You are on page 1of 11

Tahap Kepuasan Mahasiswi Terhadap Kualiti Perkhidmatan

Di Asrama Siswi, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah


(POLISAS).

Fara Adura Mohd Yusoff


Jabatan Perdagangan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah
Email: fara@polisas.edu.my

Mohd Korisan Abdullah


Jabatan Perdagangan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah
Email: korisan@polisas.edu.my

Wan Azlina Wan Mohd Nowalid


Jabatan Perdagangan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah
Email: azlina@polisas.edu.my

Abstrak

Kajian ini merupakan kajian tinjauan yang telah dijalankan terhadap pelajar-pelajar yang
menginap di kamsis di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS). Tujuan utama
tinjauan ini adalah untuk mengukur tahap kepuasan pelajar terhadap kualiti
perkhidmatan kolej kediaman di POLISAS. Populasi kajian ini melibatkan responden
daripada pelajar-pelajar yang menghuni di Kamsis Ibnu Sina dan Kamsis Al-Ghazali.
Penentuan jumlah sampel adalah berdasar jadual yang digunakan oleh Krejcie dan Morgan
(1970). Oleh itu, sampel bagi kajian ini adalah berjumlah 308 orang responden daripada
jumlah anggaran populasi (N) 1,599 orang. Soal selidik diadaptasi daripada kajian Hamdan
bin Said & Norma Suzila binti Ahmad (2014). Data yang dikumpul telah dianalisa dengan
meggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 22.0 dan kaedah
penganalisaan yang digunakan adalah analisa deskriptif dan min. Kepuasan ditinjau dari
aspek persekitaran, kemudahan dan perkhidmatan, layanan staf dan ahli jawatankuasa
siswi. Dapatan kajian secara keseluruhannya menunjukkan bahawa tahap kepuasan
pelajar terhadap kualiti perkhidmatan kamsis kediaman di POLISAS adalah ditahap yang
sederhana.

Kata Kunci: Kepuasan penghuni, Kualiti perkhidmatan, Kamsis kediaman

1. Pengenalan
Penginapan pelajar dilihat sebagai pusat pembinaan insan dan disiplin
pelajar dalam sistem pendidikan Politeknik untuk meningkatkan kualiti
hidup pelajar (Abdul Latif, 2001). Oleh itu, aspek disiplin dan penginapan
mempunyai peranan penting yang seiring untuk membangunkan pelajar
secara keseluruhannya. Maka, komponen ini perlu saling melengkapi
antara satu sama lain.
Menurut Christopher (1990), pada peringkat awal penubuhan politeknik
telah disediakan sistem penginapan yang menawarkan bilik-bilik tidur
secara berkongsi bagi para pelajar dengan kemudahan tempat makan
termasuk penyediaan makanannya sekali. Penginapan di dalam asrama
merupakan salah satu aspek kehidupan para siswa sepanjang tempoh
pengajian di POLISAS. Pembangunan dari segi jasmani dan rohani bukan
sahaja dipengaruhi oleh persekitaran di dalam bilik kuliah tetapi juga
persekitaran tempat penginapan.
Terdapat 4 buah kamsis yang disediakan bagi semua pelajar POLISAS. Dua
kamsis dikhususkan untuk mahasiswi, iaitu kamsis Ibnu Sina (IS) dan
kamsis Al–Ghazali (AG). Kamsis IS boleh menampung seramai 900 orang
siswi pada satu masa dan Kamsis AG pula boleh menempatkan sehingga
1000 siswi untuk satu sesi pengajian. Manakala 2 kamsis untuk
mahasiswa ialah kamsis Al-Biruni (AB) dan kamsis Siti Hajar (CC). Kamsis
Al Biruni boleh menempatkan seramai 1000 orang siswa pada satu sesi,
sementara kamsis Siti Hajar boleh menampung seramai 150 orang siswa
pada satu masa.
Fungsi kolej kediaman bukan sekadar bilik penginapan semata-mata malah
fungsinya merangkumi lebih daripada itu. Kolej kediaman boleh dikatakan
sebagai pusat interaksi pelajar daripada pelbagai budaya dan latarbelakang,
pusat perkembangan kemahiran, pusat pembelajaran yang kondusif dan
sebagainya.

