You are on page 1of 11

ISU DAN CABARAN INSTITUSI PONDOK DALAM MENDEPANI WABAK

COVID-19 DI MALAYSIA

Azman Ab Rahmani, Afaf Sukari ii,Muhamad Firdaus Ab Rahman iii, Hussein ‘Azeemi
Abdullah Thaidiiv & Muhd. Faiz Abd. Shakoriiv

i (Corresponding author). Timbalan Pengarah, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia
(INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan,
azman@usim.edu.my
ii Pembantu Penyelidik, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800

Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, afafsukari97@gmail.com


iii Pembantu Penyelidik, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800

Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, mfirdaus.rahman@usim.edu.my


iv Pembantu Penyelidik, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800

Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, hussein@usim.edu.my


iiv Pembantu Penyelidik, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800

Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, faizshakorkisas@gmail.com

Abstrak

Penularan wabak Covid-19 secara global telah memberikan impak yang luar biasa terhadap pelbagai
sektor utama negara. Menurut Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Coronavirus
(CoV) merupakan rangkaian famili virus yang boleh menjangkiti manusia menerusi pernafasan
sehingga menyebabkan kematian. Covid-19 boleh disimpulkan sebagai penyakit menular yang
sebelum ini tidak pernah dikenal pasti atau dikesan oleh manusia (KKM, 2019). Pada bulan Mei 2020,
KKM telah mengesahkan beberapa institusi pondok telah dijangkiti wabak Covid-19 selepas
menjalankan saringan terhadap pelajar, guru dan kakitangan akibat susulan penularan kes Covid-19
dalam kalangan peserta perhimpunan di Seri Petaling (Kluster Seri Petaling). Perkara ini telah
menggusarkan banyak pihak sehingga menyebabkan beberapa buah pondok ditutup bagi menjalani
rawatan pengesanan dan pemulihan penyakit Covid-19. Justeru, kajian ini dijalankan bagi mengenal
pasti isu dan cabaran institusi pondok dalam mendepani wabak Covid-19. Kajian kualitatif ini
menggunakan kaedah dokumentasi dan pemerhatian dalam proses pengumpulan data. Hasil kajian
mendapati bahawa terdapat isu dari segi pendidikan, kesihatan dan kewangan yang dihadapi oleh
institusi pondok dalam mendepani cabaran ketika wabak Covid-19. Kajian lanjutan perlu dilakukan
dalam memperkasakan institusi pondok di Malaysia khususnya dalam membangunkan Model Tadbir
Urus Institusi Pondok di Malaysia.

Kata Kunci: Isu, Cabaran, Institusi Pondok, Covid-19.

353
PENDAHULUAN

Penularan wabak baharu pandemik Covid-19 telah menggemparkan dunia termasuk di


Malaysia. Wabak Covid-19 yang bersifat penyakit berjangkit ini telah mengorbankan
jutaan manusia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pelbagai usaha serta
inisiatif dilakukan pelbagai pihak dalam menangani wabak Covid-19 termasuk
penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat turut sama berganding bahu
dalam memerangi wabak Covid-19. Virus Covid-19 tidak hanya meragut nyawa, bahkan
telah menjejaskan pelbagai sektor termasuk sektor ekonomi, kesihatan dan pendidikan.
Berdasarkan pemerhatian pengkaji, antara institusi pendidikan yang turut sama terjejas
adalah institusi pondok yang merupakan pusat pengajian berteraskan pengajian agama.

Istilah “Pondok” berasal dari Bahasa Arab yang bermaksud tempat tinggal
sementara. Dalam konteks ini, pondok adalah institusi pengajian bagi para pelajar yang
datang menghuni dalam jangka masa sementara dan ia didirikan dalam kawasan
tertentu di perkelilingan pusat pengajian yang berasaskan masjid, surau dan lain-lain.
Institusi pondok juga bermula sejak awal kedatangan Islam ke Tanah Melayu pada kurun
ke-19 Masihi. Ia merupakan kaedah alternatif masyarakat Melayu di Malaysia menuntut
ilmu khususnya di dalam bidang agama. Kemudian institusi pondok semakin
berkembang maju di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau
Pinang, Perak dan Negeri Sembilan. Melalui sistem pengajian ini, masyarakat Melayu
lebih memahami hukum hakam, akidah dan masalah-masalah yang berhubung dengan
Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa sistem pengajian pondok di Malaysia sudah tidak
asing lagi dalam kalangan masyarkat Melayu (Mohd Roslan, 2007).

