You are on page 1of 16

PERANAN BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO) DALAM MENANGANI ISU

PEMERDAGANGAN MANUSIA DI MALAYSIA

[THE ROLE OF NON-GOVERNMENTAL ORGANIZATIONS (NGOs) IN


ADDRESSING THE ISSUE OF HUMAN TRAFFICKING IN MALAYSIA]

NURUL AMIRAH HAMZAH1, NOORAINI OTHMAN2 & WARDATUL AISHAH


MUSA3
1
Razak Faculty of Technology and Informatics, UTM Kuala Lumpur, 54100, Malaysia. E-mail:
amirahhamzah94@gmail.com
2
Razak Faculty of Technology and Informatics, UTM Kuala Lumpur, 54100, Malaysia. E-mail: p-
noraini@utm.my
3
Malaysian Institute of Information Technology, 50250 Kuala Lumpur, Malaysia. E-mail:
wardatulaishah@unikl.edu.my

Received: 12 June 2021 Accepted: 23 June 2021 Published: 24 June 2021

Abstrak: Isu pemerdagangan manusia merupakan isu global yang melanda kebanyakan
negara di dunia termasuklah Malaysia. Artikel ini bertujuan untuk membincangkan tentang
dapatan hasil analisis kualitatif terhadap peranan badan bukan kerajaan (NGO) dalam
menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia. Kajian yang dijalankan ini melibatkan
pengumpulan data secara temu bual mendalam dengan lima orang informan dalam kalangan
pihak NGO yang terlibat secara langsung dalam menangani isu pemerdagangan manusia.
Berdasarkan hasil dapatan daripada temu bual yang dijalankan, pihak NGO di Malaysia
sememangnya memainkan peranan dalam menangani isu pemerdagangan manusia di
Malaysia. Antara peranan tersebut termasuklah meningkatkan kesedaran khususnya kepada
orang awam dan pelajar dan memberikan pendidikan bukan formal (non-formal) kepada
pelajar, pihak berkuasa dan pihak majikan.

Kata kunci: Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pemerdagangan manusia; Analisis kualitatif

Abstract: The issue of human trafficking is a global issue that affects most countries in the
world including Malaysia. This article discusses the role of non-governmental organizations
(NGOs) in addressing the issue of human trafficking in Malaysia. This study is conducted
qualitatively in the form of in-depth interviews. The study sample is in the form of purposive
sampling and data saturation was obtained from the fourth informant. The findings of the
study show that NGOs in Malaysia play a role in addressing the issue of human trafficking in
Malaysia. Among the roles is raising awareness especially to the public and students as well
as providing non-formal education to students, authorities and employers. These findings are

48
expected to benefit the community on the role of NGOs in assisting the authorities on human
trafficking issues in Malaysia.

Keywords: Non-Governmental Organizations (NGOs), Human trafficking; Qualitative


analysis

Cite This Article:


Nurul Amirah Hamzah, Nooraini Othman & Wardatul Aishah Musa (2021). Peranan Badan Bukan Kerajaan
(Ngo) Dalam Menangani Isu Pemerdagangan Manusia Di Malaysia [The Role Of Non-Governmental
Organizations (NGOs) In Addressing The Issue Of Human Trafficking In Malaysia] TIJARI International
Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship 1(2), 48-63

PENGENALAN

Berdasarkan Seksyen 2 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,


pemerdagangan manusia merupakan segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau
pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan, dan termasuklah
perbuatan merekrut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang bagi
maksud eksploitasi. Eksploitasi adalah segala bentuk eksploitasi seks, kerja atau perkhidmatan
paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian, apa-apa aktiviti
yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia. (Seksyen 2, Akta
Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007).
Pemerdagangan manusia bukan sahaja merupakan perhambaan zaman moden yang
mencipta ketidakadilan dan menzalimi manusia malah menurut U.S. Department of State
(2013), pemerdagangan manusia mengancam nilai kemanusiaan, merosakkan struktur sosial,
menghambat pasaran, membahayakan kesihatan awam dan menjadi bara yang mencetus
kepada keganasan serta jenayah terancang. Tidak hanya di Malaysia, isu pemerdagangan
manusia ini turut menular meliputi 161 buah negara lain di dunia yang berfungsi sebagai
negara sumber, transit dan destinasi (Kokko, 2008).

KAJIAN LITERATUR

Isu pemerdagangan manusia adalah isu global yang sangat kompleks dan membimbangkan
(Berita Harian Online, 28 April 2016). Di Malaysia, walaupun pelbagai usaha untuk
menangani isu ini telah dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab namun isu ini masih
terus berlaku sehingga kini. Pihak Polis Diraja Malaysia telah mengeluarkan jumlah kes
pemerdagangan manusia di Malaysia yang telah dicatatkan dari tahun 2015 sehingga bulan
Mac 2019 (Jadual 1).

49
Jadual I: Statistik Kes Pemerdagangan Manusia Di Malaysia Mengikut Pecahan Dari Tahun
2015 Hingga Mac 2019 Polis Diraja Malaysia

