You are on page 1of 12

BAB 6

GERAKAN KE ARAH
PENGKORPORATAN DAN PENSWASTAAN
DI MALAYSIA

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Memahami susur galur pelaksanaan konsep pengkorporatan
dan penswastaan dalam sistem pentadbiran di Malaysia.
2. Mengenal pasti alasan-alasan utama yang wujud dalam sektor
awam dan perbadanan awam yang mencetuskan idea dan
pengenalan kepada usaha mengkorporat dan menswastaan
perkhidmatan awam.
3. Membincangkan faktor-faktor yang diberikan penekanan
dalam program pelaksanaan Dasar Persyarikatan Malaysia dan
Dasar Penswastaan sebagai agenda dalam pembaharuan
pentadbiran di Malaysia.

6.1 PENGENALAN

Setelah negara kita mencapai kemerdekaan, pihak kerajaan terpaksa


memainkan peranan penting dalam membangunkan negara terutama
sekali di peringkat awal pasca-kolonial. Ketika itu, pihak kerajaan masih
tercari-cari formula dan pendekatan yang sesuai untuk membangunkan
negara dengan memperkenalkan beberapa dasar pembangunan. Usaha
pihak kerajaan berterusan dengan pengenalan dasar-dasar pembaharuan
khusus dalam era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan
sehingga kini. Antara salah satu dasar yang turut berperanan dalam
pembaharuan pentadbiran di sektor awam ialah Dasar Persyarikatan
Malaysia dan diikuti oleh pelaksanaan Dasar Penswastaan.

Di peringkat awal pelaksanaan Dasar Penswastaan di Malaysia, tidak


kurang munculnya pihak-pihak tertentu yang menyuarakan kebimbangan,
ketidakyakinan dan kritikan mereka terhadap dasar kerajaan tersebut.
Namun, itu bukanlah menjadi batu penghalang kepada hasrat kerajaan
untuk terus membangunkan negara ini. Dalam masa yang sama setelah

83
kerajaan melaksanakan penswastaan, masih ada pihak yang tidak
memahami maksud, cara dan tujuan Dasar Penswastaan dengan
sepenuhnya.

Dalam bab ini akan dibincangkan tentang hasrat kerajaan dalam


melaksanakan penswastaan yang bertitik-tolak daripada pelaksanaan
Dasar Persyarikatan. Pelaksanaan kedua-dua dasar tersebut telah
memberikan impak yang besar kepada sektor awam dan pembangunan
sosioekonomi di Malaysia. Pelaksanaan kedua-dua dasar tersebut
disebabkan pihak kerajaan menaruh harapan untuk melihat Malaysia
berkembang dengan pesat supaya dapat meninggikan lagi taraf kehidupan
dan nilai hidup yang menjadi hak individu rakyat Malaysia (ISIS, 1988: 3).
Pelaksanaan konsep pensyarikatan dan disusuli oleh penswastaan telah
memberikan tentang gambaran tentang hala tuju pembangunan negara
yang memberikan tumpuan kepada aspek kerjasama dan peranan di
antara sektor swasta dengan sektor awam dalam aktiviti-aktiviti
pembangunan dan sosioekonomi.

Cuba anda fikirkan apakah sebab utama pihak kerajaan


melaksanakan Dasar Persyarikatan dan diikuti oleh Dasar
Penswastaan?

6.2 KONSEP PERSYARIKATAN MALAYSIA

Konsep ini pada mulanya telah diumumkan oleh bekas Perdana Menteri
Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 25 Februari 1983 dalam suatu forum
yang dianjurkan oleh INTAN. Ia bererti bahawa Malaysia seharusnya
dilihat sebagai sebuah syarikat di mana kerajaan dan sektor swasta adalah
kedua-duanya merupakan pemilik dan pekerja di dalam sebuah syarikat.
Di dalam sebuah syarikat, semua pemilik dan pekerja dijangka akan
bekerjasama untuk menentukan kejayaan syarikat tersebut. Hanya
melalui kejayaan itu, kebajikan pemilik dan pekerja akan dijamin dan
diperbaiki (INTAN, 1988).

Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu begitu komited sekali kepada satu
kepercayaan bahawa hubungan di antara Persyarikatan Malaysia dengan
penswastaan sangat penting ke arah pencapaian pertumbuhan ekonomi
yang memberangsangkan. Hanya melalui persekongkolan atau
collaboration di antara sektor awam dan swasta, maka kemakmuran
ekonomi dapat dicapai. Konsep ini berkehendakkan unsur-unsur atau
alat-alat perkhidmatan dan ekonomi negara dapat mewujudkan kerjasama
yang sepenuhnya supaya negara sebagai satu keseluruhan dapat
mewujudkan satu bentuk kerjasama yang mana kedua-dua pihak
mendapat faedah yang maksimum.

84
Penyertaan ekuiti kerajaan bukanlah merupakan sebahagian daripada
konsep Persyarikatan Malaysia. Sebenarnya, tidak ada kekeliruan di
antara penswastaan dengan konsep Persyarikatan Malaysia. Kedua-dua
konsep itu merupakan konsep yang berlainan. Persyarikatan Malaysia
bukanlah semudah itu diertikan sebagai menswastakan agensi kerajaan.
Ia lebih dihalakan kepada perubahan sikap di kalangan pegawai-pegawai
kerajaan yang sebelum ini mempunyai pemikiran pertentangan (adversarial
thinking). Kini, mereka dikehendaki bekerjasama dengan pihak sektor
swasta (Mahathir Mohamad, 1982). Justeru itu, kita dapati konsep
Persyarikatan Malaysia ini berkehendakkan pihak sektor swasta dan
awam menganggap diri mereka sebagai rakan kongsi dalam sebuah
perbadanan atau syarikat, yang mana dalam kes ini menganggap juga
syarikat itu sebagai sebuah negara.

Difikirkan bahawa konsep ini akan membawa kepada perhubungan yang


lebih akrab di antara kerajaan dengan sektor swasta supaya dapat
menggalakkan kemajuan ekonomi negara. Jelas didapati objektif konsep
ini ialah hasrat untuk menyeimbangkan hubungan baik di antara
pengurus-pengurus kerajaan dengan perniagaan supaya mereka boleh
saling bantu-membantu sebagai rakan kongsi dan pemegang saham
sebagaimana dalam sebuah badan korporat. Sebarang kemajuan atau
peningkatan dalam pengurusan sektor awam akan menguntungkan juga
sektor swasta. Misalnya, jika peraturan-peraturan dan prosedur-prosedur
kerajaan yang selama ini dianggap sebagai mengandungi unsur-unsur
kurang menggalakkan seperti pentadbiran yang lambat, karenah birokrasi
ataupun sekatan-sekatan tertentu dapat dikurangkan dengan banyaknya,
maka sudah tentulah pelabur-pelabur tempatan dan luar negeri akan
bertindak positif dan menggunakan kesempatan itu untuk membawa
masuk banyak modal mereka untuk tujuan pelaburan. Dengan itu,
kerajaan akhirnya akan memungut hasil dari cukai pendapatan dan
korporat daripada pelabur-pelabur tersebut (Ahmad Atory Hussain,
1998: 210).