1.1 Penyataan Masalah


Kepelbagaian fungsi kolej kediaman mendorong pelajar untuk mendapatkan
suasana tempat tinggal yang lebih praktikal dan kondusif untuk tujuan
pembelajaran serta perkembangan rohani dan jasmani. Selain itu, menurut
Knirk (2010) pelajar mengalami kesukaran untuk memahami atau
memproses maklumat jika persekitaran fizikalnya tidak selesa. Dalam
konteks POLISAS, terdapat beberapa isu yang sering dihadapi oleh siswi
yang menginap di kamsis antaranya ialah dari aspek keselamatan
persekitaran. Kehadiran haiwan liar seperti monyet, anjing dan khinzir
seringkali mengganggu pelajar kamsis sehingga aktiviti rutin pelajar
terbatal atau tertangguh. Pelajar menghadapi kesukaran untuk ke kuliah
dan juga pulang ke kamsis kerana terdapat gangguan haiwan liar. Sebagai
contoh, pada sesi Disember 2016, terdapat satu kes di mana penghuni kolej
kediaman cedera akibat digigit anjing ketika dalam perjalanan daripada
asrama ke dewan peperiksaaan. Isu keselamatan yang paling mengejutkan
ialah kejadian seorang penghuni kamsis Al-Biruni telah meninggal dunia
kerana terjatuh dari tingkat satu asrama. Selain itu, kolej kediaman juga
kerap mengalami masalah gangguan bekalan air. Walaupun pihak
pentadbiran telah menyediakan 3 tangki simpanan, masih tidak dapat
menampung keperluan keseluruhan penghuni kolej kediaman.
Implikasinya, catuan penggunaan air terpaksa dilakukan sehingga bekalan
air pulih. Maka, kesan langsung juga menyumbang kepada masalah
kelewatan pelajar hadir ke kelas.
Sehubungan itu, satu kajian khusus berkaitan perkhidmatan kolej
kediaman wajar dilakukan memandangkan isu tersebut telah lama menjadi
perbualan dalam kalangan pelajar. Penyelesaiannya secara tidak langsung
boleh membawa kesan positif terhadap kecemerlangan pelajar. Justeru,
kajian ini dijalankan bagi mengetahui tahap kepuasan siswi-siswi terhadap
kualiti perkhidmatan di kamsis Al-Ghazali dan Al-Biruni. Kepuasan yang
dikaji meliputi aspek persekitaran, kemudahan dan perkhidmatan, layanan
staf dan ahli jawatankuasa kamsis. Dapatan kajian ini boleh membantu
pihak pengurusan asrama merancang dan melaksanakan tindakan susulan
bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kualiti kehidupan pelajar
kamsis POLISAS.

