You are on page 1of 5

Tindak Balas Masyarakat Tempatan Terhadap Penjajah di Tanah Melayu

1.0 PENGENALAN

Tanah Melayu terletak di kedudukan strategik yang berada di pertengahan jalan


perdagangan antara timur dan barat dan kaya dengan sumber alam semula jadi yang
berbagai-bagai seperti rempah, bijih timah, hasil hutan dan sebagainya. Kedudukan geografi
yang strategik dan kekayaan hasil bumi di Tanah Melayu telah menarik minat kuasa asing
dari Eropah untuk menguasainya. Portugis, Belanda, British dan Jepun adalah kuasa-kuasa
asing yang pernah menjajah Tanah Melayu dan mengeksploitasi kekayaan hasil bumi Tanah
Melayu untuk kepentingan sendiri. Namun, British merupakan kuasa penjajah yang telah
menjajah Tanah Melayu dalam tempoh masa yang paling lama. Penjajahan British di Tanah
Melayu yang membebankan penduduk tempatan serta menggugat kuasa dan pengaruh
pembesar telah menyebabkan kebangkitan masyarakat tempatan dan kemunculan
beberapa tokoh tempatan untuk menentang penjajahan British. Antara tokoh tersebut ialah
Dol Said, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Dalam kajian yang berikut, kita
akan memerhatikan tindak balas masyarakat tempatan terhadap penjajah di Tanah Melayu
dari aspek sebab-sebab penentangan pemimpin tempatan, kesan-kesan penentangan dan
yang terakhir ialah faktor kejayaan British mematahkan kebangkitan masyarakat tempatan.

2.0 SEBAB-SEBAB PENENTANGAN PEMIMPIN TEMPATAN

Pada pendapat saya, kebanyakan sebab penentangan masyarakat tempatan terhadap


penjajah British adalah dimulakan oleh pemimpin tempatan kerana penjajahan di Tanah
Melayu telah menggugat kuasa dan kedudukan pemimpin setempat dan seterusnya juga
menyusahkan kehidupan masyarakat tempatan.

Satu daripada sebab-sebab penentangan masyarakat tempatan ialah kuasa mentadbir


pembesar tergugat. Contohnya di Naning, pengaruh kuasa Dol Said sebagai penghulu
Naning telah tergugat apabila British telah memperkenalkan Peraturan Penghulu. Peraturan
ini melarang penghulu membicarakan kes jenayah. Berikutnya, pada tahun 1828, Dol Said
diberi amaran oleh British kerana menyelesaikan kes jenayah di Naning serta diugut bahawa
beliau akan dilucutkan jawatan sekiranya beliau tidak mematuhi arahan British. Daripada
contoh ini, kita dapat melihat bahawa kuasa mentadbir Dol Said sebagai seorang penghulu
tergugat dan menjadi seorang pentadbir yang hanya terdapat gelaran serta tidak
mempunyai kuasa mentadbir sebenar. Maka, ini telah membangkitkan kemarahan Dol Said
lalu berniat untuk menentang penjajahan British bagi menjaga kepentingan dan hak asasi
rakyat tempatan. Hal ini disebabkan rakyat terpaksa menerima segala peraturan yang
ditetapkan oleh pihak British dan tidak dapat menegakkan keadilan kerana hak mengadili
kes jenayah dikuasai oleh British.

Selain itu, pembesar kehilangan hak dan kuasa memungut cukai. Contohnya di Pahang,
British telah melantik E.A. Wise sebagai Pegawai Majistret dan Pemungut Hasil di daerah
Temerloh manakala Dato’ Bahaman dilarang mengutip cukai di daerah kekuasaannya. Ini
telah menimbulkan rasa tidak puas hati Dato’Bahaman dan beliau berazam untuk
menghalau British keluar dari Pahang.

Sehubungan itu, kesulitan penduduk tempatan. Penjajahan British telah menimbulkan


banyak kesulitan kepada penduduk tempatan seperti memperkenalkan peraturan tanah
baru, mengenakan cukai berlebihan dan sebagainya amat membebankan penduduk
tempatan. Contohnya, di Terengganu, penguatkuasaan undang-undang binatang buas yang
melarang penduduk memburu binatang liar, peraturan tanah baru yang mewajibkan
penduduk mendaftar tanah mereka dengan bayaran sebanyak 2.50 ringgit setiap seorang
serta pengeluaran pas kebenaran yang membebankan telah menjadi kesulitan kepada
penduduk terutamanya terhadap golongan petani yang miskin. Disebabkan kesulitan
tersebut, penentangan yang dimulakan oleh pemimpin tempatan telah mendapat sokongan
anak buah mereka yang berasa tertekan dengan pelaksanaan pelbagai undang-undang
British yang menyulitkan kehidupan seharian mereka seperti kebangkitan Tani yang
dipimpin oleh Haji Abdul Rahman Limbong juga mendapat sokongan daripada 300-500
orang petani yang ramai.

Seterusnya, campur tangan British dalam adat resam tempatan juga merupakan salah
satu sebab penentangan masyarakat tempatan. Contohnya di Perak, Residen British,
J.W.W. Birch telah mengharamkan amalan perhambaan yang menjadi adat resam Melayu
dengan menyimpan hamba-hamba perempuan di rumahnya. Tindakan ini telah dianggap
mencabar maruah bangsa Melayu kerana amalan ini merupakan adat turun-temurun dalam
masyarakat Melayu traditional dan tidak seharusnya dicabuli oleh bangsa lain yang tidak
mengenalinya. Hal ini telah menyebabkan pembesar-pembesar di perak berazam
menghalau British keluar dari bumi Perak. Oleh itu, Raja Abdullah, Raja Ismail dan Dato’
Maharaja Lela bermesyuarat di Durian Sebatang dan mengambil keputusan untuk
membunuh Birch.