Sistem pendidikan pondok merupakan sistem pendidikan formal Islam terawal


mula yang diperkenalkan di tanah Alam Melayu. Ia diwujudkan bagi memenuhi
tuntutan masyarakat Islam yang memerlukan bimbingan yang sempurna dan mendalam
terutama hal yang berkaitan dengan akidah dan ibadah. Abdullah Ishak (1992)
menyatakan bahawa peringkat pertama pendidikan Islam tidak formal hanya dapat
dipelajari di surau, masjid dan juga rumah guru. Melihat kepada sambutan yang
menggalakkan daripada masyarakat untuk mendalami ilmu-ilmu Islam, rumah guru-
guru terpaksa diperluaskan. Rumah-rumah kecil yang dikenali sebagai pondok juga
turut dibina di sekitar surau, masjid atau rumah guru sendiri untuk menyelesaikan
masalah kediaman pelajar khususnya yang datang dari tempat yang jauh. Suasana ini
telah menghasilkan satu bentuk sistem pengajian baharu yang terkenal dengan gelaran
sistem pendidikan pondok.

354
Ekoran daripada kemunculan wabak Covid-19, pelbagai isu berkaitan institusi
pondok mula timbul antaranya ialah jangkitan Covid-19 terhadap kakitangan, pelajar
serta guru-guru di institusi pondok, hal ini sangat merisaukan kerana memberi kesan
kepada tahap kesihatan warga institusi pondok yang lain. Disebabkan hal tersebut,
proses pengajaran dan pembelajaran institusi pondok diarahkan untuk tutup buat
sementara waktu demi mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) dan arahan PKP.
Perkara ini dibuat demi memerangi wabak Covid-19 yang kian menular. Susulan
daripada itu, institusi pondok terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran akibat
daripada penutupan institusi pondok.

METODOLOGI KAJIAN

Metodologi Penyelidikan

Reka bentuk kajian adalah satu pelan tindakan yang memperlihatkan bagaimana sesuatu
kajian dijalankan. Reka bentuk kajian menjadi panduan kepada pengkaji untuk
mengumpul dan menganalisis data terhadap penyelidikan yang dijalankan. Reka bentuk
kajian yang digunakan adalah berasaskan pendekatan kualitatif. Kajian ini merupakan
kajian kualitatif yang menggunakan kaedah pemerhatian dan dokumentasi untuk
mendapatkan data primer dan sekunder berkaitan objektif kajian.

Kaedah Pemerhatian

Kaedah pemerhatian digunakan bagi mengukur pemboleh ubah penyelidikan. Kaedah


pemerhatian merupakan satu kaedah alternatif bagi mengumpul maklumat dan
pengumpulan data. Penyelidik dapat mengamati sesuatu tingkah laku subjek
berpandukan pemboleh ubah yang dikenal pasti. Kaedah pemerhatian dijalankan bagi
memahami sesuatu situasi atau keadaan, mendapatkan data secara langsung dan
terdapat bukti secara fizikal atau dapatan yang boleh diukur dengan penglihatan.
Pemboleh ubah dalam penyelidikan ini terdiri daripada warga institusi tahfiz temasuk
kakitangan pengurusan serta pelajar yang mana data pemerhatian tersebut akan
dianalisis mengikut konsep pelaporan.

355
Kaedah Dokumentasi

Kaedah dokumentasi melibatkan kajian analisis terhadap bahan-bahan bercetak seperti


jurnal, buku, artikel, prosiding, akhbar dan sebagainya. Kaedah ini digunakan untuk
mendapatkan gambaran yang lebih mendalam terhadap kajian yang ingin dijalankan.
Bagi mendapatkan data sekunder yang berkaitan isu dan cabaran yang dihadapi oleh
institusi pondok dalam mendepani wabak covid-19 di Malaysia, penyelidik akan
merujuk kepada buku dan jurnal termasuk laman web rasmi setiap KKM, akbar harian,
media sosial KKM seperti facebook dan instagram. Hasil daripada data tersebut akan
dianalisis untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.