2. Sorotan Kajian

2.1 Persekitaran kampus


Persekitaran kampus yang baik dapat menjanakan ‘self-guestioning’ dan
penemuan baru, mampu berperanan sebagai media pembelajaran,
menyediakan tempat untuk berbincang dan bertukar–tukar pendapat, di
samping tempat untuk pembelajaran bersendirian serta bermeditasi. Ini
bagi membolehkan pelajar menikmati proses pembelajaran dengan lebih
menyeronokkan. Lantaran itu, persekitaran pembelajaran perlulah
menyediakan rangsangan yang diingini sebagai contoh rangsangan untuk
penyelesaian masalah, mengurangkan tekanan atau meningkatkan
keseronokkan untuk belajar, sekaligus menghalang rangsangan yang tidak
diingini contohnya, yang mengakibatkan tekanan dan kekeliruan (Knirk,
2014).
Kebanyakan institusi pengajian tinggi menempatkan pelajarnya untuk
tinggal di dalam kampus, persekitaran pembelajaran yang terancang adalah
sangat penting untuk dipertimbangkan (Castaldi Basil, 2013). Lebih-lebih
lagi, kualiti persekitaran dan reka bentuk selain reputasi akademik
merupakan antara kriteria penting dalam menentukan universiti yang
hendak dipilih. Buktinya dapat dilihat berdasarkan prospektus
permohonan pelajar bagi universiti di United Kingdom di mana University of
Nottingham berada pada kedudukan tertinggi dalam senarai universiti-
universiti yang dipilih oleh pelajar di sana berikutan kecantikan dan latar
kampusnya. Moos (2013) ada menyatakan, “social-ecological setting” boleh
mempengaruhi aspek sikap dan mood pelajar, tingkah laku dan pencapaian
mereka di samping pembinaan konsep kendiri dan nilai-nilai kemanusiaan.
Justeru, perancangan rapi ke arah mewujudkan persekitaran sosial yang
kondusif untuk pembelajaran adalah penting sejajar dengan hasrat
menghasilkan pelajar yang berpotensi sekaligus menyahut seruan kerajaan
untuk membangunkan sumber manusia sebagai pra syarat kepada
pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.

2.2 Kemudahan dan perkhimatan di asrama


Di antara kemudahan dan perkhidmatan di asrama siswi adalah seperti
surau, kafeteria, tempat riadah, kafe siber, bilik mesyuarat dan lobi.
Perkhidmatan penyelenggaraan penting kepada para siswi bagi menjamin
persekitaran pembelajaran yang selesa seterusnya menigkatkan kualiti
pembelajaran. Pendapat ini disokong oleh Knirk (2014), bahawa para siswi
tidak boleh memahami ataupun memproses maklumat dengan mudah jika
persekitaran fizikalnya tidak selesa. Oleh itu, ketelusan pihak kolej dan
kecekapan mereka dalam mengambil tindakan penyelenggaraan terhadap
aduan para siswi juga perlu ditingkatkan. Kerosakan peralatan elektrik di
bilik penginapan seperti lampu dan kipas malahan pintu juga kadangkala
membawa masalah kepada mereka. Kecekapan pihak pejabat kolej dalam
mengambil tindakan amatlah dihargai oleh para siswi supaya mereka dapat
belajar dalam suasana yang selesa. Keadaan fizikal yang baik serta
berkualiti dapat membantu mengurangkan tekanan dan kemurungan.
Dengan ini, para siswi dapat mengalami suasana pembelajaran yang
optimum.
Ini selaras dengan pendapat Abu Hassan (2012), yang mengatakan pelbagai
jenis perkhidmatan yang disediakan adalah untuk memenuhi keperluan
kognitif, efektif, fizikal dan sosial siswa-siswi. Persekitaran fizikal kampus
adalah kriteria penting yang menjadi tarikan kepada mahasiswa dan
mahasiswi yang akan mempengaruhi atau menentukan keselesaan mereka
terhadap sesebuah institusi.

2.3 Layanan staf dan ahli jawatankuasa


Dengan kenyataan Garland (2010) mengangap felo ialah sebagai seorang
ahli disiplin, ada yang menyatakan bahawa felo adalah seseorang yang
memastikan bahawa mahasiswa mendapat segala kemudahan yang
diperlukan dari masa ke semasa, ada pula yang menganggap felo sebagai
penyelaras program mahasiswi sesuai dengan objektif Politeknik atau
mahasiswi sendiri. Bagaimanapun, perkara ini tidaklah terlalu kritikal bagi
pelajar untuk meneruskan pembelajaran ataupun kehidupan di kolej
kediaman kerana mahasiswi lebih memerlukan rakan untuk mempengaruhi
pembelajaran seseorang itu. Sharifah Alwiah (2012) menyatakan persamaan
dari cara-cara dan menilai rakan sebaya banyak mempengaruhi
perkembangan seseorang induvidu. Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan
pendapat Mohd. Yunus Nor (2013), yang menyatakan bahawa felo juga
dikatakan merupakan satu ‘wahana’ yang membantu untuk mencapai
wawasan universiti dan kefahaman tentang pentingnya konsep kolej
kediaman sebagai satu institusi pendidikan, tempat tinggal para ilmuan
dan kemudahan untuk kebajikan siswa-siswi perlulah dihayati oleh semua
felo.

