You are on page 1of 3

Muhammad Al Afzan

"Pengetahuan Menjangkau Sempadan"


Peranan Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Pembinaan negara bangsa merupakan asas dalam usaha negara untuk mencapai status
negara maju signifikan dengan fokus utama Transformasi Nasional 2050 yang menekankan
aspek identiti nasional yang kukuh dan utuh. Berdasarkan definisi yang diberikan oleh
Mohd Ashraf Ibrahim et al. (2015), pembinaan negara bangsa merujuk kepada
pembentukan berasaskan kepada proses penyatuan bangsa serta diperkuatkan lagi
dengan persempadanan wilayah tertentu sebagai identiti yang mana penduduk sesebuah
negara tersebut adalah multietnik. Menerusi konsep tersebut, sesebuah negara akan
menjadi lebih utuh dengan mentaliti dan kesepaduan yang terdapat dalam diri penduduk
negara tersebut. Perkara tersebut bertepatan dalam konteks negara Malaysia kerana
negara tersebut mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dalam usaha
untuk mewujudkan identiti nasional yang relevan dengan konsep negara bangsa, semua
pihak yang menjadi entiti penting dalam konteks negara Malaysia perlu memainkan
peranan masing-masing. Hal ini adalah perlu agar semangat perpaduan dalam kalangan
rakyat dapat dipertingkatkan kerana perkara tersebut amatlah penting ke arah mewujudkan
masyarakat Malaysia yang hidup dalam keadaan yang harmoni. Signifikan dengan perkara
tersebut, proses pembentukan kebudayaan nasional adalah penting untuk mewujudkan
identiti nasional bagi negara Malaysia yang mempunyai masyarakat bersifat multietnik.
Peranan utama kebudayaan kebangsaan seperti mana yang ditekankan dalam
Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah mewujudkan satu identiti nasional bagi masyarakat
berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Dalam hal ini, kebudayaan kebangsaan
memainkan peranan yang penting untuk mewujudkan identiti negara Malaysia pada
peringkat antarabangsa. Dengan wujudnya identiti nasional, semangat nasionalisme dalam
kalangan rakyat di negara ini dapat diwujudkan menerusi perkongsian satu identiti
berasaskan Malaysia yang sama. Semangat nasionalisme memainkan peranan penting ke
arah pembentukan jati diri rakyat Malaysia. Menurut P. Sivarajan et al. (2015), identiti
nasional merujuk kepada satu lambang kepada sesuatu penduduk di sesebuah negara
untuk membezakan penduduk di negara tersebut dengan negara yang lain. Dalam konteks
negara Malaysia, identiti nasional yang diwujudkan menerusi Dasar Kebudayaan
Kebangsaan adalah fundamental untuk mewujudkan satu identiti Malaysia dalam kalangan
masyarakat global. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah diperkenalkan adalah
berteraskan kepada kebudayaan Melayu dan mengintegrasikan elemen kebudayaan
masyarakat lain yang terdapat dalam negara untuk mewujudkan satu kebudayaan nasional
yang dikongsi oleh rakyat di negara ini sebagai identiti nasional yang melambangkan
Malaysia. Ini dapat dibuktikan menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
persekutuan. Deduksinya, kebudayaan kebangsaan memainkan peranan penting untuk
mewujudkan satu identiti nasional masyarakat Malaysia pada peringkat global berteraskan
kebudayaan Melayu dan mengintegrasikan kebudayaan kaum lain dalam usaha
mewujudkan semangat nasionalisme.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan juga memainkan peranan dalam usaha untuk
mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat
majmuk. Zaid Ahmad (2006) menyatakan bahawa perpaduan kaum merupakan penyatuan
masyarakat pelbagai kaum yang dapat diwujudkan menerusi ideologi negara. Menurut A.
Aziz Deraman (2001), perpaduan kaum amatlah penting dalam konteks negara multietnik
seperti Malaysia. Berdasarkan pernyataan tersebut, perpaduan yang wujud dalam kalangan
rakyat akan menjadikan negara berada dalam keadaan aman dan tenteram untuk
membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan program pembangunan dengan
lancar untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah
diperkenalkan oleh kerajaan adalah bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan melalui
kebudayaan nasional yang dipersetujui oleh semua kaum yang terdapat dalam negara.
Dalam hal ini, kebudayaan kebangsaan yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan
Kebangsaan digubal berdasarkan persetujuan wakil setiap kaum dengan mengambil kira
unsur-unsur kebudayaan kaum lain meskipun kebudayaan Melayu menjadi tunjang dalam
pembentukan dasar tersebut. Perkara ini dapat dilihat menerusi perarakan Citrawarna
Malaysia pada tahun 2011 yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan
Pelancongan yang memaparkan keunikan kebudayaan masyarakat multietnik yang
terdapat di Malaysia. Intihanya, kebudayaan kebangsaan memainkan peranan untuk
mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum menerusi
kewujudan satu budaya kebangsaan yang dipersetujui oleh setiap kaum.
Peranan kebudayaan kebangsaan seperti yang ditekankan dalam Dasar
Kebudayaan Kebangsaan adalah untuk meningkatkan taraf dan mutu kesenian. Perkara
tersebut secara tidak langsung menjadi identiti yang melambangkan elemen kesenian
masyarakat multietnik yang terdapat dalam Malaysia. Secara amnya, elemen kesenian
dalam kalangan masyarakat majmuk dalam konteks negara ini dapat dibahagikan kepada
beberapa subkategori iaitu seni persembahan, seni tampak dan seni muzik (Husin Fateh
Din dan Nazariyah Sani, 2014). Peningkatan taraf dan mutu kesenian adalah amat penting
untuk memastikan kesinambungan elemen kesenian sebagai salah satu entiti yang menjadi
simbol terhadap imej negara. Menurut Aslina Abu Bakar (2019), pelaksanaan Dasar
Kebudayaan Kebangsaan merupakan mekanisme yang mampu mengangkat imej Malaysia
pada peringkat global menerusi peningkatan mutu kesenian. Dalam strategi pelaksanaan
Dasar Kebudayaan Kebangsaan, pihak kerajaan telah memberi peruntukan kepada
organisasi yang terlibat dalam memperkasa seni dan warisan kebudayaan yang terdapat di
Malaysia. Dalam hal ini, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berperanan
sebagai organisasi utama dalam pelaksanaan matlamat dan strategi Dasar Kebudayaan
Kebangsaan melalui penyelidikan, pembangunan dan penggalakan, pendidikan dan
pengembangan kesenian serta perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan.
Sebagai tamsilan, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara telah menganjurkan Festival
Antarabangsa Kesenian Orang Asli dan Peribumi 2016, Festival Gendang Melayu Sarawak,
Pesta Air Chenor Pahang dan sebagainya untuk mengangkat martabat kesenian yang
terdapat di Malaysia (Amirul Aiman Anuar, 2016). Konklusinya, Dasar Kebudayaan
Kebangsaan berperanan penting ke arah mewujudkan satu elemen kesenian yang menjadi
identiti Malaysia di mata dunia.

You might also like