Sebaliknya, perkhidmatan-perkhidmatan yang kurang memuaskan


daripada pihak kerajaan akan mengakibatkan kerugian atau kekurangan
keuntungan, ataupun harta yang tinggi untuk memenuhi kos-kos operasi.
Dalam keadaan-keadaan sebegini, kerajaan akan menerima cukai yang
sedikit, manakala kos hidup akan menjadi tinggi dan seterusnya akan
membawa kesan-kesan yang buruk (Jomo, K.S, 1989: 10). Adalah jelas
bahawa perkhidmatan-perkhidmatan yang memuaskan yang diberi oleh
pegawai-pegawai kerajaan akan menguntungkan pada diri mereka sendiri,
selain menentukan pembangunan dan kemakmuran untuk negara.
Dengan lain perkataan, Persyarikatan Malaysia boleh dijelaskan sebagai
satu konsep yang mempunyai kaitan rapat dengan pembaharuan tingkah
laku atau kelakuan dalam sektor awam seperti juga sektor swasta.

85
6.3 PELAKSANAAN KONSEP PERSYARIKATAN

Semenjak pengenalan dan pemakaian konsep ini pada tahun 1983,


terdapat beberapa usaha untuk menyebarkan dasar tersebut secara lebih
berkesan. Dalam tahun tersebut sahaja, terdapat 33 forum mengenai
Persyarikatan Malaysia yang dianjurkan oleh INTAN untuk kakitangan
kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan dan
juga syarikat-syarikat swasta (INTAN, 1988: 52). Sebagai tambahan
kepada bilangan tersebut, INTAN juga telah menganjurkan satu forum
di peringkat nasional dan lima lagi forum di peringkat negeri. Pada
tahun-tahun berikutnya, konsep Persyarikatan Malaysia telah
dipanjangkan kepada peserta-peserta yang mengikuti kursus-kursus atau
seminar-seminar yang dianjurkan oleh INTAN atau lain-lain institusi. Di
kalangan peserta-peserta tersebut termasuklah juga menteri-menteri
kabinet, ahli-ahli parlimen, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-
ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan, setiausaha-setiausaha
kerajaan negeri, pegawai-pegawai residen dan pegawai-pegawai daerah,
dan lain-lain pegawai kerajaan dan kakitangan perkhidmatan awam.

Sehubungan dengan forum-forum dan seminar-seminar itu, sebuah buku


berjudul ‘Dasar-Dasar Utama Kerajaan’ yang membincangkan konsep itu
dengan lengkap telah diterbitkan oleh INTAN. Kementerian Penerangan
juga mengambil inisiatif membantu menyebarkan konsep Persyarikatan
Malaysia itu melalui pertunjukkan TV, siaran radio dan filem slides
berhubung dengan peranan-peranan sektor awam dan swasta dalam
pembangunan ekonomi negara (ibid., 53).

SOALAN DALAM TEKS

1. Senaraikan objektif Dasar Persyarikatan Malaysia.


2. Apakah rasionalnya kerajaan melaksanakan Dasar
Persyarikatan Malaysia?
3. Terangkan program-program yang dirancangkan
oleh pihak kerajaan dalam strategi pelaksanaan
Dasar Persyarikatan Malaysia?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

86
6.4 PENILAIAN TERHADAP KONSEP PERSYARIKATAN

Konsep Persyarikatan Malaysia dengan terangnya bertujuan untuk


meningkatkan pembangunan sektor swasta yang berperanan untuk
merangsangkan ekonomi negara. Adalah jelas bahawa kejayaan dasar itu
banyak bergantung kepada bentuk kerjasama yang mana dipupuk oleh
kedua-dua sektor ini. Ini bukanlah satu tugas yang mudah, kerana dalam
keadaan-keadaan biasa, memang wujud satu konflik kepentingan dan
nilai-nilai diantara kedua-dua sektor ini iaitu sektor awam dan swasta.

Setakat kajian ini dibuat (sekitar tahun 1983 hingga 1989),


pelaksanaannya agak perlahan yang membawa kepada keadaan di mana
agak ramai yang sceptical dengan dasar tersebut. Walau bagaimanapun,
menjelang tahun 1990-an, konsep ini semakin menampakan kejayaan, di
mana Malaysia muncul sebagai negara perindustrian baru yang diiktiraf di
peringkat antarabangsa.

