You are on page 1of 15

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/270396868

PEMERKASAAN AGIHAN ZAKAT SEBAGAI MEDIUM PEMBANGUNAN


MASYARAKAT ISLAM

Conference Paper · November 2014


DOI: 10.13140/RG.2.1.1979.5367

CITATIONS READS

0 5,544

3 authors, including:

Nuruul HIDAYAH Mansor Norajila che man


Universiti Teknologi MARA Universiti Teknologi MARA
6 PUBLICATIONS   1 CITATION    29 PUBLICATIONS   21 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat berasaskan Qard al-Hasan View project

Business of The Death: Islamic Bereavement Care Service Social Enterprise Model View project

All content following this page was uploaded by Norajila che man on 05 January 2015.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Seminar Antarabangsa Dakwah & Etnik 2014: Da'wah & Ethnicity: Multidisciplinary Perspective
Disunting oleh: Anuar Puteh & Ahmad Irdha Mokhtar.
© Pusat Kajian Dakwah Orang Asli dan Pribumi, UKM, Bangi, Selangor.

PEMERKASAAN AGIHAN ZAKAT SEBAGAI MEDIUM PEMBANGUNAN


MASYARAKAT ISLAM

Nuruul Hidayah Mansor


Pensyarah
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
UiTM Cawangan Negeri Sembilan
Kampus Kuala Pilah

S.Salahudin Hj. Suyurno


Prof. Madya
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
UiTM Melaka
Alor Gajah

Norajila Che Man


Pensyarah
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
UiTM Melaka
Kampus Jasin

Abstract

The effectiveness management of zakat distribution should be emphasized to


ensure the survival of united, harmonious and pious Ummah besides a medium
of da`awah to generate comprehensive social justice and help elevate Islam.
Society`s perception that zakat only limited to pay and receive need to be
changed. In fact, zakat is financial mechanism to cleanse the soul and wealth
and help the recipients in need. Thus, this medium should be used as
maximum as possible to make sure the maqasid al-Shariah can be achieved.
By using the effective zakat distribution management it will impact the asnaf
massively so that they will become the payer instead of just a recipients.
Therefore they will turn out to be a productive workforces needed by economic
development. As for administrator distribution of zakat should be performed
with integrity, transparency and responsibility to make sure successful in
distribution and become a credible institution continuously.

Keywords: Distribution of Zakat, da`awah and development of Islamic Society

1. PENDAHULUAN

Penambahbaikan terhadap pengurusan zakat perlu dilakukan secara berterusan dan diuruskan
secara berkesan agar objektif sebenar zakat tercapai. Zakat bermaksud harta yang tumbuh,
bertambah, berkat, bersih suci dan subur merupakan salah satu daripada rukun Islam yang
wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam setelah cukup syarat wajib zakat. Kewajipan zakat
bermakna Islam sangat menitikberatkan tentang keadilan sosial masyarakat. Zakat
merupakan satu mekanisme ibadat dan kewangan yang bermatlamat untuk membersihkan
hati dan harta pembayar zakat di samping membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Secara teorinya, zakat dibayar oleh golongan yang kaya untuk diagihkan kepada golongan
miskin untuk tujuan meningkatkan taraf hidup orang yang kurang berkemampuan dan
mengurangkan jurang kekayaan dalam kalangan masyarakat. Sehubungan itu, proses
pengagihan zakat perlu diberi perhatian yang berterusan agar proses pengagihan zakat kepada
golongan asnaf mencapai tahap yang optimum. Ia dilihat akan memberi impak yang
berkesan dan besar bukan sahaja kepada asnaf zakat malah kepada ekonomi sesebuah negara
secara amnya (Nik Mustafa, 2001). Usaha ini akan memberi kesan kepada perubahan hidup
asnaf bukan sahaja mungkin berjaya keluar daripada golongan yang menerima zakat malah
mungkin akan menjadi penyumbang atau pembayar zakat.
Kajian mendapati jumlah kutipan zakat masa kini dilihat semakin meningkat atas
faktor kesedaran masyarakat Islam yang semakin tinggi terhadap tanggungjawab membayar
zakat di samping pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan untuk meningkatkan jumlah
hasil kutipan zakat dari pelbagai pihak dari semasa ke semasa. Walaubagaimanapun jumlah
kutipan tersebut perlulah diseimbangkan dengan menggunakan mekanisme-mekanisme
pengagihan yang berkesan agar dapat melahirkan ummah yang sejahtera malah dapat
meninggikan lagi syiar Islam. Ini untuk memastikan golongan yang lemah ekonominya dapat
dikurangkan dan perpaduan serta kasih sayang antara rakyat dapat direalisasikan. Kekayaan
rakyat juga akan terus subur kerana dapat diagihkan secara saksama di samping
mengurangkan kadar jenayah yang berleluasa kesan dari kehidupan yang serba kekurangan.