3. Metodologi
Kajian yang dijalankan adalah kajian kuantitatif. Populasi bagi kajian ini
ialah pelajar siswi yang menginap di kamsis Ibnu Sina (IS) dan kamsis Al -
Ghazali (AG) di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, iaitu seramai 1599
orang. Penentuan saiz sampel adalah berdasarkan Krejie & Morgan (1970)
iaitu sebanyak 308 responden dan menggunakan teknik persampelan
rawak berstrata. Bagi mendapatkan data, pengkaji menggunakan data
primer. Data primer merupakan data utama untuk mendapatkan
maklumat dalam kajian ini. Data primer diperolehi melalui borang soal
selidik yang telah diadaptasi dan diubahsuai daripada kajian Hamdan Bin
Said dan Norma Suzila Binti Ahmad dalam kajian yang bertajuk Kepuasan
Mahasiswi Terhadap Kualiti Kehidupan Di Kolej Tun Fatimah, UITM Skudai,
Johor. Soal selidik diedarkan secara terus kepada responden yang
menginap di kedua-dua kamsis. Dapatan kajian dianalisa menggunakan
kaedah deskriptif iaitu analisa kekerapan, peratusan dan nilai min.
Pengkaji juga menggunakan Skala Likert 5 mata untuk memudahkan
pengiraan. Berdasarkan ujian kebolehpercayaan yang dijalankan nilai
Cronbach’s Alpha yang diperolehi adalah diantara 0.83 hingga 0.94, maka
soal selidik bagi kajian ini adalah boleh diterima. Jadual 1 menunjukkan
ringkasan instrumen kajian.

Jadual 1: Instrumen kajian


Item Skala Sumber No. item Cronbac
h
αlpha
Persekitaran kolej Skala Likert 5 Hamdan 8 0.83
kediaman mata iaitu : bin Said
1. Lemah &
2. Sedikit Norma
peningkatan Suzila binti
diperlukan Ahmad
3. Seperti (2014)
dijangka
Kemudahan dan 4. Bagus 12 0.91
Perkhidmatan 5. Cemerlang
tempat tinggal
Layanan staf dan
ahli jawatankuasa
14 0.93

4. Dapatan Kajian

4.1 Latar belakang Responden


Daripada keseluruhan responden sebanyak 53.2% responden menetap di
kamsis Al-Ghazali iaitu seramai 164 orang dan diikuti dengan responden
yang menetap di Ibnu Sina sebanyak 46.8% iaitu seramai 144 orang.
Responden paling ramai terdiri daripada pelajar semester 1 dan 2 iaitu
sebanyak 45.8% dengan jumlah 141 orang. Manakala sebanyak 40.9%
iaitu seramai 126 orang responden merupakan pelajar semester 3 dan 4.
Manakala bilangan responden paling sikit terdiri daripada pelajar semester
5 dan 6, sebanyak 13.3% iaitu seramai 41 orang pelajar. Kesimpulannya,
responden paling ramai terdiri daripada pelajar semester 1 dan 2. Ini
memandangkan pelajar semester 1 dan 2 merupakan pelajar yang paling
ramai menginap di kamsis.

4.2 Analisa maklum balas responden


Jadual 2 menunjukkan analisa kepuasan pelajar terhadap kualiti
kehidupan di kolej kediaman. Secara terperincinya kepuasan pelajar
terhadap kualiti kehidupan dalam aspek persekitaran tempat tinggal
(min=3.44%), kemudahan dan perkhidmatan kolej kediaman (min=2.88%),
layanan staf dan ajk mahasiswi di kolej kediaman (min=3.09%). Manakala
penilaian secara menyeluruh bagi kepuasan di kamsis kediaman (min=3.00)
berada pada tahap sederhana.
Jadual 2: Analisa Maklumbalas Responden
Faktor Min Tahap
kepuasan
Persekitaran tempat tinggal 3.44 Sederhana
Kemudahan dan perkhidmatan 2.88 Sederhana
kolej kediaman
Layanan staf dan AJK mahasiswi 3.09 Sederhana
kolej kediaman

