You are on page 1of 2

COVID-19 MENJEJASKAN SOSIOEKONOMI NEGARA. BINCANGKAN.

Dunia pada hari ini telah digemparkan dengan penularan virus Corona iaitu COVID-19 yang
telah meragut beribu nyawa dan menular di serata dunia. Keghairahan menerjah ambang
2020 menjadi suram apabila pada 19 Disember 2019, virus ini mula dikesan telah
menyebabkan kematian yang berlaku di wilayah Wuhan, China. Penularan virus ini yang
begitu cepat ke serata dunia telah mendatangkan pelbagai implikasi negatif kepada
sesebuah negara amnya dan kepada dunia khususnya. Tidak ketinggalan juga dengan
negara kita Malaysia yang turut tempias dek virus ini yang mudah disebarkan tanpa kita
sedari. Namun begitu, pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri ke-8, Tan Sri
Muhyidin Yasin baru-baru ini tentang kawalan pergerakan bagi mengekang penularan
wabak ini amatlah tepat seperti dilakukan Singapura kerana Malaysia masih lagi berada pada
tahap awal jangkitan COVID-19 walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik. Hakikatnya, kemunculan COVID-19 sudah
pasti menjejaskan sosioekonomi sesebuah negara di samping menggugat kesejahteraan
rakyat jelata. Persoalannya, bagaimanakah COVID-19 dikatakan menjejaskan sosioeknomi
sesebuah negara?

Kesan-kesan virus Corona

Kemunculan virus Corona telah menjejaskan sosioekonomi sesebuah negara kerana boleh
menjejaskan tahap kesihatan penduduk sesebuah negara. Virus ini yang dikatakan berpunca
daripada pengambilan makanan hidupan liar seperti ular, kelawar dan biawak telah
menyebabkan seseorang itu mengalami simptom seperti batuk, selesema dan yang
berterusan melebihi 14 hingga 21 hari dan boleh membawa maut. Di Malaysia,
kesiapsiagaan pihak yang berwajib dalam menangani isu ini berada pada tahap yang
tertinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes yang mendadak.
Implikasinya, sosioekonomi negara akan mengalami defisit disebabkan tenaga kerja yang
tidak sihat dan terpaksa menjalani rawatan untuk pemulihan. Statistik menunjukkan kadar
peningkatan drastik penularan wabak ini di Itali telah menyebabkan negara tersebut berada
dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh diibaratkan seperti telur dihujung tanduk. Sudah
terang lagi bersuluh bahawa kemunculan virus Corona ini telah menjejaskan sosioekonomi
sesebuah negara dan menggugat kesejahteraan rakyat sesebuah negara.

Dalam pada itu, penularan virus COVID-19 juga dikatakan menjejaskan sosioekonomi negara
disebabkan telah menggugat ketenteraman sesebuah negaradan mewujudkan suasana panik
kepada rakyat di seluruh dunia. Menurut Ketua Pengarah World Heath Organisations (WHO),
Tedros Adhanom Ghebreyesus, virus Corona kini memasuki fasa pandemik, sekali gus
menegaskan penularan dan keadaan wabak itu yang teruk adalah sangat membimbangkan.
Secara umum, pandemik bermaksud penyakit yang tersebar dengan begitu meluas
merentasi sempa dan malah hingga ke seluruh dunia. Penularan virus ini menjejaskan
sosioekonomi negara kerana telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat
disesebuah negara mahupun dunia yang diketahui umum boleh membawa kepada kematian
seseorang. Justeru, pihak yang berwajib telah berusaha sedaya upaya dengan melaksanakan
seribu satu prakarsa dalam memastikan masalah ini dapat dibendung kerana pepatah
Melayu ada menyebut berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Tidak dapat dinafikan
bahawa ketenteraman dan kestabilan sesebuah negara pastinya terjejas angkara virus
COVID-19 ini.