2. KAJIAN SOROTAN
Kajian-kajian kontemporari dan berterusan berkaitan pengurusan zakat dilakukan untuk
memastikan sistem dan pengurusan zakat yang lebih efisien dapat berjalan lancar. Walaupun
pengurusan kutipan dilihat lebih baik berbanding pengurusan agihan, namun kepekaan
terhadap keperluan untuk penambahbaikan pengurusan pengagihan amat perlu diberi
perhatian. Ini bagi menjamin matlamat sebenar pengagihan dapat dicapai selaras dengan
kehendak dan maqasid syariah. Keberkesanan pengagihan zakat sangat bergantung kepada
sistem dan pengurusan yang diserlahkan oleh institusi zakat kerana ia akan menjelaskan
bagaimana dana zakat dapat memberi impak yang besar kepada pembangunan ekonomi,
masyarakat dan negara terutamanya dalam aspek pengurangan kadar kemiskinan dalam
kalangan masyarakat (Mannan, 2003).
Beberapa isu dan kontroversi telah dilihat menimpa institusi zakat dalam kebanyakan
hal berkaitan pengurusan pengagihan dana zakat. Beberapa penyelidik juga cuba
mengenalpasti faktor berlakunya keadaan tersebut agar ia diberi perhatian untuk
penambahbaikan mengikut keperluan semasa. Kajian Sadeq (1995) telah mengenalpasti
beberapa kekurangan dalam pengurusan pengagihan zakat yang disebabkan oleh terdapat
pentadbir zakat yang kurang professional. Ia seterusnya menyebabkan wujud sikap tidak
yakin dalam kalangan pembayar zakat terhadap institusi zakat dan menjadi penyebab untuk
seseorang individu itu membayar zakat melalui saluran tidak formal (Aidit, 1989;
Hairunnizam et al, 2009; Mohd Asri, 2009; Sanep & Hairunnizam, 2005) malah Abdul-
Wahab et.al. (1995) juga bersetuju pengagihan zakat di Malaysia tidak diurus dengan baik
kerana kekurangan pekerja yang berkelayakan dan tiada jaringan professional. Mohamad
Dahan (1998) pula mendapati terdapat beberapa kes negatif seperti salah guna kuasa dan
pecah amanah wang zakat di peringkat negeri menyebabkan urustadbir zakat tidak mendapat
kepercayaan penuh dalam kalangan masyarakat. Perkara seperti ini hendaklah menjadi
pengajaran kepada pentadbir zakat untuk bertindak melakukan perubahan segera bagi
meningkatkan kualiti pengurusan kerja dan integriti para pekerja di institusi zakat.
Ketidakperihatinan pihak pentadbir untuk membendung dan membasmi isu-isu berikut akan
terus disalah anggap walaupun prestasi laporan tahunan dalam kutipan zakat
memberangsangkan.
Zakat memainkan peranan yang sangat besar di dalam masyarakat Islam di mana ia
mempunyai objektif untuk menegakkan keadilan ekonomi dan sosial (Norazlina & Abdul
Rahim, 2011a; Patmawati, 2008; Qardhawi, 2007). Pencapaian objektif ini dapat
menyumbang kepada pembasmian kemiskinan dan juga membawa penyelesaian kepada
masalah sosial (Patmawati, 2008). Menyedari hakikat ini, institusi zakat telah ditubuhkan
untuk mengutip dan mengagihkan dana zakat. Di Malaysia, zakat ditadbir oleh Majlis Agama
Islam Negeri (MAIN) (Kamil, 2002; Md. Zyadi & Mariani, 1999; Ram Al Jaffri, 2010a).
MAIN bertanggungjawab dalam menguruskan aktiviti zakat seperti yang termaktub dalam
perlembagaan persekutuan (Norazlina & Abdul Rahim, 2011a). Institusi zakat mempunyai
kebebasan untuk menentukan pentadbiran zakat mereka sendiri dan ini telah membawa
kepada kepelbagaian amalan yang diguna pakai di setiap negeri. Oleh kerana institusi zakat
merupakan sebuah institusi yang memegang kepercayaan awam, maka institusi tersebut
adalah terdedah kepada penilaian umum masyarakat Islam. Institusi zakat diharapkan dapat
melaksanakan tanggungjawab ini dengan adil bagi memastikan kebajikan umat Islam
dilindungi (Patmawati, 2008; Qardhawi, 2007).

Terdapat banyak kajian dan cadangan strategi dikemukakan melalui usahasama


pelbagai pihak untuk membantu penambahbaikan sistem agihan zakat oleh institusi zakat di
samping membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap pengurusan dan institusi zakat.
Mohamed Dahan (1998) mencadangkan agar institusi zakat memberi ruang kepada
masyarakat untuk membuat penilaian secara terbuka terhadap institusi zakat. Menurut
Patmawati Hj Ibrahim (2008) kutipan dan agihan mempunyai fungsi sosio-ekonomi yang
sama penting terutamanya berkaitan agihan pendapatan dan kekayaan serta pembasmian
kemiskinan. Beberapa pelan tindakan dari pihak institusi zakat, kerajaan dan penerima zakat
dicadangkan untuk memastikan bukan sahaja zakat berfungsi meningkatkan aspek
kerohanian masyarakat sahaja, sebaliknya meningkatkan sosioekonomi keseluruhan ummah.
Pengaplikasian konsep maslahah oleh Mahyuddin (2012) dalam kajiannya juga boleh
dijadikan bahan rujuk bagi institusi zakat dan pembayar zakat sendiri dalam menentukan
mekanisme agihan zakat kepada fakir miskin iaitu melalui pencapaian tahap minimum kualiti
hidup serta memastikan penggunaan wang agihan yang diterima digunakan sebaik mungkin
untuk mengubah taraf hidup asnaf. Md. Khairi (2012) juga menyarankan penekanan turut
diberikan dalam aspek ketelusan yang menjadi elemen penting dalam tadbir urus sesuatu
organisasi termasuklah institusi zakat di Malaysia dengan memperkenalkan kerangka kerja
teori urus tadbir yang telus. Mohd Parid (2001) turut mencadangkan 12 kaedah dalam
memastikan pengagihan zakat dapat dilakukan oleh institusi zakat. Antaranya beliau
berpendapat pengagihan kepada lapan asnaf jika dilakukan mestilah saksama dan tidak
semestinya sama dan ia terpulang kepada ijtihad pemerintah atau imam. Ini menunjukkan
konsep keadilan perlu dijadikan antara asas utama dalam pengagihan zakat. Pandangan ini
disokong oleh Nik Mustapha (2001) yang berpendapat keadilan tersebut adalah meliputi
keadilan sosial-ekonomi masyarakat dengan jangkaan bahawa zakat akhirnya akan
mengeluarkan asnaf zakat terutamanya fakir dan miskin daripada golongan penerima zakat
malah bertukar menjadi pembayar zakat dan akhirnya menjadi guna tenaga yang produktif
kepada ekonomi negara.

3. KONSEP PENGAGIHAN ZAKAT


Penerangan tentang kewajipan zakat secara umum di dalam al-Quran dijelaskan secara
terperinci melalui Hadis Rasulullah S.A.W seperti perbincangan berkaitan kadar zakat, nisab
zakat, jenis-jenis harta yang dikenakan zakat, syarat-syarat zakat dan sebagainya. Namun
dalam aspek agihan zakat, al-Quran menggariskan secara jelas golongan sasaran yang berhak
menadapat bantuan zakat dan ianya adalah satu arahan yang perlu dipatuhi. Firman Allah
S.W.T yang bermaksud:

“Sesunguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang


faqir, dan orang-orang miskin, dan `amil-`amil yang mengurusnya, dan
orang-orang mu’allaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hambahamba
yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan
untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orangorang musafir (yang
keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan yang demikian itu ialah) sebagai
satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Surah al-Taubah: 605