PERKARA 2015 2016 2017 2018 Mac JUMLAH


2019

Jumlah Kes 127 439 410 281 48 1305

Jumlah Orang 1261 2173 2298 1148 233 7113


Disyaki
Diperdagangkan

Jumlah Mangsa 248 661 514 58 17 1498

Berdasarkan statistik tersebut, pemerdagangan manusia dapat dilihat sebagai satu isu
yang membimbangkan. Catatan jumlah kes pemerdagangan manusia yang tinggi ini
membawa kepada pernyataan U.S. Department of State yang menunjukkan bahawa Malaysia
masih tidak dapat menangani isu pemerdagangan manusia secara menyeluruh dan belum
mampu untuk mencapai ranking terbaik dalam laporan pemerdagangan manusia yang
dikeluarkan oleh mereka (U.S. Department of State, 2018). Laporan pemerdagangan manusia
yang dikeluarkan oleh U.S. Department of State memberikan ranking kepada setiap negara
pada setiap tahun berdasarkan usaha yang diambil oleh negara tersebut dalam membanteras
pemerdagangan manusia di negara masing-masing berdasarkan standard minimum yang telah
ditetapkan oleh Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat (TVPA)
(U.S. Department of State, 2019).
Ranking yang diberikan kepada setiap negara dalam laporan pemerdagangan manusia
tersebut terdiri daripada ranking Tahap 1, Tahap 2, Tahap 2 Pemerhatian dan Tahap 3. Tahap
1 merupakan ranking terbaik yang diberikan menerusi laporan ini diikuti oleh Tahap 2, Tahap
2 Pemerhatian dan Tahap 3 yang merupakan ranking terendah dalam laporan tersebut.
Ranking Malaysia sejak tahun 2015 sehingga 2019 dalam laporan pemerdagangan manusia
dapat dilihat berdasarkan jadual di bawah. Berdasarkan laporan pemerdagangan manusia yang
dikeluarkan dari tahun 2014 sehingga 2019, Malaysia tidak pernah diletakkan pada Tahap 1
malahan diletakkan pada Tahap 2 sebanyak sekali, Tahap 2 Pemerhatian sebanyak enam kali
kali dan Tahap 3 sebanyak sekali.

Rajah 1 Ranking Malaysia Dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2014-2019 Oleh U.S.
Department of State

50
Data menunjukkan bahawa Malaysia sedang menghadapi masalah besar kerana tidak
berada pada kedudukan yang baik dalam isu menangani pemerdagangan manusia. Malaysia
juga berhadapan risiko besar untuk diletakkan pada Tahap 3 menjelang tahun 2020. Hal ini
kerana, menurut U.S. Department of State jika sesebuah negara diletakkan selama dua tahun
berturut-turut di Tahap 2 Pemerhatian maka kedudukan negara tersebut akan diturunkan ke
Tahap 3 secara automatik pada tahun berikutnya (Kementerian Dalam Negeri, 2014).
Jika perkara tersebut berlaku maka Malaysia berhadapan dengan masalah besar kerana
Malaysia berisiko menghadapi sekatan dari pihak Amerika Syarikat. Melalui sekatan tersebut
pihak kerajaan Amerika Syarikat boleh menahan atau menarik balik bantuan asing yang
berbentuk bukan kemanusiaan dan perdagangan yang berkait dengan Malaysia (Zuraini,
2019). Selain itu, pihak Amerika Syarikat juga boleh mengenakan sekatan ke atas mana-mana
negara yang menduduki Tahap 3 dari segi pembiayaan dan bantuan yang berkaitan dengan
pendidikan, kebudayaan serta bantuan yang diberikan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa
(IMF) kecuali yang berkaitan dengan kemanusiaan, perdagangan dan juga pembangunan
tertentu (U.S. State of Department, 2019).

Badan Bukan Kerajaan (NFO)

Bagi menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia, peranan NGO adalah sangat
penting. Hal ini kerana selain dari pihak berkuasa, NGO merupakan antara pihak yang utama
yang memperjuangkan isu pemerdagangan manusia di negara ini supaya isu ini dapa
diselesaikan secara proaktif. Istilah NGO menurut Mazlan dan Makmor (2017) merujuk
kepada hampir kesemua pertubuhan yang diwujudkan di luar dari lingkungan kerajaan dan
ianya haruslah berciri sukarela serta menganjurkan aktiviti yang sah menurut undang-undang
negara. Sesebuah NGO biasanya ditubuhkan untuk memperjuangkan suatu kepentingan awam
dan bukannya individu atau komersial. Istilah NGO ini juga sinonim dengan istilah CSO iaitu
Civil Society Organization dan organisasi sukarela.
Fast (2007) menyatakan bahawa ciri-ciri sebuah NGO adalah bekerja untuk kedua-dua
belah pihak apabila berlakunya sesuatu konflik, berhubung dengan komuniti setempat serta
terlibat dalam membuat sesuatu keputusan. Bagi Norma (2014), penubuhan NGO mungkin
tercetus daripada pengalaman, minat, idea, dan semangat perjuangan yang kuat daripada
individu atau kumpulan tertentu untuk bertindak terhadap sesuatu fenomena yang terjadi atau
keinginan dalam masyarakat. Kekuatan dan idea di sebalik penubuhan sesebuah NGO
memberikan fokus dalam mencapai objektifnya seperti menyediakan peluang pendidikan dan
kemahiran, memperkasa ekonomi wanita, mengawal dan mengurus penyakit, membantu
mangsa bencana alam serta memperjuangkan isu berkaitan hak kemanusiaan seperti isu
pemerdagangan manusia.
Terdapat beberapa kajian dalam negara yang dijalankan berkaitan peranan NGO dalam
menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia. Antaranya kajian yang dijalankan oleh
Nafisah (2013) iaitu peranan Tenaganita dan kerajaan Malaysia dalam menangani isu
pemerdagangan orang. Kajian ini mengkaji tentang peranan Tenaganita dalam menangani isu
pemerdagangan manusia di Malaysia. Selain itu, kajian ini turut mengkaji tentang
keberkesanan dan kelemahan hubungan kerjasama antara NGO ini dengan pihak kerajaan
dalam menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia. Walaubagaimanapun kajian ini