DAPATAN KAJIAN

PERKEMBANGAN INSTITUSI PONDOK DI MALAYSIA

Institusi pondok merupakan institusi pendidikan tradisional yang terkenal dalam


kalangan masyarakat Melayu yang bertahan lebih satu abad. Ianya merupakan
kesinambungan kepada pengajaran agama yang dilaksanakan di masjid-masjid dan
surau-surau. Rata-rata pelajarnya datang dari seluruh negara. Kebiasaannya, pelajar
yang telah menamatkan pembelajaran mereka di sesebuah sekolah pondok akan
berpindah ke pondok lain untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang baharu di tempat
baharu. Terdapat sesetengah pelajar yang mendapat peluang untuk melanjutkan
pelajaran mereka di luar negara seperti Pattani, Mekah, Mesir dan lain-lain. Setelah
menamatkan pengajian dan kembali mereka ke Tanah Melayu, mereka inilah yang
meneruskan dan menaik taraf sistem Pendidikan Islam yang sedia ada dengan
mewujudkan institusi-institusi pondok (Nur Atiqah, 2017). Pelbagai aktiviti dan kegiatan
keagamaan dilaksanakan di pondok bagi mendedahkan masyarakat tentang segala
permasalahan dalam Islam seperti hukum hakam, akidah, dan masalah-masalah lain
yang bersangkut paut dalam soal agama Islam. Institusi pondok juga mempunyai ciri-
cirinya yang unik dan tersendiri selari dengan keperluan masyarakat pada masa tersebut.

Perkembangan sistem pendidikan institusi pondok dilihat bermula daripada


wilayah Patani yang bergiat aktif dalam penyebaran dakwah secara formal ini.
Kemudian ianya semakin berkembang hingga ke wilayah-wilayah di pantai timur dan
utara semenanjung Tanah Melayu seperti di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang

356
dan Perlis (Awang, 2006). Kedudukan yang berdekatan dan bersempadan dengan daerah
Thailand selatan antara faktor menyebabkan institusi pondok semakin berkembang
hingga ke Semenanjung Malaysia. Perkembangan institusi pondok juga dilihat lebih
tertumpu di negeri-negeri ini. Di Kelantan, ajaran agama Islam dapat diterima dengan
mudah berikutan negeri ini berada di bawah pemerintahan kerajaan Patani ketika itu.
Corak perkembangan dan penerimaan awal di negeri Kedah juga turut mempunyai
hubung kait yang besar dengan kedudukannya yang berhampiran Patani. Malah,
terdapat fakta sejarah yang menyatakan bahawa perkembangan sekolah pondok di
negeri ini dipengaruhi oleh dua negara iaitu, Indonesia dan Patani.

Hingga kini, terdapat lebih daripada 100 buah institusi pondok telah dianggarkan
bertapak di Semenanjung Malaysia. Di Kelantan sahaja terdapat 39 buah sekolah pondok
terkemuka misalnya, Pondok Geting di Tumpat, Pondok Sungai Durian di Kuala Krai,
Pondok Lubok Tapah di Pasir Mas, Pondok Ad-Diniah Al-Bakriah yang terletak di Pasir
Tumboh dan lain-lain. Manakala di negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, masing-
masing mempunyai hampir 30 buah institusi pondok yang beroperasi di negeri ini.
Antaranya ialah, Pondok Permatang Nibong di Jitra, Pondok Ahmad Nahu di Sik dan
Pondok Telaga Panchor di Baling.Terdapat juga sekolah pondok yang didirikan di
negeri-negeri bahagian selatan Semenanjung seperti di Johor, Negeri Sembilan dan
Melaka. Walau bagaimanapun, jumlahnya relatif sedikit jika dibandingkan dengan
pondok di bahagian utara dan pantai timur. Di Terengganu misalnya, terdapat lebih
kurang dua belas sekolah pondok seperti Pondok Darussalam, Pondok Paku, Pondok
Lubuk Pandan dan lain-lain.