Tafsiran ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa zakat merupakan satu


tanggungjawab bersedekah yang wajib dilaksanakan dan bukan pilihan apabila telah
menepati syarat wajib zakat (Patmawati, 2008). Berdasarkan ayat tersebut terdapat lapan
golongan manusia yang berhak menerima zakat. Lapan golongan tersebut ialah al-fuqara’
(orang fakir), al-masakin (orang yang miskin), amil, muallaf yang perlu dijinakkan hatinya,
al-riqab (hamba), al-gharimin (orang yang memiliki hutang),fisabilillah (orang yang
berjuang di jalan Allah) dan akhirnya ibn sabil (musafir yang sedang dalam perjalanan).
Mahmood Zuhdi (2003) berpendapat ayat tersebut memberi penerangan yang jelas dengan
memperincikan aspek arahan daripada Allah S.W.T tentang kepentingan dalam pengurusan
pengagihan zakat dan penentuan asnaf yang layak menerima zakat. Ini mungkin disebabkan
urusan agihan zakat menjadi tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul sehinggakan
senarai penerima zakat ditetapkan secara jelas melalui al-Quran. Ini juga berkemungkinan
kerana factor lebih mudah berlaku beberapa penyelewengan dan penyalahgunaan dana zakat
berbanding dengan urusan lain seperti kutipan dan penentuan sumber yang dikenakan zakat.

Untuk menunaikan amanah mengagihkan zakat dengan berkesan dan amanah, maka
penentuan definisi asnaf adalah amat penting dan perlu lebih diperhalusi. Contohnya Mujaini
(2005) telah mengklasifikasikan semula lapan bahagian tersebut kepada tiga kategori asas
agihan. Pengkategorian ini sebenarnya adalah sebagai asas utama kepada pihak amil
mendefinisikan dan mengagihkan kepada setiap asnaf yang telah dinyatakan di samping
merujuk kepada penjelasan menurut pandangan dari mazhab syafie bahawa pengagihan zakat
secara adil adalah dengan mengagihkan kepada semua asnaf tetapi jika tidak lengkap
kesemua asnaf yang ada, maka pengagihan perlu dilakukan sekurang-kurangnya kepada tiga
asnaf. Ia dikembangkan kepada kategori berikut:

1. Agihan berdasarkan keperluan. Ia termasuklah fakir, miskin, hamba, si berhutang dan


ibn sabil.
2. Agihan berdasarkan pemupukan dan galakan hidup beragama dan moral. Ia
termasuklah muallaf dan fi-sabilillah.
3. Agihan berdasarkan insentif dan motivasi terhadap pengurus zakat. Ia termasuklah
amil.
Secara ringkas, menurut Patmawati (2008), lapan golongan yang layak menerima
agihan zakat seperti dinyatakan dalam ayat al-Quran surah al-Taubah ayat 605 seperti
berikut:

1. Faqir - Golongan ini mempunyai harta di bawah nilai nisab. Mereka ialah golongan
yang benar-benar miskin dan memerlukan bantuan orang lain untuk meneruskan
kehidupan samada disebabkan oleh ketidakupayaan fizikal, lanjut usia, dan
sebagainya. Dalam konteks semasa di Malaysia, pendapatan garis kemiskinan (PGK)
ialah sebanyak RM 661 sebulan bagi isi rumah 4.6 di Semenanjung Malaysia, dan
RM 691 sebulan bagi Malaysia. Mengikut definisi RMK9, pendapatan isi rumah
golongan faqir ini berada di bawah keperluan makanan iaitu sebanyak RM 400
sebulan. 6
2. Masakin - Mereka adalah golongan miskin yang tidak menzahirkan kemiskinan
mereka. Mengikut definisi RMK9, dalam konteks Malaysia, mereka ini merupakan
golongan isi rumah yang berpendapatan antara RM 400 hingga RM 691 sebulan.
3. Amilin - Mereka adalah golongan yang bekerja untuk mentadbir dan mengurus hal-hal
berkaitan zakat. Ini termasuk kesemua pegawai dan petugas yang dilantik oleh negeri
untuk menjalankan tugas-tugas berkaitan zakat, seperti pengiraan, kutipan dan agihan.
Mereka yang terlibat dengan pekerjaan berkaitan zakat, maka layak mendapat gaji
dari dana zakat.
4. Muallafat al-Qulub – Mereka yang hatinya dipujuk untuk mendekati Islam. Secara
prinsipnya, golongan ini meliputi mereka yang persahabatan dan kerjasama
dengannya akan membantu memperkuatkan Islam. Termasuk juga dalam golongan ini
ialah mereka yang baru memeluk Islam, yang kehilangan harta benda dan saudara-
mara mereka yang lampau. Oleh itu mereka memerlukan bantuan dan sokongan.
Bantuan kewangan berkemungkinan membantu memperkuatkan iman mereka dan
melahirkan rasa kebersamaan (sense of belonging) dalam kalangan umat Islam.
Termasuk juga dalam golongan ini mereka yang sangat kuat menentang Islam, tetapi
pemberian wang mampu melembutkan mereka. Hasil zakat boleh diberikan kepada
golongan ini walaupun mereka kaya.
5. Riqab – Membebaskan hamba. Dalam keadaan sekarang di mana tiada lagi sistem
perhambaan, tafsiran asnaf ini telah diperluaskan kepada seseorang yang terbelenggu
di bawah satu kuasa yang menghalang kebebasan dirinya. Seorang yang telah
disahkan ingin membebaskan dirinya dari belenggu8 yang dihadapi tergolong dalam
asnaf ini.
6. Gharim - Penghutang Muslim yang tidak mempunyai sumber untuk 9 menjelaskan
hutang yang diharuskan oleh syara’ pada perkara asasi untuk diri dan tanggungan
yang wajib ke atasnya atau sebagai penjamin atau kerana menyelesaikan
permasalahan ummah.
7. Fi sabilillah - Perjuangan, usaha dan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan
agama Allah (Islam) di dunia. Yang paling ekstrim adalah ‘jihad’ (Islamic war).
8. Ibn al-Sabil - Musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa
memulakan perjalanan dari negaranya yang mendatangkan pulangan yang baik
kepada Islam dan umatnya atau orang Islam yang tiada perbekalan di jalanan.
Musafir ini berkemungkinan kaya di negara asal mereka, tetapi menghadapi masalah
dan memerlukan pertolongan di tempat lain.