51
hanya tertumpu kepada sebuah NGO sahaja iaitu Tenaganita dan tidak melibatkan NGO-NGO
lain.
Kajian yang dijalankan oleh Wan Nur Ibtisam (2014) turut mengkaji berkaitan peranan
NGO dalam menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia. Namun begitu, kajian ini
menyatakan secara umum sahaja berkenaan kepentingan peranan NGO menangani isu
pemerdagangan manusia di Malaysia khususnya dari aspek memberikan kesedaran dalam
kalangan masyarakat. Kajian ini juga ada menyentuh berkenaan kedudukan pihak NGO dalam
isu pemerdagangan manusia di Malaysia dari segi cabaran yang dihadapi oleh mereka untuk
menjalinkan kerjasama dengan pihak kerajaan.
Selain itu, terdapat sebuah lagi kajian berkaitan peranan NGO di Malaysia dalam
menangani isu pemerdagangan manusia di negara ini. Kajian tersebut dijalankan oleh Shiela
Devi (2016) menerangkan secara umum berkaitan beberapa NGO yang bergiat aktif di
Malaysia dalam memperjuangkan isu-isu pemerdagangan manusia. Berdasarkan kajian ini, di
Malaysia terdapat NGO yang terlibat secara langsung sebagai ahli dalam Majlis
Antipemerdagangan Orang (MAPO) dan terdapat juga NGO yang tidak menjadi ahli tetap
dalam MAPO akan tetapi bersama-sama berusaha menangani isu pemerdagangan manusia di
Malaysia. Kajian ini menyimpulkan bahawa peranan NGO sangat penting dalam menangani
isu pemerdagangan manusia di Malaysia khususnya dalam memberikan pendidikan dan
kesedaran kepada masyarakat berkenaan isu pemerdagangan manusia yang berlaku di negara
ini.
Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk dikenalpasti apakah peranan sebenar
pihak NGO dalam menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia. Dalam kajian ini,
peranan NGO dalam menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia akan dikenalpasti
melalui temu bual yang dijalankan bersama dengan pihak NGO yang terlibat dalam isu ini.

METODOLOGI KAJIAN

Reka bentuk Kajian

Reka bentuk kajian adalah rancangan utama dalam mengenal pasti kaedah dan prosedur dalam
mengumpul dan menganalisis apa yang dikehendaki oleh kajian (Zikmund, 2013). Kajian ini
merupakan kajian yang menggunakan kajian kes sebagai reka bentuk kajian. Othman (2007)
menyatakan bahawa reka bentuk kajian kes merupakan kajian yang menggunakan pendekatan
induktif untuk menerangkan sesuatu fenomena yang berlaku. Kajian kes membolehkan
seorang penyelidik memahami fenomena di sebalik apa-apa isu seperti yang diutarakan oleh
Merriam (2009). Menurutnya, kajian kes mempunyai kekuatan yang malampaui batas dan
merupakan cara terbaik untuk menjawab persoalan kajian yang memerlukan seseorang
penyelidik memahami sesuatu fenomena. Bagi penyelidik, dapatan kajian kes memberikan
penjelasan kepada sesuatu peristiwa yang berlaku secara mendalam. Dengan itu, ianya akan
memberikan kelebihan terhadap kajian yang dijalankan.

52
Sampel dan Teknik Persampelan

Sampel kajian pula ialah satu kumpulan, kelompok atau subset yang dipilih khusus bagi
mewakili populasi dalam sesuatu kajian. Pemilihan sampel kajian merupakan satu langkah
penting dalam mana-mana penyelidikan bagi mendapatkan data yang baik. Dalam kajian ini,
sampel kajian yang terlibat terdiri daripada pihak berkuasa yang terlibat dengan isu
pemerdagangan manusia di Malaysia. Teknik persampelan yang digunakan dalam kajian ini
ialah teknik persampelan bertujuan bagi memastikan informan merupakan sumber yang tepat
dalam memberikan maklumat yang diperlukan Jumlah bilangan sampel yang terlibat dalam
kajian ini adalah berdasarkan kepada tahap ketepuan data yang diperoleh penyelidik. Data
dalam kajian ini diperoleh melalui temu bual dan proses menganalisis data dilakukan selepas
setiap kali temu bual dijalankan. Senarai sampel yang dipilih, kod sampel dan jumlah sampel yang
terlibat dalam kajian adalah seperti di dalam Jadual 1 di bawah:

Jadual 1: Sampel yang dipilih, kod sampel, jumlah sampel dan kriteria pemilihan sampel
Sampel Yang Dipilih Kod Jumlah Kriteria Pemilihan Sampel
Sampel Sampel
Institut Kajian Malaysia Dan NGO1 1
Antarabangsa (IKMAS) Aktif dalam
Pihak memperjuangkan isu-isu
NGO Suriana Welfare Society NGO2 1 menangani pemerdagangan
Malaysia manusia di Malaysia
Project Liber8 NGO3 1
Good Shepherd Malaysia NGO4 1

Kaedah Analisis Data

Data yang telah dikumpulkan menerusi kaedah temubual telah dianalisis menggunakan
kaedah tematik. Menurut Braun dan Clarke (2006), terdapat enam proses yang digunakan bagi
menganalisis data menggunakan kaedah tematik iaitu:i) mengumpul dan memahami data, ii)
Menghasilkan kodifikasi awal, iii) Mencari tema-tema, iv) Membuat sorotan tema, v)
memperhalusi pengkategorian tema dan vi) Menghasilkan laporan. Proses pertama ialah
pengumpulan data. Data dikumpul menerusi temu bual yang telah dijalankan dengan pihak-
pihak yang terlibat. Sesi temubual telah direkod menggunakan alat perakam untuk
ditranskripsi supaya data yang dikumpul akan lebih difahami dengan lebih terperinci.
Proses kedua ialah menghasilkan kodifikasi awal. Penghasilan kodifikasi awal
dimulakan setelah membaca, memahami dan menyenaraikan perkara-perkara utama yang
terdapat pada data-data yang telah ditranskripsi. Kodifikasi awal dihasilkan secara manual
dengan menulis kod-kod pada data yang telah ditranskripsi. Proses seterusnya ialah mencari
tema-tema.
Proses mencari tema-tema adalah proses yang penting. Selepas tema-tema
dikenalpasti, kod-kod kodifikasi awal akan dimasukkan ke dalam tema-tema tersebut. Untuk
memudahkan memasukkan kod-kod yang diperoleh semasa proses kodifikasi awal ke dalam

