You are on page 1of 11

ASIAN PEOPLE JOURNAL 2020, VOL 3(2), 181-191

e-ISSN: 2600-8971 ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191


http://dx.doi.org/10.37231/apj.2020.3.2.152
https://journal.unisza.edu.my/apj

CABARAN PEMERKASAAN BAHASA MELAYU DALAM USAHA MENCAPAI NEGARA BANGSA


DI MALAYSIA

(The Challenge of Empowering Malay Language in Achieving Nation State in Malaysia)

Ibrahim Majdi Mohamad Kamil1*, Maliati Mohamad1


1 Centre For Fundamental Studies (CFS), Management & Science University, University Drive Off Persiaran Olahraga,
40100 Shah Alam Selangor Darul Ehsan

*Corresponding Author: ibrahim_majdi@msu.edu.my

Received: 12 Februari 2020 • Accepted: 21 April 2020 • Published: 31 October 2020

Abstract

Malaysia is a multi ethnic country that has a diverse culture. The policy during the colonial era caused a
conflict between ethnic groups in Malaysia.To foster a racial integration in Malaysia, the government has
been striving to create a nation state.One of the most important methods in creating a nation state is through
the use of one language which is ‘Bahasa Melayu’.Various efforts have been made by the Government in
order to upholding the Malay language.Among them have established laws and special Act on Malay
language, writing in various fields in the Malay language and the establishment of Wawasan school.The
findings found some challenges in achieving the nation state are lack of fluency in Malay language among
the multi-racial society, political aspects, education and the usage of the ‘rojak’ Malay language. Various
efforts from the Government in empowering the Malay language need to be pursued so that the Malay
language can be one of the main tools in moulding the identity of the Malaysian society.

Keywords: Malay language, nation state, challenges, Malaysia

Abstrak

Negara Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik dan suku kaum. Dasar penjajah
ketika era kolonial telah menyebabkan berlaku konflik antara kaum di Malaysia. Bagi memupuk integrasi
antara kaum di Malaysia, kerajaan telah berusaha mewujudkan sebuah negara bangsa. Salah satu kaedah
yang penting dalam mewujudkan negara bangsa adalah menerusi penggunaan satu bahasa yang sama iaitu
bahasa Melayu. Pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

181
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191

Antaranya dengan mewujudkan undang-undang dan akta khas mengenai bahasa Melayu, penghasilan
penulisan dalam pelbagai bidang dalam bahasa Melayu dan penubuhan Sekolah Wawasan. Dapatan kajian
artikel ini mendapati beberapa cabaran yang mengekang usaha untuk mencapai negara bangsa melalui bahasa
Melayu antaranya kurang penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, aspek
politik, pendidikan dan penggunaan bahasa Melayu yang salah. Pelbagai usaha daripada pihak kerajaan
dalam memperkasakan bahasa Melayu perlu diteruskan supaya bahasa Melayu boleh menjadi salah satu alat
utama dalam membentuk identiti masyarakat Malaysia.

Kata kunci: Bahasa Melayu, negara bangsa, cabaran, Malaysia

Cite as: Ibrahim Majdi Mohamad Kamil, Maliati Mohamad. (2020). Cabaran Pemerkasaan Bahasa
Melayu dalam Usaha Mencapai Negara Bangsa di Malaysia. Asian People Journal, 3(1), 181-191.

PENDAHULUAN

Negara Malaysia dikenali sebagai masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Melayu,
Cina, India, serta bumiputera Sabah dan Sarawak.Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957,
Malaysia telah berusaha untuk membentuk sebuah negara bangsa, iaitu melahirkan masyarakat yang berpegang
kepada konsep satu bangsa, satu identiti.Walaupun Malaysia berjaya mengurangkan konflik dan ketegangan antara
kaum, namun objektif Malaysia untuk mencapai tahap negara bangsa masih lagi jauh.Peranan masyarakat sangat
penting dalam membentuk negara bangsa terutama apabila terdapatnya rasa hegemoni antara masyarakat pelbagai
kaum di Malaysia. Pembentukan negara bangsa memerlukan masyarakat di dalam Malaysia mempunyai rasa
hegemoni dengan masyarakat Malaysia yang lain. Sebelum perbincangan lebih lanjut berkenaan topik utama,
perlulah didedahkan dengan konsep negara bangsa.

