You are on page 1of 5

1.

0 Pengenalan

Perkembangan kognitif merujuk kepada proses perkembangan keupayaan berfikir dan


menaakul yang berlaku seiringan dengan perkembangan sosioemosi, fizikal dan
penguasaan kemahiran berbahasa. Menurut Berk (2006), proses kognitif merupakan proses
dalaman dan hasil minda yang membawa kepada pengetahuan. Proses ini merangkumi
“segala aktiviti mental iaitu mengingat, membuat perwakilan simbol, mengkategorikan,
menyelesaikan masalah, mereka cipta, mengkhayalkan dan daya imaginasi”.

Menurut Teori Piaget, peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak terbahagi kepada


empat peringkat, iaitu peringkat sensori motor (lahir sehingga 2 tahun), peringkat praoperasi
(2 hingga 7 tahun), peringkat operasi konkrit (7 hingga 11 tahun) dan peringkat operasi
formal (12 hingga dewasa). Dalam kerja kursus ini, saya akan berfokus kepada
perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit berdasarkan Teori Jean
Piaget.

Perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat tersebut banyak melibatkan


‘operasi’. Kanak-kanak dapat mempertimbangkan beberapa ciri objek secara serentak,
bukan lagi berfokus kepada satu ciri sahaja. Pemikiran intuitif telah diganti dengan
penaakulan logik. Operasi-operasi mengklasifikasi, seriasi serta kebalikan dapat difahami
dan dikuasai oleh kanak-kanak. Namun demikian, penguasaan penaakulan logik ini hanya
terikat dengan pengalaman deria dan motor yang konkrit sahaja kerana kanak-kanak akan
mengalami kekeliruan jika dipersembahkan dalam bentuk abstrak. Selain itu, kanak-kanak
pada peringkat ini sudah dapat menguasai konsep kekekalan, iaitu memahami bahawa
sesuatu objek yang mengalami perubahan ketara masih mempunyai sifat yang yang sama.

Dalam kajian ini, saya telah menjalankan dua jenis aktiviti kekekalan iaitu kekekalan isi
padu cecair dan kekekalan nombor serta satu aktiviti mengklasifikasi objek bersama
seorang kanak-kanak yang telah berumur 10 tahun untuk mengukur pemikiran kanak-kanak
tersebut terhadap penguasaan konsep kebalikan serta konsep seriasi dan mengklasifikasi.
Kedua-dua kajian kekekalan akan menggunakan urutan yang sama. Bahan-bahan
eksperimen dipersembahkan dan kanak-kanak ditanya dengan soalan pertama. Selepas
jawapan diperoleh, saya akan mengubah dan menyusun semula bahan-bahan di hadapan
kanak-kanak diikuti dengan soalan kedua.

1
2.0 Hasil Pemerhatian

Dalam aktiviti menguji kekekalan isi padu, saya telah meletakkan dua buah gelas yang
sama serta mempunyai ukuran air yang sama dan menanyakan soalan kepada kanak-
kanak. “Adakah setiap gelas mempunyai air yang sama banyak?” Jawapannya adalah
“sama.” Seterusnya, saya telah mengambil salah satu gelas air eksperimen tersebut dan
tuangkan ke dalam satu gelas lain yang lebih tinggi lalu menanyakan soalan yang sama
serta memintanya untuk memberi alasan terhadap jawapannya. Kanak-kanak tersebut
menjawab “sama, kerana air di dalam gelas yang lebih tinggi tersebut adalah berasal dari
gelas eksperimen pertama, isi padu air tidak akan berubah walaupun bentuk atau ketinggian
gelas ditukar, jika air dituang semula ke dalam gelas asal, ia tetap mempunyai aras yang
sama.

