You are on page 1of 4

ISU REFLEKSI

Pdpr Kurang Mendapat Sambutan Daripada Pelajar


Siti Noorhafizza binti Mohamad
PDPP

Masalah

Saya menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kelas


tingkatan 1. Sepanjang proses PdPR ini saya mendapati kehadiran pelajar di dalam
kelas secara dalam talian sangat tidak memberangsangkan. Apabila tinjauan di buat,
terdapat pelajar yang mempunyai beberapa masalah berkaitan rangkaian internet di
mana liputan internet yang lemah di kawasan kediaman mereka, terdapat
sesetengah pelajar yang mengikuti Google Meet tetapi tidak boleh mendengar
dengan jelas pengajaran guru kerana rangkaian internet yang tidak stabil, telefon
yang digunakan tidak dapat menyokong penggunaan platform pembelajaran, tidak
mempunyai cukup data untuk mengikuti kelas dalam talian dan sikap pelajar itu
sendiri yang mengambil mudah dan tidak fokus akan PdPR.

Analisis Masalah

Bermulanya pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 dan seterusnya penutupan
sekolah bagi mengawal penularan Covid-19 telah banyak membawa perubahan
kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru dan pelajar yang sebelum
ini berlangsung sepenuhnya di sekolah. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di
Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Pembelajaran dalam talian mula diperkasakan
bagi memastikan proses PdP boleh terus berjalan walaupun bukan secara
bersemuka di antara pelajar dan guru. Di Malaysia, bagi memastikan PdP ini dapat
dijalankan dengan lancar, terdapat beberapa garis panduan yang telah dikeluarkan
oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai panduan kepada guru
dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dari rumah atau dikenali
sebagai PdPR. Panduan ini banyak membantu guru dalam melaksanakan PdPR
memandangkan kaedah pembelajaran ini belum dikuasai sepenuhnya oleh guru dan
pelajar.
Menurut David Mc Connell (2000) penggunaan internet dapat meningkatkan prestasi
pelajar dalam pendidikan. Manakala, satu kajian yang telah dijalankan oleh sebuah
pertubuhan iaitu CAST (1997) dari Amerika Syarikat mendapati pelajar yang
mempunyai kemudahan internet mampu menghasilkan projek sekolah berbanding
pelajar yang tidak mempunyai kemudahan internet. Ini menggambarkan sama ada di
musim pandemik atau tidak, penggunaan internet banyak membantu perkembangan
pendidikan pelajar. Namun di musim pandemik ini, penggunaan internet merupakan
suatu kemestian untuk digunakan kerana kekangan untuk sesi pembelajaran
bersemuka. Ia digunakan untuk mengakses bahan pembelajaran atau menjadi
medium interaksi guru dan pelajar untuk menyampaikan ilmu dan mendapatkan
ilmu.

Tetapi, usaha yang bersungguh-sungguh daripada pelajar juga penting dalam


mengikuti kelas PdPR ini. Ini kerana semakin lama PdPR berlangsung, fokus murid
semakin berkurangan. Seperti yang dinyatakan oleh Pakar Pendidik dari Pusat
kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar
Ahmad (2021), situasi PdPR ini menyebabkan fokus serta penguasaan pelajar
terhadap pembelajaran semakin merosot. Kemerosotan fokus pelajar ini menurut
beliau disebabkan oleh persekitaran yang dihadapi pelajar sejak tahun lalu yang
masih tidak dapat diselesaikan seperti capaian internet yang lemah, masalah akses
kepada gadget yang terhad serta komitmen ibu bapa yang tinggi terhadap kerjaya
masing-masing.

Cadangan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui manual PdPR telah menggubal garis
panduan bagi membantu guru melaksanakan PdPR sebagai alternatif pembelajaran dalam
norma baharu. Ia juga menjadi rujukan untuk pentadbir sekolah, pegawai pejabat pendidikan
daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri (JPN).