Negara menurut Ibn Khaldun (1991) merupakan suatu tubuh yang keadaanya sama seperti tubuh manusia,
mempunyai sifat dan tabiat sendiri, mempunyai jasmani dan rohani serta batas umur. Pemikir klasik J.J Rosseau
(1968) pula mendefinisikan negara memerlukan kerjasama rakyat untuk melindungi dan mempertahankan harta
benda anggota mereka yang bebas dan merdeka. Karl Marx (1972) pula memberi pandangan bahawa negara sebagai
alat pemenang untuk menindas yang kalah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat(2007), negara merujuk kepada
kawasan yang didiami oleh penduduk yang di perintah di bawah satu sistem politik yang sama. Secara ringkasnya
kita boleh melihat negara sebagai satu legitimasi dan penggunaan kuasa. Konsep nasion atau lebih dikenali sebagai
bangsa pula merujuk kepada sesebuah masyarakat yang mempunyai adat, budaya, agama dan fahaman yang
tersendiri. Perkembangan bangsa Malaysia hanya bermula selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.

Istilah Negara-Bangsa
Nasion menurut Abdul Rahman Embong (2015) merujuk kepada satu kelompok manusia yang terbentuk dalam
sejarah, dipertaut melalui perkongsian wilayah bersama, ekonomi bersama, bahasa bersama dan psikologi serta
emosi bersama. Definisi negara bangsa pula tidaklah dinyatakan dengan jelas. Hal ini demikian kerana konsep
negara bangsa di Eropah tidak sama dengan konsep negara bangsa di Malaysia. Konsep negara bangsa di Eropah
menekankan tentang hegemoni kaum dalam membentuk negara bangsa. Malaysia pula ingin membentuk negara
bangsa dengan acuan sendiri yang terdiri daripada pelbagai kaum. Definisi negara bangsa secara umum menurut

182
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191

kamus dewan adalah negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Tun Dr. Mahathir dalam ucapan beliau
pada tahun 1991 telah menekankan konsep negara bangsa ini. Hal ini demikian kerana negara bangsa merupakan
medium untuk mencapai negara yang berdaulat yang mana rakyatnya hidup bersatu-padu tanpa dipisahkan oleh
sentimen perkauman, agama, bangsa dan keturunan. Beliau menyeru supaya masyarakat Malaysia mesti bersatu
padu untuk menyanjung masa depan yang dikongsi bersama di samping mengamalkan gaya hidup yang sejahtera
dan berintegrasi demi keharmonian hidup bermasyarakat.

“Pembinaan negara bangsa amat penting bagi sesebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti
Malaysia. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme.
Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas
dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai
negara. Untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi
bersama bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati
kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah bangsa
Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut” (Tun Dr
Mahathir, 1991). Jelaslah bahawa perkongsian bersama amat penting dalam negara bangsa.

Sejarah Negara Bangsa Di Malaysia


Sejarah negara bangsa secara ringkasnya bermula daripada masyarakat Eropah. Kewujudan konsep negara bangsa
di Eropah bermula apabila berlakunya zaman pencerahan yang mana masyarakat menentang golongan gereja yang
pada ketika itu telah mentadbir negara. Penentangan tersebut telah mewujudkan pentadbiran berbentuk sekular iaitu
pengasingan kuasa antara gereja dengan pentadbiran negara. Di Malaysia pula, konsep negara bangsa hanya
bermula pada era kolonial terutama pada era kolonial British.Walau bagaimanapun, perjuangan negara bangsa pada
masa itu berbeza dengan pembentukan negara bangsa kini. Pada masa itu, idea pembentukan negara bangsa
terutamanya yang diperjuangkan oleh golongan yang digelar sebagai golongan aliran kiri yang menginginkan
pembinaan negara bangsa Malaysia bersama Indonesia dan Filipina.

Usaha untuk membentuk negara bangsa bersama Indonesia dan Filipina gagal apabila setiap negara
mendapat kemerdekaan yang berbeza. Setelah rundingan kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman,
akhirnya Persekutuan Tanah Melayu terbina pada tahun 1957 dengan kaum Melayu, Cina, dan India sebagai kaum
utama di semenanjung Tanah Melayu. Setelah Malaysia merdeka, maka telah bermulanya usaha untuk mewujudkan
satu negara bangsa di Malaysia tetapi usaha dalam mencapai negara bangsa pada waktu itu masih kurang. Insiden
peristiwa 13 Mei 1969 yang diberitakan sebagai rusuhan antara kaum sehingga menyebabkan darurat dan
penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah memaksa pemimpin negara melakukan sesuatu bagi
menangani dan mengurangkan konflik antara kaum di Malaysia.