4.3 Tahap kepuasan pelajar terhadap persekitaran tempat tinggal


Kepuasan penghuni kamsis terhadap persekitaran tempat tinggal
merangkumi dari aspek suasana pembelajaran, waktu tidur, interaksi
dengan penghuni yang lain, hak peribadi, dan gangguan. Jadual 3
menunjukkan nilai min bagi faktor persekitaran di tempat tinggal. Nilai min
tertinggi ialah untuk item (tahap dimana saya merasa bebas daripada
sebarang bentuk ‘pencabulan / gangguan’ di kolej kediaman saya (lisan,
seksual, perkauman, dan sebagainya) iaitu dengan nilai min sebanyak 4.09.
Manakala, min paling minima adalah pada item (tahap kesedaran
kemasyarakatan pada aras kediaman saya) iaitu sebanyak 3.11. Manakala
kepuasan bagi aspek suasana waktu tidur, keakraban dan interaksi dengan
penghuni lain, kesedaran kemasyarakatan, dan tindakan staf menangani
kebisingan di kamsis berada pada tahap sederhana.

Jadual 3: Nilai min bagi persekitaran di tempat tinggal


Item Min Tahap
Kepusasan
Suasana pembelajaran di aras kolej 3.46 Sederhana
kediaman saya adalah
Suasana waktu tidur ( rehat ) pada aras
kediaman saya adalah 3.61 Sederhana
Tahap keakraban atau kemesraaan
penghuni aras kediaman saya adalah 3.38 Sederhana

Peluang untuk bertemu dan berinteraksi


dengan orang lain di aras kediaman saya 3.30 Sederhana
adalah
Tahap kesedaran kemasyarakatan pada
aras kediaman saya adalah 3.11 Sederhana
Tahap tindakan staf terhadap tahap
kebisingan pada aras kediaman saya 3.16 Sederhana
adalah
Tahap penghormatan orang lain terhadap
hak peribadi saya di kolej kediaman adalah 3.44 Sederhana
Tahap di mana saya merasa bebas
daripada sebarang bentuk
'pencabulan/gangguan' di kolej kediaman 4.09 Tinggi
saya (lisan, seksual, perkauman, dsb) ialah

4.4 Tahap kepuasan pelajar terhadap kemudahan dan perkhidmatan di


kolej kediaman
Jadual 4 menunjukkan jumlah min bagi faktor kemudahan dan
perkhidmatan di kolej kediaman. Nilai min paling tinggi pada item
(perkhidmatan pengemasan dan pembersihan yang disediakan di kolej
kediaman saya) iaitu sebanyak 3.19. Ini menunjukkan kepuasan penghuni
bagi aspek pengemasan dan pembersihan adalah pada tahap sederhana.
Manakala min paling rendah pada item (perkhidmatan televisyen yang
ditawarkan di kolej kediaman saya) iaitu sebanyak 2.15 yang menunjukkan
kepuasan berada pada tahap rendah. Namun begitu tahap kepuasan bagi
lain-lain perkara seperti perkhidmatan penyelenggaraan, prosedur aduan
penyelenggaraan, kepantasan tindakan penyelenggaraan, dan waktu
melawat adalah pada tahap sederhana.