Berdasarkan garis panduan yang terdapat dalam manual PdPR, terdapat beberapa langkah
atau kaedah yang boleh digunapakai untuk membantu menyelesaikan masalah pelajar.
Antaranya ialah;
1. PdPR menggunakan modul
2. Pembelajaran secara off-site

PdPR menggunakan modul perlulah lengkap dengan beberapa bahagian penting seperti
tajuk, objektif pembelajaran, tempoh perlaksanaan aktiviti, nota berkaitan modul dan aktiviti
yang relevan. Guru perlu menggalakkan murid untuk menghantar semula latihan dan
menjadikannya bahan pentaksiran pelajar.

Pembelajaran secara off-site pula boleh dicadangkan untuk dijalankan dengan cara
mengumpulkan pelajar di satu lokasi seperti pusat komuniti atau di kawasan yang mudah
dicapai oleh pelajar. Guru boleh mengajar di tempat tersebut dalam kumpulan yang kecil
bagi membantu atau membimbing murid dalam pembelajaran. Pilihan tajuk yang sukar
dikuasai murid boleh dipertimbangkan untuk di ajar di dalam kelas off-site. Namun ini
bergantung kepada situasi semasa daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sama ada membenarkan pembelajaran off-site
dijalankan ataupun tidak.

Tempoh
23 Ogos – 23 September 2021

Tindakan Susulan

Kerjasama diantara pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar penting dalam mengatasi
permasalahan yang berlaku di dalam PdPR ini. Pihak sekolah dan guru perlu perihatin
dalam mengenalpasti kekangan yang dihadapi oleh pelajar. Kekangan yang dihadapi oleh
setiap pelajar adalah berbeza terutama sekali apabila melibatkan lokasi kediaman pelajar
dan taraf ekonomi keluarga dan di tambah pula kekangan dalam diri pelajar itu sendiri untuk
belajar bersungguh-sungguh.

Tindakan susulan yang boleh di ambil ialah:


1. Melakukan perbincangan dan mengusulkan kepada pihak sekolah untuk mencari
kaedah terbaik mendekati pelajar yang tidak boleh mengikuti pembelajaran secara
dalam talian.
2. Mengenalpasti kekangan pelajar dan membahagikan mereka kepada kumpulan
tertentu seperti pelajar yang boleh mengikuti pembelajaran dalam talian, yang tidak
boleh mengikuti pembelajaran dalam talian, boleh mengambil modul di sekolah atau
perlu di bantu untuk menghantar modul tersebut kepada mereka. Tindakan boleh
diambil berdasarkan kekangan pelajar tersebut.
3. Memberikan ganjaran kepada pelajar yang konsisten mengikuti PdPR dan
menghantar latihan. Ini bagi menarik minat mereka untuk terus belajar.

Kesimpulan

Kesimpulan yang dapat saya buat daripada isu ini ialah tindakan dan kerjasama dari
pelbagai pihak itu penting bagi memastikan pelajar mendapatkan pendidikan yang
sempurna walaupun negara berada dalam musim pandemik yang mencabar ini.
Kebijaksanaan tindakan yang diambil akan memberikan manfaat yang besar kepada
prestasi sekolah dan pelajar itu sendiri. Apabila setiap pihak berkerjasama menjalankan
tanggungjawab mereka ia akan memberikan hasil yang terbaik kepada peneraju masa
hadapan negara.

Rujukan

1. MSN news. (2021, May 19). PdPR punca motivasi murid belajar semakin menurun.

Mohd Nasaruddin Parzi. https://www.msn.com/en-my/news/berita/pdpr-punca-

motivasi-murid-belajar-semakin-menurun/ar-BB1gTZXm

2. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2020). Manual Pengajaran dan Pembelajaran di

Rumah. Https://Www.Moe.Gov.My/Muat-Turun/Lain-Lain/Manual-Pdp-Di-

Rumah/3727-Manual-Pdpdr/File. https://www.moe.gov.my/muat-turun/lain-

lain/manual-pdp-di-rumah/3727-manual-pdpdr/file

3. David Mc Connell (2000). Computer Supported Cooperative Learning. Britain. Clay Ltd. St
Ives plc.

You might also like