PERBINCANGAN

Isu 1: Ketiadaan Permit Pendaftaran Institusi Pondok

Tindakan sesetengah institusi pondok yang tidak mengambil cakna akan keperluan bagi
mendapatkan permit pendaftaran institusi pondok telah mendatangkan isu dan cabaran
terhadap institusi pondok tersebut ketika wabak Covid-19. Cabaran yang dihadapi
apabila institusi pondok yang tidak berdaftar tidak dibenarkan oleh kerajaan untuk
beroperasi sehingga pihak pengurusan institusi pondok melakukan proses pendaftaran.
Pelbagai aspek perlu diteliti sebelum institusi pondok dibenarkan untuk beroperasi. Hal
ini bagi mengelakkan wujud kluster baharu yang melibatkan institusi pondok (Zulkifli
Mohamad, 2020). Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan

357
Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (2020), beliau menyatakan
pihak pentadbiran institusi pondok di Pahang perlu mendaftarkan institusi mereka
dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) terlebih dahulu sebelum dibenarkan
beroperasi. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr
Zulkifli Mohamad Al-Bakri (2020) berkata, sebanyak 200 pondok yang berdaftar
manakala masih banyak institusi pondok yang tidak berdaftar bebas menjalankan proses
pengajaran dan pembelajaran. Ekoran daripada itu, hanya beberapa buah institusi
pondok sahaja yang boleh dijalankan ujian pengesanan Covid-19 oleh pihak KKM di
seluruh negara.

Institusi pondok yang tidak berdaftar telah menyukarkan pihak KKM dalam
usaha untuk melaksanakan tanggungjawab mereka memerangi wabak Covid-19. Proses
pengajaran dan pembelajaran di institusi pondok turut sama terjejas apabila pihak
pentadbiran institusi pondok masih bertegas untuk tidak mendaftarkan pusat pengajian
mereka. Perkara ini turut sama menjejaskan pelajar-pelajar pondok itu sendiri kerana
tidak dapat meneruskan aktiviti pengajian mereka seperti biasa. Justeru, pihak berwajib
perlu mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap institusi pondok yang masih tidak
berdaftar dalam usaha untuk memastikan institusi pondok berdaftar mengikut undang-
undang. Hal ini juga untuk memastikan institusi pondok tidak ketinggalan dalam
penerimaan dana bantuan daripada pelbagai pihak serta menjamin keselamatan warga
institusi daripada jangkitan Covid-19.

Isu 2: Penutupan Institusi Pondok

Institusi pondok melalui cabaran dan ujian semasa wabak Covid-19 apabila pihak KKM
(2020) telah mengesahkan wujud kluster baharu yang membabitkan institusi pondok
serta tahfiz. Kluster ini muncul kesan daripada perhimpunan yang diadakan jemaah
tabligh di Seri Petaling yang turut dihadiri oleh pelajar-pelajar, guru-guru serta
kakitangan di institusi pondok. Hasil pengesanan terhadap pelajar dan kakitangan
institusi pondok yang berhubung kait dengan perhimpunan di Seri Petaling mendapati
bahawa sebahagian adalah positif Covid-19. Akibat daripada jangkitan tersebut, kerajaan
telah mengarahkan agar semua institusi pengajian termasuk institusi pondok untuk
menghentikan proses pengajaran dan pembelajaran dan diarahkan untuk tutup. Arahan
penutupan institusi pondok merupakan langkah yang tepat dalam usaha membendung
wabak Covid-19. Ujian saringan turut dijalankan terhadap semua pelajar, guru serta
kakitangan institusi pondok.
358
Antara institusi pondok yang terbabit dengan jangkitan Covid-19 adalah Pondok
Pasir Tumboh di Kota Bharu, Kelantan. Kesan daripada penularan wabak Covid-19
terhadap warga institusi pondok, seramai 15 pelajar Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu
telah dihantar ke Pusat Kuarantin Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh kerana telah
didapati mempunyai gejala penyakit Covid-19. Pihak KKM telah mengeluarkan arahan
penutupan institusi pondok agar dapat memberi kerjasama dalam usaha sama
memutuskan rantai penularan wabak Covid-19. Cabaran penutupan institusi pondok
terpaksa dihadapi oleh pihak pentadbiran, tenaga pengajar serta pelajar institusi pondok
kerana mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Proses pengajaran dan
pembelajaran tidak dapat berjalan seperti biasa kerana perlu memberi ruang terhadap
sesi pemulihan warga institusi pondok yang disahkan positif Covid-19. Sewaktu
penutupan institusi pondok, proses pembersihan serta nyahkuman telah dijalankan agar
jaminan keselamatan warga institusi pondok berada pada tahap yang optimum
seterusnya mengurangi kadar jangkitan Covid-19. Pembukaan semula institusi pondok
perlu diteliti agar tidak wujud kluster baharu yang melibatkan institusi pondok.