Malaysia Dalam Usaha Ke Arah Negara Bangsa


Hasil daripada Peristiwa 13 Mei, telah terhasilnya Rukun Negara yang dilihat sebagai satu bentuk penyatuan antara
kaum untuk bersatu padu. Seperti yang kita tahu, Rukun Negara boleh menyemai semangat kenegaraan dalam diri
masyarakat. Secara tidak langsung, pengenalan Rukun Negara dilihat sebagai satu alat untuk membentuk negara
bangsa. Menurut Mohamad Rodzi (2009), perkembangan negara bangsa Malaysia banyak tertumpu kepada politik.
Usaha secara insentif hanya bermula selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Walau bagaimanapun usaha pada masa itu
tidak secara khusus menekankan konsep negara bangsa. Penekanan terhadap konsep negara bangsa telah menjadi
salah satu strategi dalam Dasar Ekonomi Baru. Konsep negara bangsa yang jelas telah diperkatakan oleh Tun Dr

183
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191

Mahathir pada tahun 1991 semasa pengenalan Wawasan 2020. Di dalam Wawasan 2020, ianya lebih berfokus
kepada matlamat utama pembinaan negara bangsa yang boleh mewujudkan sebuah negara maju pada tahun 2020
di samping melahirkan masyarakat yang bersatu padu, taat dan cinta akan negara.

Pengenalan Wawasan 2020 juga menjadi permulaan kepada pembentukan negara bangsa Malaysia yang
lebih serius. Untuk membentuk negara bangsa yang sesuai dengan Malaysia, penulis ingin menggunakan
pendekatan konsep pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu sebagai konsep utama untuk membina negara bangsa
Malaysia. Bahasa bukanlah alat komunikasi untuk berhubung semata-mata, tetapi ianya berfungsi sebagai lambang
identiti sesebuah negara dan mampu melahirkan semangat kekitaan, kebangsaan dan perpaduan dalam kalangan
masyarakat. Justeru, peranan bahasa perlu dilihat dengan lebih meluas. Dalam esei ini, penulis ingin mengulas
dengan lebih mendalam berhubung peranan bahasa yang memainkan peranan utama dalam pembentukan negara
bangsa di Malaysia.

Bahasa Sebagai Alat Untuk Mencapai Negara Bangsa


Bahasa merupakan lambang dalam budaya dan melalui pembinaan bahasa juga sesuatu budaya boleh dipengaruhi.
Antara isu yang sering dibangkitkan dalam pembinaan negara bangsa ialah isu bahasa. Hal ini demikian kerana
bahasa merupakan lambang jati diri bagi sesuatu masyarakat atau bangsa itu. Bahasa mempunyai banyak fungsi
dalam perkembangan budaya berdasarkan keperluan semasa. Menurut Hartmann dan Stork (1976), bahasa
digunakan untuk menggambarkan sesuatu (fungsi representasi), untuk menyampaikan maklumat antara anggota
masyarakat (komunikatif), penerimaan daripada pendengar (fungsi apelatif), untuk menyatakan dan mengujarkan
perasaan (fungsi ekspresif) atau memberikan penaakulan intelektual (fungsi kognitif). Sepanjang proses pembinaan
negara bangsa, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 152,
Perlembagaan Persekutuan. Hal ini jelas menunjukkan struktur bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar
tunggal dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan sekaligus meletakkan bahasa Melayu sebagai maruah dan citra
negara. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sektor pendidikan dapat dilihat dalam Akta
Pendidikan 1996, Perkara 17 yang menyatakan:

“Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam
sistem pendidikan kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain
yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini” (Undang-Undang Malaysia Akta Pendidikan 1996,
1996).

Menurut Puteri Roslina Abdul Wahid (2005), bahasa ialah cermin budaya, penghubung dengan masa silam,
dan penjelmaan keseluruhannya. Pendidikan dan bahasa merupakan tunjang dalam membina kekuatan konsep
negara bangsa dan pendekatan ini haruslah seiring. Hal ini demikian kerana, isu yang wujud berkaitan bahasa
mampu diselesaikan melalui saluran sistem pendidikan. Perkara asas yang boleh digunakan adalah dengan
meningkatkan pemahaman pelajar tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa penting
kerana ianya ditulis dengan menggunakan lunas undang-undang. Kerajaan terus berusaha keras dalam memastikaan
bahasa Melayu menjadi medium utama sebagai alat komunikasi dalam membina negara bangsa. Hal ini selaras
dalam usaha untuk melahirkan satu bangsa, satu bahasa dan merealisasikan dasar kerajaan iaitu memartabatkan
bahasa Melayu mengukuhkan bahasa Inggeris.

Memperkasakan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa itu hebat dan dominan. Pemerkasaan
sesuatu bahasa itu juga bermaksud memberikan peranan kepada bahasa Melayu untuk digunakan dalam semua

184
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191

bidang dan semua peringkat, daripada yang paling rendah ke peringkat yang paling tinggi, daripada komunikasi
sosial kepada komunikasi formal dalam bidang-bidang seperti pentadbiran, perniagaan, undang-undang dan
bidang-bidang profesional yang lain. Bahasa juga digunakan dalam perbahasan intelektual. Bahasa yang
diperkasakan ialah bahasa yang akan digunakan secara kreatif, dapat menggambarkan pelbagai jenis emosi, cita
rasa, keinginan, cita-cita, sifat dan perilaku manusia dengan sedalam-dalam dan sehalus-halusnya seperti yang
digambarkan dalam karya kesusasteraan peringkat tinggi (Yusfarina & Abdul Rasid, 2011). Menurut Asmah
(1993), perancangan sesuatu bahasa sangat penting terutama dalam proses penyatuan negara dan masyarakat.