53
tema-tema yang telah ditetapkan, penggunaan peta minda digunakan bagi mewakili setiap
tema seperti yang disarankan oleh Braun dan Clarke (2006).
Seterusnya ialah proses membuat sorotan tema. Proses ini penting bagi memastikan
sama ada tema-tema yang telah dipilih tepat atau tidak. Dalam proses membuat sorotan tema
dijalankan, pemilihan tema-tema yang dipilih harus dapat dibuktikan menerusi data-data yang
diperoleh. Jika tema yang dipilih tidak dapat disokong oleh data-data yang diperoleh maka
tema tersebut bukan tema yang tepat. Menerusi proses ini, pengenalpastian akan dilakukan
samada terdapat tema yang boleh digabungkan dan terdapat juga tema yang perlu dipisahkan
(Patton, 1990).
Seterusnya ialah prooses memperhalusi pengkategorian tema. Proses ini penting untuk
diperhalusi kembali agar tema-tema yang telah dipilih semasa proses membuat sorotan tema
adalah tepat. Proses terakhir ialah dengan menamakan setiap tema yang dipilih degan nama
yang paling sesuai sebelum proses menghasilkan laporan dibuat.

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat dua peranan utama NGO di Malaysia dalam
menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia. Dua peranan tersebut ialah
meningkatkan kesedaran dan memberikan pendidikan bukan formal kepada masyarakat
berkaitan dengan isu pemerdagangan manusia

A. Meningkatkan Kesedaran

Berdasarkan temu bual yang dijalankan dengan pihak NGO, peranan utama NGO dalam
menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia adalah dengan meningkat kesedaran
masyarakat. Cara utama yang dilakukan oleh NGO di Malaysia untuk meningkatkan
kesedaran masyarakat berkenaan isu pemerdagangan manusia di Malaysia adalah melalui
kempen. Kempen penting bagi pihak NGO sebagai medium utama mereka untuk memupuk
dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkenaan dengan isu
pemerdagangan manusia di Malaysia. Menerusi kempen juga NGO dapat bertemu dengan
masyarakat secara dekat dan memberi penerangan secara terperinci kepada mereka. Dengan
cara tersebut, masyarakat akan mendapat kefahaman yang jelas berkenaan isu pemerdagangan
manusia di Malaysia dan seterusnya akan dapat meningkatkan kesedaran mereka dalam isu
tersebut.

“Salah satu cara meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu


pemerdagangan manusia adalah menerusi kempen. Banyak kempen yang
dijalankan oleh NGO sekarang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat
dalam isu ni.” (NGO1)

“Kami menjalankan projek kesedaran. Melalui kempen-kempen kami nak orang


tahu isu ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi tanggungjawab
bersama termasuklah NGO dan masyarakat awam.” (NGO3)

54
“Kempen memang platform utama kita untuk meningkatkan kesedaran
masyarakat. Dengan kempen kita boleh jumpa dengan masyarakat dan
terangkan pada mereka.” (NGO4)

Menurut pihak NGO yang ditemu bual oleh penyelidik, kempen-kempen yang
dijalankan oleh mereka biasanya akan mensasarkan dua pihak utama iaitu orang awam dan
golongan pelajar. Golongan pelajar ini termasuklah pelajar sekolah dan juga pelajar universiti

i. Kempen Untuk Orang Awam

Orang awam merupakan antara sasaran utama pihak NGO untuk menjalankan kempen bagi
meningkatkan kesedaran berkenaan isu pemerdagangan di Malaysia. Hal ini kerana
kebanyakan pihak NGO mendapati bahawa orang awam perlu dilibatkan dalam usaha
membanteras isu pemerdagangan manusia di Malaysia. Namun begitu, penglibatan orang
awam dalam usaha membanteras isu pemerdagangan manusia di Malaysia tidak akan dapat
dicapai sekiranya mereka tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang apakah sebenarnya
pemerdagangan manusia. Kefahaman yang jelas berkenaan isu ini adalah penting bagi
meningkatkan kesedaran bahawa mereka juga perlu memainkan peranan dengan membantu
pihak kerajaan mahu pun pihak NGO untuk menangani isu ini. Menerusi temu bual yang
dijalankan oleh penyelidik bersama dengan pihak NGO, terdapat pelbagai aktiviti menarik
dijalankan oleh NGO dalam kempen-kempen yang dianjurkan oleh mereka khusus untuk
menarik minat orang awam di samping meningkatkan kesedaran mereka terhadap isu
pemerdagangan manusia di Malaysia. Antara aktiviti tersebut termasuklah mengadakan
tayangan video, jerayawara (roadshow) dan pameran.

“Contoh kalau kita buat kempen untuk masyarakat awam di kampung, kita akan
buat video pendek, buat mtv music. Mereka lebih suka aktiviti macam ni. Mereka
lebih tertarik, kita pun boleh tingkatkan kesedaran mereka” (NGO1)

“Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, kita ada buat kempen yang


merangkumi pameran dan road show. Ini kita sasarkan untuk masyarakat awam
supaya mereka faham apa itu pemerdagangan manusia.” (NGO2)

“Untuk tarik perhatian orang awam, biasanya kita akan buat kempen di pusat-
pusat beli belah. Kita pamerkan poster. Jadi orang awam akan mudah tertarik bila
kita buat publisiti tentang pemerdagangan manusia contohnya dari segi mangsa
yang terlibat.” (NGO 2)

“Kita pun ada turun padang jumpa orang ramai. Kita nak mereka faham apa itu
pemerdagangan manusia, apa peranan mereka membantu kurangkan isu ini. Dari
situ mereka akan sedar yang isu ini penting.” (NGO4)

Bagi memastikan kempen yang dianjurkan lebih menarik dan mendapat sambutan
yang menggalakkan, terdapat sesetengah pihak NGO yang menggunakan khidmat para artis.