Isu 3: Pembukaan Semula Institusi Pondok

Penutupan institusi pondok seperti yang diarahkan oleh kerajaan telah


menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran di institusi pondok tidak berjalan
dengan lancar. Pihak pengurusan institusi pondok mulai risau dengan penutupan pusat
pengajian pondok begitu lama menjadikan pengajian kitab secara talaqqi secara
bersemuka yang kebiasaan dilakukan pelajar pondok terpaksa ditangguh. Di Pahang,
sebanyak 72 institusi pondok tidak dibenarkan untuk memulakan sesi pengajian susulan
daripada kegagalan mendaftarkan institusi pengajian itu (Sinar Harian, 2020). Menurut
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed
Ahmad (2020) berkata seluruh institusi pengajian dibawah tanggungjawab kerajaan.
Manakala institusi pondok yang tidak berdaftar namun ingin membuka semula pusat
pengajian mereka akan menyukarkan pihak berwajib apabila institusi berdepan dengan
masalah.

Kerajaan telah memutuskan bahawa pembukaan semula institusi pondok


dibenarkan hanya kepada yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) dan pihak kerajaan negeri mulai 15 Julai 2020. Manakala bagi institusi pondok

359
yang tidak berdaftar perlu membuat permohonan menerusi kerajaan negeri masing-
masing (Sinar Harian, 2020). Cabaran terpaksa ditempuh oleh institusi pondok yang
tidak berdaftar apabila kerajaan mewajibkan agar membuat permohonan pendaftaran
menerusi kerajaan negeri masing-masing. Pembukaan semula institusi pondok juga
perlu melihat kepada kesediaan institusi pondok dalam melaksanakan SOP berdasarkan
arahan KPM. Pihak pentadbiran dan pengurusan institusi pondok juga perlu mengikut
saranan yang disarankan pihak kerajaan agar keselamatan warga institusi pondok
diutamakan. Justeru, isu ini perlu diperhalusi agar rangkaian Covid-19 dapat ditamatkan
dengan segera.

Isu 4: Kekurangan Dana Bagi Tujuan Penyeliaan Institusi Pondok

Kewangan sesebuah institusi yang stabil menjamin keutuhan perjalanan pembangunan


institusi tersebut. Susulan daripada arahan penutupan sementara institusi pondok ketika
wabak Covid-19, kebanyakan institusi pondok berdepan dengan masalah kekurangan
dana untuk meneruskan aktiviti pengajian agama di institusi pondok. Hal ini terjadi
disebabkan tiada penyaluran wang masuk kepada institusi pondok seperti yuran yang
kebiasaan dikenakan oleh penuntut institusi pondok serta tabung-tabung derma yang
diletakkan di masjid-masjid atau lain-lain. Kekurangan dana menjadikan institusi
pondok terpaksa berdepan dengan cabaran apabila hutang yang tertunggak menjadikan
mereka gagal membayar bil-bil utiliti seperti bil api dan air, sewaan dan perbelanjaan
operasi lain.