Jelaslah bahawa pembahagian perbelanjaan kepada kategori asnaf ini mempunyai


skop yang amat luas dan meliputi hampir semua bentuk perlindungan sosial dalam
masyarakat. Perlu diberi perhatian juga bahawa golongan yang berhak menerima zakat
hanya benar-benar layak apabila mereka telah cuba sedaya upaya untuk memperolehi mata
pencarian hidup tetapi gagal memperolehinya dengan kadar yang mecukupi untuk menyara
diri sendiri dan keluarga. Ini kerana Islam amat menggalakkan umatnya supaya berusaha
bekerja keras mencari pendapatan dan pada masa yang sama memerintahkan negara Islam
supaya menyediakan peluang pekerjaan untuk setiap rakyatnya. Kerjasama antara individu
dan pihak kerajaan akan mampu menghasilkan sumbangan pembangunan dalam negera
mereka sendiri. Hikmah pengagihan zakat kepada kesemua asnaf perlu dipertimbangkan
pelaksanaannya dengan teliti supaya konsep zakat dapat difahami oleh semua lapisan
masyarakat dan dilihat sebagai satu instrumen ummah yang dihikmahkan oleh Allah S.W.T.
untuk membentuk kelesterian sosial dalam kalangan masyarakat. Wang zakat juga perlulah
diuruskan secara berkesan tanpa ada sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan. Usaha
perlu ditingkatkan bagi mewujudkan sistem pengurusan kewangan dan harta negara yang
terbaik dari semasa ke semasa. Sejarah telah membuktikan bahawa sistem pengurusan
kewangan yang terbaik pernah berlaku dalam negara Islam semasa pemerintahan Khalifah
Umar bin Abdul Aziz. Umat Islam pada ketika itu terdiri dari kalangan individu yang kaya
raya sehinggakan kerajaan sukar untuk menentukan rakyat yang dikategorikan sebagai asnaf
untuk menerima agihan dana zakat.

Walaupun pada hakikatnya penubuhan institusi zakat sebagai satu badan yang
menguruskan zakat bukanlah sesuatu kemestian menurut kebanyakan aliran pemikiran
perundangan Islam seperti pemikir dari kumpulan mazhab Hanafi yang berpendapat
pembayar zakat sendiri dibenarkan mengagihkan zakat harta yang tidak nyata (seperti emas
dan perak) secara langsung kepada penerima tanpa melalui pihak kerajaan sebagai
perantaraan dan disokong oleh kumpulan pemikiran mazhab Syafie bahawa secara jelas
menyatakan pembayar zakat dibolehkan menunaikan zakat semua jenis harta (harta nyata
atau tidak nyata) tanpa melalui pihak kerajaan tetapi penulis berpendapat ada baiknya
sekiranya saluran pembayaran dilakukan melalui institusi yang dilantik kerana aliran-aliran
pemikir ini juga bersetuju sekiranya zakat disalurkan melalui kerajaan atau institusi yang
telah dilantik. Menurut pandangan pemikir dari Mazhab Hanafi harta yang nyata seperti
binatang ternakan boleh dibayar kepada pihak kerajaan atau pihak yang dilantik. Begitu juga
pemikir dari kumpulan mazhab Maliki yang membenarkan zakat disalaurkan keseluruhannya
kepada pihak dilantik dengan syarat kerajaan tersebut adalah kerajaan yang adil, mampu
menjalankan tanggungjawab tersebut secara beramanah dan pengurusan yang efisien.
Pendapat ini sebenarnya adalah selaras dengan amalan ketika zaman Rasulullah s.a.w,
khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a dan khalifah Umar al- Khattab r.a yang menunjukkan
institusi zakat adalah penting sebagai perantara dan agen dalam mengutip dan mengagihkan
zakat.

Qaradawi (2000) turut bersetuju bahawa kerajaan berperanan mengutip dan


mengagihkan zakat sama ada harta yang nyata atau tidak nyata kerana beberapa alasan.
Pertamanya wujud individu yang tidak mengendahkan pembayaran zakat. Jika tiada campur
tangan oleh kerajaan, kemungkinan hak zakat kepada asnaf fakir dan miskin tidak dapat
dipenuhi. Keduanya pengagihan zakat melalui pihak kerajaan sebagai perantara dapat
menjaga dan memelihara maruah golongan fakirdan miskin berbanding menerimanya secara
terus daripada golongan kaya. Ketiganya jika individu mengagihkan zakat tersebut, ia akan
dipengaruhi oleh sikap tertentu yang akan membelakangi konsep pengagihan. Keempat,
asnaf-asnaf tertentu seperti muallaf, fi sabilillah dan sebagainya yang berkaitan dengan
kepentingan awam hanya diketahui oleh pihak kerajaan. Kelima, perlu diketahui bahawa
zakat merupakan sumber kewangan negara Islam. Oleh itu ia perlu dilaksanakan kepada
kerajaan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, beliau juga berpendapat hak mengutip dan
mengagihkan zakat perlu dilakukan oleh kerajaan dengan syarat kerajaan tersebut tidak
menolak Islam sebagai satu asas ideologi, melaksanakan perundangan Islam dan struktur
sosial adalah berasaskan Islam.

4. IMPAK AGIHAN ZAKAT YANG BERKESAN KEPADA MASYARAKAT.

Apabila pengurusan agihan zakat berjaya dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh
walaupun terdapat beberapa perkara yang perlu sentiasa diberi perhatian dari semasa ke
semasa, ia turut akan memberi impak yang besar kepada pembangunan asnaf itu sendiri
malah kepada keseluruhan masyarakat Islam khususnya. Pengagihan zakat yang
bersistematik dan efisien akan memberikan impak yang positif kepada masyarakat dan
Negara secara umumnya sebaliknya pengurusan zakat yang tidak cekap seperti pengiraan,
daya produktiviti yang rendah dan kadar agihan yang terlalu kecil boleh menyumbang kepada
peningkatan kadar kemiskinan (Rahisam Ramli, 2010). Kajian-kajian lepas yang dilakukan
menunjukkan pengagihan zakat yang efisien memberi impak positif dalam mengurangkan
kadar kemiskinan. Sebagai contoh kajian yang dilakukan oleh Abdul Aziz Muhammad
membuktikan bahawa agihan zakat mampu membasmi kemiskinan di samping bertindak
sebagai instrumen agihan kekayaan dan pendapatan dalam Islam (Rahisam Ramli2010).
Perkataan miskin atau kemiskinan dalam Islam merujuk kepada satu keadaan yang di alami
oleh seseorang individu yang tidak memiliki sebarang harta atau wang ringgit (Naseri Taib,
n.d). Dalam Islam, kemiskinan dilihat sebagai satu keadaan yang boleh menguji seseorang
individu sama ada yang kaya atau yang miskin. Kebajikan setiap individu amat dititik
beratkan bahkan Islam telah mengajar umatnya supaya memenuhi keperluan dharuriyyat
terlebih dahulu sebelum hajiyyat dan tahsiniyyat. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab
bagi golongan yang kaya untuk membantu memenuhi keperluan dharuriyyat golongan
miskin. Antara instrumen yang digunakan untuk mengurangkan kadar kemiskinan ialah
melalui pelaksanaan zakat. Antara kaedah yang dilakukan dalam mengurangkan kemiskinan
melalui agihan zakat ialah pemberian bantuan sara hidup dan bantuan modal.

