
dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang sistem pengurusan kokurikulum di sekolah
dan mempelajari banyak perkara baru berkaitan dengan kokurikulum melalui pembentangan
rakan-rakan kumpulan lain. Sebelum ini, banyak perkara yang tidak saya ketahui tetapi
dengan adanya tugasan seperti ini, saya dapat mengembangkan ilmu yang ada pada diri
saya tentang kokurikulum agar dapat diaplikasikan ketika saya sudah benar-benar menjadi
seorang guru pada masa akan datang. Kesimpulannya, saya berasa amat bertuah kerana
dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan dengan baik hasil kerjasama dengan rakan-
rakan yang lain di samping dapat mempelajari banyak ilmu baru bagi memantapkan
kefahaman saya tentang pengurusan aktiviti kokurikulum dan kerjaya saya sebagai seorang
bakal guru.
LAPORAN KESELURUHAN MAJLIS MAKAN TENGAH HARI PISMP TESL SEMESTER 1

Sebelum

Majlis Makan Tengah Hari PISMP TESL Semester 1 telah dirancang bersesuaian
dengan salah satu tugasan projek kerja kursus kami bagi matapelajaran Pengurusan
Kokurikulum (WAJ 3081). Sebelum melaksanakan program, satu jawatankuasa telah
dibentuk. Macmillan Mavis Anak Joseph dilantik sebagai Pengerusi program, Cassandra A/P
Santhanasamy telah dilantik sebagai Naib Pengerusi program, Wan Nor Ezzi Azrin bt Wan
Zahari telah dilantik sebagai Setiausaha program, Aimi Affiza bt Jaini telah dilantik sebagai
Naib Setiausaha program dan Nurul Liyana bt Othman telah dilantik sebagai Bendahari
program. Ahli-ahli lain yang tidak terlibat dalam Ahli Jawatankuasa Tertinggi Program telah
dilantik menjadi ahli jawatankuasa buku program, pendaftaran dan dokumentasi,
cenderamata, sesi bengkel, pertandingan, persediaan tempat dan majlis penutupan.

Semasa

Majlis Makan Tengah Hari kami berjalan dengan lancar dan baik seperti yang telah
dirancang. Pada hari tersebut, semua jawatankuasa menjalankan tugas masing-masing.
Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta dan diikuti dengan sesi teori etika dan protokol
yang disampaikan oleh Encik Safri bin Aziz. Seterusnya, program diteruskan dengan
bengkel amali etika dan protokol selepas rehat selama setengah jam. Kemudian, program
diteruskan lagi dengan makan tengah hari sebelum kembali rehat bagi memberi laluan
kepada solat zohor. Acara kemuncak iaitu pertandingan penyediaan meja makan telah
berlangsung selepas solat zohor iaitu pada jam 2.30 petang. Masa yang diperuntukkan
adalah 30 minit untuk penyediaan meja makan tersebut. Acara yang terakhir adalah majlis
penutupan dan penyampaian hadiah kepada pemenang. Kumpulan TESL 2 telah menjadi
johan dalam pertandingan tersebut.

Selepas

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana akhirnya kami dari unit PISMP TESL Semester 1
berjaya melaksanakan program yang penuh bersejarah ini. Setelah program berakhir, kami
semua bergabung tenaga mengemas Bilik Mikro 1 yang telah digunakan untuk program ini
bagi memastikan keadaannya kembali kemas seperti pada awalnya. Kami juga menyediakan
laporan mengikut jawatankuasa masing-masing bagi memudahkan penulisan refleksi. Kami
semua berpuas hati kerana dapat melaksanakan program ini dengan baik dan lancar.
Disediakan oleh, 10 September 2014.

________________
(Wan Nor Ezzi Azrin bt Wan Zahari)
Setiausaha,
Majlis Makan Tengah Hari,
PISMP TESL Semester 1,
IPG Kampus Dato’ Razali Ismail.

You might also like