Jika ditinjau dari aspek yang berbeza, penularan COVID-19 juga mampu menjejaskan
ekonomi sesebuah negara. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila rakyat disesebuah
negara dikenalpasti dijangkiti virus ini akan menyebabkan pihak kerajaan terpaksa
memberikan bantuan yang optimum dalam membendung permasalahan ini. Pastinya, aliran
ekonomi sesebuah negara akan tergugatdan merudum yang berpunca daripada kurangnya
keyakinan para pelabur mahupun pelancongan terhadap negara yang diancam virus ini.
Tamsilnya, menurut Kementerian Pelancongan Malaysia,ramai pelancong dari luar negara
membuat keputusan dengan membatalkan percutian mereka ke negara kita kerana bimbang
dengan penularan virus ini. Malahan, syarikat penerbangan tambang murah seperti AirAsia
terpaksa menanggung kerugian atas pembatalan penerbangan percutian ke negara-negara
berisiko COVID-19. Bagi mengatasi permasalahan ini sempena Tahun Melawat Malaysia
2020, kerajaan dengan kerjasama industri pelancongan telah mengadakan tawaran istimewa
kepada pelancong-pelancong domestik untuk menggalakkan mereka melancong dalam
negara dengan kadar 70 peratus diskaun perhotelan. Secara tidak langsung, usaha yang
dilakukan ini dapat menggalakan masyarakat tempatan melancong di dalam negarauntuk
mengenali dengan lebih rapat tanah air yang tercinta kerana orang tua-tua ada berpesan,
tak kenal makatak cinta. Tidak dapat disangkal lagi bahawa kemunculan COVID-19 telah
memberikan implikasi yang negatif terhadap ekonomi sesebuah negara.

Dari perspektif yang lain pula, penularan COVID-19 juga mampu menjejaskan sosioekonomi
negara kerana mendatangkan peningkatan kos perubatan dan pencegahan yang terpaksa
ditanggung oleh sesebuah kerajaan. Disebabkan virus COVID-19 ini merupakan sesuatu yang
baharu maka kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar dalam melakukan
pencegahan dan rawatan kepada pesakit-pesakit yang telah dijangkitinya. Kepakaran dan
pelbagai peralatan yang berteknologi tinggi perlu digunakan dalam mengenal pasti
penularan virus ini juga pencegahannya. Justeru, sejumlah perbelanjaan yang besar wang
negara terpaksa digunakan dalam usaha membendung permasalahan ini demi memelihara
kesejahteraan hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara. Sebagai contoh, pada peringkat
awal penularan virus ini, Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit, Institut
Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan adalah satu-satunya makmal terbabit
seacara landsung dalam menjalankan ujian diagnostik mengesan 2019-nCOV di Malaysia.
Kapasiti ini diperluaskan bagi rangkaian makmal swasta melalui latihan berkaitan yang
diadakan oleh pihak MKAK Sungai Buloh pada 6 Februari 2020 membuktikan peningkatan
keperluan dan kos perubatan dalam mencegah penularan virus ini.

Konklusinya, kemunculan virus COVID-19 telah menyedarkan kita secara amnya dan dunia
khusunya betapa peri pentingnya penjagaan kebersihan dalam amalan hidup seharian yang
ditekankan dalam setiap agama. Pertentangan dalam amalan seharian yang melanggar
segala larangan agama seperti memakan hidupan liar yang ditegah agama wajar dijadikan
sandaran agar kita tidak menjadikannya satu kesilapan. Sesungguhnya, sebagai makhluk
yang menumpang sementara di atas muka bumi ini, kita sewajarnya mensyukuri nikmat yang
telah dianugerahkan oleh-Nya kepada kita. Natijahnya, jadikanlah peristiwa ini sebagai
pengajaran buat kita semua memperbaiki kelemahan diri agar tidak berulang lagi. Bersama-
samalah kita menekankan aspek kebersihan untuk membanteras virus COVID-19 daripada
terus membinasakan dunia. Usaha ini perlu digarap bersama kerana bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh.

You might also like