Melalui bantuan sara hidup yang diberikan, ia boleh menambahkan keupayaan


berbelanja (marginal propensity to consume) para asnaf (AyeshaTarar, 2012). Asnaf fakir
dan miskin terutamanya mempunyai keupayaan untuk berbelanja bagi memenuhi keperluan
dharuriyyat mereka. Sekiranya keperluan dharuriyyat sudah dipenuhi, asnaf tersebut
berkemampuan untuk memenuhi keperluan hajiyyat dan seterusnya keperluan tahsiniyyat
mereka. Secara tidak langsung, bantuan yang diberikan akan mampu mengubah taraf
kehidupan para asnaf tersebut. Melalui bantuan modal pula, asnaf-asnaf yang berkeupayaan
untuk bekerja akan diberi bantuan sesuai dengan kemahiran dan kebolehan masing-masing.
Sebagai contoh, ibu tunggal yang miskin tapi masih mampu bekerja boleh diberi galakan
untuk belajar menjahit. Seterusnya, diberikan bantuan mesin jahit untuk ibu tunggal tersebut
menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjahit baju. Melalui bantuan berbentuk modal kerja
ini, asnaf-asnaf tersebut mampu mengubah taraf hidup mereka dengan tangan sendiri. Adalah
lebih baik memberikan pancing daripada ikan kepada golongan ini. Secara tidak langsung,
asnaf zakat ini akan keluar dari kemiskinan dan berupaya menjadi penyumbang zakat. Zakat
juga bertindak sebagai alat untuk memerangi riba. Ini kerana, melalui bantuan modal yang
diberikan melalui dana zakat, golongan yang miskin dan memerlukan wang tidak akan
membuat pinjaman yang berasaskan riba kerana pengenaan riba oleh pemberi pinjam akan
menyebabkan golongan ini semakin miskin bukannya semakin kaya. Sebaliknya, bantuan
modal yang diberikan kepada fakir miskin yang mampu dan berhajat untuk memulakan
perniagaan diberikan sebagai pemberian tunai ataupun pinjaman tanpa faedah. Oleh sebab
itu, bantuan sedemikian mampu mengubah asnaf zakat kepada pembayar zakat di masa akan
datang.

Selain dari mengurangkan kadar kemiskinan dan mengubah taraf hidup masyarakat
dana agihan zakat mampu membentuk generasi yang celik ilmu terutamanya dalam kalangan
asnaf fakir dan miskin. Keadaan ekonomi yang tidak stabil dalam sesebuah keluarga boleh
menyumbang kepada buta huruf (Muhammad Abdullah & Abdul QuddusSuhaib, 2011). Ini
kerana, sesebuah keluarga yang relatifnya miskin tidak mampu untuk memberikan
pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka. Adalah lebih menguntungkan bagi
mereka jika anak-anak tersebut dapat turut sama membantu mereka mencari rezeki daripada
pergi ke sekolah menuntut ilmu. Mentaliti sebegini perlu diubah kerana dengan ilmu
pengetahuan mereka dapat mengubah nasib keluarga dan keluar dari lingkaran kemiskinan.
Melalui agihan zakat, para asnaf bukan sahaja diberi bantuan berbentuk kewangan malah
turut diberi bantuan berbentuk keperluan persekolahan. Sebagai contoh bank muamalat
Malaysia berhad memberikan bantuan persekolahan seperti menyediakan program motivasi
kepada anak-anak asnaf, bantuan biasiswa, menaja sebarang aktiviti yang ingin dilakukan
oleh IPTA, sumbangan dalam bentuk membuka akaun deposit kepada pelajar miskin yang
mana ia memberi peluang kepada mereka mengembangkan deposit merekadan sebagainya
(Norajila Che Man, 2011). Bantuan-bantuan yang diberikan ini mampu menggalakkan anak-
anak asnaf dan juga asnaf itu sendiri untuk menuntut ilmu dan mendapat pengetahuan.
Melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki, mereka mampu mengubah taraf hidup keluarga
dengan beroleh kerja yang mampu menjamin kehidupan mereka.

Zakat juga bertindak sebagai medium dakwah, sama ada kepada Muslim ataupun non-
Muslim. Secara umumnya, masyarakat non-Muslim menolak Islam bukan kerana agama itu
sendiri tetapi disebabkan oleh sikap umat Islam menyebabkan mereka bersangka buruk
dengan agama Islam. Namun, melalui dakwah bil hal dan dakwah bil mal, non-Muslim akan
berupaya melihat dengan pandangan yang lebih terbuka mengenai kesempurnaan Islam.
Dakwah melalui zakat termasuk dalam kaedah “dakwah bil mal” iaitu berdakwah melalui
harta. Ianya merupakan usaha dakwah yang dilakukan melalui gerak kerja berbentuk
kebajikan (kewangan, masa, tenaga). Melalui zakat, bahagian yang diperuntukkan untuk
asnaf mualaf (mualafatuqulubahum) perlu digunakan dengan sebaiknya. Ianya boleh
dimanfaatkan melalui bantuan kewangan kepada golongan non-Muslim yang baru hendak
berjinak-jinak dengan Islam dan dalam keadaan memerlukan.

Selain itu, penganjuran program yang berbentuk khidmat masyarakat dan kebajikan
terutamanya dalam kalangan masyarakat non-Muslim dapat menarik hati mereka supaya
memeluk Islam. Penting sekali bagi Muslim untuk menunjukkan contoh teladan yang baik
dan membantu mereka supaya kekal hatinya di dalam Islam. Menurut Selamat Amir (2013)
antara langkah untuk menggalakkan pengukuhan roh Islam dalam kalangan masyarakat ialah
melalui peningkatan dan penambahbaikan kemudahan dan komoditi yang merangkumi
keperluan asas seperti bekalan elektrik, kemudahan infrastruktur, sekolah, dan sebagainya
sama ada di kawasan penempatan Muslim ataupun non-Muslim. Terdapat banyak kes yang
turut melibatkan masyarakat Muslim kembali kepada agama asal masing-masing apabila
keperluan hidup mereka gagal dipenuhi oleh pihak berwajib. Oleh sebab itu, pengagihan
zakat yang berkesan dan bersistematik di samping pelaksanaan program-program yang
bersesuaian diperlukan bagi menggalakkan saudara baru ini kekal beragama Islam (Selamat
Amir et.al, 2013).