55
Para artis akan dilantik menjadi juru cakap serta diundang semasa kempen berlangsung untuk
memberikan penerangan dan kesedaran berkaitan isu pemerdagangan manusia di Malaysia.
Penglibatan para artis mampu menarik minat masyarakat awam khususnya golongan muda
terhadap isu pemerdagangan manusia di Malaysia dan pada masa yang sama kesedaran
mereka terhadap isu ini juga dapat ditingkatkan. Untuk menarik minat masyarakat khususnya
golongan muda juga, pihak NGO turut melibatkan selebriti media sosial. Selebriti-selebriti
media sosial akan memberikan penjelasan serta kesedaran berkenaan isu pemerdagangan
manusia di Malaysia dalam bentuk video dan memuat naik video tersebut di laman-laman
sosial mereka. Video-video tersebut berjaya meraih jumlah tontonan yang tinggi dan pada
masa yang sama berjaya menimbulkan kesedaran terhadap isu pemerdagangan manusia di
Malaysia dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda.

“Untuk buat isu pemerdagangan manusia lebih menarik khususnya buat generasi
muda, kami libatkan artis seperti Siti Saleha, Sean Lee dan ramai lagi. Mereka
akan beri penerangan tentang isu ini.” (NGO3)

“Kami juga mendapatkan selebriti media sosial macam youtubers untuk buat
video tentang pemerdagangan manusia. Menerusi medium itu kita berjaya meraih
2.6 juta tontonan untuk 7 video.” (NGO3)

ii. Kempen Untuk Pelajar

Selain orang awam, pihak NGO juga menjadikan pelajar merangkumi pelajar sekolah dan
pelajar universiti sebagai sasaran utama untuk menjalankan kempen bagi meningkatkan
kesedaran berkenaan isu pemerdagangan di Malaysia. Hal ini kerana, bagi pihak NGO pelajar
sekolah dan pelajar universiti merupakan generasi yang akan menjadi pemimpin negara pada
masa akan datang. Oleh itu, mereka seharusnya mempunyai kefahaman dan kesedaran
terhadap isu-isu sosial yang banyak memberi kesan kepada negara seperti isu pemerdagangan
manusia. Kempen juga dianjurkan oleh pihak NGO untuk pelajar sekolah dan universiti
adalah untuk memupuk sikap prihatin terhadap persekitaran dan individu di sekeliling mereka.
Menerusi kempen yang dianjurkan, pihak NGO menjalankan pelbagai aktiviti untuk menarik
minat dan meningkatkan kesedaran terhadap isu pemerdagangan manusia di Malaysia dalam
kalangan pelajar sekolah dan universiti. Antara aktiviti tersebut termasuklah melalui
permainan, program kesukarelawanan dan banyak lagi.

“Kita pergi ke universiti awam dan swasta, adakan kerjasama dengan universiti
dan jalankan kempen pemerdagangan manusia, promosikan isu ini supaya mereka
buka mata.” (NGO1)

“Fokus kami berkempen dengan pelajar. Kalau pelajar sekolah kita akan datang
sekolah mereka, kalau pelajar universiti kita datang universiti mereka. Kita akan
buat aktiviti macam games or quiz dengan mereka untuk berikan kesedaran
terhadap isu pemerdagangan manusia.” (NGO3)

56
“Kempen dengan pelajar juga kita fokus kepada “Triple A Action Plan” iaitu
awareness, attachment dan action. Mereka kena tahu tentang isu pemerdagangan
manusia (aware) kemudian attach dengan menjadi sukarelawan membantu kami.”
(NGO3)

“Act pula ialah tindakan yang mereka ambil sama ada semudah membantu like
laman rasmi kami di Facebook, membuat laporan jika ada kes pemerdagangan
manusia atau menyumbangkan kepakaran yang mereka ada untuk membanteras
isu ini.” (NGO3)

“Sepanjang berkempen dengan pelajar, kita guna pelbagai cara menarik perhatian
mereka juga untuk menimbulkan kesedaran. Mereka boleh ekspresikan apa
pandangan mereka berkaitan pemerdagangan manusia menerusi tarian, lakonan,
puisi dan muzik.” (NGO4)

Bagi memupuk kesedaran berkenaan isu pemerdagangan manusia di Malaysia dalam


kalangan pelajar sekolah dan pelajar universiti, pihak NGO turut mengajar para pelajar tentang
cara-cara menjalankan kempen. Cara tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran
berkenaan isu pemerdagangan manusia dalam kalangan pelajar akan tetapi turut memberikan
maklumat kepada mereka tentang bagaimana cara menganjurkan sesebuah yang berkesan.
Secara tidak langsung para pelajar yang terlibat dapat menggunakan maklumat tersebut untuk
menjalankan kempen mereka sendiri khususnya kempen kesedaran berkaitan isu
pemerdagangan manusia di sekolah atau di universiti tempat mereka belajar.