Mengenai usaha untuk menempatkan pegawai-pegawai kerajaan di dalam


sektor swasta, sehingga akhir tahun 1983, hanya 42 orang pegawai
kerajaan yang telah mengambil bahagian dalam program latihan yang
dianjurkan oleh Persatuan Perindustrian dan Perdagangan British-
Malaysia (BMITA). Kesan daripada program tersebut belum dapat
ditentukan lagi. Ini bererti bahawa adalah tidak tentu sama ada program
tersebut telah dapat mencapai objektif bagi meningkatkan sumbangan
sektor swasta untuk pembangunan nasioanal atau sebaliknya (Ahmad
Atory Hussain, 1998: 212).

Program itu mungkin tidak mencapai objektif-objektifnya kerana


kurangnya kerjasama di antara syarikat-syarikat swasta dan organisasi
sektor awam. Sebahagian daripada alasannya ialah bahawa sektor swasta
lebih cenderung kepada orientasi keuntungan dan meletakkan penekanan
yang lebih kepada pemaksimumam keuntungan. Justeru itu, mereka
mahu kebebasan yang lebih dalam proses pembuatan keputusan
berdasarkan kepada perkiraan keuntungan semata-mata. Mereka tidak
mahu disusahpayahkan oleh lain-lain faktor seperti tanggungjawab sosial
yang lazimnya dikehendaki atau disyaratkan oleh kerajaan dalam bentuk
peraturan dan undang-undang. Ini merupakan pandangan sempit dan
pesimis yang diamalkan oleh pihak sektor swasta. Sebaliknya, kerajaan
menganggap peraturan-peraturan dan prosedur-prosedur tersebut adalah
semata-mata untuk melindungi kepentingan awam daripada dieksploitasi
oleh sektor swasta dalam usaha mereka memburu keuntungan. Malah,
Dr. Mahathir sendiri menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap
ramainya ketua-ketua jabatan yang telah ditentukan. Walau

87
bagaimanapun, kajian-kajian tentang cara untuk melaksanakan dan
memupuk pemahaman konsep ini terus dijalankan oleh kerajaan (ibid.,
213).

Seperti yang disebutkan, konsep Persyarikatan Malaysia ini telah dipinjam


sepenuhnya daripada idea Jepun. Ia bukanlah budaya Malaysia umumnya
ataupun Melayu khasnya. Sebenarnya, terdapat dua faktor utama tentang
kejayaan Persyarikatan Jepun. Pertama, nasionalisme di kalangan orang-
orang Jepun telah membawa mereka kepada satu sikap taat setia yang
tidak berbelah bagi kepada negara. Kedua, konsep Persyarikatan Jepun
berkait rapat dengan tiga kumpulan utama masyarakatnya, iaitu ahli-ahli
politik, para birokrat dan ahli-ahli korporat, yang mana ketiga-tiga
kumpulan inilah yang membentuk kumpulan masyarakat yang paling
berpengaruh dan terpilih dalam masyarakat Jepun (ibid., 214).

Tiga kumpulan ini boleh juga diistilahkan sebagai satu iron triangle, di
mana ketiga-tiga kumpulan yang mengandungi ahli-ahli politik, pentadbir
dan ahli-ahli sektor swasta ini bekerjasama dan rapat di antara satu sama
lain. Bentuk perikatan dari tiga faktor utama ini datang daripada
beberapa faktor yang mana telah lama wujud di Jepun. Faktor pertama
ialah sistem pentadbiran Jepun diberi kuasa untuk mengawasi dengan
rapi perkembangan syarikat-syarikat di negara itu. Kerajaan juga diberi
kuasa memperuntukkan sebilangan besar tabung untuk tujuan
penyelidikan dan pembangunan pelaburan modal dan subsidi-subsidi
eksport. Faktor kedua ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan dijamin
peluang pekerjaan apabila mereka mencapai umur persaraan kerana
mereka sudah mempunyai persefahaman yang tidak formal di mana
mereka akan ditawarkan jawatan-jawatan eksekutif oleh sektor swasta.
Memang sudah menjadi amalan syarikat-syarikat Jepun mengambil bekas
pegawai-pegawai kerajaan untuk berkhidmat dengan mereka. Faktor
ketiga pula ialah peranan dominan pihak sektor swasta dalam
menentukan kestabilan politik negara Jepun melalui pembiayaan
terhadap calon-calon parti pemerintah akan terus mentadbir negara dan
ini dikatakan memperkuatkan kepimpinan di antara ahli-ahli politik, para
birokrat dan ahli sektor korporat (Khalid Ibrahim, 1989).

