You are on page 1of 5

2.1.

FITUR MAKNA

Fitur atau ciri semantik merupakan hubungan makna bagi sejumlah kata yang masing-masing
mempunyai ciri-ciri tersendiri. Ciri semantik bermaksud, perkataan-perkataan dimasukkan ke
dalam golongan masing-masing menurut makna perkataan berkenaan. Sebagai contohnya
Za’aba (1965) menggolongkan perkataan kepada perkataan nama, perkataan perbuatan,
perkataan sifat (nama), perkataan sendi dan perkataan seruan.

Perkataan nama ialah segala perkataan yang menyebut benda atau orang misalnya
kakak, burung, meja, kerusi, bantal dan sebagainya. Perkataan perbuatan ialah segala
perkataan yang menyebut perbuatan yang dikerjakan atau keadaan yang wujud misalnya ambil,
masak, duduk, mahu, jadi dan sebagainya. Perkataan sifat (nama) ialah segala perkataan yang
menerangkan atau menunjukkan sifat sesuatu nama atau perbuatan atau lainnya seperti kecil,
besar, tua, cantik dan sebagainya. Perkataan sendi pula ialah menyambungkan antara
perkataan dengan perkataan, antara bahagian-bahagian percakapan atau ungkapan misalnya
dengan, dan, oleh, sebab dan sebagainya, manakala perkataan seruan pula ialah perkataan
yang semata-mata digunakan bagi mengeluarkan perasaan hati semasa memanggil,
terperanjat, hairan, mengejek dan sebagainya. Contoh perkataan ialah aduh, amboi, cis dan
sebagainya.

Apabila melihat kriteria menggolongkan kata oleh Za’aba, maka kita dapat memahami
bahawa beliau menggunakan ciri semantik sebagai asas bagi memasukkan perkataan ke dalam
golongan masing-masing. Fitur semantik ini dapat menjelaskan secara lebih mendalam tentang
elemen semantik. Kaedah ini digunakan bagi melihat kehadiran atau ketidakhadiran elemen
semantik bagi satu set kata. Analisis ciri semantik menggunakan tanda (+) atau (-). Tanda (+)
bermaksud bahawa ciri tersebut hadir atau wujud pada perkataan yang hendak dianalisis
maknanya, manakala tanda (-) pula menunjukkan bahawa kata itu tidak mempunyai ciri
tersebut. Sebagai contoh perkataan ayah mempunyai fitur makna seperti berikut iaitu (+
manusia, - haiwan, + dewasa, + lelaki). Hal ini membuktikan bahawa fitur makna perkataan
ayah membawa maksud seorang manusia dewasa dan berjantina lelaki.
Penggunaan fitur makna ini dapat memudahkan lagi pemahaman seseorang individu
terhadap makna yang terdapat dalam perkataan. Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa setiap
perkataan yang terdapat dalam kamus dewan ataupun tidak, mengandungi komponen makna
atau fitur makna yang boleh disenaraikan untuk dihuraikan maknanya.

2.2 MAKNA LEKSIKAL

Makna leksikal bermaksud makna yang terdapat dalam kamus atau makna perkataan yang
terlepas daripada hubungannya dengan perkataan lain dan ayat. Makna leksikal adalah makna
unsur-unsur bahasa (leksem) sebagai lambang benda, peristiwa, objek dan lain-lain. Dalam
kata lain makna leksikal adalah perkataan yang diterbitkan daripada istilah leksikon yang
bermaksud kosa kata atau perbendaharaan kata. Unit leksikon ialah leksem iaitu bentuk
bahasa yang bermakna (Ibrahim Ahmad, 1994).

Di peringkat leksikal, sememangnya sesuatu perkataan itu membawa makna yang


berlainan. Makna perkataan “tadi”, “tari”, “tali”, “tani” misalnya sememangnya berlainan di
antara satu sama lain. Jadi ini bermakna, perkataan-perkataan itu berfungsi membawa
pengertian yang tersendiri dan makna dalam sesuatu ayat. Sebagai contoh, makna leksikal
“buaya” ialah sejenis binatang yang buas, yang tinggal di dalam air, tetapi boleh juga naik ke
darat. Makna itu nampak jelas dalam ayat berikut, “buaya di sungai itu telah ditangkap”. Maka,
perkataan “buaya” itu tadi masih membawa makna leksikal dalam ayat tersebut kerana
menggambarkan sejenis binatang yang buas, yang tinggal di dalam air. Manakala jika
perkataan “buaya” digunakan dalam ayat berikut, “jangan percaya sangat kata-kata Imran
kerana dia itu buaya”, maka perkataan “buaya” tidak membawa makna leksikal lagi, tetapi
sebaliknya membawa makna seorang laki-laki yang suka memujuk dan menipu wanita.

Contoh yang kedua ialah makna leksikal badan menurut kamus dewan merupakan
tubuh atau jasad manusia. Jika perkataan “badan” digunakan seperti dalam ayat berikut,
“badan Anis sangat kecil”. Maka, perkataan badan itu tadi masih membawa makna leksikal
dalam ayat tersebut kerana menggambarkan tubuh serta jasad manusia. Manakala, jika
perkataan “badan” digunakan dalam ayat berikut, “Badan Kebajikan Masyarakat menggunakan
media massa untuk menarik perhatian orang ramai”, maka perkataan “badan” itu tidak lagi
membawa makna leksikal kerana tidak lagi menggambarkan tubuh badan manusia sebaliknya
suatu badan yang ditubuhkan untuk membantu orang ramai. Dengan kata lain makna leksikal
sesuatu perkataan ialah gambaran tentang sesuatu konsep yang dilambangkan oleh perkataan
dan secara langsung membawa makna kepada ayat.