Dalam aktiviti menguji kekekalan nombor, saya telah menggunakan 4 keping biskut yang
sama sebagai bahan eksperimen saya. Pertama, saya telah membahagikan bilangan biskut
secara sama rata kepada sendiri dan kanak-kanak tersebut, iaitu setiap orang akan
mendapat 2 keping biskut lalu menanyakan soalan. “Siapakah yang mendapat bilangan
biskut yang lebih banyak?” Jawapannya adalah “sama.” Berikutnya, saya telah
membelahkan setiap biskut saya menjadi dua keping dan menjarakkan biskut tersebut.
Hasilnya, saya akan menggunakan empat keping biskut hasil daripada belahan biskut tadi
dan berulang soalan yang sama kepada kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak tersebut
menjawab “sama, kerana saiz biskut yang dibelah tersebut telah menjadi kecil walaupun
kelihatan lebih banyak daripada biskutnya, tetapi apabila biskut tersebut digabungkan
semula, ia tetap mempunyai bilangan dan saiz yang sama.”

Daripada hasil jawapan kedua-dua aktiviti tersebut, kita dapat merumuskan bahawa
kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit telah menguasai konsep kebalikan, mereka
tidak lagi bersifat egosentrik dan berupaya memisahkan diri dari sudut pandangan sendiri
dan menerima pandangan orang lain.

2
Selain itu, seriasi dan mengklasifikasi merupakan dua aspek perkembangan kognitif
yang diperlihatkan pada peringkat akhir operasi konkrit menandakan kanak-kanak
mempunyai keupayaan untuk mengaplikasikan penaakulan logikal dalam proses
penyelesaian masalah. Dalam aktiviti kajian ini, saya telah menunjukkan kanak-kanak
dengan tiga keping gambar enam bola, 3 daripadanya bola tenis, 2 daripadanya bola ping
pong dan 1 daripadanya bola golf sambil bertanyakan dua soalan. Soalan satu: Mana paling
banyak, bola tenis, bola ping pong atau bola golf? Soalan dua: Mana lebih banyak, bola
tenis atau bola? Jawapan kanak-kanak bagi soalan pertama adalah bola tenis manakala
jawapan untuk soalan kedua adalah bola dengan alasan jumlah bola adalah 6 tetapi bola
tenis hanya 3 sahaja. Jawapan ini membuktikan bahawa kanak-kanak pada peringkat ini
dapat membezakan antara kategori dan subkategori. Di samping itu, saya telah menyuruh
kanak-kanak tersebut untuk menyusun bola tersebut secara lisan mengikut urutan dari
bilangan bola yang paling kurang sehingga paling banyak. Kanak-kanak tersebut menjawab
“bola golf, bola ping pong dan bola tenis.” Jawapan tersebut telah membuktikan bahawa
kanak-kanak tersebut telah boleh melakukan proses menyusun secara bersiri, iaitu susunan
secara menaik dan menurun. Sebagai contoh, mereka boleh membuat susunan logik seperti
bilangan bola golf adalah paling kurang, manakala bilangan bola ping pong lebih kurang
berbanding dengan bola tenis.

Daripada ketiga-tiga aktiviti yang telah saya lakukan, dapatlah dirimuskan bahawa
kanak-kanak tersebut memenuhi kesemua ciri-ciri kanak-kanak pada peringkat operasi
peringkat menurut Teori Jean Piaget kerana kanak-kanak tersebut berjaya menguasai
konsep kebalikan, seriasi dan mengklasifikasi berdasarkan hasil aktiviti yang dilakukan.

3.0 Cara-cara Membantu Kanak-kanak tersebut

Kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit masih belum dapat berfikir secara abstrak,
maka penaakulan logik mereka hanya terikat kepada pengalaman deria dan motor yang
konkrit sahaja. Jika guru menggunakan konsep-konsep yang abstrak, murid sekolah rendah
akan menghadapi masalah memahaminya kerana konsep-konsep tersebut tidak memberi
makna kepada mereka. Akibatnya, mereka akan menggunakan cara pembelajaran hafalan
untuk menyelesaikan masalah dan bukannya secara penaakulan atau penyelesaian yang
logik.