Jadual 4: Nilai Min bagi kemudahan dan perkhidmatan di kolej kediaman


Item Min Tahap
kepuasan
Perkhidmatan penyelenggaraan yang
dilakukan di kolej kediaman saya adalah 2.76 Sederhana
Perkhidmatan pembersihan yang
disediakan di kolej kediaman saya adalah 3.07 Sederhana
Usaha pihak pengurusan kolej kediaman
melaksanakan penyelenggaraan dalam
tempoh 48 jam selepas saya membuat 2.62 Sederhana
aduan dapat saya gambarkan sebagai
Prosedur dalam membuat laporan
berkaitan penyelenggaraan di kolej 2.92 Sederhana
kediaman saya berada pada tahap
Keadaan fizikal di kolej kediaman saya
(cat, lantai, marmar, pencahayaan, dan 2.98 Sederhana
kekemasan) boleh digambarkan sebagai
Secara keseluruhannya, keadaan fizikal di
kolej kediaman saya dapat digambarkan 3.17 Sederhana
sebagai
Boleh saya katakan bahawa prosedur
dalam mengambil tindakan susulan ke
atas menyelesaikan penyelenggaraan 2.90 Sederhana
berada pada tahap
Perkhidmatan pengemasan dan
pembersihan yang disediakan di kolej 3.19 Sederhana
kediaman saya adalah
Boleh saya gambarkan bahawa
kebersihan kawasan awam (dewan, bilik 2.96 Sederhana
mandi, lobi dan kawasan hadapan bilik)
di kolej kediaman saya adalah
Penyelenggaraan dan penjagaan mesin
mencuci, mesin pengering dan vending 2.81 Sederhana
mesin@water cooler di kolej kediaman
saya adalah
Perkhidmatan televisyen yang ditawarkan
di kolej kediaman saya adalah 2.15 Rendah
Boleh saya katakan bahawa waktu
melawat yang dibenarkan di kolej 3.07 Sederhana
kediaman saya berada di tahap

4.5 Tahap kepuasan pelajar terhadap layanan staf dan AJK mahasiswi kolej
kediaman
Jadual 5 menunjukkan jumlah min dan sisihan piawai bagi faktor layanan
staf dan AJK mahasiswi kolej kediaman. Nilai min tertinggi ialah pada item
(felo di kolej kediaman saya mudah untuk dibawa berunding) iaitu
sebanyak 3.43. Manakala nilai min paling rendah pada item (AJK
mahasiswi menziarahi saya lebih dari sekali seminggu) iaitu sebanyak 2.59.
Berdasarkan nilai min bagi kesemua aspek layanan staf dan AJK mahasiswi
kamsis kediaman didapati bahawa kepuasan adalah pada tahap sederhana.

Jadual 5 Nilai min bagi layanan staf dan AJK mahasiswi kamsis kediaman.
Item Min Tahap Kepuasan
Saya percaya Ahli Jawatankuasa Mahasiswi 3.3 Sederhana
adalah orang yang boleh dibawa berbincang
Saya percaya bahawa Ahli Jawatankuasa
Mahasiswi di kolej kediaman saya mudah 3.3 Sederhana
untuk didekati (berunding)
Felo di kolej kediaman saya mudah untuk 3.4 Sederhana
dibawa berunding
Felo kebiasaannya menziarahi aras 2.8 Sederhana
kediaman saya
Saya percaya bahawa kebanyakan 3.2 Sederhana
kakitangan kolej kediaman peramah dan
suka menolong
AJK mahasiswi mengenali saya melalui 2.9 Sederhana
nama saya
AJK mahasiswi menziarahi saya sekurang- 2.8 Sederhana
kurangnya sekali seminggu
AJK mahasiswi menziarahi saya lebih dari 2.5 Sederhana
sekali seminggu
AJK mahasiswi sangat berkesan dalam 3.0 Sederhana
membina suasana kemasyarakatan pada
aras kediaman saya
Semasa berurusan di kaunter lobi pejabat 3.1 Sederhana
kolej kediaman staf disitu sangat membantu
dan sopan
Kakitangan kolej kediaman kelihatan ikhlas 3.2 Sederhana
dalam memenuhi keselesaan saya
Kakitangan kolej kediaman sentiasa ada 3.1 Sederhana
untuk berbincang apabila saya memerlukan
mereka
Kakitangan penyelenggaraan memberi 3.1 Sederhana
maklum balas terhadap permintaaan secara
profesional sopan dan berpengetahuan
Kakitangan pembersihan di kolej kediaman 3.3 Sederhana
saya adalah profesional dan sopan