Ciri-ciri persekitaran seperti konsep Persyarikatan Jepun ini jelas


memperlihatkan bahawa para birokrat adalah merupakan elit-elit yang
mempunyai kuasa dan pengaruh dalam menentukan kejayaan sosio-
politik dan sosioekonomi negara tersebut. Malah, dikatakan Perikatan
Tiga (Iriumvirate of Interest) ini adalah benar-benar merupakan kumpulan
yang mewakili suatu ciri konsep yang istimewa yang telah lama wujud di
Jepun. Ini buktikan lagi dengan kenyataan bahawa terdapatnya suatu
pengiktirafan di kalangan mereka yang berkepentingan dan berpengaruh
itu begitu dihormati oleh satu pihak dengan pihak yang lain. Tidak syak

88
lagi, konsep Persyarikatan Jepun telah menimbulkan harapan bahawa
perhubungan antara kumpulan-kumpulan itu adalah lebih moden dan
pragmatik dan berkesan jika dibandingkan dengan ikatan-ikatan yang
bersifat tradisi ideologikal dan politikal, dalam membawa pembangunan
sosioekonomi negara (Ahmad Atory Hussain, 1998: 215).

Tidak semua faktor-faktor yang terdapat di Jepun itu wujud di Malaysia


dalam usaha kerajaan untuk memudahkan penggunaan konsep itu
sepenuhnya. Dengan lain perkataan, faktor-faktor persekitaran yang
wujud di Jepun adalah bertentangan dengan yang terdapat di Malaysia.
Misalnya di negara ini, terdapat keadaan salah faham di kalangan ahli-ahli
politik, para birokrat dan sektor swasta. Pada asasnya perhubungan
antara kumpulan-kumpulan ini kelihatan diasaskan kepada kepentingan
masing-masing dan konflik antara mereka sehingga membawa kepada
setiap kumpulan cuba menggunakan kesempatan mempengaruhi ke atas
kepentingan dan pengaruh yang lain. Keadaan ini dirumitkan lagi dengan
pengaruh-pengaruh faktor lain seperti fahaman perkauman, perbezaan
sosioekonomi dan juga pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang menjadi
sumber-sumber tambahan kepada pergeseran di kalangan beberapa pihak
di negara ini (Khalid Ibrahim, 1989: 3-4).

Amalan menawarkan pekerjaan kepada pegawai-pegawai kerajaan kecuali


beberapa kerat pegawai-pegawai atasan oleh syarikat-syarikat swasta
sebagai balasan daripada perkhidmatannya kepada pihak swasta semasa
dalam perkhidmatan kerajaan bukanlah menjadi tradisi di negara ini.
Selain itu, kerajaan Malaysia tidak dianggap sebagai elit-elit yang
mendominasi ekonomi negara (ibid., 10).