Apabila kita melihat kepada sejarah kerajaan terdahulu, pemerkasaan penggunaan bahasa dapat
membentuk kerajaan dan tamadun yang kuat dan berjaya. Awang Sariyan (2010), berpendapat bahawa bahasa amat
penting dalam kejayaan pembangunan sesebuah tamadun. Beliau memberi contoh kekuatan tamadun Yunani dan
tamadun Greek yang terbina beratus tahun dahulu hasil daripada keampuhan bahasa mereka sendiri. Begitu juga
dengan tamadun Arab yang mana pemerintahan tanah Arab serta zaman kegemilangan Islam menggunakan bahasa
Arab. Bahasa Arab juga terus digunakan oleh para cendiakawan Islam dalam ilmu perubatan, sains, fizik dan
sebagainya.

Selain tamadun Yunani, Greek dan Arab, alam Melayu juga telah menjadi tamadun yang gemilang pada
zaman Kesultanan Melayu Melaka. Penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca telah menjadi medium utama
dalam segala aktiviti ekonomi di Melaka. Menurut Peter Trudgill (1983), lingua franca merujuk kepada bahasa
yang digunakan dalam komunikasi dan perhubungan seharian dalam kalangan masyarakat yang tidak mempunyai
bahasa ibunda yang sama. Menurut Noriah Mohamed (1999), penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua
franca di kawasan Kepulauan Melayu telah wujud beratus tahun dahulu, iaitu bermula sejak zaman kerajaan
Sriwijaya, Majapahit sehinggalah Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Melaka menguasai alam Melayu ketika itu
sebagai salah satu pelabuhan yang banyak didatangi oleh orang luar termasuk pedagang daripada India, Cina, dan
Arab.

Malah, kesannya masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Contoh yang dapat dilihat ialah Baba Nyonya
yang telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dan juga telah memberi kesan yang
sangat besar kepada masyarakat. Malah, bukan setakat bahasa sahaja, tetapi ianya juga memberi kesan terhadap
budaya dalam kedua-dua peranakan ini seperti dalam konteks makanan, pakaian, sastera dan sebagainya. Walaupun
generasi pertama Chetti serta Baba dan Nyonya sudah tiada, tetapi bahasa dan budaya yang digunakan oleh mereka
digunakan secara turun temurun.

Bahasa Sebagai Alat Negara Bangsa Di Malaysia


Melihat kepada kerajaan Melayu Melaka dan peranakan di Melaka, bahasa amat penting kerana ianya dapat
mencapai perpaduan hasil daripada bahasa dan budaya. Apabila melihat kepada zaman kerajaan Melayu Melaka,
iaitu pada era penggunaan bahasa Melayu Klasik, fungsi bahasa Melayu sebagai lingua franca bukan hanya untuk
berkomunikasi sahaja, tetapi telah menjadi bahasa ilmu pengetahuan.

Pada awalnya, bahasa Melayu digunakan dalam penyebaran agama Islam, namun penggunaannya semakin
meluas terutama dalam kalangan sarjana serta para ilmuan dan telah menjadi bahasa pengantar utama dalam
penulisan ilmiah dan penyebaran agama Islam.Terdapat banyak karya sastera yang telah ditulis dengan
menggunakan bahasa Melayu, seperti Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Tun Sri Lanang. Di samping itu, bahasa

185
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191

Melayu juga telah digunakan dalam aktiviti persuratan antara golongan sultan dan juga pembesar untuk
menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara luar.

Menurut Gallop dan Arps (1991), surat-surat yang ditulis oleh raja-raja Melayu, pembesar-pembesar
Melayu dan juga pedagang-pendagang dianggap sebagai manuskrip yang sangat tinggi nilainya. Penggunaan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan, penulisan karya dan persuratan telah mendorong para ilmuan
luar untuk belajar bahasa Melayu. Menurut Hashim Musa, Rozita Che Rodi dan Salmah Jan Noor Muhammad
(2014) fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca mengalami kemerosotan pada awal abad ke-20 akibat
desakan kolonial untuk menggunakan bahasa mereka.