Hutang yang ditanggung institusi pondok mengakibatkan sesetengah institusi


pondok terpaksa menutup pusat pengajian mereka. Dana institusi pondok yang tidak
mencukupi telah menjejaskan perjalanan pengajian pelajar di institusi pondok yang
terpaksa menghentikan pengajian mereka disebabkan penutupan institusi pondok.
Ekoran daripada isu yang timbul, kerajaan telah memperuntukkan dana Bantuan
Pengurusan Operasi secara one-off bernilai RM21 juta yang akan diberikan kepada
institusi pengajian pondok, pusat tahfiz swasta, sekolah agama rakyat dan swasta yang
berdaftar dengan pihak yang berwajib termasuk tenaga pengajarnya (Berita Harian,
2020). Kebanyakan pihak institusi pondok yang berdaftar menarik nafas yang lega
setelah pengumuman tersebut dikeluarkan. Ini kerana bantuan tersebut dilihat mampu
meringankan beban yang ditanggung pihak pengurusan institusi pondok.

360
Namun, bantuan tersebut tidak diberikan kepada institusi pondok yang tidak
berdaftar. Dengan itu, institusi pondok yang tidak berdaftar terpaksa berdepan dengan
cabaran mereka sendiri apabila terpaksa mencari dana sendiri seperti yang dilakukan
melalui pelbagai medium. Institusi pondok juga terpaksa menghentikan khidmat tenaga
pengajar disebabkan ketidakmampuan pihak pengurusan membayar gaji guru-guru.
Masalah fasiliti sedia ada yang kurang ditambah pula dengan SOP kawalan pembukaan
pusat pengajian pasca Covid-19 menyebabkan ianya sukar diikuti oleh institusi pondok
akibat daripada kekurangan dana. Lebih parah lagi apabila sesetengah institusi pondok
terpaksa membuat keputusan untuk menutup pusat pengajian agama yang dibangunkan
mereka secara persendirian.

CADANGAN KEPERLUAN MODEL TADBIR URUS PONDOK

Berdasarkan pemerhatian penulis terhadap isu dan cabaran yang dihadapi institusi
pondok dalam tempoh wabak Covid-19, penulis ingin mencadangkan kepada pihak-
pihak berwajib seperti pihak pengurusan institusi pondok, MAIN, JAKIM, KPM dan
lain-lain agar satu Model Tadbir Urus Pondok perlu diwujudkan. Model Tadbir Urus
Pondok perlu dihasilkan sebagai panduan kepada institusi pondok di Malaysia dalam
menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang seperti wabak Covid-19. Kewujudan
Model Tadbir Urus Pondok dilihat mampu meyelaraskan serta memudahkan hal-hal
berkaitan pentadbiran institusi pondok di Malaysia. Dengan ini, cabaran yang
mendatang dapat ditangani institusi pondok dengan baik serta mampu meningkatkan
sistem pengurusan institusi pondok pada tahap yang lebih cemerlang selain menjadi
contoh kepada penubuhan institusi pondok di seluruh dunia melalui pembangunan
Model Tadbir Urus Pondok. Sistem pengajian kitab yang lebih tersusun dan sistematik
juga menjamin kelancaran pengajian di institusi pondok selain untuk kebaikan umat
Islam secara keseluruhannya serta memperkenalkan Model Tadbir Urus Pondok ke
persada dunia.

KESIMPULAN

Sistem pengurusan pentadbiran institusi pondok yang cemerlang memberi impak yang
besar kepada kestabilan institusi pondok serta meningkatkan kehebatan sektor
pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi. Penghargaan patut diberi kepada
institusi pondok terutama institusi pondok yang berjuang meningkatkan taraf institusi
361
pondok mereka dengan mendaftarkan institusi pondok kepada badan yang berautoriti.
Perkara ini dapat memudahkan kerajaan untuk mendapatkan data institusi pondok yang
tepat bagi penyedian dana bantuan ketika wabak Covid-19 terutama bagi institusi
pondok yang memerlukan bantuan. Namun begitu, kesukaran penyaluran bantuan
dihadapi apabila kajian mendapati masih ada institusi pondok yang tidak berdaftar
masih menjalankan aktiviti pengajian kitab secara persendirian. Justeru, demi
memastikan institusi pondok terbela terutama ketika wabak Covid-19, satu Model Tadbir
Urus Institusi Pondok perlu diwujudkan. Perkara ini juga memudahkan pihak KKM
untuk mengesan kedudukan institusi pondok untuk melakukan ujian saringan Covid-19
dalam usaha memerangi Covid-19. Justeru, kajian lanjutan perlu dijalankan oleh institusi
pondok, MAIN, JAKIM, KPM dan lain-lain dalam usaha menaik taraf sistem pengurusan
institusi pondok dengan mewujudkan model tadbir institusi pondok.

