You are on page 1of 3

ATAS sifat keberanian, kegagahan dan kekuatan, haiwan yang digelar Raja Rimba diangkat

martabatnya untuk dijadikan simbol dalam Jata Negara sejak mula penubuhan Negeri-negeri Melayu
Bersekutu sehinggalah tertubuhnya Kerajaan Persekutuan Malaysia hari ini.

Namun, untuk jangka masa lima hingga 10 tahun akan datang, apalah maknanya lagi pada simbol
dua harimau itu jika kita akan kehilangannya buat selama-lamanya.

Itulah kenyataan yang perlu diakui apabila Harimau Malaya (panthera tigris jackson) yang dijadikan
simbol pada maskot sukan, agensi kerajaan dan swasta seperti PDRM, kastam, Maybank, Proton dan
lambang perjuangan skuad bola sepak kebangsaan sudah terlalu sedikit bilangannya pada hari ini.

Menurut dapatan awal Survey Harimau Kebangsaan (2016-2018) oleh Kementerian Tenaga dan
Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)
Semenanjung Malaysia, populasi harimau kini adalah kurang daripada 200 ekor.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Harimau Malaya sebagai
khazanah negara perlu dipertahankan.

Hari Harimau Sedunia 2020 disambut setiap 29 Julai merupakan cabaran besar bagi pihaknya dalam
memastikan Harimau Malaya terus wujud dan membiak.

Harimau Malaya adalah hidupan liar yang terancam dan dilindungi sepenuhnya mengikut Akta
Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Harimau Malaya perlu dilindungi sepenuhnya supaya ia tidak diancam kepupusan. Malah
berdasarkan International Union for Conservation of Nature (IUCN), Harimau Malaya diletakkan
dalam senarai merah spesies sangat terancam," kata beliau.

Menurut Abdul Kadir, walaupun Harimau Malaya diberi perlindungan undang-undang, namun
pemburuan haram, kemusnahan hutan sebagai habitat semula jadi dan kemurungan pembiakbakaan
tetap menjadi ancaman kepada haiwan mamalia itu.

Khazanah
Malaysia seharusnya berbangga kerana memiliki salah satu daripada enam sub spesies harimau yang
wujud di planet ini iaitu Harimau Malaya.

Pengiktirafan nama Malaya itu diberi selepas kajian mendapati spesies itu hanya terdapat di
Semenanjung Malaysia dan disahkan sebagai sub spesies berasingan daripada sub spesies Harimau
Indochina melalui ujian genetik dan filogenik pada tahun 2004.

Lima lagi sub spesies ialah Harimau Siberia (panthera tigris altaica), Harimau Bengal (panthera tigris
tigris), Harimau China Selatan (panthera tigris amoyensis), Harimau Indochina (panthera tigris
corbetti) dan Harimau Sumatera (panthera tigris sumatrae).

Tiga lagi sub spesies sudah diisytihar pupus ialah Harimau Bali (panthera tigris balica), Harimau Jawa
(panthera tigris sondaica) dan Harimau Kaspia (panthera tigris virgata).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya memandang
serius keperluan untuk memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya.

Antara langkah yang dilaksanakan ialah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3)
bermula pada Jun tahun ini sebagai pengukuhan kepada Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) sedia
ada. BP3 diperkukuhkan lagi dengan pelantikan seramai 100 orang veteran Angkatan Tentera
Malaysia dan 50 orang asli sebagai renjer hidupan liar.

"Menerusi pelan ini, empat strategi diwujudkan untuk memastikan kelangsungan populasi liar
harimau di Malaysia iaitu perlindungan habitat, perlindungan spesis, pengurusan konflik manusia -
harimau dan penyelidikan.

“Pada tahun ini, OBK telah berjaya menangkap 82 orang pesalah melibatkan 36 kes tangkapan dan
sebanyak 460 jerat telah dimusnahkan.

“Sebanyak 10 kes telah dibawa ke mahkamah dan daripada jumlah tersebut, lima kes telah selesai
melibatkan keseluruhan denda sebanyak RM150,000 dengan nilai sitaan berjumlah RM2.7 juta,”
katanya.

Kepada komuniti, anda juga boleh menyokong menyelamatkan Harimau Malaya menerusi memberi
sumbangan kepada tabung pemuliharaan Harimau Malaya yang sah, melaporkan kejadian aktiviti
pemburuan haram dan meningkatkan ilmu mengenai kepentingan harimau sebagai penanda
kestabilan ekosistem di dalam hutan negara.
* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Eksekutif Strategi Kandungan Sinar Harian

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/94933/SUARA-SINAR/Analisis-


Sinar/Selamatkan-spesies-Harimau-Malaya

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

You might also like