Contoh ini membuktikan bahawa pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu oleh masyarakat Malaysia
boleh menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara bangsa. Hal ini bermaksud bahasa Melayu bukan sahaja
medium untuk berkomunikasi, tetapi merupakan asas utama dalam membentuk sebuah ketamadunan. Bahasa juga
dikatakan sebagai alat untuk mendukung, mencerminkan dan mewariskan khazanah dalam sesebuah masyarakat
daripada satu generasi ke generasi. Di Malaysia, madah bahasa Melayu sebagai ‘Bahasa jiwa bangsa, bahasa
menunjukkan bangsa’ dapat diinterpretasikan sebagai bahasa tidak akan pupus selagi ada masyarakat dan
budayanya yang masih berpegang kepada bahasa tersebut (Rozita Che Hodi & Hashim Musa, 2014). Justeru, usaha
dalam pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu telah mula diperkenalkan selepas Malaysia dijajah lama oleh pihak
kolonial.

Kolonial mula bertapak di Tanah Melayu sekitar abad yang ke-16. Kedatangan penjajah telah
menyebabkan penggunaan bahasa Melayu telah terjejas. Dasar penjajah telah menyebabkan masyarakat di Tanah
Melayu semakin hilang identitinya. Perkara ini dapat dilihat apabila penggunaan bahasa Inggeris telah menjadi
bahasa utama dan digunakan secara meluas terutama dalam sektor pendidikan dan pentadbiran ketika zaman
penjajahan Inggeris. Hal ini bermaksud bahasa Inggeris telah mengambil kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
utama di Tanah Melayu pada waktu itu. Apabila Jepun datang menjajah, bahasa Jepun pula dijadikan bahasa utama
sebelum British kembali menjajah. Zaman kolonial telah memberi impak yang sangat mendalam terutama impak
daripada penjajahan British kerana Britih telah menjajah Tanah Melayu dalam tempoh yang agak lama.

Sekolah-sekolah yang dibina ketika zaman penjajahan banyak berorientasikan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar utama pendidikan di sekolah. Perkara ini menghakis pengaruh bahasa Melayu sebagai bahasa
utama di Tanah Melayu. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat usaha yang dilakukan oleh kerajaan
untuk kembali memartabatkan bahasa Melayu. Usaha pertama untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu ialah
dengan memperkenalkan satu undang-undang mengenai kepentingan bahasa Melayu dalam perlembagaan
Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara telah termaktub dalam Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Garis panduan ini termaktub dalam Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010).

Pada era sebelum penjajahan, bahasa Melayu yang merupakan lingua franca telah membuktikan
kemampuannya sebagai bahasa perpaduan kaum seterusnya menjadi tonggak kepada budaya negara bangsa
Malaysia. Jika disingkap dari segi perkembangan dan sejarah kenegaraan, kerajaan telah memainkan peranan yang
penting dalam melakukan pelbagai usaha bagi memartabatkan kembali bahasa ibunda. Antaranya ialah Penyata
Razak yang diangkat menjadi Ordinan Pelajaran 1957 yang mengesyorkan pengakuan matlamat akhir bahasa
kebangsaan iaitu bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan.

186
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191

Selain itu, bagi memperkasakan bahasa Melayu kerajaan juga telah mempergiatkan aktiviti-aktiviti
berkaitan kebahasaan, kesusasteraan, penterjemahan, pengkaryaan serta bahan bahasa dan sastera sejak era
Kesultanan Melayu Melaka lebih-lebih lagi terutamanya melalui penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun
1956 yang bertujuan untuk menerbitkan, mengalakkan dan memperkembangkan bahasa Melayu dalam semua
bidang disiplin. Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah diperuntukkan dalam akta 213, Akta Dewan Bahasa dan
Pustaka bersama beberapa akta lain bagi mengukuhkan agensi ini sebagai sebuah badan yang dapat mengukuhkan
bahasa Melayu.

Di dalam Penyata Razak (1956), perenggan ke-12, telah dinyatakan tujuan dasar pelajaran yang
mengkehendaki penyatuan para pelajar daripada semua bangsa untuk menggunapakai hanya satu aliran atau aturan
pelajaran yang menggunakan bahasa kebangsaaan sebagai bahasa pengantar utama. Perkara ini tidak dapat dibuat
secara serta-merta, tetapi secara beransur-ansur. Usaha ini sudah ada sebelum merdeka lagi seperti yang telah
dilaparkan di dalam Laporan Razak.Walau bagaimananapun, setelah 63 tahun merdeka, mengapakah bahasa
Melayu masih tidak dapat diperkasakan? Telah ada usaha oleh pihak kerajaan untuk mewujudkan sebuah kompleks
khas bagi menghimpunkan jenis sekolah aliran yang berbeza dengan pengenalan Sekolah Wawasan.