PENGHARGAAN

Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pusat Pengurusan
Penyelidikan Inovasi (PPPI) USIM kerana membiaya sepenuhnya kajian ini di bawah
Skim Geran USIM Grand Challenges, dengan tajuk Model Tadbir Urus Institusi Tahfiz
Dan Pondok Di Malaysia, Kod Penyelidikan USIM:
PPI/UGC_0119/INFAD/FSU/051000/12819. Ketua penyelidik juga ingin merakamkan
penghargaan kepada ahli kumpulan penyelidik kajian ini atas kerjasama yang diberikan.

RUJUKAN

Abdullah Ishak. (1995). Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Al-Bakri. Zulkifli Mohamad. (2020). Kebenaran Beroperasi Institusi Maahad Tahfiz


Persendirian Dalam Proses Akhir. Didapatkan pada 15 Ogos melalui laman web:
https://www.utusanborneo.com.my/2020/06/26/kebenaran-beroperasi-institusi-
maahad-tahfiz-persendirian-dalam-proses-akhir

Awang, R. (2006) . Perkembangan Institusi Pondok di Nusantara: Pengaruhnya di Negeri


Kedah. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

362
Berita Harian. (2020). COVID-19: RM21 Juta Bantu Tahfiz, Sekolah Agama, Pondok.
Didapatkan pada 1 September melalui laman web:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/672203/covid-19-rm21-juta-
bantu-tahfiz-sekolah-agama-pondok

Berita Harian. (2020). COVID-19: RM21 Juta Bantu Tahfiz, Sekolah, Agama, Pondok.
Didapatkan pada 12 Ogos melalui laman web:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/672203/covid-19-rm21-juta-
bantu-tahfiz-sekolah-agama-pondok

KKM. (2020). Enam Kluster Jangkitan Covid-19 Babitkan Madrasah. Didapatkan pada 11
Ogos melalui laman web:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/05/578409/enam-kluster-jangkitan-
covid-19-babitkan-madrasah-metrotv

KKM. (2020). Keratan Akhbar. Didapatkan pada 9 Ogos melalui laman web :
http://covid-19.moh.gov.my/terkini/072020/situasi-terkini-08-julai-
2020/Kenyataan%20Akhbar%20KPK%20COVID-19%20(8%20Julai%202020).pdf

KKM. (2020). Soalan Lazim Penyakit Coronavirus (Covid-19). Didapatkan pada 10 Ogos
melalui laman web: https://pkbsamarahan.moh.gov.my/soalan-lazim-penyakit-
coronavirus-covid-19/

Norawazni Yusof (2020). 72 sekolah pondok dan pusat tahfiz tidak dibenarkan beroperasi.
Didapatkan pada 25 Ogos melalui laman web:
https://www.sinarharian.com.my/article/97387/EDISI/Pahang/72-sekolah-
pondok-dan-pusat-tahfiz-tidak-dibenarkan-beroperasi

Nur Atiqah. (2017). Latar Belakang Sejarah Sistem Pendidikan dan Masyarakat Majoriti
Minoriti di Malaysia. Selangor: Institut Kajian Etnik (KITA), UKM.

Shafie Abu Bakar. (1984). “Ke Arah Pembaikan dan Pengembangan Sistem Pendidikan
Pondok di Malaysia”, Jurnal Pendidikan Islam, Bil. 2. Selangor: Angkatan Belia
Islam Malaysia, h. 27.

363

You might also like