Berdasarkan kepada konstren-konstren persekitaran seperti disebutkan


itu, kelihatan bahawa tidak seperti yang terdapat di Jepun, pada mulanya
konsep Persyarikatan Malaysia tidak berapa sesuai untuk digunakan
sepenuhnya memandangkan perbezaan-perbezaan latar belakang sejarah
dan realiti sosioekonomi di Malaysia. Oleh itu, sebelum konsep ini boleh
dilaksanakan sepenuhnya, kerajaan terpaksa mengambil kira amalan-
amalan perniagaan yang boleh diterima di Malaysia. Ia mungkin perlu
bergerak satu langkah ke belakang supaya dapat meletakkan asas atau
latar belakang yang lebih kuat demi untuk kerjasama pada masa akan
datang. Persediaan seperti itu adalah untuk menentukan bahawa jentera
kerajaan menjadi lebih cekap, supaya sektor swasta akan dapat beroperasi
dengan perniagaan mereka dengan lebih licin lagi. Di sini, kerjasama
Perikatan Tiga iaitu antara ahli-ahli politik, para birokrat dan ahli-ahli
perniagaan atau usahawan hendaklah dipupuk untuk penglibatan yang
lebih besar kearah membentuk suatu kumpulan jaringan profesional.

89
Kerajaan Malaysia sebenarnya sedar akan konstren-konstren yang
disebutkan itu. Untuk itu, usaha-usaha telah dijalankan oleh kerajaan,
sama ada melalui agensi utamanya iaitu MAMPU atau lain-lain agensi
seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan lain-lain jabatan kerajaan
yang terlibat dalam pelaksanaan konsep itu. Usaha pembaharuan
melibatkan aspek-aspek kelakuan dan struktur untuk memperbaiki
kecekapan, keberkesanan dan produktiviti sektor awam. Mengenai usaha
peningkatan ke arah pembaikan dalam pelaksanaan konsep Persyarikatan
Malaysia, sebenarnya kerajaan telah melancarkan berbagai-bagai strategi
seperti Dasar Penswastaan, memperbaiki kerja dan prosedur-prosedur
dalam sektor awam dan juga memperbaiki perkhidmatan-perkhidmatan
kepada orang ramai dan penggunaan automasi serta teknologi seperti
komputer di dalam sektor awam. Kejayaan konsep Persyarikatan
Malaysia masih belum dicapai sepenuhnya walaupun ada usaha-usaha
dibuat kearah itu. Ringkasnya, usaha-usaha yang tidak berhenti-henti
telah dilakukan oleh kerajaan untuk menjadikan konsep tersebut satu
realiti walaupun terdapat berbagai konstren (Ahmad Atory Hussain,
1998: 217).

Satu daripada gerakan yang paling terkini telah dibuat di mana Dr.
Mahathir telah mengumumkan penubuhan 62 ahli Majlis Perniagaan
Malaysia (MBC) pada 28 Februari 1991. Ia ditubuhkan untuk merentas
jalan ke arah satu kerjasama yang lebih baik di antara sektor awam dan
sektor swasta. Menurut Perdana Menteri ketika itu, dengan penubuhan
majlis itu Malaysia akan bergerak dengan lebih cepat lagi dalam usaha
untuk menjadi sebuah negara membangun atau setanding dengan negara-
negara maju. Empat objektif utama majlis itu disenaraikan seperti berikut
(ibid., 217):
(i) Untuk memudahkan suatu aliran yang bebas maklumat dan idea-
idea di antara sektor awam dan swasta;
(ii) Untuk menyelesaikan masalah-masalah berhubung dengan
pembangunan perdagangan dan industri dan seterusnya berusaha
mengatasi halangan-halangan terhadap pertumbuhan ekonomi;
(iii) Untuk mewujudkan satu persefahaman yang lebih baik dan
meningkatkan perhubungan antara sektor awam dan swasta; dan
(iv) Untuk mengenal pasti dan mempromosi idea-idea kerjasama dan
persekongkolan (collaboration) antara mereka.