Pengenalan Sekolah Wawasan merupakan salah satu langkah dalam pembinaan negara bangsa di Malaysia.
Seperti yang kita ketahui, penubuhan Sekolah Wawasan ini berpegang kepada konsep belajar di bawah satu
bumbung yang sama. Hal ini bermakna pelajar-pelajar daripada kaum Melayu, India dan Cina belajar bersama-
sama tanpa mengambil kira perbezaan kaum. Selain itu, Sekolah Wawasan juga berkongsi kemudahan yang sama
seperti kantin, guru, padang, pusat sumber dan sebagainya. Penubuhan Sekolah Wawasan boleh memupuk
perpaduan terutama apabila bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa untuk berkomunikasi antara
pelajar sekolah tersebut. Penggunaan bahasa ibunda seperti bahasa Tamil dan Mandarin di Sekolah Wawasan tidak
akan melemahkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dalam kalangan pelajar. Walau
bagaimanapun, konsep ini dilihat kurang berjaya untuk mencapai objektif. Bagi menjayakan usaha-usaha
pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia, perlu diteliti beberapa cabaran penting yang
mungkin menjadi penghalang kepada usaha ini.

Cabaran Dalam Mencapai Negara Bangsa


Perbincangan ini lebih berfokus kepada permasalahan dan cabaran yang dihadapi sehingga bahasa Melayu masih
tidak dapat diperkasakan walaupun Malaysia telah merdeka selama 63 tahun. Menurut Ku Hasnan (2012), bahasa
Melayu merupakan bahasa kebangsaan bagi Malaysia, Brunei, dan Indonesia. Bahasa ini dipanggil dengan pelbagai
nama. Terdapat kekeliruan dalam masyarakat Malaysia berkenaan nama yang harus dipanggil sama ada “Bahasa
Melayu” atau pun “Bahasa Malaysia”. Tambah Ku Hasnan lagi, pada tahun 1986, istilah "Bahasa Malaysia" ditukar
kepada "Bahasa Melayu". Menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, bahasa kebangsaan Malaysia
ialah bahasa Melayu.

Namun begitu, pada 4 Jun 2007, kabinet membuat keputusan untuk menukarkan penggunaan "Bahasa
Melayu" kepada "Bahasa Malaysia". Kabinet mengarahkan supaya semua kementerian, universiti dan pusat
pengajian tinggi supaya memaklumkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menggunakan istilah "Bahasa
Malaysia" dalam surat-menyurat, notis dan dokumen. Rasionalnya ialah untuk menanam semangat perpaduan
dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Pada 5 November 2007, Menteri Penerangan Malaysia,
Datuk Seri Zainuddin Maidin, menegaskan lagi bahawa penggunaan istilah baru "Bahasa Malaysia" adalah
muktamad.

187
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191

Malaysia juga menghadapi masalah untuk membentuk negara bangsa kerana faktor politik. Politik amat
memainkan peranan dalam pembentukan negara bangsa. Dasar-dasar kerajaan banyak menunjukkan usaha kerajaan
untuk memperjuangkan negara bangsa antaranya seperti laporan Razak, Perlembagaan Malaysia, Wawasan 2020,
dan sebagainya. Kebanyakan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan amat mendokong pembentukan negara bangsa.
Walau bagaimanapun, adakah semua dasar yang dibuat oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik? Persoalan
ini boleh dibincangkan kerana kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan.

Apabila diperhatikan masyarakat Malaysia pada hari ini, penguasaan bahasa Melayu masih lagi ditahap
yang kurang memberangsangkan. Masih terdapat ramai masyarakat India dan Cina yang kurang penguasaan bahasa
Melayu yang baik. Sebagai rakyat Malaysia, setiap masyarakat perlu mahir berbahasa Melayu kerana bahasa itu
melambangkan identiti negara seseorang individu tersebut. Bahkan, terdapat segelintir daripada pemimpin
masyarakat terutamanya ahli-ahli politik yang tidak mahir bertutur dalam bahasa Melayu. Penggunaan bahasa yang
tidak mahir bukan sahaja daripada komuniti Cina dan India, tetapi turut dihadapi oleh orang Melayu sendiri.

Masalah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat pada masa ini adalah penggunaan bahasa
“rojak” yang menghilangkan identiti asal bahasa Melayu. Jika diperhatikan banyak bahasa asal perkataan diubah
menjadi ringkas atau lebih mudah disebut atas alasan perkataan asal terlalu panjang untuk disebut. Masyarakat
menggunakan alasan bahasa “rojak” atau pasar ini lebih mudah digunakan dalam kehidupan seharian.Tambahan
lagi, dalam kepesatan penggunaan teknologi seperti penggunaan e-mel dan juga pesanan ringkas memberi kesan
yang lebih buruk kepada penggunaan bahasa Melayu. Ini amat memberi kesan terhadap usaha pemerkasaan bahasa
Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Masalah seterusnya ialah dasar penggunaan bahasa dalam sistem pendidikan negara. Penggunaan bahasa
yang tidak konsisten menyebabkan berlakunya masalah pemerkasaan bahasa Melayu. Selepas kemerdekaan,
kerajaan telah berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu setelah sistem pendidikan sekolah telah diubah
semasa pendudukan British dan Jepun.Walau bagaimanapun, setelah kerajaan mengumumkan penggunaan bahasa
Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah menambah cabaran dalam memperkasakan bahasa
Melayu ini. Alasan kerajaan untuk mewujudkan sistem ini adalah untuk generasi Malaysia seterusnya bersaing di
peringkat global kerana bahasa Inggeris telah menjadi bahasa pendidikan di dunia.