Daripada faktor-faktor tersebut, kita dapat mengetahui bahawa tujuan keutamaan


penentangan pemimpin tempatan adalah untuk mengembalikan kedaulatan kuasa dan
kedudukan sendiri bagi mempertingkatkan kehidupan rakyat tempatan. Pemimpin tempatan
yang membangkitkan penentangan rakyat tempatan lalu bersama-sama menentang
penjajahan British di Tanah Melayu.

3.0 KESAN-KESAN PENENTANGAN

Secara keseluruhannya, kesemua penentangan masyarakat tempatan terhadap


penjajahan di Tanah Melayu di bawah pimpinan pemimpin tempatan boleh dikira gagal.
Walaupun bagaimanapun, takhta Kedah telah dikembalikan oleh Siam kepada Sultan
Ahmad Tajuddin pada tahun 1842 melalui rundingan dengan Tunku Daei di Bangkok,
namun wilayah Kedah menjadi semakin kecil apabila wilayah Perlis, Setul dan Kubang Pasu
diasingkan daripada Kedah. Ini telah membuktikan bahawa penentangan masyarakat
tempatan terhadap penjajah Siam di Kedah yang dibantu oleh British tidak begitu berjaya.
Disebabkan penentangan masyarakat tempatan menemui kegagalan, mereka yang
melibatkan diri dalam penentangan tersebut terutamanya golongan pemimpin telah
menerima hukuman yang amat berat daripada pihak penjajah seperti hukuman mati,
dibuang negeri, penjara dan sebagainya akibat daripada penentangan mereka.

Namun begitu, pihak penjajah juga terpaksa menanggung kerugian yang besar selepas
berlakunya pertempuran dengan masyarakat tempatan. Contohnya, kesan kebangkitan
Dato’ Bahaman di Pahang, British terpaksa menanggung hutang yang besar sehingga
mencecah 157000 dolar akibat peperangan dengan beliau di Pahang. Bagi mengatasi
hutang tersebut, British terpaksa menubuhkan Persekutuan 1896.

4.0 FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN PENJAJAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU

Antara faktor utama kejayaan penjajahan British di Tanah Melayu ialah persengketaan
antara pemimpin tempatan. Contohnya, persengketaan antara Yamtuan Antah dengan Dato’
Kelana merupakan faktor utama Yamtuan Antah gagal menentang penjajahan British di Seri
Menanti kerana persengketaan tersebut telah memberi peluang kepada British untuk
mengambil kesempatan ke atas perpecahan ini untuk menguasai Negeri Sembilan.

Selain itu, kepandaian pihak British dalam menggunakan taktik peperangan. Contohnya,
dalam penentangan Tok Janggut di Kelantan, apabila Tok Janggut, Engku Besar Jeram,
Penghulu Adam dan Che Sahak Merbul berjaya menyerang Pasir Puteh dan menduduki
selama tiga hari, British tidak menyerang secara kekerasan, sebaliknya menawarkan hadiah
sebanyak 500 dolar kepada sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan pemimpin
kanannya, seterusnya membakar rumah Tok Janggut dan para pengikutnya kerana enggan
menyerah diri. Akhirnya, Tok Janggut bertindak menyerang Pasir Puteh manakala British
pula menyerang Tok Janggut yang berkubu di Kampung Dalam Sipuh, Saring dan berjaya
dalam pertempuran ini.

Di samping itu, sikap tidak putus asa pihak penjajah dalam menghadapi kegagalan
peperangan. Contohnya, dalam penentangan Dol Said di Naning, serangan Kapten Wyllie
bersama 150 orang askar sepoi yang dihantar oleh British telah berjaya dipatahkan oleh Dol
Said dengan cara melancarkan taktik perang gerila dan mendapatkan bantuan tentera dari
Seri Menanti, Sungai Ujong, Johol dan Muar. Namun, British tidak berputus asa dengan
kekalahan tersebut, malah mengatur strategi baru untuk mengalahkan Dol Said seperti
melalui rundingan dengan Yamtuan Muda Raja Ali untuk menyerang Naning, menawarkan
ganjaran kepada penduduk Naning jika berjaya menangkap Dol Said dan sebagainya.
Taktik-taktik tersebut menjayakan British untuk menangkap Dol Said dengan lebih senang
kerana mendapat kerjasama daripada penduduk tempatan. Faktor-faktor inilah yang
menyebabkan pihak British berjaya mematahkan perjuangan masyarakat tempatan.

5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, saya menyokong dengan penentangan masyarakat tempatan terhadap


penjajahan di Tanah Melayu kerana penjajahan telah menyebabkan banyak berlakunya
penderitaan dan penghinaan terhadap rakyat tempatan disebabkan kehilangan
kemerdekaan dan sumber ekonomi. Walupun perjuangan mereka gagal, namun semangat
dan keberanian mereka amat dikagumi dan menjadi inspirasi kepada perjuangan
seterusnya. Oleh itu, bagi menjadi bangsa yang bermaruah dan negara yang berdaulat
sebagai tanggungjawab kita untuk membina jati diri serta memperkasa bangsa dan negara.

(1190 patah perkataan)

6.0 RUJUKAN

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2003). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah:


Sejarah Tingkatan 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Lew Hee Men, Mansor Hasan, Zamri Zakaria & Muslimin Fadzil. (2010). Success
Sejarah PMR. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Lew Hee Men, Wan Napsiah Wan Yusof, Ridzuan & Muslimin Fadzil. (2014). Success
Sejarah SPM. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

You might also like