Seterusnya setiap imbuhan kata nama serta kata kerja apabila digabungkan dengan
kata dasar akan membentuk makna leksikal dalam bahasa Melayu. Misalnya, imbuhan awalan
kata nama me- menerima kata dasar tulis akan membentuk perkataan menulis yang membawa
erti dari sudut makna leksikal adalah pekerjaan yang dilakukan untuk mencatat sesuatu di
dalam buku atau di atas kertas. Hal ini membuktikan bahawa setiap kata dasar yang menerima
imbuhan masih lagi membentuk makna leksikal dalam bahasa Melayu. Tetapi, jika hanya
imbuhan sahaja yang digunakan, makna leksikal tidak akan wujud dalam imbuhan tersebut
kerana tidak melambangkan apa-apa makna.

Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa makna leksikal adalah makna yang sebenarnya
iaitu makna yang sesuai dengan hasil pemerhatian pancaindera kita, dan merupakan makna
yang terdapat dalam kamus dewan. Sebagai kesimpulannya, makna leksikal merupakan sub
bidang linguistik yang merujuk kepada kajian tentang apa yang ditunjukkan atau dimaksudkan
oleh sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa. Setiap perkataan yang ada di dalam kamus
dewan mempunyai makna leksikal yang tersendiri walaupun hanya berdiri sendiri tanpa
digunakan dalam ayat. Oleh itu, kamus dewan harus dijadikan panduan jika seseorang individu
ingin mengetahui mengenai sesuatu makna yang terdapat dalam perkataan.

2.3. MAKNA AYAT

Menurut Rusli Abdul Ghani (1998:4) unsur makna amat penting dalam mana-mana ujaran atau
tulisan. Tanpa unsur ini, maka apa sahaja yang diujarkan atau yang dituliskan tidak akan
memberi sebarang kefahaman kepada orang yang dilawan bercakap atau orang yang
membaca sesuatu yang ditulis. Semua bahasa bergantung kepada makna dalam perkataan
dan ayat. Setiap perkataan dan ayat lazimnya dikaitkan sekurang-kurangnya dengan satu
makna. Dalam setiap bahasa untuk membentuk suatu ayat, perkataan hendaklah disusun dan
untuk mendapatkan makna ayat bergantung pada makna perkataan yang terdapat dalam ayat
tersebut.
Terdapat juga perkataan yang memiliki dua makna dan ada juga yang mempunyai lebih
dari itu. Adakalanya terdapat juga perkataan yang digunakan tanpa membawa apa-apa makna.
Dalam konteks berbahasa, kita beranggapan bahawa pendengar atau penulis memahami
makna yang ingin disampaikan sehinggakan kita mengabaikan ataupun tidak menyebut atau
menulis beberapa perkataan. Dalam bahasa Melayu makna ayat boleh dibahagikan kepada
beberapa jenis iaitu makna konotatif, makna denotatif, makna konseptual dan makna stilistik.

Makna konotatif merupakan makna yang tersirat daripada makna sebenar yang tertulis
atau makna yang diujarkan. Penutur Melayu pada zaman dahulu terutamanya sering
menggunakan makna konotatif dalam komunikasi mereka kerana masyarakat dahulu gemar
untuk menggunakan perkataan kiasan daripada perkataan sebenar. Hal ini amat berkait rapat
dengan masyarakat Melayu yang mementingkan budi bahasa dalam kehidupan. Ianya lebih
mengutamakan nilai komunikatif. Contoh ayat ialah, “hajat rombongan kami datang ke sini
untuk memetik bunga di taman,” kata Mak Timah. “Bunga” dalam ayat tersebut ialah anak dara
yang belum berpunya.

Makna denotatif pula merupakan makna yang tersurat dalam ayat. Secara teorinya,
pendengar dapat memahami maksud penutur dengan jelas kerana tidak perlu memikirkan
mengenai makna tersirat dalam ayat. Sebagai contoh, “bunga yang cantik itu ditanam oleh
Nora. “Bunga” dalam ayat itu bermaksud sejenis tumbuh-tumbuhan yang boleh ditanam di air
atau di darat. Hal ini jelas membuktikan penggunaan makna denotatif dalam ayat.

Makna konseptual pula adalah makna yang digambarkan oleh seseorang individu.
Misalnya perkataan rumah, berkemungkinan seseorang individu akan menggambarkan sebuah
rumah banglo yang mewah, manakala seorang individu lagi menggambarkan sebuah rumah
teres dua tingkat yang serba lengkap. Oleh itu, makna konseptual merupakan makna yang
digambarkan oleh individu yang mendengar.

Akhir sekali, makna stilistik merupakan penggunaan bahasa yang digunakan dalam
situasi sosial. Contohnya dalam ayat, “jemputlah datang ke teratak saya”. Orang yang
mengujarkan ayat sebenarnya tidak menghuni rumah yang kecil yang biasanya dibina di pinggir
sawah, tetapi penutur sebenarnya tinggal di rumah yang selesa dan orang yang mengujarkan
ayat ini ingin merendah diri.

You might also like