5. Perbincangan
Berdasarkan dapatan kajian, majoriti siswi kamsis Ibnu Sina dan Al-
Ghazali berpuas hati dengan persekitaran di dalam kolej kediaman. Dalam
aspek ini, suasana yang harmoni, peredaran udara, bau dan udara yang
bersih serta hubungan yang akrab antara penghuni, membantu
mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa sekaligus dapat
meningkatkan kualiti pembelajaran. Pendapat ini selaras dengan Knirk
(2010) yang menyatakan bahawa pelajar mengalami kesukaran untuk
memahami ataupun memproses maklumat jika persekitaran fizikalnya
tidak selesa.
Majoriti siswi di kolej kediaman Ibnu Sina (Is) dan Al–Ghazali (AG) juga
berpuas hati dengan suasana waktu tidur dan rehat di aras kediaman
mereka. Suasana waktu tidur yang baik juga dapat membantu siswi dalam
mendapatkan rehat dan waktu tidur yang berkualiti. Bunyi bising yang
tidak terkawal bukan sahaja mengganggu waktu tidur, tetapi boleh
memberi impak yang negatif kepada pembelajaran para siswi. Ini adalah
selaras dengan pendapat Knirk (2014) yang menyatakan bahawa bunyi
yang terlalu kuat atau bising atau tidak dijangka dalam apa juga frekuensi
sekalipun akan mengakibatkan gangguan.
Selain itu, tahap penghormatan terhadap hak peribadi dan hubungan yang
akrab di antara satu sama lain juga amat penting dalam aspek
persekitaran. Berdasarkan dapatan didapati siswi berpuas hati dengan
perkara tersebut. Dengan wujudnya tahap penghormatan yang baik
terhadap orang lain dapat mengelakkan timbulnya rasa tidak puas,
mengekalkan rasa percaya dan keakraban sesama siswi, dan akan saling
membantu ketika mereka mengalami kesulitan. Pendapat ini disokong oleh
Manja (2010) yang menyatakan bahawa jika kelompok rakan yang
dianggotai itu adalah kelompok yang baik maka peribadi yang terbentuk
juga akan baik dan begitulah sebaliknya.

5.1 Kemudahan dan Perkhidmatan di Kolej Kediaman


Berdasarkan kajian ini, majoriti siswi berpuas hati terhadap kualiti
kehidupan di kolej kediaman dari aspek kemudahan dan perkhidmatan.
Kemudahan dan perkhidmatan di kolej kediaman merupakan faktor penting
dalam memenuhi kehendak kualiti kehidupan di kolej kediaman. Ini
bertepatan dengan pendapat Abu Hassan (2010) yang menyatakan
perkhidmatan untuk siswa-siswi merupakan salah satu bahagian yang
diintegrasikan dalam pengajian tinggi. Dari segi kemudahan dan
perkhidmatan, pihak pengurusan kamsis kediaman telah berusaha
memenuhi keperluan pelajar dengan mengadakan kemudahan seperti
vending machine, mesin basuh, lampu belajar dan sebagainya. Dalam
konteks ini, dapatan kajian menunjukkan bahawa kemudahan dan
perkhidmatan yang disediakan di kamsis kediaman memberikan kepuasan
kepada siswi-siswi dan memenuhi kehendak kualiti kehidupan di kolej
kediaman. Peratusan semua item dalam aspek ini menunjukkan majoriti
siswi berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.