3
Sebagai guru, saya akan kerap mengadakan aktiviti hands-on serta menyediakan
bahan-bahan maujud sebagai sumber bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas
untuk merangsang pemikiran kanak-kanak tersebut secara logik tentang permasalahan yang
dihadapi melalui penglibatan secara aktif dalam pembelajaran kerana kanak-kanak dapat
lebih memahami konsep-konsep penaakulan berdasarkan pemerhatian sendiri terhadap
bahan maujud tersebut serta pengaplikasi konsep tersebut dalam kehidupan harian.
Contohnya, guru boleh meletakkan beberapa jenis bahan maujud dan beberapa soalan
yang digulung di dalam kertas sebagai pengukuhan untuk menguji tahap kefahaman para
pelajar. Cara pemikiran perlu dicabar sebagai langkah untuk meluaskan pengetahuan
mereka sedia ada untuk pembelajaran seterusnya.

Selain itu, kanak-kanak pada peringkat tersebut tidak lagi bersifat egosentrik, mereka
sudah mampu mengikut arahan, peraturan dan giliran yang ditetapkan serta dapat
memahami emosi diri dan orang lain. Dengan itu, saya akan merancang aktiviti-aktiviti
prososial seperti aktiviti berkumpulan bagi meluaskan minda murid-murid melalui
perkongsian idea dan perbincangan yang dijalankan antara murid-murid. Ini bukan sahaja
dapat membantu mereka untuk menjana idea yang aras tinggi serta dapat memupuk
kemahiran komunikasi murid secara efektif.

Sehubungan itu, saya akan mengelak diri daripada berperanan sebagai penyampai
maklumat di dalam kelas sahaja dan sentisa menyediakan peluang untuk kanak-kanak
membuat penerokaan dan penemuan konsep atau prinsip yang dipelajari menggunakan
daya pemikiran dengan mengeluarkan soalan-soalan kepada murid untuk menggalakkan
mereka berfikir secara logikal dan analitikal. Saya juga akan sentiasa menggalakkan mereka
menyoal soalan dan mencari jawapan sendiri berdasarkan panduan ataupun kata kunci
yang diberi dan seterusnya membentangkan jawapan di dalam kelas sebagai perbincangan
bersama-sama dengan semua murid kerana guru hanya berperanan sebagai pembimbing
ataupun fasilitator sahaja.

Tambahan pula, saya juga akan merancang aktiviti yang melibatkan kekekalan isi padu,
nombor dan keluasan seperti aktiviti-aktiviti yang telah saya laksanakan dalam kajian ini dan
aktiviti lain yang dapat melibatkan kekekalan isi padu, nombor dan keluasan bagi
mengukuhkan penguasaan kanak-kanak tersebut daalm konsep kekekalan-kekekalan
tersebut dan sebagainya. Secara amnya, kanak-kanak menguasai kekekalan nombor
sebelum memahami kekekalan isi padu cecair dan pepejal serta konsep yang lebih
kompleks seperti masa dan kelajuan. Justeru, saya akan memberi galakkan kepada kanak-

4
kanak melakukan aktiviti kebalikan atau susunan songsang. Kanak-kanak pada akhir
peringkat ini akan menguasai kesemua kemahiran kekekalan tetapi pada kadar yang
berbeza. Maka, guru seharusnya merancang aktiviti yang bersesuaian agar murid-murid
mencapai ekuilibrasi yang dihasratkan.

4.0 Kesimpulan

Teori Piaget kerap dijadikan rujukan ilmiah dan tidak mungkin dikecualikan daripada
kritikan iaitu beliau kurang memberi penekanan terhadap faktor persekitaran sosial kanak-
kanak dalam membantunya membina struktur kognitif. Namun begitu, teori beliau masih
menjadi kuasa dominan dalam metodologi dan pemikiran yang berkaitan dengan psikologi
kognitif. Teori Piaget dapat diaplikasikan ke dalam pengajaran guru sebagai satu rujukan,
namun guru juga seharusnya sentiasa mengubah cara dan media bahan pengajaran sendiri
pada abad ke-21 ini untuk membantu perkembangan kognitif kanak-kanak serta melahirkan
insan yang kreatif dan inovasi pada masa hadapan.

(1330 patah perkataan)

5.0 Rujukan

Wong, K.W., Mohamad Isa Zaris & Rafidah Ruhani. (2016). Perkembangan Kanak-kanak.
Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

You might also like