Sehubungan dengan objektif-objektif di atas, kerajaan juga telah


menubuhkan satu Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Ekonomi yang
bertanggungjawab untuk penyelidikan, perkhidmatan sekretariat,
organisasi dan pentadbiran Majlis. Sejauh manakah objektif kerajaan
untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020
adalah terbuka kepada perdebatan? Menariknya, terdapat suatu keadaan
di mana suara-suara yang skeptikal mengenai konsep Persyarikatan

90
Malaysia ataupun Wawasan 2020 telah mula berkurangan di kalangan
golongan-golongan tertentu. Pegawai-pegawai kerajaan kini telah mula
menerima dan menghargai kenyataan bahawa sektor swasta tidak hanya
membuat keuntungan untuk dirinya sahaja tetapi juga telah mula
memikirkan ke arah memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi,
dan juga kebajikan untuk semua rakyat Malaysia.

Dua perkembangan yang menarik telah berlaku pada tahun 1996 yang
lalu iaitu pertama, kerajaan telah berjaya membentuk perikatan empat
pihak terdiri daripada golongan ahli-ahli politik (kerajaan), ahli
perniagaan, para birokrat dan termasuk kesatuan-kesatuan sekerja
khususnya CUEPACS. Justeru itu, konsep Persyarikatan Malaysia
dianggap sudah lengkap dari segi keanggotaannya. Hanya yang perlu
ialah untuk merealisasikan objektif-objektif yang digariskan bagi
mewujudkan negara membangun sepenuhnya pada tahun 2020 nanti.
Kedua, pada 4 November 1996 kerajaan telah mengumumkan suatu
dasar bagi membolehkan pesara-pesara kerajaan berkhidmat dengan
ikatan Malaysia seperti yang diamalkan di Jepun. Kalau sebelum ini
hanya beberapa kerat sahaja pegawai kanan kerajaan yang berpeluang
mengambil bahagian di dalam sektor swasta, kini dengan dasar yang baru
dilancarkan itu akan dapat memberi peluang kepada semua bekas
pegawai kerajaan yang berminat untuk menceburkan diri di dalam
lapangan perniagaan.

SOALAN DALAM TEKS

4. Bagaimanakah kejayaan pelaksanaan konsep


Persyarikatan Malaysia dapat dinilai dalam sektor
awam?
5. Apakah peranan sektor swasta dalam memastikan
kejayaan pelaksanaan konsep Persyarikatan Malaysia
seperti yang telah disarankan oleh pihak kerajaan?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

6.5 KESIMPULAN

Di dalam bab ini telah dibincangkan pembaharuan-pembaharuan


pentadbiran yang dijalankan di dalam era Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ternyata pembaharuan tersebut meliputi tiga pendekatan utama iaitu
pendekatan struktur, prosedur dan tingkah laku. Antara yang
91
dilaksanakan ialah konsep dasar pandang ke timur, slogan bersih, cekap
dan amanah, kepimpinan melalui teladan dan pelbagai lagi usaha
pembaharuan yang dijalankan seperti penerapan nilai-nilai Islam dalam
pentadbiran,etika kerja dan sebagainya.

Sesungguhnya penswastaan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan


seharusnya dapat menghasilkan pendapatan yang baik kepada semua
orang. Tiada siapa yang patut mengalami kerugian, tetapi ini bergantung
kepada kelicinan perjalanan pentabiran sektor swasta. Dalam erti kata
lain, penswastaan mestilah membawa kepada peningkatan produktiviti
(ISIS, 1988: 7).

Dalam pada itu, Dasar Persyarikatan Malaysia sebenarnya memerlukan


perubahan sikap oleh kedua-dua sektor (awam dan swasta) untuk
memupuk persefahaman dan kerjasama yang lebih erat agar
kesejahteraan rakyat Malaysia akan dapat dipertingkatkan (Malaysia,
1994: 59). Hasrat ini timbul di atas kesedaran daripada pihak kerajaan
bahawa kerjasama di antara kedua-dua sektor ini sangat penting dan
perlu sehaluan untuk menjadikan negara ini lebih maju terutama
menjelang tahun 2020 nanti. Sesungguhnya, semua pihak terutama para
pembuat dasar menaruh harapan yang tinggi dan sentiasa mengharapkan
kerjasama di antara kedua-dua sektor ini akan dapat memberikan
sumbangan yang besar ke arah kejayaan dasar-dasar lain terutamanya
Dasar Penswastaan.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep persyarikatan?