Dasar ini telah menyebabkan sebahagian masyarakat dan pejuang-pejuang bahasa menentang perlaksanaan
dasar ini sehingga dasar ini dikaji semula dan penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matemik ditarik balik
setelah dilaksanakan untuk beberapa tahun. Alasan pihak yang menentang hal ini berpendapat bahawa masyarakat
Melayu luar bandar khususnya akan semakin ketinggalan ke belakang. Walau bagaimanapun, baru-baru ini
kerajaan memperkenalkan dasar dwi bahasa iaitu kebebasan kepada pihak sekolah sama ada ingin memilih bahasa
Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa utama Sains dan Matematik. Sebenarnya, bahasa Melayu boleh
memainkan peranannya dalam penyampaian maklumat berkaitan sains dan teknologi sekiranya kita memiliki ilmu
dan teknologi sendiri tanpa bergantung kepada ciptaan teknologi negara lain. Gagasan Agenda Ilmu yang
dikemukan oleh Shahir Mohd. Zain (1995) amat bertepatan dengan kehendak Malaysia untuk menggunakan bahasa
Melayu dalam bidang sains dan teknologi.

Selain itu, pertambahan sekolah vernakular di Malaysia juga telah menjejaskan pemerkasaan bahasa
Melayu sekaligus semakin jauh untuk Malaysia mencapai sebuah negara bangsa. Jumlah sekolah vernakular

188
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191

sepatutnya menjadi lebih sedikit apabila kita dalam usaha untuk membentuk negara bangsa tetapi yang terjadi
adalah sebaliknya. Malah, usaha kerajaan membina sekolah kebangsaan sebagai tempat penyatuan kaum sedikit
terjejas apabila kebanyakan masyarakat Malaysia lebih memilih sekolah vernakular sebagai tempat pembelajaran
anak mereka. Malah, sekolah-sekolah antarabangsa juga semakin bertambah yang pasti akan membawa masalah
kepada pemerkasaan bahasa Melayu apabila majoriti sekolah antarabangsa menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa rasmi.

Di peringkat yang lebih tinggi, kebanyakan universiti juga mula memperkenalkan pengajaran kursus dalam
bahasa Inggeris. Mereka berpendapat bahawa kebanyakan ilmu dan rujukan maklumat utama merupakan sumber
daripada bahan yang berbahasa Inggeris. Masalah-masalah sebegini yang akan menjejaskan usaha memperkasa
bahasa Melayu di Malaysia kerana sekolah dan universiti merupakan institusi sosialisasi yang banyak memberi
kesan kepada kehidupan individu.

Pada era pasca merdeka, bahasa Melayu berjaya dimartabatkan dan diberikan kuasa, pengaruh dan
kewibawaan untuk menentukan tempat dan kekuatannya dalam negara ini. Namun begitu, apa yang dihasratkan
sebenarnya kian kabur dari segi pencapaiannya. Sejarah mungkin berulang dan kini, bahasa Inggeris mula
mengambil alih posisi bahasa ibunda. Seperti zaman penjajahan British dahulu, bahasa Inggeris diletakkan sebagai
bahasa utama dalam bidang pendidikan. Pengenalan terhadap pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam
sektor pendidikan di peringkat sekolah jenis kebangsaan dan mana-mana institusi pendidikan lain yang
dikecualikan oleh Menteri Pendidikan telah memberi peluang kepada institusi terlibat terutama Institusi Pengajian
Tinggi Swasta (IPTS)untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama dalam proses pengajaran dan
pembelajaraan. Namun demikian, menurut Hashim Haji Musa (2004), hal ini juga telah mewujudkan peningkatan
terhadap penggunaan bahasa Inggeris di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Persepsi serong dari segelintir masyarakat mengenai kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris
berkaitan keperluan negara dan kepentingan antarabangsa menyebabkan kedudukan bahasa Melayu kembali goyah.
Hasil tuntutan globalisasi, bahasa Inggeris kini telah mendominasi dan mula mengambil alih kedudukan bahasa
kebangsaan. Sebagai contoh, pengenalan sistem pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris telah melemahkan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri. Justeru, dengan adanya
konflik kedudukan bahasa ini telah memberi ruang kepada kaum yang wujud di Malaysia untuk turut sama
memperjuangkan bahasa mereka. Sekalipun kedudukan bahasa kebangsaan dijamin kedudukannya mengikut
Perlembagaan Malaysia, namun, realiti sebenar dalam kehidupan seharian seolah-olah meminggirkan bahasa
ibunda.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, untuk melihat pemerkasaan bahasa Melayu sebagai asas kepada Malaysia dalam mencapai
perpaduan dan membentuk sebuah negara bangsa memang begitu jelas. Terdapat beberapa negara telah berjaya
menjadi sebuah negara bangsa dengan berasaskan bahasa mereka sendiri. Sebagai contoh, negara Jepun dan Korea
Selatan dapat mewujudkan negara bangsa mereka sendiri dan menjadi sebuah negara yang maju.