4. STRATEGI MEMPERKASA AGIHAN ZAKAT UNTUK PEMBANGUNAN


MASYARAKAT
Walaupun institusi zakat di Malaysia telah mengagihkan zakat seiring dengan kaedah fIqh,
namun masih terdapat isu-isu pengagihan yang menimbulkan perdebatan dan permasalahan
seperti masalah agihan yang diberikan kepada asnaf yang layak ataupun tidak dan masalah
kemiskinan yang masih telah memberi kesan kepada prestasi pencapaian institusi zakat itu
sendiri. Bagi merealisasikan potensi agihan zakat dalam meningkatkan ekonomi masyarakat,
kerjasama dan tindakan bersepadu dari pelbagai pihak termasuklah peranan utama dari pihak
institusi zakat dan penerima zakat perlu bergerak seiring supaya objektif sebenar agihan
tercapai dan pembangunan masyarakat Islam juga dapat dibangunkan secara menyeluruh.

4.1 PERANAN INSTITUSI ZAKAT

4.1.1 Mempergiat Promosi Agihan Yang Cekap Melalui Institusi Zakat


Walaupun terdapat beberapa kekurangan dan kelamahan intitusi zakat ia tidak
bermakna mencerminkan kelemahannya akan berkekal lama. Pada masa yang sama semua
pihak dalam institusi zakat perlu bertindak segera melakukan perubahan untuk
penambahbaikan urusan pengagihan zakat khususnya dengan cara mengenalpasti aduan-
aduan dari pelbagai pihak dan individu secara terbuka supaya keberkesanan institusi zakat
menjadi lebih cekap dan cemerlang. Pihak institusi zakat juga perlu memperluaskan promosi
dengan mempelbagaikan bentuk agihan zakat seperti memperluaskan promosi melalui iklan
dan program bersama pelanggan. Bentuk agihan zakat juga perlu dilihat sama ada perlu
dibantu dalam jangka pendek atau jangka panjang. Ini disokong oleh Patmawati (2008)
sebagai contoh bantuan pendidikan kepada pelajar universiti dalam bentuk biasiswa
diiklankan dan dimasukkan ke dalam akhbar-akhbar perdana dengan syarat yang jelas.
Program bersama pelanggan ini akan memberi pendedahan yang jelas secara langsung
kepada masyarakat berkaitan dengan kebolehpercayaan terhadap institusi zakat. Tambahan
pula institusi zakat juga dapat mengenalpasti individu-individu yang layak untuk membuat
permohonan zakat. Di samping itu, kempen dan program ini dapat membantu institusi zakat
menambah idea-idea baru yang dilontarkan oleh masyarakat.
Selain itu, siapsiaga para pentadbir zakat perlu diberi perhatian dengan segera demi
membangunkan institusi zakat yang lebih efisen termasuklah dalam isu agihan zakat.
Kepakaran para pentabir zakat dalam menguruskan sistem dan pengurusan agihan memberi
kesan kepada kebolehpercayaan masyarakat terhadap institusi zakat. Pemilihan staf yang
berintegriti bermula dari peringkat pemilihan calon untuk ditemuduga. Lantikan staf zakat
bukan sahaja tertakluk kepada latar belakang syariah malah turut perlu merujuk kepada
pengalaman yang pelbagai, etika dan keprofesionalan diri untuk pembangunan institusi.
Pihak institusi zakat perlu membuat kajian semak semula ke atas hasil bantuan-bantuan yang
diberikan kepada asnaf dengan mengadakan lawatan dan diperincikan dalam laporan untuk
sebarang penambahbaikan.

Rajah 1: Kerangka teori agihan zakat melalui institusi zakat

Kerangka teori urusan pengagihan oleh institusi zakat perlu dijelaskan secara jelas
dan terperinci kepada semua individu Islam supaya kesan pembayaran zakat melalui institusi
mampu mengubah persepsi sebilangan masyarakat yang sebelum ini lebih gemar membayar
zakat terus kepada asnaf. Berdasarkan rajah 1 pembayar zakat akan membayar zakat mereka
kepada amil yang dilantik oleh institusi zakat. Wang zakat tersebut seterusnya akan
diagihkan sama ada dalam bentuk insentif kewangan atau modal bukan kewangan seperti
mesin jahit sebagai permulaan mengembangkan modal usahawan kepada para asnaf mengikut
kelayakan. Asnaf-asnaf tersebut akan dibantu melalui program-program pembangunan asnaf
yang dianjurkan oleh institusi-institusi zakat negeri masing-masing. Program galakan dan
semangat ini menjadi laluan dakwah kepada institusi zakat untuk membangunkan ummah
bertepatan dengan konsep agihan yang sebenar. Selain itu, institusi zakat juga merupakan
institusi terlatih dan mempuyai kakitangan yang pakar dalam melaksanakan pembangunan
institusi. Ia jelas dilihat melalui kebolehan dan kecekapan kerja oleh Lembaga Zakat
Selangor (LZS) selepas dikorporatkan. Tidak terkecuali juga pusat-pusat zakat negeri yang
sentiasa berusaha meningkatkan nama dan kualiti institusi sebaris dengan institusi
pembangunan ekonomi yang lain. Perkembangan institusi zakat juga boleh dinilai
berdasarkan laporan-laporan dan data yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Laporan agihan institusi zakat kini dilihat mudah untuk diakses hanya melalui internet bagi
memudahkan masyarakat menilai kebolehpercayaan pengurusan di institusi zakat.