5.2 Layanan Kakitangan dan Ahli Jawatankuasa Mahasiswi Kolej Kediaman


Layanan kakitangan dan Ahli Jawatankuasa Mahasiswi juga merupakan
aspek penting dalam mewujudkan kehidupan yang selesa di kolej
kediaman. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kepuasan siswi
terhadap layanan staf dan AJK Mahasiswi kolej kediaman berada pada
tahap sederhana. Dapatan juga mendapati bahawa majoriti AJK Mahasiswi
tidak mengenali dan mengetahui nama mereka. Mereka juga berpendapat
felo dan AJK Mahasiswi juga jarang menziarahi mereka. Hasil analisis ini
menunjukkan terdapat percanggahan peranan dan tanggungjawab felo dan
AJK Mahasiswi sebagai wakil yang mempunyai minat yang tinggi terhadap
pembangunan siswi-siswi dan memiliki keistimewaan yang boleh
dimanfaatkan oleh pembangunan siswa-siswi (Jamaludin, 2010).
Kenyataan ini disokong oleh Gerland (2012) yang menyatakan bahawa felo
dianggap sebagai seorang ahli disiplin, seorang yang memastikan bahawa
siswa-siswi mendapat segala kemudahan yang diperlukan dari masa ke
semasa dan sebagai penyelaras program siswa-siswi supaya sesuai dengan
objektif fakulti, universiti dan siswa-siswi sendiri.
Kesimpulannya, pihak POLISAS harus memastikan penghuni kamsis
kediaman berpuashati dengan perkhidmatan yang mereka terima. Malahan,
komitmen yang berterusan kepada pelajar, sedikit sebanyak menambahkan
kepuasan pelajar terhadap kualiti perkhidmatan kamsis kediaman di
POLISAS, secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi imej POLISAS di
mata masyarakat. Kajian yang sama boleh dilakukan oleh pengkaji akan
datang di institusi yang lain. Ia perlu bagi mengukur kepuasan pelanggan
terhadap kualiti perkhidmatan seterusnya dapat digunakan bagi
meningkatkan mutu perkhidmatan yang disediakan.

RUJUKAN

Abdul Latif (2001). Pengaruh penginapan ke atas disiplin pelajar di


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Abu Hassan (2010). Kepuasan Mahasiswi Terhadap Kualiti Kehidupan Di


Kolej Datin Seri Endon (Kdse) Universiti Teknologi Malaysia, Skudai,
Johor Bahru.

Castaldi Basil (2013). Kriteria Reka Bentuk Persekitaran Kampus Yang


Kondusif Bagi Institusi Pengajian Tinggi Di Malaysia.
Christopher (1990). Pengaruh penginapan ke atas disiplin pelajar di
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Hamdan dan Norma Suzila (2014). Kepuasan mahasiswi terhadap kualiti


kehidupan di Kolej Tun Fatimah, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Garland (2010). Kepuasan Mahasiswa Terhadap Kualiti Kehidupan Di Kolej


10, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Hierarki Keperluan Maslow (1957). Kepuasan Mahasiswi Terhadap Kualiti


Kehidupan Di Kolej Datin Seri Endon (Kdse) Universiti Teknologi
Malaysia, Skudai, Johor Bahru.

Jamaludin (2010). Kepuasan Mahasiswi Terhadap Kualiti Kehidupan Di


Kolej Datin Seri Endon (Kdse) Universiti Teknologi Malaysia, Skudai,
Johor Bahru.

Knirk (2014). Kriteria Reka Bentuk Persekitaran Kampus Yang Kondusif


Bagi Institusi Pengajian Tinggi Di Malaysia.

Krejie & Morgan (1970). Kepuasan Pelajar-Pelajar Sarjana Muda Teknologi


Serta Pendidikan (Kejuruteraan Awam, Elektrik Dan Jentera) Terhadap
Kemudahan Bengkel Di Fakulti.

Manja (2010). Kepuasan Mahasiswi Terhadap Kualiti Kehidupan Di Kolej


Datin Seri Endon (Kdse) Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor
Bahru

Moos (2013). Kriteria Reka Bentuk Persekitaran Kampus Yang Kondusif Bagi
Institusi Pengajian Tinggi Di Malaysia

Moser (2012). Kepuasan mahasiswi terhadap kualiti kehidupan di Kolej Tun


Fatimah, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai

Sharifah Alwiah (2012). Kaitan Faktor Penyumbang Dengan Kecemerlangan


Akademik Pelajar Asrama Harian

You might also like