Dalam kelompok Asia Tenggara pula, negara jiran iaitu Indonesia telah berjaya mencapai negara bangsa
mereka setelah mereka mencapai kemerdekaan. Masyarakat Indonesia yang berbilang kaum menggelar diri mereka

189
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191

sebagai ‘Bangsa Indonesia’ atau ‘Orang Indonesia’. Mereka juga menjadikan bahasa Indonesia sebagai bahasa
rasmi dan bahasa kebangsaan negara Indonesia. Asas bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu iaitu daripada
kelompok bahaas Austronesia.

Sebagai sebuah negara yang telah lama mencapai kemerdekaan, Malaysia seharusnya meneruskan usaha
untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam membentuk sebuah negara bangsa. Kerajaan Malaysia telah banyak
menggariskan dasar-dasar untuk sebuah pembentukan negara bangsa dan memperkasakan bahasa Melayu.Tetapi
dasar-dasar yang telah dibuat oleh kerajaan perlulah dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya Malaysia berjaya
membentuk sebuah negara bangsa Malaysia yang telah lama diidamkan oleh rakyat Malaysia.

RUJUKAN

Abdul Rahman Embong. (2015). Negara-bangsa: Proses dan perbahasan. Ed. Ke-2. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Asmah Haji Omar. (1993). Perancangan bahasa dengan rujukan khusus kepada perancangan bahasa Melayu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. Pemartabatan bahasa kebangsaan dalam pembinaan negara bangsa. Syarahan bahasa anjuran
Dewan Bahasa dan Pustaka wilayah timur dan IPG Tengku Ampuan Afazan: Kuala Lipis. [25 Febuari
2010].
Gallop, A.T. & Arps, B. (1991). Golden Letters: Writing Traditions of Indonesia (Surat Emas: Budaya Tulis di
Indonesia). London: The British Library.
Hartmann. R.R.K., Stork, F.C. (1976). Dictionary of Language and Linguistics. London: Applied Science
Publisher.
Hashim Bin Haji Musa. (2004). Pemerkasaan tamadun Melayu Malaysia: Menghadapi globalisasi barat. Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Hashim Musa, Rozita Che Rodi & Salmah Jan Noor Muhammad. (2014). Pelestarian Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Utama dalam Persuratan Pembudayaan Ilmu, Sains dan Teknologi di Rantau Ini.International
Journal of the Malay World & Civilization (Iman). Jilid 2 (2): 3-19.
Ibn Khaldun. (1991). Muqaddimah. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.Idris Zakaria. 1991. Teori Politik al Farabi.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ku Hasnan bin Ku Halim. (2012). Membugar harapan pemersatuan atau menanti masa ditalkinkan atas nama
bernegara? Di mana bahasa Melayu dalam pemupukan jati diri bangsa setelah 55 tahun merdeka. Jabatan
Pengajian Kemanusiaan: Universiti Tun Hussein Onn.
Marx, K. 1972. Karl Marx: The Essential Writing. Edt: Frederic L. Bender. London: Westview Press.

Mohamad Rodzi Abd Razak. (2009). Pembinaan negara bangsa Malaysia: peranan pendidikan sejarah dan dasar
pendidikan kebangsaan. JEBAT (36):90-106
Noriah Mohamed. (1999). Sejarah Sosiolinguistik bahasa Melayu lama. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Peter, T. (1983). Sociolinguistics: An intoduction to language and society. Britain: Pinguin Book.
Puteri Roslina Abdul Wahid (2005). ``Bahasa Melayu dalam konteks budaya dan kuasa’’. Dlm. Melayu: Jurnal
Antarabangsa Dunia Melayu, DBP, 2 Disember 2005.
Rousseau, J.J (1968) The Social Contract. London: Penguin.

190
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2020, VOL 3(2), 181-191

Rozita Che Hodi & Hashim Musa. (2014). Bahasa Melayu bahasa negara bangsa Malaysia.Jurnal Bahasa, Budaya
dan Warisan Melayu, 1(2), 257-272
Yusfarina Mohd Yussof & Abdul Rasid Jamian. (2011). Pembinaan Negara bangsa dan identiti kebangsaan melalui
pemerkasaan bahasa dalam sistem persekolahan. Pendidikan bahasa dan kesusasteraan, 11(1):10-16.

191

You might also like