4.1.2 Penilaian Semasa Asnaf Yang Menyeluruh dan Efisien

Penilaian semasa untuk menentukan taraf kelayakan asnaf zakat merupakan


tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan oleh institusi zakat. Ia secara tidak langsung
menggambarkan kecekapan kerja kakitangan zakat untuk mendapat kepercayaan dari seluruh
masyarakat Islam. Penilaian semasa bertujuan untuk memastikan prinsip agihan zakat yang
sebenar iaitu lebihan pendapatan dari golongan kaya yang beriman diagihkan kepada
golongan yang memerlukan (asnaf) terlaksana.
Walaupun asnaf fakir dan miskin adalah antara yang diberi tumpuan dalam
pengagihan zakat untuk tujuan mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat
Islam, namun tumpuan kepada asnaf-asnaf yang lain turut menjadi keperluan untuk dinilai
supaya kelayakannya bersesuaian dengan uruf semasa. Ini kerana didapati trend keperluan
dan perbelanjaan pada hari ini dilihat memberi kesan yang besar kepada hampir keseluruhan
asnaf sepertimana penentuan kadar had kifayah yang sentiasa dinilai dari semasa ke semasa
begitu juga dengan keperluan asnaf-asnaf zakat di Malaysia. Ia juga dapat memastikan agar
hanya golongan yang berhak sahaja akan menerima bantuan zakat setelah mereka cuba
sedaya upaya untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga. Demikian juga Islam melarang
umatnya dari membiasakan diri dengan sikap meminta-minta dan mengambil kesempatan
dengan peluang yang ada. Ia juga menjadi insiatif kepada pihak kerajaan atau negara untuk
membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan pemberian insentif berbentuk
bantuan atau galakan kepada masyarakat untuk pemabngunan diri dan seterusnya berusaha
keluar dari kumpulan yang miskin. Walaubagaimanapun, jika individu atau kumpulan masih
tidak berupaya menghasilkan mata pencarian yang mencukupi, maka zakat menjadi saluran
untuk mereka memperolehi pendapatan bagi memenuhi keperluan yang tidak mencukupi.
Maka kerangka penilaian dari pihak institusi atau pentadbir zakat perlu dibentuk
untuk menjadi garis panduan khusus dalam menentukan kategori dan kelayakan seseorang
asnaf. Oleh demikian segala prinsip penilaian yang berkaitan dengan agihan melalui institusi
zakat haruslah diteliti dengan lebih mendalam berasaskan kepada al-Quran, al-Sunnah dan
maslahah ummah. Afzal-Ur Rahman (1994) turut mengakui bahawa kelas masyarakat yang
jauh berbeza perlu dielakkan dengan mengambilkira penilaian yang bersesuaian dengan
keperluan semasa ke atas harta dan jumlah yang perlu dizakatkan. Sehubungan itu, wajarlah
penilaian asnaf juga turut perlu diberi perhatian dari semasa ke semasa agar jurang kekayaan
dalam kalangan masyarakat dapat dikurangkan walaupun diakui bahawa perbezaaan
pendapatan dan pemilikan harta persendirian dan inisiatif individu adalah sesuatu yang tidak
dapat dielakkan namun ianya mestilah dikawal supaya tidak sehingga mencipta kelas-kelas
masyarakat yang jauh berbeza.
4.1.3 Memperkasa Agihan Melalui Kerjasama Dengan Institusi Luar

Kerjasama institusi zakat dengan pelbagai pihak luar yang proaktif dapat membantu
meningkatkan taraf hidup asnaf supaya tidak terus bergantung dengan bantuan zakat semata-
mata. Kerjasama institusi zakat dengan badan-badan luar dapat membantu mengubah hidup
asnaf sebagai contoh bantuan modal, galakan semangat dan kemahiran keusahawanan yang
diberikan kepada asnaf dapat mengeluarkan asnaf dari golongan yang miskin seterusnya
Berjaya keluar dari kumpulan yang berada dalam ukuran berpendapatan bawah garis
kemiskinan Malaysia. Akhirnya mereka berjaya mengubah status taraf hidup dan dapat
memenuhi keperluan selain keperluan dharuriyyat. Kebiasaanya projek-projek
pembangunan ekonomi atau usahawan yang biasa diceburi oleh asnaf meliputi pelbagai
bidang termasuklah bidang ternakan, tanaman, perikanan, peruncitan, industri kecil dan
sederhana (IKS) dan sebagainya. Masyarakat melayu juga sangat sinonim dengan bidang
pertanian, penternakan dan perikanan. Sehubungan itu, usahawan-usahawan kecil ini tidak
boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa diberikan sebarang suntikan modal atau sokongan dan
diakui hakikatnya para pegawai zakat tidak mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut.
Demikian itu, kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan organisasi lain sepereti Lembaga
Pertubuhan Ladang, FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sebagainya
secara tidak langsung membantu usahawan baru ini menerima skim khidmat nasihat dan
bantuan lain yang dapat membantu mereka meneruskan projek sehingga berjaya.
Secara umumnya, bantuan yang diberikan oleh institusi zakat kepada para asnaf untuk
membangunkan perniagaan telah pun bermula sejak tahun 1990 an lagi. Contohnya di
Wilayah Persekutuan agihan wang zakat sebanyak RM0.4 juta telah diperuntukkan untuk
skim bantuan perniagaan asnaf. Namun bantuan tersebut hanya diberi dalam bentuk material
sahaja tanpa ada bimbingan berterusan untuk asnaf menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Begitu juga di negeri-negeri lain di Malaysia turut mempunyai peruntukan kepada para asnaf
untuk bantuan menjalankan perniagaan. Walau bagaimanapun, peruntukan yang disediakan
hanya dalam bentuk bantuan perniagaan sahaja, bukan melibatkan usaha membentuk atau
melatih asnaf menjadi usahawan. Peruntukan yang diberikan adalah untuk membantu para
asnaf memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup disamping dapat membangunkan
perniagaan yang sedia ada. Usahawan asnaf secara khususnya muncul pada tahun 2003 yang
dibangunkan oleh Pusat Zakat Selangor (PZS) yang bukan sahaja memberi bantuan untuk
perusahaan perniagaan tetapi juga melibatkan penyediaan latihan dan pendedahan tentang
perniagaan kepada asnaf untuk menjadi usahawan. Bantuan yang diberikan kepada asnaf
adalah sebagai modal permulaan perniagaan dan seterusnya akan terus dibimbing dan
dipantau oleh pihak LZS sehingga menjadi seorang usahawan. Beberapa program khusus
untuk melatih asnaf menjadi usahawan telah dijalankan oleh pihak LZS mengikut peringkat-
peringkat tertentu dalam usaha membantu menambahkan
ilmu pengetahuan asnaf tentang dunia perniagaan. Program ini berkembang luas apabila
terdapat institusi-institusi lain turut mengambil inisiatif yang sama untuk membentuk
usahawan di kalangan asnaf dan akhirnya berjaya keluar dari kelompok yang miskin.