“Kalau di sekolah, kami akan kempen menggunakan penyampaian mesej yang


berkesan. Supaya pelajar mudah faham contohnya kita terangkan apakah bentuk
pemerdagangan manusia yang berkaitan dengan mereka.” (NGO3)

“Apabila kami berkempen di sekolah atau universiti mereka, kami bukan hanya
kempen tentang pemerdagangan manusia sahaja. Kami turut akan ajar mereka
cara berkempen. Jadi mereka akan mendapat ilmu bagaimana nak menjalankan
kempen di sekolah atau universiti mereka khususnya berkaitan pemerdagangan
manusia.” (NGO3)

Pihak NGO ternyata memainkan peranan yang sangat penting dalam meningkatkan
kesedaran masyarakat terhadap isu pemerdagangan manusia di Malaysia menerusi kempen-
kempen kesedaran yang dianjurkan oleh mereka. Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang
kempen bukan sahaja menunjukkan bahawa pihak NGO berusaha gigih untuk meningkatkan
kesedaran dalam kalangan masyarakat akan tetapi turut menunjukkan bahawa mereka
berusaha keras bagi membantu pihak kerajaan dalam menangani isu pemerdagangan manusia
di Malaysia. Kempen-kempen bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan isu
pemerdagangan manusia di Malaysia yang dijalankan oleh pihak NGO sememangnya sangat
penting bagi melahirkan lebih ramai individu yang prihatin dan peka terhadap isu-isu sosial
di sekeliling mereka. Pada masa yang sama, usaha pihak NGO untuk meningkatkan kesedaran

57
dalam kalangan masyarakat berkenaan isu pemerdagangan manusia di Malaysia ini juga
memberikan satu perspektif baru kepada masyarakat bahawa tanggungjawab untuk
menangani isu tersebut bukan hanya terletak pada pihak kerajaan dan pihak NGO semata-
mata malah masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka bagi menangani isu ini secara
bersama.

B. Memberikan Pendidikan Bukan Formal (Non-Formal)

Selain daripada meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, memberikan


pendidikan kepada masyarakat berkenaan isu pemerdagangan manusia juga merupakan
peranan utama NGO di Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan manusia di negara ini.
Bagi pihak NGO, pendidikan berkenaan isu pemerdagangan manusia adalah penting diberikan
kepada segenap lapisan masyarakat. Hal ini kerana pendidikan yang diberikan akan dapat
memberikan kefahaman dalam diri masyarakat berkenaan isu pemerdagangan manusia.
Menerusi pendidikan juga akan dapat melahirkan masyarakat yang prihatin serta proaktif
dalam mengambil tindakan bagi menangani isu ini daripada terus berlaku di Malaysia.
Berdasarkan temu bual yang dijalankan oleh penyelidik dengan pihak NGO, pendidikan
berkaitan dengan isu pemerdagangan manusia yang diberikan oleh mereka kepada masyarakat
lebih berbentuk bukan formal (non-formal).

“Peranan NGO lah memberikan pendidikan. Walaupun bukan secara formal, tapi
kita boleh didik masyarakat. Dengan cara bukan formal macam-macam kita buat.”
(NGO1)

“Beri pendidikan pun yes kita buat. Tapi non-formal lah. Sebab apa pendidikan ni
penting. Dekat sekolah murid tak belajar pemerdagangan manusia jadi mereka tak
tahu.” (NGO2)

“Kesedaran tak cukup. Kita kena educate our society. Generasi muda penting
mengetahui isu ini. Sebab di universiti mereka tak belajar jadi peranan kita lah
educate mereka di luar.” (NGO3)

Menurut Schugurensky (2000), pembelajaran bukan formal atau dikenali sebagai


pendidikan bukan formal merujuk kepada semua program-program pendidikan yang
dianjurkan yang berlaku di luar sistem persekolahan formal, dan biasanya dijalankan dalam
jangka pendek serta secara sukarela. Pendidikan bukan formal merupakan pembelajaran yang
dirancang tetapi dengan cara yang sangat mudah disesuaikan dalam institusi, organisasi dan
situasi di luar bidang pendidikan formal atau tidak formal (Eshach, 2006). Dalam isu
pemerdagangan manusia di Malaysia, pihak NGO telah memainkan peranan besar dengan
memberikan pendidikan bukan formal kepada masyarakat seperti golongan pelajar, pihak
berkuasa dan pihak majikan melalui pelbagai cara.

i. Pendidikan Bukan Formal Kepada Pelajar

58
Pihak NGO memberikan pendidikan bukan formal kepada golongan pelajar untuk memupuk
kefahaman mereka berkenaan isu pemerdagangan manusia di Malaysia. Pendidikan bukan
formal diberikan kepada pelajar kerana mereka tidak diajar berkenaan isu pemerdagangan
manusia sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat universiti. Oleh itu, ramai
pelajar-pelajar di Malaysia tidak mempunyai kefahaman terhadap isu pemerdagangan
manusia walaupun isu tersebut merupakan isu global yang penting. Pihak NGO telah
menyedari akan hal ini dan memainkan peranan mereka untuk memberikan pendidikan bukan
formal kepada pelajar-pelajar di Malaysia. Pendidikan bukan formal diberikan oleh pihak
NGO kepada para pelajar dalam pelbagai bentuk seperti melalui forum, seminar dan
persidangan.