2. Bagaimanakah pelaksanaan konsep persyarikatan di Malaysia
yang berdasarkan konsep persyarikatan Jepun?
3. Huraikan pelaksanaan persyarikatan di Malaysia?
4. Nyatakan empat objektif utama Majlis Peniagaan Malaysia?

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. Objektif Dasar Persyarikatan Malaysia adalah bertujuan untuk


(a) Mewujudkan kerjasama erat, bermakna dan berkesan
antara sektor awam dan swasta demi pembangunan
negara bagi mencapai faedah bersama;
92
(b) Menghapuskan sifat “permusuhan” di antara kedua-dua
sektor dengan menggalakkan perkongsian maklumat, dan
saling faham-memahami akan prosedur dan matlamat
kedua-dua belah pihak; dan
(c) Meningkatkan hasil negara.

2. Rasionalnya pihak kerajaan memperkenalkan Dasar Persyarikatan


Malaysia adalah hasil daripada kesedaran bahawa pada masa ini
masih terdapat beberapa perkara dan persoalan pokok yang
bersaingan dan bertentangan atau tidak selari di antara pihak
awam dan swasta seperti dalam soal matlamat organisasi,
peraturan dan perhubungan.

3. Beberapa program tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dalam


strategi pelaksanaan Dasar Persyarikatan Malaysia seperti
(a) Penerangan dasar ini kepada para pegawai dan eksekutif
sektor awam supaya dapat difahami dan diamalkan dalam
tugas seharian;
(b) Mendedahkan petugas-petugas perkhidmatan awam
kepada pengurusan perniagaan melalui penempatan
sementara pegawai-pegawai awam di syarikat-syarikat
swasta seperti program sangkutan BMITA dan kursus-
kursus pengurusan perniagaan yang dijalankan di
INTAN;
(c) Penyebaran maklumat perniagaan yang diperolehi oleh
agensi kerajaan di luar negeri kepada sektor swasta;
(d) Meningkatkan hubungan di antara agensi-agensi kerajaan
sebagai salah satu langkah meningkatkan perkhidmatan
kepada sektor swasta secara tersusun dan mudah; dan
(e) Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 9 Tahun
1991 – Panduan Mengenai Pelaksanaan Dasar
Persyarikatan Malaysia telah dikeluarkan pada 1 Julai
1991 bagi memberi garis panduan melaksanakan dasar ini.

4. Kejayaan pelaksanaan konsep Persyarikatan Malaysia di sektor


awam boleh diukur dari segi kepuasan hati sektor swasta dalam
urusan dengan Kementerian, Jabatan atau agensi kerajaan yang
berkenaan, di mana ekspektasi sektor swasta ialah mendapat
layanan dan perkhidmatan yang baik daripada semua golongan
atau lapisan pegawai dan kakitangan agensi kerajaan yang
berurusan dengan mereka.

5. Sektor swasta juga memainkan peranan yang penting dalam


menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Persyarikatan Malaysia

93
dalam memastikan negara mencapai tahap pertumbuhan
ekonomi yang tinggi dan seterusnya membolehkan Malaysia
menjadi negara yang maju. Sektor swasta harus menunjukkan
sumbangan yang positif dan tidak merasakan mereka dimanjakan
oleh kerajaan dengan mengetepikan soal undang-undang dan
peraturan hanya kerana pihak kerajaan telah membuat beberapa
kelonggaran berhubung perkara tersebut. Oleh itu, sektor swasta
perlu menjadi atau berperanan sebagai engine of growth dalam
membangunkan ekonomi negara.

94

You might also like