4.2 PERANAN PENERIMA ZAKAT/ASNAF

Para penerima zakat haruslah memahami bahawa mereka adalah entiti utama dan menjadi
indikator utama kepada institusi zakat untuk mengukur keberkesanan pengagihan zakat dalam
meningkatkan ekonomi masyarakat Islam. Segala usaha yang dilakukan sama ada dari pihak
institusi zakat mahupun kerajaan sekiranya tidak digunakan sebaik mungkin akan
menyebabkan segala usaha menjadi sia-sia. Kerjasama dari pihak penerima zakat (asnaf)
amat diharapkan untuk sama-sama memastikan kelangsungan institusi zakat dan berjaya
berada sebaria dengan institusi-institusi ekonomi yang lain. Rasulullah S.A.W mengatakan
bahawa zakat merupakan satu amalan untuk mensucikan harta bagi yang kaya dan harta perlu
dibelanjakan untuk perkara-perkara yang baik dan bermanfaat supaya ia menyubur dan dapat
mensucikan masyarakat daripada keburukannya. Ketaatan pembayar zakat perlulah dihayati
juga oleh penerima zakat agar sumbangan yang diterima turut digunakan dengan sebaik yang
mungkin dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup ke arah yang
lebih baik. Seterusnya asnaf perlu berusaha untuk keluar dari kelompok miskin dan terus
berusaha sepertimana individu lain yang berusaha untuk mengumpul kekayaan dan harta
pemilikan untuk menjadi sebahagian dari penyumbang zakat. Tambahan pula, zakat bukan
hanya terhad kepada pembersihan kehidupan pembayar zakat tetapi ia akan berkembang lebih
meluas meliputi kehidupan semua individu yang mempunyai hubungan dengannya di mana
mereka membetuk ciri-ciri kemanusian dalam diri sendiri seterusnya cuba
mengembangkannya kedalam diri individu yang lain.. Firma Allah SWT yang bermaksud:

‟Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan diri


(dengan beriman)”.
(surah al-`ala 87:14)

5. KESIMPULAN

Pengurusan agihan zakat yang efisien oleh institusi zakat sangat memberi kesan yang besar
kepada perkembangan institusi zakat sendiri dan pembangunan asnaf zakat. Turut menjadi
tanggungjawab bersama dari pelbagai pihak untuk menjayakan konsep sebenar agihan zakat
dalam kalangan asnaf yang mana asnaf-asnaf ini dipercayai berkemungkinan mampu
memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan masyarakat Islam dan negara
Malaysia selain membantu mengurangkan kadar kemiskinan negara. Usaha-usaha yang
berterusan dan proaktif dalam kalangan pentadbir dan kakitangan institusi zakat dapat
mengubah persepsi masyarakat Islam dan seterusnya menggalakkan ramai lagi individu
pembayar zakat membayar zakat melalui institusi berbanding membayarnya terus kepada
asnaf.

RUJUKAN

AyeshaTarar (2012). “Impact of Zakat on Economy: Structure and implementation in


Pakistan”.Journal of Economics and Sustainable Development. Vol. 3. No 10.

Hairunnizam Wahid, et.al (2009). “Pengagihan Zakat Oleh Institusi Zakat Di Malaysia:
Mengapa Masyarakat Islam Tidak Berpuas Hati?”. Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 1

Hairunnizam Wahid (2009). “Pengagihan Zakat Oleh Institusi Zakat Kepada Lapan
Asnaf:Kajian di Malaysia”. Kertas Kerja dibentangkan di Seminar Ekonomi Islam 2008/2009
anjuran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 10-11 Februari 2009.

Md Hairi Md Hussain (2009). ‟ Keberkesanan Sistem Agihan Zakat: Suatu Pandangan


Awal”. Laporan Kajian. Fakulti PerakaunanUniversiti Utara Malaysia

Md Hairi Md Hussain (2012). “Ketelusan Dalam Tadbir Urus Institusi Zakat”. Prosising
Seminar Isu-Isu Kontemporari Zakat di Malaysia, anjuran Pusat Islam Universiti Utara
Malaysia pada 25-27 November 2012.

Mohamed Dahan Abdul Latif (2001) Pendekatan Kepada Cara Pengagihan Dana zakat yang
Dinamik Sesuai dengan Suasana Semasa. Dalam Nik Mustapha Nik Hassan (penyt). Kaedah
Pengagihan Dana Zakat Satu Perspektif Islam. Kuala Lumpur: IKIM.

Mujaini Tarimin (2005) Zakat Menuju Pengurusan Profesional. Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Mujaini Tarimin (2005) Golongan Penerima Zakat. Agihan Dana Zakat Secara Lebih
Berkesan. Shah Alam: Penerbit UiTM.

NorajilaChe Man (2011). “TanggungjawabSosialKorporat : AnalisisPerbandingan Di Bank


Muamalat Malaysia BerhadDan Affin Bank Berhad”. DisertasiMA Shariah.
JabatanSyariahdanEkonomi, AkademiPengajian Islam, Universiti Malaya).

Nik Mustapha Nik Hassan (2001) Semangat pengagihan Zakat ke Arah pembangunan
Ekonomi.
Dalam Nik Mustapha Nik Hassan (penyt). Kaedah Pengagihan Dana Zakat Satu Perspektif
Islam. Kuala Lumpur: IKIM.

Patmawati Ibrahim(2008). ‟Pembangunan Ekonomi Melalui Agihan Zakat: Tinjauan


Empirikal”. Jurnal Syariah, Jil. 6, Bil. 2.
Selamat Amir et.al (2013). “Islam and Muslim in Multi-religious Society: Realities and
Challenges in Sabah, Malaysia”. Middle-East Journal of Scientific Research 13 (2): 145-153.

Zainal Abidin (2001) Cara pengagihan Dana Zakat: Pengalaman Wilayah persekutuan.
Dalam
Nik Mustapha Nik Hassan (penyt). Kaedah Pengagihan Dana Zakat Satu Perspektif Islam.
Kuala Lumpur: IKIM.

http://eprints.utm.my/9879/1/ARTNasseriTaib1993_IslamDanPembasmianKemiskinan.pdf,
akses pada 21 Oktober 2014.

“Peranan Zakat dalam Pembangunan Ekonomi”


http://www.izakat.com/index.php?option=com_content&view=article&id=105%3Aperanan
zakat-dalam-pembangunan-ekonomi&catid=31%3Atazkirah&Itemid=52&lang=bm, akses
pada 20 Oktober 2014.

“Pendekatan Dakwah Terhadap Non


Muslim”,http://omartahfiz.blogspot.com/2013/10/pendekatan-dakwah-terhadap-non
Muslim.html, akses pada 21 Oktober 2014.

View publication stats

You might also like