“Ada dalam 100 orang pelajar universiti kita kumpulkan, kita buat forum
dengan mereka dengan tujuan nak memberi pendidikan tentang isu
pemerdagangan manusia. Supaya nanti mereka pula boleh sampaikan
pada orang lain.” (NGO1)

“Kami ada anjurkan seminar dan persidangan untuk pelajar. Dalam seminar kita
mengajar tentang apa itu pemerdagangan manusia dari segi jenis-jenis, cara dan
kesan dengan harapan mereka mendapat kefahaman yang jelas.” (NGO2)

“Selain itu kita buat forum juga. Kita minta pelajar terlibat dalam forum tersebut.
Beri maklum balas apa yang mereka faham dan persoalan yang ingin mereka
tanya pada kita.” (NGO2)

“Untuk pelajar sekolah, kalau buat seminar atau forum kami akan ajar dan kongsi
dengan mereka apa itu pemerdagangan manusia menggunakan material yang
dibekalkan oleh Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO). Kami gunakan
material yang diberi dengan cara penyampaian lebih mudah supaya mereka
faham.” (NGO3)

“Kalau kita buat persidangan, kita akan edarkan booklet tentang kisahkisah
mangsa pemerdagangan manusia. Kita harap cara ini bukan sahaja dapat mendidik
masyarakat tapi beri mereka gambaran bagaimana pengalaman menjadi mangsa
eksploitasi.” (NGO4)

“Untuk pelajar memang kita educate mereka dengan platform yang pelbagai.
Forum atau perbincangan medium yang sesuai. Kita akan beri pelajar tonton
drama-drama pendek berkaitan pemerdagangan manusia semasa itu. Lepas itu
kami buat perbincangan dengan mereka tentang apa yang mereka faham berkaitan
pemerdagangan manusia.” (NGO4)

59
ii. Pendidikan Bukan Formal Kepada Pihak Berkuasa Dan Majikan

Bukan hanya pelajar, pihak NGO turut memberi pendidikan bukan formal kepada pihak
berkuasa dan pihak majikan. Pendidikan bukan formal lazimnya diberikan kepada pihak
berkuasa dalam bentuk latihan. Hal ini kerana pihak berkuasa merupakan antara pihak utama
yang bertanggungjawab dalam isu pemerdagangan manusia akan tetapi tidak semua pihak
berkuasa mempunyai kefahaman berkenaan isu tersebut. Pendidikan yang diberikan kepada
pihak berkuasa adalah penting bagi memastikan mereka mempunyai kefahaman yang jelas
dan kukuh berkenaan isu ini sekaligus dapat mencegah isu pemerdagangan manusia daripada
berlaku di peringkat awal lagi. Hal ini diakui oleh pihak NGO yang ditemu bual oleh
penyelidik.
“Training untuk police officer memang ada. Itu peranan kita untuk beri
pendidikan tentang isu ini. Ini dapat membantu mereka sedikit sebanyak.”
(NGO2)

“Dalam training, kita paparkan cerita-cerita pemerdagangan manusia yang kita


pernah handle. Selain cerita, kita ada upload laporan-laporan juga. Semua ni boleh
diakses dengan mudah.” (NGO2)

“Kami memberikan latihan kepada pihak berkuasa. Kami mengajar mereka


bagaimana mengenal pasti seseorang mangsa yang berpotensi untuk terlibat
dengan pemerdagangan manusia.” (NGO3)
“Semasa latihan diberikan, kami akan memberi penerangan kepada anggota polis
tentang bagaimana mereka boleh menangani isu pemerdagangan manusia dan
bagaimana nak ubah sikap dalam kalangan polis sendiri terhadap isu ini.” (NGO3)

Selain itu, pihak NGO turut memberikan pendidikan bukan formal kepada pihak
majikan dalam bentuk latihan dan bengkel terutama majikan yang mengambil warga asing
sebagai pekerja. Hal ini kerana pihak majikan yang mengambil warga asing sebagai pekerja
mempunyai risiko tinggi untuk terlibat dalam isu pemerdagangan manusia khususnya dalam
bentuk buruh paksa. Pendidikan bukan formal yang diberikan kepada pihak majikan dapat
memberikan kefahaman kepada mereka berkenaan isu ini. Pada masa yang sama pihak
majikan juga akan dapat memainkan peranan mereka bagi mengelakkan syarikat atau
perniagaan yang mereka jalankan daripada terlibat dengan isu pemerdagangan manusia.

“Untuk majikan, kita bekerjasama dengan mereka. Kita buat bengkel untuk
mereka dan bagaimana indikator-indikator pemerdagangan manusia semua kita
explain.” (NGO2)

“Kami turut memberikan latihan kepada syarikat-syarikat, kami memberi


perhatian kepada supply chain mereka untuk melihat bagaimana mereka dapat
mengelakkan daripada menggunakan buruh paksa.” (NGO3)

60
Peranan pihak NGO dalam memberikan pendidikan bukan formal kepada masyarakat
khususnya golongan pelajar, pihak berkuasa dan pihak majikan berkaitan isu pemerdagangan
manusia di Malaysia perlu dilihat sebagai satu sumbangan yang besar. Peranan pihak NGO
dalam memberikan pendidikan bukan formal kepada masyarakat berkaitan isu ini pada masa
yang sama dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai pengetahuan terhadap isu
pemerdagangan manusia. Pengetahuan tersebut dapat membantu masyarakat terutama dari
segi tindakan awal yang perlu diambil oleh mereka apabila berhadapan dengan isu
pemerdagangan manusia. Secara tidak langsung dapat menjadikan masyarakat di Malaysia
akan lebih bertanggungjawab dalam memainkan peranan mereka membantu menangani isu
ini. Oleh yang demikian, pendidikan bukan formal yang diberikan oleh pihak NGO ini dilihat
sedikit sebanyak dapat membantu pihak kerajaan untuk menangani isu pemerdagangan
manusia di peringkat akar umbi.
Hasil dapatan yang diperoleh telah mengenalpasti bahawa pihak NGO sememangnya
memainkan peranan dalam menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia.
Meningkatkan kesedaran dan memberikan pendidikan bukan formal dilihat menjadi fokus
utama majoriti pihak NGO dalam menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia. Pihak
NGO pada masa yang sama perlu mempelbagaikan peranan mereka supaya dapat membantu
pihak berkuasa untuk menangani isu ini. Rajah 4.4 di bawah menunjukkankan hasil dapatan
berkaitan peranan pihak NGO dalam menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia:

Rajah 1: Peranan NGO dalam menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia

KESIMPULAN

Pemerdagangan manusia merupakan isu kompleks yang melibatkan banyak pihak. Bagi
menyelesaikan isu ini, pihak kerajaan tidak boleh bertindak tanpa bantuan dari pihak
bertanggungjawab yang lain seperti NGO. Walaupun peranan NGO dalam menangani isu
pemerdagangan manusia di Malaysia tidak sama seperti peranan yang dimainkan oleh pihak
kerajaan namun begitu peranan yang dimainkan oleh pihak NGO sehingga ke hari ini dalam
menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia tidak dapat dinafikan sumbangannya.
Seiring dengan ciri-ciri sebuah NGO yang menjadi penghubung dalam kalangan masyarakat,

61
NGO-NGO di Malaysia ternyata telah memainkan peranan mereka dengan proaktif dalam
menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia. Peranan NGO dalam isu pemerdagangan
manusia adalah sangat penting dan menjadi satu bonus sekiranya pihak NGO menjalinkan
kerjasama yang berkesan dengan pihak kerajaan dalam menangani isu ini. Pada masa yang
sama juga, diharapkan agar pihak NGO akan lebih kreatif pada masa akan datang dalam
memilih medium yang sesuai, menarik dan berkesan bagi melaksanakan program-program
mereka supaya dapat membantu menangani isu pemerdagangan manusia di Malaysia dengan
lebih efektif.

ACKNOWLEDGEMENT

This research was supported by Ministry of Education (MOE) through Fundamental Research
Grant Scheme (FRGS/1/2017/SS06/UNIKL/03/1) titled Cause and Factors of Human
Trafficking in Malaysia

RUJUKAN

Akhbar Satar. (2016, April 28). 3 Aspek Banteras Pemerdagangan Manusia. BH Online.
Diunduh dari https://www.bharian.com.my/node/148240
Braun, V., & Clarke, V. (2006). Using Thematic Analysis In Psychology. Qualitative
research in psychology, 3(2), 77-101.
Eshach, H. (2006). Bridging In-school and Out-of-school Learning: Formal, Non-Formal,
and Informal Education. Journal of Science Education and Technology, 16(2), 171-
190.
Fast, L. (2007). Characteristics, context and risk: NGO insecurity in confict zones.
Disasters, 31(2), 130-154.
Kementerian Dalam Negeri. (2014). Kenyataan Media Berhubung Laporan Tahunan
Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang Tahun 2014.
Diunduh dari www.moha.gov.my/index.php/ms/ maklumat-korporat22-
4/kenyataan-media-kdn/1777-kenyataan-media-berhubung-laporan-tahunan-
jabatan-negara-amerika-syarikat-mengenai-pemerdagangan-orang-us-tip-report-
tahun-2014
Mazlan Che Soh dan Makmor Tumin. (2017). Sejarah dan perkembangan Badan Bukan
Kerajaan (NGO) kesihatan di Malaysia sehingga tahun 2015. Sejarah: Journal of
the Department of History, 26(2), 49-70.
Merriam, S. B. (2009). Qualitative Research: A Guide to Design and Implementation (3rd
ed). San Francisco, CA: Jossey-Bass.
Nafisah Ilham Hussin. (2013). Peranan Tenaganita Dan Kerajaan Malaysia Dalam
Menangani Isu Pemerdagangan Orang. Simposium Kebudayaan Indonesia
Malaysia XIII, (hlm 1-22). Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Norma Mansor. (2014, November 6). NGO Penuhi Keperluan Sosial Rakyat. Berita
Harian Online. Diunduh dari https :// www .bharian .com. my/ node/ 15982
Othman Lebar. (2007). Penyelidikan Kualitatif, Pengenalan Kepada Teori Dan Metod
(Cet 2). Tanjung Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

62
Patton, M.Q. (1990). Qualitative Evaluation and Research Methods (Second Edition).
Newbury Park, Calif.: Sage Pub.
Schugurensky, D. (2000). The forms of informal learning: Towards a conceptualization
of the field. (WALL Working Paper No. 19, 2000). Diunduh dari https://
tspace.library.utoronto.ca /bitstream /1807 /2733 /2/ 19formsof
Sheila Devi. (2016). Malaysia And The Issue Of Human Trafficking: Root Causes,
Securitisation And Responses (Tesis Ph.D). Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Malaya.
U.S. Department Of State. (2014). Trafficking in Persons Report 2014. Diunduh dari
https://2009-2017.state.gov/documents/organization/226847.pdf
U.S. Department Of State. (2015). Trafficking in Persons Report 2015. Diunduh dari
https://2009-2017.state.gov/documents/organization/243560.pdf
U.S. Department Of State. (2016). Trafficking in Persons Report 2016. Diunduh dari
https://2009-2017.state.gov/documents/organization/243560.pdf
U.S. Department Of State. (2017). Trafficking in Persons Report 2017. Diunduh dari
https://www.state.gov/wp-content/uploads/2019/02/271339.pdf
U.S. Department Of State. (2018). Trafficking in Persons Report 2018. Diunduh dari
https://www.state.gov/j/tip/rls/tiprpt/index.htm
U.S. Department Of State. (2019). Trafficking in Persons Report 2019. Diunduh dari
https://www.state.gov/wp-content/uploads/2019/06/2019-TIP-Report Narratives-J-
M.pdf
Wan Nur Ibtisam Wan Ismail. (2014). Human Trafficking Policy Implementation: A Case
Study Of Malaysia. (Tesis Ph.D). Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti
Malaya.
Zikmund, W. G. (2013). Business Research Methods. Mason, OH: South-Western
Cengage Learning.
Zuraini Ab. Hamid. (2019). Memperkasakan Perlindungan Mangsa Pemerdagangan
Manusia Di Malaysia. Kanun: Jurnal Undang-undang Malaysia, 31(1), 105 ‒ 120.

63

You might also like